BOHONG
Bab
Genre: Umum
Kategori: Cerpen
Paparan sejak 14 Mac 2017
Penilaian Purata:
(2 orang telah menilai karya ini)
420

Bacaan






Seumur hidupnya, Aqif hanya pernah berbohong tiga kali.

Pembohongan pertama ialah ketika usianya 9 tahun. Ibunya keluar bekerja dan meninggalkannya seorang di rumah. Bosan, Aqif mula bermain bola sepak di ruang tamu. Dia kemudian tertendang bola dengan kuat sehingga mengenai pasu bunga di atas meja. Habis pecah pasu bunga ibunya. Takut dimarahi, Aqif membohongi ibunya dengan memberitahu pasu bunga itu dipecahkan oleh kucing mereka.

Malam itu Aqif bermimpi melihat dirinya di dalam gua, dikelilingi beratus-ratus ekor ular. Seekor ular yang besar dan berwarna emas muncul di hadapannya.

Aqif ketakutan. Tetapi dia tidak bisa melarikan diri ke mana-mana.

“Pembohong!” desisan suara ular emas itu bergema di seluruh gua. “Pembohong mesti dihukum!”

Aqif terketar-ketar. “Sa..saya tak sengaja…”

“Manusia yang berbohong akan terima padahnya!”

Ular emas itu membuka mulut luas-luas, menampakkan taringnya yang panjang dan tajam.

“Maafkan saya!” Aqif menjerit kuat.

Dia segera terjaga daripada tidur.

Akibat terlalu takut, Aqif tidak pernah berbohong lagi. Hinggalah tiba satu hari di mana Aqif terlupa memberitahu rakan-rakan kuliahnya akan tugasan yang perlu dihantar selepas cuti pertengahan semester.

“Macam mana ni Aqif? Kan saya dah mesej awak untuk sampaikan maklumat tentang tugasan SRStu?” soal Dr. Badri, marah. Aqif tertunduk. Memang dia bersalah kerana tidak perasan mesej yang diberikan Dr. Badri. Tapi tidak mungkin dia mahu memberikan alasan itu. “Apa penjelasan kamu untuk ini, Aqif?”

Aqif menelan liur. Otaknya mendapat idea.

“Saya minta maaf Dr. Nenek saya meninggal sehari sebelum cuti jadi saya sibuk menguruskan hal pengebumiannya bersama ibu…”

Mendengar penjelasan Aqif, marah Dr. Badri beransur-ansur hilang. Sepanjang 4 tahun di universiti, Aqif sentiasa menunjukkan prestasi akademik yang cemerlang. Tidak mungkin pelajar seperti Aqif akan berbohong.

Dr. Badri menghela nafas. “Takziah atas pemergian nenek kamu.”

“Saya minta maaf Dr.”

“Tak apalah. Pasal SRS, beritahu rakan-rakan kamu saya panjangkan tempoh untuk seminggu lagi.”

Aqif lega.

Tidurnya malam itu juga tidak diganggu dengan kehadiran ular emas.

3 tahun selepas itu, Aqif melakukan pembohongan ketiga dalam hidupnya.

“Abang sayangkan Rima. Takkan abang tergamak cari perempuan lain?” Bersungguh-sungguh Aqif cuba meyakinkan isterinya.

“Kenapa perempuan tu cakap abang nak kahwin dengan dia? Kenapa dia cakap dia tak kisah walau terpaksa kongsi kasih dengan saya?” Rima menjerit.

“Dia yang obses dengan abang. Abang tak janjikan apa-apa pun dengan dia. Percayalah, Rima!” Aqif memeluk isterinya yang sedang menangis.

Malam itu Aqif tidak dapat tidur lena. Seluruh tubuhnya panas. Tekaknya pula dahaga. Aqif bangkit lalu keluar dari bilik. Ketika menuruni tangga, tubuhnya hilang imbangan lalu jatuh bergolek ke tingkat bawah. Dia mengerang kesakitan. Ketika mahu bangun, Aqif perasan yang kakinya sudah tiada. Tangan dan tubuhnya perlahan-lahan berubah bentuk. Aqif menjerit namun yang keluar hanyalah suara desisan. Dia sudah bertukar menjadi ular!

*****

650 tahun yang lalu...

Jagat menyelamatkan seekor ular emas yang cedera. Sebagai membalas budi Jagat, ular itu menolong Jagat menjaga kambing-kambing peliharaannya dengan mematuk binatang buas yang menghampiri. Lama-kelamaan, Jagat dan ular emas itu semakin rapat.

Satu hari, raja negara Jagat jatuh gering. Menurut pawang diraja, mereka perlu mencari ular berwarna emas dan merebusnya. Hanya air rebusan itu yang bisa menyembuhkan penyakit raja. Sesiapa yang berjaya membawa ular warna emas ke istana akan dikahwinkan dengan puteri raja.

Jagat mulai tamak. Dia memikirkan cara untuk membawa rakannya si ular emas itu ke istana. Akhirnya dia mendapat satu muslihat.

Jagat memberitahu ular emas itu yang dia dipanggil ke istana kerana dituduh mencuri kambing pengembala lain. Sekiranya Jagat tidak datang berjumpa ular emas esok hari, itu bermakna dia sudah pun dipenjarakan.

Seperti yang dirancang, Jagat tidak datang berjumpa ular emas itu keesokan hari. Ular emas itu khuatir akan keselamatan Jagat. Dia menyusup masuk ke penjara istana untuk mencari Jagat. Sungguhpun begitu, kelibat Jagat tidak terlihat di mana-mana. Pengawal-pengawal istana yang sudah maklum akan kedatangan ular emas itu mengepung dan cuba menangkap si ular emas. Sedarlah ular emas itu yang dia telah diperdaya oleh Jagat. Ular emas itu mematuk kesemua pengawal istana di situ lalu melarikan diri.

Berang dengan pengkhianatan Jagat, si ular emas merancang untuk membunuh sahabat baiknya. Namun apabila teringat yang Jagat pernah menyelamatkannya satu masa dahulu, ular emas itu tidak sampai hati. Akhirnya, ular emas itu mengenakan sumpah kepada Jagat dan keturunannya.

“Anak cucu kau yang berbohong sebanyak 3 kali dalam hidupnya akan bertukar menjadi ular. Inilah balasan untuk kau, Jagat!”



Klik di sini jika bacaan spam!
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
  Terhangat di Grup Buku