5 TAHUN UNTUK CINTA
Bab 6
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 26 Mac 2017
Penilaian Purata:
(2 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
589

Bacaan






Bab 6

HAMPIR tengah hari jejaka itu tiba di pejabat. Sejak pagi dia terpaksa berpanas kerana membuat lawatan ke tapak projek dan berbincang dengan site supervisor tentang beberapa perkara. Jamil berlabuh di kerusi melepaskan lelah sambil menikmati kedinginan suasana di bilik yang berhawa dingin itu.

“Ah, sedapnya dapat air-cond. Tak tahan… panas betul kat luar tu,” gerutu Jamil. Dia tersenyum lega memejamkan matanya sambil menyandar untuk berekat seketika sebelum menyelak fail yang di atas meja. Tugas luar sudah beres, sekarang tanggung jawab di pejabat pula menunggu.

“Eh, mana telefon aku.” Jemarinya menggali ke dalam kocek seluar. I-phone kesayangannya dikeluarkan.

“Wah, 3 kali Amir telefon aku. Apa hal dengan mamat tu?” Segera Jamil menghubungi semula rakan baiknya yang sering berkongsi hobi itu.

“Hei bro, ada apa kau beriya telefon aku?”

“Yang kau tak jawab panggilan aku tu apasal?” Suara di sebelah sana talian itu memberikan respons.

“Aku pergi site, tengok progres projeklah. Eh, nak ajak aku keluar makan ke ni?” soal Jamil sambil mata melirik jam di pergelangan. Sudah hampir nak masuk waktu makan!

“Lain kalilah, bro. Sebenarnya aku ada berita nak bagi tahu kau.”

“Ya ke? Kau macam dah tak sabar ni, mesti berita baik.” Jamil terkekeh suka.

“Hm, berita ni mesti buat jiwa kau jadi kacau.” Amir melepaskan tawanya kuat. Segala cerita mengenai Jamil semasa mereka di bangku sekolah hingga yang terkini, semua ada dalam poketnya. Mereka memang akrab sekian lama.

“Cepatlah cakap. Kerja aku banyak lagi. Tak ada masa nak dengar teka-teki kau,” gesa Jamil. Si Amir ni memang hobi dia suka mengenakan orang.

“Ha ha ha. Dah agak dah, kau mesti tak sabar nak dengar. Ni… kau tahu tak…” Amir merendahkan suaranya. Menjadikan suasana lebih suspense buat Jamil. “Syaza dah balik dari UK!” luah Amir, melepaskan tawa yang panjang. Sudah boleh menebak reaksi bagaimana si Jamil akan berikan terhadap berita itu.

“Oh ya ke? Alamak!” Tersandar Jamil seketika menerima berita yang tidak dialu-alukan itu. Kalut jiwanya bila mengenangkan gadis itu. Macam-macam hal Syaza pernah buat untuk menarik perhatian dirinya. Esok lusa entah macam mana pulaklah. Dah tak aman hidup aku. Jamil menggaru kepala. Adoilaa!

“Hei, Mil… Jamil!” Suara Amir menampan telinganya dalam nada kuat. Jamil baru menyedari dia sudah hanyut dalam khayalan.

“Err… mana kau dapat berita ni?”

“Semalam Farah bagi tahu Mimi. Aku kan sekarang ni tengah asyik masyuk berdating dengan Mimi. Jadi, lepas dapat tahu daripada Farah dia terus telefon aku.”

“Berita tu tak ada kena-mengena dengan aku,” tolak Jamil. Namun, mengenangkan kerenah Syaza lima tahun dulu, hati tetap gelisah.

“Eh, mana pula tak ada. Syoklah kau… boleh kenakan dia macam dulu.”

Amir memang tahu kegilaan Syaza terhadap rakannya ini. Dia pernah menjadi saksi tindak-tanduk Syaza gara-gara mahu memikat Jamil dan bagaimana gadis itu diperlakukan oleh kawannya. Kadang-kadang Jamil melayan gadis itu berborak, biarpun nadanya sinis. Ada masanya Syaza diminta untuk membayar segala makan minum mereka namun akhirnya di belakang gadis itu, dia ditertawakan. Syaza yang terlalu mendambakan kasih Jamil tidak kisah diperlakukan begitu asalkan pemuda itu memberi perhatian kepadanya. Kesian Syaza yang menjadi mangsa perasaan sendiri.

“Err… apa-apa ajelah. Terima kasih, Mir. Okey, bye.” Laju sahaja Jamil memutuskan talian. Dia perlu menghubungi seseorang. Dia mahu mengesahkan berita yang dibawa oleh Amir. Alah, cakap Amir tu bukan semuanya boleh dipakai.

SUASANA hari minggu begitu nyaman dan tenteram. Tambahan pula di waktu awal pagi begini. Seusai solat subuh Syaza bersiap-siap dan menunggu Farah untuk pergi berjoging. Farah yang menolak pelawaan untuk bermalam di rumah rakannya, sudah tiba di hadapan pintu pagar sebelum jam tujuh lagi. Mereka sama-sama berjalan santai menghirup udara pagi sambil berbual. Sudah semestinya mereka menyentuh kisah dulu-dulu. Farahlah yang terpaksa mengemaskini berita mengenai kawan-kawan mereka.

Sudah habis informasi mengenai si pulan dan si pulan disampaikan kepada Syaza, gadis itu belum berhenti bertanya.

“Farah, ceritalah lagi,” gesa Syaza.

Farah diam sejenak. Faham, mestilah rakannya ini mahu tahu mengenai kedudukan seseorang.

“Kenapa kau diam?” soal Syaza setelah lama menunggu. Dia sangat berminat untuk mengetahui perkembangan mengenai jejaka yang tersemat di hatinya sejak bertahun yang lalu. Walau terpisah beribu batu, dia tetap merindui lelaki itu biarpun cintanya tidak pernah berbalas. Ah, Jamil. Sudah berpunyakah kau?

“Mm… hal siapa lagi yang kau nak tahu? Aku ada tertinggal siapa-siapa ke?” duga Farah. Sengaja nak mainkan perasaan rakannya.

“Kau tentu tahu…” Dalam lembut Syaza bersuara.

“Jamil, ek?” Perlahan namun jelas suara Farah. “Masih mengharap pada dia?” Wajah Syaza direnung sejenak.

“Walau macam manapun aku tetap mengharap dia akan terpikat kat aku. Kau tahu Farah… rindu aku pada dia tak pernah padam.” Usai meluahkan perasaan yang sarat terkepung dalam dadanya sekian lama, Syaza berjeda. Kepada rakan ini dia tidak perlu menyembunyikan apa-apa. Farah sudah faham isi hatinya sejak dulu lagi.

Farah menghela nafas. Meliarkan pandangan ke kiri kanan mereka. No komen.

“Kau pun tahu kan… sebab apa pagi-pagi lagi kita dah keluar joging ni? Dulu pun kalau kau tidur kat rumah aku kita selalu keluar joging macam ni…”

“Habis tu? Kau dah target nak pikat dia dengan wajah dan penampilan baru kau?” tembak Farah, pura-pura terperanjat. Setelah lima tahun dia masih mengharapkah lelaki itu? Kesian kau Sya…

“Mm…”

“Kau yakin dengan cara ni akan tercapai hasrat?” Farah menjeling rakan di sisi. Dia sendiri terpegun melihat penampilan Syaza yang telah melalui transformasi. Syaza kini lemah lembut, sopan santun dan tidak kekok dan kasar. Gadis tinggi lampai ini sudah punya potongan badan yang menarik bagaikan model. Tidak seperti dulu, panjang dan kurus macam galah. Sangat ketara perubahan pada dirinya… daripada anak itik yang ‘hodoh’ kini bertukar menjadi angsa yang menawan.

“Ha’ah,” angguk Syaza. Apa salahnya hasrat di hati aku sekarang ini?

“Dah lebih lima tahun, kot. Rutin dia mungkin berubah,” omel Farah dalam hati yang gusar. Sampai bila Syaza akan mengejar lelaki itu?

“Dah banyak hari aku balik. By now mesti dia dah dengar berita pasal aku yang dah ada kat Malaysia.”

“Betul. Tapi mungkin dia tak duduk dengan mak dia lagi. Aku dengar si Jamil tu dah kerja.” Farah menyampaikan berita.

“Hari ni hari minggu. Kalau betul dia nak tengok kelibat aku, mesti dia balik rumah mak dia.”

“Kau pasti dia masih berminat nak tengok kau?” cabar Farah.

Syaza mengangguk yakin.

“Firasat akulah… kalaupun dia tak minat kat aku, dia mesti nak tengok jugak. Nak puaskan hati dia,” jelas Syaza tentang andaian di fikirannya. Mustahil Jamil tak nak jumpa dia langsung!

“Sebab kisah dulu?” tanya Farah sungguh-sungguh.

“Ha’ah.”

Well, mungkin betul juga kata kau. Lima tahun tak jumpa. Gambar pun tak ada… mesti dia tertanya-tanya macam mana rupa kau sekarang.” Farah membuat analogi sendiri.

Syaza di sisi terus melangkah. Meninggalkan Farah beberapa langkah di belakang.

“Sya, betul ke kau ni masih mengharapkan si Jamil tu?” laung Farah kepada gadis yang sudah jauh di hadapan. Farah menelan liur. Dia bergerak untuk menarik tangan rakannya hingga mereka berhenti melangkah. Kini pandangan mereka bertaut. Apalah yang diharap sangat kepada pemuda yang tidak pernah membalas cinta yang dihulurkannya dulu? Tidak serik ke Syaza dengan layanan Jamil yang teruk tu?

“Iya. Hati aku tetap tak berubah,” akui Syaza dalam nada selamba. Bertahun menanggung rindu, dia berharap sangat cintanya tidak ditolak sekali lagi. Tidak sanggup menanggung rasa kecewa.

“Aku harap kau tak akan kecewa,” luah Farah lembut. Jiwa amat bersimpati terhadap gadis di hadapannya.

“Tak tahulah Farah,” balas Syaza lemah. Nafas dalam dilepaskan. Dia kembali untuk memenangi hati jejaka yang selama ini bertakhta dalam sanubari. Semoga cita-citanya tercapai.

“Aku… aku macam tak percaya aje… perasaan kau pada dia masih macam dulu. Kau masih tak serik…” luah Farah sambil menggeleng. Tidak sanggup melihat rakan ini kecewa lagi kerana masih dibuai mimpi. Mimpi untuk memiliki jejaka bernama Jamil. Come on, Sya. Move on… gesa Farah di dalam hati.

Syaza terus memecut ke hadapan. Tak perlu memberikan reaksi kepada kata-kata Farah. Dia tahu apa yang perlu dibuat!



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 | Bab 5 | Bab 6 | Bab 7 | Bab 8 | Bab 9 | Bab 10 | Bab 11 | Bab 11A | Bab 12 | Bab 13 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku