Pensil Untuk Cik ABC
Bab
Genre: Kanak-kanak
Kategori: Cerpen
Paparan sejak 30 Mac 2017
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)
839

Bacaan






Nazura merenung jauh dari birai tingkap. Dia melangut keatas memandang dahan-dahan kelapa yang berayun-ayun dibuai angin. Pohon-pohon menghijau di belakang rumah memang menenangkan mata. Jasa arwah ayahnya berbakti kepada tanah terbukti di hadapan mata.

Kelibat budak-budak berlari di sekeliling pokok menarik minatnya. Budak-budak lelaki dan perempuan itu berambut kerinting dan berkulit gelap, tertawa sesama mereka sambil berkejar-kejaran.

“Anak siapa tu mak, yang main kat belakang tu?” Laung Nazura kepada Ibunya yang menyapu sampah di halaman rumah.

“Anak orang asli. Kalau musim jambu berbuah, selalu diaorang datang makan. Musim mempelam dengan duku pun sama. Ada je kelibat diaorang kat belakang rumah tu”

“Mak bagi ke?”

“Bagi ke tidak, diaorang datang ambik jugak. Mak anggap sedekah je. Kamu dengan abang-abang kamu pun bukan makan sangat!” Tambah Makcik Amnah.

Nazura segera ke hadapan rumah untuk menyambung perbualan dengan emaknya.

“ Diaorang tak sekolah ke Mak?”

“Mana la mak tau. Yang mak tau, memang selalu budak-budak tu main kat sini kalau musim buah macam sekarang. Dulu tiga orang je, sekarang dah bertujuh”

“Mak pernak cakap dengan diaorang tak?”

“Selalu. Kalau Mak nak ambik buah-buah tu, budak-budak la yang tolong ambilkan. Mak mana boleh panjat pokok tu. Yang bagusnya mereka tu, makan sekadar untuk perut mereka je. Tak pernah dioarang ambik banyak-banyak bawak balik. Tau pulak diaorang simpan untuk tuan pokok tu.”

“ooo.. Kalau Zura nak, boleh suruh diaorang panjat tak?”

“Boleh..Cuma jangan kamu pulak yang memanjat. Apa pulak orang kata nanti!”



Bunyi budak-budak ketawa kedengaran dari atas pokok. Nazura memandang keatas melihat tiga orang budak sedang duduk diatas dahan pohon jambu, sambil melempar biji dan serpihan jambu yang dimakan antara satu sama lain.

“Ehemmm!!!!” Nazura buat-buat berdehem supaya mereka sedar kehadirannya di situ. Sebaik terdengar suara Nazura tadi, cepat-cepat mereka semua memanjat turun. Pantas juga mereka membuka langkah untuk pergi dari situ.

“Nanti !!!” Jerit Nazura setelah kelibat mereka hampir hilang memasuki hutan. Budak yang paling belakang sekali terkaku seketika.

“ Kamu nak ke mana?” Tanya Nazura sebaik sampai ke tempat budak itu berdiri.

“Ke sungai Kak?” Jawab budak itu fasih.

“Kenapa nak ke sana?” soal Nazura lagi.Macam Kakak yang sedang menyoal adik.

“Semua ada di sana”

“Siapa?”

“Abang, Kakak dan adik” akui budak itu jujur.

“Akak ikut boleh?” tanya Nazura. Soal keselamatan dilupakan seketika. Ada sesuatu yang menarik dengan anak-anak orang asli ini.Budak itu mengangguk.



Suasana di dalam hutan begitu menenangkan. Nazura merasa dirinya seakan kanak-kanak lagi. Semasa kecil dahulu, dia sering merayau di dalam hutan bersama kawan-kawan dan adik-beradiknya.

“Jauh lagi ke?” Tanya Nazura, walaupun baru sepuluh minit berjalan. Tekaknya merasa kering dan dahaga.

“Tu” Budak itu menunjuk ke arah sekumpulan kanak-kanak sedang bermandi manda di dalam sungai.

“ Atoiii” Jerit budak tadi sambil berlari. Kanak-kanak yang lain mulanya menyambut dengan tawa. Tawa mereka terhenti setelah Nazura muncul dari belakang. Kanak-kanak lelaki yang langsung tidak berpakaian lari terjun ke sungai. Kemudiannya berdiri dengan hanya menampakkan kepala.

“ Tak sekolah ke ?” Tanya Nazura yang melabuhkan punggung pada sebatang dahan besar rebah di situ.

“ Tak…” Sahut seorang budak perempuan.

“ Kenapa tak suka sekolah?”

“ Kalau ke sekolah kena pakai baju sekolah, tak boleh main-main, kena baca ABC, kena nyanyi, kena tulis..susah” sambung budak itu lagi.

“Bapa kamu tak marah?”

“Apai pun ada marah-marah. tapi kami buat tak tahu jaa.. Apai pun selalu ke hutan, kami buat la ikut suka kami” Jelas budak itu sambil tertawa. Tawanya bersambut dengan adik beradiknya yang lain.


“Siapa tahu baca ABC? A…B…C…. Siapa?” Tanya Nazura.

“A, B, C,..F, Q…” Budak perempuan tadi cuba menyahut pertanyaan dari Nazura. Kanak-kanak yang lain menyambut jawapannya dengan tawa.

“ABC tak tahu pun masih tak nak sekolah!” Perli Nazura.

“Akak, kami tak tahu ABC pun tak apa..janji pandai cari makan. Apa pun boleh kalau kami nak hidup”. Budak lelaki yang di dalam sungai menjawab petah. Yang lainnya seakan mengangguk bersetuju.

“Kalau hutan dah tak ada kamu nak ke mana?” Soal Nazura lebih dalam.

“Hutan mesti ada Kak. Mana boleh hutan hilang?” Tingkah seorang budak lagi.

“ Dulu kamu di hutan mana?” Soal Nazura tegas.

“Hutan di estet sana….”

“Sekarang ni mana hutan kamu dulu?” Kata Nazura lagi. Ilmu yang dipelajarinya di Institut Latihan Perguruan itu cuba dimanafaatkannya.

Budak-budak yang ada itu hanya saling berpandangan. Baru kali ini ada yang membuatkan mereka berfikir begitu.


“ Kamu pernah tengok ni?” Nazura mengangkat tabnya dan menunjukkan kearah budak-budak tu.

“ Itu telefon. Apai pun ada satu. Tapi Apai punya kecik saja” Jawab budak perempuan tadi petah.

Nazura bersyukur sangat talian telefon dan internet masih kuat di situ. Dia mahu menunjukkan sesuatu pada budak-budak itu. Dia menekan kekunci di aplikasi youtube mencari bahan untuk dikongsi dengan budak-budak itu.

Mula-mula dia membuka cerita kartun. Cepat-cepat budak yang ada berdekatan menghampirinya untuk menonton. Dua budak lelaki yang tidak berpakaian langsung tadi berenang ke tebing sungai. Tangan mereka mencapai daun-daun pokok ketapang yang jatuh ke sungai untuk dijadikan pakaian sementara. Perlahan-lahan mereka berjalan ke bawah pohon ketapang dimana baju mereka dilonggokkan. Setelah berpakaian penuh mereka segera menyertai adik-beradiknya yang lain menonton tayangan pada tab Nazura.

Sebaik habis tontonan cerita kartun itu, Nazura mematikan tabnya.

“Nak tengok kartun lagi Kak" rayu mereka semua.

“Bateri nak habis ni. Lain kali kita sambung, ok. Akak pun dah nak balik rumah dah" Jelas Nazura. Budak-budak yang ada memuncungkan mulut tanda tidak puas hati.

“Semua nak jadi pandai tak?” Tanya Nazura lagi. Sekurang-kurangnya apa yang ditunjukkan tadi dapat menarik minat mereka.

“Kat sekolah tak ada cerita kartun" Kanak-kanak yang terkecil diantara mereka bersuara.

“ Memang kat sekolah tak ada, dik. Tapi bila adik habis belajar nanti, dah kerja. Boleh la adik beli tab macam ni dan tengok kartun hari-hari.” Kanak-kanak di hadapannya tersenyum.



“Berani kamu ikut budak-budak tu ke dalam hutan.” Bebel Makcik Amnah.

“Ala Mak..bukan ke hutan tebal pun. Belakang kebun tu jer. Masa kecik-kecik dulu pun Zura pernah ke situ"

“Tak payahlah kamu bergaul dengan budak-budak tu. Tak ke mana mereka tu. Biar Mak Bapak diaorang yang uruskan"

“Hmmm… Mak. Nazura nampak budak-budak tu macam kami semua waktu kecik-kecik. Cuma kami bertuah sebab Mak dan ayah didik kami dan bagi kami belajar. Tapi budak-budak tu, tak ada siapa yang nak peduli. Zura Cuma kasihankan dioarang jer..” Jelas Nazura.

“Ikut suka kamu la. Jangan sampai diaorang susahkan kamu dah la.” Pesan Makcik Amnah.



“ Kakak ABC” Satu suara di bawah pohon rambutan menegur Nazura. Hampir sahaja dia terjatuh dari tangga kerana terkejut.

“ Kami nak belajar. Nak tengok kartun” Sambung budak itu yang cuba berlindung dari dibasahi gerimis.

“Mana yang lain?”

“ Ada kat pondok belakang. Hujan Kak” Budak itu tersenyum.

“Lupa nak tanya, nama kamu siapa?”

“Amri.”

“Amri panggil yang lain tunggu Akak bawah rumah. Kejap lagi Akak turun" Nazura tetap risaukan kanak-kanak orang asli yang masih merayau walaupun hari hujan.

Nazura turun ke bawah rumah membawa sepinggan ubi kayu dan seteko kopi. Satu mangkuk berisi gula diletakkan di tepi piring ubi kayu.

“ Hujan-hujan ni sedap makan ubi kayu" Kata Nazura yang meletakkan makanan itu diatas pankin. “Hujan-hujan pun ayah kamu keluar kerja"

“Tak, kami yang mahu jumpa Kakak. Nak belajar A,B,C dan tengok kartun" beritahu budak perempuan yang paling dewasa.

“Nama kamu semua siapa?, Tadi baru Akak kenal Amri"

“ Haa..kami pun lupa nak beritahu nama. Saya Fikah, adik perempuan saya tu Lina. Adik lelaki saya Bakri dan Mahat. Yang baju hijau tu Saipul dan sorang lagi tu Damar. Amri tu kakak dah kenal tadi.” Terang Fikah, selaku kakak yang paling sulung antara mereka.

“ Nak belajar apa hari ni?”Nazura bertanya.

“ Nak belajar ABC dan kartun" Saipul menyampuk sambil mengunyah ubi kayu di mulut.

“Bila nak sekolah ni?” Tanya Nazura lagi.

“Kami akan pergi sekolah bila Apai belikan baju sekolah dengan beg sekolah nanti” jawab Fikah jelas.

“ Dan beli pensil, kalau tak ada pensil macam mana mahu tulis.” Sambung Amri. Yang lain menyambut dengan tawa.

“ Ok, kejap lagi Akak ajar ABC, lepas tu boleh tengok kartun"

Kanak-kanak itu bersorak riang.

Sesi mengajar Nazura secara percuma pun bermula. Kanak-kanak itu semuanya kelihatan bersungguh-sungguh untuk belajar.



Hujan masih turun lagi. Sudah dua hari berturut-turut. Nazura agak gelisah di muka pintu. Dua tiga kali dia mengalih pandangan ke luar tingkap. Sudah dua hari kelibat tujuh beradik itu masih tidak kelihatan.

“ Kamu ni, budak-budak punya hal pun boleh sedih” Tegur Makcik Amnah.

“Zura terasa sangat Mak. Masa belajar hari tu, semuanya bersungguh-sungguh. Nazura nak tengok mereka masuk sekolah semula. Kalau boleh sebelum Zura balik ke Universiti Semula”

“Jangan bebankan diri kamu pulak. Mereka ada mak bapak. Biarlah mak bapak diaorang tu tentukan”

“Tapi diaorang dah janji..!!!”

“Janji apa?”

“Janji nak jumpa Nazura lagi..”

Nazura mengalih pandangan keluar tingkap. Bayangan seorang budak lelaki pantas bergerak di celah-celah semak samun.

“ Amri!!” Sapa Nazura dari atas rumah. Dia tak menyangka mereka masih mahu berjumpa dia walaupun musim hujan. Dia mencapai payung dan turun ke tanah.

“Mana yang lain?” Soal Nazura sebaik turun ke tanah. Budak lelaki bermuka pucat itu masih berdiri di dalam hujan. Tangannya menunjukkan ke arah sungai!

“Kakak tak boleh ke sana, hujan ni. Ajak semua kemari” Pesan Nazura. “Nanti Akak sediakan cucur ikan bilis”

Budak lelaki itu bergerak di celah-celah belukar dan menghilang.

“ Lamanya..” Nazura melihat jam sebelum mengalih pandangan ke pankin bawah rumah. Tiada seorang pun dari tujuh beradik itu yang sampai. Cucur ikan bilis yang baru digorengnya tadi sudah mulai sejuk.



“Assalamualaikum…” Suara orang memberi salam kedengaran dari luar. Makcik amnah menjawab dari dalam dan membuka pintu hadapan. Ketua kampung bersama beberapa orang kampung dan anggota polis berada di hadapan rumah.

“ Apa apa ni Pak Berahim” Tanya Makcik Amnah.

“Kak Nah, aku ni wakil dari pihak pasukan mencari dan menyelamat. Kami tengah cari budak-budak orang asli yang hilang dari kampung mereka. Dah dua hari tak balik. Kalau-kalau Kak ada nampak.” Jelas Ketua Kampung itu. Makcik Amnah menggaru kepala.

“Budak yang bertujuh beradik tu ke?”

“Haah! Mana Kak tahu?” Tanya anggota polis di sebelah Pak Berahim.

“Budak-budak tu selalu datang ke sini, main-main dan makan buah kat belakang tu. Anak akak, Nazura lagi rapat dengan diaorang” Katanya yang masuk ke rumah memanggil Nazura.

“ Tadi saya ada nampak si Amri. Tapi dia senyap je. Bila saya tanya mana yang lain. Dia tunjuk ke arah sungai” Terang Nazura. Lelaki tu yang berada di belakang tadi berjalan ke belakang.

“Anak Pakcik dah dua hari tak balik” Apai bersuara dengan nada sebak. “ Tak pernah mereka semua tak balik”

“Mungkin ke diaorang ke sungai?”

“Hmm.. baik kita ke sana?” Pegawai yang mewakili pasukan penyelamat bersuara.



Jalan yang mereka lalui untuk ke sungai berselut dan dipenuhi takungan air. Sebahagian dari hutan turut di ditenggelami air. Namun pencarian pasukan penyelamat tetap diteruskan.

“Tu!” Jerit Apai sebaik melihat sehelai baju terselit pada ranting pokok di tepi sungai. Baju itu segera dicapai salah seorang dari mereka.

“ Ni baju Bakri! Anak saya mesti ada di kawasan sini Tuan!” Tegas Apit dengan suara yang bercampur hiba.

Semua yang ada di situ termasuk Pak Berahim mula berkeliaran di kawasan sekitar. Yang mana tahu nama budak-budak tersebut, melaung kuat nama mereka.

Apai cuma mampu duduk di tepi tunggul kayu menantikan berita yang dibawa pasukan penyelamat. Dia sudah tidak mampu untuk bergerak mencari anak-anaknya. Jelas di kepalanya peristiwa buruk yang mungkin berlaku kepada mereka.

“Ada Mayat!!” Jerit salah seorang petugas yang mencari di tebing sungai. Dua tiga orang lagi segera ke situ untuk membantu menaikkan mayat. Apai pun turut berlari untuk melihat mayat kanak-kanak yang dibawa naik dari tebing.

“Ahh..Lina” Itu sahaja ayat yang keluar dari mulut Apai sebelum dia terhinggut-hinggut menahan tangis.



“ Dah jumpa semua?” Tanya Pak Berahim kepada Ketua Pegawai Operasi.

“Enam dah jumpa. Satu lagi kami masih cari”

Nazura yang mendengar berita itu terus berhamburan air mata. Dari tadi dia menangis hingga bengkak matanya. Hatinya yakin yang budak-budak itu cuba menyeberang sungai untuk datang ke rumahnya. Dirinya merasa bersalah sangat kepada Apai. Niatnya untuk membantu budak-budak itu bertukar menjadi teragedi.

“Bukan salah kamu. Apai pun dah maafkan. Kata dia, kalau budak-budak tu ke sekolah, mungkin mereka tahu yang air sungai itu deras dan bahaya sewaktu hujan” Makcik Amnah cuba untuk mententeramkan anaknya itu.

“ Tapi Zura yang suruh mereka datang lagi!!” Jawab Nazura dengan nada sebak.

“Dah..Kamu tak salah. Budak-budak tu yang ambil risiko lalu ikut jalan sungai tu. Ayah diaorang pun tak salahkan kamu. Memang mereka semua suka merayau-rayau di dalam hutan” Pak Berahim pula menokok.

“Ada seorang yang selamat. Dia panjat pokok di tepi tebing tu.”

“Saipul” Jerit Nazura yang masih mengecam kanak-kanak itu. Apai segera datang memeluk kanak-kanak itu. Diciumnya berkali-kali dengan tangisan yang masih belum putus.

Saipul memeluk bapanya sekuat hati sebelum berjalan ke arah Nazura. Tangannya menghulur sekotak pensel yang masih belum dibuka.

“Kami nak belajar Akak!” itu sahaja ayat yang dituturkan kepada Nazura.

Bunyi tangisan tadi terus bersambung.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku