5 TAHUN UNTUK CINTA
Bab 11
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 26 Mac 2017
Penilaian Purata:
(2 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
827

Bacaan






Bab 11

SEJAK pagi Faisol berada di pejabat rakannya bagi membincangkan urusan perniagaan. Usai perbincangan yang panjang, kedua-dua sahabat itu menutup fail dan bercadang untuk merehatkan fikiran. Selalunya mereka akan susuli pula dengan acara makan di sebuah restoran kegemaran bersama.

“Nak naik kereta aku ke?” soal Hadif sewaktu mereka berada di muka pintu bilik.

“Hari ni kita pergi dengan kereta aku pula. Nanti aku hantar kau balik.” Faisol bermurah hati mempelawa.

“Tak buang masa kau nak menghantar aku balik semula?”

“Takpe, hari ni aku kan cuti.” Faisol mengingatkan rakannya.

“Oh ya, lupa pulak. Kalau macam tu jom kita pergi tengok tapak tanah yang kau ceritakan tu,” ajak Hadif tiba-tiba.

“Sekarang?”

“Sekarang aku tengah free. Petang nanti ada mesyuarat. Esok lusa aku ke pejabat yang satu lagi pula.” Panjang lebar cerita Hadif. Hidup dia memang sibuk dengan perniagaannya yang beberapa cabang itu.

“Hm kau ni… banyak sangat pejabat. Macam ada isteri lebih dari satu pula aku tengok.” Faisol menekan butang lif.

“Satu isteri pun aku belum ada. Sebab tulah aku fokus pada bisnes,” jelas Hadif sebaik mereka masuk ke perut lif yang baru terbuka. Kebetulan tiada sesiapa di dalam lif itu.

“Tahu takpe. Kau dah terlajak membujang. Calon dah ada, kau sepatutnya fikirkan pasal tarikhnya aje.”

“Nantilah, pelan-pelan aku cari jalan nak ikat yang satu tu dulu,” jawab Hadif sambil tersengih. Memang calonnya sudah ada tetapi ada masalah teknikal yang membuatkan urusan perkahwinan mereka menjadi sedikit rumit.

“Amboi, ada hati nak lebih dari satulah tu.” Faisol bercanda.

“Ha ha ha. Yang satu tu pun belum tentu jadi. Kau bukan tak tahu masalah aku. Saja nak kenakan aku, ek?” balas Hadif. Minda terus terjah kepada satu wajah yang dari jauh menggamit pandangannya pagi tadi.

“Bukan. Aku cuma nak ingatkan kau… urusan kahwin jangan dilengahkan. Rugi tak ikut sunnah, tau. Berganda pahala untuk orang yang dah kahwin.” Faisol yang memang rapat dengan Hadif itu tahu situasi kedudukan Hadif dan calon isterinya. Dia sering menjadi tempat lelaki itu meluahkan rasa dan meminta pandangan dan pendapat.

“Silap haribulan boleh dapat banyak dosa juga,” sahut Hadif. Mana tidaknya, kalau masing-masing tak sehaluan. Siang malam asyik bertengkar. Sudahnya, anak-anak yang terbiar tanpa kasih sayang dan bimbingan.

“Ada saja alasan kau. Apa… kau masih belum bersedia untuk memperisterikan dia ke? Belum cukup kasih sayang?” sakat Faisol sambil tertawa kecil. Lucu juga mamat sorang ni. Bertunang dia sudi, tapi bab nak kahwin tak jadi-jadi.

No comment.” Hadif hanya memandang ke luar kereta. Wajahnya tidak menunjukkan sebarang reaksi. Suka atau tidak, hanya dia yang tahu.

“Dulu kau juga yang sanggup. Sekarang ni macam mana? Masih tak pasti?”

Suasana bungkam sejurus.

“Kau dah jumpa dia ke belum?” soal Faisol lagi. Wajah Hadif direnung sejurus olehnya.

Lama Hadif diam. “One-to-one belum,” gelengnya.

“Hmm, lambatnya kau.”

“Hari tu aku dah bincang dengan ayah dia. Katanya dia perlukan sedikit masa,” jelas Hadif ringkas.

“Hm,” jeling Faisol. Macam tak percaya saja kawan aku ni. Dalam bisnes dialah yang laju merebut peluang. Tapi dalam hal macam ni dia agak terkebelakang.

Walaupun kurang berpuas hati dengan prestasi rakannya ini dalam urusan peribadi, namun dia harus menghormati apa saja keputusan Hadif. Lelaki itu berhak mengelolakan hidupnya dengan cara sendiri.

“Kau jangan bimbang. Tahulah aku nak uruskannya.”

“Betul ni kau tak perlukan bantuan?” acah Faisol.

“Aku dah fikirkan apa yang aku patut buat, cuma perlukan sedikit masa.”

“Wah, ni mesti ada plan baik punya.”

“Kita hanya merancang… tapi ALLAH yang menentukan segalanya.” Pantas Hadif mengingatkan.

“Tahu takpe.”

Mereka sama-sama tertawa. Mengiakan kata-kata Hadif sebentar tadi. Sebaik mana pun perancangan kita, tanpa DIA mengizinkan… tidak akan terjadi apa-apa. Sebaliknya, seisi dunia tidak mampu menghalangnya jika ALLAH mahukan ia terjadi.

“Kau macam mana? Dah okey hubungan antara Wardah dengan mama kau?” soal Hadif sekadar mahu menukar haluan perbualan mereka.

“Alhamdulillah. Mama aku dah dapat terima Wardah.” Terpancar riak kegembiraan di wajah lelaki itu. Ibu dengan isteri adalah dua wanita yang penting dalam hidupnya. Kalau mereka tak boleh ngam, memang lintang pukang jadinya. Boleh stres memanjang.

“Mm, nampaknya orang tu tak ada peluanglah nak tambah isteri.” Hadif jeling sekilas kepada rakan di sisi.

Berderai tawa Faisol mendengar ayat itu. Kalaulah dia tahu macam mana susahnya aku nak dapatkan si Wardah sorang tu…

“Apasal kau gelak?”

“Sekarang ni kita bercerita pasal nak merasa nasi minyak kau, bukan untuk aku,” tukas Faisol. Memandai aje dia ni menukar topik.

“Jangan bimbang. Kalau dah confirm tarikhnya, kaulah orang pertama yang akan tahu selain keluarga aku.”

SEMENTARA itu, Syaza masih dalam proses membiasakan diri dengan suasana di sekitar kawasan perumahan yang mereka tinggal. Sesekali dia meminjam kereta ibu dan terlepas juga ke Putra Jaya yang tidak jauh.

“Ah, hari ni aku nak merayap… tengok barang-barang kat Parkson.” Syaza melangkah laju usai memparkirkan kereta.

“Eh, tu macam… Farah. Farah!” laungnya sedikit kalut. Seronok terjumpa kawannya ini. Dah lama tidak bersembang.

Farah memperlahankan langkah. Macam terdengar namanya dipanggil. Mata menjajat ke kiri kanan.

“Farah, aku ni. Kau dari mana?” Syaza sudah rapat ke bahu kanan rakannya.

“Err, Sya! Aa… aku jumpa kawan.” Farah nampak tidak selesa. Seolah-olah ada sesuatu yang mahu disembunyikan. “Kau pula… buat apa sorang-sorang kat sini?” soalnya balas.

“Aku cadang nak pergi tengok barang-barang kat Parkson.” Syaza melangkah laju. “Mana kawan kau?”

“Err… dah balik.” Pendek jawapan Farah.

Boyfriend, ek?” tebak Syaza. Lima tahun tak jumpa, entah-entah si Farah ni dah nak kahwin pun.

“Eh… manalah aku ada boyfriend,” nafi Farah. Dalam hati sudah resah dengan haluan perbualan mereka. Belum terfikir untuk berkongsi kisah kehidupannya dengan rakan yang sudah lama terpisah.

“Tak kan dalam lima tahun ni kau tak terjumpa?” Syaza masih tak mahu lepaskan peluang untuk mengorek maklumat.

“Aku, err… belum ada rezeki lagi.” Farah tertawa kecil. Banyak soal pula si Syaza ni.

“Hei, cantik macam ni pun tak ada orang yang berkenan? Kau terlalu memilih kot.” Syaza serkap jarang.

“Yalah, kalau yang datang tu perangai macam jebon dah tentulah aku reject. Siapa pun macam tu, kan?”

“Haahlah.”

Masing-masing tergelak.

“Eh, nanti kau dah ada yang special janganlah simpan je. Kita dah berkawan sejak dulu, berita baik kenalah kongsi,” tagih Syaza.

“In syaa ALLAH. Sya, kau datang sini dengan siapa?” Sengaja Farah menukar tajuk. Tidak selesa hal peribadinya diungkap.

“Aku pinjam kereta ibu. Kenapa?”

“Tak adalah… kalau kau tak ada transport, aku ingat nak hantar kau balik. Okeylah kalau macam tu. Aku pergi dulu. Tak nak lewat sampai rumah. Aku ada hal.” Farah mencari jalan selamat untuk menyuraikan pertemuan itu.

“Yalah, thanks Farah. Kau baliklah dulu. Rumah aku dekat je. Aku nak ronda-ronda tengok barang-barang kat sini dulu.”

Okay bye.

Masing-masing membawa haluan sendiri. Farah berlalu dengan jiwa yang runsing. Syaza pula, berangan-angan untuk bertemu Jamil.



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 | Bab 5 | Bab 6 | Bab 7 | Bab 8 | Bab 9 | Bab 10 | Bab 11 | Bab 11A | Bab 12 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku