5 TAHUN UNTUK CINTA
Bab 7
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 26 Mac 2017
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
644

Bacaan






Bab 7


PEMUDA tinggi lampai berkulit cerah itu melabuhkan punggung di kerusi kayu berdekatan taman mini kegemaran ibunya. Dia bermenung sejenak, melepaskan lelah. Debaran yang melanda dada belum berhenti sejak tadi. Fikiran Jamil melayang kepada dua insan yang dilihat lima minit yang lalu. Walau dari jarak jauh tetapi dia penuh yakin, gadis yang bersama-sama Farah tadi adalah Syaza.

Dia ralit berjoging apabila ternampak dua figura sedang berjalan santai di hujung lorong. Hati cuak setelah lama merenung dan mengecam lenggok dan cara berjalan yang sudah lama tidak dipandang namun tidak pula di lupa itu. Mula-mula dia ingat tersalah orang, namun apabila melihat Farah yang berada di sisinya, tidak syak lagi itulah Syaza. Kedua-duanya memang rapat sejak di bangku sekolah.

“Mil, pagi lagi dah keluar joging, ye?” tegur satu suara.

Tersentak Jamil dari lamunan menyedari emaknya sudah membuka pintu gelangsar berhampiran ruang makan rumah.

Ramlah kehairanan melihat anak bujangnya yang duduk bermenung di kerusi kayu tepi rumah. Sekejap saja dah balik?

“Ha’ah, mak.”

“Awal balik? Tak jumpa yang dicari ke?” Si emak menjeling sinis dari tepi pintu. Dah boleh agak siapa yang mahu ditemui anaknya.

“Mm… apa maksud mak?” Jamil menoleh dengan pandangan polos.

“Jom masuk dalam. Kita minum dulu. Mak dah buatkan kopi kegemaran kamu. Nasi lemak pun dah siap,” pujuk Ramlah. Dia keluar mendapatkan anaknya. Jamil mengikut saja apabila lengannya dipimpin masuk ke ruang dapur.

“Mil pun tahu Syaza dah balik, kan? Mil… mak tahu, Mil balik sini minggu ni sebab nak tengok dia, kan.” Ramlah berjeda. Merenung tepat ke wajah Jamil yang terkedu. Nak mengaku ke tidak?

“Pagi tadi awal-awal lagi Mil dah keluar joging. Tup, tup ni dah balik. Tak ada terserempak dengan si dia lah tu.” Ramlah menyuarakan pandangannya. Kopi panas di hadapannya dibiarkan berasap. Dia yakin dengan kata-kata itu. Tahu benar ‘hubungan’ antara anaknya dengan gadis itu lebih lima tahun dulu. Hal itu pernah jadi ‘panas’ suatu masa dulu.

“Mak ni… tu kisah dulu-dulu. Malas Mil nak fikir.” Jamil menepis selamba.

“Ya ke?” Ramlah sengaja menduga.

“Mil, keluarga dia nak buat kenduri kesyukuran sempena menyambut kepulangan dia.” Ramlah tunduk menghirup minumannya.

“Mana mak dapat cerita ni?”

“Ish kamu ni… macam tak percaya pulak. Mak ikut kelas mengaji di masjid tu bersama dengan ibu dia. Kelmarin ibu dia jemput mak dan kawan-kawan mak.”

“Itu kawan-kawan mengaji dia aje. Mil tak masuk senarai,” tukas Jamil. Mak dia nak jemput aku? Huh, memang tak, lah!

“Eh, dia ada sebut pasal kawan-kawan Sya semua dijemput. Mil pun kawan dia, kan. Jadi tak salahlah kalau Mil pergi.” Ramlah memberi galakkan. Senyuman penuh makna dihadiahkan kepada si anak. Dia suka gadis itu biarpun anaknya tidak dapat menerima Syaza sebagai teman istimewa.

“Jom ikut mak pergi,” serunya sejurus kemudian.

“Ha?” Terkebil-kebil biji mata Jamil melihat keceriaan pada wajah si emak. Mak ni, macam nak pergi merisik, je…

“Jom laa,” pujuk Ramlah lagi.

“Bila?”

“Hari Sabtu minggu depan. Mil tak teringin ke nak jumpa dengan dia? Lima tahun tak pernah tengok dia. Dah dewasa agaknya.” Sengaja Ramlah memancing minat anaknya supaya setuju memenuhi jemputan. Dia ingat kepada Syaza. Gadis itu menghormati orang yang lebih tua dan tak pernah sombong kepada dia. Syaza sering menegur dia bila terserempak di kedai atau di mana-mana. Sopan saja dia.

“Mak ajelah yang pergi. Minggu depan Mil tak boleh balik, ada hal,” tepis Jamil agak lama setelah berfikir. Itupun jawapan yang separuh jiwa. Dalam hati berbelah bahagi. Nak pergi ke tidak? Jamil tidak pasti. Segera dia menghabiskan sarapan.

“Mil naik dulu, mak. Nak mandi.” Dia bangkit dari kerusi. Tidak betah lama-lama di situ. Takut terpujuk dengan kata-kata emak. Egonya tidak sanggup mengalah.

Setelah mandi dan mengemaskan diri, Jamil menelentang di atas katil. Minda merakam semula babak pertemuan yang hampir terjadi pagi tadi.

Dia memang keluar awal untuk berjoging. Tujuan sebenar adalah untuk meninjau kalau-kalau berpeluang terserempak dengan gadis bernama Syaza. Memang rezeki dia. Tidak lama berlari anak di hadapan jalan besar, dari jauh sudah nampak kelibat dua insan berjalan santai sambil rancak berborak. Cepat-cepat dia menyimpang dan membelok arah lain lalu bersembunyi. Dia terus mengintai. Memang dia yakin gadis yang bersama Farah itu adalah Syaza. Hati berdetik mahu melihat gadis itu walau jaraknya agak jauh. Pandangannya berlabuh pada Syaza yang lebih tinggi dan bertubuh langsing dengan rambut ekor kuda paras bahu. Jalannya pun dah lain. Tidak kasar seperti dulu.

“Dia nampak lain. Macam mana rupa dia dari jarak dekat, ek? Agaknya jerawat kat muka tu dah hilang ke belum?” Jamil mengenang sendiri setelah kembali ke alam realiti.

“Syaza, Syaza…” Tersengih Jamil apabila teringat hobi gadis itu yang menakutkan semua orang. “Ada ke patut… dia curi kereta babah dia dan bawak macam nak masuk Formula 1 aje. Masa tu dia baru kat tingkatan 4, kot. Fuuh!” Jamil menggeleng mengingatkan semangat dan keberanian gadis itu. Serius, menakutkan!

Jamil terus melamun. Syaza anak tunggal. Ayahnya pula orang yang ada duit. Pastilah dia selalu mendapat apa yang dihajati. Spoilt brat! Tentu sukar nak layan kerenah dia.

“Sanggup ke aku bersama perempuan yang macam tu?” Jamil menggeleng. Bimbang andai perangai gila-gila Syaza tidak berkurang dalam jarak waktu lima tahun kebelakangan. Malu dia kalau Syaza buat hal saat ternampak dirinya!

Jamil termenung di atas katil. Sejak Syaza berangkat ke London dia buat keputusan untuk singkirkan terus memori tentang gadis itu.

Pernah Syaza mohon untuk add friend di facebook, sengaja tidak diluluskan! Masa tu memang dia tak suka. Menyampah dan meluat dengan perangai gadis itu yang terlalu tergedik-gedik menggilai dirinya. Semua kawan-kawannya tahu hal itu. Habis tu, kalau asyik kena perli dengan mereka, siapa yang boleh tahan? Jatuh saham aku, bro!

“Habis sekarang macam mana? Nak menyampah sampai bila? Zaman dah berlalu. Baik aku lupakan semua tu. Mungkin dia pun dah tak ingat kat aku. Biar dia dengan hidup dia dan aku akan teruskan dengan kehidupan aku.” Jamil simpulkan begitu.

Beberapa minit berlalu.

“Tapi satu hari nanti mesti kami bertembung juga,” akui pemuda itu kepada diri sendiri. Dia dihantui dengan perasaan resah yang tidak mahu surut. Rasa ingin tahu kembali bermukim dalam hatinya. Semakin membuak. Selagi tidak bersua muka dengan gadis itu, hati akan teringat-ingat. Jiwa hilang ketenteraman.

“Hm, tak boleh jadi ni. Aku kena jumpa dia juga. Nak tenangkan fikiran…”

Dada terus bergetar mengenangkan pertemuan yang bakal terjadi biarpun bukan hari ini.



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 | Bab 5 | Bab 6 | Bab 7 | Bab 8 | Bab 9 | Bab 10 | Bab 11 | Bab 11A | Bab 12 | Bab 13 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku