ISTERI ACAH-ACAH
BAB 12
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 23 Mac 2017
Penilaian Purata:
(4 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
1191

Bacaan






HABIS digeledah kabinet dapur. Jay mencari-cari apa lagi yang boleh dimakan. Mi segera yang tinggal dua bungkus dah ditibai semalam. Makan biskut dah naik muak rasanya. Kenyang tak jugak!

“Apa benda perempuan ni? Takkan tak ada stok mi segera langsung? Jajan pun tak ada. Yang ada biskut kering tawar ni aje.” Tin biskut sederhana besar yang jadi temannya semalaman diangkat. Mukanya menjelek. Muak!

“Apa benda aku nak makan ni?” Tin biskut itu dicampak ke atas kabinet. Keluhannya kedengaran keras.

Dia membuka peti sejuk pula. Bahagian atas ada mangkuk aiskrim warna kuning. Dibawa keluar. Apabila dibuka ada beberapa ekor ikan. “Ceh! Ingatkan aiskrim tadi.” Dia mencemik. “Aduh... boleh pulak dia tak balik. Dia ingat aku ni tunggul? Tak reti lapar?”

Menghentak-hentak kaki dia ke ruang tamu semula. Telefon bimbit yang diletak berdekatan dengan easel lukisannya dicapai. Terus dia mendail nombor telefon Rozilah.

“Helo, mama... mama tolong delivery piza ke, burger ke... tak kisahlah. Orang dah lapar gila ni.” Tak bertangguh, Jay terus bagi tahu niatnya menghubungi Rozilah.

“Kau dah kenapa ni, Jay? Call mama terus suruh delivery bagai. Apasal?” Rozilah rasa nak marah. Dengar suara Jay aje pun dia dah tahu Jay buat masalah.

“Menantu pilihan mama tulah! Semalam langsung tak masak, tak balik rumah. Entah merayau ke mana. Satu makanan pun tak ada kat rumah ni. Dia ingat Jay ni batu kayu ke? Bodoh! Bangang!” Dihamburkan kemarahan pada Rozilah.

“Hei! Kau buat hal eh, Jay? Hah?!” Rozilah mula syak sesuatu.

Jay menggigit bibir. “Mana ada.” Mula sedar yang Rozilah mesti bersangka macam-macam padanya.

“Habis tu, takkan dia tiba-tiba tak balik rumah? Dah tentu tu rumah dia. Apa kau dah buat kat dia, Jay? Cakap kat mama! Jangan sampai mama pergi ke sana sekarang.” Rozilah menggeram.

“Jay laparlah, mama. Membebel apa benda pulak ni? Dah dia tak balik rumah, Jay nak buat apa? Biar lantak dialah!” Jay menghempas badan di atas sofa. Ingatkan Rozilah nak bela dirinya. Kena marah lagi ada!

“Eh, budak ni. Kau tak guna otak ke? Kalau kau buat Hani tu marah, mana kau nak dapat duit? Buat baik dengan dialah, setan! Dia tu banyak dapat harta. Takkan kau tak reti-reti? Aku suruh kau kahwin dengan dia, sebab nak kau buat baik dengan dia. Bila dah baik, kau mintalah apa pun mesti dia bagi. Dah kau tu suami dia. Kenapalah tu pun kau tak boleh nak fikir? Penatlah cakap dengan kau ni! Berbuih-buih aku cakap dari hari tu. Tak faham-faham!” Bengang betul Rozilah dengan perangai Jay.

Jay mencebik. Sikit-sikit harta. Harta, harta, harta!

“Aku nak lepas setahun kahwin, si Hani tu beranak.”

Nak tercekik Jay dengar. “Mama!”

“Bila kau dah ada anak dengan dia, lagi senang harta dia semua dapat kat kau. Lepas dah dapat harta dia, kau nak buat apa pun, buatlah. Nak ceraikan dia pun aku tak kisah. Berapa kali aku nak ulang cakap benda yang sama baru kau nak faham ni, Jay? Susah betullah cakap dengan orang yang kepala batu macam kau ni! Cuba kau ikut aje apa yang aku suruh. Kau jugak yang senang.” Rozilah tak habis-habis mendesak Jay.

Jay sudah mengurut dahi sendiri. “Senang aje mama cakap.”

“Apa yang susahnya? Patutnya kau lagi suka. Hei... kucing mana yang tak makan ikan, Jay? Kalau dah depan mata, tak adanya kucing nak cium bau aje.” Rozilah berkias. Dia tahu Jay faham.

Jay berdecit. Merepek betul! “Mama tak nak tolong order delivery dahlah! Orang dah lapar gila, dia bagi taklimat pulak,” rungutnya dengan hati yang sebal.

“Ceruk kampung mana ada delivery. Tak adanya delivery yang sanggup nak masuk kampung jauh-jauh tu nak hantar burger. Kau ingat macam kat bandar?”

“Habis tu, orang dah lapar ni, mama. Tolonglah...” Jay dah rasa nak menangis.

“Pergilah keluar. Beli kat kedai.”

“Duit kat wallet tinggal duit kecil aje ni, mama. Nak pergi bank kena pergi pekan. Nak pergi naik apa? Basikal buruk si Hani tu aje yang ada. Memang taklah! Buat malu muka aje. Jangan harap Jay nak naik basikal tu!” Jay makin rasa nak mengamuk. “Dahlah duit dalam bank pun tak banyak yang tinggal,” rungutnya lagi.

“Tahu pun tak cukup duit. Tu pun ada hati nak berlagak! Suruh berbaik dengan Hani, kau buat keras kepala. Sekarang, merasalah kau! Aku dah tunjuk jalan senang, kau berlagak. Kau tu sekarang dah duduk dalam lubuk rezeki tahu tak? Rumah pusaka tu besar. Ada dusun buah belakang rumah. Hani tu pulak banyak dapat harta, banyak duit simpanan. Apa lagi yang kau nak?” Rozilah sedaya upaya nak ‘buka mata’ Jay. Kalau tak sedar lagi, tak tahulah apa lagi yang dia nak membebel.

Jay diam memonyok. Orang dah kebulur, dia sibuk potpet-potpet. Dia ingat, bila aku dengar dia membebel tu boleh buat aku kenyang?

“Kau pandai-pandailah macam mana nak hidup. Aku dah cakap dah. Bukan tak pernah ingatkan. Dah kahwin dengan Hani tu, buatlah baik. Sekarang apa jadi? Kena tinggal macam ayam berak kapur. Padan muka!” Selamba Rozilah menyelar anak sendiri. Dia dah geram sangat dengan Jay. Tak boleh diharap! Dia baru nak menumpang senang.

“Mama ni nak tolong ke tak nak?” Jay menarik-narik rambutnya. Rasa rimas. Rozilah tak henti-henti nak mengecamnya. Panas betul hati dibuatnya!

“Mama dah tolong kau. Jangan cakap mama tak tolong. Tapi kau tu yang ‘buta’. Sekarang, pandai-pandai kaulah nak hidup. Kepala batu!”

“Orang cakap pasal laparlah, ma. Apa mama merepek meraban? Orang lapar ni!” Bengang betul Jay dengan mamanya itu. Asyik-asyik nak kecam nak carut aku!

“Dah tahu lapar, telefonlah Hani! Suruh dia balik. Pujuk dia. Yang kau telefon mama buat apa, bingai? Nak aku yang duduk jauh ni datang ke sana? Jangan haraplah. Kau telefon Hani sekarang, Jay! Kau jangan buat pasal dengan dia.” Kena cela lagi Jay dengan Rozilah. Dia peduli apa. Kalau dah marah, macam-macam yang keluar dari mulutnya. Semuanya yang ‘busuk-busuk’.

“Yalah, yalah!” Cepat-cepat Jay memutuskan talian. Malas nak dengar Rozilah membebel. Makin sakit hati.

“Nak suruh aku call Hani?” Dia berkeruh kasar. “Tak ingin aku! Bukan aku ada nombor telefon dia pun. Nak minta kat mama? Sorry...” Egonya tinggi melangit. Padahal perut makin lapar.

Dipegang perut sendiri. Berkerut mukanya menahan rasa lapar.


-*-*-*-*-*-


HANI berjalan tanpa arah tujuan. Di dalam pasar raya besar itu dia sekadar window shopping. Bila ternampak apa-apa yang berkenan, barulah dimasukkan ke dalam troli yang disorong sejak tadi. Dalam troli itu pun baru ada tiga, empat barang.

Telefon dari dalam beg tangannya berbunyi. Terkial-kial dia menyeluk mahu mengambilnya. Apabila melihat nama yang tertera di skrin, segera dijawab panggilan itu.

“Helo...”

“Hani! Kau cuti ke hari ni?” Suara Zana bukan main kuat lagi.

“Ha'ah, kak. Saya dah call bagi tahu bos hari ni saya cuti. Kenapa?” Tanpa diminta Hani beri penjelasan.

“Akak tahu. Saja aje akak call kau ni. Nak tahu jugak kenapa kau cuti. Kau jarang tau ambil cuti.” Zana mengekeh. Tak tahu apa yang kelakar sangat.

“Rasa macam tak sihat sangatlah hari ni. Tu yang ambil cuti tu.” Hani bagi alasan paling klise.

“Ni dah dengar suara kau, lega hati akak. Ingatkan kau demam teruk. Ni kau dah pergi klinik ke?”

“Malas nak pergi klinik, kak. Bukan demam pun. Cuma rasa tak sedap badan. Penat sangat agaknya. Dari sebelum kenduri sampailah Azah dah ke Mesir, tak cukup rehat lagi ni.” Sekali lagi Hani beralasan.

“Okeylah... kau berehatlah. Esok kalau rasa masih tak sihat, sambunglah cuti.”

“Okey, Kak Zana. Bye!” Hani memutuskan talian. Ketika mahu memasukkan telefon bimbit ke dalam beg tangannya kembali, dia terpandang ke satu arah.

Kelihatan seorang wanita hampir separuh abad terjingkit-jingkit nak mencapai sesuatu dari rak. Di sisi wanita itu ada seorang budak di kerusi roda.

Hani meliarkan pandangan. Tak ada staf pasar raya berdekatan di situ. Rasanya, tak salah kalau dia menolong. Lalu, dia menghampiri. “Assalamualaikum...” sapa Hani mesra.

Wanita itu menoleh dengan riak tergamam sebelum menjawab salam Hani.

Hani mendongak melihat apa yang cuba dicapai wanita itu. “Mak cik nak ambil kotak tu ke?”

Wanita itu kemudian mengangguk. Sedikit teragak-agak.

Senyuman Hani terukir. Pandangannya beralih ke arah budak perempuan di kerusi roda yang sedang merenungnya. Dileretkan senyuman lebih lebar agar tak janggal situasi antara mereka. Lalu dia menjingkit sedikit tinggi. Kotak itu memang agak tinggi kedudukannya. Dengan berhati-hati dia menarik. Akhirnya, kotak itu berjaya diturunkan. Mujur tak begitu berat walau saiznya agak besar. Sebuah kotak alatan melukis.

“Ni mesti untuk awak, kan?” Hani menghulurkan kotak itu kepada budak perempuan di kerusi roda itu.

Budak perempuan itu menyambut dengan senyuman. “Terima kasih, kak.”

Hani berpaling menghadap wanita di hadapannya itu. “Ni siapa?” Ditunjuk budak di kerusi roda itu.

Wanita itu senyum. “Ni anak mak cik. Baru 13 tahun. Dia pandai melukis. Apa saja alatan melukis, mak cik belikan untuk dia.” Tergambar di riak wajahnya dia berasa bangga.

Apabila wanita itu menyebut ‘pandai melukis’, ingatan Hani serta-merta teringatkan Jay. Segera dia menghalau bayangan lelaki itu dari ruang ingatan. “Berbakat rupanya anak mak cik ni.”

“Jangan menipu, mak.”

Suara budak perempuan itu membuatkan Hani dan wanita tadi berpaling. Tergamam Hani apabila budak itu kelihatan serius. Terpinga-pinga dia. Apa kena ni? Takkan anak-beranak itu sedang bertelingkah kot.

“Saya anak tiri aje, kak. Bukan anak kandung.” Budak perempuan itu bersuara lagi.

Tak terkata Hani dibuatnya. Dia gelisah sendiri. Tak pasal-pasal kerana dia, bergaduh pula dua beranak itu.

“Tapi mak tak pernah anggap saya macam anak tiri,” sambung budak perempuan itu dengan nada yang tenang. Direnung emak tirinya itu. “Mak selalu mengaku saya anak mak. Sekali pun mak tak pernah bagi tahu orang perkara sebenar yang dulu saya benci mak sejak kahwin dengan arwah ayah.”

Makin tergamam Hani.

Senyuman budak itu menguntum. “Tak ada yang semulia hati mak tiri saya ni, kak. Dia kahwin dengan arwah ayah lima tahun lalu sebab nak jaga saya yang lumpuh ni. Mak kandung saya meninggal masa saya tujuh tahun. Selama ni saya layan mak tiri saya ni dengan buruk. Saya caci maki dia. Saya hina dia. Tapi disebabkan hati dia mulia, penyabar, lemah lembut, berbudi bahasa... terbuka mata hati saya melihat kebaikan dia.”

Hani memandang wanita itu. Gaya yang sangat sederhana. Berbaju kurung dan bertudung labuh. Sayu hatinya. Ya ALLAH... mulia sungguh hati wanita ni.

“Tak ada apalah, nak.” Wanita itu merendah diri. “Sebagai manusia, mak cik cuma harapkan redha ALLAH.”

Makin terdiam Hani. Tanpa sedar, hatinya digigit kesayuan. Subhanallah... mulianya hati seorang insan ini. Tentu ALLAH angkat darjat dia sangat tinggi. Kenapa aku tak boleh jadi semulia dia? Dadanya bergelora sebak.



Klik di sini jika bacaan spam!
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
  Terhangat di Grup Buku