5 TAHUN UNTUK CINTA
Bab 2
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 26 Mac 2017
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
632

Bacaan






Bab 2

“HAH, letihnya. Jauh benar kita berjalan sejak pagi. Hari-hari macam ni pancitlah aku,” rungut Irdina. Dia segera berlabuh di sebuah bangku kayu apabila dikosongkan oleh tiga orang wanita separuh umur. Mereka sudah beredar dari museum Topkapi dan kini tiba di kawasan taman antara Hagia Sophia dengan Blue Mosque. Sebuah taman yang dipenuhi dengan hamparan tulip yang ditanam padat dalam warna-warna merah terang, kuning, purple dan putih. Dari atas titi kecil yang disediakan di situ, hamparan tulip berwarna-warni tadi membentuk satu corak yang kelihatan seperti sehelai permaidani.

“Museum Topkapi tu hari-hari ramai orang, kot. Kalau kita lewat sikit aje tadi, panjanglah nak beratur untuk masuk ke ruang pameran. Rimas aku dengan orang ramai ni,” rungut Syaza keletihan. Untuk masuk ke setiap ruang pameran yang terdapat di situ, semuanya terpaksa beratur.

“Kat luar sini pun apa kurangnya… bertali arus pelancong. Yang aku pelik tu, orang tempatan pun sama naik je,” bebel Irdina menambah cerita rakannya. Tidak menyedari si Syaza sudah bergerak dari tempat mereka berlabuh tadi.

“Dina… cer kau datang tengok Blue Mosque tu dari sudut sini,” laung Syaza yang kini sibuk menghalakan lensa kameranya ke arah masjid yang dimaksudkan. Dari sudut dia memfokuskan lensa kameranya, masjid itu kelihatan begitu indah.

Irdina segera bergerak ke sisi rakannya.

“Ha’ah. Cepatlah klik gambarnya. Nanti ada pulak pelancong yang masuk dalam gambar. Menyemak aje,” gesa Irdina segera.

“Eh, kalau terakam gambar orang yang ramai kat sini apa salahnya? Senario macam tu biasalah.” Sambil berbual Syaza tidak henti-henti menekan punat kameranya. Membidik dan merakam sebanyak mungkin suasana dan kecantikan tempat tersebut buat kenangan. Pemandangan Masjid Biru, air pancut, deretan kafe yang menarik perhatian pelancong semuanya dimuatkan. Dan pastinya bunga-bunga tulip pelbagai warna yang ditanam di serata kawasan itu tidak ketinggalan menjadi model lensa kameranya! Dia mahu membawa balik sebanyak mungkin kenangan dari negara yang dilawati ini. Sejak dulu Syaza menyimpan hasrat untuk ke negara Turki yang banyak menghimpun sejarah Islam di zaman kegemilangan Sultan Muhamad Al Fatih. Di zaman pemerintahannya, baginda sangat terkenal dengan kewarakan sikapnya.

“Eh, yang kat depan tu macam orang Malaysia aje.”

“Ah, berlambak orang Malaysia datang sini hari-hari, beb.” Irdina selamba menjawab.

“Mana kau tahu?”

“Kakak aku yang ada syarikat pelancongan tu cakap. Kalau rombongan ke Turki mesti kuota cepat habis. Tu belum lagi yang datang sini sendiri-sendiri macam kita ni.” Kebelakangan ini menjadi satu trend bagi rakyat Malaysia bercuti ke Turki. Mungkin tarikan tempat-tempat bersejarah negara itu atau kecantikannya sudah dikenali di seluruh dunia. Kebetulan semakin ramai rakyat Malaysia yang mampu, tidak hairanlah mereka memilih untuk bercuti di Turki atau mana-mana negara di Eropah mahupun Asia.

“Kita lain, kita datang dari Eropah.” Syaza mengusik.

“Apa bezanya? Orang Malaysia sekarang dah ada taste… melancong sana sini. Eropah pun bersepah dengan orang kita,” cerita Irdina lagi.

Syaza hanya mencebir.

“Mana Lan pergi? Lama pula dia. Aku macam terasa nak makan aiskrim.” Irdina meluahkan hasrat sambil mencari kelibat jejaka yang menghilang. Terlupa yang dia sendiri telah mengerah pemuda itu membelikan aiskrim di kedai yang tidak berapa jauh dari tempat mereka berehat.

“Ah, kejap lagi dia datanglah. Kau nii… dah macam tak boleh berenggang langsung,” marah Syaza. Menyampah dengan sikap manja tak bertempat Irdina.

“Eh, ke situ pulak kau…” tepis Irdina.

“Dina, kau tengok mamat tu… ada rupa orang Turki tapi kulit gelap sikit, macam orang Hindustan aje.” Belum sempat Irdina habiskan ayat, Syaza sudah menukar topik. Dia menuding kepada dua lelaki yang duduk di bangku tidak jauh dari mereka.

“Mana… mana?” Kata-kata itu membuat Irdina tertinjau-tinjau sekeliling.

“Yang duduk kat bangku tu. Kacaklah pulak aku tengok, dengan jambang dan misai dia,” bisik Syaza.

“Adik-beradik Shah Rukh Khan dengan Amir Khan, kot.” Irdina yang tidak berminat kepada kedua-dua lelaki itu membalas.

“Aku nak tengok dia lama-lama tapi dia dah toleh arah lain pula. Eh, aku rasa dia tu orang yang sama aku nampak pagi tadi.”

“Ramai sangatlah yang kau nampak dan terminat. Seriously, yang mana satu pilihan kau?” usik Irdina.

“Siapa kata aku nak? Eei… kau ni Dina, aku cuma suka tengok dia orang aje.” Syaza menempelak balik.

“Orang mana pun dia, sah-sahlah bukan orang Malaysia. Aku yakin dia tu orang tempatan. Kau tengok yang kat sebelah dia, rupa lebih kurang aje. Sya, Sya… kau, kalau pasal mamat berjambang memang tak boleh lepas, ek?” Irdina tersengih sinis mengenang minat rakannya terhadap lelaki berjambang. Peliknya, hobi itu baru berputik beberapa bulan kebelakangan ini.

“Jambanglah yang buat seorang lelaki nampak macho. Ada sifat kelelakian. Entahlah, kebelakangan ni memang cair hati aku dengan si jambang.”

“Tangkap bawa balik Malaysia, nak?” Irdina sengaja memberikan cadangan merapunya.

“Jom.” Syaza melayan repekan rakannya.

“Kau ni… tahulah dah lama tak balik Malaysia, tapi takkanlah terdesak sampai macam tu sekali. Semua mamat kau nampak macam orang Malaysia aje. Si dia kau tu ada rupa macam mamat tadi, eh?” Irdina mengingatkan rakannya tentang seseorang.

“Hei, korang borak apa tu? Mesti dah lupa kat aku ni. Tadi ni siapa yang nak sangat makan aiskrim?” Suara Mazlan mencelah bualan kedua-dua sahabat itu. Di tangannya terdapat tiga kon yang padat berisi aiskrim.

USAI bersarapan mereka bertiga keluar menaiki tram dan turun di stesen Cemberlitas. Dari situ mereka berjalan kaki ke Grand Bazaar. Ia merupakan kawasan berbumbung yang sangat luas yang menempatkan gerai-gerai jualan pelbagai produk. Ia syurga bagi pelancong yang kemaruk membeli-belah. Dari makanan, cenderahati, pakaian dan macam-macam lagi, semua boleh didapati di sini. Barang-barang seramik hasil tangan orang tempatan juga sangat banyak dijual di sini. Ia datang dalam pelbagai bentuk, saiz dan warna yang dilukis dan diukir dengan corak-corak menarik. Pendek kata, tepuk dada… tanya dompet sama ada yang kempis atau yang berkepuk.

Suasana di dalam Grand Bazaar masih lengang sewaktu mereka tiba. Hanya se bilangan gerai kelihatan sudah dibuka. Pengunjung pun belum begitu ramai lagi, namun sudah ada yang merayau-rayau dan melihat-lihat barangan yang dipamerkan.

“Diorang ni baru nak buka gerai.” Irdina berkata sambil mata melilau sekeliling.

“Ya lah, hari ni kita awal sikit dari biasa.” Syaza menjeling Mazlan yang berjalan di sisi buah hatinya. Entah apalah mimpi dia malam tadi, tup, tup awal pula terbangun pagi ni!

Selalunya mereka terpaksa menunggu Mazlan, namun pagi tadi terkejut mereka mendapati dia sudah tercongok di ruang sarapan, menunggu mereka untuk sama-sama menikmati hidangan di meja bufet. Sudah dua hari Mazlan berpindah ke hotel yang mereka menginap setelah ada kekosongan bilik.

“Kita ronda-ronda dulu sementara nak tunggu banyak lagi gerai dibuka. Luasnya kawasan ni. Entah berapa jam baru nak habis pusing.” Mazlan melajukan langkah sebaik berkata begitu.

“Apa yang kita cari sebenarnya?”

“Entah la kau… tapi aku dah ada senarai panjang. Nak beli fridge magnet banyak-banyak, pashmina dan pinggan-pinggan seramik yang cantik tu untuk ibu aku. Dia minat mengumpul pinggan mangkuk. Mesti dia suka.” Awal-awal lagi Syaza sudah memasang niat mahu membelikan semua itu untuk ibunya dan saudara-mara serta kawan-kawan lama yang bakal ditemui bila balik kelak.

Setengah jam meronda, kini kebanyakan gerai sudah beroperasi. Penjual memanggil-manggil semua pengunjung yang lalu untuk singgah di gerai masing-masing. Persaingan amat sengit. Penat meronda di ruang yang besar itu, mereka berhenti di sebuah gerai yang menjual pashmina.

“Dari Malaysia? Mari, mari!” Seorang penjual menegur mereka.

“Pandai pula dia cakap Melayu,” bisik Syaza kepada rakan-rakan yang di kiri kanannya. Mereka hanya mengangguk.

“Tu maknanya orang Malaysia selalu datang sini,” kata Mazlan seraya menghampiri gerai lelaki tersebut. Syaza dengan Irdina ikut sama.

“Ini cantik. Belilah,” ujar lelaki itu lagi dalam bahasa Inggeris yang agak terhad.

Mereka membelek beberapa helai pashmina yang dihulurkan lelaki tersebut. Dia mula membuka lipatan untuk beberapa helai pashmina. Menampakkan design dan kombinasi warna yang menawan hati.

“Korang tengok sini dulu, aku nak jenguk barang-barang dekat gerai sebelah sana tu.” Dengan ayat itu Mazlan pun beredar.

“Eei, semuanya cantik-cantik! Aku dah rambang mata ni. Dina, kau tolong pilihkan untuk aku.”

“Ibu kau suka warna apa?”

“Entah. Biru dan hijau kot.” Syaza sudah lupa warna kegemaran ibunya.

“Kalau macam tu ambil beberapa helai. Biru, kuning, hijau dan apa-apa warna yang nampak cantik,” saran Irdina. Dia juga sudah mabuk kepayang melihat semuanya.

Mereka leka memilih beberapa helai sementara si Mazlan masih berada tidak jauh di gerai yang menjual aneka T-shirt. Kini bungkusan pashmina bertukar tangan setelah Syaza membuat bayaran.

“Lan, kami nak ke depan. Gerai yang jual barang-barang seramik tu,” laung Irdina memberitahu teman lelakinya sebelum mereka meninggalkan dia yang masih memilih.

“Okey.”

“Sya, kau nak beli mangkuk seramik kan. Jom. Aku nampak kat kedai sana tu ada yang cantik-cantik.”

Mereka bergerak ke arah yang dimaksudkan. Untuk beberapa minit mereka leka memilih dan mengamati mangkuk serta barangan seramik yang dilukis tangan dengan corak pelbagai. Ada corak etnik. Tak ketinggalan corak bunga-bunga, terutama tulip!

“Kau rasa mahal ke?”

“Tak, kot.”

“Berapa?” soal Irdina dalam bahasa Inggeris. Lima biji mangkuk dalam pelbagai warna dan corak berada di tangannya. Syaza masih memilih beberapa biji lagi. Sudah kemaruk hingga tidak tahu nak berhenti.

Penjual menyebut satu amaun yang agak tinggi.

What?” Teringat pesanan seorang rakan yang selalu ke sini supaya tidak malu untuk tawar-menawar. Kadang-kadang harga pembuka agak tinggi dan melampau. Tidak logik. “Awak pasti?” soal Syaza sinis.

“Ya. Itulah harganya,” balas penjual itu. Serius suaranya.

“Terlalu mahal,” bentak Syaza. “Kurangkan sikit, boleh ke?”

I’m sorry.” Peniaga menggeleng.

Please…

No. Ini sangat murah.”

“Saya mahu beli banyak. Ni semua ni… tapi harga awak mahal sangat. Kurangkan lagi.” Syaza seakan bertekak dengan lelaki itu. Geram dengan sikap penjual ini yang tidak boleh bertolak ansur walaupun sikit.

“Tak boleh.”

“Jom kita ke gerai lain.” Syaza meletakkan semula semua mangkuk yang sudah diasingkan untuk dibeli. Tidak jadi beli kerana harganya dirasakan tak berbaloi. Banyak lagi kedai yang menjual barangan yang sama. Mereka mula bergerak ke gerai lain.

Miss!” laung lelaki tadi kuat. Dia sudah mendekati mereka.

“Awak ambillah,” katanya dalam suara yang sedikit tinggi.

“Tak naklah. Mahal sangat,” tolak Syaza.

Lelaki itu terus mendesak. Tidak mahu melepaskan mereka. Dalam pada itu seorang rakan si penjual menghampiri mereka. Sama-sama mendesak supaya mereka membeli. Lain macam ragamnya. Naik cuak Syaza dengan Irdina. Berdebar-debar. Bimbang kalau mereka diapa-apakan.

“Mana pulak si Mazlan ni?” bisik Irdina sambil mencari kelibat pemuda itu. Semakin risau kerana tak bayang Mazlan pun tak kelihatan.

Syaza terus meninggikan suaranya. “Saya tak nak! Awak tak boleh paksa saya! Dina, jom kita blah cepat.” Lekas ditarik tangan Irdina. Perlu beredar dari situ.

“Harga boleh runding,” ujar lelaki itu. Dia dengan rakannya semakin mendekati mereka. Cuba menghalang mereka dari beredar.

“Eh, ni lain macam aje ni.” Irdina bersuara kalut.

Let us go!” Syaza meninggikan suara. Berpura-pura berani sedangkan dalam hati sudah dup, dap. Berharap mereka tidak diganggu lagi.

“Hei, ada apa ni?” Tiba-tiba suara lelaki mencelah. Dia yang berbadan sasa mendekati mereka. Semakin cemas kedua-dua gadis.

Dalam bahasa tempatan lelaki itu berkata sesuatu kepada dua lelaki tadi. Mereka berbincang sambil Irdina dengan Syaza memerhati. Lama juga barulah keadaan nampak kendur dan peniaga tadi kembali ke dalam kedai.

Syaza dengan Irdina melepaskan nafas lega. Alhamdulillah, syukur kepada ALLAH yang menghantar bantuan dalam keadaan yang tak diduga. Begitulah rahmat ALLAH. DIA akan hantar kepada sesiapa yang dikehendakkiNYA.

Thank you for helping us.” Irdina berterima kasih kepada lelaki kacak berbangsa Turki itu.

We are grateful for that, brother,” tambah Syaza. Sangat bersyukur dengan kehadirannya yang tepat pada masa.

“Di sini selalunya aman. Peniaga tidak semua begitu. Sesetengah orang saja yang suka mendesak begitu. Namun masih ramai yang suka membantu,” jelasnya. Mungkin tidak mahu insiden tadi menjadi kayu pengukur terhadap sifat dan sikap rakyat mereka keseluruhannya.

“Nama saya Mehmed.” Lelaki kacak itu memperkenalkan diri seraya menghulur tangan. Kedua-dua sahabat memandang sesama sendiri.

“Saya Irdina dan ini kawan saya, Syaza,” perkenal Irdina seraya menyambut dan berjabat tangan dengan Mehmed. Syaza juga ikut menyalami lelaki itu. Mehmed menghadiahkan senyuman mesra.

“Nak beli barang-barang? Nak saya bantu?” soalnya ramah sambil tersenyum menyerlahkan lesung pipit kanannya.

“Terima kasih. Kami tak mahu menyusahkan, brother.” Syaza menolak dengan baik. Orang dah membantu, takkan nak bersikap sombong pula, kan.

“Baiklah, saya gerak dulu. Assalaammualaikum,” ucapnya mesra. Berserta senyuman yang terukir, dia berlalu.

Kedua-dua gadis terpegun dengan kekacakan wajah si Mehmed. Berkhayal sejurus. Saling memandang sesama sendiri apabila sedar dari khayalan. Kemudian, laju sahaja mereka meninggalkan tempat itu. Segera membelok ke lorong lain.

“Risau juga aku tadi.” Irdina mula bersuara.

“Aku pun. Harap-harap mamat kat kedai ni tak desak macam yang tadi,” ujar Syaza memberhentikan langkah di sebuah gerai. Wajahnya tampak lega.

“Kalau brother macho tu tak datang entah nak buat macam mana tadi…” Syaza masih kerisauan mengenangkan insiden sebentar tadi.

“Kalau peniaga tu datang rapat lagi, aku dah berkira-kira nak tendang je celah kelengkang dia. Lepas tu jerit kuat-kuat.”

“Ha, ha! Kau ni Sya... boleh tahan juga.”

“Tulah untungnya kau datang sini dengan aku…” Syaza tersengih-sengih. Semangat aje lebih. Sebetulnya, dia sendiri pun tidak pasti dia mampu buat seperti yang dikata.

“Mana si boyfriend kau yang ‘setia’ tu?” sindir Syaza lagi. “Elok kita cari balik abang sado yang rescue kita tadi untuk gantikan boyfriend kau yang selalu menghilang tu.”

Irdina hanya menjeling tajam rakannya.

HARI berikutnya juga cuaca seakan-akan bekerjasama dengan mereka yang tidak mahu membuang waktu terperuk di bilik hotel. Usai bersarapan mereka meninggalkan premis untuk menjelajah lagi. Hairan mendapati penduduk tempatan sama naik sahaja dengan pelancong asing, keluar bersiar-siar di kawasan taman yang terletak di antara Blue Mosque dengan museum Hagia Sophia yang dikenali juga dengan nama Ayasofiya. Tidak terkecuali Syaza dengan kedua rakannya yang awal-awal lagi duduk bersantai menikmati keindahan bunga tulip.

“Cantiknya tempat ni. Aku boleh duduk sini setahun, kot.” Syaza berkata sambil mata menghayati suasana sekeliling. Seperti biasa, tulip yang beraneka warna itu menjadi halwa matanya.

“Kau tahu Sya… tulip ni memang asalnya dari Turki.”

“Eh, bukan Belanda ke?” tukas Syaza.

Irdina menggeleng.

That’s something I didn’t know,” celah Mazlan yang diam sejak tadi.

“Tulah, ramai orang silap. Mungkin sebab negara lain seperti Belanda yang menjadikan penjualannya secara komersial. Jadi ramai yang anggap tulip ni berasal dari sana.”

Kedua-dua rakannya hanya menelinga penjelasan daripada Irdina. Masing-masing tidak berkutik mengamati suasana sekitar.

“Bunga-bunga tulip ni ikut musim. Paling lama sampai hujung bulan depan, habislah musim dia,” beritahu Irdina lagi.

“Ya ke? Sayangnya…”

“Musim panas nanti akan diganti dengan bunga-bunga lain,” balas Irdina. Dia tidak kisah bunga apa yang ada di situ. Dia bukan peminat bunga tertentu. Dia maklum itu semua ciptaan ALLAH untuk di nikmati oleh hamba-hambaNYA terutama yang bernama perempuan.

“Mana kau tahu?” Syaza masih tidak puas hati.

“Aku pernah terbaca somewhere.”

“Jom aku ambil gambar korang berdua,” celah Mazlan yang duduk di sebelah Irdina. Segera dia bangkit dan mula mengacukan kamera, berikhtiar untuk mendapatkan lokasi yang sesuai dan bagus.

“Jom. Kau memang handal bab ni,” puji Syaza. Sebuah senyuman dihadiahkan. Dia suka gambarnya dirakam. Ia satu aset bila Mazlan ni ikut sama! Dia pandai mencari sudut yang menarik untuk merakam foto.

“Korang ke depan. Aku ambilkan,” suruh Mazlan. Dia mula mengetik di sana sini. Kedua-dua gadis itu laju sahaja berposing. Sakan pulak tu.



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 | Bab 5 | Bab 6 | Bab 7 | Bab 8 | Bab 9 | Bab 10 | Bab 11 | Bab 11A | Bab 12 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku