ISTERI ACAH-ACAH
BAB 4
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 23 Mac 2017
Penilaian Purata:
(6 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
2419

Bacaan






SALLEH dan Rozilah melangkah masuk ke halaman rumah teres dua tingkat milik Badar. Lantas Salleh memberi salam. Suaranya dikuatkan. Mereka menanti tuan rumah menunjukkan wajah. Salleh memberi salam lagi. Ketika itu barulah kedengaran suara menyahut dari dalam rumah.

Rozilah cepat-cepat menarik lengan suaminya. “Abang ingat ya? Ikut apa yang kita dah plan dalam kereta tadi.”

Pintu rumah terbuka. Muncul Badar. “Ohh... Salleh dengan Rozilah dah sampai dah. Masuk, masuk.”

“Apa khabar, abang ngah?” Salleh menghulur tangan bersalaman.

“Alhamdulillah...” Badar juga menyambut salam Rozilah. “Masuk, Zilah...” Dipelawa adik kandungnya itu.

Mereka melangkah masuk. Udara dari pendingin hawa terasa menyamankan.

“Ni datang jauh-jauh ni mesti penat. Duduklah...” Badar turut duduk di sofa bertentang dengan Salleh dan Rozilah.

“Bukan jauh sangat pun, abang ngah. Sejam aje.” Rozilah kalau dah berhajat, yang jauh pun terasa dekat.

Ketika itu, muncul Mahara sambil menatang dulang. Air minuman sejuk sudah disediakan.

“Apa susah-susah ni, kak ngah? Siap buat air.” Rozilah acah-acah serba salah kerana dah menyusahkan.

“Kamu telefon kata nak datang, kak ngah siap-siaplah apa yang patut. Ni dari Masjid Tanah ke ni?” soal Mahara sambil menuangkan minuman untuk Salleh dan Rozilah.

“Ha’ah... dari rumah.” Rozilah tersenyum simpul.

“Jemputlah minum,” pelawa Mahara. Lalu, dia duduk di sebelah Badar.

“Terima kasihlah, kak ngah. Memang tengah haus pun ni.” Selamba Rozilah mencapai segelas air dan meneguknya. Alah... rumah abang kandung sendiri kot. Nak malu apa?

Badar memandang adik dan ipar yang meneguk minuman bersilih ganti. “Jay dah dapat kerja, Salleh?”

Salleh mencebik. “Memilih betul dia tu. Tak nak kerja ofis dia kata. Nak jugak jadi pelukis.”

Rozilah pula mencemik. Kalau ikut hati, diburukkan saja Jay depan Badar dan Mahara. Biar semua tahu perangai anaknya itu. Tapi ditahan mulutnya. Ada lagi hal lebih penting dia nak cakap.

Tergelak Badar. “Nak jadi pelukis? Tak sangka pulak anak saudara aku ada yang berjiwa seni.”

“Dah minat dia, biarlah.” Mahara menyokong.

Rozilah rasa geram betul bila mengenangkan Jay. Diketap bibir menahan rasa. Tak tahu cara nak halang Jay daripada melukis. Biras aku ni menyokonglah pulak. Ni kalau Jay dengar, makin besar kepalalah dia. Apa yang bagusnya jadi pelukis? Eii... tolonglah!

“Tulah... dah minat dia kat situ. Kita bagi sokongan ajelah.” Salleh pura-pura memahami naluri Jay. Lebar senyumannya.

Menjeling Rozilah ke arah suaminya itu. Sakit hati. Dia takkan sesekali menyokong Jay jadi pelukis.

Melihat jelingan Rozilah, mati senyuman Salleh. Dipandang Badar sambil berdeham. “Err... Hani ada call abang ngah ke?”

“Pasal kenduri doa selamat tu?”

Salleh mengangguk.

Rozilah pula terus menumpukan perhatian pada Badar.

“Insya-ALLAH aku balik Kuala Kubu nanti. Dah lama aku tak ke sana. Kenapa? Kau orang tak dapat balik ke masa kenduri tu?” Badar kehairanan. Soalan Salleh tu lain macam.

“Baliklah, Zilah...” Mahara beriak terkilan. Sangkanya, Rozilah dan Sallah tak dapat datang ke kenduri itu. “Si Azah tu nak ke Mesir. Dah belajar kat sana, susah nak balik ke sini. Mak bapak dah tak ada. Kesian pulak kalau mak saudara sendiri tak datang.”

Rozilah tersenyum dalam hati. Riak wajah mula dikeruhkan. Dia mengeluh dengan kuat. Sengaja nak menarik perhatian Badar dan Mahara. “Itulah yang saya risaukan sekarang ni.”

Melihat Rozilah sudah beraksi, Salleh pun bertindak sekali. Ditepuk-tepuk bahu isterinya. “Insya-ALLAH... tak ada apa-apalah. Janganlah risau,” pujuknya. Konon-konon.

Badar dan Mahara berkerut dahi masing-masing.

“Saya bukan apa, abang ngah... kak ngah. Saya kesiankan Hani. Kalau Azah pergi Mesir, tinggal Hani sorang-sorang kat rumah pusaka tu. Kesian...” Rozilah menggeleng-geleng. Wajahnya kelihatan sungguh kesal.

Mendengarkan itu, Badar melepaskan nafas panjang. Terdiam dia memikir.

“Kita pun jarang jenguk dia kat Kuala Kubu tu. Setahun sekali pun payah. Yalah... jauh nak ke sana. Dari rumah saya tiga jam lebih. Lagipun, saya dengan Abang Salleh tiap-tiap minggu ada hal,” sambung Rozilah lagi.

Mahara mengangguk-angguk setuju. “Betul tu... jauh jugak nak ke sana. Lebih kurang aje jauhnya dari Jasin ni.”

“Nak harapkan kak uda... lagilah. Dia tinggal kat Kelantan. Habis tu, siapa yang nak diharapkan tengok-tengokkan si Hani tu?”

Badar berdeham. “Hani tu dah besar. Dah boleh...”

“Zaman sekarang bukan boleh percaya sangat, abang ngah oii.” Rozilah menyampuk tanpa sempat Badar menghabiskan ayatnya.

“Betul tu.” Salleh mencelah. “Hani tu perempuan, abang ngah. Bahaya tinggal sorang-sorang kat kampung.”

“Yalah, bang...” Mahara turut bersetuju apabila memikirkan buruk baiknya. “Takkan abang tak risaukan anak saudara abang tu.”

Badar diam memikir semula. Tercari-cari jalan penyelesaian. “Kalau macam tu, nak suruh Hani pindah ke sini? Nak ke Hani tu?”

“Macam nilah, bang ngah...” Rozilah sudah dapat menangkap riak keliru di fikiran abangnya itu.

Badar memandang Rozilah. Begitu juga dengan Mahara. Masing-masing menanti ayat Rozilah seterusnya.

“Kita kahwinkan Hani dengan Jay.”

Terbelalak mata Badar dan Mahara. Dipandang Rozilah dengan riak terkejut.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku