ISTERI ACAH-ACAH
BAB 21
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 23 Mac 2017
Penilaian Purata:
(12 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
3076

Bacaan






SEPANJANG jalan selepas itu suasana jadi sepi antara mereka. Yang kedengaran hanya suara dari corong radio. Hani menumpukan sepenuh perhatian pada pemanduan. Jay pula terlena di sebelahnya. Dibiarkan saja. Mujur trafik agak lancar walaupun banyak kenderaan ketika ini.

Sehinggalah apabila mereka memasuki lebuh raya ke Damansara. Kelajuan diperlahankan sedikit. Agak banyak kenderaan. Apatah lagi sudah maghrib. Suasana siang berganti gelapnya malam.

Jay terjaga daripada tidur. Dia menggeliat melepaskan rasa lenguh badan sambil menguap.

Hani memerhati dengan kerlingan saja.

“Dah sampai mana ni?” Jay meliarkan pandangan ke luar cermin tingkap. Jam tangannya dipandang. Sudah pukul 7.20 malam.

“Hmm... dah kat area Petaling Jaya. Lepas ni kita akan masuk ELITE highway terus ke KLIA.”

Jay melepaskan nafas panjang. Rasa penat sangat walau baru sejam lebih berada dalam kereta.

“Dah masuk waktu maghrib. Niat solat jamak tau. Sampai airport baru kita solat. Kalau tak nanti lambat pulak sampai,” cadang Hani.

“Kalau nampak stesen minyak berhenti kejap.” Tanpa mempedulikan kata-kata Hani, Jay mengarah pula.

“Kenapa?”

Jay menjeling Hani. “Tak payahlah tanya kenapa.” Tu pun nak tahu. Takkan aku nak cakap.

Hani ketawa. Ni mesti nak buang air. Saja tanya kenapa. Manalah tahu Jay nak buat benda lain.

Dan tidak lama selepas itu apabila nampak papan tanda stesen minyak, Hani memberi isyarat ke kiri untuk beralih ke lorong paling tepi. Dia memasuki laluan yang hendak dituju sebelum berhenti di kawasan parkir di bahagian tepi stesen minyak. Agak berdekatan dengan tandas.

“Abang Jay pergilah. Saya tunggu dalam kereta.” Lalu Hani membuka kunci pintu.

Tanpa berkata apa-apa, Jay melangkah keluar. Terus dia menuju ke tandas.

Hani mengunci pintu semula. Sementara menunggu Jay, dia membelek telefon bimbitnya. Sempat juga menghantar mesej di WhatsApp kepada Azah. Rindu dia dengan adiknya itu. Tak sampai sebulan dah rasa macam setahun tak jumpa. Rindu betul dia.

Azah tak membalas mesejnya. Barangkali ada kuliah. Jadi, dia membuang masa membelek aplikasi lain yang ada di dalam telefon bimbitnya. Macam-macam yang dibelek.

Sedang ralit dengan telefon bimbitnya, tersentak dia apabila terdengar suara orang menjerit. Matanya meliar. Alangkah terkejutnya dia dalam remang-remang maghrib itu melihat seorang lelaki yang memakai topi keledar memijak-mijak belakang seorang lelaki yang tertiarap di atas lantai. Tangannya memegang sebuah topi keledar lagi. Di sisi mereka ada seorang lelaki duduk di atas motosikal. Dalam sekelip mata lelaki yang memijak tadi melompat ke atas motosikal dan berdesup memecut pergi.

Hani bergegas keluar dari kereta. Niatnya nak tolong. Tetapi sebaik saja melihat lelaki yang tertiarap itu, dia menjerit. Dia kenal bentuk tubuh Jay walau dalam gelap.

“Abang Jay! Abang Jay!” Hani meluru mendapatkan Jay. Melutut dia di sisi Jay dan membantu lelaki itu menelentang. Dadanya berderau. Jantungnya berdegup kencang macam nak pecah.

Jay mengerang. Tangannya memegang kepala.

Hani lihat muka Jay sedikit bercalar memerah. “Ya ALLAH... Abang Jay! Astaghfirullah... ya ALLAH... Abang Jay, kenapa ni? Bangunlah... Abang Jay...” Matanya mula bergenang. Perasaan sebak bergelora. Sayu hatinya. Kesian dia tengok keadaan Jay ketika ini. Macam nyawa-nyawa ikan. Dia cuba mengangkat Jay supaya berdiri. Namun, tak berdaya.

“Kenapa ni? Kenapa ni?”

Hani menoleh. Tiga orang lelaki menghampiri mereka dan cuba membantu.

“Apa dah jadi?” soal lelaki yang mahu menolong itu lagi.

“Suami saya kena pukul dengan mat motor. Tak tahu kenapa.” Nada Hani sebak. Air matanya luruh ke pipi.

Wallet saya... handphone...” Suara Jay lemah mengerang.

Bulat mata Hani terkejut. Diraba poket seluar Jay. Kosong! Ya ALLAH... seluruh tubuhnya bagaikan tak berdarah.

“Dia kena samun,” rumus salah seorang lelaki itu.

Macam nak pitam Hani ketika ini. “Ya ALLAH...” Berderai air matanya tak tertahan lagi. Kesiannya Jay.

“Kita angkat dia bawa ke kereta. Mana kereta?” soal lelaki itu lagi. Jay dipapah mereka bertiga.

Hani segera melangkah ke keretanya dan membukakan pintu penumpang bahagian hadapan. Dilihat ramai yang mengerumuni mereka. Pasti berita Jay disamun lelaki bermotosikal sudah hecoh.

Dengan bantuan tiga orang lelaki tadi, Jay dibawa masuk ke dalam kereta. Kerusi yang Jay duduk direndahkan. Jay masih mengerang dengan muka berkerut-kerut.

Setelah mengucapkan terima kasih, bergegas Hani memandu kereta beredar dari situ. Mukanya cuak. Menggelabah dia. Debaran di dada menggila. Air mata gugur berderai. Tertinjau-tinjau dia melihat papan tanda. Apabila mendengar Jay masih mengerang, dia sangat risau.

“Bertahan, Abang Jay. Saya tengah cari jalan nak ke klinik. Abang Jay istighfar ya? Istighfar banyak-banyak.” Suara Hani bertambah sayu. Air matanya gugur lagi. Diseka dengan hujung lengan.

Jay tetap mengerang sambil tangan memegang kepala.

Oleh kerana kalut menggelabah tak tahu jalan, Hani berhenti di tepi jalan. Dibuka aplikasi Waze lalu mencari klinik yang terdekat. Menggeletar tangannya.

“Ya ALLAH... permudahkanlah urusan kami, ya ALLAH...” Berjuraian air mata Hani. Sebak.

Simpatinya pada Jay bertimpa-timpa. Mujur carian di Waze berjaya. Tak berlengah dia mengikut arahan aplikasi itu. Entah ke mana-mana ceruk pun dia tak tahu. Dia tak peduli dah berada di mana. Dia cuma mahu ke klinik sesegera yang mungkin.

Sehinggalah akhirnya dia nampak signage klinik di sebuah bangunan kedai. Sekurang-kurangnya dia sudah boleh menarik nafas lega seketika.


-*-*-*-*-*-


“NAMPAKNYA, tak ada tulang yang patah atau retak.” Doktor lelaki itu memberitahu sambil memerhati keputusan yang diperolehi daripada imej X-ray.

Sambil memejam mata Hani menghempas nafas lega. Lega yang teramat lega. Berkocak hatinya ketika ini mendengar kata-kata doktor bertugas itu. Dikerling Jay yang berbaring di atas katil sambil dirawat dua orang jururawat. Belakang kepala Jay koyak dan berdarah. Jururawat itu sedang membersihkan luka itu. Patutlah Jay asyik mengerang dan memegang kepala. Dalam keadaan agak gelap tadi dia tak perasan ada darah yang meleleh di kepala Jay.

“Luka kat belakang kepala suami puan pun tak serius. Cuma tiga jahitan aje. Yang lain-lain tak ada apa-apa,” sambung doktor itu lagi.

Hani berpaling memandang doktor itu sambil meleretkan sedikit senyuman. “Alhamdulillah... Lepas ni saya nak ke balai polis, doktor. Nak buat report. Doktor buatkan surat untuk suami saya boleh tak? Surat yang mengesahkan suami saya dirawat kat sini lepas kes samun. Tadi, saya dah ambil gambar luka dan lebam sekali.”

Doktor itu senyum sambil mengangguk. “Saya beri sekali ubat tahan sakit dan ubat luka.”

Melihat Jay dibantu jururawat untuk turun dari katil, Hani bingkas berdiri. Dia nak paut tubuh Jay tapi Jay memberi isyarat tak mahu. Jay mahu jalan sendiri.

“Nanti makan ubat yang saya bagi tu ya, Encik Jay. Sengal-sengal badan encik akan berkurang. Boleh ambil ubat kat kaunter luar,” pesan doktor itu selepas menyerahkan kertas laporan kepada jururawatnya.

“Terima kasih, doktor.” Hani sudah berura-ura mahu membuka pintu.

“Lepas ni, kena sentiasa berhati-hati.” Sempat lagi doktor itu mengingatkan.

Hani membuka pintu sambil mengangguk dengan senyuman. Disuruh Jay keluar dahulu dan segera dia menutup pintu.

Selesai mengambil ubat dan membuat pembayaran, mereka melangkah keluar menuju ke kereta. Hani tolong bukakan pintu untuk Jay. Sesudah Jay melolos masuk, barulah dia pula masuk ke dalam kereta. Oleh kerana dia tak tahu di mana balai polis terdekat, dicari melalui aplikasi Waze sekali lagi.

“Kita terus pergi airport,” arah Jay. Tegas.

Hani terdiam seketika. Dia berpaling memandang Jay dengan dahi berkerut. “Tapi kita kena buat report.”

“Aku kata pergi airport, pergi ajelah!” Nada Jay meninggi. Langsing bunyinya.

Tergamam Hani. Dikerling jam di dashbord. Sudah pukul 8.50 malam.

“Cepatlah!” Jay menengking pula. “Aku ni dahlah sakit. Kau tahu tak kita dah terlambat? Lagi nak terhegeh-hegeh pulak. Janganlah buat aku naik angin!”

Hani mengangkat tangan. Mengalah. “Okey, okey... kita terus pergi airport.” Muka Jay kelihatan ketat dan mencuka. Dia menghulurkan telefon bimbitnya pada Jay.

Jay merenung dengan dahi berkerut.

“Ambil handphone saya ni. Call bank dan suruh block kad bank Abang Jay semua sekarang.”

Jay mencapai telefon bimbit Hani itu. Tak tahu nak cakap macam mana. Sikap prihatin Hani buat dia... ah, tak payah nak terharu sangatlah! Memang dia kena tolong aku pun.

Kereta Hani meluncur laju menghala ke arah Sepang. Sayu hati dibiarkan dipendam dalam hati. Nampaknya, kekasih lebih penting daripada segala-galanya bagi Jay. Biar hilang semua harta yang ada asalkan tak kehilangan buah hati. Dan ini sebenarnya peringatan Jay untuk aku. Yang aku bukan sesiapa di hatinya. Diam-diam matanya mula bergenangan.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku