5 TAHUN UNTUK CINTA
Bab 9
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 26 Mac 2017
Penilaian Purata:
(5 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
686

Bacaan






Bab 9

WAKTU sudah hampir ke tengah hari. Hadif mendongak dari komputer riba yang berada di atas mejanya. Sejak beberapa hari kebelakangan ini konsentrasinya sering terganggu. Fikiran asyik melayang kepada satu pertemuan. Hadif menyandar di kerusi. Menggigit ibu jari. Wajah Syaza yang ditemui malam kelmarin sudah acap kali menerjah ke minda.

Pertama kali mata menjamah wajah itu dari jarak dekat, dia terpegun melihat keindahan parasnya.

“Mm, sekarang dah terjawab soalan aku selama ni. Dia jauh lebih cantik dari yang aku bayangkan.” Hadif mengakuinya.

Sejak dulu dia tertanya-tanya bagaimana paras Syaza yang hanya pernah dilihat dari jarak jauh dan dari beberapa keping foto lama. Tak pernah sekalipun mereka bertemu empat mata sehinggalah di malam kenduri kesyukuran, dua hari yang lalu.

“Ah… dah macam terlekat pulak imej dia dalam fikiran aku ni.” Hadif menyandar leka di kerusi. Memejamkan matanya beberapa ketika.

“Ish, kenapa dengan aku? Kalau aku teruskan macam ni… parah aku. Bahaya! Takut terjatuh cinta pula dengan dia.” Hadif menggeleng. Mengusir kemungkinan itu. Dia akan berusaha mengelak daripada perkara itu terjadi. Tidak rela rancangannya rosak atau terhadang hanya dengan hal-hal remeh begitu.

No! That cannot happen. Aku mesti lebih berhati-hati. Tak nak sampai itu terjadi.” Hadif menolaknya dengan keras. Mata pantas dihala ke luar tingkap. Berusaha menghalau bayangan tadi dari minda.

“Kalaulah ada perkara lain yang aku boleh tumpukan selain dari minah sorang tu…” Hadif meraup mukanya sekali. Tidak yakin dia akan mampu menolak imej Syaza ke sudut memori. “Nampaknya aku kena segerakan agenda yang dah dirancang.”

Lama Hadif bermenung. Memikirkan cara merealisasikan rencana yang sudah berzaman tersimpan, menunggu masa untuk dilaksanakan. Mungkin inilah masa yang sesuai untuk itu.

Di luar, suasana pejabat yang berimej sederhana mewah itu agak tenang. Linda sedang menyiapkan kerja apabila seorang tetamu mendekati mejanya. Sejurus kemudian Linda bangkit dari kerusi dan mengetuk pintu bilik ketuanya.

“Encik Hadif, perempuan yang hari tu datang cari you ada kat depan meja I,” beritahu Linda setelah masuk dan menyerahkan satu fail kepada bosnya.

Hadif yang sedang melamun itu tersentak. Terkebil-kebil. Cepat dia sedar dan memberikan perhatian kepada kata-kata Linda. Perempuan?

“Perempuan hari tu… yang nak jumpa Encik tapi tak nak bagi tahu nama,” jelas Linda apabila melihat pandangan Hadif yang berwajah kosong. ‘Blurr’ je dia. Mesti terlampau kusyuk sampai tak ingat apa-apa dah tu! Berangan apalah pulak. Sejak balik dari Eropah, lain macam aje dia.

“Okey, bagi saya sepuluh minit. Nak siapkan kertas kerja ni.” Hadif memberikan tindak balas setelah kembali ke alam realiti.

“Baik, bos.”

Linda meninggalkan bosnya dengan membawa pesanan tersebut. Tidak mahu mengganggu lelaki itu yang sedang memberi fokus kepada perkara penting yang mahu disiapkan.

Hadif kembali menatap komputer. Dia mahu selesaikan segera satu tugas yang terbengkalai sejak tadi.

Okay Linda… send her in,” arah Hadif usai membereskan kerja. Dia perlu memberi laluan kepada tetamu yang menanti sekian lama.

“Assalammualaikum abang,” tegur gadis manis yang ceria melangkah masuk. Dia terus duduk di kerusi hadapan meja besar itu.

“Oh, Nani! Lama tak hubungi abang. Duduklah.” Hadif tersenyum ceria melihat gerangan gadis tersebut.

“Masa Nani datang hari tu, abang kat luar negara.”

Hadif mengangguk. Sebentar tadi Linda telah mengesahkan tentang kehadiran gadis ini semasa ketiadaannya.

“Ya. Ada urusan kerja sikit kat sana. Ada apa Nani datang jumpa abang ni?” Hadif terus ke tujuan pertemuan ini.

“Mm… Nani dah habis belajar. Nak tanya kalau ada kerja kosong kat tempat abang ni. Dulu abang ada pesan suruh Nani datang cari abang kalau dah habis belajar.” Nani mengingatkan.

“Oh… ya, ya. Baru abang ingat.” Hadif menyandar di kerusinya. Ingatan kembali kepada dua tahun lalu sewaktu bertemu gadis ini di rumah Budiman. Rumah Budiman merupakan rumah anak-anak yatim yang menjadi anak angkat syarikat Hadif. Justeru, mendapat sumbangan yang bukan sedikit dari syarikat tersebut. Malah, Hadif sendiri sering ke situ memantau perkembangan serta aktivitinya di samping beramah mesra dengan penghuni di sana. Nani sendiri merupakan hasil produk dari rumah Budiman. Hadif telah membiayai pengajian gadis itu hingga ke peringkat Diploma.

“Ada bawa salinan sijil, Diploma dan resume?”

“Ada.” Tersenyum Nani. Segera mengeluarkan satu fail yang dibawa bersamanya tadi.

“Okey. Letak kat atas meja. Nanti abang tengok. Sekarang macam ni…” Hadif melihat jam di pergelangan. “Mm, dah pukul 12.15 tengah hari. Abang dah lapar ni. Apa kata Nani ikut abang pergi makan dulu. Boleh cerita kisah adik-adik kat rumah Budiman.”

“Boleh!” sambut Nani laju. Bertambah ceria wajahnya.

HADIF IQBAL memasuki restoran yang agak terkenal dan digemari ramai itu bersama gadis tadi. Dia mahu meraikan anak yatim ini yang pernah menghuni di rumah Budiman. Seingat dia Nani sangat rajin membantu menjaga anak-anak yatim lain yang lebih muda dan kecil. Sikap ringan tulangnya membuatkan Hadif tertarik untuk membiayai pengajian gadis ini hingga tamat Diploma.

Banyak juga yang mereka bualkan mengenai hal di rumah Budiman dan penghuninya. Biarpun sudah tidak tinggal di situ, Nani sering menjenguk ‘adik-adik’ yang masih di sana.

“Makan dah sudah. Terima kasih sebab abang belanja Nani.” Gadis itu merenung Hadif dalam tidak kepastian. “Err… bang, pasal kerja tu macam mana pula?” Nani memberanikan diri bertanya.

“In Sya ALLAH. Nanti minggu depan abang bagi tahu. Tunggu panggilan dari setiausaha abang.”

“Mm, maknanya kerja kosong kat pejabat abang tu adalah, ya?” Nani mahu mempastikan kenyataan yang dibuat oleh Hadif. Betul ke lelaki ini akan menawarkan kerja di pejabatnya?

“Hm, dah lulus temuduga.”

“Bila masa Nani pergi temuduganya? Abang Hadif ni suka buat lawak ajelah.” Tergelak kecil si Nani mendengar kata-kata itu. Tinggi harapannya terhadap lelaki ini.

“Masa kita makan kejap tadi. Sambil makan sambil abang temuduga Nani.”

“Haa!” Terlopong Nani sejurus. Biar benar. Tanpa sedar dia sudah diuji? Patutlah macam-macam yang disoal kat aku masa makan tadi. Seram sejuk juga dengan cara Abang Hadif ni…

“Dah. Tutup mulut tu. Nanti masuk lalat pula.” Hadif menghadiahkan senyuman mesra kepada gadis itu. Dia sering melayannya seperti adik sendiri.

“Terima kasih Abang Hadif.” Terharu gadis itu dengan kemurahan hati lelaki di hadapannya. Hadif tidak pernah lokek memberi sumbangan kepada dirinya sejak menjadi pelajar di sebuah IPT. Malah, setiap semester lelaki inilah yang membayar yuran pengajiannya. Dia sendiri yang akan menelefon untuk memberikan wang tersebut. Tidak pernah melalui setiausahanya. Mungkin Hadif tidak suka orang lain tahu segala amal kebajikan yang dia sering buat.

“Abang tak perlu balik pejabat cepat sangat. Jom kita pergi solat dulu… kemudian pergi kedai. Kita beli pakaian kerja untuk Nani.”

“Hah!” Sekali lagi gadis itu terkesima dengan tawaran Hadif. Murah sungguh rezeki aku hari ni!




Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 | Bab 5 | Bab 6 | Bab 7 | Bab 8 | Bab 9 | Bab 10 | Bab 11 | Bab 11A | Bab 12 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku