ISTERI ACAH-ACAH
BAB 2
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 23 Mac 2017
Penilaian Purata:
(2 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
2099

Bacaan






"HANI! Hani! Woi, Hani!” Kedengaran suara seseorang memanggil dari kejauhan. Kuat. Satu kampung boleh dengar! Hani mencari-cari. Lebur memori 15 tahun dulu yang dikenang semula.

Hani!”

Barulah Hani nampak dengan jelas apabila sebuah motosikal merapatinya. Dia menunggu motosikal itu berhenti di hadapannya.

“Kau buat apa kat jambatan ni sorang-sorang?” soal Umar setelah mematikan enjin motosikalnya.

“Saja tengok sungai.” Hani melemparkan semula pandangan ke bawah jambatan. Sungai inilah yang menyimpan kenangan yang hampir-hampir meragut nyawanya.

“Eleh... melankolik.”

Hani senyum. Masih membuang pandangan ke arah sungai yang dulu airnya pasang. Sekarang dah cetek separas betis.

“Dah lewat petang ni. Baliklah mandi. Busuk.” Umar menyakat.

“Sibuklah!” Hani menjeling Umar. “Yang terpekik terlolong macam jembalang tadi kenapa?”

Lelaki yang bermisai dan berjanggut sejemput itu terkekeh ketawa. Rambutnya lurus berbelah tepi dan menutup dahi. Kulitnya sawo matang.

Hani menjeling Umar lagi. Orang tanya, dia ketawa pulak. Dibetulkan tudung bawal yang ditiup angin.

“Tak... sekarang ni, kau jawab soalan aku dulu,” ujar Umar dengan sisa tawa yang sedang kedengaran. “Apasal termenung kat jambatan ni? Berangan?”

Geram Hani tengok Umar ketawa. “Nampak tu?” Ditunjuk ke dalam bakul basikal yang ditunggang. “Aku pergi kedai tadi beli barang dapur. Saja singgah sini ambil angin.”

“Dah, jom balik. Adik kau cari tu.”

“Azah cari aku?” Pelik Hani. Berkerut dahinya.

“Dah kau tak bawa handphone!” selar Umar.

“Tertinggal...” Hani menyengih macam tak bersalah.

“Jom cepat!” Umar menghidupkan enjin motosikalnya semula. “Penting ni. Cepatlah! Azah tunggu tu.”

“Cubalah cakap ba...” Belum habis Hani menyudahkan ayat, Umar sudah berlalu. Yang ditinggalkan hanya asap motosikal. Dia berdecit. Geram.

Tersenyum-senyum Umar yang duduk di anak tangga batu paling bawah di hadapan rumah. Tangga batu rumah Hani itu lebar di bahagian bawah. Dia mendongak memandang Azah yang duduk di tangga lebih tinggi daripadanya. Azah dilihat sedang merenung Hani penuh teruja.

Hani masih berdiri di atas tanah, tak sempat nak duduk sama-sama di tangga batu itu. Basikal pun dia tak sempat nak parkir elok-elok. Dibiar tertonggeng di tengah-tengah halaman rumah. Sepucuk surat rasmi yang dihulurkan Azah tadi terus dibaca.


-*-*-*-*-*-


“Ya ALLAH... adik!” Hani kehilangan kata-kata.

Azah bingkas bangun dari duduk, lalu berlari memeluk kakaknya itu. “Adik berjaya, kak. Adik berjaya!”

“Alhamdulillah...” Hani membalas pelukan Azah dengan erat.

“Yeah yeah! Yeah yeah!” Terlompat-lompat mereka berdua. Mengekeh mereka ketawa. Seronok sangat!

Umar turut ketawa. Tumpang gembira. Hani dengan Azah ada kala macam budak-budak. Seketika mereka berhenti melompat.

“Tahniah! Alhamdulillah...” Hani melepaskan nafas lega.

“Adik tadi balik kerja, nampak surat kat post box. Sekali bila baca, terus rasa macam nak pengsan sambil ketawa. Nak bagi tahu kakak, kakak ke mana entah. Terus adik call Abang Umar suruh carikan kakak. Tak sabar nak bagi tahu kakak.” Azah menceritakan rentetan peristiwa bagaimana Umar boleh terbabit sekali.

“Dia termenung kat jambatan sana tu, Azah. Beranganlah tu!” usik Umar. Nak menyakat Hani lagi.

Azah melabuhkan punggung di anak tangga batu yang diduduknya tadi. Meleret senyumannya. “Hmm... teringat apalah agaknya tu.” Dia pun nak menyakat sama.

“Tak payah nak mengusik sangat, dik. Adik nak pergi belajar kat Mesir tu lagi sebulan. Banyak benda kena fikir.” Hani turut mengambil tempat di anak tangga batu itu. Sebaris dengan Umar.

“Kakak jangan risau. Duit gaji yang adik kumpul tu nanti boleh buat belanja kat sana.”

Tersungging senyuman Hani. “Tak apa... duit tu adik simpan aje. Gaji tiga, empat bulan banyak manalah sangat, adik oii.”

“Entah!” Umar menyampuk. “Kerja pun main-main aje kat 7 Eleven tu. Kerja budak-budak baru habis sekolah,” cebiknya.

“Abang Umar ni!” Azah geram. Rasa dipandang rendah. “Gaji Azah banyaklah. Beratus-ratus.”

Umar bantai gelak. Ada hati nak berlagak si Azah ni.

Hani turut ketawa. Bukan ketawakan gaji Azah, tapi lagak Azah tu. ‘Eksen’! “Simpanlah duit tu, dik.”

“Kalau tak nak simpan, bagi abang,” Sakat Umar lagi.

Azah mencemik, membuatkan Umar tergelak.

“Hmm... kakak ingat nak buat kenduri doa selamatlah, dik. Kita jemput pak ngah, mak ngah, mak uda, pak uda dengan pak usu, mak usu sekeluarga semua.”

“Haa...” Umar teruja. “Jangan lupa jemput aku sekali.”

“Eh, mestilah kita jemput Abang Umar. Kan kakak, kan? Kalau tak, siapa yang nak cuci pinggan mangkuk semua?” Giliran Azah pula mengenakan Umar.

“Cuci pinggan? Eii... tolong sikit,” cebik Umar.

Hani jadi tukang gelak.

“Alah... apa salahnya.” Galak lagi Azah mengusik.

“Yalah, yalah...” Umar menjeling Azah.

Mereka ketawa. Tahu masing-masing sekadar bergurau.

Kemudian Hani memandang Azah semula. “Jemput sekali cikgu-cikgu adik. Ajak kawan-kawan adik jugak. Jiran mana yang dekat tu pun jemput sekali,” cadangnya.

“Tak apa ke, kakak? Ramai ni nak jemput. Cukup ke duit nak buat kenduri?” Kesian Azah dengan kakaknya itu. Terpaksa berhabis wang. “Buat kenduri kecil-kecilan pun adik tak kisah.”

Hani berdecit. Tak suka Azah cakap macam tu. “Tak payah risaulah! Adik doakan aje kakak ni murah rezeki lagi.”

Tersentuh hati Umar melihat Hani. Seorang kakak yang sangat bertanggungjawab. Akalnya mula terfikir sesuatu. “Hmm... nanti bila Azah belajar kat Mesir... kau tinggal soranglah kat rumah, Hani?”

Azah memandang Hani. Hati mula berkocak.

Hani membiarkan soalan Umar itu berlalu sepi. Tak terjawab dia soalan Umar itu.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku