ISTERI ACAH-ACAH
BAB 9
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 23 Mac 2017
Penilaian Purata:
(9 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
1257

Bacaan






“DAH siap ke, dik? Semua barang dah bawa keluar? Jangan sampai ada yang tertinggal. Kita nak ke KLIA ni. Nak patah balik, jauh.” Hani sudah membuka but kereta. Bagasi-bagasi yang Azah letak di tangga dimasukkan ke dalam but.

Azah keluar dari rumah. Pintu diselak dan dikunci. Dia melihat jam tangan. Riak wajahnya tiba-tiba teringatkan sesuatu. “Kakak...” Dia menghampiri Hani yang menunggu di tepi kereta. “Abang Jay kan balik hari ni. Tapi kita nak ke airport.”

Hani mengangkat bahu. “Dia tak call pun.”

“Kakak call dia sekarang.” Selamba Azah menyuruh. “Call bagi tahu dia yang kita nak ke KLIA.”

“Kakak mana ada nombor phone dia.” Hani mengelak. Ada ke patut Azah suruh aku call Abang Jay? No, no, no... rasa macam terhegeh-hegeh pulak.

Call mak usu. Tu pun nak kena ajar ke?”

Aiseyman... Azah ni. Hani tak boleh nak mengelak.

“Cepatlah call. Lambat kita ni karang.”

Eii... sibuk betullah Azah ni dengan abang ipar dia! Nak tak nak, terpaksa Hani mencapai telefon bimbit dari beg tangan. Dia menghubungi Rozilah.

Riak wajah Azah kelihatan berpuas hati.

“Assalamualaikum, mak usu...” Hani beradab sebaik saja panggilannya berjawab. Dan kemudian dia mengetuk kepala sendiri. Mak usu pulak! “Err... mama.”

“Haa... kenapa?” Macam nilah Rozilah. Kalau call dia, suara mesti keras semacam.

“Hani nak ke KLIA ni. Nak hantar Azah. Abang Jay balik bila? Takut dia balik sini nanti tak ada orang kat rumah.”

Demi mendengar soalan Hani, mendadak mata Rozilah terbeliak. Gigi diketap seketika. Geram. “Jay? Hmm... kejap. Mama baru sampai kat rumah ni. Tak tahu pulak Jay dah balik ke belum. Kau pergilah hantar Azah tu. Nanti mama suruh Jay call kau.”

Rozilah terus memutuskan talian. Bengang betullah! Si Jay ni tak balik Kuala Kubu Bharu lagi. Dia tahu Jay ada di dalam bilik.

“Jay! Jay!” jeritnya sambil mendaki anak tangga menuju ke bilik anak sulungnya itu. “Jay!” Dirempuh saja pintu bilik itu.

Kelihatan Jay sedang melukis di easel. Telinganya memakai earphone. Mengangguk-angguk mendengar muzik. Terkejut dia melihat Rozilah tiba-tiba muncul. Earphone ditarik.

“Apa mama ni?” Cemberut terus muka Jay.

Rozilah bercekak pinggang. “Kenapa kau tak balik Kuala Kubu lagi? Hah? Hani call mama tadi tanya kau.”

“Yang dia sibuk call mama dah kenapa?” Jay menjeling menyampah mendengar nama Hani disebut.

“Dia nak pergi KLIA hantar Azah. Takut kalau kau sampai sana dia tak balik lagi.”

“Ah, lantaklah dia!” Jay kembali memberus lukisan yang baru saja siap sedikit.

“Hei, Jay!” Baran Rozilah menyerbu. Bengang betul dia. “Aku suruh kau kahwin dengan Hani tu bersebab. Bukan saja-saja. Kalau macam ni perangai kau, habuk pun kau tak dapat nanti! Macam mana kalau dia minta cerai? Kita yang rugi, Jay. Kita!”

“Kalau nak cerai, saya ceraikan ajelah. Lagi bagus!” Bersahaja Jay membalas. Lagi bagus bercerai. Tak payah aku jadi hipokrit konon-konon baik dengan dia.

“Eh, bongoknya otak kau ni! Kau tahu tak dia tu lubang rezeki? Kalau kau nak ceraikan dia, lantak kaulah! Tapi dapatkan dulu apa yang patut. Kalau boleh, dapatkan semua yang dia ada. Tapi kau layanlah dia baik-baik sampai dia serahkan semua duit simpanan yang dia ada. Kalau kau tak nak, bagi kat mama. Faham tak? Bodoh!”

Jay diam. Benci dia dengar cakap mamanya itu. Nak duit Hani, aku yang kena jadi mangsa. Eii... bencilah aku dengan Hani tu. Bodoh! Tak sedar yang orang nak pergunakan kau.

“Mama nak kau balik rumah Hani, layan dia dengan baik. Buat sampai dia percaya dan serahkan segala duit yang dia ada kat kau. Kikis dia habis-habis! Tapi selagi tak dapat semua tu, mama tak izinkan kau ceraikan dia. Bila kita dah kikis dia habis-habisan, kau nak tinggalkan dia ke, nak apa ke... suka hati kaulah!”

“Mama cakap memanglah senang.” Muncung mulut Jay. Terus tak ada mood dia nak melukis. Ditonyoh-tonyoh berus lukisan ke kertas melepaskan geram.

“Pergi kemas barang semua. Balik sana sekarang jugak!” Rozilah bercekak pinggang sambil mencerlung Jay dengan setajam-tajam pandangan. Nak tunjuk yang dia betul-betul marah dan ambil serius hal ni. Bukan main-main.

“Nak naik apa? Papa dah bawa kereta pergi kerja. Haa... mama bagilah kereta mama kat Jay.”

“Jangan nak mengada! Kau ni tak ada otak ke? Call si Hani tu. Suruh dia ambil kau kat sini. Biarlah kau susahkan dia pun. Kau tu laki dia. Lepas dia hantar Azah kat KLIA, suruh dia datang sini. Apa yang susah sangat?”

“Dari KLIA nak ke Masjid Tanah ni jauh, ma. Nak tunggu dia sampai sini, memang tengah malamlah baru sampai Kuala Kubu. Malaslah!” Sekali lagi Jay beralasan.

“Ah, kau ni. Ada aje nak menjawab. Habis, bila kau nak balik sana?”

“Esoklah Jay balik. Aduh...” Jay meramas-ramas rambutnya. Rimas dia didesak-desak begini. Bosan!

“Okey, kau balik sana esok. Pandai-pandai kaulah nak balik macam mana. Esok kalau kau ada lagi kat rumah ni, aku halau kau keluar!” Rozilah dah rasa penat nak bercakap banyak. Dia melangkah keluar dari bilik sambil menghempas pintu. Sakit hati betul dengan perangai Jay.

Jay mengetap gigi menahan perasaan memberontak. Tak tertahan, dihempas palet dan berus mewarna ke lantai. Habis memercik pewarna ke lantai dan dinding. Sakit betul jiwa bila tak dapat nak buat keputusan sendiri. Rozilah buat macam dia tak ada hati dan perasaan.


-*-*-*-*-*-


JAM tangan dikerling sebentar. Sekejap betul masa berlalu. Azah yang melentokkan kepala di bahu kirinya, Hani toleh seketika. Macam tengah tidur. Takkanlah tidur. Dalam keadaan macam ni, Azah tak mungkin ada selera nak tidur.

“Adik...” Hani tepuk pipi Azah dengan tangan kiri. Tepuk-tepuk manja. “Dah, dah... bangun. Dah nak boarding ni. Bangun. Tak payah nak pura-pura tidur. Menyampahlah.”

“Lambat lagi nak boarding. Adik mengantuk...” Azah merungut.

“Mengada! Haa... tidurlah. Tak payah naik flight. Berkepit aje bawah ketiak kakak. Wangi, kan?”

Mendadak Azah duduk tegak. “Euww...” Dia menutup hidung. Konon-konon busuk.

“Eleh... tadi bukan main feeling lagi kat bahu kakak.”

Azah mencubit pipi Hani. “Eii... Kakak Selena Gomez ni.”

Berkerut-kerut muka Hani menyeringai pedih. Azah cubit agak kuat. “Selena Gomez tahi kucing!”

Ketawa Azah melihat muka comel Hani menahan perit. Kelakar kerana Hani tak suka dikatakan seiras penyanyi Amerika itu. “Ya ALLAH... belum pergi lagi dah rindu dengan kakak.” Dipeluk bahu Hani erat. Rasa berat sungguh hati nak tinggalkan kakaknya itu.

Sebak Hani mendengarnya. Tapi macam biasa, lain di hati, lain yang dia cakap. “Jangan poyo sangat boleh tak? Tampar karang! Ingat pesan kakak. Kat sana nanti jaga diri baik-baik. Jangan...”

“Kakak...” celah Azah lekas-lekas. Kalau tunggu Hani habis cakap, tak tahulah bila. “Dari tadi kakak cakap benda yang sama. Sepanjang jalan non stop!Ya, adik ingat nasihat kakak. Kakak tu... jaga kesihatan. Jangan lupa appoinment dengan doktor. Check...”

“Jangan risaulah! Kakak tak lupa. Jangan risau.” Hani mencelah sebelum Azah menghabiskan ayat.

Azah tahu Hani akan mengelak setiap kali dia cuba bercakap tentang itu. Dia menghempas nafas panjang. “Dahlah Abang Umar tu bergaduh merajuk dengan kakak. Masa kenduri pun tak datang. Kalau tak, dengan dialah kakak selalu minta tolong.”

“Alah... gaduh kejap aje. Esok-esok baiklah dia tu. Kat kampung... kakak sorang aje kawan baik dia, yang nak kawan dengan dia. Lagipun, kakak dah ada Abang Jay,” ujar Hani walau dengan nada tak yakin. Dia tak nampak apa-apa bayangan langsung tentang hubungan antara dia dan Jay.

“Kakak nak tahu tak? Selama ni, adik jadikan kakak idola adik.” Azah merenung sayang kakaknya itu.

Hani buat muka percaya tak percaya. Ini kali pertama Azah buat pengakuan macam ni.

“Selama kita tinggal berdua aje lepas arwah ibu tak ada, adik tak pernah nampak kakak menangis. Mengeluh apatah lagi. Susah macam mana pun kita, ada masalah apa pun... sikap kakak yang positif tu bagi kekuatan kat adik. Tak tahu dari mana kekuatan tu datang. Asalkan ada kakak, adik tak risau. Mungkin sebab kakak ni ceria, suka buli adik, suka menyakat, happy go lucky...”

Nak tergelak Hani. Dikemam bibir apabila dipuji Azah.

“Adik doakan kakak bahagia. Sampai bila-bila, sampai ke akhir hayat adik doakan kakak bahagia. Walau apa pun yang jadi, doa adik yang terbaik untuk kakak.”

Tersentuh hati Hani. Direnung wajah Azah yang tergambar jelas riak keikhlasan. Azah terus memeluk kakaknya itu.


-*-*-*-*-*-


MENJELANG malam barulah Hani sampai di rumah. Pintu rumah dibuka. Suis lampu dipetik. Rumah yang sebentar tadi gelap jadi terang. Setelah mengunci pintu, dia melangkah masuk ke dalam bilik. Telefon bimbit dikeluarkan dari dalam beg. Diperiksa panggilan masuk. Langsung tiada panggilan daripada sesiapa. Sedangkan sejak menghubungi Rozilah siang tadi, dia ternanti-nanti panggilan Jay.

Terhempas keluhan panjang. Dia duduk di birai katil. Terbayang wajah Azah. Rindu dah mula menggigit-gigit hati pada satu-satunya adik yang dia ada itu.

Jari tangan merah berinai. Sepatutnya ketika ini dia dilamun bahagia. Sedangkan sekarang dia keseorangan dan seperti hilang punca. Dan kenapa baru kini dia rasa perkahwinannya satu kesilapan? Baru tiga hari. Kesunyian bersendirian begini membuatkan genangan air matanya luruh.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku