ISTERI ACAH-ACAH
BAB 6
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 23 Mac 2017
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
2036

Bacaan






“ADIK! Ohh... adik!” laung Hani yang sedang menyidai jemuran di ampaian tepi rumah. “Adik!” Namun, tak kedengaran langsung suara sahutan. Berkerut dahi Hani. Dia memandang ke arah rumah. Tak nampak kelibat Azah.

“Adik! Hei, Adik! Mana sebakul lagi kain nak dijemur ni? Azah!” laungnya lagi. Panggil ‘adik’ tak menyahut, dipanggil nama ‘Azah’ pula.

“Kejap! Kejap!” Kedengaran suara Azah dari dalam rumah.

Hani menyambung menyidai jemuran. Ini bakul yang ketiga yang dibasuh. Penuh ampaian itu dengan segala macam jenis kain.

Terkocoh-kocoh Azah mengelek bakul yang agak besar keluar dari pintu dapur. Dia sarung saja selipar yang ada. Tak peduli selipar sebelahnya lain, sebelah lagi lain. Bakul itu diletakkan berdekatan dengan kakaknya.

“Apa yang lama sangat?” soal Hani kehairanan. Dikerling Azah sekilas yang turut membantu menyidai. Azah tak membalas. Namun tatkala melihat tangan kiri Azah, dia berdecit.

“Patutlah lambat. Handphone tak lepas dari tangan.”

Azah ketawa kecil. “Lupa pulak nak letak kat rumah.” Boleh pulak dia terbawa sekali sambil angkat bakul tadi.

Hani menggeleng-geleng.

“Member-member sibuk WhatsApp tanya itu ini. Tanya pasal kenduri minggu depan. Kenalah reply.” Azah membela diri. “Ni yang kakak basuh langsir satu rumah dengan cadar selimut segala banyak-banyak ni... kalaulah hujan kejap lagi, dah satu hal pulak nak jemur dalam rumah. Nak sidai kat mana?” bebelnya pula.

“Sebab tu kakak suruh sidai cepat-cepat. Ni pun dah pukul 10.00 dah ni. Adik yang lambat!”

“Orang suruh hantar dobi tak nak. Kan senang hantar kat dobi aje. Tahu tahu dah kering, dah berlipat. Wangi pulak tu!”

“Nak hidup kena rajin, dik. Bukan mengharapkan orang lain. Jangan besarkan sifat malas tu. Kalau kita dah terbiasa rajin, semua benda rasa senang nak buat.” Masa macam nilah Hani suka selitkan dengan kata-kata nasihat. Perfect timing orang putih kata.

“Yalah...” Azah mengalah. Nasihat Hani tak pernah tak tepat di telinganya. Semua untuk kebaikannya juga.

Hani mengerling Azah yang berwajah serius. Dicapai sehelai kain lembap dari bakul, lalu diselungkup ke kepala Azah.

“Kakak!”

Hani bantai gelak.

Azah menepis kain itu dari mukanya. Kembang kempis hidungnya menahan geram. “Kakak ni kan... asyik nak kenakan orang aje. Ni...”

Hani berlari menyelamatkan diri apabila Azah mengejar mahu menyerkupnya dengan kain basah itu pula. Terjerit-jerit dia ketawa mengelak daripada dikejar Azah. Terkekeh-kekeh dia geli hati.

Azah tak kira! Dia nak balas juga perbuatan kakaknya tadi. Geram betul dia! Dikejar Hani yang berlari ke hulu ke hilir di halaman rumah mereka. “Hei, kakak! Siaplah kalau adik dapat tangkap kakak. Kakak!” Terjerit-jerit dia kegeraman. Hani pandai mengelak daripada dikejar!

Namun, apabila kedengaran bunyi kenderaan memasuki pekarangan rumah, serentak Azah dan Hani berhenti berlari. Berpaling mereka memandang kenderaan itu. Kelihatan kereta Alphard warna putih.

“Macam kenal aje kereta tu.” Azah menggumam.

“Kereta Pak Ngah Badar rasanya ni.” Hani yakin tak yakin. Dia pun ingat-ingat lupa kenderaan bapa saudaranya itu.

Hani dan Azah berpandangan. Berkerut dahi. Kehairanan. Ditinggalkan jemuran begitu saja, perlahan-lahan mereka menghampiri kenderaan yang sedang memarkir di halaman rumah. Diperhatikan dengan riak tanda tanya.

“Kakak dah cakap kenduri minggu depan. Kenapa dia orang datang hari ni? Dia orang tersalah tarikh ke?” Hani sudah mula rasa bersalah.

Azah sekadar mengangkat bahu.

Cermin kereta yang agak gelap itu menyukarkan mereka untuk melihat siapa yang ada di dalamnya. Ditunggu sehingga kenderaan itu berhenti dan enjin dimatikan. Tidak lama kemudian pintu sebelah pemandu terbuka. Mahara melolos keluar.

“Mak ngah...” Hani dan Azah meluru mendapatkan ibu saudara mereka itu dan bersalaman.

Ketika itu, pintu penumpang pula terbuka.

Bulat mata Hani melihat Rozilah dan Salleh keluar dari kenderaan itu. Badar yang memandu meregangkan badan setelah berdiri di sebelah isterinya. Makin tercengang Hani.

“Datang berempat aje ke?” Azah bertanya.

“Berempat ajelah.” Rozilah menjawab dengan riak kesal. “Patutnya ada lagi, tapi macam-macam hal pulak. Menyusahkan betul!” Dia mendengus. Geram aje rasa setiap kali mengenangkan Jay. Pagi-pagi dia masuk bilik anak sulungnya itu, Jay dah tak ada. Keluar dengan kawanlah tu!

Mahara tergelak melihat riak muka Hani yang masih terkejut. “Kita semua tahu kenduri tu minggu depan, Hani. Ni datang... sebab ada hajat,” ujarnya tenang.

Hajat? Hani yang tercengang makin berkerut mukanya.

Azah juga seperti orang kebingungan.


-*-*-*-*-*-


TERJERIT-JERIT mereka yang menaiki banana boat. Laju dan melambung dipukul ombak. Ketika bot itu membelok, kesemua sepuluh orang di atasnya jatuh ke dalam air. Kemudian, mereka berpaut pada banana boat dan naik semula. Sekali lagi bot membawa mereka membelah lautan.

Jay menoleh ke arah Liana. Begitu tekun membuat istana pasir bersama dua lagi rakan. Bosan! Ingatkan datang sini nak seronok-seronok. Nak romantik-romantik. Ni buat istana pasir pulak. Dia mendekat lalu duduk memaut lutut dekat dengan Liana.

“Seronok tengok dia orang main banana boat,” ujar Jay sambil memandang rakan-rakan yang kedengaran bergelak ketawa di lautan.

“Awak kenapa tak naik sekali?” Liana yang berkaca mata hitam di atas kepala memandang Jay sekilas.

“Saya tak bawa baju extra.” Jay menipu. “Awak?”

“Tak naklah. Kena air laut, lepas tu kena panas pulak. Nanti kulit saya sunburn. Dahlah tak lama lagi nak fly ke Melbourne.”

Jay diam mengiakan saja kehendak Liana itu.

“Sekarang awak buat apa? Dah kerja?” soal Liana pula. Dia berhenti menceduk pasir ke dalam baldi kecil.

Jay menggeleng. “Saya nekad nak jadi artist.”

Riak wajah Liana kelihatan tawar.

Artist?” soal salah seorang kawan yang dari tadi ralit menghias istana pasir mereka. “Penyanyi? Ke pelakon?”

Senyuman Liana tersinggung sedikit sinis. “Kau orang macamlah tak kenal Jay. Masa sekolah menengah dulu, dia asyik melukis aje dalam kelas. Cikgu mengajar kat depan, dia melukis kat buku latihan. Kantoi dengan cikgu, terus kena tarik telinga.”

Berdekah mereka ketawakan Jay.

Terus sumbang senyuman Jay. Malu kena gelak.

“Ohh... nak jadi pelukis,” sahut sahabat tadi tak berminat.

“Awak tak berat hati ke nak tinggalkan Malaysia, Liana? Tinggalkan saya.” Cepat-cepat Jay mengubah topik perbualan. “Dah study kat Australia, mesti jarang balik.”

“Tak ada apa yang buat saya berat hati. Lagi tak sabar, adalah!” Liana memasukkan pasir ke dalam baldi kecil semula.

Wajah Jay mula agak memuncung.

Liana tersenyum. “Taklah... memanglah berat hati. Lepas ni, kita susah nak jumpa. Tapi nak buat macam mana? Tu cita-cita saya sejak dulu lagi. Soal cinta saya kena tolak tepi dulu. Tapi awak setia, kan?” Dikerling Jay menanti jawapan lelaki itu.

“Mestilah setia. Saya risau awak aje. Dah jumpa mat salih kat sana, terus lupa saya.” Suara Jay bagaikan menjauh.

Sorrylah... saya tak macam tu. Buat masa sekarang, tak mainlah cinta-cinta ni. Saya nak fokus pada study dulu. Saya tahu awak suka saya. Awak pun tahu saya suka kat awak. Tapi kita lupakan dulu tu semua. Selagi awak tak buktikan yang awak berjaya... selagi tu kita cuma kawan. Sebab saya nak lelaki yang berjaya, yang kerja keras demi masa depan.”

Tertelan air liur Jay. “Err... agak-agak... saya ada harapan tak?” Dia beranikan diri bertanya.

Liana memandang Jay. Pandangan mereka bertatapan. Ada debar di hati Jay. Liana sangat cantik. Kulit putih bersih, mata bulat, berbibir penuh, hidung terletak. Dengan rambut berombak diikat begitu, ada iras Nelydia Senrose.

“Bila awak dah berjaya nanti, carilah saya kat sana.” Liana menyimpul senyuman.

Berbunga terus hati Jay ketika ini. Tu tandanya aku ada peluang! Aku akan buktikan pada Liana. Suatu hari nanti, aku akan jadi pelukis yang berjaya.

“Saya suka lelaki yang gigih berusaha nak majukan diri. Lelaki macam tu nampak seksi kat mata saya,” ujar Liana.

“Ohh... seksi ya?” Jay mengangguk-angguk sambil menyengih.

“Pelik ke taste saya ni?”

“Eh, tak... tak. Betullah tu. Lelaki yang gigih berusaha nak majukan diri, lelaki yang seksi.” Walaupun kedengaran pelik ketika menyebut ayat itu, Jay mengiakan saja.

Aku akan buktikan yang aku akan berjaya jadi seorang pelukis terkenal suatu hari nanti. Masa tu, setiap lukisan aku orang sanggup beli walaupun berharga ratusan ribu ringgit.


-*-*-*-*-*-


SEDULANG cawan bersama seteko air kopi O panas dibawa Hani ke ruang tamu. Manakala Azah mengekori Hani sambil menatang dulang berisi kuih karipap dan popia goreng. Mujur frozen food itu memang sudah ada di dalam peti sejuk. Kalau tidak, hidangkan air sajalah nampaknya.

Hani menuangkan kopi O panas ke setiap cawan. “Jemputlah minum,” pelawanya.

“Tengah hari kejap lagi kamu masaklah apa-apa, Hani. Kita makan sama-sama.” Badar mencadangkan.

“Nanti-nantilah masak tu. Kita datang sini nak bincang, abang ngah. Bincanglah dulu. Dah bincang, dah capai kata sepakat... nak masak ke, nak makan ke, nak apa pun... suka hati. Lantaklah.” Rozilah kelihatan tak menyabar. Membebel pula dia. Kipas di tangan dikibar-kibarkan ke muka.

“Err... nak bincang apa?” Berkerut dahi Hani. Dipandang wajah mak usunya itu. Kemudian, memandang yang lain-lain. Melihat keadaan bagaikan bukan main-main, dia melabuhkan punggung di sebelah Azah. Rasa tak sedap hati. Nak bincang apa? Dahlah datang tak bagi tahu. Tiba-tiba kata nak berbincang.

Badar sedang berfikir, mencari kata-kata yang sesuai. Rozilah mengharapkan dia yang paling tua bersuara. Isterinya dan Salleh sebagai ipar hanya mengikut saja keputusan yang diambil. Dia mengitarkan pandangan ke sekeliling rumah.

“Elok lagi rumah ni kamu jaga, Hani.”

Hani dan Azah saling berpandangan. Masih tak mahu mengulas apa-apa. Tunggu saja apa kata Badar seterusnya.

“Tak sangka... sekelip mata kak long pergi tiga tahun lalu mengikut abang long kita.” Nada Badar kedengaran sedikit sayu mengenangkan kakak iparnya meninggal dunia akibat kemalangan.

“Pak ngah bangga dengan kamu, Hani. Jaga Azah ni sorang-sorang sampai dia dapat sambung belajar kat Mesir.” Senyuman Badar tersimpul.

Rozilah menjeling abang ngahnya itu. Geram. Dari tadi meleret-leret bercerita. Disenggol Salleh sedikit. Isyarat menyuruh suaminya mencelah. Bukan jadi tunggul kayu!

Salleh berkerut muka. Tak dipedulikan reaksi Rozilah langsung. Dibiarkan saja Badar uruskan apa yang patut.

“Minggu depan kendurinya, kan? Hari Ahad?” soal Badar pula sambil berkira-kira lagi. Menghitung hari.

Azah mengangguk. “Pak ngah, mak ngah, mak usu dan pak usu... semua datang ya?”

Badar diam memandang isterinya yang mengangguk. Dia buntu sebetulnya. Tak tahu nak mulakan topik utama perbincangan.

Makin berangin hati Rozilah. Tak boleh harap punya abang! Apa benda cakap terhegeh-hegeh ni? Cakap straight to the pointlah! Mencuka mukanya.

Badar terperasan riak wajah Rozilah itu. Dia membetulkan duduk sambil berdeham. “Err... macam ni, Hani.”

Makin berdebar-debar dada Hani. Gelisah dibuatnya.

“Hmm... berapa umur kamu, Hani?”

Soalan Badar itu menyebabkan Hani kehairanan. Dia pandang Azah yang berwajah kosong. Wajah yang tak tahu hujung pangkal cerita. Dia pandang Badar semula. “23 tahun, pak ngah.”

Badar dan Mahara agak terkejut. Muda lagi. Takkan dah nak suruh Hani kahwin?

“Kenapa, pak ngah?”

Badar menyengih sambil menggeleng. “Tak ada apa-apa. Cuma...” Dia ketawa pula. “Pak ngah rasa, Hani dah patut kahwin.”

“Kahwin?” Serentak Hani dan Azah terkedu.

Hani apatah lagi. Umur 23 tahun pak ngah kata dah patut kahwin? Helo... ni zaman tahun 2017 okey! Umur 23 tahun masih dikira mentah untuk memikul tanggungjawab sebagai isteri. Lainlah zaman 70-an. Umur 25 tahun pun dah dipanggil anak dara tua.

“Apa kata kalau kami jodohkan Hani dengan Jay? Alah... Jay Zamir, anak sulung mak usu kamu tu. Ingat lagi, kan? Apa kata kamu berdua kahwin,” cadang Badar tanpa berkias.

Hani melopong. Mukanya rasa tak berdarah. Jantungnya berdegup laju macam nak pecah. Setiap wajah direnung bagaikan meminta penjelasan. Wajah Azah yang terakhir dipandang. Azah tak tahu nak bereaksi bagaimana. Dia pun terkejut.

“Jay tu memang anak mak usu kamu, Hani. Tapi dia yang paling tua di antara sepupu-sepupu kamu. Tua lagi daripada kamu. Apa taknya... mak usu kamu yang paling awal kahwin. Muda-muda dah kahwin. Tak menyabar.” Badar berlucu. Dia ketawa dengan lawaknya sendiri. Konon-konon mahu meredakan suasana yang bagaikan kaku sebentar tadi.

“Abang ngah...” Rozilah bersuara nada amaran.

Terdiam Badar dibuatnya.

Mahara menepuk lengan suaminya itu. Mengingatkan Badar supaya serius sikit.

Tapi Hani masih keliru. “Hani tak faham. Nak bincang apa sebenarnya ni?”

“Memang betul apa yang pak ngah cakap tadi tu, Hani,” celah Rozilah. Dah malas nak harapkan Badar. Biar dia yang terangkan sendiri. “Nanti bila Azah dah ke Mesir, Hani tinggal sorang-sorang kat rumah ni. Jadi... kami dah bincang dah sepakat nak kahwinkan kau dengan Jay. Taklah kau tinggal sorang nanti.”

Berderau darah Hani. Perbincangan ini makin serius rupa-rupanya. Badar dan Rozilah tidak bergurau. “Tak apa, mak usu. Kalaupun Azah tak ada lepas ni...”

“Jay sendiri yang nak melamar, Hani,” sampuk Rozilah.

Terdiam Hani. Tak sempat nak sudahkan ayatnya.

“Jay yang beria-ia nak kahwin dengan Hani. Kan, abang kan?” Rozilah memandang suaminya. Kerlingan matanya sudah cukup untuk Salleh faham apa yang dia maksudkan.

“Err... ya. Betul tu.” Salleh berbohong menyokong Rozilah.

Hani rasa macam nak rebah. Berpinar-pinar matanya. Kejutan ini terlalu memeranjatkan. Sampai dia rasa susah nak bernafas.

Azah pegang lengan Hani. Dia sangat-sangat terkejut. Apatah lagi Hani. Tentulah seluruh tubuh menggeletar.

“Kalau Hani kahwin dengan Jay, kami taklah risau. Sebab ada yang jagakan kamu. Tak elok anak dara tinggal sorang-sorang. Jadi bahan orang mengata. Lagipun bahaya. Bila dah tinggal dengan Jay, ada yang temankan kamu.” Mahara menyokong.

Bibir Badar melebar. “Jay tu pelukis. Bila duduk kampung ni, mesti banyak idea.”

Hani hanya memasang telinga. Akalnya bagaikan tidak boleh berfungsi.

“Kiranya kami semua datang merisiklah ni. Mak usu kamu tu pun ada bawa cincin risik sekali,” sambung Badar lagi.

Demi mendengar perkataan ‘risik’, lagilah Hani rasa nak pitam. Aku ni mimpi ke apa? Tertelan liur dia. Terasa tekaknya sempit. Makin menggeletar seluruh tubuh.

Rozilah mengeluarkan sebuah kotak baldu kecil berwarna merah dari beg tangan. Kotak itu dibuka. Menyerlah sebentuk cincin belah rotan di situ.

“Kami cadang buat majlis sekali dengan kenduri Azah minggu depan. Sebelum Azah berangkat ke Mesir, dapatlah dia tengok kamu nikah. Mesti Azah pun tak risau nak tinggalkan kamu, Hani. Sebab ada orang yang jagakan kamu.”

Bagaikan nak terkeluar mata Hani mendengar kata-kata Badar itu. Jantung seperti nak gugur. Kencang berdegup. Macam nak pecah dadanya. Liur terasa mengering. Bibir terasa keras nak bersuara. Rancangan gila apa semua ni?


-*-*-*-*-*-


TERMENUNG Hani di birai katil. Riak wajahnya kaku. Sedangkan dalam hati berkocak dengan macam-macam perasaan. Terkejut sudah tentulah. Keliru, waswas, pening, tak percaya, bingung... entah apa-apa lagi perasaan sedang bergelodak.

Ketukan di pintu membuatkan Hani menoleh. Tidak lama kemudian wajah Azah terjengul. Melihat adiknya itu, Hani tunduk merenung lantai.

“Kakak...” Azah melangkah masuk, lalu duduk di sebelah Hani. “Ingatkan kakak masuk bilik awal nak tidur. Termenung rupanya.”

Hani tak bereaksi. Dah terpaku di situ.

Melihat air muka Hani, Azah melepaskan nafas panjang. Dipaut bahu kakaknya itu. Sebelah tangan lagi mengusap-usap lengan kakaknya. “Kakak masih tak boleh lupa hal siang tadi ya?”

Hani menguis kakinya ke lantai yang berlapik tikar getah.

Betullah tu. Tak syak lagi. Sejak Pak Ngah Badar sampaikan hajat siang tadi, Azah tahu apa akan jadi pada Hani.

Terlepas keluhan panjang Hani sehingga jatuh bahunya.

So... apa keputusan kakak?”

Hani menoleh memandang Azah. “Kakak diberi pilihan ke?”

Soalan Hani membuat Azah tak tahu nak balas apa.

“Tak pelik ke? Pak Ngah Badar dengan Mak Usu Rozilah tu jarang gila balik sini. Sejak arwah atuk dengan nenek meninggal lapan tahun yang lalu, dia orang dah mula tak balik rumah ni. Kalau balik pun sebab masa tu arwah ayah ada lagi. Tiga tahun lepas tu arwah ayah pulak yang pergi. Lagilah jarang dia orang tunjuk muka. Tapi bila arwah ibu pulak tak ada...” Hani serahkan pada Azah untuk buat kesimpulan.

Azah mengangguk mengerti. “Dah tiga tahun. Tak ada siapa yang ambil tahu pasal kita. Datang ke sini pun sekali-sekala. Itu pun bila dusun belakang rumah kita ni tiba musim durian.”

“Tahu pun adik. So, tak rasa pelik ke? Tiba-tiba datang nak jodohkan kakak dengan anak mak usu. Tiba-tiba dia orang tu macam ambil berat pasal kakak.”

“Tulah... adik pun terkejut jugak.” Azah melepaskan pautan di bahu kakaknya. “Tapi kakak ada hak nak terima atau nak tolak.”

“Sepatutnya!” Hani duduk menghadap Azah. Dia duduk bersila di atas katil pula. “Tapi apa kata pak ngah tadi? Jangan runtuhkan hubungan kekeluarga kita. Jangan disebabkan kakak tolak permintaan ni, hubungan keluarga yang dah renggang makin berpecah belah. Tak ke itu paksaan secara halus, dik?”

Azah mengangguk-angguk. Cakap kakaknya tak ada yang tak betul pada pendengarannya.

“Sebab tu kakak kata kakak tak diberi pilihan. Apa pilihan yang kakak ada?”

“Tapi kakakku, Hani Yusaira...” Azah turut naik ke atas katil, baring mengiring menghadap Hani. Perbincangan ni semakin menarik. “Yang pinang kakak tu Abang Jay.” Direnung Hani menunggu reaksi kakaknya.

Hani mengangkat bahu. Buat-buat naif.

Sengihan Azah terus macam kerang. “Bukan ke selama ni kakak admire kat Abang Jay?”

Membulat mata Hani. “Hei! Mana ada?” Bertepek paha Azah ditamparnya.

“Sakitlah, kakak!” Azah menggosok pahanya yang kepedihan.

“Jangan nak cakap yang bukan-bukan eh?”

“Jangan ingat adik tak tahu.”

Hani mula tak senang duduk. “Jangan nak menuduh eh?”

“Adik tak tuduh. Adik dengar sendiri kakak bercerita dengan Kak Suri.”

Mata Hani terbeliak semula. “Jangan merepeklah!”

“Jangan menegakkan benang yang basah.” Azah bagaikan mengugut pula. Ni peluang dia nak korek rahsia Hani. “Kakak admire kat Abang Jay sejak dia selamatkan kakak kat sungai.”

Checkmate!

Hani kelu nak berkata. Tak sangka Azah tahu rahsianya!

“Itulah... orang kata, cakap siang pandang-pandang. Cakap malam dengar-dengar.” Azah sudah ketawa melihat Hani macam mati kutu nak bersuara. “Adik pernah dengar kakak berbual dengan Kak Suri pasal Abang Jay waktu kakak sekolah menengah dulu.”

“Itu dulu okey? Zaman masa berhingus lagi.” Hani tetap mahu menafikan. “Alah... budak-budak, biasalah.”

“Ya ke? Ya ke?” Azah terteleng-teleng merenung wajah Hani yang melarikan pandangan. “Pandanglah adik. Tenung mata adik. Cakap yang kakak tak admire langsung kat Abang Jay tu.”

“Ah, malaslah! Paksa-paksa orang pulak.” Hani merebahkan badan. Kepala terletak elok di atas bantal.

Azah baring di sebelah Hani. “Ya ALLAH... tak sangka sungguh kan? Orang yang kakak admire tulah yang berjodoh dengan kakak.”

“Masalahnya...”

“Apa lagi? Okeylah tu, kakak. Dapat kahwin dengan orang yang kakak admire. Adik tumpang gembira.”

“Dik... adik tak pelik ke? Mak usu kata, Abang Jay sendiri yang nak pinang kakak. Sejak atuk dengan nenek meninggal, kita dah tak pernah jumpa dia. Kalau pak usu dengan mak usu balik ke sini, dia tak pernah ikut. Tup tup... dia nak kahwin dengan kakak. Jumpa tak, kenal tak... takkan nak kahwin?”

Terdiam Azah. Memang betul apa yang Hani cakap tu.

“Okey... memang kakak admire dengan dia. Kakak mengaku. Tapi kakak tak percaya Abang Jay suka kat kakak. Walaupun sepupu, lapan tahun tak pernah jumpa. Rupa dia sekarang pun kita tak tahu macam mana. Masih macam dulu jugak ke? Ke dah berubah? Kita langsung tak tahu! Mustahil tiba-tiba Abang Jay jatuh cinta kat kakak.” Sekali lagi Hani membuat kesimpulan berdasarkan logik akal.

“Takkan mak usu dengan pak usu tipu. Pak ngah dengan mak ngah pun takkan nak bohong jugak.” Azah masih terfikir-fikir.

Suasana sunyi sepi. Masing-masing buntu memikirkan masalah yang sangat rumit ni. Masalah yang tiba-tiba datang menimpa.

Hani mengiring menghadap Azah. “Entahlah, dik. Kakak pening kepala ni. Cincin risik kakak dah ambil.”

Azah meneliti air muka Hani yang jelas kelihatan berserabut ketika ini. Dia tak tahu sama ada nak gembira atau nak berduka untuk Hani. Sepatutnya memanglah gembira. Tapi kemusykilan yang timbul tu meragukan.


-*-*-*-*-*-


“WHAT?” Terpekik Jay. Suara garaunya kedengaran sangat terkejut. Muka berkerut seribu. Mata terbeliak macam nak tercampak keluar. Mulut ternganga. Berita yang diterima tak boleh dicerna dek akal.

“Siapa suruh tak ikut mama? Siapa suruh senyap-senyap keluar pagi tadi? Mama dah pesan suruh ikut mama dan papa hari ni. Dah pesan! Boleh pulak kau keluar senyap-senyap tak bagi tahu mama. Tahu-tahu dah tak ada dalam bilik. Kau pergi mana? Hah? Time ada hal penting, kau merayap. Time tak ada apa-apa hal, kau duduk memerap dalam bilik. Pelik betul perangai! Menyusahkan orang aje!” Tercebir-cebir bibir Rozilah membebel. Sambil berdiri dia bercekak pinggang menghadap Jay yang duduk di sofa.

“Masalahnya, mama dengan papa tak bincang apa-apa pun dengan Jay. Sekarang, pandai-pandai aje buat keputusan. Apa ni, ma?” Jay dah rasa nak memberontak. Lemah seluruh tubuh sebaik saja dapat perkhabaran yang dianggap dunianya nak kiamat.

“Mama dan papa buat keputusan ni demi masa depan kau jugak, Jay. Cubalah buka sikit pemikiran kau tu. Otak yang ada tu guna! Bukan simpan sampai berkerak! Tulah... melukis aje. Orang yang melukis ni jenis tak guna otak. Lama-lama otak pun berkarat. Mama buat ni bukan suka-suka tau. Sebab otak mama ni jenis yang fikir panjang. Fikir jauh. Semua yang mama buat bersebab!” tegas Rozilah. Dia nak, apa saja keputusannya, semua orang dalam rumah terima bulat-bulat. Jangan ada yang nak bantah!

Salleh duduk di sofa bertentangan dengan Jay sambil berpeluk tubuh. Senyap aje dia. Dia okey aje. Ikut aje cakap bini walau kadang-kadang ada perkara yang dia tak setuju.

“Fikir jauh apa bendanya, ma?” Jay mula rasa nak menangis. Balik-balik dari Port Dickson saja, Rozilah dah menunggu di ruang tamu. “Ni soal masa depan Jay. Baik ke, buruk ke... tak boleh ke bagi Jay yang tentukan sendiri?”

“Sebab fikir masa depan kaulah mama buat keputusan ni. Eh, bodohnya kau ni!” Selamba dibodohkan anak sendiri. “Kau tak nampak ke peluang depan mata? Kau jangan nak macam-macam, Jay. Keputusan dah muktamad. Nak tak nak, kau kena ikut jugak cakap mama!” Rozilah tunjuk muka paling serius pada Jay. Dia menghampiri Salleh, lalu duduk di sebelah suaminya itu.

“Mama...” Jay berdecit kuat. Geram! Bertambah mencuka mukanya. “Sejak kecik lagi mama kongkong Jay. Mama yang buat keputusan untuk Jay selama ni. Sampaikan masuk U pun, Jay ambil course yang mama nak. Sekarang... mama nak tentukan jugak siapa isteri Jay?” Dia merengus kasar. Sungguh tak puas hati!

“Kau faham tak apa yang mama cakap? Mama buat ni untuk kebaikan kau. Faham? Cubalah jangan degil. Ikut aje cakap mama. Bukan susah pun!” Naik satu oktaf suara Rozilah. Geram dia dengan perangai tak dengar kata Jay.

“Susah betullah bercakap dengan orang degil kepala batu ni. Kita penat-penat fikir untuk dia, bukan nak berterima kasih. Abang nasihatlah anak abang tu, bang! Ni tak, diam tercongok macam orang bongok aje.” Salleh pun kena marah sekali dengan Rozilah.

“Eh, kita pulak?” Salleh menjeling Rozilah. Makin erat dia berpeluk tubuh.

“Dah tu... degil kepala batu tak mendengar kata, takkan abang nak diamkan?”

Mendadak Salleh memandang Jay. “Ikut ajelah cakap mama kau ni, Jay. Selagi tak ikut, selagi tu bising mulut dia. Rimaslah!” Dimarahi Jay sama seperti Rozilah.

“Papa nak Jay ikut? Nak suruh Jay kahwin dengan anak arwah pak long tu? Gila ke?” Tak tahu dah Jay nak cakap macam mana. Mengeluh dia dibuatnya.

“Kalau tak kahwin dengan Hani... kau yang boleh gila, Jay! Bukan kau tak kenal pun dengan Hani tu. Sepupu sendiri. Bukan mama suruh kahwin dengan perempuan yang kau tak kenal langsung.” Rozilah membebel semula.

“Yang nak kahwin tu Jay, ma. Yang nak cari kawan tidur sekatil tu Jay. Ni bukan macam nak cari baju. Boleh tukar hari-hari. Patutnya, bagi Jay sendiri yang buat pilihan. Hani tu...” Jay mencebik. “Tak ada orang lain ke? Jay tak peduli. Kalau Jay kata tak nak, Jay takkan kahwin dengan dia!”

Rozilah sudah mengetap gigi. Sakit betul hati dengan perangai degil Jay. “Kau dengar sini, Jay! Kau dengar betul-betul.” Menyirap betul darahnya ketika ini. “Azah, adik Hani tu nak sambung belajar kat Mesir. Hani pulak lepas ni tinggal sorang-sorang kat rumah pusaka tu. Kau yang menganggur dah lima bulan lebih ni takkan tak nampak peluang?”

Jay diam memandang ke tepi. Tak nak bertatapan dengan wajah Rozilah atau Salleh.

“Hani tu banyak dapat harta. Arwah atuk serah harta kat pak long kau. Bila pak long kau meninggal, kau rasa harta tu turun kat siapa? Guna otak tu bila berfikir, Jay. Kau nampak tak peluang terbentang luas? Cuba kau fikir guna otak. Bukan lutut!” Jari telunjuk Rozilah menuding-nuding tepi dahinya.

Jay tak beri respons. Muka masih cemberut.

“Kalau dia tak berduit, takkan Azah tu nak belajar kat Mesir.”

“Dapat scholarshiplah tu!” gumam Jay bersangka baik.

“Kalau dapat scholarship pun, takkan harapkan duit tu aje? Mana cukup. Kau tak ingat ke dusun belakang rumah pusaka tu? Berapa banyak duit kat situ pulak dia dapat. Kan bang, kan?”

Salleh hanya mengangguk.

“Senang hidup kau nanti, Jay. Dah kau pun tak nak kerja. Hantar resume minta kerja kau tak nak. Mama tengok resume kau pun malu! Result exam semuanya hancur! Dah tu, apa yang kau tahu? Balik balik melukis. Balik balik melukis. Apa hasil selama kau melukis ni? Habuk pun tak ada!” Rozilah kalau dah berleter, tahan ajelah telinga tu. Sampai herot-berot bibirnya membebel.

“Betul cakap mama kau, Jay.” Apa saja yang Rozilah cakap, Salleh menyokong. Tak sokong nanti kena herdik pula.

Jay mendengus dalam hati. Papa pun sama aje!

“Kalau kau jadi kahwin dengan Hani minggu depan, satu sen pun duit kau tak keluar. Mak ngah dan pak ngah kau kata nak bagi sumbangan sikit kat mama. Mak uda dan pak uda kau pun sama. Kat situ aje dah boleh buat tambah duit hantaran kau. Mama sponsor baju untuk majlis tu nanti. Yang lain-lain, Hani yang keluar belanja sendiri. Sebab tu mama nak kau kahwin dengan Hani tu. Harta dia banyak.”

“Huh, kisah pulak Jay dengan harta dia?” Jay mencebik. Nadanya agak tinggi.

Berdesing telinga Rozilah. “Ohh... tak kisah? Okey... kalau kau tak nak kahwin dengan Hani, kau jangan duduk rumah ni lagi. Keluar! Pergi hidup sendiri. Mama dengan papa tak nak tanggung makan minum, duit belanja semua... pandai-pandai kaulah! Nak tanggung adik kau yang tiga orang tu belajar, nak tanggung kau lagi. Mama dengan papa dah tak sanggup. Esok jugak aku nak kau berambus!”

Ugutan Rozilah membisukan Jay. Mukanya makin terpamer riak tak puas hati. Dikerling Salleh sekilas. Papa pun sama aje! Ikut aje cakap mama. Langsung tak nak back up anak sendiri. Dalam rumah ni, macam mama yang lebih berkuasa. Papa jadi burung belatuk. Tahu angguk aje. Membebel dia dalam hati. Geram betul!

Melihat air muka Jay, Rozilah menyembunyikan senyum. Dia tahu kat mana kelemahan Jay. Dia nak tengok sejauh mana Jay boleh pergi. Tengokkan saja.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku