5 TAHUN UNTUK CINTA
Bab 10
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 26 Mac 2017
Penilaian Purata:
(8 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
708

Bacaan






Bab 10

PUSAT beli-belah yang luas itu mula dikerumuni pengunjung. Kebanyakan mereka yang berkeliaran di sana sini terdiri dari anak-anak muda. Syaza menaiki eskalator ke tingkat dua pula setelah puas melilau di tingkat satu. Apa yang dicari, dia sendiri tidak pasti.

“Hm, entah apalah yang buat orang-orang ni berkerubung kat sini. Sama aje dengan shopping complex yang lain-lain, kot,” gerutunya kerana sudah bosan berada di situ walaupun baru pertama kali menjejakkan kaki ke tempat tersebut.

Syaza mendapatkan sebuah bangku dan duduk di situ sambil memerhati orang ramai. Ralit melihat pelbagai ragam dan gelagat manusia. Yang jalan sendirian, yang membawa anak-anak dan tidak kurang juga yang datang berpasangan. Manja dan mesra.

Tiba-tiba anak mata Syaza terarah kepada satu wajah yang ditemui beberapa hari lalu. Mustahil dia boleh lupa kepada wajah ala-ala hero filem Hindustan itu. Mamat yang punya sepasang mata yang tajam…

“Eh, nak ke mana pulak kawan babah yang suka tenung orang tu,” ujarnya sendirian. Mata singgah lama kepada lelaki yang sedang berjalan santai tidak jauh. Dia terpandang seorang wanita berjalan di sisi Hadif. 

“Hm, tu isteri dia kot. Malam kenduri hari tu tak bawa pulak,” omel Syaza. Mata tunak kepada wanita itu pula. 

“Nampak muda sangat. Mm, entah-entah awek dia.” Syaza terfikir kemungkinan itu. Leka dia mengamati kemesraan pasangan itu berborak sambil membalas senyuman. “Comel juga perempuan tu.”

Syaza terus memerhati gelagat pasangan itu hingga hilang dari pandangan.

“Eh, apalah aku ni… menyibuk hal orang lain yang tak ada kena-mengena.” Dia sedar diri.  Mula membuka langkah.

“Hi!”

Syaza pantas berpusing ke arah suara yang menegur. Pandangannya terhenti di situ. Biar benar…

“Err… hi.” Itu sahaja yang mampu zahir dari bibir merah Syaza. Diri terus tercegat di tepi bangku tadi. Dada diserang debar tiba-tiba.

Pemuda yang menegur tadi mendekati gadis itu dalam tenang.

“Bila awak balik Malaysia?” Jamil pura-pura bertanya sedangkan berita itu sudah lama di ketahui dari beberapa sumber.

“Dah dekat sebulan.” Eh, takkan mak dia tak bagi tahu, gerutu hati Syaza. Orang tua tu datang masa kenduri kat rumah aku tempoh hari, kot.

Syaza melepaskan nafas perlahan-lahan. Kontrol perasaan kau, beb. Kau bukan Syaza yang dulu. Pantas Syaza mengingatkan diri. Tidak mahu lagi membodohkan diri dengan ‘mempersembahkan’ perasaannya secara percuma kepada Jamil walaupun hati sangat merindui lelaki ini. Sudah, sudahlah dengan cara dulu.

“Awak nak ke mana sorang-sorang ni?”

“Err… jalan-jalan tengok perkembangan kat bumi Malaysia yang makmur ni.” Syaza yang gugup memberikan jawapan yang entah apa-apa. Tak kisahlah!

“Yalah… lima tahun tak pernah balik, kan. Jom saya temankan awak pergi minum. Sambil tu boleh saya update awak sikit-sebanyak pasal perkembangan kat ibu kota kita ni.” Jamil tidak membuang masa. Senyuman manis dihadiahkan kepada gadis itu. Langsung terserlah lesung pipit di pipi yang menjadi asetnya selama ini. Dia masih ingat, dulu-dulu lesung pipit itulah yang tidak pernah gagal memikat hati Syaza.

“Awak tak sudi ke? Takut dengan saya?” soal Jamil setelah lama tidak mendapat respons daripada gadis di hadapannya.

“Saya tak takut. Saya tak buat salah apa-apa pun. Err… jom lah.” Syaza akhirnya bersetuju dengan cadangan lelaki itu biarpun hati keberatan. Tidak biasa dengan layanan baik daripada pemuda ini.

Mereka bergerak ke sebuah restoran yang menyajikan hidangan masakan Korea. Sambil makan mereka berbual dan mengemaskini maklumat tentang hidup yang masing-masing lalui sejak lima tahun lalu.

“Saya sekarang ni kerja dengan sebuah syarikat pembinaan,” jelas Jamil setelah mereka selesai makan dan berlengah-lengan untuk meninggalkan tempat itu.

“Seronok kerja?”

“Seronok tu nombor dua. Nak kena cari duit. Kalau tak macam mana nak teruskan hidup… Awak lainlah, anak orang berada.”

“Hisy, ke situ pulak awak. Saya pun kena kerja juga. Takkan nak bergantung pada orang tua selama-lama,” balas Syaza. Tidak mahu Jamil menganggap laluan hidupnya mudah dan selesa. “Eh, ayah awak pegawai kerajaan, kan. Dia dah pencen ke?” Cepat Syaza melarikan topik bualan mereka apabila melihat Jamil membuka mulut untuk berkata sesuatu.

“Ayah saya dah meninggal tahun lepas.”

Jamil melarikan anak mata ke sudut lain. Mengelak dari bertembung pandang dengan gadis di hadapannya.

Oh. Sorry to hear that. Takziah.” Syaza rasa tidak selesa mendengar berita yang disampaikan oleh Jamil. Jika dia tahu, pertanyaan itu tidak akan dilontarkan.

“Err…”

“Hi! Korang berdua kat sini rupa-rupanya. Dating, eh?” Gadis tinggi lampai bercelana biru mendekati meja mereka. Serentak itu juga pasangan yang sedang rancak berbual menoleh ke arah empunya suara yang menegur.

“Eh, Farah. Kebetulan aje kami jumpa kat sini. Kau dari mana?” Syaza bersuara.

Jamil hanya membisu. Kekok bila tertangkap berduaan dengan Syaza. Bukankah dulu dia tidak pernah sukakan gadis ini?

“Kot ya pun, ajaklah aku duduk dulu,” balas Farah. Mata menjeling sekilas kepada Jamil. Bagaimana penerimaan dia terhadap Syaza yang baru ni?

“Duduklah.” Jamil bersuara sepatah. Sempat matanya dengan mata Farah bertembung buat seketika. Nampak benar tidak selesa dengan pertemuan ini.

“Kau nak makan apa-apa, tak? Pesan cepat. Kita orang boleh tunggu.” Ceria benar nada Syaza. Lega dengan kehadiran orang ketiga. Hilang sikit rasa kekoknya sejak bertemu dengan lelaki ini.

“Takpe lah. Aku baru lepas makan. Sya, kenapa tak telefon aku? Kalau tak, awal-awal lagi boleh aku temankan,” tawar Farah.

“Tak nak ganggu kau kerja.”

“Err… hari ni aku cuti,” beritahu Farah. Dijeling Jamil yang selamba mengamati wajah gadis yang baru pulang dari perantauan. Apa mamat ni sedang fikir pasal Syaza? Dah teruja tengok dia ke?

“Masa keluar rumah tadi ingat nak jalan sorang-sorang…”

“Hm, akhirnya beramai-ramai juga. Tak sangka pulak kita semua boleh terjumpa kat sini.” Jamil mencelah ayat yang tidak sempat dihabiskan oleh Syaza.

“Kau nak pergi mana lagi? Nak tengok apa lagi?” tanya Farah setelah beberapa waktu mereka berborak dan mulai bangun meninggalkan kafe itu.

“Syaza, ke mana saja awak nak pergi hari ni, saya dengan Farah akan temankan.” Bersemangat benar si Jamil hingga kedua-dua gadis yang mendengar berasa lain macam. Mana tidaknya, dulu si Jamil ni bukan main nak mengelak daripada mendekati Syaza.

Syaza terpana mendengar kata-kata itu. Jamil buat tawaran macam tu kat aku? Kalau 5 tahun dulu, mau dia pecut 500 meter menjauhi aku. Nampaknya dia dah buat u-turn 180 darjah. Haruskah aku bersorak sakan…

“Okey Farah. Apa kata korang temankan aku main ice-skating.” Tiba-tiba Syaza mengumumkan hasratnya.

“Ha? Okey, meh la.”

Melihat Farah menarik lengan rakannya, si Jamil mula mengekori mereka dalam diam. Di sebalik wajah yang selamba, hati Jamil diisi dengan pelbagai rasa. Resah, risau, debar. Semuanya teradun.

MALAM itu Jamil melabuhkan tubuh ke katil bersama memori tengah hari tadi. Beberapa jam dia dengan Farah melayani Syaza. Dia menyedari perilaku Syaza yang kini anggun dengan penampilan yang semakin cantik dan menawan. Terpesona dia mengamati tutur kata Syaza yang lembut, jauh berbeza berbanding dulu yang agak kasar.

“Mm, dah ada kelulusan dari luar negara pulak tu. Saham tinggi, kot!” Jamil bangkit dari katil lalu mencapai telefon bimbitnya. Lama direnung beberapa pos gambar yang sempat dirakam bersama Syaza dengan Farah tadi. Jamil tersenyum senang.

Taste dia memang kelas. Pakaian dah up-tu-date dan dari yang berjenama. Fuuhh.” Tidak habis-habis pujian Jamil terhadap gadis yang lima tahun terpisah dengannya.

“Banyak betul diri dia dah berubah. Macam berdepan dengan orang baru aje. Kalau dulu… haila!” Jamil membayangkan wajah Syaza yang dulu dan sekarang, dia geleng kepala.

“Dia pergi belajar akademik ke, dia masuk kelas self grooming?” Jamil tersengih. Kagum menyedari Syaza yang ditemui tadi begitu menarik dan berkeyakinan diri dari segi penampilan mahupun personaliti. Minda masih merakam kerenah gadis itu tengah hari tadi. Semakin teruja untuk mendekati Syaza yang baru.

“Suka pula aku tengok Syaza.” Jamil terkekeh sendiri. Suka? Bukan ke dulu tengok bayang dia pun aku dah menyampah? Menyampah? Mm… itu dulu. Tapi sekarang… Jamil membiarkan fikiran hanyut dalam lamunan.

“Ah, rasa macam nak ngorat dia aje. Patut ke aku buat macam tu? Dulu aku bukan main jual mahal lagi dengan Syaza. Kesian dia, merayu minta aku terima dia. Tapi aku buat dekk aje. Tapi hari ni aku mula pasang angan-angan untuk dapatkan dia. Apa dah jadi dengan diri aku?” Jamil mencubit lengannya sendiri. Biar sedar diri!

“Dulu… aku tak sepatutnya layan dia macam tu. Mm, aku harus perbetulkan semua tu. Aku perlu jumpa dia lagi.” Jamil terus berazam. Dia akan berusaha untuk mengukir pertemuan demi pertemuan dengan gadis itu. Dia akan merancang supaya tidak nampak ketara yang pertemuan itu atas kehendaknya.

“Lepas tu kita tunggu dan lihat…” Jamil tersenyum menjongketkan kening.




Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 | Bab 5 | Bab 6 | Bab 7 | Bab 8 | Bab 9 | Bab 10 | Bab 11 | Bab 11A | Bab 12 | Bab 13 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku