BILIK
Bab
Genre: Seram/Misteri
Kategori: Cerpen
Paparan sejak 28 Mac 2017
Penilaian Purata:
(6 orang telah menilai karya ini)
1366

Bacaan






         “Bilik untuk disewa.

          Wanita bekerjaya sahaja.

          Lokasi: Good Year Court Apartment, USJ.

          Bilik untuk seorang.

          Rumah dilengkapi perabot asas, dapur, mesin basuh, televisyen, dll.

          Harga: RM 100/sebulan.

          Deposit sebulan sahaja.


          Apa lagi! Mencanak lah Wati melihat iklan tersebut di satu ruangan iklan internet. Hampir terjatuh telefon bimbit yang dipegangnya. Tergetar-getar dia membaca iklan tersebut. Dibeleknya pula beberapa kali gambar bilik dan rumah yang disertakan bersama, tidak lah semewah yang disangkakan. Tetapi teramat lah berbaloi dengan kadar sewa yang dikenakan. Dia menyemak tarikh iklan itu dipaparkan.

          28 Mac 2017

         “Eh! Tarikh dua hari lepas! Iklan baru lagi ni!”

          Kadar terujanya Wati dek iklan tersebut mungkin boleh diibaratkan bagai kera mendapat bunga. Bunga - sejambak bunga ros merah yang mahal, dan dibeli dengan harga hanya RM1. Lantas Wati tatal ke bawah skrin telefonnya. Mencari-cari butiran empunya iklan. Tiada nama diletak. Hanyalah nombor untuk dihubungi. Cepat-cepat Wati screenshot iklan tersebut. Kemudian, tangannya pantas mendail nombor telefon yang ditinggalkan.

          Keningnya dikerut-kerutkan. Harapan setinggi gunung. Mengharapkan empunya iklan mengangkat telefon, dan yang lebih penting, harapan agar bilik itu masih ada!

          Harapan.

          Tut Tut...Tut Tut..Tut Tut…

          Hanya bunyi deringan kedengaran. Agak lama. Masih tiada orang yang mengangkatnya. Seka beberapa minit, masih tidak berjawab. Wati mengeluh kasar. Harapan kian memudar. Dia mematikan talian dan kembali membelek iklan tersebut. Di penghujung bucu kanan, terdapat satu nota kecil.

          Seller says : Whatsapp preferred

         “Aha! Bingo!”

          Walaupun mulutnya menyuratkan kegirangan, konon-kononnya empunya iklan hanya akan melayan pertanyaan melalui mesej dalam aplikasi whatsapp, jauh di sudut hati, tersuratnya, harapan Wati terus memudar. Sudah tentu ramai yang bertanya dan sudah tentu juga bilik itu telah pun ditempah. Harga sewanya terlalu murah, tambahan pula lokasinya yang strategik, terletak di pusat bandar Subang Jaya.

          Wati gagahkan juga menghantar satu mesej pesanan ringkas kepada empunya iklan.

         -Hello. Saya Wati dari Tanjung Malim, bekerja berdekatan area Taipan, USJ. Saya ada terbaca iklan bilik untuk disewa di USJ yang cik letak di laman sesawang Senang.My. Boleh saya tahu sekiranya bilik itu masih available?-

          Waktu dihantar: 3:30 pm.

          Status: Pending.

          Harapan Wati menggunung ketika itu. Dia kemudian melihat status dalam talian empunya iklan. Kenapa pending? Kenapa bukan double tick? Tak kisah la blue double tick ataupun tidak. Janji double tick. Sekiranya single tick macam sekarang, bermakna empunya iklan itu masih belum menerima mesejnya. Hampa mula menguasai diri Wati.

          Last seen: today at 5:00 am.

          Wati menggaru kepala.

         “Pukul 5 pagi masih online? Jenis tak tidur malam ke apa dia ni. Lepas tu tak online pulak tu sampai sekarang. Dah lewat tengah hari kot? Siang tidur malam berjaga ke apa?” Bisiknya di dalam hati.

          Wati melihat gambar profil tuan empunya itu. Hanya gambar belakangnya kelihatan. Seorang wanita yang berambut lurus, panjang sampai ke tengah belakang. Wajah? Tidak nampak. Barangkali satu posisi yang disengajakan. Sedang menongkat dagu menghadap luar tingkap.

         “Ewww! Profile picture entah apa-apa. Kalau ye pun nak posing ala-ala ada orang tengahsnap masa dia tengah leka melihat pemandangan luar tingkap, letak lah gambar yang cantik sikit. Ni dah la gambar gelap. Pemandangan kat luar pun tengah gelap malam. Apa yang nak dinampaknya?” Gomel Wati di dalam hati tatkala melihat gambar profil tuan empunya iklan itu - seorang wanita berambut lurus panjang - yang menjengkelkan dia.

          Diperhatikan sekali lagi gambar itu. Bilik itu suram. Kurang pencahayaan. Rambutnya terlalu lurus. Cantik sangat, panjang mengurai. Tapi terlalu cantik. Berkilat-kilat. Dia mengenakan blouse berwarna putih ketika gambar itu diambil. Sekali imbas, betul-betul ibarat (H._.N._.U).

          Tidak semena-mena bulu romanya menegak. Seram.

         “Hehehehe! Apa lah aku ni! Bukan-bukan je difikirkan,” pintas Wati sambil ketawa keseorangan.

          Selang 10 minit. Wati menyemak sama ada mesejnya telah pun dibaca. Masih belum diterima. Masih tiada respon. Hampa.


                                                                        **********


7.30 malam


          Azan maghrib kedengaran di ruang legar rumah kampung Wati. Sumbernya dari kaca televisyen. Wati ketika itu baru saja selesai mandi. Letih berulang-alik dari Tanjung Malim ke Subang Jaya. Saban hari, itu rutin hariannya, seawal pagi subuh lagi Wati sudah pun tegak berdiri di platform stesen komuter Seremban. Perjalanan Tanjung Malim - Subang Jaya amat panjang. Letih. Pergi dan baliknya kerja Wati tanpa melihat sinar mentari. Namun digagahkan juga semangatnya, bagi mencari sumber rezeki yang halal. Sebab itu lah dia terlalu tekun menelaah iklan-iklan bilik untuk disewa. Dan yang penting, harus lah murah.

          Bzztttttt! Bzztttttt!

          Gegaran telefon bimbitnya kedengaran. Wati menggapai telefonnya yang diletakkan di atas meja solek, sambil mengelap rambutnya dengan tuala. Dilihatnya sekali imbas, ada makluman penerimaan mesej. Mesej dari empunya iklan itu! Tergelincat kegirangan seketika. Wati mengabaikan buat sementara, setelah mengenakan pakaian ringkas dan posisi yang selesa diambil, dia kembali membelek skrin telefonnya. Mesejnya terbalas:

         -Hello Wati, ye bilik masih available. Berminat ke? - Izzah-

          Wati terus berdiri keseronokan. Dia meloncat-loncat anak setempat. Senyum? Bukan lagi. Sengih? Ya. Berkali-kali dia membaca mesej itu untuk mengesahkannya.

         “Izzah - Agaknya itu nama tuan empunya iklan. Izzah ye?” Ngomelnya di dalam hati. Tangannya terus ligat menaip sesuatu, untuk membalas mesej itu.

         -Ye Izzah, saya berminat. Boleh saya datang tengok rumah esok? Kalau semuanya OK, saya terus bayar deposit. Deposit sebulan je kan?-

          Tidak sampai seminit, telefonnya bergegar buat kali kedua.

         -Ok. Tapi saya tiada di rumah esok. Kalau Wati nak tengok bilik, saya boleh tinggalkan kunci rumah di bawah pelapik pasu bunga depan rumah. Ya, deposit sebulan, jadi total RM 200 sahaja. Seratus deposit, seratus lagi untuk sewa untuk bulan ni. Untuk pas sekuriti, Kalau Wati ada kenderaan, kena selesaikan sendiri dengan pihak pengurusan. Sebulan 5 ringgit je untuk motosikal. Kalau bawa kereta 15 ringgit je.-

          Hairan.

         “Berani betul perempuan ni nak tinggal kunci rumah macam tu je senang-senang? Aku ni totally stranger kot? Ahhhh! Lantak lah! Janji aku dah dapat bilik sewa. Murah pula tu! Hehehehe…”

         -Wah. Ok. Saya datang selepas habis waktu pejabat boleh?-

         -Ok. Blok A, no. A-5-11. Tahu kan apartmen ni kat mana?-

         -Ye saya tahu. Yang cat warna kuning tu kan? Depan kilang mee segera tu?-

         -Betul. Esok kalau setuju nak sewa bilik ni, whatsapp saya.-

         -Baiklah! Terima kasih Izzah!-

          Ketika itu, senyuman kegembiraan langsung tidak lekang dari bibir Wati. Dia terus berlari-lari anak dengan langkah yang berirama, seakan-akan kawad kaki irama bujang lapok, sambil bersiul menuju ke dapur. Berita gembira ini harus disampaikan kepada ibunya secepat mungkin.

         “Alhamdulillah…”


                                                                        **********


Keesokan hari. 4:30 petang

          Termengah-mengah Wati menaiki anak tangga. Satu persatu. Hatinya mula menyedari mengapa bilik itu lambat untuk mendapat penyewa, dan murah. Apartmen ini tidak dilengkapi dengan sistem lif! Tapi bagi Wati, itu bukan lah halangan yang perlu dibesar-besarkan, setakat memanjat anak tangga setinggi 5 tingkat, sudah biasa dengan staminanya selaku bekas atlet olahraga.

          Dulu lah.

          Sekarang adalah peluang terbaik Wati untuk mengembalikan kegemilangan, keupayaan dan kekuatan jantungnya. Setakat ini, dari segi suasana persekitaran, dia masih berpuas hati dengan apartmen tersebut. Persekitarannya bersih. Tidak lah seperti yang dibayangkan. Tidak lah seperti flat kos rendah. Suasananya aman damai, tersusun. Bahkan, anak tangganya turut dijaga rapi. Langsung tiada kesan vandalisme dapat dikesan Wati. Yang ada pun hanyalah beberapa bau-bauan kurang menyenangkan. Itu pun hanyalah bau tahi kucing. Nipis-nipis baunya.

          Cuma suasana agak suram di sepanjang laluan anak tangga. Suasana yang sedikit mengganggu perasaan Wati. Kurang pencahayaan. Setibanya di tingkat 5, dia tercari-cari nombor rumah yang dimaksudkan.

         “A-5-1...A-5-2...A-5-3….” ngomel Wati sendirian sambil memerhatikan satu demi satu nombor rumah yang dipaparkan di atas muka pintu. Banyak rumah yang kosong. Tidak berpenghuni. Ataupun mungkin ada penghuni, cuma penghuninya tersorok di dalam rumah. Suasana di luar dan di dalam setiap rumah di kota raya ini tidak boleh jangkakan. Luar kelihatan berhantu, dalam rumah dah macam kelas tadika punya riuhnya.

          Tiba-tiba Wati mengeluh, berdasarkan telahannya, rumah yang hendak dicarinya nun di hujung sana. Paling hujung. Terpaksalah dia menyusuri laluan yang suram ini setiap hari.

          Takk…….Takk……..Takk………Takk………..

          Kedengaran bunyi tapak kaki di penghujung koridor, sedang menaiki anak tangga, membelakangi Wati. Bunyinya persis bunyi kasut terompah. Hairan. Masih ada orang yang memakai terompah. Wati hanya mengendahkan bunyi terompah tersebut. Tidak menoleh ke belakang dan hanya meneruskan perjalanan.

          Takk..Takk..Takk..Takkk..Takkkk..Takkkkk…...

          Bunyi terompah itu semakin laju, mempercepatkan langkahnya. Semakin lama semakin menghampiri Wati, terasa bunyi itu betul-betul di belakangnya. Pantas Wati menoleh.

          Kosong!

          Yang ada hanyalah kelipan lampu koridor. Sekejap menyala, sekejap tidak. Hairan. Wati menggaru kepalanya sambil mengangkat kedua-dua belah bahunya menunjukkan bahasa badan “tidak tahu”. Langkahnya dipercepatkan, selaju yang mungkin.

         “Haaa..jumpa pun..A-5-11,” ujar Wati, sedikit gembira tatkala tiba di hadapan rumah yang bakal disewanya.

          Matanya meleret ke beberapa pasu bunga yang disusun di koridor laluan masuk rumah itu. Segera dia menggagau, meraba-raba mencari kunci. Hati kecilnya tersenyum. Pasu bunga yang dia gambarkan tatkala membaca mesej Izzah seakan-akan pasu bunga di taman-taman. Mekar bunganya. Harum semerbak. Ini tidak. Hanya ada pasu dan tanah. Tiada bunga. Hati kecilnya mengekek sedikit.

          Setelah kunci diperolehi, dan mangga dibuka, Wati cuba memegang tombol untuk membuka pintu tetapi secara tiba-tiba dia menarik tangannya dengan laju menjauhi tombol pintu itu. Seakan-akan direnjat kejutan elektrik. Tombol pintu itu sejuk sekali. Sangat sejuk. Ibarat terletaknya bukit ais disebalik daun pintu ini. Wati membelek-belek kembali tombol pintu itu. Tiada yang aneh. Cubaan keduanya berjaya. Tidak lagi sejuk. Mungkin tadi hanya mainan perasaan.

         “Bismillah….”

          Krrrreeeekkkkkkkkk…….

          Bunyi berkeriut pintu kedengaran. Sebaik melangkah masuk, Wati terkejut. Sangkaannya meleset. Dia menyangkakan angker rumah itu sama seperti keadaan di luar. Tidak. Rumah itu kemas. Bersih. Tenang. Nyaman. Beberapa perabot asas tersusun kemas. Ruang tamu dihampar dengan permaidani yang sangat cantik. Berwarna merah-kehitaman. Satu senyuman diukirkan. Di sudut kanan, terdapat satu bilik. Pintunya ditutup. Wati cuba membukanya, tetapi berkunci.

         “Ahh! Mungkin ini bilik Izzah.”

          Dia kemudiannya menuju ke satu lagi bilik kosong, yang terbuka luas. Bilik itu hampir kosong. Yang ada hanyalah kipas dan katil bujang. Ruangnya agak luas. Dengan kadar sewa yang amat murah, bilik itu terlalu berbaloi. Di samping dengan kemudahan lain di rumah yang serba serbi lengkap untuk orang bujang. Dia menoleh ke bilik yang lagi satu, bersebelahan dengan dapur. Bilik itu sedikit sempit jika nak dibandingkan dengan bilik yang dimasukinya sebentar tadi. Dari jauh, kelihatan bilik itu dipenuhi dengan barang-barang. Seakan-akan stor.

         “Rasa-rasanya bilik kosong ini lah kot bilik aku. Ini dah cukup berbaloi. Jangan lepaskan peluang ini.”

         “Terbaeeekk..” Wati meniru ayat terkenal karakatur Boboboi.


                                                                                **********


           Sedang menanti ketibaan komuter, Wati cuba menghubungi Izzah. Tetap sama. Deringnya ada, tetapi tidak diangkat. Asap amarah kecil mula menguasai dirinya. Dari tadi, di rumah sewa tadi, masih tidak berjawab. Wati ingin membayar wang deposit, khuatir bilik itu dikebas orang. Pasrah, dia hanya menghantarkan pesanan ringkas melalui aplikasi WhatsApp.

         -Salam Izzah. Saya setuju nak sewa bilik itu. Boleh saya masuk secepat mungkin? Dan bila Izzah free? Saya nak jumpa, nak bayar duit deposit-

          Dia hanya mengeluh kecil, mengharapkan respon positif.


                                                                                **********


8:00 malam


          Telefon bimbitnya bergegar, menandakan notifikasi penerimaan pesanan ringkas. Sebaik selesai sahaja Solat Maghrib, Wati terus menerpa mencapai telefon bimbitnya. Sangkaannya tepat! Izzah membalas pesanan ringkasnya.

         -Ye Wati. Awak boleh masuk bila-bila masa. Kunci yang ditinggalkan di pasu tu memang disediakan untuk penyewa.-

          Wati terus tersenyum lebar sambil menaip sesuatu, membalas mesej itu.

         -Baiklah, terima kasih. Kalau macam tu hujung minggu ni lah ye saya datang bawa barang-barang. Nak tanya, deposit macam mana saya nak bayar ye?-

         -Sabtu dengan Ahad ni saya tiada di rumah. Ahad malam baru saya ada. Tapi tak apa, awak boleh pindah masuk dulu. Untuk bayaran deposit, awak boleh masukkan dalam sampul, dan selitkan je bawah pintu bilik saya. Tolak ke dalam bilik. Nanti saya ambil.-

         -Ok. Terima kasih. (" ,)-

         -(^o^) sama-sama-

          Sekali lagi dia berjalan irama bujang lapok, sambil bersiul, mencari ibunya.


                                                                **********


Ahad, 5.30 petang


           Usai mengemas kesemua barangnya, Wati tersandar keletihan. Lututnya lemah terketar-ketar. Letih berulang alik dari bawah ke tingkat 5 untuk mengangkat kesemua barangnya. Mujur abang dan kakak saudaranya datang membantu. Kalau tidak, lepas maghrib lah gamaknya baru selesai. Sambil berbaring, Wati bersiul-siul kegembiraan. Baru dia sedar, siling biliknya turut dihiasi dengan beberapa corak menarik, berbunga-bunga di setiap penjuru. Cantik. Sambil memerhatikan corak-corak di syiling, matanya semakin berat melayan keletihan. Wati terlelap. Keletihan.

          Krrrreeeekkkkkkkkk…….

          Bunyi pintu dibuka yang menyedarkan Wati dari tidur. Wati menggapai telefon yang diletakkan di sebelahnya dan melihat sesuatu di skrin telefeon. Sudah 7.30 malam.

         “Astaga..lama juga aku tertidur..”

          Sambil menggeliat kecil, dia mengambil masa beberapa minit untuk menghilangkan mamai tidur sebelum bangun sepenuhnya. Ototnya diregang-regangkan bagi mencari kelegaan. Wati melangkah keluar bilik, mencari gerangan pembuka pintu rumahnya. Tekaannya, Izzah sudahpun pulang, memandangkan esok hari bekerja. Tetapi kelibat Izzah tidak kelihatan. Bahkan pintu rumah tertutup rapat. Wati berjalan menghampiri bilik Izzah, dan terlihat cahaya lampu di sebalik celahan pintu biliknya. Biliknya masih tertutup rapat.

         “Betul lah..Izzah sudah pulang.”

          Niatnya untuk bertegur sapa terbantut, memikirkan mungkin Izzah keletihan.

         “Nanti lah…”


                                                                  **********


9.00 malam


          Di sebalik kelekaan menonton televisyen, Wati kehairanan. Izzah masih belum keluar dari biliknya. Bahkan sebarang bunyi mahupun aktiviti pergerakan tidak didengari. Wati cuba untuk tidak terlalu menjaga tepi kain orang. Dia menumpukan pasang matanya ke arah kaca televisyen, sambil menghirup kuah mee segera yang baru dimasaknya sebentar tadi.

          “Tak kan balik terus tidur? Bunyi bilik air dalam bilik dia pun tak dengar..Ahh! Lantaklah..”

          Slurrrpppp….


                                                                        **********


Khamis. Hari keempat di rumah baru. 7.30 pagi


          Selesai bersiap, Wati melangkah keluar dari biliknya untuk ke tempat kerja. Sempat dia menjeling ke arah celahan pintu bilik Izzah. Sudahpun gelap. Sunyi sepi.

         “Dah keluar rasanya si Izzah ni. Adoi! Nak berkenalan pun susah. Entah-entah dia memang jenis yang tak kawan dengan orang. Lantak lah. Aku pun dah lambat ni.”

          Sesampainya ke tempat kerja, Wati menegur kesemua rakan sekerjanya. Semua orang tahu dan kenal Wati. Dia peramah. Perwatakan cerianya selalu menghidupkan suasana di pejabat. Pendek kata, sekiranya pejabat sunyi sepi, tekaan pertama kakitangan di situ, “Wati cuti ke?”

         “Wati! Amacam? Dah selesai ke urusan pindah masuk bilik sewa baru kau tu?” Tanya Amy, seorang pengkid yang merupakan rakan karibnya sejak dari hari pertama bekerja lagi. Mulutnya tidak pernah berhenti dari mengunyah gula-gula getah.

         “Ok lah. Tulang belakang retak je. Hahaha! Penat weh mengangkat barang naik tingkat 5.”

         “Laaa..lif?”

          Geleng.

         “Hahahahahahaha!” Hanya gelak tawa besar dihadiahkan Amy.

          “Kau pergi mana? Lama tak nampak?”

          “Aku cuti lah bahalol. Pergi bercuti dengan awek aku.”

          Diam seketika.

         “Amy..aku ragu-ragu sikit lah dengan house mate aku tu.”

         “Apasal weh?”

         “Kau nak tahu, aku tak pernah lagi jumpa dia.”

         “Aik? Macam mana tu?”

         “Selama ni, aku deal dengan dia by fon je. Whatsapp. Aku call tak pernah diangkatnya. Jumpa sekali imbas pun tak pernah. Kunci rumah pun dia main tinggal je kat pasu depan rumah.”

         “Hahahaha..weirdo dowh teman baru kau.”

         “Sepanjang aku duduk di rumah tu, walaupun sebumbung, tak pernah lagi terserempak. Padahal dia ada je dalam bilik. Dah maghrib baru balik rumah, entah dari mana. Lepas tu terperap dalam bilik sorang-sorang. Apa yang dibuat entah di dalam tu, sunyi sepi je. Lepas tu siang esok terus hilang.”

         “Wahhhh..pelik ni.”

         “Ada sekali tu, aku ketuk pintu bilik dia, nak menyibuk.”

         “Hahaha! Lepas tu?”

         “No respond at all!” Ujar Wati sambil menggenggam kedua-dua penumbuknya, tanda geram.

         “Hahahahahahaha!”

         “Eyh. Kau ni Amy! Gelak je dari tadi. Aku dah sampai naik takut tau tak?”

         “Jangan-jangan house mate kau tu………………….”

         “Apaa???????”

         “Hannnttttttt……..” usik Amy sambil memuncung-muncung kan bibirnya.

         “Bodoh la kau!”

         “Hahahaha..rileks la, aku bergurau je. Habis tu aku nak tanya, macam mana kau bayar duit sewa, duit deposit kalau tak pernah jumpa dia?”

         Diam.

         Wati menepuk dahinya.

        “Allah! Aku lupa! Aku tak bayar lagi duit rumah! Dia pesan suruh masukkan bawah pintu bilik dia je! Sebab tu la Izzah tu tak nak layan aku kot,” kata Wati sambil terus menepuk-nepuk dahinya.

        “Kau tu yang ngeng.”


                                                                       **********


Khamis. 8:30 malam


          Deposit berserta wang sewa bulan ini disisip kemas di dalam sampul surat bersaiz A4. Tidak padan dengan nilai wang yang agak kecil. Hanya sampul bersaiz besar itu yang dijumpanya. Disamping itu, dikepilkan sekali satu nota ringkas:

         “Izzah, ni bayaran deposit dan sewa rumah untuk bulan ni. Wati minta maaf sebab terlambat. Wati betul-betul terlupa. Maaf terlambat.”

          Tatkala Wati berdiri di hadapan bilik teman serumahnya, keadaan masih sunyi sepi. Tetapi di sebalik celahan pintu, cahaya lampu masih terang melimpahi segenap ruang.

          Tukk! Tukk! Tukk!

          3 kali ketukan ganjil pintu bilik. Sengaja Wati ingin mencuba nasib. Mana tahu, jika nasibnya baik, mungkin Izzah tengah mood ceria, dibukanya pintu. Tapi cubaannya membawa kepada kehampaan. Sunyi sepi. Lantas Wati hanya menolak sampul berisi wang itu melalui bawah pintu. Ditolaknya dengan sedikit tenaga agar ianya menerjah ke ruang tengah bilik. Ketika ingin beredar, ragu-ragu mula timbul. Apa lah gerangan yang sering dilakukan oleh Izzah di sebalik pintu ini. Tidak berpuas hati, Wati terfikirkan sesuatu.

         “Apa kata kalau aku menghendap?” kata-kata hati Wati sambil merenung lubang kunci pintu bilik tersebut.

          Tidak berlengah, terus Wati membongkokkan badan, menutup sebelah matanya, dan menghendap melalui celahan lubang kunci itu. Diperhatikan dengan teliti. Di penjuru kanan, terdapat sebuah katil yang dikenakan cadar berwarna putih, berserta set bantal bercorak bunga. Biliknya kosong dan tampak kemas. Alat solek kelihatan penuh disusun kemas di hadapan meja sisi. Barangkali itu lah meja soleknya dek satu cermin kecil diletakkan di atas meja itu. Wati meluaskan pandangannya, agak sukar penglihatannya dengan celahan yang agak terhad itu.

          Kelibat Izzah langsung tidak kelihatan, hanya bunyi mandian di bilik air dalam biliknya.

         “Ohhh..tengah mandi kot.”

          Selang beberapa saat, tiada lagi bunyi pancuran air kedengaran. Mungkin sudah selesai. Bunyi pintu bilik air kedengaran dibuka. Wati masih setia menghendap. Tidak tahu malu agaknya. Tertonggek-tonggek diluar. Tatkala pintu bilik air dibuka, hidung Wati menangkap satu haruman yang sangat wangi. Terlalu harum baunya. Tetapi harum yang pelik dan jelik.

         “Sabun apa Izzah ni pakai. Pelik baunya.”

          Wati terfikir sejenak. Bauan itu pernah dibaunya. Oh! Bau bunga kemboja, mungkin bau air mawar yang bercampur dengan bau kemenyan yang telah dibakar. Bauan yang Wati terhidu semasa kematian bapa saudaranya. Menusuk hidung tengik wanginya. Anak matanya cuba diperbesarkan. Hasratnya cuma satu, ingin melihat Izzah, walaupun sekali, walaupun dengan cara jelik yang dia tengah lakukan sekarang. Tiada bunyi tapak kaki kedengaran, yang ada hanyalah haruman yang menaikkan bulu roma Wati itu, haruman yang mengingatkan dia kepada kematian.

          Sedang Wati memberikan sepenuh perhatian. Tiba-tiba jerkahan kedengaran.

         “APA KAU TENGOK HAHH???!!!!!!”

          Terduduk Wati ketika itu. Jantungnya bagai nak pecah. Terkejut. Sempat dia perhatikan, mata Izzah membalas hendapan di sebalik celahan itu. Anak mata yang hitam legam, separuh wajahnya tidak kelihatan, ditutupi rambutnya yang basah. Kulit muka Izzah pucat. Seperti mayat. Seram! Terkejut Wati. Bersenoyong Wati berlari ke biliknya ketakutan. Terus mengunci pintu biliknya dan menyorok di sebalik selimut. Tanggannya masih menggigil.

          Bzztttttt! Bzztttttt!

          Telefon bimbitnya bergegar.

         -Jangan kacau. Sibuk.-

          Bzztttttt! Bzztttttt!

          Telefon bimbitnya bergegar buat kali kedua.

         -Terima kasih untuk bayaran-


                                                                           **********


Isnin, 10 pagi.


          Peristiwa yang berlaku tatkala Wati menghendap bilik Izzah masih kuat menghantui fikirannya. Walaupun sudah hampir 4 hari berlalu. Saban hari, dia semakin fobia untuk melintasi bilik Izzah. Izzah masih sama dengan rutin hariannya. Biliknya hanya cerah menjelang malam, dan menghilangkan diri di siang hari. Masih belum bersua muka. Kadang-kadang fikirannya menyeleweng dari norma fikiran manusia biasa. Mungkin Izzah bukan manusia, mungkin Izzah makhluk Allah yang lain.

         “Ahhh! Merepek lah aku ni! Mesti lah dia marah. Kalau aku pun marah ada orang hendap bilik aku. Baru lepas mandi pulak tu. Macam orang gila seks!” Telahan di hatinya, cuba untuk menyedapkan perasaan.

         “Woi berangan apa tu!!” Sapa Amy sambil menepuk kuat bahu Wati. Terkejut beruk dibuatnya. Nyaris Wati menghadiahkan maki hamun kepada pengkid itu.

         “Hish kau ni! Terkejut aku.”

         “Hahahahaha..weh Amy kau ni apa hal?”

         “Apa hal??”

         “Jangan lah marah.”

          Wati mengendahkan Amy dan meneruskan kerjanya.

         “Aku tengok kau macam pelik je Wati. Selalu kau kan ceria. Dah berapa hari dah kau senyap je. Senyum pun dah kurang.”

         “Aku OK lah. Tak der paper.”

         “Kau nak kencing aku silap orang la derr.”

          Diam.

          Wati menghentikan kerjanya dan mengajak Amy ke pantri menggunakan isyarat tangan. Setibanya di pantri, Wati mula menyusun ayatnya, bersedia untuk menceritakan sesuatu kepada rakan “lelaki” nya itu.

         “Aku rasa kan, housemate aku tu hantu la.”

         “Hahahahahahahahahahaha!” Amy terus ketawa berdekah-dekah. Dia terhenti setelah dicubit Wati. Sambil melihat sekeliling, khuatir ketawanya tadi didengari orang lain, Amy terus menutup mulutnya menahan ketawa.

         “Ni aku malas cerita kat orang ni.”

         “Ok..ok..ok..ok…sorry-sorry,” ujar Amy sambil menahan ketawa.

         “Aku serius ni. Kau ketawa pula.”

         “Ok. Cuba cerita. Mana tahu aku boleh tolong…..”


                                                                          **********


8:00 malam


          Ting! Tong!

          Bunyi loceng pintu rumah utama kedengaran. Pintu dibuka. Kelihatan Wati berdiri ceria dihadapan pintu, menyambut ketibaan Amy.

         “Amy rupanya! Kawan Wati kan? Masuklah. Wati tak der kat rumah. Dia keluar kot.”

          Amy kehairanan. Dia memerhatikan Wati, mengenakan baju blouse@gaun serba putih, dan memakai rambut palsu yang lurus, sepanjang tengah belakang.

         “Kau buang tabiat ke apa Wati??”

         “Eh! Wati keluar tadi. Saya Izzah, bukan Wati. Masuk la dulu. Duduk dulu kat sofa tu. Nanti Wati balik lah kot.”

          Amy hanya membiarkan jenaka Wati.

         “Sahih dia ni dah gila, dah masuk air semenjak dapat housemate hantu ni,” bisik Amy di dalam hatinya.

          Amy memerhatikan telatah Wati, gerak geri tubuhnya pelik. Pergerakannya, cara dia berjalan dan senyum, semuanya pelik dan aneh. Ibarat pergerakan orang lain, bukan lah seperti Wati yang dikenalinya. Amy tercium bau wangian yang dipakai Wati, pelik. Dia mengenakan minyak wangi yang berbau aneh. Nak kata bau minyak attar, bukan, bau bunga pun bukan juga. Wati hanya tersenyum kepadanya dari tadi. Selang beberapa ketika, Wati bangun dan menuju ke dapur sambil berpesan kepada Amy:

         “Amy duduk la dulu ye. Izzah buatkan air teh. Ke nak kopi?”

         “Bodoh lah kau ni. Hahaha! Nak sangat jadi Izzah apa hal?? Hahahah! Bagi teh tarik kaw dah lah Wati. Malam-malam ni best teh tarik.”

          Wati bingkas menuju ke dapur, menyediakan air. Di saat itu, Amy memerhatikan keadaan sekeliling. Tiada apa yang aneh. Rumahnya kemas, bersih dan tenang sekali. Hanya bau wangian yang dipakai Wati sebentar tadi sedikit menganggu konsentrasinya. Amy bangun dan berlegar-legar, sempat dia menjeling ke arah dapur. Kelihatan Wati sedang menyediakan sesuatu, sementara menunggu air yang di masaknya mendidih. Melihat kealpaan Wati, Amy terus menyelinap ke dalam bilik Wati. Tiada yang aneh. Hanya sedikit bersepah. Biasa lah, bujang. Amy kemudiannya perlahan-lahan menuju ke bilik utama yang pintunya tertutup. Sangkaannya, itu bilik Izzah memandangkan satu lagi bilik kelihatan ibarat stor, bilik yang dikatakan Wati kononnya bilik hantu teman serumahnya itu.

          Amy cuba memulas tombol pintu bilik itu, tidak berkunci! Apa lagi, terus ditolaknya daun pintu itu seluas-luas yang mungkin. Tidak pula Amy terus terjah masuk ke dalam bilik itu, mungkin perasaan takut tetap ada, walaupun kononnya berani. Dari luar, Amy tercegat memerhatikan keadaan dalam bilik itu. Bilik itu ibarat bilik orang biasa. Tiada yang aneh. Tidak menyeramkan. Cuma bau wangian yang tidak menyenangkan memenuhi ruang bilik itu. Wangian yang sama dipakai Wati sebentar tadi. Dari pemerhatian Amy, memang ada seseorang yang tinggal di situ. Maknanya Izzah wujud.

          Amy kemudiannya melangkah masuk, dan mula memerhatikan satu demi satu barang-barang yang terdapat di dalam bilik itu. Kesemuanya barang-barang yang boleh dijangkakan untuk ditemui di dalam bilik seorang wanita bujang. Tiada yang pelik. Dia kemudiannya membuka pintu gelangsar almari pakaian. Baju-baju penuh digantung di dalam almari tersebut. Amy mula memerhatikan beberapa helai baju dan menyedari sesuatu. Dia kenal benar baju-baju yang sedang dipegangnya.

         “Eh! Ini bukan baju Wati ke??” Tanya Amy kehairanan sambil membelek-belek baju-baju yang sedang tergantung itu. Matanya kemudian terlirik kepada satu gambar kecil yang ditampal di tepi dinding almari. Sah! Itu gambar Wati. Amy kemudiannya mula menyedari satu demi satu barang yang disimpan di situ, hampir semua pernah dilihatnya. Barangan milik Wati. Dari kasut yang disimpan di belakang pintu itu hinggalah ke beberapa buah beg tangan yang tersusun di penjuru sana. Itu semua Amy kenal! Itu milik Wati. Kelengkapan yang sering dilihatnya di pejabat, kelengkapan yang seringkali digayakan oleh Wati.

          Kenapa barang Wati ada di sini?

          Ingatkan bilik ni bilik Izzah?

          Siapa Izzah? Dan apa kaitannya dengan Wati?

          Mungkin?? Adakah???? Itu sebabnya Wati tak pernah berjumpa Izzah??

          Jangan...jangan……….!!!!!!!!

         “APA KAU TENGOK HAHH???!!!!!!”

          Tidak semena-mena satu jerkahan kedengaran di muka pintu. Wati sedang berdiri di hadapan pintu. Di tangannya tergenggam erat sebilah pisau. Matanya terbeliak, menjegil memandang tajam wajah Amy. Dadanya berombak-ombak seperti menahan marah. Ketika itu Amy gusar, gusar sesuatu yang buruk bakal menimpa dirinya, tambahan lagi ketika dia melihat Wati sedang menggenggam erat pisau tersebut. Seakan-akan ingin menikam dirinya.

         “Watiiiii….bawa bertenang. Kau OK ke?”

         “Kau buat apa dalam bilik aku?”

         “Aku nak tengok-tengok kan je Wati. Kau yang minta tolong kan?”

         “Keluar!”

         “Kau OK ke tak ni Wati?”

         “Aku Izzah lah! IZZAHHH!!! Kau pekak ke apa? Wati sewa bilik di sana! Ini bilik aku!!”

          Segalanya berlaku dengan pantas. Secara tiba-tiba Wati meluru dan menikam perut Amy dengan pisau yang digenggamnya.

         “Hahahahaha!”

          Amy terjatuh kesakitan, terguling-guling menahan pancutan darah yang keluar dari perut hadapannya. Sedang Amy masih meraung menanggung kesakitan tikaman yang pertama, tikaman kedua hinggap di pinggang kirinya. Mata depan pisau itu kelihatan terkeluar, menembusi bahagian perut hadapannya. Dengan sekali sentapan, Wati menarik semula pisau tersebut. Memancutlah darah dari pinggangnya. Merah pekat. Jeritan kesakitan Amy berselang seli dengan ketawa histeria Wati. Wati? Ataupun Izzah?

         “Hahahahahahaha!”

          Selang beberapa minit, hanya hilaian ketawa Wati kedengaran. Tiada lagi bunyi raungan dari Amy. Tubuhnya terkujur kaku, bergelimpangan dengan darah merah pekat bercampur hitam. Tidak berpuas hati, Wati@Izzah terus menikam bertubi-tubi, walaupun Amy tidak lagi bergerak. Dan diakhiri dengan satu tikaman kuat di leher Amy.

          Ghhroookkkkkk……srisssshhhhhhhhh!!

          Hanya bunyi darah memancut dari leher Amy kedengaran ketika itu, persis bunyi sembelihan lembu. Bunyi darah yang memancut deras dan kadang-kadang tersangkut.

          Mati.


                                                                            **********


Setahun kemudian.


          Peristiwa kematian dua orang gadis di apartmen tersebut tidak lah tersebar dengan meluas, bahkan tidak mendapat sebarang liputan media. Hanya penghuni blok tersebut dan segelintir orang berdekatan yang tahu dengan peristiwa hitam itu. Itu pun hanya tahu berita secara dasar, tanpa perincian. Memang lumrah mereka, menjaga kain masing-masing perlu diutamakan. Satu peristiwa hitam yang dikatakan seorang gadis dan seorang separuh gadis yakni pengkid saling berbunuhan. Masing-masing berlumuran dengan darah hasil tikaman. #Cerita 1. Ada yang mengatakan pengkid itu dibunuh gadis itu, dan kemudian dia membunuh dirinya sendiri. #Cerita 2. Ada juga yang mengatakan kedua-kedua mereka telah dirasuk untuk membunuh sesama sendiri oleh makhluk yang sekian lama menghuni rumah tersebut #Cerita 3. Dan yang terakhir, ada yang mengatakan mereka berdua dibunuh secara terus oleh makhluk yang menghuni rumah tersebut #Cerita 4.

          Tetapi tiada siapa peduli. Masing-masing meneruskan kehidupan seharian mereka. Hanya sekejap sahaja riuhnya.

          Nun jauh di utara, di satu pekan di kawasan luar bandar, terdengar jeritan seorang gadis. Jeritan terkinja-kinja kegembiraan. Mana tidaknya, gadis itu masih lagi bergelar pelajar, dan akan menjalankan latihan industri di Subang Jaya tidak lama lagi. Sudah hampir berputus asa, gadis itu gembira dan bersyukur ya amat dengan satu iklan bilik sewa, yang agak murah. Tambahan, tempat latihan industrinya hanya dalam jarak perjalanan kaki dari apartment tersebut. Tangannya lincah menaip sesuatu, menghantar pesanan ringkas melalui aplikasi Whatsapp:

         -Okay sis! Saya confirm sewa terus bilik tu ye-

         -Baiklah. Tahukan alamat apartment di mana?-

         -Tak apa sis. Saya boleh pakai Waze je-

         -Ok. Saya jarang ada di rumah. Tapi tak apa. Kalau saya tiada, kunci rumah saya akan tinggalkan di bawah pelapik pasu bunga depan rumah. Sewa rumah dengan deposit boleh masukkan dalam sampul, selitkan bawah pintu bilik saya nanti-

         -Baiklah! TQ sis Izzah!-



                                                                      - TAMAT-



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku