5 TAHUN UNTUK CINTA
Bab 4
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 26 Mac 2017
Penilaian Purata:
(2 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
819

Bacaan






Bab 4

HADIF IQBAL melabuhkan punggung ke atas kerusi eksekutif yang selesa dan empuk. Air muka yang bersahaja dan sentiasa tenang itu sering membuat ramai gadis berangan-angan untuk menakluki hatinya. Wajah kacaknya tampak bersih dan begitu maskulin apatah lagi selepas bercukur pagi tadi. Tidak hairanlah dia menjadi idaman ramai. Pagi ini Hadif Iqbal sudah bersedia untuk menghadapi tugas-tugas yang telah ditinggalkan selama sepuluh hari. Tahu sangat, hari ini mesti sibuk dengan pelbagai kerenah tugasan yang perlukan tindakan dan perhatiannya. Dia tersenyum sejemput membayangkan situasi yang bakal dilalui.

Sebenarnya Hadif Iqbal baru pulang dari urusan perniagaan di luar negara. Dan gembira dengan hasil yang diperolehi.

Tidak menunggu lama, Linda yang sudah lebih sepuluh tahun berkhidmat dengan syarikat itu mengetuk pintu dan terus masuk. Seingat Hadif, wanita tersebut menjadi setiausaha sejak di zaman ayahnya menerajui syarikat itu.

“Assalammualaikum Encik Hadif.”

“Waalaikummussalam.” Senyuman mesra mengiringi jawapan salam itu. Rindu juga kepada suasana pejabat yang ditinggalkan beberapa waktu.

“Awak sihat?” Ramah Hadif bertanya kepada setiausahanya.

“Alhamdulillah. Saya tengok muka Encik Hadif berseri-seri aje. Nampaknya angin Eropah memang baik untuk Encik.” Linda tersenyum di hadapan bos yang baru masuk kerja pagi itu.

“Terima kasih, Linda. Tapi sebenarnya saya pergi bekerja, bukan makan angin.” Hadif mengingatkan. Dalam tugas dia sentiasa bersungguh.

“Alah, takkan sikitpun tak berehat?” usik Linda lagi. Mereka bagaikan sahabat baik. Sebab itu dia bertahan lama bekerja dengan jejaka ini. Dalam urusan kerja, Hadif agak tegas orangnya, namun lelaki ini tidak sombong. Dia bertimbang rasa. Dalam masa sama Linda sendiri tahu kedudukannya sebagai pekerja dengan majikan. Tidak pernah mengambil kesempatan atas kebaikan budi majikannya ini.

“Adalah juga saya ambil time off untuk berjalan-jalan tengok tempat orang,” akui Hadif sejurus kemudian. “Nah, ni untuk awak.”

Sebuah bungkusan diunjukkan kepada wanita kurus tinggi yang suka bergaya itu.

“Waa… terima kasih Encik Hadif.” Linda menyambutnya dengan senyuman meleret. Siapa tak suka dapat ole-ole, kan?

Hadif tunduk dan mencapai sesuatu di tepi kerusinya pula.

“Hm yang ni pulak, macam biasalah… awak agih-agihkan kat budak-budak di luar tu. Ni aje yang sempat saya belikan.”

“Alhamdulillah. Ni pun dah rezeki dah ni. Terima kasih bagi pihak dia orang kat luar tu.” Sekali lagi Linda menyambut sebuah beg kertas yang agak besar. Dia sudah boleh agak, isinya pasti coklat. Selalunya itulah ole-ole yang dibelikan oleh bos mereka jika ke luar negara. Linda tersenyum menghargainya. Dia tahu hati bosnya memang baik. Walaupun sibuk dengan tugas sewaktu di luar, tidak pernah lupa kepada orang bawahannya.

“Ada apa-apa masalah semasa saya tak ada di pejabat?” soal Hadif dalam nada bertukar serius. Dia sudah beralih kepada urusan kerja.

Linda menggeleng. “Semuanya berjalan lancar, bos.”

“Ada hal urgent yang perlukan perhatian saya?”

“Ada beberapa kes. Ni fail-failnya. Bos tengok dululah.” Satu susunan fail bertanda dengan kertas berpelekat merah jambu diunjukkan Linda kepada bosnya yang menanti dalam tenang.

“Okey, letak kat sini. Nanti saya tengok,” arah Hadif. Mata sudah melekat kepada fail-fail tersebut.

“Encik Faisol ada menelefon. Dia nak jumpa. Saya belum set janjitemu Encik dengan dia lagi.”

“Encik Faisol dari Hazlam Holdings?”

“Haah.”

“Okey. Tolong set dengan dia lusa, pukul 11.00 pagi. Lepas perbincangan boleh lunch terus.” Hadif memberitahu perancangannya.

“Baik bos. Saya tempah makan tengah hari kat tempat biasalah ya.”

Hadif mengangguk sebelum menyambung, “Anything else?

“Err… ada sorang perempuan datang cari bos dua hari lepas.” Linda merenung reaksi di wajah lelaki itu.

“Perempuan?”

Angguk.

“Dia ada tinggalkan kad?”

Geleng.

“Pesanan?”

Linda mengamati lagi wajah itu. Macam biasa. Selain hanya berkerut sedikit kening tu, beku saja dia. Hm… tak ada perasaan ke dia ni pada perempuan? Linda mengomel di dalam hati.

“Tak ada. Dia cakap ini personal visit. Dia akan datang lagi kemudian.”

“Awak tak kenal siapa dia?” Tenang sahaja Hadif menyoal. Mata sudah tertegak pada skrin komputer yang baru ditekan punat on.

“Tak. Saya dah tanya nama, tapi dia tak nak bagi tahu.” Linda menyambung sebelum lelaki itu memberikan komen lanjut.

Siapa? Hadif tetap memikirkan gerangan gadis tersebut biarpun mata tertuju kepada skrin komputer. Tak mungkin dia yang dah terpahat wajahnya di fikiran aku sekarang ni!

“Okey, takpe. Kita tunggu beberapa hari lagi.” Bersahaja jawapan Hadif.

“Ada apa-apa lagi bos?” Linda masih tercegat di hadapan meja besar itu. Menunggu arahan selanjutnya.

“Kopi saya mana?” Hadif mendongak lalu menghadiahkan senyuman. Isu sebentar tadi sudah mati dalam sekelip mata.

Linda tersengih. “Sekejap lagi saya bawakan.” Linda sudah tahu itu petanda tamatnya perbincangan mereka.

Black and strong, ya,” pesannya kepada Linda yang sudah berada di muka pintu. Dia perlukan kopi pekat untuk mendepani hari ini yang pastinya mencabar.

Hadif melayangkan tubuh ke belakang hingga menyandar di kerusi sebaik wanita lewat tiga puluhan itu meninggalkan bilik. Fail-fail bertanda urgent yang selonggok di atas meja diabaikan dahulu. Minda kembali mengenang siri ‘tugasan’ yang telah diberikan kepadanya oleh seseorang, Hadif tersengih sendiri.

“Hm, assignment baru-baru ni boleh tahan juga,” ujar Hadif sendirian. Babak-babak yang terpaksa dilalui semasa menyiapkan ‘tugasan’ tersebut kini tertayang di minda. Sedikit teruja dirinya.

“Hish…” Hadif tersandar seraya menggeleng. Buku nota dikeluarkan dari beg komputernya. Dia menyelak helaiannya satu per satu. Hadif mengangguk. Berpuas hati dengan catatan yang dibuat. Hah, siap dengan gambar sekali… nak apa lagi?

“Ya, petang nanti aku akan buat laporan lengkap. Esok atau lusa akan kuserahkan kepadanya,” ucapnya penuh semangat lalu menutup semula buku nota itu.

Tangan mencapai fail yang di atas sekali, dia bersedia untuk memulakan tugas. Hadif berhenti sejenak. Minda teringat pula kepada gerangan pelawat yang diberitahu oleh Linda kepadanya tadi. Siapa gadis yang tidak mahu memperkenalkan namanya itu? Kenapa dia datang mencari aku?

“Ah, aku tunggu dia datang,” ujarnya. Tak perlu membuang masa meneka identiti pelawat tersebut.

Fail tadi kini dibuka dengan penuh semangat. Hal peribadi ditolak ke tepi. Sekarang adalah masa untuk bekerja!



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 | Bab 5 | Bab 6 | Bab 7 | Bab 8 | Bab 9 | Bab 10 | Bab 11 | Bab 11A | Bab 12 | Bab 13 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku