ISTERI ACAH-ACAH
BAB 17
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 23 Mac 2017
Penilaian Purata:
(2 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
1098

Bacaan






KETIKA Hani membuka mata, telinganya menangkap bunyi bingit penggera dari telefon bimbit di meja kecil sebelah katil. Digonyoh-gonyoh mata yang bagaikan tak boleh dibuka. Sambil mata terkejip-kejip, telefon bimbit itu dicapai. Bunyi yang membingit tadi terus senyap.

Dalam keadaan mamai dia meliarkan pandangan ke seluruh bilik. Kala menoleh ke kiri, mendadak dia tersentak. Bulat matanya. Dia baring betul-betul di sebelah Jay! Malah, bahu mereka hampir berlaga.

Hani bergolek ke hujung katil menjauhi tubuh Jay. Berderau darahnya seketika tadi. Fuh... mujur Jay tak sedar. Kalau tak, mesti dia tuduh aku buat gangguan seksual kat dia.

Hilang rasa mengantuknya. Diambil nafas agar perasaannya lebih lega dan bertenang. Perlahan-lahan dia menoleh ke arah Jay. Jay yang masih tidur mengiring menghadapnya. Melihat Jay nyenyak tidur, dia jadi ralit merenung wajah suaminya itu. Tak ada cacat-cela di situ. Kelihatan sangat sempurna sebagai seorang lelaki.

Inilah orangnya yang sejak kecil dia puja. Sejak Jay selamatkan dia daripada lemas di sungai 15 tahun yang lalu. Tak sangka... lelaki yang dipuja inilah yang jadi suaminya. Tapi sayang... Jay tak ada perasaan cinta padanya. Sekarang, tak tahulah dia sama ada hendak bersyukur gembira atau menangis meratapi nasib diri.

Dia terus-menerus merenung wajah Jay. Walaupun sedang tidur, ada garisan ego dan tegang pada riak wajah Jay. Entah bila agaknya dia dapat melembutkan hati lelaki itu. Tiba-tiba dia tersedar daripada lamunan. Dia terduduk berlunjur.

“Ya ALLAH... dah pukul berapa ni?” Cepat-cepat dia melihat jam di telefon bimbitnya. “Ya ALLAH! 6.20!”

Bergegas Hani terjun dari katil mahu mencapai tuala dan pakaian. “Ya ALLAH... aku dah lambat ni. Macam manalah aku boleh buang masa renung muka dia tu?”

Berkejaran dia keluar dari bilik menuju ke bilik air.


-*-*-*-*-*-


HANI menyudahkan tahiyat akhir solat subuh itu dengan memberi salam ke kanan dan ke kiri. Diraup mukanya pula. Sambil berzikir, dipanjangkan leher menjenguk Jay yang masih tidur. Habis berzikir, dia menadahkan tangan berdoa pula. Bersungguh-sungguh dia memohon dalam doa itu dan mengaminkannya. Terus dia bingkas bangun dari sejadah. Sempat dia memandang ke arah jam dinding.

“Abang Jay... bangun, Abang Jay. Bangun solat.” Tubuh Jay digoyang-goyang. “Abang Jay... Abang Jay...”

Tercemik-cemik muka Jay kerana tidurnya terganggu. Matanya terbuka kecil. Silau dek lampu yang terpasang.

“Bangun solat, Abang Jay. Dah pukul 6.45 ni. Dari tadi lagi saya kejut tak bangun. Bangunlah.”

Jay mengerutkan muka tunjuk tak suka. Rimas! Dicapai bantal di sebelahnya lalu menutup muka.

“Abang Jay... tak solat ke?”

Jay tak berkutik.

Air muka Hani berubah sedih. Kecewanya dia dengan Jay. Sejak hari pertama Jay tinggal di rumah itu lagi dia sudah tahu Jay tak solat. Tak pernah nampak Jay berwuduk apatah lagi menunaikan solat. Memang benarlah telahannya. Terlepas keluhan lemah.


-*-*-*-*-*-


SETELAH bersiap-siap memakai kemeja-T lengan panjang, seluar track suit dan mengenakan tudung bawal, Hani keluar dari bilik. Di ruang tamu tiada sesiapa. Dia terus ke dapur. Kelihatan Rozilah, Salleh dan Jay sedang menikmati sarapan. Dah pukul 10.00 pagi baru nak makan. Masing-masing bangun lambat tadi.

“Nak ke mana, Hani?” Salleh yang mula-mula nampak kelibat Hani menegur.

Hani senyum. “Nak pergi dusun kat belakang kejap.”

“Haa... ambil nangka muda sekali, Hani. Nak suruh mama kau ni masak nanti.” Salleh mengerling Rozilah.

Hani mengangguk dengan perasaan senang hati.

“Bagi banyak sikit.” Rozilah menyuruh. Dia memang pantang. Kalau ada apa-apa, semua nak banyak. Rasa tak cukup saja apa yang dia dapat.

“Insya-ALLAH Hani bagi lebih. Apa yang ada Hani bagi.” Hani mengambil karung besar dari kabinet bawah dapur untuk mengisi apa yang patut di dusun nanti.

Jay khusyuk makan nasi goreng kampung yang Hani masak. Sampai bertambah dua kali. Langsung tak pandang Hani.

“Nak pergi sekarang ke?” Salleh masih mahu menyoal walau dengan mulut sedang mengunyah.

“Hmm...”

Salleh hanya mengangguk.

Hani ingatkan Salleh tanya sebab nak tolong ke, nak teman ke... cis!

“Kau pergi teman Hani tu, Jay.” Rozilah tiba-tiba menyenggol Jay yang duduk di sebelahnya.

Membulat mata Jay. “Orang tengah makanlah, ma...” rungutnya perlahan dengan nada tak suka.

“Tak apa, ma... Hani pergi sorang pun tak apa. Dah biasa. Abang Jay tu nanti nak melukis.” Hani nampak dengan jelas riak menyampah Jay bila disuruh Rozilah mengikutnya tadi. Jadi, rasanya tak perlu kot Jay temankan dia.

“Melukis apa bendanya? Aku tengok lukisan kau macam sampah! Kau tu asyik buat benda bodoh aje. Tak ada faedah langsung! Kau ingat, lukisan buruk tu boleh bagi kau makan? Mati kebulurlah kau.” Rozilah sudah mula membebel.

Terdiam semua. Hani lagilah... tergamam dia bila Rozilah naik angin mengutuk Jay. Tak patut Rozilah cakap begitu. Apatah lagi dengan anak sendiri. Bukan ke apa yang keluar dari mulut seorang ibu untuk anaknya itu satu doa?

Serta-merta Jay rasa tak berselera. Padahal tinggal beberapa suap saja lagi nak habis. Monyok terus mukanya.

Hani serba salah. Takkan sebab Jay tak nak teman aku, anak-beranak sampai nak bergaduh? Peliknya keluarga mak usu ni. “Err... tak apa, tak apa. Mama, papa dan Abang Jay makanlah. Tambah lagi. Hani nak ke dusun dulu.” Terus dia beredar ke pintu dapur. Pening dia dengar orang bergaduh.

Selepas menyauk selipar, dia mengambil kereta sorong yang diletakkan di ruang khas di bawah rumah. Senang sikit dia nak menyorong buah-buahan yang diambil dari dusun. Diambil juga parang, sarung tangan kain, kasut but getah warna hitam dan juga topi besar. Dengan kereta sorong itu dia beredar ke belakang rumah.

Sedangkan Rozilah pula masih tak puas hati dengan Jay. Bengang betul dia. “Kau pergi teman Hani tu! Mama nak kau ikut dia. Pergi!”

Salleh tak menyampuk. Malas. Dibiarkan saja Rozilah bergaduh dengan Jay. Tak kuasa dia nak masuk campur.

“Dah dia kata tak apa, nak teman dia jugak kenapa? Apa yang kecoh sangat mama ni?” Jay turut naik angin. Pagi-pagi dah membebel. Dah sakitkan hati orang.

“Kau jangan jadi bodoh! Berapa kali aku nak ajar kau ni? Aku suruh kau buat baik dengan dia. Apa yang susah sangat? Aku kata pergi, baik kau pergi. Ikut Hani tu! Jangan sampai aku pelangkung kau karang.” Rozilah walaupun betul-betul naik angin, dia cuba mengawal suaranya daripada didengar Hani. Melihat matanya saja dah tahu yang dia macam nak cakar muka Jay.

Jay menghempas sudu dan garpu ke pinggan. Berdenting bunyinya. Tanda protes. Asyik-asyik aku kena ikut cakap mama. Asyik-asyik aku aje yang kena mengalah. Benda yang aku benci itulah yang mama paksa aku buat. Ikutkan hati memang rasa nak memberontak. Sejak kecil dia pendamkan perasaan itu. Rasa nak melawan, tapi tak berdaya. Sebab dia tahu, nanti dia sendiri yang rugi. Sejak kecil lagi dia diasuh hidup bergantung pada duit Salleh dan Rozilah. Tak reti berdikari.

“Kau layan Hani tu baik-baik. Kalau sampai kat telinga aku yang kau layan dia sesuka hati, siaplah kau!” Rozilah memberi amaran lagi dengan gigi yang dikertap. Marah betul dia setiap kali Jay melawan cakap.

Jay dah mengepal penumbuk. Kalau bukan mama sendiri, dah lama muka Rozilah makan penumbuknya itu.

“Pergi!” herdik Rozilah dengan mata dibeliakkan.

Jay bingkas berdiri dengan kasar. Dengan riak muka tegang penuh kebencian, dia keluar dari situ. Jalan menghentak-hentak kaki.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku