5 TAHUN UNTUK CINTA
Bab 5
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 26 Mac 2017
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
744

Bacaan






Bab 5

SYAZA menuruni anak tangga satu per satu. Tiba di anak tangga paling bawah, dia menebak pandangan ke kiri kanan. Menghirup nafas dalam dan melepaskannya perlahan. Betapa hatinya teruja dapat kembali ke pangkuan keluarga setelah lima tahun tidak menjejak bumi Malaysia. Begitu bersyukur saat memeluk ibu dan ayah dan melepas rasa rindu yang sekian lama membuak dalam dada.

Dari tingkap, Syaza mengamati suasana keliling di luar rumah. Harum dan segar! Belum terlerai rindu kepada iklim Malaysia yang panas bersulam hujan. Diakui, banyak perubahan telah dibuat sama ada di luar mahupun dalam rumah itu. Taman bunga dipenuhi tumbuhan hijau dan bungaan pelbagai warna, tidak kontang seperti dulu. Rumah itu sendiri sudah bertukar saiz yang amat ketara. Pengubahsuaian yang dibuat hingga dia sendiri terasa seperti berada di rumah lain yang baru. Hai, selera ibu ni boleh tahan besar juga.

“Tuan puteri dah bangun,” tegur Ahmad Suhail apabila menyedari anak gadis mereka sudah mendekati meja makan.

“Babah… Sya dah lama bangun.”

“Dah boleh sesuaikan diri dengan perbezaan waktu di Eropah dengan kat Malaysia?” Ahmad Suhail menyoal lagi.

“Bolehlah sikit-sikit. Esok lusa Sya okeylah. Ni kan tempat lahir Sya.” Syaza menarik kerusi dan duduk di meja makan.

“Dah siap berdandan anak ibu. Amboi cantiknya dia,” puji Zaiton melihat wajah Syaza yang licin dan putih kemerahan. Sebiji jerawatpun tidak kelihatan. Bibir mungilnya merah biarpun tanpa gincu. Jauh berbeza Syaza lima tahun dahulu dengan yang sedang duduk di hadapannya hari ini. Zaiton amat teruja dan bersyukur melihat perubahan tersebut. Belum puas menghargai keindahan paras rupa yang ALLAH kurniakan kepada anak gadisnya ini.

“Ibu… Sya dah dewasa. Mestilah jerawat tu semua dah hilang.”

“Mm, macam mana Sya buat?”

Syaza tersenyum penuh makna.

“Rahsialah ibu. Mana boleh bagi tahu.” Dia tersipu malu. Terkenang tindakan sendiri. Entah berapa puluh ribu duit babahnya terbang sepanjang tempoh dia berada di London. Semata-mata untuk menjaga kebajikan kulit mukanya demi mendapatkan wajah ini. Irdina banyak memperkenalkan kepadanya produk-produk kecantikan yang mahal dan berjenama. Pantang ada ruang mereka akan pergi ke spa dan salun kecantikan.

Memang dia mahu orang melihat perbezaan pada parasnya yang dulu, sebelum dia meninggalkan bumi Malaysia dan dengan yang terkini. Dalam diam Syaza berpuas hati dengan kecantikan yang kini dimiliki. Minda mengimbas kepada satu wajah yang sudah lama dirindu. Syaza yang baru ni akan bagi kau kejutan…

“Suka hati Sya nak rahsia ke apa. Ibu memang gembira tengok wajah Sya sekarang ni. Eh, makanlah. Jangan tengok aje. Hari ni ibu masak lontong. Kuih seri muka pun ada. Kalau tekak Sya tak boleh masuk, ni ha… ada roti dengan keju. Tu dia cornflakes dan ni susunya.” Satu per satu Zaiton menuding kepada makanan yang terhidang di atas meja.

“Banyaknya makanan. Ibu nak gemukkan Sya ke ni?” Syaza tersengih melirik kepada meja yang dipenuhi hidangan. Teko dicapai lalu dia menuang minuman ke dalam cawan. Syaza menghirup kopi O yang masih panas.

“Lima tahun Sya kat sana. Dah lama tak merasa semua ni. Untuk seminggu ni ibu akan masak menu yang berbeza setiap hari. Khas untuk anak dara ibu yang baru balik.”

Lima tahun di luar negara tentulah anaknya ini merindui makanan tempatan, telah Zaiton. Tambahan pula hasil dari air tangan dia sendiri.

“Wah, ibu ni… macam cheflah pula.” Syaza menceduk kuah lontong ke dalam mangkuk yang sudah diisi dengan beberapa ketul nasi himpit.

“Sya, babah cadang nak buat kenduri sikit. Buat majlis kesyukuran sempena Sya dah tamat belajar dan selamat sampai rumah,” beritahu Ahmad Suhail. Anak gadisnya direnung penuh kasih. Terubat kerinduan terhadap puteri tunggal kesayangannya.

“Kenduri? Bila tu, babah?” Kuah lontong disuap ke mulut.

“Babah tengah fikirkan tarikh yang sesuai. Babah nak jemput jemaah masjid sekali. Lepas tu jiran sekeliling kita. Kalau Sya nak jemput kawan-kawan lama, pun boleh juga. Beritahu aje berapa ramai. Babah nak tempah katerer.” Ahmad Suhail mengongsi rancangan. Dia amat berbangga dengan pencapaian si anak.

“Mm… nanti Sya contact dua, tiga orang kawan-kawan yang masih berhubung dengan Sya.”

Syaza menangkap anak mata babah yang merenungnya tajam. Cuba mencerna mesej yang mahu disampaikan lelaki itu biarpun tidak terluah. Betul ke apa yang sedang aku fikirkan ni? Buat masa ini masing-masing masih mengelak untuk membangkitkan hal yang satu itu. Tidak mahu menghangatkan suasana andai tiada kesefahaman.

“Nanti bagi tahu ibu berapa ramai, ya. Okey, babah pergi dulu.” Ahmad Suhail bangkit dari kerusi dan berlalu. Meninggalkan isteri serta anak mereka yang masih menikmati sarapan. Pasti banyak yang mahu dibualkan mereka berdua. Dia sendiri terpaksa pergi kerja sesudah tiga hari bercuti.

Bye babah.”

Bye.”

“Sya… Sya!” Zaiton menepuk lengan Syaza yang masih merenung pintu yang kini terkatup. Dia sendiri terkial-kial mahu bersuara, namun ada perkara yang mahu dibangkitkan dengan Syaza. Pesan suami kepadanya pagi tadi masih diingat.

“Ada apa, bu?” Syaza mengalihkan perhatian kepada ibunya.

“Err… Sya masih ingat lagi pada orang tu?” Tersekat-sekat suara Zaiton walaupun wajah nampak selamba.

“Orang tu? Siapa yang ibu maksudkan?” Syaza tahu identiti orang yang dikias ibunya namun dia sengaja buat-buat tidak faham. Siapa boleh lupa dengan apa yang terjadi lima tahun dulu?

“Ehm, ‘orang tu’ lah. Tak kan Sya dah lupa?” Zaiton mengamati wajah anaknya dengan tekun. Betul ke Syaza sudah tidak ingat kepada pemuda yang sengaja tidak mahu disebut namanya itu?

“Sya sendiri tak tahu dia kat mana, bu.” Akhirnya Syaza akui. Tidak perlu menyebut namanya, namun masing-masing faham identiti insan yang mereka bualkan.

“Rumah mak dia tak jauh dari sini.”

“Habis tu kenapa, bu?” Mata ibunya ditenung dalam-dalam. Berusaha untuk selamba. Tidak mahu memberikan apa-apa petunjuk akan perasaannya terhadap jejaka yang mereka bualkan.

“Ibu nak tahu sama ada… Sya nak jemput orang tu ke majlis kenduri nanti…” Zaiton sengaja menggantung ayat. Syaza pasti faham maksud kata-katanya yang sekerat jalan itu.

“Err…” Syaza enggan mengulas lanjut. Dia sendiri tidak pasti jawapannya. Nak jemput ke tidak? Minda menimbangkan hal itu agak lama.

“Nanti Sya bagi tahu ibu.” Ringkas jawapan Syaza. Jawapan yang selamat. Sebenarnya dia masih memikirkan hal itu.

Tangan Zaiton sudah berlabuh di lengan anak gadisnya. Anak mata Syaza dicari. Lembut renungan yang dilemparkan.

“Sya… tak usahlah jemput dia, ya. Err… ibu tak rasa menjemput dia tu satu idea yang baik.” Zaiton berpesan. Tidak mahu menyinggung perasaan anaknya namum dia harus mengingatkan Syaza supaya jangan menimbulkan hal yang telah berlalu.

“Tengoklah macam mana nanti. Sya tak janji apa-apa,” balas Syaza ringkas. Keberatan untuk memberikan komitmen. Fikiran melayang kepada si dia yang sudah bertahun tidak ditemui. Rindu tetap hadir kepada wajah itu.

Zaiton diam memerhatikan anak yang meneruskan sarapan. Jiwa cuak mengenangkan perangai lama Syaza. Dia masih belum buang tabiat dulu, ke?

USAI makan tengah hari Syaza berkurung diri di dalam bilik. Sudah beberapa hari kembali ke tanah air, dia belum merancang untuk apa-apa aktiviti. Setakat ini dia cuma duduk memerap di rumah dan menikmati suasana baru yang lebih selesa dan mewah di rumah itu, terutama biliknya. Ibu telah menukar dekorasi dan memberikan cat baru. Katil juga yang diperbuat daripada kayu, berukiran motif bunga di kepala katil. Langsir siang dan malam juga daripada kain renda dan satin yang cantik dan berjenama. Mesti harganya mahal. Seperti yang pernah diidamkan sejak dulu. Ibu ni, tahu saja citarasa aku!

Syaza baring dan bergolek-golek santai di atas katil. Fikiran mula melayang kepada si ‘dia’ yang disebut ibunya di meja sarapan pagi tadi. Ya, dia yang kupuja sejak di bangku sekolah lagi.

“Jamil,” serunya perlahan-lahan menyebut nama itu. Sudah lama nama itu tidak meniti di bibirnya, biarpun ia sentiasa berkisar di dalam minda. Tak pernah lekang.

“Aku memang tergila-gilakan kau. Ya ALLAH, sejak dulu aku memang minat sangat pada Jamil. Dia saja yang melekat dalam hati ni. Habis nak buat macam mana…”

Lima tahun tidak ketemu jejaka itu, hatinya berdebar-debar. Apakah perasaannya terhadap Jamil masih utuh seperti dulu? Masih tergila-gilakan dia? Masih berdebar setiap kali bertentang mata dengannya? Jiwa Syaza enggan memberikan jawapan selagi tidak bersua empat mata dengan pemuda tersebut.

“Mil, saya dah balik…” bisiknya lembut kepada diri sendiri. Syaza mula melamun. Memori kembali kepada hari-hari akhir dia menunggu keputusan peperiksaan SPM. Sepanjang cuti itu macam-macam hal telah dilakukan untuk menarik perhatian Jamil yang sedang belajar di tingkatan 6 Atas waktu itu.

Saban hari jejaka itu pulang dari sekolah, dia pasti menunggu di simpang jalan. Sampai si Jamil takut nak lalu di situ.

Tamat SPM dia ke Matrikulasi Melaka, sementara Jamil sambung belajar ke UniMap, di Perlis. Mungkin sengaja memilih untuk jauh dari Syaza. Namun Syaza tahu sahaja bila dia pulang untuk cuti semester.

Beberapa hari sebelum berangkat ke kota London bagi meneruskan pengajian, dia telah memujuk Farah supaya menemani dia meredah port yang Jamil dan kawan-kawannya selalu lepak. Kebetulan waktu itu cuti semester. Dia memujuk Jamil untuk menghabiskan waktu berbual dengannya. Tidak kisah terpaksa belanja minum semua kawan-kawan Jamil yang berada di situ.

Akhirnya dia ditertawakan oleh kawan-kawan Jamil. Layanan yang dia terima pun ala kadar saja. Bila difikir-fikirkan… memang memalukan diri sendiri. Tapi dia tidak kisah. Dia hanya mahukan perhatian lelaki itu. Dengan cara itu dia ingat boleh dapat cinta Jamil. Ah…

Syaza kembali ke alam realiti. Terkebil-kebil merenung siling.

“Mil… bagaimana rupa awak sekarang ni? Lagi kacak ke?” Syaza memejamkan matanya. Berusaha membayangkan wajah lelaki itu setelah lima tahun terpisah. Semakin kabur di pandangan mata. Kalau dulu aku tak berjaya, tapi sekarang aku dah tak sabar nak mulakan misi merebut cinta Jamil!

“Aku mesti jumpa dia. Macam mana nak jumpa, ek? Aku bukannya tahu dia kat mana sekarang ni. Mmm…”

Jiwa Syaza keresahan. Dia bangkit dari katil dan bergerak ke tingkap. Meliarkan pandangan ke rumah jiran di seberang jalan. Tidak kelihatan penghuninya pada waktu-waktu begini. Ah... wajah Jamil yang kabur kembali melayang-layang di ruang fikir.

“Jamil… sekarang ni persoalan yang lebih penting, sudahkah kau berpunya? Sudah terlambatkah aku?” Syaza melepaskan keluhan. Semakin gelisah jiwanya mengenangkan hal itu.

Syaza bingkas keluar dari bilik untuk mendapatkan ibunya. Dia mahu meminjam telefon bimbit ibunya. Dia perlu menghubungi Farah. Dia harap Farah masih menggunakan nombor lama. Ya, Farah akan tahu semua cerita!



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 | Bab 5 | Bab 6 | Bab 7 | Bab 8 | Bab 9 | Bab 10 | Bab 11 | Bab 11A | Bab 12 | Bab 13 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku