ISTERI ACAH-ACAH
BAB 7
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 23 Mac 2017
Penilaian Purata:
(13 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
1521

Bacaan






PINTU kereta ditutup. Hani berdiri menghadap kawasan di hadapannya itu. Suasana lewat petang begini terasa redup mendamaikan. Setiap kali rindu, dia akan ke situ. Tikar kecil yang dibawa dibentangkan di atas tanah di antara kubur arwah ibu dan ayahnya. Kebetulan, kubur mereka dapat disemadikan bersebelahan.

Setelah duduk, Hani membacakan Surah al-Fatihah, al-Falaq, an-Nas, al-Ikhlas dan ayat Kursi. Lalu menadah tangan berdoa untuk arwah ibu dan ayahnya agar diluaskan kuburan mereka, dirahmati serta ditempatkan bersama golongan yang dikasihi ALLAH.

Selesai mengaminkan doa, dia merenung kubur arwah ibunya itu dengan perasaan sayu. Tangan diletakkan di rehal kubur. Serta-merta hatinya terasa sebak.

“Ibu, ayah...” Ditarik nafasnya dalam-dalam. Menahan perasaan yang bergelora di dada. “Hari tu... pak ngah, mak ngah, mak usu dan pak usu datang rumah,” adunya yang bersuara perlahan.

“Dia orang nak jodohkan kakak dengan Abang Jay, anak mak usu. Kakak masih tak buat keputusan. Tak tahu sama ada nak terima atau tak. Lamaran ni terlalu tiba-tiba. Kakak masih terkejut. Lebih terkejut bila dia orang nak kakak nikah masa kenduri adik. Apa yang patut kakak buat, bu?”

Kawasan perkuburan itu sunyi sepi. Tetapi di situlah tempat dia meluahkan masalah dan keluh-kesahnya. Tak pernah diluahkan pada Azah. Kerana dia mahu Azah melihatnya sebagai seorang kakak yang sangat tabah. Dia mahu Azah tabah sepertinya.

“Kakak dah buat solat istikharah. Apa saja ketentuan ALLAH, kakak redha. Sebab kakak tahu apa yang ALLAH beri adalah yang terbaik untuk kakak. Ibu dan ayah doakan untuk kakak jugak ya?” Disudahi kata-katanya dengan hembusan nafas panjang yang lemah. Bergenang matanya. Kalau dia sudah kata redha, maka apa yang jadi selepas ini, dia tawakal saja.


-*-*-*-*-*-


ENJIN kereta dimatikan. Dari kawasan perkuburan di hujung kampung tadi, Hani terus pulang ke rumah. Dia melolos keluar dan kemudian mengambil beberapa beg plastik yang diletakkan di tempat duduk belakang. Dibawa beg-beg plastik itu masuk ke dalam rumah melalui pintu belakang. Mahu ke dapur terus. Dapur itu berbentuk L yang bersambung dengan rumah. Maka, dari halaman rumah yang sangat luas itu akan nampak dapur itu juga.

“Assalamualaikum...”

Azah muncul di dapur sambil menyahut salam Hani. “Kakak beli apa lagi tu?”

Frozen food. Buat tambah-tambah untuk kenduri nanti. Takut tak cukup pulak.” Pintu peti sejuk dibuka.

“Patutlah balik lambat.” Azah mengerling jam dinding. “Pukul 7.00 baru sampai rumah. Dah nak maghrib.”

“Kakak singgah rumah Suri.” Hani tidak memberitahu yang dia juga sempat ke kubur arwah ibu dan ayah mereka. “Dia tak ada kat rumah. Rumahnya nampak macam kosong.”

Terhembus nafas lemah Azah. “Tak dapatlah dia datang kenduri tu nanti.”

Tak tahulah nak cakap macam mana lagi. Kalau ikutkan hati memang Hani terkilan.

“Hani! Woi, Hani! Hani! Hani!”

Suara dari luar rumah kedengaran.

“Tu macam suara Abang Umar.” Azah segera mencapai tudung sarung yang disangkutkan di dinding dan menghampiri pintu dapur. “Abang Umar!” Dia melambai Umar yang sedang bercekak pinggang di tepi rumah memandang tingkap. “Sinilah!”

Laju langkah Umar menghampiri Azah. “Mana Hani?”

“Ada ni.” Azah terkesan riak wajah Umar yang kasar. “Kenapa, Abang Umar?”

Umar terus melangkah masuk ke dapur. Dicari wajah Hani. Terkejut Hani apabila Umar muncul dengan buas.

“Aku dengar, satu kampung sekarang sibuk cakap pasal kau nak kahwin masa kenduri Azah nanti. Apa ni? Aku tak tahu apa-apa pun! Apasal aku tak tahu?” Umar menghentak meja makan dengan kuat. Mukanya masam kelat dan tegang.

Hani tergamam. Tak sangka begini reaksi Umar.

“Abang Umar, cuba bertenang. Mengucap, bang.” Azah cuba menenangkan Umar.

“Bertenang apa? Hari tu kau kata nak buat kenduri untuk Azah, Hani. Sekarang, jadi majlis kahwin kau pulak?”

Hani mahu membalas, tapi tidak tahu nak mula daripada mana. Ceritanya terlalu panjang dan rumit.

“Cakaplah!” jerit Umar. Sekali lagi dia menepuk meja makan, membuatkan Hani dan Azah tersentak.

“Astaghfirullah...” Hani mengurut dada. Berkerut dia memandang Umar. “Tak boleh tanya baik-baik ke?”

“Tanya baik-baik apanya? Bila aku diam, kau buat aku macam ni, Hani. Aku pernah cakap baik-baik nak minang kau. Apa kau jawab? Hah?!” Sekali lagi Umar mengherdik.

“Kau kena dengar dulu apa aku nak cakap, Umar.” Hani tetap mahu berbincang baik-baik.

“Aku tanya, apa kau cakap masa tu?” Suara Umar makin melengking. Dengan muka bengis, dia merenung Hani.

Azah sudah kecut perut. Nak menyampuk, dia tak berani. Ini kali pertama dia lihat Umar begini selama mereka berjiran.

Terhembus keluhan panjang Hani.

“Kau cakap... kau nak kerja dululah, nak sara Azah belajarlah, masih awal lagi nak cakap pasal jodohlah. Kepala otak kaulah!” maki Umar geram.

“Umar!” Terjerit Hani dikecam begitu. Dia menggeleng-geleng. Sungguh tak sangka dia dengan perangai Umar itu.

“Kenapa? Hah? Kau tak mengaku yang kau cakap macam tu?” tuduh Umar melulu.

“Ya ALLAH... bukan macam tu, Umar.”

“Abang Umar!” Azah sudah tidak tahan melihat perangai Umar. Tidak tahan melihat Hani dituduh begitu. “Kakak tak buat keputusan lagi. Janganlah cakap ikut sedap mulut aje.”

“Tak buat keputusan lagi?” Umar mencemik benci. “Dah tempah katering, tempah mak andam bagai, siap dengan khemah dua buah... kenduri doa selamat apa benda macam tu? Kau orang kalau nak tipu, bukan dengan aku! Bangang!”

“Tapi tak confirm lagi, Abang Umar. Kakak nak...”

Hani angkat tangan ke arah Azah. Isyarat jangan bersuara.

“Kau tahu aku suka kat kau, Hani. Aku sanggup tunggu sampai kau betul-betul bersedia. Tapi kau kecewakan aku! Kau sakitkan hati aku! Kau nak kahwin dengan lelaki lain pulak. Perempuan jenis apa kau ni? Macam tak ada maruah!” Suara Umar memetir.

“Cukup, Umar!” tengking Hani. Bergetar suaranya. Mata mula berkaca. Rasa rendah harga diri bila dituduh begitu. “Selama ni, kita berkawan baik. Tapi kau tuduh aku macam-macam. Sampai aku rasa macam dah tak kenal kau lagi.”

“Kau nak salahkan aku pulak?” Umar ketawa sinis. “Masa kenduri tu nanti, jangan harap aku nak datang. Nak pandang kau sekarang pun, aku rasa jijik!” Dia terus berlalu keluar. Sempat dia menghentak daun pintu dengan kuat.

Hani mengetap bibir menahan marah. Disejukkan hati sendiri dengan istighfar dan perkataan ‘sabar’.

Azah merapati Hani dan mengusap-usap belakang kakaknya itu. “Gila Abang Umar tu. Dahlah datang rumah orang waktu nak maghrib. Lepas tu, marah-marah. Kena rasuk dek setanlah tu!”

Hani melabuhkan punggung di atas kerusi. Lemah lututnya. “Ya ALLAH...” Dalam hati dia masih beristighfar.

Hani menarik nafas dalam-dalam. “Sekarang baru kakak faham, kenapa hati kakak macam tak terbuka langsung dengan Umar tu. Kakak cuma boleh anggap dia kawan aje.”

Azah duduk di sebelah Hani. “Tulah... berkawan lama-lama pun belum terjamin lagi kita kenal dia luar dan dalam.”

Seketika mereka diam membisu. Masih terkejut dengan insiden yang tiba-tiba ini.

Hani mengiring menghadap Azah. Dia diam sejenak. “Kakak rasa... kakak dah ada keputusan untuk majlis hari Ahad ni nanti.”

Kening Azah terangkat tinggi. Membuatkan matanya membulat. Direnung Hani menanti ayat seterusnya.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku