5 TAHUN UNTUK CINTA
Bab 3
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 26 Mac 2017
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
659

Bacaan






Bab 3

LAPANGAN terbang antarabangsa Atartuk, Istanbul, sentiasa dipenuhi orang ramai tidak kira waktu. Ia antara lapangan terbang yang sibuk di benua Eropah kerana dari situ penumpang boleh pergi ke banyak destinasi di Eropah mahupun Asia. Ruang di hadapan kaunter check-in mahupun lorong-lorong untuk ke tempat pemeriksaan kastam dan imigresen sentiasa sesak dengan penumpang yang mahu ke balai berlepas. Malah, di dalam kafe-kafe yang terletak di satu ruang bangunan yang luas itu, tidak pernah lengang dengan pengunjung.

“Lekalah pulak tengok orang-orang Turki ni. Cantik-cantik.” Syaza sudah beberapa lama memerhati wanita-wanita muda Turki menapak lalu-lalang di hadapan mereka. Ralit menjamu mata!

“Tinggi, langsing dan cun-cun. Yang mata biru pun ramai juga.” Terlentuk kepala Syaza mengintai seorang wanita muda yang duduk di kerusi sebelah bersama suami dan anak mereka.

“Dia orang ni orang Eropah. Mestilah cantik-cantik.” Irdina mengeluarkan hujah.

“Uniklah Turki, terbahagi kepada dua benua. Eropah dan Asia.”

“Haah, kan. Kebetulan Istanbul terletak di sebelah benua Eropah. Syok juga kelmarin kita naik feri pergi Uskudar yang kat benua Asia tu. Kejap aje kita dah merentas benua. Ha ha, kelakar kan.” Irdina sebenarnya kagum mengenangkan keunikan kedudukan dua tempat tersebut yang berada di lain benua namun dalam negara yang sama.

“Aku tahu. Best, kan? Hari-hari boleh ulang-alik dari Eropah dan Asia, dan sebaliknya. Dipisahkan dengan Selat Bosphorus yang berimej poskad yang sangat cantik tu. Mm, siap ada jambatan yang gah yang menghubungkan kedua-duanya. Mesti ada sejarah macam mana boleh terjadi macam tu. Nantilah, aku nak cari buku pasal Turki. Banyak lagi nak kena baca. Kalau ada rezeki aku nak ke sini lagi.” Syaza berkongsi hasrat.

“Aku memang dah jatuh cinta dengan pemandangan di sepanjang Selat Bosphorus. Kalau pergi honeymoon kat sini memang berbaloi. Romantik, you.” Masih terbayang di minda Irdina akan kecantikan suasana yang mereka nikmati tempoh hari.

“Aku cup dulu! Aku dah lama berangan nak berbulan madu kat Turki.” Syaza sudah meninggikan suara. Dia sangat teruja hanya dengan memikirkan prospek begitu.

“Ah, bilanya kau nak kahwin?”

“Tu sebablah aku nak balik Malaysia cepat-cepat. Nak cari semula buah hati aku tu.” Syaza menyuarakan hasrat hatinya sejak dulu.

“Yalah tu.” Irdina jeling.

Buat seketika masing-masing diam. Mata ralit memberi tumpuan kepada orang ramai yang sentiasa hilir mudik di segenap ruang di situ. Yang berlenggang-lenggok, tak kurang juga yang berjalan laju. Semuanya menjadi halwa mata mereka.

Masa berlalu tanpa mereka sedari.

“Kau dah balik sana nanti, jangan pulak lupakan aku.” Gadis yang memakai jaket tebal berwarna kelabu itu merenung rakan di sisi.

“Takkanlah macam tu,” balas si gadis yang sama-sama menyandar di bangku yang menghadap deretan kedai menjual cenderahati. Mereka bernasib baik mendapat bangku itu kerana hari masih awal. Dari sebelah kiri tempat mereka duduk, terdapat banyak lagi kedai yang menjual pakaian, perhiasan dan macam-macam barang. Sementara di kanan pula tersedia kaunter-kaunter untuk check-in. Bila kaunter dibuka sahaja, penuh berderet orang beratur bagi urusan check-in. Tidak jemu kedua-dua sahabat itu mencuci mata dengan pemandangan yang beragam di situ.

“Dina, kenapa Lan tak balik sekali dengan kau?” soal Syaza bila teringat kepada lelaki tersebut. Tiba-tiba sahaja Mazlan sudah terbang meninggalkan bumi Istanbul semalam lagi. “Korang gaduh, ek?”

“Ish, tak adalah. Dia pergi Bosnia. Kawan dia tunggu kat sana.”

Syaza hanya mencebik mendengar jawapan itu. Apalah si Mazlan tu, sanggup tinggalkan teman wanita demi kawan. Kalau aku, memang dah merajuk habis!

“Dah berseronok dua minggu kat sini, aku rasa sedihlah pulak… kita dah nak berpisah,” adu Irdina dalam nada sayu.

“Aku pun sedih juga. Tapi takpe, nanti kita jumpa lagi. Enam bulan lagi kau habis macam aku ni. Bolehlah balik Malaysia,” pujuk Syaza. Dia sendiri keberatan mahu berpisah namun hal itu tidak dapat dielak. Dia akan menaiki pesawat untuk pulang ke Malaysia sementara rakan baiknya terpaksa kembali ke London bagi menyambung pengajian.

“Sya… kau tak perlu balik lagi. Bukannya ada hal urgent kat Malaysia tu sampai kau kena balik sekarang.” Irdina sudah keluarkan aura memujuknya.

“Tak boleh. Dah terlalu lama aku merantau… sekarang tiba masa aku pulang.” Sayu hati teringatkan babah dan ibu yang menanti kepulangan dia. Tentu mereka tidak sabar untuk bertemu dia dan sebaliknya juga.

“Alah beb… temankan aku kat London tu. Enam bulan aje kot. Kau boleh relaks sambil shopping… Tak luak duit ayah kau nak sambung elaun untuk masa kecederaan ni. Tak cukup, aku kan ada… aku boleh top-up.” Irdina mengukir janji dalam rangka terus memujuk. Keberatan untuk berpisah dengan rakan ini. Mereka memang akrab sejak mula berkongsi rumah beberapa tahun dulu.

Tersengih Syaza mendengar kata-kata rakannya. Terliur juga dia dengan tawaran itu. Namun minda lekas pula teringat kepada panggilan telefon orang tuanya dua minggu lalu. Suara babah kedengaran sayu sewaktu meminta dia segera balik. Dia risau kalau-kalau babah atau ibu tidak sihat, atau ada masalah lain. Atas pertimbangan itulah yang telah menyentak dia dari keseronokan untuk terus berada di kota London yang menjadi kampung halamannya selama lima tahun.

“Kau ada Lan. Kang aku ni mengganggu aje…” Syaza beralasan.

“Lan lain, dia tak boleh duduk melepak dengan aku kat apartmen. Nak cari nahas namanya tu, beb!”

Masing-masing terkekeh mengenangkan kesannya jika hal itu terjadi. Sejurus kemudian kedua-duanya menyepi. Biarpun mata meliar sekeliling, tetapi fikiran berselirat dengan pelbagai isu hingga tidak menyedari masa yang berlalu agak lama.

“Sya, nampaknya kau betul-betul bulat nak balik.”

“Maaflah. Aku dah rindu sangat dengan Malaysia dan orang-orang di sana. Dah lima tahun kot…” Nada Syaza sedikit gementar bersulam emosi. Kini satu wajah datang mengetuk fikirannya. Dia sedar, ada urusan yang tertangguh menantinya di sana. Ada perhitungan yang mahu diselesaikan. Syaza keresahan dengan hanya mengenangkan hal itu. Dia berharap dirinya tidak terlambat…

“Rindu…”

Irdina menatap lama bibir yang mengucap kalimah itu. Dapat dirasakan satu macam perasaan yang terpendam di situ.

“Yalah, aku faham. Lima tahun tu masa yang bukan sekejap,” sambung Irdina dalam suara rendah. Dia mengerti maksud rindu yang terucap di bibir rakannya. Dia tahu kepada siapa rindu itu dirujuk biarpun tidak pernah bertemu orangnya.

“Yalah… eloklah kau balik ni,” serunya lagi dengan penuh bersemangat. Irdina tidak berkecil hati lagi.

“Tahu takpe,” balas Syaza sambil menjeling tajam ke arah gadis itu. Hilang lenyap emosi yang mengintai di celah-celah suaranya tadi.

Masing-masing langsung terdiam. Mata kembali menala kepada suasana sibuk di ruang itu, namun fikiran masing-masing tiada di situ. Sudah merentas ke arah yang bercabang. Seorang ke Malaysia. Yang satu lagi teringat kepada si dia yang sudah terbang ke Bosnia.

“Eh, kau rasa dia masih ingat lagi pada kau?” Tiba-tiba suara Irdina menerjah lamunan Syaza.

“Aa?” Syaza kembali ke alam realiti dengan terpisat-pisat apabila pahanya terasa pedih akibat mendapat ‘habuan’ daripada Irdina.

“Mamat tu… kau yakin dia tak lupakan kau?” ulang Irdina dalam ayat yang berbeza pula.

“Dia tak mungkin lupakan aku. Itu aku yakin. Cuma… tak pasti penerimaan dia terhadap aku. Doakan untuk aku, ya.” Syaza berjeda dalam ketidakpastian.

Masing-masing faham siapa ‘dia’ yang sedang menjadi topik bualan mereka.

“Ah, kau sekarang jauh berbeza dengan yang dulu. Jauh lebih positif, berkeyakinan diri. Aku yakin dia mesti kagum dengan Syaza yang sekarang ni,” ucap Irdina penuh semangat. Bukan untuk memuji, tetapi dia melihat sendiri perubahan gadis ini dari mula mereka menjadi pelajar di kota London hinggalah ke hari ini. Dia lebih arif tentang perubahan ketara pada diri sahabatnya ini. Syaza lima tahun dulu dengan Syaza hari ini sangat jauh perbezaannya, dari segi fizikal. Tiada siapa yang dapat menyangkal hal itu. Syaza juga melalui perubahan daya fikir. Dalam nakal-nakal dia, ada kematangannya.

“Harap-harap mulut kau tu masin…”

“Bodohlah kalau dia tak terpikat dengan Syaza yang sedang duduk kat sebelah aku sekarang ni.” Matanya merenung Syaza atas bawah untuk beberapa ketika. Mengapresiasi penampilan gadis di hadapannya.

“Eh, mana aku duduk. Aku sedang berdirilah.” Lekas Syaza bangkit dari bangku yang mereka duduki.

“Amboi, amboi kau ni…”

“Eh, kaunter dah buka. Jom cepat, kita pergi check-in. Kang lambat… kena beratur panjang. Aku dah tak sanggup.” Syaza mematikan isu tadi dengan saranan begitu. Kedua-duanya menolak beg dan bergerak ke kaunter.

PENERBANGAN Turkish Airlines dari Istanbul ke Kuala Lumpur mengambil masa lebih kurang sepuluh jam. Syaza tidak dapat tidur sekalipun puas dia memejamkan mata. Bayangan keresahan jelas menguasai minda. Terlalu banyak kenangan yang menghimpit minda. Kini tumpuannya berkisar kepada apa yang akan dihadapi setelah tiba di Kuala Lumpur kelak. Lima tahun dia merantau tanpa kembali ke Malaysia walau sekali. Itu janji dia kepada babah. Ada sebab kenapa janji itu dibuat dan dia berpegang kepada janjinya biarpun jiwa sering dihempap rindu kepada kedua ibu dan babah. Kerana jiwa yang sudah terpikat, lima tahun dia sanggup menunggu cintanya.

“Ah, dia…” keluh Syaza. Cuba membayangkan wajah seseorang yang menjadi isu antara dia dengan babah sejak dulu. Wajah itu semakin kabur di ruang mata namun fikiran tidak mampu melepaskan si dia dari ingatan.

I have a score to settle with babah, hatinya berkata-kata. Jiwa menyematkan azam untuk melenturkan hati babah supaya berubah fikiran dan bersetuju dengan pilihan hatinya.

“Jamil…” Nama itu diseru penuh syahdu.

Dalam mata yang terpejam minda terus bermonolog… Saya akan buktikan yang saya mampu menjadi gadis idaman lelaki, lebih-lebih lagi awak. Saya sekarang bukan Syaza yang dulu. Saya sekarang adalah Syaza yang telah melalui pelbagai pengalaman dan kerenah hidup di rantau orang.

Syaza membuka matanya. Tersengih sendiri apabila terpandang pramugari yang sedang menolak troli untuk menyajikan minuman. Dia menyambut gelas jus oren daripada pramugari yang tersenyum menghulurkan. Syaza meneguk minumannya hingga habis.

“Tengoklah nanti, siapa yang mengejar siapa…” bisiknya sendiri.



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 | Bab 5 | Bab 6 | Bab 7 | Bab 8 | Bab 9 | Bab 10 | Bab 11 | Bab 11A | Bab 12 | Bab 13 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku