Kerana Dia Milikku
Bab 20
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 13 Mac 2017
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
957

Bacaan






Masuklah Ismail, bilik ni kecil saja. Tapi Mak Enon rasa dah cukup selesa untuk kamu” Zainon menunjukkan bilik di dalam rumahnya buat Ismail.

Beberapa hari yang lalu, Zainon telah menghubungi Ismail menyatakan dia gagal untuk menghasut Mak Senah dan Pak Kulub agar menghentikan majlis pertunangan Ayuni dengan Amirul Asraf yang akan berlangsung tidak lama lagi. Dia mencadangkan supaya Ismail sendiri yang cuba untuk mendekati Ayuni. Dia juga mencadangkan agar Ismail bermalam di rumahnya untuk beberapa malam supaya senang untuknya mendekati Ayuni dan cadangannya itu di sambut baik oleh Ismail.

“Semalam Pak Akob dah bersihkan bilik ni, Mak Enon kamu ni cakap anak angkat dia nak datang, kalau kurang bersih kami minta maaf ya” Pak Akob pula bersuara.

“Kamu berehatlah dulu, Mak Enon buatkan air, lepas tu Mak Enon nak pergi jaga kedai. Kalau tak di jaga, takut budak-budak masuk mencuri barang pula” Zainon meminta diri.

“Pak Akob pun nak keluar ke surau ni, kalau kamu nak ikut marilah. Lepas asar ni ada kenduri doa selamat” dia teringatkan kata-kata Pak Kulub yang Mak Yah akan mengadakan kenduri doa selamat di surau pada petang itu. Pak Akob juga selalunya akan datang awal ke surau dia akan membentangkan sejadah untuk para jemaah.

“Saya solat di rumah sajalah Pak Akob, penat badan ni belum hilang lagi” Ismail menolak dengan sopan. Dia sebenarnya malas untuk ke surau. Fokus utamanya adalah Ayuni. Itulah sebab kedatangannya ke kampung itu.

“Tak apalah kamu berehat ya. Kalau nak makan apa-apa kamu minta dengan Mak Enon kamu” Pak Akob menunjukkan kedai yang bersambung dengan anjung rumahnya.

“Terima kasih Pak Akob” Ismail malas untuk terus bercakap banyak, dia segera menutup pintu bilik sebaik sahaja Pak Akob berpaling. Dia baring di atas tilam.

Macam mana aku nak dapatkan budak Ayuni ni ya? Kalau ikut kata Mak Enon, dia akan berjalan-jalan di tepi pantai petang-petang hari. Pantai sebelah mana yang dia pergi? Aku nak buat apa ya.. macam mana aku nak mendekati dia? Kalau lelaki cacat tu ada macam mana? Ahh! Lelaki cacat tu senang saja kalau nak di ketepikan. Tapi kalau aku goda mak bapak dia dulu pun bagus juga. Macam Nurul Aliya dulu, tunjuk baik sikit depan Mak Pah, terus dapat. Emm.. bagus juga rancangan aku ni.. tak jalan plan A aku pergi plan B. Apa yang penting aku dapat apa yang aku nak.

Ismail terus berfikir cara untuk mendekati Ayuni. Dia memang sudah tergila-gilakan gadis manis itu. Jika Nurul Aliya yang degil macam tu boleh ditundukkan, apa lagi Ayuni yang sememangnya lembut dan sangat sopan. Pasti mudah baginya. Dia teringat kembali bagaimana sukarnya untuk dia mengorek rahsia dari Nurul Aliya.

“Cantik sayang hari ni” puji Ismail pada isteri ketiganya.

“Nurul memang sentiasa cantik, abang baru tau ke?”

Ismail tersenyum.

'Cantik lah sangat, sayangnya sekarang ni yang paling cantik di mata abang ni cuma Ayuni sayang, cuma Ayuni'

“Abang.. handfon Nurul dah tak boleh nak guna lagi. Sebelum ni masih boleh terima panggilan, tapi sekarang dah tak boleh. Line dah kena potong agaknya. Abang tak bayarkan bil ke?” soal Nurul Aliya pada Ismail.

Ismail masih tersenyum memandang isterinya.

'Tak salah rasanya kalau buat masa ni aku berlembut dan menurut saja kata Nurul Aliya, janji aku boleh dapat information tentang Ayuni' Ismail terus melayan angan.

“Abang!” Nurul Aliya mencuit hidung suaminya.

“Ada apa sayang?” soal Ismail.

“Apa yang abang fikir ni?” soal Nurul Aliya.

“Tak ada apa-apa. Abang teringat pasal lelaki cacat yang kita jumpa di kedai makan beberapa hari lepas” terang Ismail.

Wajah Nurul Aliya berubah serta merta. Ismail tidak perlu tahu siapakah Amirul Asraf. Dia tidak mahu sejarahnya dengan Amirul Asraf diungkit kembali.

“Apa masalahnya bang?” soal Nurul Aliya.

“Siapa nama perempuan yang nak berkawin dengan lelaki cacat tu?” soal Ismail pada Nurul Aliya. Dia pura-pura lupa nama Ayuni.

“Ayuni” Nurul Aliya pantas menjawab.

“Kesian perempuan tu nanti kan, kena jaga suami cacat.. ada anak pula tu” Ismail memasang umpan.

“Dah jodoh dia bang, cacat-cacat punhandsome” Nurul Aliya memuji bekas suaminya.

“Kalau handsome saja tapi cacat nak buat apa. Tapi abang rasa memang dah kena mandrem tu”

“Tak adalah. Muka mereka tu macam orang baik-baik. Takkan nak main mandrem pula” sangkal Nurul Aliya. Walaupun Amirul Asraf bukan suaminya lagi, kebaikan lelaki itu sentiasa akan di ingati. Tambahan pula Amirul Asraf yang di temuinya baru-baru ini sangat berbeza. Dia jauh lebih segak jika hendak dibandingkan dengan Ismail. Senyuman Amirul Asraf juga sering menghantui lenanya.

“Lelaki cacat tu pun satu kampung dengan Ayuni tu ke yang?”

“Ha? Emm... iya” ringkas jawab Nurul Aliya.

“Oo.. kiranya Ayuni dan si cacat tu satu kampung” Ismail mengosok-gosok dagunya.

“Ha ah.. yang lelaki cacat tu nama dia Amirul Asraf. Dulu dia satu kelas dengan Nurul”

“Ayuni dan Ismail tu tinggal di kampung sebelah?” Ismail cuba memastikan apa yang dikatakan oleh Nurul Aliya.

“Yup! Ayuni di dalam kawasan perumahan tu, Amirul Asraf pula rumahnya berhampiran dengan pantai” terang Nurul Aliya.

“Ismail.. nah ambil ni” Mak Enon menyerahkan dulang yang berisi air dan goreng pisang pada Ismai tetapi tidak di sambut oleh Ismail.

“Kenapa hantar sampai ke bilik ni Mak Enon?”

“Mak Enon panggil kamu dari tadi, tapi kamu tak menjawab. Tu yang Mak Enon hantar sini” sekali lagi Zainon menghulurkan dulang yang ada di tangannya kepada Ismail.

“Mak Enon ni, susah-susah saja. Malu saya macam ni” Ismail berbasa basi dengan Zainon.

“Tak apa, misi kita kan sama, Mak Enon tolong Ismail, nanti Ismail pula tolong Mak Enon”

“Pantai mana yang dia selalu pergi tu Mak Enon? Saya ni dah tak boleh tahan nak jumpa dia ni” Ismail terus pada tajuk utama mengapa dia datang ke kampung itu.

“Senang saja, kamu ikut jalan depan ni, sampai hujung sekali. Nanti kamu akan nampak sebuah rumah macam rumah hantu di sebelah kiri jalan, pantai depan tu lah tempat Ayuni selalu pergi, yang bawah pokok ada buaian” terang Zainon.

“Kenapa dia selalu pergi ke pantai tu?”

“Apa lagi, nak jumpa kekasih cacat dia tu lah”

“Lelaki cacat tu pun selalu ke pantai juga ke Mak Enon?” soal Ismail. Dia duduk betul-betul mengadap Zainon.

“Kalau kamu nak tahu, rumah hantu yang Mak Enon katakan tu, rumah si cacat tu lah. Entah apa yang dia dah bagi makan pada Ayuni tu, sampaikan apa saja yang si cacat tu cakap, budak Yuni tu main ikut saja” Zainon mengetap bibir. Dia geram.

“Maksud Mak Enon, Ayuni tu di guna-gunakan ke?” Ismail semakin ingin tahu. Dia terus memaksa Zainon bercerita tanpa di sedari. Benarlah apa yang di katakan oleh Nurul Aliya, rumah lelaki cacat itu di tepi pantai.

“Iya lah kan, kalau tak guna 'Mak Esah' tak kan budak Ayuni yang cantik, dan berpelajaran tinggi macam tu boleh tergoda, boleh jatuh cinta, sayang sangat pada budak cacat macam Amirul tu” cebik Zainon.

“Mak Esah? Jadi Mak Enon kenal lah siapa yang guna-gunakan Ayuni?” soal Ismail Bodoh.

“Eh! Manalah Mak Enon kenal” berkerut dahi Zainon.

“Tu Mak Esah tu siapa?”

“Laa... Mak Enon guna perkataan 'Mak Esah' tu sebagai perumpamaan sahaja” terang Zainon. Dia merasakan lelaki yang berada di hadapan matanya itu adalah seorang yang lurus.

“Tapi kan logik juga apa yang Mak Enon katakan tu” misai yang baru hendak tumbuh di garu perlahan.

“Tau pun, kalau tak ada benda, tak kan lah sampai nak bertunang” Zainon puas apabila Ismail mempercayai kata-katanya yang dia sendiri tidak pasti akan kebenarannya.

“Siapa budak perempuan yang selalu dengan mereka tu Mak Enon?” Ismail pura-pura bertanya. Dia teringat seorang budak perempuan yang petah berkata-kata pada malam itu. Budak itu kelihatannya sangat rapat dengan Ayuni.

“Budak tu anak si cacat dengan bekas isterinya dulu” selamba sahaja Zainon menuturkannya.

“Bekas isteri? Maksud Mak Enon si cacat tu pernah kawin?” mulut Ismail ternganga. Dia tidak menyangka lelaki cacat seperti itu pun mampu berkahwin.

“Kalau dah ada anak tu, maknanya dah pernah berkawin lah. Dulu dia tak cacat. Dia kawin lari dengan anak Encik Sukarman, bekas pegawai daerah sini. Agak kecoh jugalah masa tu bila Puan Latifah mengamuk di rumah Mak Yah. Satu kampung gempar. Lepas mereka kawin tu dengarnya mereka duduk di Kuala Lumpur” cerita Zainon bersungguh-sungguh.

“Encik Sukarman dan Puan Latifah?”

“Ha ah.. Encik Sukarman tu dulu Pegawai besar di kampung ni. Semua orang hormat pada dia. Orangnya pun baik dan tak sombong. Kalau kami perlukan bantuan, cepat dia bantu kami. Mak Enon besarkan kedai pun atas bantuan dia juga” terang Zainon. Wajah Sukarman dan Latifah muncul di matanya.

“Kalau tak silap saya.. bekas isteri si cacat tu err.. Nurul Aliya ke namanya Mak Enon?”

“Betul lah tu, Nurul Aliya. Kamu kenal ke dengan Nurul Aliya tu? Kalau tak silap Mak Enon, Encik Sukarman ada beli tanah di kampung Nyiur sebelum dia pencen. Mungkin sekarang ni dia dah duduk sana agaknya” teka Zainon.

“Sa...Saya tak kenal Mak Enon, cuma adalah dengar cerita pasal Encik Sukarman tu sikit-sikit. Maklumlah, saya ni nama saja dari kampung Nyiur, tapi saya sibuk berniaga. Ke hulu ke hilir, awal pagi keluar, tengah malam baru balik. Nak kumpul harta”

“Baguslah kalau macam tu. Orang yang rajin bekerja ni, memang akan hidup senang. Untung siapa yang dapat buat suami” Zainon memuji Ismail.

Ismail mengelengkan kepalanya. Rupanya jalan untuk mendapatkan Ayuni tidaklah sesukar mana. Nurul Aliya boleh di gunakan untuk menjayakan cita-citanya dengan mudah. Dia tersenyum.

“Assalamualaikum” Pak Akob memberi salam.

“Waalaikum salam, Eh abang! Siap bawa balik berkat, ada kenduri ke di surau tu?” soal Zainon. Plastik di tangan Pak Akob di ambil. Dia meninjau-ninjau apakah makanan yang di bawa oleh suaminya.

“Senah dan Kulub buat kenduri doa selamat, gabung dengan Kak Yah sempena majlis pertunangan Ayuni dengan Amirul Asraf malam ni, tadi kan saya dah beritahu, awak lupa ya” terang Pak Akob. Dia membuka songkok. Suis kipas angin di tekan.

“Betunang malam ni? Kenapa cepat sangat?” Zainon terkejut.

“Manalah saya tau” Pak Akob meninggalkan isterinya. Ismail hanya menjadi pemerhati sahaja.

“Ayuni dengan budak cacat tu nak bertunang malam ni” bisik Zainon pada Ismail.

“Bertunang saja kan? Biarkanlah” Ismail tenang. Dia tidak lagi memikir bagaimana untuk bertemu dengan Ayuni, sebaliknya dia berfikir bagaimana untuk menggunakan Nurul Aliya untuk merosakkan ikatan yang baru di bina oleh Ayuni dan Amirul Asraf.

“Kau kena bertindak Ismail, kalau tak melepas kau nanti” Zainon mula bimbang. Bayangan 10k semakin hilang dari angan-angannya. Dia berjalan mundar mandir di hadapan Ismail dan Pak Akob.

“Enon, awak ni kenapa? Abang tengok dua tiga minggu ni dah macam kucing hilang anak, apa halnya?” Pak Akob seolah-olah dapat menangkap apa yang sedang bermain di minda isterinya.

“Anak angkat saya ni sukakan Ayuni tu bang, tapi si cacat tu dah potong jalan pula. Takkan saya nak duduk diam saja” akhirnya Zainon berterus terang dengan suaminya. Dia amat berharap suaminya ada buah fikiran yang boleh dikongsikan dengannya.

“Itu namanya dah tak ada jodoh, apa yang nak di bising-bisingkan lagi. Dalam kampung ni, bukannya Ayuni tu saja anak dara yang ada, banyak lagi. Anak lebai depan jalan sana tu pun masih belum berpunya juga” Pak Akob memberikan buah fikirannya.

“Betul juga tu. Emm..Ismail, betul kata Pak Akob kamu tu, dalam kampung ni, ramai lagi anak dara yang cantik dan baik. Mak Enon carikan ya” mata Zainon memandang Ismail.

“Tak apalah Mak Enon, kalau dah tak ada jodoh nak buat macam mana lagi kan. Lagipun tadi pekerja saya ada talifon, dia kata ada lori nak hantar barang hari ni, saya kena balik segera” hanya itu sahaja alasan yang terlintas di fikirannya pada ketika itu.

“Ha? Nak balik? Kamu baru saja sampai, tak kan nak balik pula?” bulat mata Zainon memandang Ismail.

“Betul tu Ismail, tak sampai lima jam pun kamu di sini, penat pun belum hilang lagi tu. Kamu bermalam lah di sini sehari dua dulu” tangan tua Pak Akob menyentuh bahu Ismail. Dia serba salah apabila Ismail memeberitahu ingin pulang semula. Baginya mungkin Ismail terasa kerana dia tidak menghiraukannya sebentar tadi.

“Tak apa Mak Enon, Pak Akob, nanti lain kali saya datang lagi. Hari ni saya memang betul-betul ada kerja yang penting nak di buat. Kalau saya tak balik, habislah barang-barang saya nanti di ambil orang lain” Ismail terus memberikan alasan. Apa yang sebenarnya dia dah dapat cara yang baik untuk mendapatkan idaman hatinya.

“Kalau dah macam tu, tunggu makan sini dulu ya. Mak Enon masak sekejap, kita makan sama-sama. Tak sedap pula hati ni”

“Baiklah” Ismail tersenyum.

Sambil menunggu Mak Enon menyiapkan makanan, Ismail terus menyusun strategi. Nurul Aliya harus dijadikan umpan untuk memporak perandakan hubungan pertunangan antara Ayuni dan Amirul Asraf.

'Macam mana aku nak hantar Nurul Aliya masuk dalam rumah lelaki cacat tu ya?' Ismail menyoal dirinya.

Tiba-tiba dia teringat pada wajah anak kecil yang petah berkata-kata malam itu. Pastinya anak itu adalah hasil perkahwinan di antara Amirul Asraf dengan Nurul Aliya.

“Yess! Memang rezeki aku” Ismail berlonjak kegembiraan. Misi untuk memiliki Ayuni semakin hampir.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku