5 TAHUN UNTUK CINTA
Bab 8
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 26 Mac 2017
Penilaian Purata:
(4 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
475

Bacaan






Bab 8

MAJLIS kenduri kesyukuran yang diadakan oleh Ahmad Suhail dengan isterinya berjalan dalam suasana santai dan meriah. Dia menjemput rakan-rakan dari jemaah masjid yang tidak jauh dari rumah. Di samping itu, ada juga saudara-mara terdekat yang datang, tidak ketinggalan jiran-jiran.

Syaza juga mengajak dua, tiga orang kawan yang sama-sama baru pulang dari London. Farah yang awal-awal lagi dijemput, tidak dapat hadir.

“Amboi… dah lain rupa Syaza. Semakin lawa anak dara Cik Zai ni,” ulas Ramlah sewaktu baru tiba dan Syaza pula pantas menyalaminya. “Kalau ibu kamu tak cakap, mak cik memang tak cam Sya tadi,” pujinya biarpun hal itu memang betul.

“Biasa aje mak cik. Sya dah besar, mestilah wajah ni berubah sikit-sikit.” Dia merendah diri berhadapan dengan emak si Jamil. Segan rasanya berbual dengan ibu kepada orang yang sangat dirindui. Di mana Jamil? Tak nampak pun kelibat dia!

“Mm… Mil tak balik minggu ni. Katanya dia ada hal.” Macam tahu sahaja, Ramlah memberikan jawapan kepada apa yang ada dalam fikiran Syaza. Sengaja menyebut tentang anak bujangnya. Dalam hati terkilan juga dengan keengganan Jamil untuk hadir malam itu. Kecantikan Syaza yang baru ini pasti akan membuat anak bujangnya terpikat dengan gadis ini, desis hati Ramlah.

“Takpe mak cik. Ramai lagi kawan-kawan Sya yang tak dapat datang.” Itu sahaja jawapan yang mampu diberikan kepada wanita ini tanpa menampakkan ketara sangat perasaannya yang teringin untuk bertemu dengan Jamil.

“Err, Sya ke sana kejap. Nak jumpa kawan Sya yang baru sampai. Mak cik masuklah ke dalam. Ibu ada kat sana.” Laju sahaja Syaza melepaskan diri. Tidak sanggup berbual lama dengan tetamu ini. Tak pasal-pasal nanti habis terkeluar kisah kerinduan aku pada Jamil.

Syaza merapati babahnya sebaik terpandang lelaki itu masih berbual dengan seseorang sedangkan tetamu lain sudah mula menikmati hidangan.

“Babah belum makan? Orang lain dah mula menjamu selera. Jemputlah tetamu babah makan sekali.” Mata Syaza tunak sejenak kepada rakan yang sedang berdiri di sisi babah.

“Babah tengah bincang dengan kawan babah ni. Hadif, ni Syaza anak pak cik.” Tersenyum Ahmad Suhail sambil memperkenalkan si anak kepada tetamu mudanya.

“Er, apa khabar Encik Hadif?” Selaku tuan rumah, Syaza menegur ramah.

“Alhamdulillah.” Hanya sepatah jawapan Hadif. Mata tak berganjak dari menjamah wajah Syaza. Tajam dan dalam.

Gadis itu menyedarinya. Kekok dan tidak selesa, namun terpaksa berlagak selamba. Kenapa dengan mamat ni? Tak pernah tengok orang ke?

“Kenapa biarkan aje tetamu babah ni? Jemputlah makan Encik Hadif. Excuse me, saya masuk dalam dulu. Ada kerja sikit.” Segera Syaza meloloskan diri dari situasi yang serba kekok itu. Dari awal dia menyedari kerenah tetamu muda babah yang tidak habis-habis mengambil kesempatan untuk mencuri pandang ke arah dia. Eh, rupa aku ni macam ex dia ke?

USAI bersolat Zuhur, Ahmad Suhail mendapatkan isteri yang sedang berehat di ruang menonton. Masing-masing masih keletihan dengan majlis malam tadi namun hati puas.

“Kita jarang-jarang buat majlis, tapi alhamdulillah malam tadi ramai juga sedara-mara dan jiran kita yang datang. Seronok saya, bang.” Zaiton memulakan perbualan mereka petang itu.

“Awak jemput emak budak tu?” soal Ahmad Suhail bila teringat kelibat seorang wanita yang menjadi tetamu mereka malam tadi.

“Haah. Kenapa? Saya jemput kawan-kawan dari kelas mengaji. Dia pun sama-sama dalam kelas tu,” jelas Zaiton. Tahu, soalan suaminya itu merujuk kepada siapa. Tentulah yang dimaksudkan itu Ramlah, ibu kepada lelaki yang menjadi kegilaan anak mereka sebelum ke London dulu.

“Anaknya ada datang sekali?” Mengingatkan kepada pemuda itu membuat Ahmad Suhail tidak senang hati.

“Taklah, bang. Kalau ada, dah tentulah abang akan perasan.” Zaiton menjeling wajah suami yang terukir dengan riak masam. Sejak dulu dia tidak suka sikap anaknya yang terlalu menggilai jejaka bernama Jamil itu.

“Awak ingat lagi ke janji Sya pada saya lima tahun dulu?”

“Kenapa?” Zaiton mengerutkan kening.

“Ingat tak?” desak Ahmad Suhail.

“Ya, ingat. Tapi kenapa?” Zaiton sudah keresahan dengan haluan perbualan suaminya.

“Dalam tempoh dia kat London dia tak akan contact budak tu. Itu antara janji dia. Lima tahun dia kat sana, awak rasa dia pegang pada janji tu ke?” Jiwa Ahmad Suhail penuh dengan syak wasangka. Tidak pasti anak mereka telah berpegang kepada janji atau sebaliknya.

“In sya ALLAH, bang. Saya yakin pada Sya.”

“Baguslah kalau dia langsung tak berhubung dengan budak tu.” Ahmad Suhail sering merujuk kepada Jamil dengan panggilan ‘budak tu’. Sudah cukup untuk membayangkan tahap perasaannya terhadap Jamil.

Masih dia ingat, pada waktu itu Syaza terlalu ingin belajar di London. Ada juga kawan-kawannnya yang sudah melanjutkan pelajaran di sana, jadi dia berhasrat mengikut jejak mereka. Demi menghantar anak tunggal mengejar cita-cita, mereka tidak kisah berhabis wang walaupun keadaan syarikat waktu itu dilanda masalah.

Ahmad Suhail mengambil kesempatan itu dengan menggesa Syaza supaya melupakan Jamil buat sementara waktu demi merealisasi hasrat hati. Biarpun keberatan, Syaza telah akur dan sanggup ketepikan soal hatinya terhadap jejaka yang diminati demi mengejar cita-cita mahu menyambung pengajian di London.

“Tapi sekarang ni macam mana, bang? Sya dah balik dan dalam perjanjian tu tak ada larangan untuk dia berhubung semula dengan Jamil.” Zaiton mengingatkan.

“Saya tahu. Tu sebablah plan B kita dah berjalan. Cuma tunggu masa saja nak tengok hasilnya.”

“Abang tak risau ke? Buatnya plan B kita tak menjadi.”

“In sya ALLAH, rancangan kita akan berhasil. Saya yakin pada kemampuan Hadif.” Ahmad Suhail membayangkan harapannya sendiri dengan berkata begitu.

“Abang tak rasa dia masih nak berkawan dengan budak Jamil tu?” Zaiton masih sangsi dengan sikap anak daranya terhadap Jamil. Buatnya dalam diam, perasaan Syaza masih berbaki terhadap lelaki itu, rosaklah rancangan mereka suami isteri.

“Dia tak ada sebut apa-apa dengan awak ke?”

“Mm… setakat ni tak ada pulak. Nampak dia rileks aje bila sebut nama Jamil,” lapor Zaiton tentang pengamatannya sejak Syaza pulang ke tanah air.

“Bagus.”

“Tapi kat belakang kita tak tahulah, bang,” tambah Zaiton sejurus kemudian. Dalam hati risau juga.

“Tengoklah macam mana. Kalau pun dia masih nak jumpa budak tu, saya rasa tak ke mana pun. Lima tahun terpisah… tentu dah lenyap perasaan tu. Entah-entah si Jamil tu pun dah berpunya.” Ahmad Suhail yakin tiada hubungan istimewa yang akan terbina antara anak gadisnya dengan pemuda itu.

Dengan perpisahan selama lima tahun itu, masing-masing menaruh harapan semoga minat Syaza terhadap jejaka itu menemui titik noktah. Mereka sering berdoa agar nama Jamil terpadam terus dari ingatan anak mereka. Siapa tahu, dalam tempoh itu Syaza mungkin bertemu orang lain yang mampu membuka lembaran baru dalam hidup dia.

Dalam pada itu mereka tetap berusaha untuk menjauhkan Syaza daripada lelaki tersebut apabila dia balik kelak. Bukannya apa… Ahmad Suhail tidak rasa Jamil itu sesuai untuk anak mereka. Dari dulu lagi dia menyampah melihat layanan Jamil terhadap anak gadisnya yang bagaikan sampah!

“Sekarang ni kita fokus kepada Hadif. Cari jalan macam mana nak bagi anak kita minat kat Hadif. Saya nak dia jatuh hati pada Hadif.” Ahmad Suhail berterus terang tentang hasrat di hatinya.

“Hadif jauh lebih baik dari budak Jamil tu. Saya memang suka dia jadi menantu kita,” tambah Zaiton.

“Awak tengoklah malam tadi… elok sopan aje dia. Datang dari masjid sama-sama dengan jemaah lain. Saya…”

Ahmad Suhail berjeda. Wajah berpaling ke arah pintu bilik apabila menyedari Syaza tiba-tiba muncul di situ.

“Ibu dengan babah cakap pasal siapa ni? Bukan main puji lagi.” Syaza menapak masuk lalu berlabuh di sofa sebelah ibunya.

“Bukan memuji Sya, tapi dia memang macam tu. Orangnya sopan… buat bisnes pun boleh tahan juga.” Ahmad Suhail mengambil kesempatan untuk mempromosikan imej Hadif di mata anaknya.

“Dia business partner babah yang baru ke?”

“Err, bukan. Dia uruskan perniagaan ayahnya yang dah bersara. Kebetulan babah selalu jumpa dia. Nak dijadikan cerita, dia duduk tak jauh dari rumah kita.” Ahmad Suhail menerangkan dengan panjang lebar.

“Dia selalu tolong orang dalam kesusahan,” tokok pula Zaiton. Ada sejarah di sebalik kata-kata itu. Hanya dia dan suaminya yang faham.

“Ya ke? Mamat yang babah kenalkan pada Sya malam tadi tu ke? Yang itu ke, babah?” Terpancing juga minat si anak terhadap orang yang disebut-sebut oleh babah dan ibu.

“Dia yang paling kacak kan, Sya.” Zaiton tersenyum simpul. Terumpankah anaknya dengan kenyataan begitu? Wajah Syaza ditatap tekun. Sedikit hampa pabila tak ada reaksi.

“Walaupun dia tu jauh lebih muda, kami dah jadi kawan rapat.” Ahmad Suhail tidak ketinggalan dengan informasi.

“Hm… mamat yang mata tajam tu? Yang suka tenung orang lama-lama tu?” sembur Syaza. Teringat kepada pandangan tajam jejaka yang telah diperkenalkan babah kepadanya malam tadi. Baik sangat ke dia?

“Eh Sya ni… merepek aje dia. Bila pulak dia buat kerja macam tu,” tukas Zaiton membetulkan persepsi anaknya terhadap jejaka yang sedang mereka bincangkan. Namun hatinya terkekeh juga. Mata tajam? Suka tenung orang lama-lama? Sya, Sya…

Syaza mendengar tanpa menaruh minat. Itu bukan urusan dia.

“Hm, Sya nak ke dapur buat air. Ibu dengan babah nak apa-apa tak?” Melihat kedua-duanya menggeleng, Syaza segera bangkit dan berlalu. Tidak menyedari pandangan mereka lain macam terhadapnya.



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 | Bab 5 | Bab 6 | Bab 7 | Bab 8 | Bab 9 | Bab 10 | Bab 11 | Bab 11A | Bab 12 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku