ISTERI ACAH-ACAH
BAB 14
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 23 Mac 2017
Penilaian Purata:
(17 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
1438

Bacaan






SEBELUM subuh lagi Hani dah bangun. Sesudah mandi, dia memasak dan mengemas rumah. Alatan melukis milik Jay yang terletak di sudut balkoni ruang tamu tak berani diusik. Tempat itu jadi kawasan Jay melukis. Dia sekadar mengemas apa yang patut agar peralatan melukis itu tersusun kemas.

Dan kemudian setelah siap, dia menunaikan solat subuh pula. Sambil-sambil tu, dia sempat membasuh baju di mesin basuh. Sebelum pergi kerja nanti, dia akan menyidainya.

Jam sudah pukul 6.45 pagi. Tapi dia tak rasa Jay dah bangun. Tak dengar pun Jay buka pintu ke bilik air atau tak dengar langsung derap kaki orang berjalan. Tak bangkit tidur lagilah tu!

Hani yang masih bertelekung setelah selesai berdoa, bingkas berdiri dari sejadah. Keluar dari bilik, dia berdiri di hadapan pintu bilik Jay yang menghadap dengan biliknya. Senyap aje bilik tu. Kelihatan bergelap lagi dari celah lantai pintu. Lantas pintu diketuk beberapa kali.

“Abang Jay! Abang Jay! Bangun, Abang Jay. Solat!”

Bilik itu masih lagi senyap.

“Abang Jay!” Hani ketuk lagi pintu. “Bangun, Abang Jay. Solat. Abang Jay!”

Jay menggeliat. Telinganya menangkap bunyi pintu diketuk dan suara Hani. Terkejip-kejip matanya. Dengar bunyi bising pagi-pagi buta buat hatinya rasa nak marah.

“Abang Jay!” Hani masih mahu mengejutkan Jay.

“Apa?” soal Jay dengan nada garau berbaur geram yang kuat. Berkerut-kerut mukanya. Mata masih terpejam.

“Bangun! Solat!” balas Hani lebih kuat agar Jay dengar apa yang dia cakap.

Senyap.

Berlapis dahi Hani. Dia dengar tak aku cakap tadi? “Abang Jay!” Diketuk semula pintu bilik itu.

“Eh, sibuklah!” laung Jay sakit hati. Dihentak-hentak kaki ke tilam melepaskan marahnya.

“Hai... dia marah aku balik?” bisik Hani tak puas hati. “Orang kejut dia suruh solat, dia marah kita pulak.”

Dipandang pintu bilik itu. Macam bercakap dengan pintu pulak. “Bangun ya, Abang Jay. Solat!”

Senyap lagi.

Hani mengangkat bahu. Dia kembali ke biliknya. Al-Quran di atas meja dicapai. Di atas sejadah, dia mula mengaji.

Jay yang meringkuk di atas katil, menarik selimut agar membalut tubuhnya lebih kemas. “Senyap pun. Kalau tak, memekak aje!” gumamnya dengan mata terpejam.

Dia larut semula dalam lena. Walau sayup-sayup kedengaran Hani mengaji, dia tetap hanyut dibuai mimpi.


-*-*-*-*-*-


JAY tersedar daripada tidur yang nyenyak. Matanya terpisat-pisat masih mamai. Dia menggeliat kasar. Berderap bunyi tubuhnya. Barulah rasa selesa. Duduk berlunjur dia sambil memerhati sekeliling. Telefon bimbit di atas katil diraba-raba dengan tangan. Dilihat skrin telefon itu. Jam menunjukkan hampir pukul 10.00 pagi.

Dengan berat langkah, dia mencapai tuala lalu berlalu keluar dari bilik. Tergaru-garu kepala dia melihat ruang tamu yang sangat kemas dan bersih. Tingkap semua sudah dibuka. Cuma pintu saja yang bertutup. Sambil tergaru-garu kepala dia menuju ke dapur pula. Pun sama. Kemas, teratur, bersih... tak macam semalam. Matanya terus memandang meja makan. Ada tudung saji di situ.

Bersinar matanya sebaik saja tudung saji itu diangkat. Mi goreng sotong! Nampak sangat menyelerakan. Dibuka pula teko di sebelah tudung saji. Air kopi O. Dah sejuk pun.

Matanya tertancap pada sekeping nota bertulis tangan yang ditindih sedikit dengan mangkuk mi goreng. Nota itu diambil.

“Nasi dan lauk tengah hari ada dalam periuk kat kabinet. Lepas makan cuci pinggan okey? Jaga kebersihan rumah. Terima kasih atas kerjasama anda.” Jay tersenyum sinis selepas membaca nota yang Hani tulis itu.

“Poyo aje minah ni. Macam kat sekolah pulak.” Dilempar nota itu ke atas meja semula.

“Betul kata mama. Memang tak rugi buat baik dengan Hani. Makanan semua dah tersedia. Rumah bersih, kemas. Rasa selesa. Dah tak payah fikir apa-apa. Ahh... rasa macam raja. Duduk kat rumah ni lagi best. Tak dengar mama membebel.” Dia ketawa sorang-sorang.

Dengan senang hati dia ke bilik air. Sepanjang masa dalam bilik air dia menyanyi.


-*-*-*-*-*-


“KAK HANI datang?” Wajah gadis yang ceria itu bertambah ceria. Tergamam dia di muka pintu memerhati susuk tubuh di hadapannya itu. Masih tak percaya. “Ya ALLAH... Kak Hani datang!” Teruja betul dia.

Hani dah tergelak-gelak. Seronok tengok wajah gadis itu. Mendamaikan.

“Mak, Kak Hani datang ni!” laung gadis itu memanggil emaknya dari kerusi roda.

“Assalamualaikum, Iska...”

“Waalaikumussalam. Kak Hani!” Iska mendepangkan tangan mahu memeluk Hani.

Hani dengan kedua-dua belah tangan penuh dengan beg plastik, tetap menyambut pelukan Iska. Dipeluk Iska erat-erat. Penuh perasaan sayang.

“Eh, Hani...”

Hani dan Iska berpaling.

Sebaik sahaja melihat wajah Jamrah, Hani melepaskan pelukan Iska. Dia berdiri. “Apa khabar, mak cik?” Dihulurkan salam.

Jamrah lantas memeluk Hani. Hani terasa betapa ikhlasnya pelukan itu. Pelukan seorang ibu.

“Mari masuk, Hani. Jemput duduk.” Jamrah mempersilakan Hani ke sofa di ruang tamu.

Hani duduk di sebelah Jamrah. Manakala Iska dengan kerusi rodanya di sebelah Hani. Ceria betul wajahnya.

“Alhamdulillah... tak sangka Hani datang rumah mak cik. Padahal, kita baru kenal semalam.” Jamrah masih terkejut.

Tersenyum Hani. “Tulah... kita baru kenal semalam. Tapi saya dah rasa rindu nak jumpa.”

“Iska pun rindu Kak Hani. Macam tahu-tahu aje Iska teringat Kak Hani,” ujar Iska teruja. Dicapai tangan Hani dan digenggam erat. “Ni banyak-banyak plastik ni, Kak Hani beli untuk Iska, kan?”

Terkekeh Hani ketawa. “Mestilah. Nah...”

Bungkusan plastik itu bertukar tangan. Apabila melihat isi di dalam plastik, terjerit Iska. Gembira.

Jamrah memanjangkan leher mahu melihat. Apabila melihat Iska mengeluarkan buku-buku cerita, dia senyum.

“Terima kasih, Kak Hani! Iska suka sangat!” Dicium-cium buku-buku itu.

Bahagia Hani tengok Iska ketika ini. Lalu dia menghulurkan sebungkus plastik lagi kepada Jamrah. “Untuk mak cik.”

“Ya ALLAH... kenapalah susah-susah ni, Hani?” Namun, Jamrah menyambutnya juga.

Senyuman Hani meleret. “Bukalah...”

Jamrah mengeluarkan baju kurung berwarna kelabu itu. “Ya ALLAH... cantiknya. Terima kasih, Hani.” Terharu dia dibuatnya.

“Cantik sangat, mak.” Iska pun suka dengan baju kurung bercorak abstrak warna pastel begitu.

“Segan pulak mak cik, Hani. Kita baru kenal, kamu dah bagi macam-macam.”

Hani ketawa. “Mak cik... mak cik dan Iska tak menyusahkan saya pun. Sebenarnya, saya bersyukur sangat kenal dengan mak cik, kenal dengan Iska. Syukur sangat ALLAH temukan kita.” Nadanya mula merendah. Ada sebak yang bertandang di sudut hati.

Jamrah dan Iska memandang Hani tak berkelip. Menanti Hani bercerita lagi.

“Saya yatim piatu. Satu-satunya adik yang saya ada, baru aje ke Mesir. Dia further study kat sana. So... bila dapat kenal mak cik dan Iska, saya gembira sangat. Rasa macam dikurniakan keluarga baru.”

Rasa terharu menyerbu di kalbu Jamrah dan Iska.

“Habis tu, sekarang Kak Hani tinggal sorang-sorang ke?” Ada kerut di dahi Iska.

Hani menggeleng. “Minggu lepas, saya baru aje kahwin. Mak cik-mak cik dan pak cik-pak cik yang jodohkan saya dengan sepupu saya.”

“Ohh...” Melopong Jamrah dan Iska.

“Sejujurnya... bila kenal dengan mak cik dan Iska, saya belajar sesuatu tentang kehidupan. Saya belajar tentang pengorbanan. Dalam hidup ni, adakala kita akan rasa diri tak dihargai. Masa tu, sebenarnya kita perlu nilai semula hati kita. Kenal betul-betul bagaimana rupa hati kita sama ada hati kita ni benar-benar ikhlas.” Bergelodak perasaan sebak di dada Hani. Terbayang wajah Jay... suami yang tak menganggap dia sebagai isteri. Ditahan mata yang sudah terasa berkaca.

Jamrah dan Iska tergamam. Luahan hati Hani kedengaran sangat melankolik.

Hani menggenggam tangan Jamrah. “Hati budi mak cik yang sangat mulia ni menyentuh hati saya. Buat saya kagum dan rasa nak jadi macam mak cik. Mak cik buat saya sedar... bila hati kita ikhlas, semua yang berat dan yang sukar akan rasa dipermudahkan. Dan dengan hati yang ikhlas, walau dimarah, dibenci, dihina... semua tu takkan tinggalkan kesan di hati kita. Dan hanya dengan hati yang ikhlas akan menang akhirnya.”

Sebak hati Jamrah. Tak sangka adegan yang begitu sekejap di pasar raya semalam membuatkan hati orang lain tersentuh. Dikerling Iska yang sudah bergenangan air matanya. Teringat bagaimana dia dibenci anak tirinya itu bertahun-tahun. Tapi sekarang, Iska menyayanginya lebih daripada segala-galanya.

“Nanti mak cik datanglah rumah saya,” pelawa Hani dengan nada ceria. Tak mahu suasana yang tadi berubah sayu menguasai diri. “Bawa Iska ni jalan-jalan. Belakang rumah saya ada dusun buah. Tapi yang ada sekarang cuma nangka, betik, pisang, buah jambu. Buah durian, rambutan, manggis, duku... belum musim lagi.”

“Wahh... seronoknya!” Iska sudah bertepuk tangan. Hilang berterbangan rasa sayunya tadi. “Nanti kita pergi rumah Kak Hani eh, mak? Jomlah...” Dia merengek-rengek.

Jamrah mengangguk. Demi membahagiakan anaknya, dia akan buat apa saja. “Insya-ALLAH... bila Iska tak ada kelas tambahan hujung minggu, kita pergi.”

“Kalau macam tu, susahlah kita nak pergi rumah Kak Hani. Tiap-tiap hujung minggu pun Iska ada kelas. Kelas tuisyen, kelas mengaji, kelas melukis. Mak pun ada kelas agama, kelas tajwid.” Iska melepaskan nafas lemah.

Jamrah senyum memujuk. “Nanti kita curi-curilah masa. Janji dapat makan buah.”

Tergelak mereka bertiga.

Kembang bahagia hati Hani. Melihat wajah ceria Iska, hilang sedikit rindunya pada Azah.


-*-*-*-*-*-


MENJELANG maghrib, barulah Hani pulang dari rumah Jamrah. Seronok dapat menghabiskan masa bersama Jamrah dan Iska. Dipandu kereta memasuki kampungnya. Remang maghrib mula menggelap. Ketika hampir sampai di rumahnya, dari jauh dia nampak seseorang menaiki motosikal dari arah bertentangan. Dari jauh pun dia dah tahu itu siapa.

Umar! Mesti nak pergi solat di masjid. Siap berbaju Melayu warna biru dan berkopiah.

Hani memperlahankan keretanya. Cermin tingkap diturunkan siap-siap. Dia nak bertegur sapa dengan lelaki itu. Semakin menghampiri, lalu dia memberhentikan keretanya. Dijengah kepala dari tingkap. Senyumannya meleret menunggu Umar. Namun sebaik saja mereka berselisih, jangan kata nak menyapa, pandang sebelah mata pun Umar tak nak.

Hani terkebil-kebil terteleng ke belakang memandang Umar berlalu begitu saja. “Marah lagi si Umar ni.” Dia melepaskan nafas panjang.

Keretanya bergerak semula menuju ke rumah yang tak jauh dari situ. Setelah kereta diparkir, dia masuk ke dalam rumah.

“Assalamualaikum...”

Jay yang sedang khusyuk melukis sekadar mengerling.

Hani dah agak. Jay takkan sambut kepulangannya. Dan tak kisah pun sama ada dia balik atau tak. Yalah... sebab dia dah siapkan semua makanan untuk Jay. Cuba kalau dia tak masak, mesti dah panjang muncung Jay.

Dikitarkan pandangan ke sekeliling rumah. Heh, Abang Jay ni! Dah maghrib bukan reti nak tutup tingkap.

Segera ditutup semua tingkap. Tu pun Jay buat tak peduli. Masih dengan berus lukisan. Tertunduk-tunduk sedang mewarna. Entah apa yang diconteng. Teringin jugak nak tengok.

Dah tutup semua tingkap, perlahan-lahan dia menghampiri Jay. Nak sangat tengok lukisan Jay. Terhendap-hendap dia di belakang lelaki itu. Dia nampak lukisan bentuk pokok-pokok, awan...

“Woi, apa tengok-tengok?”

Tersentak Hani. Dia bertentang mata dengan Jay yang berpaling memandangnya.

“Apa menyibuk kat sini ni?”

Hani mencemik. ‘Kerek’nya dia ni! “Tengok pun tak boleh ke?”

“Sibuk aje. Pergilah sana!” Jay memuncung. Dialihkan sedikit easel agar Hani tak nampak lukisannya. Tengah syok melukis, tetiba aje datang menjenguk. Dia ingat, aku tak dengar bunyi tapak kaki dia tadi?

“Lukis apa tu? Apasal buruk?” Selamba Hani tanya begitu. Memang buruk pun! Lukisan setakat pokok dan awan, apa yang cantik? Biasa aje.

“Kau apa tahu?”

“Lukisan macam tu dah biasa sangatlah, Abang Jay. Dah ramai yang buat. Bosan. Tak ada kelainan. Cuba buat yang bila orang tengok terus ternganga.” Niat Hani cuma nak Jay lukis sesuatu yang lebih menarik lagi.

“Kau siapa nak kritik lukisan aku ni? Cakap macam pandai sangat. Kau tu buta seni!”

Hangat telinga Hani dengar kutukan begitu. “Yang buta seni macam sayalah yang banyak beli lukisan tau. Kalau orang yang buta seni kata buruk, tak nak beli lukisan tu... pun nak rasa bangga ke? Dah berapa banyak lukisan Abang Jay yang berseni sangat tu laku?”

Tertelan liur Jay. Setepek kena ke mukanya. “Sibuklah!” cemuhnya demi menutup rasa bengang.

“Eleh...” Geram Hani dengan ego Jay itu.

“Dah! Pergi sana.” Jay menghadang dengan tubuh, tak bagi Hani melihat lukisannya.

“Ya, ya... orang tak tengok pun. Saya ni nak tanya aje. Abang Jay dah makan belum?” Suara Hani lembut.

Demi mendengar pertanyaan Hani itu, ego Jay bagaikan nak roboh. Tapi cepat-cepat dia buat muka angkuh. Dia mengangguk. Tak dipandang langsung muka Hani. Dia kembali melukis.

“Hmm... baguslah. Ni nak masuk waktu maghrib. Nanti solat okey?” Cara Hani bercakap macam cakap dengan Azah.

Jay tak bereaksi. Eii... sibuk betullah! Geram dia dengan Hani ni. Jaga tepi kain orang pulak. Penyibuk!

Hani beredar ke dapur. Dia puas hati tengok rumah yang masih bersih dan kemas. Niatnya nak panaskan lauk-pauk. Tapi apabila tudung periuk dibuka, dia rasa macam nak menangis. Dibuka periuk yang lain-lain. Pun sama.

“Ya ALLAH... habis dia makan lauk ni semua. Nasib baik aku dah makan kat rumah Mak Cik Jamrah tadi.”

Dibawa periuk-periuk itu ke singki.

“Kuat melantak jugak Abang Jay ni.” Periuk-periuk itu dibasuh. “Kot ya pun, basuhlah periuk ni. Ni tak, selamba aje dia tinggal macam tu. Cis!”



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku