Kerana Dia Milikku
Bab 21
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 13 Mac 2017
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
1087

Bacaan






Majlis pertunangan Amirul Asraf dengan Ayuni berjalan dengan lancar. Walaupun majlis diadakan secara kecil-kecilan, ia tetap meriah dengan kehadiran orang kampung. Masing-masing memuji kecantikan Ayuni. Walaupun pihak lelaki hanya membawa sebentuk cincin dan sepersalinan pakaian sahaja ia sudah cukup untuk memberitahu semua orang kampung, Ayuni kini telah sah menjadi tunangan Amirul Asraf.

“Alhamdulilah, cantik Yuni tu Senah” Wagiah memuji Ayuni yang anggun mengenakan baju satin berwarna krim. Nampak putih dan bersih sekali wajahnya.

“Terima kasih Wagiah” hidung Mak Senah kembang apabila anak daranya di puji oleh rakan sekampung.

“Untung kau Senah dapat bermenantukan anak Kak Yah tu. Walaupun dia ada sikit kekurangan, aku rasa dia bukannya jenis yang mudah mengalah. Orangnya pun kuat beragama, insyallah dapat dia bawa anak kamu ke jalan yang di redai” Musliha pula bersuara.

“Susah aku nak pujuk Kak Yah dengan Amirul tu kalau kamu semua nak tau. Aku pusing kanan, aku pusing kiri, tak juga dia nak buka mulut pada aku” Mak Senah mula bercerita.

“Kalau Kak Yah tak buka mulut, macam mana pertunangan ni boleh jadi?” soal Jenah pula. Dari tadi dia mencuri dengar perbualan di antara Mak Senah, Musliha dan Wagiah.

“Kalau kamu semua nak tau, aku sendiri yang buka mulut. Aku yang melamar Amirul Asraf tu dulu, ternganga juga lah mulut Kak Yah masa tu” terang Senah. Dia tidak mahu ada orang kampung yang mengata bakal menantunya. Dia tidak mahu bakal menantunya di tuduh menggunakan ilmu hitam untuk mendapatkan anaknya Ayuni. Jadi bila dia berterus terang apa yang jadi, mungkin tanggapan buruk orang kampung pada bakal menantunya akan lenyap.

“Kak Senah yang meminang anak Kak Yah? Biar betul” Wagiah mengarukan kepalanya. Dia tersengih.

“Ya betul. Aku yang pinang budak Amirul tu. Depan-depan aku tanya bila dia nak masuk meminang Yuni. Tapi kau tau lah Kak Yah dengan Mirul tu, nak memujuknya bukannya senang. Susah juga tu, macam-macam alasan yang mereka katakan, miskin lah, cacatlah, entah apa-apa lagi alasan yang mereka beri. Tapi aku dah nekad dengan keputusan aku, aku tetap nak Amirul tu jadi menantu aku, yang bagusnya, Abang Kulub pun masuk sekali” tawa Mak Senah berderai disambut dengan tawa rakannya yang lain.

“Kak Yah tu, walaupun dia susah, sikit pun dia tak meminta-minta. Ada sekali tu, dia datang rumah aku nak bersihkan stor belakang, aku tengok stor aku tu memanglah kotor, dia terus buat tanpa banyak soal. Lepas aku bayar upah aku nak bagi dia barang dapur sikit, dia tolak. Katanya selagi tulang empat kerat yang dia ada boleh di gunakan, dia tak akan menyusahkan orang lain” Musliha masih ingat bagaimana lembutnya suara Mak Yah menolak simpatinya dan untuk tidak mengecilkan hati Musliha, Mak Yah hanya mengambil segenggam beras dari bakul yang ingin diberikan oleh Musliha padanya.

“Ayuni dah dapat calon yang terbaik untuk dirinya. Aku harap janganlah dia buat kesilapan macam yang pernah Nurul Aliya buat dulu. Baru di uji dengan sedikit kesusahan, dia dah lari entah ke mana” Jenah menggelengkan kepalanya. Dia teringat kepada bekas isteri Amirul Asraf.

Kisah Nurul Aliya lari meninggalkan suami dan anaknya pernah menjadi bualan hangat satu ketika dulu. Sikap kejam Nurul Aliya di kutuk oleh orang-orang kampung. Hanya Mak Yah dan Amirul sahaja yang masih berpandangan positif pada tindakan Nurul Aliya. Mereka tidak berkata apa-apa. Setiap kali cerita tentang Nurul Aliya diutarakan, mereka pasti akan diam dan tersenyum.

“Puteri tidur sini ya” Mak Senah terpandangkan Dalisya yang sedang sibuk bermain dengan anak-anak jiran yang lain.

“Nanti Eisya tanya dengan Mak Tok dulu ya” Dalisya menjawab sopan. Dia terus hilang dari pandangan.

“Kesian aku tengok budak Dalisya tu. Dari kecil tak pernah dapat kasih sayang dari seorang ibu. Macam mana si Mirul tu nak jawab setiap pertanyaan pasal ibu dia kan Mus” pandangan Wagiah terarah pada Musliha yang masih sibuk membungkus makanan.

“Tak apa lah Cik Wagiah, nanti Yuni kan jadi mak dia juga. Yuni akan jaga dia sebaik mungkin. Yuni akan beri kasih sayang sebagai seorang ibu pada dia sampai dia tak ingat siapa ibu kandung dia yang sebenarnya” Ayuni mencelah di antara Wagiah dan Musliha.

“Pihak lelaki dah balik ke Yuni?” soal Wagiah. Dia terkejut bakal pengantin tiba-tiba ada di sebelahnya.

“Dah lama Cik. Dah sampai rumah pun agaknya masing-masing tu” Ayuni memandang Mak Senah. Cincin di jari di tunjukkan pada ibunya.

“Cantik cincin tu, berapa harganya ni” tag harga yang masih tersangkut di cincin segera di capai oleh Jenah.

“Berapa?” soal Musliha ingin tahu.

“Mak Oii! Dua ribu kau!” Jenah terjerit kecil.

“Banyak duit Mirul?”

“Kalau kau nak tau, Mirul tu dah jadi pengurus pasaraya cawangan sini. Itu sebab dia ada driver yang ambil dan hantar ke pejabat. Bakal menantu aku tu bukan orang sembarangan” Mak Senah bangga apabila menyebut kerjaya bakal menantunya. Kembang kempis hidungnya memuji diri.

“Patutlah aku tengok ada kereta besar di rumah mereka setiap pagi. Rupanya Mirul dah jadi bos besar. Memang meleleh lah air mata si Nurul kalau tau semua ni, makan hati mak nak.. alahai pening-pening..” Musliha memicit-micit kepalanya.

“Kau ni Mus, ada-ada saja. Amirul tu cuma cacat di sebelah kaki saja, bukannya buta atau pekak. Otak dia tu masih boleh di gunakan. Kalau setakat nak buat kerja-kerja di dalam pejabat, aku rasa mampu sangatlah. Bukannya perlukan dia mengangakat barang-barang pun. Lagipula aku rasa tangan dia yang sebelah tu pun dah boleh di gerak-gerakkan” masing-masing mengangguk-angguk bersetuju dengan pendapat Jenah.

“Kalau macam tu, kenapa bertahun-tahun dia asyik meraut lidi penyapu saja siang malam?” soal Wagiah pula.

“Masa tu mungkin dia tak boleh terima kekurangan diri dia. Dia rasa malu nak berdepan dengan semua orang. Sepatutnya masa tu Nurul beri dia keyakinan, bagi dia dorongan, semangat untuk terus tabah menghadapi ujian ALLAH. Ini tak dia boleh minta cerai pula” Senah menjeling Wagiah.

“Dah lah Senah, perkara yang lama jangan kita ceritakan lagi. Sekarang ni yang pentingnya, Ayuni dah bertunang. Aku tak dengar pula, bila Imam kata nak di langsungkannya?” Musliha mengaru-garu kepalanya.

“Kalau ikut Abang Kulub dia minta tunang ni dua tiga bulan saja, tapi Kak Yah minta enam bulan. Katanya dia minta masa untuk perbaiki rumah dia sikit sebelum majlis”

“Bagus juga lah tu. Kak Yah pun nak buat majlis ya?” Wagiah tersengih.

“Mak.. Abang Mirul tak datang, mak ada bekalkan makanan pada Mak Yah tak tadi?” soal Ayuni pada ibunya. Dia tercari-cari wajah tunangnya tetapi hampa. Apabila ditanya pada Dalisya, ayahnya tidak ikut sama dalam majlis tersebut.

“Entahlah Yuni, mak sibuk di depan tadi, tak tahu pula ada ke tak. Jenah, tadi ada bungkuskan makanan untuk Kak Yah tak?” Senah memandang Jenah yang masih sibuk membungkus lauk untuk sahabat-sahabat yang datang membantu.

“Ada, aku yang bungkuskan untuk Kak Yah. Kenapa?” Musliha menyoal Mak Senah.

“Ada ya? Terima kasih banyak lah Mus, Akak sibuk sangat di depan sampaikan akak lupa nak bungkuskan makanan untuk bakal menantu akak” Mak Senah menepuk bahu Musliha di sebelahnya.

“Saya yang sepatutnya berterima kasih pada Kak Senah sebab ni cuba akak tengok ni” tangannya di angkat. Beg plastik yang penuh dengan lauk-lauk kenduri telah siap di ikat kemas untuk di bawa pulang.

“Ambillah Mus, kalau tinggalkan di sini pun bukannya akak anak beranak boleh habiskan semua, dari membazir baik kita sedekah. Tu kawan-kawan yang lain dah bungkuskan ke belum?” Senah memuncungkan mulut ke arah Wagiah dan Jenah yang sedang asyik berbual menghadap periuk.

“Mereka punya bahagian taulah mereka cari sendiri, bukannya tak biasa. Akak tengok sana tu” Musliha menunjuk ke arah sebuah bakul yang sudah pun di penuhi dengan plastik yang berisi lauk. Pasti Wagiah dan Jenah telah mengasingkannya awal-awal lagi.

“Nek Senah, ada apa-apa yang Eisya boleh tolong?” Dalisya bertanya sambil ditangannya ada beberapa buah cawan kotor.

“Ala kesiannya cucu Nek Senah ni, Eisya duduk sini dengan Nek Senah ya. Malam ni tidur sini kan?” soal Mak Senah. Dia memeluk Dalisya dengan kemas. Kini secara rasminya, Dalisya telah menjadi cucunya.

“Senah, aku balik dululah, pinggan yang dah siap di basuh, aku dah susun di pangkin bawah tu. Nanti bila dah kering barulah kau susun semula di tempatnya. Periuk jangan kau biar di luar tu pula, hilang nanti di curi budak-budak gian. Ada harga tu” Musliha mengingatkan Mak Senah. Dia bersalaman sambil melapikkan beberapa not sepuluh ringgit di tangannya.

“Aku pun nak balik juga ni Senah, kau tengok ni, aku bawa balik makanan kau” Wagiah menunjukkan plastik-plastik ditangannya.

“Ambillah Wagiah, Terima kasih banyak kau nak tolong aku” Mak Senah mengucapkan terima kasih yang tak terhingga pada jiran-jiran yang ringan tulang menjayakan majlisnya.

“Ini aku bawakan untuk Enon tau Senah” Jenah mengambil sebungkus berkat terakhir di dalam bakul.

“Iya juga, Enon tak datang” Senah mengaru tangannya.

“Aku dengar siang tadi ada anak angkat dia dari bandar datang, sibuk melayan anak angkat dia lah tu” Jenah sempat lagi membawa cerita.

“Eh! Pak Akob kata dah balik” Musliha memandang Jenah.

“Entahlah, kita dengar sajalah cerita si Enon tu esok” Jenah malas hendak berkata. Memang dia tahu Zainon tidak suka jika apa-apa perkara yang melibatkan Mak Yah. Baginya Mak Yah biar terus jadi orang susah dan meminta-minta dengannya. Dia senang untuk memaki hamun keluarga itu.

Masing-masing pulang dengan bungkusan berkat di tangan. Ada juga yang memuji kecantikan Ayuni. Hanya Amirul Asraf yang tidak kelihatan di majlis tersebut.

“Nek Senah.. Cikgu Ayuni dah jadi ibu Eisya kan?” soal Dalisya pada Mak Senah.

“Iya sayang” Ayuni menjawab sebelum sempat Mak Senah membuka mulut. Dia mencium dahi anak kecil itu. Senyuman terukir di bibirnya. Amirul Asraf yang di cintai dalam diam akhirnya bakal menjadi miliknya.




Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku