KAPAK
Bab
Genre: Islamik
Kategori: Cerpen
Paparan sejak 21 Mac 2017
Penilaian Purata:
(7 orang telah menilai karya ini)
429

Bacaan






          Subuh.

         “Nyaman udara pagi ni,” kata-kata yang keluar dari mulut seorang lelaki berusia hampir separuh abad itu.

          Giginya masih tersusun kemas jika nak dibandingkan dengan rakan-rakan yang sebaya dengannya. Akan tetapi, jika diteliti, dapat dilihat selaput-selaput kuning kopi yang utuh mendakap giginya. Pencinta tegar kopi barangkali. Lelaki itu kembali menghirup kopi hitam pekat itu yang masih berasap. Kepulan asap yang nipis. Hangat.

          Sluurrrppppp…

          Panas yang menyamankan segera memenuhi setiap inci tubuh badannya. Bermula dari tekak, rasa nyaman itu terus merebak dengan rakusnya menular naik ke kepalanya. Satu lagi lagi senyuman diukirkan sambil memandang cawan kopinya itu.

          Kepuasan.

          Kehangatan kopi buatan isteri kesayangannya itu terus meleraikan deria sejuk dan malas yang kuat memeluk tubuhnya sebentar tadi. Sengaja dia tidak menghabiskan biskut kering yang terhidang itu. Kenapa? Walhal itu adalah fakta umum, mencicah biskut kering ke dalam kopi yang panas, dan terus menguyahnya di kala sejuk subuh adalah santapan yang paling tiada tandingannya! #Lazat1. Tambahan lagi jus serapan kopi yang terkeluar dari biskut yang telah dicicah akan terus menerpa, dan memenuhi rongga mulut ketika mengunyahnya. Terpejam mata menikmatinya! Tiada tandingannnya! #Lazat2. Kenapa tidak dihabiskan?

         “Awak, abang keluar dulu ye,” notis pemberitahuan oleh lelaki itu kepada isterinya yang sedang bertenggek di bilik mandi, mencuci pakaian kotor.

         “Nak pergi dah ke bang? Sekejap-sekejap..” Isterinya menyahut, sambil mencuci tangan dan menuju ke dapur kering. Selang beberapa ketika, kelibatnya muncul, membawa sebotol air teh panas. Bekalan untuk suaminya. Wanita itu dengan tertibnya salam dan mencium tangan suaminya, sebelum menyerahkan bekalan air untuk lelaki itu. Satu senyuman romantis dihadiahkan kepada suaminya.

         “Abang, hati-hati ye?”

          Geleng.

          Isterinya mengerutkan kening. Hairan.

         “Kenapa bang?”

         “Mana boleh hati-hati!”

          Terkejut.

         “Kenapa abang cakap macam tu?” Isterinya menjawab dengan nada lembut.

         “Abang tak boleh hati-hati sebab hati abang dah tiada. Dah dicuri. Awak pencurinya. Heheheh!”

         “Eeyyh..menyampah lah abang ni!”

          Tangan wanita itu memukul lembut dada suaminya. Wajahnya tertunduk. Tetapi lelaki itu tahu, isterinya sedang tersenyum. Sampai ke telinga. Indah perkahwinan mereka. Walaupun dah hampir 30 tahun berkahwin, kisah mereka masih romantis dari hari ke hari. Lelaki itu kemudiannya menggapai kapak yang diletakkan di sebalik daun pintu dan menggalasnya. Satu lagi senyuman dihadiahkan kepada isterinya sebelum melangkah pergi. Itu lah sebab dia tidak menghabiskan biskut kering itu. Ditinggal kan buat isteri kesayangan. Dia tahu, bekalan makanan mereka hampir habis. Hampir kosong. Dia tahu, isterinya hanya akan makan saki baki makanannya. Dia tahu, isterinya sanggup mengikat perut sekiranya makanan tidak mencukupi. Asalkan lelaki itu dapat menjamah sesuatu bagi mendapatkan sedikit tenaga dan kudrat, untuk mencari rezeki dengan menebang pokok untuk dijual sebagai kayu api. Walaupun telah lama mereka mendirikan rumah tangga, rezeki untuk menimang cahaya mata masih belum tercapai. Namun begitu, mereka berdua tidak pernah berhenti mensyukuri dengan segala nikmat-Nya, walaupun dengan pelbagai dugaan yang terpaksa mereka tempuhi.

          Langkahnya ringan sekali menuju ke hutan di hujung kampung. Tangannya mengusap-usap kapak yang digalasnya. Hanya kapak itu lah satu-satunya hartanya. Didakap erat-erat sebagai tanda terima kasih. Semangat menebang pokoknya masih membara. Tidak pernah pudar sama sekali.


                                                             *********


          Tengah hari.

          Suasana agak riuh rendah di tengah pekan. Agar sukar bagi lelaki itu menghampiri dengan longgokan kayu api yang sedang dijunjungnya. Nak ditinggalkan, takut dicuri. Sia-sia keringatnya sehari suntuk sekiranya kayu-kayu ini dicuri. Penat ditebangnya. Kapaknya disisipkan di pinggang seluar, yang diikat dengan kain buruk. Lelaki itu meletakkan seketika longgokan kayu api itu ke bawah. Cubaannya untuk menjengketkan kaki untuk melihat apa yang sedang berlaku agak sukar, gagal. Telinganya pula cuba diamplifikasikan. Tapi kurang jelas kedengaran, terlalu riuh rendah.

          Ting!

          Idea muncul. Lelaki itu kemudiannya memanjat longgokan kayu api yang ditebangnya itu. Barulah dia dapat gambaran kasar apa yang sedang berlaku. Dari jauh, dia melihat seorang lelaki, lagak seperti pembesar. Ah bukan! Mungkin penyebar berita sahaja. Berpakaian kemas dan mahal. Penyebar berita memegang sebuah skrol yang berwarna emas, sambil mengumumkan sesuatu kepada penduduk setempat. Lelaki itu kemudiannya melihat beberapa orang penduduk yang berdekatan dengan penyebar berita itu, yang dia yakin mereka memperolehi mesej itu dengan jelas, seakan-akan teruja. Ada yang kelihatan membantah, seperti memprotes sesuatu. Ada yang hanya berbisik-bisik. Ada yang tergelak besar. Ada yang hanya menggelengkan kepala. Tidak kurang yang saling berpelukan sesama sendiri. Banyak karenah.

          Hairan.

          Selang beberapa minit, mungkin puluhan minit, keadaan menjadi reda. Orang ramai mula berpusu-pusu meninggalkan tempat perhimpunan. Penyampai berita itu juga telahpun meninggalkan kawasan itu dengan kereta kuda yang lengkap berkabin. Indah perhiasannya. Lelaki itu kemudiannya melihat sekeliling, mencari seseorang untuk mendapatkan maklumat. Dilihatnya seorang remaja lelaki yang berpakaian agak lusuh melintasi di hadapannya. Lelaki itu menahan remaja terbabit.

         “Apa yang telah berlaku?”

          Hanya renungan menyampah dihadiahkan.

         “Apa yang mereka umumkan tadi?” Soalnya lagi.

         “Pergi lah tengok sendiri. Mereka ada tampal notis kat pokok tu.”

         “Terima kasih.”

          Lelaki itu menunggu keadaan lengang. Setelah hampir tiada orang yang berkerumun di situ, dia menuju ke arah pokok yang dikatakan oleh remaja tadi sambil menggalas kayu apinya. Dari jauh, satu kertas, mungkin kain yang telah di tenun dan di tempah khas kelihatan tergantung. Kertas/ kain itu tercatit/ tersulam sesuatu. Seperti tulisan jawi yang menyatakan satu mesej yang amat mustahak. Lelaki itu menggaru-garu kepalanya. Dia buta huruf! Tiba-tiba datang seorang kanak-kanak yang sedang menjamah roti, lalu berdiri disebelahnya. Turut serta membaca notis yang ditinggalkan. Lelaki itu tersenyum.

         “Dia pandai membaca…”


                                                               *********


          Malam.

          Usai menjamah makan malam, lelaki itu tersandar di dinding rumah. Pandangannya jauh terlayar melayan perasaan gundah-gulananya. Selesai mencuci pinggan mangkuk, isterinya turut serta. Tersandar di sebelah suaminya. Cubaan untuk menumpang kapal layar imaginasi suaminya berjaya.

         “Abang macam terfikirkan sesuatu je?”

          Lamunannya dipintas. Lelaki itu menoleh memandang wajah isterinya. Jika diperhatikan dengan teliti, kedut-kedut di tepi matanya jelas kelihatan. Sudah dimamah usia. Tapi masih manis dipandang. Sejuk hatinya.

         “Abang?”

          Sekali lagi lamunan keduanya terhenti. Jauh tersesat kapal layar imaginasinya dari laluan asal. Dia tersenyum simpul, bersedia untuk menceritakan sesuatu kepada isterinya.

         “Awak kenal kan Tuan Ahmad?”

         “Hartawan yang tinggal kat atas bukit tu ke bang? Rumah macam istana tu?”

          Angguk.

         “Dia dah meninggal dunia…”

         “Innalillah..”

          Diam seketika.

         “Tadi masa abang dalam perjalanan nak jual kayu api kat pasar, ada penyampai berita menghebah-hebahkan sesuatu berkenaan Tuan Ahmad. Ramai orang ketika itu.”

         “Berita kematian?”

          Angguk.

         “Tapi bukan setakat berita kematian.”

         “Habis tu apa bang?”

          Satu keluhan didengari.

         “Macam mana abang nak mulakan ye?”

          Isterinya hanya tersenyum menunggu dengan penuh minat.

         “Sebelum kematian, Tuan Ahmad telah meninggalkan satu wasiat yang agak aneh. Menurut penjaga hartanya, Tuan Ahmad mengatakan - Barang siapa yang dapat menemaniku di dalam kubur selama 40 hari setelah aku mati nanti, akan ku warisi separuh dari harta peninggalanku.”

          Isterinya terkebil-kebil.

         “Yeke? Banyak tu! Harta Tuan Ahmad tu memang semua orang tahu banyaknya. Tak habis tujuh keturunan rasanya.”

         “Yup.”

         “Anak-anak Tuan Ahmad ke yang akan teman dalam kubur nanti?”

          Geleng.

         “Tuan Ahmad kan tiada anak. Isterinya pun dah lama mati. Jadi tiada waris untuk mewarisi hartanya. Rasanya sebab itu lah dia menyediakan wasiat dengan syarat pelik.”

         “A’ah! Lupa pula. Habis tu macam mana abang?”

         “Mulanya, wasiat itu dibacakan kepada adik beradiknya sendiri. Tetapi adik-beradik Tuan Ahmad terus menolak mentah-mentah wasiat permintaan arwah. Setelah mereka berbincang, mereka ambil keputusan untuk membahagikan separuh dari harta Tuan Ahmad sesama mereka. Lagi separuh dihebah-hebahkan, sekiranya ada rakyat yang berminat untuk mencuba.”

         “Ooo…”

          Suasana diam seketika.

         “Apa pendapat awak?”

         “Hurmm..entah la bang. Ada sesiapa ke yang dah cakap nak mencuba?”

         “Abang dengar semalam cakap-cakap di pasar, semua menidakkan. Gila. Mana ada orang yang sanggup ditanam hidup-hidup di sebelah mayat Tuan Ahmad. Kerja gila.”

          Suasana di antara mereka berdua sunyi seketika. Hanya bunyi unggas dan cengkerik kedengaran jelas di luar rumah. Irama mereka menyahut sesama sendiri membentuk satu melodi tersendiri. Seronok didengar.

         “Awak..awak tengah fikirkan benda yang sama seperti apa yang abang tengah fikirkan ke?”

          Isterinya terdiam. Dia hanya merenung tajam mata suaminya. Senyuman tidak pernah lekang di bibirnya. Wanita itu kemudian tertunduk seketika. Kemudian digenggam tangan suaminya, dan berkata-kata:

         “Wahai suamiku, apa lah sangat menemani mayat itu selama 40 hari jika nak dibandingkan dengan kerja abang ketika menebang kayu di dalam hutan dan bersua muka dengan harimau dan aneka bagai penunggu hutan. Lagipun kita dah lama hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Mungkin ini salah satu pintu rezeki yang telah dibukakan untuk keluarga kita. Sampai bila kita hanya nak bergantung harap kepada sebilah kapak abang tu? Satu-satunya harta abang?”

          Lelaki itu hanya tersenyum mendengar kata-kata isterinya. Seakan-akan sudah menjangkakan jawapan yang akan diberikan.

         “Baiklah. Esok abang pergi berjumpa dengan keluarga Tuan Ahmad.”

          Angguk dan senyum.

         “Abang..jom kita berehat di dalam bilik? Nanti 40 hari abang tak dapat teman saya.”

          Senyuman terukir sekali lagi. Tetapi bukan lah senyuman manis seperti tadi, lebih ke arah senyuman menggoda. Lelaki itu hanya menurut tarikan tangan isterinya ke dalam bilik. Sempat lelaki itu mencium bau badannya sendiri.

         “Ok. Dah wangi,” bisiknya di dalam hati.

          Bunyi cengkerik semakin kuat di luar.


                                                            *********


          Keesokan harinya. Matahari telah pun terbit.

          Tok! Tok! Tok!

          Bunyi ketukan pintu kedengaran. Awal pagi lagi lelaki itu telahpun muncul di hadapan rumah Tuan Ahmad, bersiap-sedia ingin menyampaikan hasratnya kepada ahli keluarga, ataupun penjaga harta Tuan Ahmad, untuk menyahut cabaran wasiat itu. Setelah disampaikan hajatnya itu, maka riuh rendah lah satu pekan perihal keberanian seorang tukang kayu miskin yang akan menyahut cabaran itu.

          Menjelang tengah hari, maka selesai lah upacara pengebumian Tuan Ahmad, berserta dengan pengebumian lelaki itu. Satu-satunya harta lelaki itu, sebilah kapak miliknya turut dibawa bersama ke dalam kubur, khuatir dicuri orang. Kubur lelaki itu dibina khas, betul-betul bersebelahan dengan kubur Tuan Ahmad. Ukurannya sama sahaja seperti kubur manusia biasa, tetapi yang membezakan terdapat satu saluran paip kecil yang menjadi perantara di antara liang lahad dan permukaan di atas. Paip yang menjadi laluan pernafasan dan juga laluan makanan dan minuman yang akan disediakan oleh bekas khadam Tuan Ahmad. Keadaan di dalam kubur lelaki itu sunyi sepi, langsung tak dapat didengar apa yang sedang berlaku di luar, tiada pencahayaan, dan aliran udara untuk pernafasan yang sangat-sangat terhad. Gelap gelita. Walaupun hanya dikebumikan selama beberapa minit, ketakutan yang teramat sangat terus menerpa sekujur tubuhnya. Tubuh badannya terasa kaku dan sejuk sekali. Ngeri. Tatkala makanan dan minuman yang disalurkan sekali sehari melalui saluran kecil itu tiba, perasaan gembira langsung tiada.

          Lapar? Tiada.

          Dahaga? Tiada.

          Ketakutan?? Ya! Teramat!

          Sesalan??? Semestinya! Tetapi sudah terlambat. Tiada siapa dapat mendengar jeritannya di bawah sini.


                                                       *********


          40 hari sudah pun berlalu.

          Hari ini genap 40 hari si penebang kayu itu ditanam. Awal-awal pagi lagi sudah ramai orang berkumpul di persekitaran kawasan perkuburan. Menantikan kehadiran si penggali kubur. Ada yang membawa anak kecil. Ada yang membawa ibubapa mereka yang uzur. Ada yang membawa pelbagai hadiah dan persiapan. Barangkali ingin membodek orang kaya baru, lelaki yang ditanam di bawah sana.

          Hampir setengah jam masa yang diambil untuk menggali dan mengeluarkan lelaki itu. Proses penggalian perlu dilakukan secara berhati-hati, ditakuti akan mencederakan orang kaya baru itu. Sebaik sahaja cangkul mencecah papan keranda, penggalian dihentikan, dan tanah diangkat perlahan-lahan. Keranda kemudiannya dibuka. Lelaki itu kelihatan tidak sedarkan diri. Tetapi masih bernafas. Setelah ditegur oleh penggali kubur, maka terbeliak lah mata lelaki tersebut. Nafasnya berdegup kencang seakan-akan ketakutan yang teramat sangat. Lelaki itu terus melompat keluar dari kuburnya.

          Sebaik saja lelaki itu muncul di permukaan. Riuh rendah sorakan kedengaran. Tepukan semangat tidak henti-henti, menggegarkan kawasan perkuburan itu.

         “Celaka! Terkejut aku.”

          Lelaki itu melihat keadaan sekeliling. Wajah orang-orang kampung yang tidak pernah dilihatnya juga turut kelihatan. Masing-masing menghadiahkan senyuman dan gelak tawa kegembiraan. Lelaki itu cuba mengorak langkah, tetapi kakinya masih lagi lemah. Terhoyong-hayang.

          Dengan segera dia dipapah bekas khadam Tuan Ahmad. Selang beberapa ketika, seorang lelaki berpakaian kemas berdiri di hadapannya. Sambil menepuk-nepuk bahu lelaki itu mengucapkan tahniah, dia tersenyum lebar.

          “Ah! Penyampai berita itu rupanya. Mesti dia ni pun pembantu Tuan Ahmad dulu,” bisik lelaki itu di dalam hatinya.

          “Tahniah wahai si pencari kayu api!” Ujar lelaki berpakaian kemas itu.

           Masih tercengang.

         “Tahniah tuan! Sekarang tuan dah kaya raya. Tuan berjaya memenuhi syarat wasiat yang telah diberikan oleh arwah Tuan Ahmad. Seperti yang dijanjikan, separuh daripada hartanya akan diwariskan kepada tuan dengan serta merta. Hahaha! Tahniah! Tahniah!”

          Tiada respon diberikan. Tiba-tiba si tukang kayu itu terus tergesa-gesa meninggalkan kawasan perkuburan. Sepanjang perjalanan, dia hanya mengangis teresak-esak.

          Gembira? Barangkali. Tidak!

          Di penghujung pintu masuk kawasan perkuburan, lelaki itu menoleh ke arah orang ramai dan berteriak:

         “Kalian semua ambil lah semua bahagian harta yang telah aku warisi. Ambil lah kesemuanya. Aku langsung tidak mahu sebarang harta itu hatta sebesar sebutir biji gandum sekali pun!”

          Kesemuanya terdiam.

          Lelaki itu terus meninggalkan mereka tanpa menoleh ke belakang.


                                                          *********


           Setibanya di rumah, lelaki itu terus terbaring di atas lantai. Wajahnya tersugul, separuh ketakutan, separuh keletihan.

          “Abang!”

           Terdengar suara isterinya yang sedang meluru kepadanya.

          “Abang ok ke? Alhamdulillah. Abang selamat.”

           Lelaki itu hanya menghadiahkan senyuman kepada isterinya. Sejuk hatinya tatkala melihat kelibat wanita yang mekar indah di dalam perkampungan hatinya.

           Hilang resah.

         “Maafkan abang.”

         “Kenapa pula abang minta maaf. Yang penting, abang selamat. Dan kita pun, telah jadi kaya-raya.”

          Wajah lelaki itu kembali sugul.

         “Sebab itu abang minta maaf. Abang telah pun menolak kesemua harta itu, walaupun abang berjaya dengan syarat wasiat. Satu sen pun abang tak nak kita miliki harta itu.”

          Isterinya terus mengerutkan kening, tanda kehairanan.

         “Kenapa bang? Rugi lah!”

          Lelaki itu hanya tersenyum. Sambil terlantar, dia melepaskan pandangan ke arah luar pintu. Tangannya membelai-belai kapak yang disisipkan di pinggangnya. Satu-satunya hartanya. Masih kemas kapak ini tersisip, walaupun dia dan kapaknya tertanam di dalam kubur. 40 hari lamanya.

         “Awak tahu kan selama kita berkahwin, abang mencari rezeki dengan sebilah kapak ini lah.”

          Angguk.

        “Ini lah satu-satunya harta yang kita ada untuk digunakan dalam mencari rezeki. Untuk mengisi perut. Tanpa kapak ini, mungkin kita telah lama mati kebuluran,” sambungnya lagi.

         Kali ni air matanya bergenang. Teresak-esak ingin menyambung percakapan.

        “Abang diuji Tuhan semasa tempoh ditanam di dalam kubur itu. Walaupun hanya 40 hari, dengan izin-Nya, abang dapat mengalami suasana di Alam Barzakh. Hanya 40 hari itu.”

        “Apa?”

          Isterinya terlopong terkejut.

          Tangan lelaki itu terus memegang erat kapak di pinggangnya.

         “Abang telah di datangani oleh mailakat Mungkar dan Nakir. Ketika itu hanya Allah yang tahu betapa seramnya abang, betapa kecutnya abang, betapa ngerinya perasaan abang. Ya Allah! Takut sangat,” sambungnya sambil teresak-esak menangis.

         “Awak nak tahu, walaupun abang hanya ada sebilah kapak ini, tapi ketahui lah sepanjang 40 hari itu lah, malaikat Mungkar dan Nakir masih tidak habis bertanyakan perihal kapak ini. Kesemuanya berputar berkenaan kapak ini. 40 hari tidak henti-henti.”

          Isterinya terdiam.

         “Awak bayangkan, walaupun hanya sebilah kapak, soalan ditanya bertubi-tubi tidak henti sepanjang 40 hari! Langsung tidak henti! Abang takut! Di mana abang beli kapak ini? Apa yang telah abang lakukan menggunakan kapak ini? Pokok siapa abang tebang menggunakan kapak ini? Adakah kayu api yang abang potong menggunakan kapak ini sama rata adilnya untuk dijual? Kemana abang belanjakan hasil jualan kayu api yang ditebang menggunakan kapak ini? Dan banyak lagi awak!!! Abang takut sangat….”

          Lelaki itu terus tidak henti-henti menangis.

         “Abang takut. Hanya dengan sebilah kapak ini. 40 hari tidak cukup malaikat bertanyakan perihal mengenainya. Abang takut, sekiranya abang memiliki kesemua harta yang ditawarkan. Berapa lamakah sesi soal jawab yang perlu abang tempuhi di Alam Barzakh kelak? Abang takut…”

          Isterinya terkesima. Direnung wajah suaminya itu sedalam yang mungkin. Jelas terpancar ketakutan menyelubungi setiap inci wajah lelaki itu.

          Lelaki itu hanya menangis sambil menggenggam erat pemegang kapaknya.


                                                                        -TAMAT-


Nota**

Cerpen ini diolah daripada sirah teladan yang terkenal pada zaman dahulu kala. Wallahua’alam.







Klik di sini jika bacaan spam!
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
  Terhangat di Grup Buku