ISTERI ACAH-ACAH
BAB 11
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 23 Mac 2017
Penilaian Purata:
(8 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
1657

Bacaan






KEKOK gila! Hani dah macam ayam berak kapur. Serba-serbi rasa tak kena. Apa taknya, tiba-tiba tinggal dia berdua dengan Jay di rumah tu. Dahlah Jay senyap aje. Tanya sepatah, jawab sepatah. Kalau dia tak bertanya, langsung tak dengar suara Jay.

Hani masak tomyam ayam, sayur kacang panjang goreng dan ikan masin goreng. Belum pukul 9.00 malam, semuanya dah siap dihidang di atas meja. Sekarang nak panggil Jay makan pula yang jadi masalah.

Dia beredar menuju ke ruang tamu. Dilihat Jay sedang duduk di sofa menonton televisyen sambil bermain-main dengan telefon bimbit, membelakangkannya. Teragak-agak dia nak menegur. Dah buka mulut tapi suara tak nak keluar pula. Bila nak bersuara, tak tahu pula nak cakap apa.

Eii... bengangnya! Hani marah diri sendiri. Kepala diketuk-ketuk. Entah apa yang kalut sangat entah. Nak ajak Jay makan pun macam nak pergi merompak.

Bibir digigit. Terfikir-fikir macam mana nak tegur Jay. Sejak tadi dia tercegat macam patung di belakang lelaki itu. Tergaru-garu kepala. Berkerut-kerut muka.

Sedang tercangak-cangak begitu tiba-tiba Jay berdiri dan berpaling ke arahnya. Melopong terus Hani ketika itu. Terkejut. Mata mereka bertentangan.

“Err... err...” Hani tergagap. Hilang segala apa yang nak dicakap bila berdepan dengan Jay.

Jay memandang Hani yang memakai baju T lengan pendek dan seluar tidur panjang corak bunga-bunga. Inilah kali pertama dia melihat Hani tanpa tudung. Rambut Hani yang panjang ditocang satu. Rambut bahagian depan menutup sedikit dahi. Dia mengaku, Hani sangat comel. Tapi sikit pun dia tak menaruh minat. Dipandang Hani dengan riak bosan.

“Mana bilik aku?”

Ternganga Hani. Mana bilik aku? Soalan apa tu? Jay tahu kan bilik pengantin kat mana? Bilik pengantin tulah bilik mereka berdua. Soalan jenis apa Abang Jay ni?

Jay menghempas nafas agak panjang. “Ohh...” Dahi ditepuk. Dia lupa pulak yang Hani tak tahu apa-apa.

Makin berkerut muka Hani. Dia kabur tak memahami maksud ‘ohh’ Jay itu.

“Hmm... aku ada hal nak cakap.” Lalu Jay menggamit Hani. Dengan isyarat tangan, disuruh Hani duduk di sofa di hadapannya.

Serta-merta dada Hani bergelojak semacam. Rasa tak sedap hati. Jantung berdegup kencang. Muka Jay kaku tanpa perasaan. Apatah lagi bila dengar cara Jay bercakap dengannya. Jay panggil ‘kau - aku’ aje. Takkanlah suami isteri panggil macam tu?

“Duduklah...” Jay bersuara malas, tapi memaksa.

Walau ragu-ragu, Hani menurut arahan Jay. Lambat-lambat dia duduk. Muka mula berubah cuak. Melihat air muka serius, tegang dan tiada reaksi milik Jay saja sudah cukup buat jantungnya macam nak pecah kerana terlalu kencang berdegup.

Mata mereka bertatapan. Sepatutnya pandangan begitu antara mereka terasa ada kemanisan. Tapi yang Hani rasakan ketika ini hanya kekosongan. Perasaan yang tadi malu dan teruja, entah ke mana terbang melayang.

Suasana kaku. Sepi sesepi sepinya. Serba-serbi terasa kekok.

“Hmm...” Jay berfikir sambil bersandar tenang. “Kenapa kau tak tolak pinangan mama aku hari tu?”

Soalan maut! Hani rasa nak pengsan sekarang juga. Tak tertelan air liur dia dibuatnya.

“Senang betul kau terima pinangan orang. Desperate sangat ke?” Soalan Jay semakin lancang.

Mendadak hati Hani jadi hangat.

“Orang masuk minang aje terus kau terima. Macam tak menyabar. Dah tak peduli siapa pun yang masuk minang. Kita bukannya rapat. Berbual pun tak pernah. Kau tak rasa ke yang kau ni main balun aje? Janji dapat kahwin.” Dalam menyoal, Jay sempat memerli Hani. Diluahkan perasaan geram. Hani tak sepatutnya terima pinangan mama. Tak bodoh ke perempuan yang nak kahwin dengan lelaki yang dia tak kenal betul-betul?

Mendengar kata-kata Jay membuatkan darah panas terasa naik ke muka Hani. “Jangan tuduh saya yang bukan-bukan, Abang Jay.” Diberanikan diri menjegilkan mata di depan suaminya itu. Teruk sangat ke aku? Sampai kena tuduh macam tu?

“Aku tak tuduh. Tapi pelik kot. Apa motif kau sebenarnya? Kau memang nak sangat kahwin dengan aku ke?”

Pijar telinga Hani. Kata-kata Jay semakin pedas. Maruah dirinya sebagai perempuan bagaikan berada di tapak kaki. “Bukan abang ke yang beria-ia nak kahwin dengan saya? Mak usu kata, dia pinang saya sebab Abang Jay.” Bertambah keliru dia dibuatnya.

Tersenyum sinis Jay. Terbayang wajah Rozilah. Memang aku tahu rancangan mama. Tapi persoalannya, yang Hani terima jugak pinangan tu kenapa? Hani ada hak nak tolak! “Kau percaya?”

Soalan Jay itu buat Hani terpempan. Menggeletar tangannya. “Maknanya... mak usu... semua ni... pinangan tu...” Dia menelan liur yang seakan-akan tersekat di kerongkong. “Tipu?”

Senyuman sinis Jay tersungging. Dipandang dinding dengan hati berbalam. “Memang mama dan papa aku yang nak kita berdua kahwin. Tapi bukan aku.”

Bukan Abang Jay yang nak kahwin dengan aku? Menggeletar Hani mendengar kata-kata Jay. Kata-kata yang menghancur-luluhkan hatinya. Matanya mula berkaca.

“Dengar ni baik-baik. Kita kahwin sebab mama dan papa aku. Bukan sebab aku suka kat kau pun. So... aku nak kita buat hal masing-masing. Aku nak duduk kat bilik arwah atuk.”

Tergeleng-geleng Hani mendengus. “Buat apa kita kahwin kalau duduk bilik asing-asing?”

Jay bingkas bangun berdiri di hadapan Hani. “Habis tu, apasal kau tak tolak pinangan mama aku?!” tengkingnya di hadapan muka Hani sekuat hati.

Mata Hani makin berkaca. “Sebab mak usu kata...”

“Lantaklah apa mama aku cakap! Hei... aku tak pernah bercinta dengan kau. Dah tu, buat apa kau nak terima aku jadi suami kau? Buat apa?!” jerit Jay bengang. Makin baran riak wajahnya.

Hani mengemam bibir. Menyabarkan hati yang berdebar bagai nak gila. Seluruh tubuh terasa kelelahan. Ada rasa nak menangis dan nak marah bergelodak dalam jiwa.

“Kau ni jenis perempuan yang terdesak ke? Gatal miang nak berlaki?”

“Cukup!” tengking Hani sambil berdiri. Ditentang muka Jay dengan perasaan kecewa dan hati yang terluka. Walau tubuh terasa longlai, terbakar hatinya dengan tuduhan demi tuduhan Jay.

Jay berpeluk tubuh memandang ke arah lain.

“Jangan tanya saya aje, Abang Jay! Tanya diri Abang Jay jugak. Abang Jay pun ada hak sama ada nak kahwin dengan saya atau tak. Habis tu, kenapa Abang Jay nak saya jadi isteri?”

Jay membatu. Takkan aku nak beritahu Hani apa yang mama dah rancang. Nanti aku jugak yang terima akibatnya.

“Kenapa Abang Jay salahkan saya aje? Padahal Abang Jay boleh pilih siapa yang Abang Jay nak jadikan isteri. Abang Jay boleh kata ‘tak nak’ depan tok kadi hari tu. Tapi kenapa Abang Jay diam?” Naik satu oktaf nada suara Hani. Makin menggeletar tangannya. Turun naik dadanya kegeraman.

Jay menggeleng-geleng. Bibirnya bergaris senyuman sinis. “Aku terpaksa.”

Segenap tubuh Hani bagaikan dipanah petir. Roh seolah-olah melayang meninggalkan jasad. Terasa nak rebah ke lantai saat itu juga. Terpaksa? Jay kata yang dia terpaksa?

“Fikir pakai otaklah! Takkan tak ada perasaan cinta, tapi nak kahwin jugak? Memang taklah! Aku kahwin dengan kau, sekelumit pun tak ada perasaan cinta. Ingat tu!”

Mata Hani bergenangan. Terasa panas. Jiwa yang bergelodak mohon disabarkan. Sekelumit pun tak ada perasaan cinta. Abang Jay kahwin dengannya tanpa rasa cinta! Takdir apa ni? Dia cuba menahan air mata agar tak gugur berderai ke pipi.

“Bila mama aku masuk minang, mesti kau menggedik tak sabar nak kahwin, kan? Yalah... nanti boleh letak gambar kahwin kat Facebook, kat Instagram. Tulis caption #donekahwin dengan bangga. Bangga sebab laku kononnya.” Jay ketawa sinis.

Menggelegak hati Hani. “Saya tak sekeji tu, Abang Jay!”

“Alah... biasalah. Orang sekarang semua benda nak menunjuk-nunjuk. Kahwin pun menunjuk. Kalau kahwin suka sama suka tak apalah jugak. Ni yang kena kahwin paksa pun sibuk nak menunjuk. Perasan!” Jay masih tak puas nak sakitkan hati Hani.

Tergeleng-geleng Hani dituduh begitu. Perasaan sebak yang bergelora di dada, ditahan sehingga terasa pedih ulu hati. Sedaya upaya dia menahan air matanya bergenangan. Kerana terlalu sebak, tak mampu dia bersuara lagi.

“Aku nak kita buat hal masing-masing. Kau buat hal kau. Aku dengan hal aku sendiri. Jangan nak sibuk ambil tahu pasal aku. Aku tak suka.” Jay berura-ura mahu mencapai barang-barangnya.

Hani pandang Jay dengan hati yang terluka. Pasti di mata Jay yang dia tak ada nilai langsung.

“Ni semua kau yang jadi punca. Kalau kau tak terima pinangan tu, tak jadi semua ni. Tak payah kita kahwin!”

Hani menghampiri Jay lebih rapat lagi dengan riak wajah yang kosong. Sedangkan dalam hatinya sudah terluka parah. Hatinya dah menangis sebenarnya. Cuma tak mampu ditunjukkan pada Jay. Direnung wajah suami yang tak menganggap dirinya sebagai isteri.

Jay sikit pun tak menoleh memandang Hani.

“Saya terima Abang Jay sebagai suami lepas saya solat istikharah.” Suara Hani bergetar. Ada nada sebak. Hampir saja dia tak berdaya menyorokkan rasa kecewa.

Jay pura-pura tak mendengar apa yang Hani kata.

“Saya berdoa sungguh-sungguh supaya ALLAH tunjuk apa keputusan yang perlu saya buat. Sedangkan ada lelaki lain yang sudi nak jadikan saya isteri. Tapi ALLAH tunjuk pada saya yang lelaki tu tak sesuai untuk saya,” sambung Hani. Sejujurnya, inilah yang dia rasa sebelum buat keputusan menerima pinangan Rozilah.

“Sekarang, kau nak cakap yang kau pun ada orang naklah? Bukan tak laku sampai desperate nak kahwin?”

“Bukan saya...”

“Ada aku kisah?” Jay mendengus. Dibawa barang-barang dan begnya masuk ke dalam bilik arwah atuk. Pintu dihempas kuat.

Remuk-redam hancur luluh hati Hani. Matanya yang bergenangan tak mampu ditahan lagi. Luruh ke pipi. Terasa longlai tubuhnya bagaikan tak mampu nak berdiri. Dengan langkah yang bagaikan lemah mengheret, dia menuju ke dapur. Meja makan dihampiri. Segala susah payah perit jerih menyediakan hidangan itu bagaikan tak ada nilai. Dia duduk di kerusi sambil menghadap lauk-pauk itu. Nak berdiri pun dia sudah tak mampu. Apatah lagi nak makan. Langsung tak ada selera.

Terbayang wajah Rozilah dan Salleh. Silih berganti. Kenapa mak usu dan pak usu bohong? Semata-mata nak aku jadi menantu, kenapa sanggup bohong? Sanggup kata Jay yang beria-ia nak pinang aku. Padahal, Jay langsung tak cinta pada aku. Kenapa tipu aku? Apa salah aku?

Sedangkan aku, sejak kecil dah jatuh cinta kat dia. Cinta tu aku bawa sampai ke hari ni. Tapi sekarang...

Genangan di matanya luruh ke pipi akhirnya. Ditekup muka di kedua-dua belah lengan yang disilangkan di atas meja. Menangis dia di situ bersama sebuah hati yang terluka.


-*-*-*-*-*-


Keesokan harinya...

SEHARIAN di pejabat hari ini, Hani seolah-olah tanpa roh. Jasadnya saja yang kelihatan seperti membuat kerja. Tapi tanpa jiwa. Wajahnya muram lagi suram. Hanya ketika di hadapan rakan sepejabat barulah dia senyum. Kemudian kembali suram.

Sehinggalah berlarutan ke petang. Jiwa dia masih tak ada perasa. Tawar. Menghadap komputer bukannya buat kerja sangat. Banyak termenung. Seorang demi seorang rakan sepejabat melangkah pulang. Dia pula, masih melekat di kerusi tak berganjak. Waktu itu hampir menjelang maghrib.

Zana yang sudah siap berkemas, mencapai beg tangan dan kunci kereta. Ketika dia berdiri, barulah dia perasan Hani masih ada di sebelah kubikelnya. “Eh, Hani!” tegurnya dengan nada terkejut.

Tersentak Hani apabila mendengar namanya disebut. Dia mendongak. Matanya dan mata Zana bertentangan. Dan dia tak menunjuk sebarang reaksi. Hanya menanti respons Zana.

“Ingatkan kau dah balik. Kenapa tak balik lagi? Kau jarang balik lambat macam ni kot.” Berkerut-kerut muka Zana kehairanan. Dia menghampiri kubikel Hani. Terbatal niat nak balik terus tadi.

“Err... nak siapkan kerja ni dulu, kak.” Tak semena-mena tangan Hani mencapai tetikus, lalu menggerakkannya. Acah-acah nak buat kerja di komputer.

“Dulu masa bujang, tak pernah kau balik lambat macam ni. Ni dah kahwin, menggatal nak balik lambat pulak. Dah, dah... tutup komputer kau tu. Sambung buat esok.” Zana dengan selamba mencapai tetikus komputer Hani dan terus tekan ‘shut down’ selepas menyimpan fail kerja gadis itu.

Tercangak-cangak Hani tak sempat menahan. Tangan Zana ligat bukan main. Cekap betul!

“Kerja ni selagi tak mati, selagi tu tak habis. Apa-apa hal, utamakan suami dulu.”

“Tapi kerja saya tak siap lagi tu.” Hani tunjuk komputernya yang menunggu masa untuk terpadam sendiri.

“Baik kau layan suami kat rumah. Ada jugak faedah. Orang patutnya bila baru kahwin ni, nak kena kenal lagi hati budi masing-masing. Kalau asyik susah nak jumpa, bila masa nak berkasih sayang?” Membebel pula Zana ni. Macam mak-mak. Padahal, dia tua sepuluh tahun aje dengan Hani.

Komputer Hani terpadam. Gelap.

“Okey, jom balik.” Zana sudah menarik tangan Hani. “Balik sebelum maghrib. Boleh solat sama-sama, makan sama-sama.”

Solat sama-sama? Makan sama-sama? Jangan nak mimpilah, Kak Zana. Sedangkan tidur lain-lain bilik, tak payah berangan nak lebih-lebih. Dia pandang muka saya pun nak tak nak. Jadi, tak perlulah Kak Zana berharap apa-apa.

Mahu saja Hani luahkan suara hatinya itu. Tapi hanya mampu bergema dalam hati. Entah kenapa, rasa sebak menyesakkan dadanya tatkala mengingati Jay. Dengan mudah matanya berkaca. Dia yang memang dah tak ada jiwa hanya menurut. Sempat dicapai beg tangan dan telefon bimbit. Mereka menuruni anak tangga untuk ke tempat letak kereta masing-masing.

Hani melangkah longlai menuju ke keretanya. Nak buka pintu pun seolah-olah tak berdaya. Sesudah meloloskan diri dan menutup pintu, dia termenung lagi. Jauh dia merenung. Kalau boleh nak merenung tembus sampai ke hujung dunia.

Apa yang mengganggu fikirannya sekarang, dia berat hati nak pulang ke rumah. Rumah tu ibarat dah tak mengalukan kepulangannya seperti biasa. Bila balik rumah, bermakna dia perlu berdepan dengan Jay.

Dia memejamkan mata. Jangan menangis, Hani. Jangan. Sesekali jangan kau menangis. Tapi semakin dipujuk hati, dadanya bertambah sebak. Mata sudah bergenangan.


-*-*-*-*-*-


BARANG-BARANG keperluan yang diletakkan di atas meja kaunter, Umar perhatikan. “Dah ke, mak?” Dompet dari poket belakang seluar dikeluarkan.

“Dahlah. Cukup ni.” Esah sempat lagi membelek-belek barangan yang mahu dibelinya itu. Tak nak ada yang tertinggal. Tapi rasanya dah cukup. “Kira semua ni, Yob.”

“Okey, Mak Cah. Saya kira ni.” Tauke kedai runcit di kampung mereka itu mula mengambil kalkulator, kertas dan sebatang pen. Ligat tangannya mengira.

Sambil menunggu, Umar melilaukan pandangan ke luar kedai. Di hadapan kedai runcit itu ada gerai menjual nasi berlauk. Dalam ramai-ramai yang mahu membeli, pandangannya tertumpu pada seseorang. Tak pernah nampak muka itu di kampung sebelum ini.

“RM52.30 semuanya.” Ligat Yob memasukkan barang-barang ke dalam beg plastik. Satu per satu.

Umar membayar sebelum dia dan Esah beredar dari situ. Ketika itu, seseorang berselisih jalan dengan mereka. Esah menoleh ke belakang mahu melihat. Berkerut-kerut dahinya. Dipandang depan semula sambil berjalan mengekori Umar. Seketika dia menoleh ke belakang lagi. Nak pastikan apa yang dilihat. Dia menepuk-nepuk lengan Umar. Umar memandang emaknya.

“Yang berselisih dengan kita tadi tu suami Hani, kan?” Kelibat seseorang itu sudah menghilang di dalam kedai.

Terangkat kening Umar. Senyuman sinisnya meleret. “Tu rupanya suami Hani. Patutlah tak pernah nampak.”

“Dia tak cam mak agaknya. Masa dia kahwin hari tu, banyak kali mak tegur dia. Kalau cam, mesti dia tegur mak.” Esah bersangka baik.

“Mak tak nampak muka dia tadi? Menyombong. Dah berselisih dengan kita, bukan nak senyum. Kalau saya tahu dia suami Hani, sambil lalu tu jugak saya tumbuk muka dia!”

Tergeleng-geleng Esah. “Sudah-sudahlah tu, Umar. Hani dah jadi isteri orang pun. Dah bukan jodoh kamu dengan dia.” Puas dah dia pujuk anaknya itu.


-*-*-*-*-*-


BERSUSAH payah Jay mengayuh basikal dari kedai runcit pulang ke rumah. Sampai di rumah, dilihat masih bergelap. Malah, kereta Hani tiada di halaman.

“Tak balik lagi perempuan ni.” Dia merengus.

Basikal diparkir berdekatan dengan tangga rumah. Bungkusan plastik dari bakul basikal itu dibawa masuk ke dalam rumah. Laju dia melangkah ke meja makan. Bungkusan poliester nasi campur yang dibelinya tadi dibuka. Sekadar nasi putih dan lauk ayam masak kicap. Air kotak bersaiz besar yang dibeli dari kedai runcit turut dibuka dan dituangkan ke dalam gelas.

“Kalau tunggu perempuan tu balik, mati kelaparan aku. Dari pagi aku makan biskut. Naik kembung perut aku! Dahlah duit dalam wallet tak banyak. Terpaksa beli ni aje,” rungutnya sambil membasuh tangan di singki dan kembali semula di meja makan. Dia makan dengan gelojoh. Dia betul-betul kelaparan.

Padahal, dalam peti sejuk macam-macam ada. Ayam, ikan, udang, sotong, sayur... semua cukup. Tinggal lagi dia aje yang tak reti masak. Masak air pun dia tak tahu. Apatah lagi nak masak nasi dan lauk.

Jam dinding dikerling. Dah pukul 9.00 malam. Hani masih tak pulang-pulang. Dia mengharapkan Hani ada di rumah pun sebab nak makan. Sekarang, kalau Hani tak balik ke rumah pun dia peduli apa! Lantaklah! Kisahlah pulak?


-*-*-*-*-*-


“ALHAMDULILLAH... gembiranya kakak, dik. Lega hati kakak ni.” ucap Hani, tersenyum lebar mendengar cerita Azah di hujung talian. Bantal di kepala dibetulkan.

“Berkat doa kakak jugak. Tu yang semua urusan adik kat sini macam dipermudahkan aje. Kawan-kawan semua baik. Senior pun sama. Ada aje yang datang tolong.” Azah menyambung cerita.

“Kakak doa, memanglah doa. Tapi adik pun kenalah beringat selalu. Solat lima waktu jangan tinggal. Jangan jadi munafik. Nampak aje beragama dengan tudung labuh, tapi apa yang haram dibuat jugak. Kena letakkan ALLAH lebih utama dari semua benda lain dalam dunia ni. Tahu?”

“Ya, ya, ya... adik ingat pesan kakak. Kakak okey tak tinggal dengan Abang Jay? Dah pandai sesuaikan diri?” Azah ketawa.

“Haaiip!” Hani tak nak Azah menyibuk pasal hubungan dia dengan Jay. “Dahlah, kakak nak tidur. Dah pukul 10.15 kat sini. Dah dekat setengah jam kita berborak.”

“Alah... tak puas borak dengan kakak.” Azah merengek manja. “Kakak pergi appoinment doktor tak? Apa result...”

“Dah, dah... semua okey,” potong Hani. Tak nak Azah tanya soalan itu. Seboleh mungkin dia akan mengelak. “Okey, dik... kakak dah mengantuk. Bye!

“Yalah...” Terpaksa Azah mengalah. “Adik doakan moga adik cepat jadi mak cu. Eh!”

“Azah!” jerit Hani. Terperanjat mendengar kata-kata Azah.

Berdekah-dekah Azah ketawa.

“Dahlah... malas layan adik ni. Merepek aje kerja. Jaga diri baik-baik. Assalamualaikum...” Selepas mendengar Azah membalas salamnya, dia mematikan talian. Telefon bimbit dibiarkan terdampar di atas katil.

Dia berbaring merenung siling bilik hotel yang disewa. Bilik yang kelam hanya diterangi lampu tidur di meja di sebelah kanannya. Sekelam wajahnya ketika ini. Suram dan sayu. Ketawanya dengan Azah tadi sekadar dibuat-buat. Kalaulah Azah dengar apa yang Jay cakap pada dia semalam, mesti mengamuk adiknya itu.

“Sebenarnya... Abang Jay tak cintakan kakak pun, dik. Mak usu dan pak usu tipu.” Bergenangan air matanya serta-merta.

Perasaan sebak bergulung-gulung di dada. Walau puas ditahan, air matanya berderaian ke pipi. Betapa kecewa dan terlukanya hati ketika ini. Mata yang kebasahan dipejamkan. Sebelum lebih banyak mencurah berguguran, seharusnya dia melenakan diri. Biarlah derita hati ini dibawa ke dalam mimpi.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku