Lara Hati
Bab
Genre: Keluarga
Kategori: Cerpen
Paparan sejak 27 Mac 2017
Penilaian Purata:
(3 orang telah menilai karya ini)
1455

Bacaan






“Semua sudah ada di sini?” Tanya Tuan Mansor sebaik sahaja dia memasuki bilik mesyuarat itu. Matanya menangkap wajah seorang pekerjanya yang kelihatan lesu. Dia mengeluh kecil lalu memandang setiausahanya. “Ada lagi yang belum sampai?”

“Tak ada, tuan. Semuanya sudah ada di sini,” jawab setiausahanya, sopan. Tuan Mansor angguk lalu melabuhkan duduknya di kerusi empuk yang telah disediakan. “Kita mulakan mesyuarat sekarang.”

Seorang demi seorang pekerjanya membentangkan laporan bulanan untuk jabatan masing-masing. Sebaik sahaja wakil bahagian operasi selesai dengan laporannya, pekerja di sebelahnya tiba-tiba menguap. Spontan, ahli mesyuarat yang lain memandang tepat ke arahnya. Lelaki itu tunduk, malu.

Tuan Mansor menghempaskan keluhan kasar. “Saya sangat kecewa dengan awak, Encik Zikri. Baru tadi saya nampak muka awak lesu. Sekarang ini pula. Awak macam tak peduli dengan mesyuarat ni. Awak tahu tak, jika seseorang itu menguap seperti itu dalam mesyuarat, bermakna orang itu tidak bersemangat!” ujarnya. Tegas dank eras.

“Maaf, tuan. Saya…!”

“Awak sokong pasukan mana malam tadi?” tebak Tuan Mansor lagi tanpa sempat Zikri menghabiskan kata-katanya. “Awak ingat saya tak tahu ada perlawanan bolasepak pagi tadi?”

“Tuan,” setiausahanya angkat tangan sedikit. “Saya minta maaf sebab menyampuk. Tapi setahu saya, Zikri bukan peminat bola sepak.”

Tersentak Tuan Mansor mendengarnya. Ini kali pertama dia berjumpa seorang lelaki yang tidak meminati sukan bola sepak. Dia kembali memandang Zikri. Nada suaranya mulai direndahkan. “Habis tu?”

“Maaf, saya ingin menyatakan bahawa sepatutnya saya tidak dapat menghadiri mesyuarat ini. Tapi saya cuba juga untuk menghadirinya kerana mesyuarat ini sangat penting.”

“Kenapa?”

“Anak saya… anak saya diserang asma malam tadi, tuan. Semalaman saya menjaganya di hospital. Jadi malam tadi saya benar-benar tidak dapat tidur.”

Mereka yang berada di dalam bilik mesyuarat itu terkejut mendengar kata-kata Zikri. Namun Tuan Mansor masih bersahaja. Dia bangun dari duduknya. “Mesyuarat ditangguhkan kepada dua hari lagi. Zikri, ikut saya sekarang.”

Tuan Mansor terus melangkah menuju ke biliknya tanpa bersuara sepatah kata pun. Zikri terus mengekori dari belakang meskipun jantungnya berdegup kencang.

Sebaik sahaja Tuan Mansor membuka pintu biliknya, dia terlihat seorang gadis sedang duduk di atas sofa. Senyuman nipis terukir di bibir lelaki itu. “Dah lama sampai?”

“Baru je,” gadis itu bangun dari duduknya. “Kalau papa ada kerja, saya boleh tunggu di luar. Siapkanlah kerja papa dulu…!”

“Tak apa, Farhana. Tunggu saja di situ,” tegah Tuan Mansor tanpa memandang ke arahnya. “Tak lama pun urusan kali ni. Sekejap je.”

Farhana hanya melihat dari jauh segala tindak tanduk Tuan Mansor. Lelaki itu mengeluarkan buku cek dari laci meja. Ditulis sesuatu di atas cek tersebut lalu diserahkan kepada Zikri yang masih berdiri tegak. “Ambil ni. Balik rumah, jaga anak awak sampai sembuh.”

Terketar-ketar Zikri menyambut cek bernilai seribu ringgit itu. “Tuan… tuan pecat saya ke ni?”

“Pecat?” tanya Tuan Mansor. “Saya bagi awak cuti untuk awak jaga anak awak sampai sembuh. Bukan pecat pun. Cek tu, sumbangan dari saya untuk ringankan beban awak. Jaga anak awak sampai sembuh, ya?”

Air mata Zikri menitis laju. “Alhamdulilah… terima kasih tuan! Terima kasih… hanya Allah yang dapat membalas jasa baik tuan. Terima kasih!”

Tuan Mansor senyum. “Duit boleh dicari. Kerja boleh tunggu. Tapi keluarga, tak ada galang ganti. Baliklah. Kirim salam pada keluarga ya!”

“Baik, tuan! Terima kasih, tuan!” kelam kabut Zikri keluar dari bilik itu. Terlopong Farhana melihatnya. “Wow, papa! You look impressive!”

Tuan Mansor tidak mempedulikan kata-kata Farhana itu. Usai menyimpan semula buku cek ke dalam laci, dia memandang tepat ke arah anak perempuannya itu. “Bila Farhana nak mula kerja ni? Dah empat bulan Farhana habis belajar. Tak kesian ke dengan papa, sorang-sorang je uruskan syarikat ni? Tak nak tolong papa?”

“Papa, belum cukup enam bulan lagi. Masih ada dua bulan lagi,” Farhana tegakkan dua jarinya sambil senyum manis. “Lepas dua bulan, baru saya akan kerja dengan papa, okey?”

“Ye la tu,” Tuan Mansor senyum senget. Dia geleng kepala perlahan. “Lagi satu, papa nak tanya…!”

“Pasal kahwin la tu. Papa…,” rengek Farhana perlahan. “Saya belum pun mula kerja lagi. Papa dah sibuk-sibuk pasal benda tu. Nantilah…”

“Bukan. Papa bukan nak tanya pasal tu.”

“Habis tu?”

“Siapa Khalil?”

*****

Usai solat Isya’, Khalil mengambil keputusan untuk bermalas-malasan di atas katil. Kesibukan kerja yang menghimpit membuatkan tubuhnya berasa sangat letih. Dia mahu berehat.

Namun, belum sempat kepalanya mencecah bantal, matanya tiba-tiba terbuka luas. Mulutnya terkumat-kamit. Sebentar kemudian dia senyum. Dia bangkit, menuju ke meja tulis. Ilham yang datang sebentar tadi diterjemah dalam bentuk tulisan. Selesai, dia menamakan puisinya itu, ‘Lara Hati’.

Sebaik sahaja dia menyimpan kembali buku notanya, matanya tertancap pada rantai kunci yang terletak elok di atas meja. Spontan Khalil tersenyum, mengenang cerita di sebalik rantai kunci itu.

“Kau kat mana, Tam? Dah lama aku tunggu ni. Kau nak kucing bertanduk baru kau nak sampai ke?” sempat Khalil menyindir dalam kata-katanya. Hilai tawa Tam di hujung talian hanya membuatkan hatinya tambah membara. “Aku tanya ni!”

“Maaf, bro,” ucap Tam di hujung tawanya. “Kat sini hujan tadi. Jadi aku naik kereta. Kau faham-faham sajalah, petang-petang macam ni. Sesaknya jalan raya macam mana.”

Khalil mendengus. Dia faham keadaan di kotaraya bagaimana apabila hujan mula membasahi bumi. “Habis tu…!”

“Three!”

“Kau!” bentak Khalil. Tawa Tam pecah lagi di hujung talian. “Aku dah nak sampai. Cuma lambat sikit. Aku sendiri tak boleh jangka berapa lama lagi. Kau tunggu sajalah.”

“Nak buat macam mana,” Khalil mengeluh lagi. “Agak-agaknya kan, sementara tunggu kau sampai ni, aku boleh buat apa?”

“Banyak,” jawab Tam. “Kau boleh kira runmput, kira awan, kira kereta, kira motor, kira orang lalu lalang….”

“Okey…,” balas Khalil. “Aku boleh mengorat tak barang seorang dua?”

“Cadangan yang bagus!” suara Tam sedikit melonjak di hujung talian. “Simpankan satu dua nombor telefon perempuan cantik untuk aku ye! Nanti aku belanja kau pizza.”

“Aku masih mampu beli pizza sendiri la,” jawab Khalil cepat. “Anak dah dua kat rumah pun masih nak menggatal. Tampar karang baru tahu.”

Gelak tawa Tam yang semakin kuat di hujung talian tidak dipedulikan Khalil apabila matanya menangkap satu pemandangan yang mencurigakan. Dua orang lelaki yang berada di atas motorsikal merenung tajam ke arah seorang gadis yang sedang berjalan di tempat letak kereta. Bagaikan dapat menghidu sesuatu yang tidak baik akan berlaku, Khalil mulakan langkah dengan berhati-hati. “Aku telefon kau balik!”

Lelaki-lelaki itu yang tidak menyedari kehadiran Khalil, terus menunggang motosikal laju ke arah gadis tersebut. Menyedari hal itu, Khalil mempercepatkan langkahnya.

“Cik! Bahaya!”

Segalanya berlaku dengan begitu pantas. Belum sempat gadis itu menoleh, Khalil sudah menerpa ke arahnya. Kedua-duanya tergolek di atas jalan raya, beberapa ketika sebelum lelaki bermotosikal melintasi mereka. Khalil dapat mendengar lelaki-lelaki itu menyumpahnya. Apa dia peduli? Janji gadis ini selamat daripada menjadi mangsa mereka.

“Awak taka pa-apa?”

“Tak. Saya okey,” jawab gadis itu sambil menggosok lengannya. “Tapi, tadi tu kenapa?”

“Diorang nak ragut awak tadi.”

“Apa?” buntang mata gadis itu mendengarnya. Dia pandang kembali ke jalanraya. Lelaki bermotosikal itu sudah hilang entah ke mana. “Kalau awak tak muncul tadi, entah apa yang akan jadi pada saya. Terima kasih, awak.”

“Sama-sama,” jawab Khalil. “Lain kali, berhati-hati. Jangan terlalu leka. Jenayah dah berleluasa di kota sekarang. Saya bukan Superman, dapat selamatkan awak selalu.”

Meletus tawa gadis itu mendengar kata-kata Khalil. Namun tawanya reda apabila bunyi hon kedengaran. Dari dalam kereta, Tam menjenguk penuh rasa ingin tahu. “Apa dah jadi?”

Khalil menggeleng perlahan. Dia bangun dari duduknya dan turut membantu gadis itu berdiri. “Awak tak apa-apa, kan?”

“Awak dah tanya soalan ni kat saya tadi. Saya okey. Tapi awak…,” gadis itu pandang Khalil dari hujung rambut ke hujung kaki berulangkali. Kemudian matanya menangkap sesuatu. “Tangan awak luka.”

Spontan Khalil melihat tangannya yang berdarah. Baru terasa kesakitan luka akibat tindakan drastiknya sebentar tadi. Namun dia tidak mahu menunjukkan kesakitan itu di hadapan gadis itu. “Sikit je ni.”

“Bersihkanlah dulu darah tu. Ambil ni,” gadis itu menghulurkan sebungkus tisu. Khalil tergamam apabila mendapati ada rantai kunci terselit di dalam bungkusan itu itu.

“Oh, anggap saja itu hadiah tanda terima kasih daripada saya,” jawab gadis itu sambil tersenyum. “Nama saya Farhana. Nama awak?”

Deringan telefon yang kuat mematikan lamunan Khalil. Lebar senyumannya apabila memerhatikan nama yang terpapar di skrin.

“Assalamualaikum, Farhana.”

“Waalaikumsalam. Khalil, papa saya nak jumpa awak.”

“Hah?”

*****

Farhana meletakkan Ipadnya dengan cermat sebaik azan Maghrib kedengaran. Dia bangkit, menyahut seruan menuju kejayaan itu dengan menunaikan solat fardu tiga rakaat.

Usai menunaikan solat, dan berdoa, Farhana duduk seketika sambil bibirnya melafazkan zikir dengan nada yang perlahan. Perbualan dengan Tuan Mansor tempoh hari kembali terngiang di cuping telinga. Farhana senyum.

“Siapa Khalil?”

“Eh?” Farhana nyata terkejut mendengar nama itu disebut Tuan Mansor. “Khalil tu kawan saya. Kenapa dengan dia?”

“Sebab dia ke, Farhana berubah begini?”

“Apa? Papa cakap apa ni? Sebab dia, saya berubah? Bila masa pula saya berubah?” Farhana kerut dahi. “Saya masih anak papa, kan?”

“Farhana dah mula solat. Farhana dah mula berbaju longgar. Farhana dah tak mesra dengan sepupu-sepupu Farhana…,” Tuan Mansor ambil nafas seketika. “Papa dah siasat. Semua ni berubah sejak berjumpa dengan si Khalil tu. Sebab dia, Farhana dah tak mesra dengan keluarga sendiri.”

“Papa…,” Farhana bersuara lembut. “Saya bukan dah tak mesra dengan diorang. Saya masih bergelak ketawa, berkongsi cerita dengan diorang macam biasa. Cuma, tak ada ‘skinship’ sebab diorang semua tu kan lelaki….”

“Ha, tengok,” potong Tuan Mansor cepat. “Itulah yang papa maksudkan. Diorang mengadu pada papa, diorang dah tak dapat peluk Farhana macam dulu. Bukan orang lain, ahli keluarga Farhana juga.”

“Memang, tapi diorang tu sepupu saya je. Diorang boleh kahwin dengan saya, jadi haram bagi saya bersentuhan kulit dengan diorang. Papa pun…!”

“Papa tak nak cakap pasal ni,” laju Tuan Mansor memotong kata-katanya. “Papa nak tanya pasal Khalil. Siapa dia? Di mana dia tinggal? Siapa ibu bapa dia? Setaraf ke dia dengan kita?”

“Perlu ke semua tu, papa? Perlu ke?”

“Farhana…,” Tuan Mansor bersuara lembut. “Papa cuma tak nak Farhana hidup susah. Selama ni pun, hanya kesenangan yang papa berikan. Papa tak nak Farhana tersalah buat pilihan.”

Farhana hanya diam. Suasana yang hening itu mengundang resah di hati Tuan Mansor. Dia membetulkan duduknya. “Macam ni la. Biar papa jumpa dia, okey?”

Lambat-lambat Farhana mengukir senyuman. Dan senyuman itu segar sehingga ke hari ini.

“Papa nak jumpa Khalil,” bisiknya perlahan. “Walaupun aku dan Khalil hanya kawan biasa, tapi bila papa beria-ia nak jumpa dia, aku mula rasa sesuatu. Adakah ini cinta?”

Bunyi keriuhan di luar bilik mematikan lamunan Farhana. Dahinya berkerut, cuba untuk mendengar butir bicara dari luar namun gagal. Dia menghela nafas halus.

Hasratnya untuk menunggu sehingga waktu Isya’ tiba dibatalkan. Setelah melipat cermat telekungnya dan diletakkan di atas katil, dia keluar ke ruang tamu.

“Eh, mak lang!” bila sampai dari Busan?” Farhan terkejut melihat ibu saudaranya di ruang tamu. Wajahnya berseri-seri. Wanita itu bangun dari duduknya dan mendekati Farhana. “Dah besar dah anak kak long ni. Dah boleh kahwin dah.”

“Eh eh, mak lang ni,” Farhana tersipu-sipu malu. “Saya ni masih muda. Kerja pun belum mula lagi. Nanti-nantilah dulu, mak lang.”

“Masa muda la elok kahwin. Nanti bila anak dah besar, kita masih belum tua. Macam mak lang. habis belajar je, terus kahwin. Tengok sekarang, kadang-kadang orang salah anggap, kata anak mak lang tu adik.”

Farhana ketawa kecil mendengar kata-kata mak lang. wanita it uterus mengusap rambutnya lebut. “Jadi ya, Farhana?”

“Jadi? Apa yang jadi, mak lang?”

“Jadi ya, Farhana kahwin dengan Remy, anak mak lang?”

“Apa?”

*****

Tuan Mansor meneliti kembali fail yang diserahkan setiausahanya sebentar tadi. Fikirannya berasa sedikti lapang, setelah segala urusannya selesai beberapa hari ini. Terutamanya urusan dengan Khalil.

“Assalamualaikum. Tuan Mansor, kan?” seorang lelaki datang menegurnya ketika dia menunggu pesanan makanannya tiba. “Nama saya Khalil. Kita berjanji untuk berjumpa hari ni. Ingat?”

“Saya tak lupa,” jawab Tuan Mansor sambil tersenyum. “Duduklah. Lama saya tunggu.”

“Maafkan saya. Motor saya rosak tadi,” Khalil tunduk sedikit tanda hormat dan maaf, namun tidak dipedulikan Tuan Mansor. Menyedari hal itu, Khalil terus duduk berhadapan dengan lelaki itu.

“Nama kamu, Khalil?”

“Ya.”

“Nama penuh?”

“Khalil bin Tamrin.”

“Asal mana?”

“Beranang.”

“Tak jauh la dari sini.”

“Ya.”

“Mak ayah ada lagi?”

“Mereka berdua dah meninggal dunia. Masa tu umur saya 10 tahun.”

“Oh,” hanya itu yang mampu diucapkan Tuan Mansor. Kemudian suasana hening beberapa ketika. Masing-masing menikmati hidangan yang telah dipesan. Sebaik selesai makan, Tuan Mansor terus bertanya, “Mak kamu kerja apa dulu?”

“Arwah mak tak bekerja. Dia suri rumah.”

“Ayah?”

“Arwah ayah… dia kerja biasa saja.”

“Kamu pula kerja apa?”

“Saya… despatch saja, tuan.”

“Despatch saja?” sinis nada suara Tuan Mansor pada pendengaran Khalil. “Dan awak berani mendekati anak saya?”

“Saya dan Farhana… hanya kawan biasa saja, tuan.”

“Kawan biasa?” tanya Tuan Mansor, sinis. “Kawan biasa boleh member pengaruh yang sangat besar pada Farhana? Kawan biasa boleh buat Farhana berubah sekelip mata? Kawan biasa boleh buat Farhana lupa kehidupannya? Kawan biasa boleh buat semua tu ke?”

Khalil diam. Memberi ruang untuk Tuan Mansor terus bersuara. “Kamu ingat kamu yang hanya bekerja sebagai despatch, yang hanya berkawan biasa dengan Farhana, mampu ubah Farhana jadi orang lain? Macam tu?”

“Saya ikhlas berkawan dengan Farhana, Tuan.”

“Ikhlas kau tu tak mampu bagi anak aku makan,” balas Tuan Mansor cepat. “Aku jaga anak aku tu dari kecil. Tak pernah sekalipun aku biarkan dia hidup susah walaupun sikit. Kau fikir kau mampu bagi kemewahan pada dia dengan hanya kerja despatch kau tu?”

Khalil telan liur. Tuan Mansor membetulkan duduknya. “Macam ni sajalah. Aku ada perancangan yang lebih baik untuk anak aku tu. Dan pastinya, kau tak ada dalam perancangan aku.”

“Saya faham,” ujar Khalil lemah. “Saya tak akan jadi penghalang dalam perancangan tuan. Saya… akan pergi dari sini.”

“Bagus,” Tuan Mansor mengeluarkan sepucuk sampul dari dalam poketnya. “Aku harap ini cukup…!”

“Simpan saja duit tuan,” potong Khalil cepat. “Macam yang saya cakap tadi, saya ikhlas berkawan dengan Farhana. Jadi saya tak perlukan duit tuan.”

Kata-kata Khalil buat Tuan Mansor rasa terpukul. Cepat-cepat dia berdehem bagi mengurangkan canggungnya. “Kau menolak rezeki.”

“Rezeki bukan hanya datang dalam bentuk duit,” jawab Khalil perlahan. “Tuan jangan risau. Saya tetap akan kotakan janji saya.”

Deringan telefon yang kuat memecahkan lamunan Tuan Mansor. Tanpa melihat pada skrin telefon, dia menjawab panggilan tersebut. “Hello.”

“Abang! Apa yang abang dah cakap dengan Farhana, sampai dia lari dari rumah?” suara Puan Rania, isterinya kedengaran risau di hujung talian. Hamper terlepas telefon dari pegangan tangan Tuan Mansor. “Apa?”

*****

“Hati umpama tanah untuk bercucuk tanam, manakala makanan adalah idea, visi atau gagasan. Apabila tanah tercemar atau rosak, maka tanaman yang disemai akan rosak atau terus mati. Apabila ditanam di dalam fikiran yang kotor, maka tunas-tunas yang akan tumbuh adalah yang berpenyakit dan tidak dapat bertahan lama.”

Khalil menutup perlahan buku yang sedang dibacanya apabila terdengar keriuhan dari dapur. Dia senyum, lalu bangkit menuju ke sana. Seorang wanita tua dilihat sedang mengupas bawang di meja makan.

“Nenek,” panggil Khalil lembut. “Dah larut malam ni. Nenek masih nak buat nasi lemak untuk jualan esok?”

“Nenek siapkan bahan-bahannya saja untuk malam ni. Nanti esok senang, cepat sikit nasi lemak siap,” balas Che Yah perlahan. Khalil membelek kembali bawang yang telah dikupas Che Yah. “Macam banyak je ni?”

“Nenek tambahkan sikit jumlah nasi lemak kali ni, sebab ada yang tempah untuk rakan sepejabat,” jelas Che Yah apabila melihat kerutan di dahi Khalil. “Tak apalah, cu. Rezeki kita. Sepatutnya kita bersyukur.”

Khalil mengeluh kecil. Namun tidak didengari Che Yah. Dia ambil pisau dan terus mengupas bawang. “Khalil tolong ya.”

“Eh, Khalil pergilah tidur. Esok kan Khalil kerja. Tak elok buat perangai kat tempat kerja baru tu.”

“Tak apalah, nenek. Khalil temankan nenek. Macam selalu. Dah lama tak buat macam ni.”

Che Yah senyum senget. “Tak pernah berubah la cucu nenek ni. Dari kecil macam ni juga. Suka temankan nenek buat kerja.”

“Apa boleh buat, nenek? Khalil cuma ada nenek di dunia ni. Dengan siapa lagi Khalil nak bermanja kalau bukan dengan nenek?”

Mati senyum Che Yah tiba-tiba. Wajah Khalil dipandang dalam. Sebuah keluhan lahir tanpa sengaja, mengundang perhatian Khalil. “Kenapa, nenek?”

“Tak ada apa-apa. Nenek teringatkan ibu Khalil,” luah Che Yah perlahan. “Kalau ibu Khalil masih hidup….”

“Nenek,” panggil Khalil lembut, sekaligus memotong kata-kata Che Yah. “Sudah sampai ajal ibu pergi macam tu. Kita kena redha.”

“Sampai mati pun, nenek takkan maafkan ayah Khalil!” Che Yah tidak pedulikan kata-kata cucunya itu. “Sampai mati pun aku takkan lupa perbuatan dia. Tergamak dia jual adik Khalil yang baru lahir pada orang lain hanya sebab dadah!”

Khalil hanya diam. Dia tahu, apabila Che Yah sudah mula membuka cerita silam, dia tidak patut mencelah. Dia sendiri pun, masih tidak dapat melupakan peristiwa itu walaupun dia masih kanak-kanak pada ketika itu. Masih jelas di ruang matanya peristiwa yang berlaku itu.

“Abang nak bawa anak kita ke mana tu?” tanya Jamilah apabila melihat suaminya mengendong bayi yang baru dilahirkan tiga hari lalu sambil menggalas beg di belakangnya. Dia mula berasa tidak sedap hati.

“Apa kau peduli?” aku nak bagi anak kita senang. Kita pun senang. Tak payah nak merempat lagi dah macam sekarang ni. Orang tu kaya. Banyak duit!”

“Abang nak jual anak kita?” Jamilah pantas bangkit. “Abang dah gila ke? Ini anak kita, bang! Saya tak benarkan!”

“Eh, kau ni! Tak faham-faham lagi ke? Kau tak tahu ke yang anak ni bawa rezeki? Ini rezeki anak kita, takkan kita nak tolak?”

“Ini bukan rezeki, bang! Ini bala! Saya tak kira! Serahkan anak tu kat saya balik! Serahkan!” Jamilah menghalang langkah Tamrin daripada keluar dari rumah itu. Bagaikan dirasuk hantu, Tamrin menolak wanita itu sehingga terjelepuk di atas lantai.

“Ibu!”

Tok! Tok!

Bunyi ketuka yang kuat di pintu mematikan lamunan Khalil. Che Yah yang tekun mengupas bawang juga memasang telinga.

“Siapa tu, Khalil?” tanya Che Yah. Khalil tidak menjawab, namun langkahnya mula diatur ke muka pintu dengan berhati-hati. Daun pintu dibuka perlahan. Sebentar kemudian mata Khalil membulat. Tanda terkejut yang amat.

“Khalil…”

“Farhana?”

*****

“Mana Khalil ni? Telefon tak berjawab. Mesej pula, tak dibaca pun. Dia ni mengelak dari bercakap dengan aku ke apa ni?”

Farhana bengang. Sudahlah bahang pertengkaran antara dia dan Tuan Mansor masih belum hilang, tindakan Khalil yang seolah-olah cuba menjauhkan diri daripadanya menambahkan bara di jiwa.

Namun dia tidak lekas melatah. Dengan senyuman kelat di bibir, dia cuba menghubungi seseorang. “Helo.”

“Helo. Siapa ni? Kenapa awak telefon suami saya?”

Farhana telan liur. “Ini nombor telefon Tam, kan? Saya Farhana, kawan Khalil dan Tam. Saya nak tanya sikit pasal Khalil pada Tam ni.”

“Tanya sajalah. Aku dengar ni,” terdengar suara Tam sayup-sayup di hujung talian. Farhana ketap bibir. Tidak disangka sama sekali, lelaki ini memasang tetapan pembesar suara pada telefonnya.

“Aku telefon Khali, tak dapat. Kau tahu kenapa?”

“Dia balik kampung la, jenguk neneknya. Kau ada hal penting ke nak cakap dengan dia?”

“Sebelum ni aku masih dapat hubungi dia bila dia balik kampung. Kenapa sekarang ni tak boleh pula?”

Diam. Tiada sebarang balasan oleh Tam di hujung talian. Sebaliknya terdengar suara isterinya bertanya, “Macam mana ni, bang?”

“Kau sembunyikan sesuatu daripada aku ke, Tam?”

“Farhana…,” panggil Tam setelah keluhan berat dilepaskan. “Khalil balik kampung terus. Dah tak balik sini lagi. Dia dah dapat kerja kat tempat lain, yang dekat dengan neneknya.”

“Apa?” terkejut Farhana mendengarnya. “Kenapa dia buat keputusan tiba-tiba ni?”

“Aku rasa soalan tu lebih baik kau tanyakan pada dia sendiri, Farhana.”

“Macam mana aku nak tanya kalau…,” kata-kata Farhana tiba-tiba terhenti. Dia terfikir sesuatu. “Aku rasa dia dah sekat aku la.”

“Ah, sudah…,” terdengar Tam mengeluh lagi di hujung talian. “Aku tak tahu dia senekad ini.”

“Kau ada alamat dia di kampung?”

“Aku dah janji dengan dia, takkan bagitahu sesiapa pun di mana kampungnya.”

“Walaupun pada aku? Walaupun pada aku yang tengah cari dia? Yang inginkan jawapan dan kepastian daripadanya?”

“Dia akan bunuh aku, Farhana!”

“Jadi betullah, Tam yang bagi alamat rumah ni,” suara garau Khalil mematikan lamunan Farhana. Dia bingung seketika. Tidak lama kemudian baru dia menyedari bahawa dia kini di rumah nenek Khalil.

“Memang nak kena Tam ni.”

“Jangan marah dia. Saya yang paksa,” Farhana bersuara akhirnya. “Kalau saya tak buat macam tu, macam mana saya nak cari awak?”

“Buat apa awak nak cari saya?”

“Nak tanya awak sesuatu la.”

“Kenapa awak tak mesej je saya?”

“Awak bukan dah sekat saya ke?” pertanyaan Farhana buat Khalil terdiam. Saya lupa. Maafkan saya, bisik hatinya.

“Awak buat semua ni seolah-olah awak nak lari daripada saya. Nak jauhkan diri daripada saya. Nak tinggalkan saya. Kenapa?”

“Saya tak layak berkawan dengan awak.”

“Siapa kata? Papa saya?” pertanyaan Farhana tidak dijawab Khalil. Lalu gadis itu menyambung, “Papa saya bukan Tuhan nak tentukan siapa yang layak berkawan dengan saya.”

“Tapi dia berhak untuk mencari kebahagiaan untuk awak, Farhana. Dia ayah awak. Bukan orang lain.”

Farhana mendengus. “Khalil, Tuan Mansor…!”

“Khalil,” panggil Che Yah, memancung perbualan mereka berdua. “Nenek dah habis kupas bawang. Nenek tidur dulu ya. Kamu tu, tidur awal. Jangan berbual lama sangat. Tak elok.”

“Baik, nek,” jawab Khalil sambil senyuman manis terukir di bibir. Tanpa sengaja, Che Yah dan Farhana bertentang mata. Air muka wanita tua itu berubah.

“Kenapa, nenek?”

“Jamilah!”

*****

"Mana budak tu?"

"Ni," jawab Jaafar sambil mengendong cermat anak kecil itu. Tuan Mansor memandangnya penuh minat. "Berapa umur anak ni?"

"Baru tiga hari," jawab Jaafar. "Ayahnya bagi yang kecil ni sebab dia masih belum ada surat beranak. Kalau dia bagi si abang, susah sikit sebab dia dah masuk sekolah."

"Aku memang nak anak kecil la. Kau lupa ke?" bentak Tuan Mansor keras. "Budak ni akan jadi pengganti kepada anak aku yang dah meninggal tu."

"Maafkan saya, tuan. Saya lupa," jawab Jaafar, merendah diri. Tuan Mansor menghela nafas halus. "Siapa nama budak ni?"

"Belum ada nama, tuan. Surat beranak pun belum ada lagi," jawab Jaafar. Tuan Mansor mengambil anak kecil itu dari dukungan Jaafar. Dia mengelus lembut si comel itu yang sedang lena.

"Anak ni... anak aku. Namanya Farhana," ujar Tuan Mansor. "Hanya engkau dan aku yang tahu siapa sebenarnya anak ini. Kalau ada orang lain yang tahu...!"

"Saya faham, tuan," jawab Jaafar, patuh pada arahan Tuan Mansor. Dan kepatuhan itu berkekalan sehingga dia meninggal dunia setahun lalu. Rahsia Farhana juga, kekal rahsia sehinggalah anak itu lari daripadanya, hari ini.

"Sampai hati abang simpan perkara sebesar ini daripada saya!" Puan Rania bersuara sedih. "Selama ni, anak yang saya besarkan, anak yang saya jaga, anak yang saya sayang bagai minyak yang penuh, bukan anak saya sendiri?"

"Sayang...," Tuan Mansor mendekati isterinya. "Awak kena faham. Saya cuba lakukan yang terbaik untuk kita. Awak jatuh sakit lepas bersalin masa tu. Saya takut apa-apa yang buruk terjadi pada awak kalau awak dapat tahu anak kandung kita meninggal."

Puan Rania diam. Tidak membalas kata-kata Tuan Mansor. Ini membuatkan lelaki itu meneruskan kata-katanya, "Saya buat semua tu demi kebahagiaan kita, Rania."

"Dengan mengorbankan kebahagiaan orang lain?" sampuk Puan Rania, marah. "Matlamat tak menghalalkan cara, bang. Tak pernah terlintas ke dalam fikiran abang, apa akan jadi pada keluarga kandung Farhana? Abang tak terfikir ke semua tu?"

"Abang tak rasa semua tu jadi isu, sebab abang bayar ayahnya untuk dapatkan Farhana."

"Abang!" suara Puan Rania sedikit tinggi. "Abang ingat abang berhak sepenuhnya pada Farhana bila abang bagi duit pada ayahnya? Abang ingat duit abang tu laku sangat ke?"

Tuan Mansor diam. Dia sudah kehabisan kata-kata untuk melawan hujah Puan Rania. "Maafkan abang, sayang."

"Bukan dengan saya, abang kena minta maaf. Drngan semua orang yang abang dah buat salah dengannya. Terutama dengan Farhana. Abang dah pisahkan dia dari ibunya," balas Puan Rania serius. "Minta maaf dengan mereka, bukan dengan saya."

Puan Rania terus bangun meninggalkan Tuan Mansor termangu sendirian di ruang tamu. Lelaki itu meraup wajahnya perlahan. Pertengkarannya dengan Farhana siang tadi kembali terbayang di ruang matanya.

"Apa yang papa buat ni?"

"Apanya?"

"Apa rancangan papa dengan mak lang?"

"Oh, itu...," Tuan Mansor membetulkan duduknya. " Mak lang ada suarakan hasratnya untuk bermenantukan Farhana. Papa tak ada halangan."

"Tapi papa sepatutnya tanya saya dulu! Saya anggap Remy tu macam abang saya je. Takkan saya nak kahwin dengan orang yang saya tak cinta?"

"Farhana juga yang cakap, Remy tu sepupu Farhana je. Boleh kahwin dengan dia. Apa salahnya? Atau Farhana dah ada orang lain dalam hidup Farhana?"

Pertanyaan Tuan Mansor buat Farhana terdiam. Lelaki it terus menebak. "Khalil, kan?!

"Kalau dia sekalipun, kenapa?"

"Papa tak izinkan!" bentak Tuan Mansor tiba-tiba. "Sanggup ke Farhana hidup susah kalau pilih orang macam Khalil tu?"

"Papa...," suara Farhana mulai merendah. "Bagilah saya peluang untuk kejar kebahagiaan saya sendiri."

"Tak boleh!" bentak Tuan Mansor lagi. "Kau tahu tak, berapa banyak duit aku habis sebab nak beli kau daripada ayah kau sendiri?"

"Apa?" Farhana terlopong. Tuan Mansor tergamam. Dia sudah terlepas kata.

*****

“Saya benar-benar tak sangka papa saya sanggup buat benda macam tu,” luah sebaik selesai bercerita mengenai pertengkarannya dengan Tuan Mansor. “Macam-macam saya rasa sekarang ni. Tapi saya lebih rasa jijik pada diri saya sendiri sebab saya boleh bertukar ibu bapa hanya dengan wang ringgi.”

“Bukan salah pun. Tak perlu rasa macam tu,” balas Khalil lembut. “Awak cuma jadi mangsa keadaan.”

“Masa tu, saya tertanya-tanya juga, siapa ibu ayah saya. Kenapa diorang sanggup buat macam ni kat saya. Teringin juga saya nak tanya diorang. Tapi sekarang….”

“Awak yakin awak adik saya?” tanya Khalil, ingin tahu. Masih terbayang di ruang matanya, bagaimana reaksi Che Yah apabila bertemu Farhana.

“Jamilah!” panggil Che Yah teruja. Dia terus menerpa ke arah Farhana, membuatkan gadis itu terkejut. Khalil tergamam. “Nenek?”

“Jamilah, hidup lagi rupanya kamu, nak!” Che Yah mengelus lembut rambut Farhana yang masih bingung. “Rindunya mak padamu, sayang.”

“Nenek, ni bukan ibu. Ini kawan Khalil. Namanya Farhana,” dengan lembut Khalil menjelaskan pada Che Yah. Wanita tua itu nampak terkejut. Namun tangannya masih belum dialihkan dari ubun-ubun Farhan. Wajah gadis itu direnung kembali.

“Maafkan nenek, cu. Tapi, demi Allah, wajah Farhana sama macam wajah anak perempuan nenek. Ibu kepada Khalil.”

Kata-kata Che Yah membuatkan Khalil dan Farhana berpandangan sesama sendiri. “Biar betul, nenek?”

“Betul, Khali. Wajah Farhana ni saling tak tumpah macam arwah ibu Khalil. Jangan-jangan, Farhana ni adik Khalil yang dijual ayahnya dulu, tak?”

“Awak rasa saya ni adik awak ke?” pertanyaa Farhana mengembalikan Khalil ke dunia reality. Dia memandang gadis itu lembut. Benar kata Che Yah, Farhana bagaikan kelahiran semula ibunya. Kenapa dia tidak perasan dulu?

“Khalil!”

“Hah?”

“Eh, salah la panggilan tu,” Farhana senyum senyum sendiri. “Lepas ni saya kena biasakan panggil awak, abang.”

“Awak betul-betul yakin yang saya ni abang awak?” Khalil kerut dahi. Dia pandang kembali tangannya yang telah diletakkan kapas di atasnya.

“Seronok juga ada abang macam awak. Boleh la jadi abang yang penyayang, macam Makhluk Macho tu.”

“Kalau keputusan ujian DNA ni menunjukkan kita ni adik-beradik, macam mana?”

“Saya akan tinggal dengan abang dan nenek.”

“Kalau tak?”

“Mungkin saya akan tinggal kembali dengan papa dan mama,” jawab Farhana perlahan lalu menghempaskan keluhan berat. “Mungkin juga saya akan hidup sendiri.”

“Kalau betullah kita ni adik-beradik, awak akan tinggal dengan kami. Macam mana dengan mama dan papa awak?”

Keluha berat dilepaskan lagi. “Sejujurnya, saya masih rasa marah dengan apa yang berlaku. Saya tak tahu…!”

“Jangan buat keputusan ketika sedang gembira, dan jangan menghukum ketika sedang marah, Farhana,” tegur Khalil. “Tak elok macam tu.”

Farhana hanya diam membisu sambil berpeluk tubuh. Khalil memandang sekeliling sebelum memandang kembali padanya. “Keputusan ujian DNA keluar sekarang ke?”

“Tak la. Dalam tempoh kurang dari 48 jam kenapa?”

“Takkan kita nak tunggu kat sini selama 48 jam? Jom la balik. Nenek sorang-sorang kat rumah tu,” Khalil bangun dari duduknya lalu melangkah keluar dari klinik itu.

“Abang! Tunggu saya!” kelam kabut Farhana bangun dan mengejar langkah Khalil yang sudah jauh di hadapan. Bahkan sudah berada di seberang jalan. Laju betul dia ni berjalan!

“Abang! Tunggu!”

Pon! Pon!

Bunyi hon yang kuat mengejutkan Khalil. Segera dia menoleh dan mendapati Farhana sudah berada di jalan raya dan… sebuah lori sedang laju meluru ke arahnya.

“Farhana! Bahaya!” segera dia berlari untuk menyelamatkan gadis tiu. Farhana berjaya ditolak ke bahu jalan. Namun dia…

Bang!!!

Farhana segera bangun setelah terjatuh akibat ditolak kuat Khalil. Matanya menangkap sekujur tubuh yang terbujur di atas jalan. Seluruh badannya menggigil.

“Abang!”

*****

Farhana menyeka air matanya untuk kesekian kalinya. Che Yah sudah lama ke surau, solat hajat dan berdoa untuk keselamatan cucunya. Sudah hampir dua jam dia di wad kecemasan itu, namun seorang pun tidak datang kepadanya berkenaan Khalil.

“Awak nak tahu sesuatu tak, Farhana?”

“Tahu apa?”

“JR Miller pernah berkata, terdapat pertemuan yang hanya sesaat namun meninggalkan kesan seumur hidup. Tiada seorang pun yang dapat memahami perkara misteri yang kita namakan pengaruh ini. Namun, setiap orang di antara kita terus-menerus memberikan pengaruh, sama ada untuk memperbaikinya, meninggalkan pengalaman manis atau menyakiti kehidupan.”

“Wa…,” ternganga Farhana mendengarnya. Khalil kerut dahi sambil senyum. “Saya tengok, awak lebih suka mendengar daripada berbicara. Kenapa?”

“You want to know something?” tanya Farhana sambil kenyit mata. Tanpa menunggu balasan daripada Khalil, dia meneruskan kata-katanya.

“When you talk, you are only repeating what you already know. But of you listen, you may learn something new.”

“Siapa cakap?”

“Dalai Lama.”

“Oh, dah pandai ye,” usik Khalil mesra. Tergelak Farhana mendengarnya. Getaran telefon pintar yang disimpan di dalam poket seluar mematikan lamunannya. Lambat-lambat dia menjawa panggila itu.

“Assalamualaikum, mama.”

“Waalaikumsalam. Farhana ada kat mana ni? Baliklah nak, mama dan papa risau.”

Farhana menghela nafas halus. Tanpa soalan dan pamitan, dia menamatkan panggilan. Kemudian tanpa berlengah, dia menghantar mesej kepada Puan Rania tentang apa yang berlaku. Dia juga memohon supaya tidak menghubunginya. Selesai, dia melelapkan mata seketika.

“Farhana. Farhana. Bangun, sayang.”

Satu suara lembut memanggil namanya. Farhana terasa kepalanya diusap penuh kasih sayang. Dia membuka matanya perlahan dan memandangnya dengan senyuman manis.

“Awak siapa?”

“Ini ibu, sayang.”

“Ibu?” Farhana teringat kata-kata Che Yah yang menyatakan wajahnya mirip wajah ibunya. Dia merenung wajah wanita itu dalam-dalam.

“Betul ke, awak ibu saya?”

“Betul la.”

“Kalau macam tu, boleh awak bagitahu saya, di mana tanda lahir saya?”

Wanita itu senyum. “Kat tengkuk Farhana,” jawapan itu membuatkan Farhana terdiam. Benar, bisik hatinya.

“Ibu tak tahan menanggung rindu,” wanita itu bersuara lagi. “Tapi ibu bersyukur, Farhana membesar dengan baik. Ibu minta maaf, ibu tak sempat nak bagi nama pun pada Farhana.”

Kata-kata itu buat Farhana senyum pahit. Matanya berkaca. Wanita itu bangkit. Farhana terkedu. “Ibu nak ke mana?”

Wanita itu senyum, lalu melangkah pergi meninggalkan Farhana termangu keseorangan. Panggilan gadis itu langsung tidak dihiraukan.

“Ibu pergi dulu.”

“Ibu!”

“Farhana,” suara lembut Che Yah singgah di peluput telinga. Cepat-cepat Farhana membuka matanya. “Nenek?”

“Cucu nenek ni mengigau agaknya. Dari tadi asyik panggil ibu saja,”beritahu Che Yah. Farhana diam membisu.

“Abang Khalil macam mana, nenek?”

“Khalil… doktor belum keluar lagi…,” kata-kata Che Yah terganggu apabila pintu wad kecemasan dibuka. Seorang lelaki berpakaian putih keluar melaluinya. Farhana bingkas bangun mendapatkan lelaki itu diikuti Che Yah.

“Macam mana dengan abang saya, doktor?”

Lelaki itu memandang Farhana dan Che Yah silih berganti. Wajahnya serba salah.

“Doktor?”

*****

“Yang tertinggal hanya gambarmu di meja kamarku, ditemani dua puisi tentang lara hati….”

“Ibu ....

Engkaulah wanita yang terindah yang pernah ku punya

Engkaulah jiwa dan ragaku

Engkaulah sosok wanita idola yang datang untuku

Kata-katamu sungguh lembut dibandingkan ayah

Tak pantas aku menyakiti hatimu yang begitu tulus menyayangiku

Setiap hari kau selalu mendoakn anak-anakmu

Engkau tak pernah marah jika anakmu nakal

Engkau selalu sabar dalam mendidik kami

Kasih ibu sepanjang masa

Hanya memberi tak hanya kembali

Aku berjanji tak akan membuatmu menangis

Aku ingin membuatmu selalu Tersenyum

Terima kasih ibu atas segalanya

Aku sangat menyayangimu.”

Farhana membaca sekali lagi puisi karya Eka Octaviani S yang ditulis semula oleh Khalil. Air matanya menitis tanpa henti. Pertemuannya dengan Tuan Mansor di tanah perkuburan pagi tadi kembali singgah di ruang matanya.

“Farhana,” panggil Tuan Mansor sebaik sahaja bacaan Yassin selesai. Farhana menutup perlahan mushaf yang dibawanya, lalu menoleh memandang lelaki itu. Dia kemudiannya menghela nafas halus.

“Papa buat apa kat sini?”

“Farhana…,” panggil Tuan Mansor lagi. “Papa nak minta maaf. Papa tahu, papa bersalah. Maafkan papa ya.”

“Saya dah lama maafkan papa,” jawab Farhana lembut. Dia berdiri, menghadap lelaki itu. “Nenek saya ajar saya supaya memaafkan, supaya hidup lebih tenang.”

“Farhana, mari pulang, nak. Mama rindu,” ujar Tuan Mansor lagi, separuh merayu. Farhana hela nafas halus lagi.

“Nenek lebih rindukan saya,” jawab Farhana, kali ini lebih tegas. “Nanti bagitahu mama, saya akan pulang bila sampai masanya. Sekarang ni, saya nak habiskan masa dengan nenek. Saya pasti, mama akan faham.”

“Sampai bila Farhana nak hukum papa?”

“Saya tak pernah hukum papa. Cuma, berilah saya peluang untuk saya bersama keluarga saya. Keluarga yang saya tak pernah jumpa sejak lahir.”

Tuan Mansor mengalah. “Baiklah. Nanti bila balik, bawalah nenek bersama. Kita satu keluarga juga, kan?”

Farhana angguk perlahan sambil senyum nipis. “Saya balik dulu. Kesian nenek sorang-sorang di rumah.”

“Farhana,” panggilan itu membuatkan lamunannnya terlerai. Dia menoleh ke arah suara itu sambil mengukir senyuman manis. “Abang.”

“Kenapa adik abang menangis ni?” Khalil melabuhkan duduknya di sebelah Farhana. “Teringatkan mimpi jumpa ibu tu ke?”

Farhana geleng kepala perlahan. “Kenapa abang masuk bilik ni?”

“Eh, dia ni dah lupa agaknya. Ni bilik abang la. Adik salah masuk bilik ni.”

“Eh, ye ke?” Farhana kerut dahi. Kemudian dia lihat wajah abangnya yang tersengih macam kerang busuk. “Abang kenakan adik!”

Khalil ketawa besar. “Dah. Bersiap la cepat. Malam ni kita nak ke rumah Tam, kan? Untuk majlis aqiqah anak dia.”

“Oh, okey. Adik bersiap sekarang.”

“Adik.”

“Ya?” Farhana pandang mata Khalil dalam-dalam. Lelaki itu menghulurkan beg kertas padanya. “Apa ni, abang?”

“Adik, cuaca sekarang panas kan?”

“Ya, panas sangat. Kenapa?”

“Abang harap cuaca yang panas ni dapat mencairkan hati adik untuk menutup aurat dengan sempurna,” ujar Khalil lembut sambil mengelus lembut rambut Farhana. Gadis itu mengeluarkan sesuatu dari dalam beg kertas itu. Sehelai tudung. Farhana pandang kembali Khalil sambil tersenyum.

“Terima kasih, abang.”

TAMAT



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku