5 TAHUN UNTUK CINTA
Bab 1
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 26 Mac 2017
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
1207

Bacaan






Bab 1

CUACA sejuk di awal pagi membuatkan perjalanan terasa nyaman dan selesa. Tidak berpeluh sedikitpun malah tidak juga kesejukan biarpun suhu menunjukkan beberapa belas darjah Celsius. Lima minit berjalan kaki membawa kedua-dua gadis tiba di kawasan lapang yang luas. Mata Syaza menjajat sekeliling sambil nafas ditarik bagi menghirup udara pagi yang masih segar. Sana sini penduduk tempatan mulai keluar bagi melunasi urusan sendiri. Mungkin ke tempat kerja masing-masing kerana hari itu hari Selasa.

Kedua-dua sahabat tadi memperlahankan langkah. Setelah melintas jalan dan bergerak ke kanan selama beberapa minit, mereka kini berada di satu kawasan yang dikenali sebagai Hippodrome.

Syaza memerhati seluruh dataran yang luas dan lapang itu. Hanya kelihatan seorang pekerja majlis perbandaran sedang menyapu sampah di satu sudut dataran. Jauh di hujung sana, dua ekor anjing sedang nyenyak tidur. Selebihnya tiada apa-apa yang mengganggu ketenteraman, nyaman tanpa gangguan. Syaza tersenyum puas menikmati semua itu.

“Dina, kita berhenti sini kejap.” Syaza mencuit bahu rakan yang berada satu langkah di hadapannya.

“Apasal kau ni?” Irdina menoleh lalu bertanya dalam nada tidak puas hati. Dia kembali melangkah.

“Penatlah. Dari hotel kita dah turun naik bukit. Lepas tu panjat tangga lagi. Ni baru nak rasa tanah rata. Aku nak ambil nafas kejap.” Syaza yang beberapa kali menarik nafas dan menghirup udara segar di situ, membalas. Tidak perlu tergesa-gesa. Biar puas menikmati keindahan bumi Istanbul ini dalam suasana santai dan tenteram. Barulah betul-betul bercuti namanya!

“Kau ni tak fit langsung,” gerutu Irdina. Namun langkahnya diperlahankan juga.

“Eh, aku sihat apa,” tukas rakan yang kini menyaingi langkah rakan tadi. “Kita relaks dan enjoy pemandangan kat sini dulu. Lagipun apa hal kita nak tergesa-gesa ke sana? Nak kejar apa? Masih awal lagi. Baru pukul lapan setengah.” Sambil membebel, Syaza mengintai jam di pergelangan.

“Kita dah janji nak jumpa Lan kat depan stesen tramvay tu. Aku tak nak dia tunggu lama.”

“Yang aku tahu… selalunya kita yang kena tunggu dia,” balas Syaza. Bukan dia tidak faham perangai si Mazlan kekasih hati Irdina itu. Selalu lewat jika mahu ke mana-mana bersama. Inikan pula berjanji di awal pagi. Dengan cuaca dingin macam ini, entahlah…

Mata Syaza melingas ke kanan, sempat mengintai tembok yang membataskan pandangannya terhadap Blue Mosque. Kecantikan masjid yang sering diperkatakan oleh pelancong-pelancong itu terhadang dari pandangan mata. Ah, sayangnya. Semalam, setengah hari mereka menghabiskan waktu di sana. Memang dia telah terpikat dengan keindahan dalaman mahupun luaran masjid tersebut! Bersyukur kerana sempat berjemaah dua waktu di situ. Zuhur dan Asar.

Whatever. Tapi aku nak juga sampai situ awal.”

Suara Irdina menampan telinganya, Syaza tersedar dari lamunan.

Irdina memang begitu, tidak mahu mendengar atau menerima apa sahaja kritikan terhadap buah hatinya sekalipun ia benar. Syaza pula tidak peduli. Apa sahaja yang dirasakan tidak kena dengan lelaki itu, dia akan berterus-terang menyampaikan kepada Irdina. Dia sendiri kurang pasti apa yang Irdina suka sangat tentang teman lelakinya itu. Mungkin ketampanannya. Tidak dinafikan, itulah satu-satu aset lelaki tersebut selain pandai mengayat.

“Hm, suka hati kaulah.”

Irdina sudah menonong ke hadapan. Syaza kini berlari anak untuk menyaingi langkah gadis itu.

Cuaca pagi agak redup dan sejuk berbanding semalam. Iklim di Istanbul pada awal April masih tidak ketentuan. Jika hari ini matahari mengingatkan tentang kehadirannya, namun esok lain cerita. Matahari menyembunyikan wajah hingga suasana jadi sejuk semula dan suhu menjunam. Kadang-kadang gerimis yang hadir di waktu pagi sudah cukup membuat kita menarik selimut dan keberatan bergerak walaupun ke luar bilik. Jika mahu keluar berjalan-jalan haruslah beringat untuk membawa atau menyarungkan terus kardigan mahupun jaket.

Sambil melangkah Syaza memandang sekeliling. Sudah kelihatan beberapa orang pelancong Eropah yang mula berkeliaran. Nampak seperti mereka sedang mencari gerai makan yang baru hendak dibuka.

Langkah kaki telahpun membawa mereka sampai ke hujung dataran. Kedua-dua sahabat mendaki beberapa anak tangga menuju stesen perhentian tramvay. Syaza menoleh ke kanan, matanya merakam sebuah kolam yang dihiasi air pancuran di tengah-tengah. Melepasi itu, Irdina dengan Syaza terus menapak beberapa langkah sahaja dan kini mereka berada betul-betul di hadapan stesen tramvay Sultanahmet.

“Mana boyfriend kesayangan kau tu?” soal Syaza setelah sepuluh minit mereka berada di situ. Sudah berkali-kali matanya menebak sekeliling mencari kelibat orang yang di nanti, namun hampa. Hatinya mulai geram. Dia menarik nafas panjang pendek berselang-seli.

“Alah, kejaplah. Nanti dia datang. Kita ni awal, kot,” balas Irdina sambil melemparkan pandangan ke seberang jalan bertujuan mencari Mazlan. Di sana tersedia deretan kedai yang menempatkan pelbagai aktiviti perniagaan. Kebanyakannya yang berkait rapat dengan industri pelancongan. Dari hotel ke kedai makan, pengurup wang mahupun yang menjual cenderahati. Semuanya ada. Pelancong hanya perlu menentukan urusan apa yang mereka mahu di situ.

Masa terus merentas. Syaza sudah tidak betah duduk di bangku lagi. Resah macam kucing kehilangan anak.

“Tu bukan dia ke?” Laju Irdina menuding ke arah laluan tramvay di hadapan mereka. Itupun setelah beberapa waktu berlalu.

“Mana?”

Seorang jejaka berjaket kulit warna hitam kelihatan melintas jalan di tengah kesibukan orang ramai yang menunggu ketibaan tram yang akan berhenti di situ bila-bila masa sahaja. Daripada lenggoknya, seperti identiti orang yang sedang mereka perkatakan.

“Kan dia dah datang.” Irdina menjeling rakan yang sudah resah di sisi. Muka macam budak menang larian 100 meter di hari sukan sekolah saja.

“Memang patut dia datang pun. Dah lebih setengah jam kita tunggu,” cebik Syaza selamba. Eei, pagi-pagi dah buat hati aku geram, bebelnya di dalam hati.

Irdina pura-pura tidak mendengar.

Sorry girlsI overslept.” Mazlan yang selamba mendekati mereka itu awal-awal lagi sudah membentangkan alasan. Wajah meraih simpati dihadap kepada kedua-dua gadis. Sikit punya manis senyumannya. Dia perlu yakinkan kedua-dua gadis supaya tidak marah kepadanya.

“Takpe. Yang penting you dah sampai.” Senyuman lega dihadiahkan Irdina kepada jejaka itu sementara Syaza hanya mencebik.

“Jom, kita pergi terus.” Mazlan mengintai wajah bengang Syaza yang diam. “You okay, Syaza?” soalnya pura-pura mengambil hati. Dia melebarkan senyuman. Dia tahu gadis ini masih sebal dengan kelewatan dia yang memaksa mereka menunggu lama.

“Hm.” Syaza angguk sambil menarik muka kelat.

Seiringan mereka bergerak mengikut arus orang ramai yang merupakan pelancong yang mula membanjiri seluruh kawasan tersebut.

“Korang dah sedia nak redah Topkapi Museum pagi ni, kan?” Mazlan yang berjalan di tengah-tengah itu tidak menujukan kata-katanya kepada sesiapa secara khusus. Selamba menukar topik.

“Mestilah!” Kedua-dua sahabat menjawab serentak.

“Eh, kau renung apa tu?” celah Irdina setelah beberapa minit mereka berjalan dan mendapati Syaza asyik menoleh ke belakang beberapa kali.

“Mm… aku rasa macam dah nampak mamat sorang ni semalam. Masa kita singgah di Arasta Bazaar.” Syaza masih merenung ke belakang. Melihat kepada dua orang pemuda yang berselisih dengan mereka sebentar tadi.

“Ah, pelancong ramai kat sini,” balas Mazlan. Dia melajukan langkah.

Syaza diam menyaingi kedua-dua rakan. Namun sesekali dia melontar pandangan ke belakang. Hatinya tidak sedap. Sejak dua, tiga hari ini terasa seperti mereka diekori dan gerak-geri mereka diperhati. Kat Turki ni pun ada stalker?


Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 | Bab 5 | Bab 6 | Bab 7 | Bab 8 | Bab 9 | Bab 10 | Bab 11 | Bab 11A | Bab 12 | Bab 13 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku