ISTERI ACAH-ACAH
BAB 20
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 23 Mac 2017
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
1542

Bacaan






DENGAN bertelekung Hani mengetuk pintu bilik Jay pagi-pagi buta itu. Diketuk berkali-kali. “Abang Jay! Bangun solat.” Diketuk lagi lebih kuat. “Abang Jay!” Abang Jay ni kalau tidur, memang tidur mati. Kejut bagai nak ‘rak’ pun takkan bangun.

Diketuk lagi. Kali ini lebih kuat. “Abang Jay! Bangunlah. Kan dah janji nak solat subuh. Bangun, Abang Jay!”

Jay di dalam bilik sudah bangun sebenarnya. Duduk berjuntai kaki di birai katil. Tergaru-garu kepala. Resah semacam.

“Abang Jay!” Hani masih mengetuk. Sangkanya, Jay masih lagi lena dibuai mimpi.

Akhirnya, Jay bingkas berdiri juga. Dengan muka selebet dia membuka pintu.

Hani melebarkan senyuman. “Pergi ambil wuduk ya? Lepas tu boleh solat subuh.” Tak semena-mena hatinya sejuk. Rasa bahagia. Inilah kali pertama Jay nak menunaikan solat sejak tinggal di situ.

“Nak mandi dulu.” Jay menggaru-garu kepala.

“Tak sempat nak mandi bagai. Dah hujung-hujung subuh ni. Solat dulu. Kenapa bangun lambat? Orang kejut dari tadi tak bangun-bangun. Pergi ambil wuduk. Cepat!”

Mengenangkan sudah janji dan terpaksa minta tolong daripada Hani, dengan langkah berat Jay ke bilik air.

Melihat Jay dah ke bilik air, cepat-cepat Hani bentangkan sejadah di dalam bilik Jay. Dia yang sudah solat mengambil al-Quran dari dalam biliknya dan kembali semula ke bilik Jay. Pintu dibuka luas-luas. Di atas katil Jay dia duduk bersila. Mula membaca Surah al-Fatihah sebelum membaca surah lain pula.

Tidak lama kemudian Jay muncul dengan muka basah semacam. Macam mandi. Terhenti Hani mengaji. Terkejut melihat Jay basah lokos begitu.

“Apasal duduk kat sini ni? Pergi solat sendiri sana.” Jay rasa tak senang.

“Dah solatlah. Nak ngaji.”

“Ngaji kat bilik sendirilah. Sibuk aje!” Jay tak suka betul Hani masuk ke dalam biliknya.

“Nak tengok Abang Jay solat subuh.”

“Apasal? Ingat aku tak tunaikan janji?”

Hani hanya senyum.

Jay mendengus. Terus dia berdiri di atas sejadah.

Terbeliak Hani memandang Jay. “Eh! Eh! Eh!” Terjerit dia.

Jay berpaling ke arah Hani. “Apa lagi?” rengusnya.

Hani tuding ke arah Jay. “Kot ya pun, pakai kain pelekat tu. Ada ke solat pakai seluar pendek nampak lutut. Mana sah!”

Jay pandang kain pelekat yang Hani letak di atas katil. Huh! Ada-ada ajelah perempuan ni! Disarungkan kain pelekat itu. Dipakainya lebih kurang saja. Bukan dia reti sangat pakai kain pelekat pun. Tak berlengah, terus dia solat.

Hani menepuk dahi. Dilepaskan nafas lemah yang panjang. Tergeleng-geleng dia. Bahaya Jay ni. Bahaya. Tak boleh biar Jay macam ni. Dia kena buat sesuatu.


-*-*-*-*-*-


HANI memandu dengan tenang. Fokus dan penuh berhati-hati. Perjalanan yang memakan masa hampir dua jam lewat petang begini menguji kesabaran. Sesak di mana-mana. Apatah lagi di hari Jumaat.

Drive laju sikit boleh tak? Apa lembab kau ni?”

Hani mengerling Jay di sebelah. Dia mencemik sedikit. Abang Jay ni... cakap macam tak ada mata.

Drive macam ni sampai bila nak sampai? Kura-kura pun lagi cepatlah.” Jay makin bengang.

“Jalan jam kan? Kereta banyak. Semua baru balik kerja. Ada yang nak balik kampung bercuti agaknya. Hari Jumaat memang macam ni. Cuba bertenang. Istighfar. Tak lari gunung dikejar.” Rimas Hani tengok Jay menggelisah semacam. Tak menyabar.

“Pandai-pandailah cilok. Takkan tu pun nak ajar.” Jay mendengus. “Nilah yang menyampah kalau tengok perempuan drive. Berhemah sangatlah konon.”

“Yang mencilok tulah yang buat jalan lagi jam. Tahu tak? Yang pentingkan diri, yang tak bertimbang rasa, yang fikir dia aje nak cepat macam orang lain tak ada hal lain... yang tulah yang buat jalan makin sesak. Nilah mentaliti orang Malaysia. Nak mencilok aje tahu. Bahayakan kereta lain ke, menyusahkan semua driver yang ikut peraturan ke... semua tu dah tak peduli. Tu semua punca accident tu!” Tak pasal-pasal Hani berleter. Dia memang geram dengan pemandu yang pentingkan diri ni. Poyo!

“Berceramahlah pulak.” Jay menyindir. Meluat.

Hani menahan perasaan. Hai... dah kena perli pun tak terasa? Pelik betul. Hati batu Jay ni.

“Kalau tadi kau balik kerja kita terus pergi, tak adalah jalan jam macam ni. Ni nak mandi dululah. Nak tukar bajulah. Nak makanlah. Kau sengaja nak lengah-lengah.”

“Haa... nilah!” Hani mengangguk-angguk sambil tersenyum sinis. “Nilah contoh orang yang pentingkan diri sendiri. Selfish! Tak fikir orang penat balik kerja nak segarkan badan dulu, barulah nak drive tak rasa mengantuk. Tak fikir orang lapar perut kosong. Kalau masuk angin kena gastrik, ada Abang Jay nak ambil tahu?”

Jay terdiam. Kata-kata Hani tajam hingga menusuk ke dasar hati. Tersentap dia. Mula sedar yang dia tak bertimbang rasa pada Hani. Tapi dia tetap rasa diri dia betul. Sebab Hani yang menyusahkan diri sendiri nak hantar aku. Bukan aku paksa pun!

Dia duduk bersandar dengan selesa sambil berpeluk tubuh. Nak mengaku salah memang taklah. Kedekut nak bagi pinjam kereta. Kalau tak, tak adalah bersesak kat jalan sekarang ni. Hanilah punca segala masalah!

“Bukan jam sangat pun jalan ni sampai kereta tak bergerak langsung. Cuma sebab banyak kereta aje. Tu yang slow sikit. Tapi taklah slow sangat. Nanti dah masuk highway ke KL, bolehlah drive laju sikit. Sekarang yang paling penting, kita doa biar selamat pergi, selamat sampai, selamat balik. Mudah-mudahan sepanjang perjalanan kita dilindungi ALLAH.” Tenang Hani bersuara. “Gaduh-gaduh nak pergi mana? Bukan boleh terus sampai KLIA pun.”

Tersentap sekali lagi Jay dibuatnya. Aku kutuk dia dalam hati, dia boleh cakap baik-baik macam ni. Haih... rasa bersalahlah pulak.

Flight makwe Abang Jay pukul 10.30. Insya-ALLAH sempat sampai pukul 8.00 lebih. Harap-harap tak jam teruk menghala ke KL nanti. Boleh Abang Jay jumpa makwe Abang Jay tu.” Hani mengerling jam di dashboard. Pukul 6.30 petang. Dia akan cuba untuk sampai di KLIA sebelum pukul 9.00 malam selewat-lewatnya.

Kata-kata Hani itu membuatkan Jay rasa semacam. Tak tahu nak cakap macam mana. Aku nak jumpa Liana kat KLIA. Dan yang bawa aku jumpa buah hati aku tu isteri sendiri. Tak ke pelik? Entahlah...

Sedang kereta Hani bergerak mengekori kereta di hadapan, tiba-tiba kereta di hadapannya itu menekan brek mengejut. Menyala lampu merah belakang kereta itu membuatkan Hani bersegera menekan pedal brek mengejut juga. Sempat dia menghadang tangan kirinya menahan tubuh Jay. Tersentak mereka ke depan.

Bulat mata Jay kerana terkejut. Sikit lagi kereta Hani nak mencium kereta di hadapan mereka.

“Allahuakbar... astaghfirullah... astaghfirullah...” Hani menarik nafas lega. “Ya ALLAH... astaghfirullah...” Diulang-ulang beristighfar.

Jay yang masih berderau dada terdiam menahan nafas. Macam nak tercabut jantung rasanya ketika ini.

Hani menurunkan tangannya daripada menahan tubuh Jay. Direnung Jay yang terkaku. “Abang Jay okey tak?”

Jay menelan liur dan mengangguk teragak-agak.

“Pakai seat belt tu, Abang Jay.” Hani menyuruh sambil menggerakkan semula kereta apabila kereta di hadapannya bergerak semula. Dari tadi lagi sebenarnya dia nak suruh Jay pakai tali pinggang keselamatan. Tapi entah kenapa mulutnya macam tak tercakap pula. Mujur tak jadi apa-apa.

Jay hanya menurut. Ditarik tali pinggang keselamatan dan menguncinya. Agak menggigil tangannya. Kalaulah tadi Hani tak menahannya dengan tangan, mesti dah tersembam mukanya ke dashboard.

Hani perasan perubahan air muka Jay. Mesti terkejut gila. Pucat wajahnya. “Hmm... kita baca Ayat Kursi sama-sama ya? Moga ALLAH akan sentiasa jaga kita,” ujar Hani seakan-akan memujuk Jay agar bertenang.

Dimatikan radio yang dipasang. Lalu dibacakan Ayat Kursi dengan nada yang lembut. Agar mendamaikan hatinya dan hati Jay.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku