Kerana Dia Milikku
Bab 18
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 13 Mac 2017
Penilaian Purata:
(2 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
571

Bacaan






Mak Senah membersihkan halaman rumahnya. Dalisya juga turut membantu. Pak Kulub pula sibuk mengumpulkan kelapa yang di kaitnya. Ayuni telah keluar bersama Amirul Asraf untuk membeli barang-barang hantaran mereka. Majlis pertunangan mereka akan di adakan tidak lama lagi.

“Senah! Senah!” Zainon memanggil Mak Senah yang sedang sibuk menyapu daun-daun kering yang betrtaburan di halaman rumahnya.

“Ada apa ni Enon? Kau ni nak ke mana?” soal Mak Senah sebaik sahaja terlihat wajah Zainon di hadapan matanya.

“Betul ke? Aku dengar kau nak kawinkan Yuni dengan budak cacat tu? Kau ni biar betul Senah. Dah hilang akal ke kau laki bini ni? Dah habis fikir ke?” Zainon duduk di pangkin tanpa di jemput. Dia menjuntaikan kakinya. Dihayun-hayun perlahan.

“Ya betul lah apa yang kau dengar tu” jawab Mak Senah. Dia meletakkan batang penyapu di pokok manggis lalu berjalan mendapatkan Zainon yang sedang menunggunya.

“Kau sanggup ke nak kawinkan Yuni yang macam tu punya cantik dengan budak cacat macam tu?” soal Enon lagi.

“Apa salahnya? Mirul tu budak yang baik. Tau menghormati ibu bapa, dan yang paling penting, dia bertanggung jawab pada anak dan ibunya. Apa lagi yang kurang?” Pak Kulub mencelah.

“Budak tu cacat bang Kulub oii!, cubalah buka mata sikit” Enon akhirnya berterus terang. Dia seperti tidak percaya apabila terdengar perbualan beberapa orang kampung di rumah Gayah tempohari yang mengatakan Ayuni akan bertunang dengan Amirul Asraf.

“Ayuni dah suka, kami pun suka juga dengan Amirul Asraf tu” Pak Kulub bersuara lagi.

“Dah habis fikir ke bang?” Zainon masih tidak puas hati dengan jawapan yang diberikan oleh Pak Kulub.

“Kalau kau nak tau Enon, sebenarnya kami yang meminang Amirul Asraf tu untuk Ayuni, bukannya mereka yang buka mulut dulu, aku yang mulakan” terang Mak Senah. Dia teringat kembali bagaimana ringan mulutnya memulakan kata. Puas di timbang dan difikir, akhirnya terzahir juga apa yang tersimpan di hati.

“Kau ni Senah, macam dah tak ada jantan lain yang kau nak jadikan menantu. Kalau kau nak tau, anak kau tu sebenarnya dah di intai. Kenalan aku dari kampung sebelah tu dah mengidam benar dengan anak kau tu” Zainon memandang Mak Senah dan Pak Kulub silih berganti.

“Tak ada jodoh Enon, Ayuni dah sukakan Amirul Asraf, nak buat macam mana lagi. Suruhlah kenalan kau tu cari perempuan lain. Dalam kampung ni ramai lagi anak dara yang cantik-cantik” Mak Senah mengesat peluh yang membasahi dahinya.

Zainon menjeling ke arah Dalisya yang sibuk berlari mengejar rama-rama. Anak itu kelihatan sangat gembira berlari ke sana ke mari dengan membawa gayung.

'Aku mesti usahakan agar pertunangan Ayuni dengan si cacat tu gagal, walau apapun caranya'

Janjinya pada Ismail beberapa hari lalu harus di tunaikan. Ismail telah berjanji akan memberikan habuan yang banyak sekiranya Ayuni berkahwin dengannya.


“Ada jual lighter Mak Cik?” soal seorang pemuda yang masuk ke kedainya.

“Ada, sini encik” Mak Enon menunjukkan barisan lighter yang tersusun rapi di atas rak dihadapan matanya.

Pemuda itu memilih lighter lalu diletakkan di atas meja. Dia mengeluarkan not lima puluh ringgit lalu di serahkan kepada Mak Enon.

“Encik ni bukan dari sini ya?” soal Mak Enon ramah.

“Saya dari Kampung Nyiur di sebelah tu Mak Cik. Nama saya Ismail” pemuda tersebut memperkenalkan dirinya.

“Patutlah Mak Cik tak pernah nampak” Mak Enon memulangkan baki kepada Ismail.

Ismail memandang ke kiri dan kanan jalan. Dia mengarukan kepalanya. Dia tidak tahu arah mana yang hendak di tuju. Nurul Aliya hanya memberitahunya nama kampung sahaja, dia tidak menunjukkan di mana rumah Ayuni.

“Kenapa ni nak? Kamu cari rumah siapa?” soal Mak Enon apabila dia melihat Ismail sepertinya bingung mencari sesuatu.

“Macam ni Mak Cik, biar saya berterus terang dengan Mak Cik. Sebenarnya hati saya ni dah terpaut pada seorang anak gadis orang kampung ni. Tapi saya tak tahu di mana rumahnya” terang Ismail berani.

“Hati dah terpaut tapi tak tau rumah? Emm kamu ni.. Apa nama perempuan yang kamu nak cari tu? Mana tau Mak Cik boleh membantu. Mak Cik ni bukannya nak cakap besar, tapi rasanya semua orang kampung ni mak cik kenal” Zainon duduk di hadapan Ismail.

“Kalau tak silap saya, namanya Ayuni” Ismail menarik kerusi yang ada di tepi kedai.

“Ayuni? Cikgu Ayuni ke? Anak Senah?” soal Zainon, mulutnya ternganga memandang Ismail. Tidak di sangka Ayuni begitu di gilai oleh pemuda itu hingga sanggup datang ke kampung mencarinya.

“Cikgu ke? Saya tak tahu Mak Cik, apa yang saya tahu, sejak saya terpandangkan dia di restoran beberapa hari lalu, saya jadi tak senang tidur dibuatnya. Fikiran saya ni terus melayang memikirkan dia. Bak kata orang makan tak kenyang tidur tak lena lah” petah Ismail berkata-kata.

“Senang aja tu.. rumah Ayuni, kamu jalan terus ni.. lepas tu ada papan tanda Jalan Ubi, kamu masuk situ, sebelah kiri tu rumah Ayuni lah” Zainon menunjukkan jalan menuju ke rumah Ayuni.

“Malu pula rasanya, emm.. Mak Cik boleh bantu saya tak?” Ismail cuba untuk meminta pertolongan dari Zainon. Kelihatannya wanita di hadapannya ini senang untuk diajak berbincang.

“Tolong apa?”

“Tolong saya dapatkan Ayuni, maksud saya jadikan Ayuni isteri saya yang sah”terang Ismail. Dia tidak yakin dengan dirinya sendiri. Jika ada bantuan dari orang kampung itu, pasti akan mudah kerjanya.

“Boleh juga.. tapi tak kan tolong sesaja, Apa yang Mak Cik dapat?” soal Zainon.

“Err..” Ismail mengerutkan keningnya.

“Iyalah, kalau Mak Cik tolong kamu, apa yang kamu akan beri pada Mak Cik?” Zainon mengulangi kata-katanya.

“Macam ni lah Mak Cik, kalau saya dapat kawin dengan Ayuni, saya akan hadiahkan lima ribu pada Mak Cik sebagai ganjaran, cukup?” Ismail mengangkat keningnya.

“Lima Ribu? Emm... sepuluh ribu tak boleh ke?”

Ismail diam. Dia memandang Zainon dengan pelbagai rasa. Duit simpanannya sudah semakin berkurangan.

“Kalau tak boleh, nampaknya tak dapat lah Mak Cik tolong kamu” Zainon terus memaksa Ismail untuk membuat keputusan.

“Baiklah, saya setuju. Saya akan sediakan duit seperti yang Mak Cik mahukan, janji saya dapat Ayuni”

“Mak Cik setuju” Zainon terus bersetuju tanpa berfikir panjang. Dia akan berusaha keras untuk membantu Ismail untuk memiliki Ayuni.

“Enon.. Enon..” Mak Senah memanggil Zainon yang sedang asyik berangan memikirkan sesuatu.

“Apa kau cakap Senah?” soal Zainon tiba-tiba.

“Aku tak cakap apa-apa pun, kau ni dah kenapa? Jauh kau mengelamun, ingat kat Akob ke?” Mak Senah mengusik Zainon.

“Ah! Buat apa nak ingat orang tua tu, ni aku rasa Ayuni tu tak sesuai dengan si cacat tu” Zainon teringat semula tujuan dia ke rumah Senah.

“Kami ni mengikut saja. Yuni tu yang pilih jodoh dia sendiri, baik buruk dia yang akan menanggungnya” Mak Senah tetap dengan pendiriannya.

“Kau akan susahkan Yuni kalau kau terus biarkan Yuni tu kawin dengan budak cacat tu Senah. Percayalah cakap aku” Zainon masih lagi tidak mahu mengalah.

“Aku tak fikir Mirul akan mensia-siakan Ayuni. Dia seorang lelaki yang baik. Aku yakin dia akan jaga Ayuni seperti dia jaga nyawanya sendiri” Mak Senah masih teguh dengan pendiriannya.

“Kau akan menyesal nanti Senah kalau kau teruskan rancangan kau tu” Zainon cuba untuk menghasut Mak Senah.

“Doakan yang terbaik untuk mereka cukuplah Enon” Mak Senah malas untuk berbahas dengan jirannya yang satu itu.

“Apa kata kalau kau jumpa lelaki yang berkenankan Ayuni tu dulu Senah? Aku rasa budak lelaki ni lebih sesuai jika nak di bandingkan dengan si cacat tu. Aku tengok anak kenalan aku ni macam orang ada-ada. Senang hidup anak kau nanti Senah” Zainon memberikan cadangan lain. Dia tetap berusaha agar majlis pertunangan Amirul Asraf dan Ayuni terbatal.

“Tak perlu lagi Enon, kami dah pilih jodoh yang sesuai untuk anak kami. Kau carilah gadis lain untuk kenalan kau tu. Kami dah tak berminat dengan jodoh lain lagi. Ayuni pun dah bersungguh-sungguh dengan perjodohan ni, lagi pun macam yang aku cakap tadi, aku yang beriya-iya minta Kak Yah datang meminang Ayuni untuk Amirul Asraf” panjang lebar Pak Kulub menerangkan pendiriannya. Dia tidak sesekali akan menarik balik kata-katanya pada Mak Yah dan Amirul Asraf. Baginya biarlah Ayuni hidup bersama Amirul Asraf asalkan itu pilihan anaknya.

“Kau jangan menyesal pula kalau satu hari nanti anak kau pun akan jadi hamba abdi kena mencari rezeki untuk mereka! Kau tak ingat ke sejarah anak Puan Latifah dulu” Zainon geram. Setiap apa yang di katakannya sedikit pun tidak dapat menghasut pasangan suami isteri itu. Nampaknya harapan untuk menerima 10k dari Ismail akan punah dan hancur begitu sahaja.

“Rezeki, jodoh, ajal maut tu semuanya kuasa TUHAN, siapa kita untuk menidakkannya” Mak Senah bersuara tenang.

“Nek Senah, Eisya nak buah tu” jari kecil Dalisya menunjuk ke arah buah jambu batu yang tergantung di pokok.

“Mari atuk ambilkan” tangan kecil Dalisya di capai oleh Pak Kulub.

“Kau tengok tu, belum apa-apa beban mereka dah diletakkan di sini” mulut Zainon muncung ke arah Dalisya.

“Apa pula, Dalisya tu Pak Kulub yang ambil dari rumah Kak Yah tadi. Kak Yah tak benarkan tapi kami ni dah rindu sangat dengan dia” terang Mak Senah. Dia memandang Dalisya dan Pak Kulub sedang tertawa kegirangan. Entah apalah keletah yang dibuatnya.

“Kau sekeluarga ni macam dah kena ilmu hitam pula Senah”

“Ilmu hitam apanya pula? Kau jangan nak merepek lah Enon” Mak Senah menafikannya. Mustahil orang yang kuat beragama seperti Mak Yah dan Amirul Asraf tu mengguna-gunakan mereka sekeluarga.

“Iya lah, kau, si Kulub dengan Ayuni tu aku tengok main tunduk saja dengan budak cacat tu. Jangan-jangan kamu sekeluarga dah termakan sesuatu tak?” agak Zainon. Dia semakin sakit hati apabila Mak Senah terus terusan memuji Amirul Asraf. Baginya Amirul Asraf tidak layak untuk berkahwin dengan Ayuni. Dia juga merasa sakit hati apabila tiba-tiba Amirul Asraf mampu membayar hutang mereka. Dia masih belum puas menghina Mak Yah.

“Tak adalah Enon. Kami yakin, apa yang kami pilih ni, itulah yang terbaik untuk anak kami” penyapu yang tadinya di sandarkan di pokok segera dicapai semula. Dia malas untuk terus berdebat dengan Zainon.

“Aku balik dulu lah Senah” panas hatinya apabila Mak Senah langsung tidak mendengarkan semua perkataannya. Puas di pujuk puas di hasut tetapi nampaknya mereka telah tetap dengan keputusan yang telah di buat.

“Eh! Sebelum aku lupa, aku nak jemput kau dengan Akob datang ke majlis pertunangan Ayuni dengan Mirul akhir bulan ni. Kau tolong-tolong lah aku ni” Mak Senah mengajak Zainon ke rumahnya untuk meraikan majlis pertunangan anaknya.

“Tengoklah kalau aku ada masa” berbuku hatinya apabila Senah menyebut nama Amirul Asraf. Rasa meluat yang teramat sangat.




Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku