RAPHAEL
Bab III
Genre: Thriller/Aksi
Kategori: Novel
Paparan sejak 31 Mac 2017
Jeneral Karim telah menyalahgunakan sumber bahan mentah dari planet asing dalam pembangunan teknologi ketenteraannya. Dengan kesedaran ini, sekumpulan saintis dan mereka yang terlibat dalam menentang projek yang berisiko tinggi ini, mencipta sut khas yang dapat menghapuskan bahan mentah itu, sekaligus menggagalkan rancangan Jeneral Karim.
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
259

Bacaan






Dalam kegelapan malam, hanya dihiasi dengan bintang-bintang dan cahaya malap bulan, Raphael terbang tinggi di awangan di bawah awan sambil memegang tangan Dr. Danial yang tubuhnya sedang tergantung. Nyawa sahabatnya itu juga dalam bahaya, kerana tidak sekepala dengan Jeneral Karim. Gedung ujikaji itu terletak jauh ditengah hutan belantara. Di kelilingi oleh tasik buatan sendiri yang lebar dan luas sebagai antara sistem keselamatan supaya tiada sesiapa yang boleh sesuka hati menghampiri kawasan yang ketat keselamatan itu. Sepanjang Zahran terbang bersama Danial. Hanya hutan belantara yang kelihatan. Meninggalkan gedung makmal ujikaji besar yang dikelilingi tasik sedikit demi sedikit yang kelihatan terbakar dan musnah.

“Aku rasa aku dah tak larat lagi Danial. Tolong aku.” Kata Zahran sambil mengibas-ngibas sayapnya yang amat lebar dengan lemah.

“Okey, turunlah dekat mana-mana tempat dulu. Nanti aku minta bantuan.” Kata Dr. Danial pula.

“Tak mungkin, kita masih lagi dekat dengan tapak projek. Mereka boleh mengesan kita dengan mudah.” Balas Dr. Zahran pula dengan lemah.

“Depan tu ada kawasan perkampungan. Aku cuba terbang ke sana.” Sambung Zahran lagi. Darah di tepi bibirnya menitis-nitis. Dengan sedaya yang mungkin, dia terus melebarkan sayapnya melawan arus udara malam yang dingin menuju ke perkampungan yang terpencil. Dengan harapan lebih selamat dan mudah mendapatkan bantuan kecemasan.

Laju, Sut yang diberi nama Raphael terus terbang laju. Kini kerosakan pada sut itu kelihatan. Sayap Raphael mula berasap dan sedikit terbakar.

“Sut Raphael rosak. Sayap aku terbakar.” Kata Dr. Zahran.

Dr. Danial mendongak ke arah sayap Raphael. Benar, bucu sayap terbakar kecil.

“Okey, terbang laju lagi, kampung tu dah nak dekat. Sut tu nanti aku boleh baiki lagi.” Kata Dr. Danial.

Pelukan Raphael terlepas sedikit. Dr. Danial hampir terjatuh. Namun sempat Raphael memegang tangannya.

“Arghh! Jangan lepaskan tangan aku Zahran. Bertahan.” Kata Dr. Danial, sambil memegang erat pergelangan tangan Raphael yang berotot besar.

Zahran cuba bertahan. Dia menahan kesakitan yang teramat. Hampir dia terhempas kerana kecederaan yang sudah parah. Pergelangan tangan Dr. Danial cuba digenggam seerat mungkin. Tidak mahu melepaskan sahabatnya itu yang sudah terkapai-kapai di langit malam. Wajah Dr. Zahran penuh tekanan. Dia sudah tidak mampu bertahan. Genggamannya kini terlepas. Hanya cengkaman tangan Dr. Danial yang masih kuat. Altitud ketinggian semakin berkurangan. Raphael sudah tidak terdaya untuk terbang lagi. Kini masanya untuk terhempas.

“Zahran, jangan lepaskan aku.” Kata Dr. Danial.

Api yang kecil di bucu sayapnya kini semakin merebak ke seluruh hujung sayap. Dr. Zahran tidak mampu berkata-kata, hanya mampu menahan kesakitan yang teramat.

“Cari aku Danial.” Kata Dr. Zahran ringkas.

Lantas genggaman terlepas. Dr. Danial jatuh dari ketinggian yang telah berkurang. Jatuh ke kawasan hutan yang telah diterokai oleh orang kampung di situ. Manakala Dr. Zahran terus terbang menjunam bersama sayapnya yang terbakar. Dia seperti pengsan tidak sedarkan diri. Matanya terpejam.

“Zahran!!” pekik Dr. Danial.

Tubuh Dr. Danial jatuh menghempas ke tanah sambil berguling-guling. Dia kesakitan yang teramat. Hampir pengsan. Namun cuba digagahi untuk bangkit. Tubuhnya tercarap mendekati bucu kayu patah yang runcing. Hampir saja tubuhnya tertusuk. Dia terdiam seketika, mengumpulkan tenaga untuk bangun.

“Zahran!!” Kata Dr. Danial dengan nada tinggi tetapi lemah. Dia cuba bangkit dengan terengsot-engsot. Kemudian berjalan dengan terdencut-dencut menuju tempat sahabatnya yang terhempas. Dia harus mendapatkan Zahran yang sedang cedera parah dan segera merawatnya supaya nyawa Zahran dapat diselamatkan.

Ibarat meteor yang terhempas laju menghentam bumi. Api yang berekorkan asap. Begitulah Raphael jatuh terhempas dan tersembam ke tanah kebun belakang rumah salah seorang penduduk kampung yang terpencil itu. Bunyi hentaman teramat kuat. Pokok yang sedikit tinggi itu patah dan tumbang akibat dirempuh kuat Raphael. Terseret dengan agak jauh dan sepanjang seretan itu, kebakaran kecil kelihatan. Tanah beralur bagaikan parit kecil menuju ke arah Raphael yang telah tersembam kuat ke tanah. Akibat kesan seretan dan hempasan tubuh Raphael, iaitu Dr. Zahran.

“Allahuakbar!” Hakimi terkejut beruk. Terpelanting controller PS4 yang dipegang. Dia merasa ketakutan yang amat sangat. Pukul tiga pagi lebih dengan bunyi dentuman yang kuat itu membuatkan hampir separuh nyawanya hilang kerana ketakutan.

Bunyi apa tu?” detik hati Hakimi yang sedang terbaring mengiring sambil meringkuk. Nafasnya turun naik dengan pantas. Bunyi dentuman kuat itu betul-betul berhampiran belakang rumahnya yang dijadikan kebun sawit dan tanaman buah-buahan. Bilik tidurnya terletak di belakang bahagian rumah. Tubuh Hakimi berpeluh. Wajahnya pucat. Namun dia harus selidik apa yang terjadi di belakang rumah milik bapanya. Dia bangkit perlahan sambil memandang ke arah luar tingkap. Kegelapan awal pagi membuatkan pandangannya kurang jelas dan sekilas yang dipandangnya hanyalah kilauan api dari jauh.

Dibiarkan permainan PS4 miliknya terpasang. Berjalan menghampiri tingkap dan mengintai di balik bilik tidur. Tidak jelas kerana di lindungi pokok kelapa sawit yang lain dan keadaan kebun yang sedikit seperti hutan. Kali ini dia melihat ada kepulan asap dan kebakaran yang kecil. Kelihatan juga pokok-pokok sawit yang telah pecah dan tumbang. Tapi dia tidak benar-benar pasti apa yang sedang berlaku. Kapal terbang terhempas? Tahi bintang jatuh? Serpihan satelit terhempas? Atau bom sesat yang terjatuh kemudian meletup? Dia tidak pasti. Namun apa yang pasti, dirinya masih lagi dalam ketakutan akibat terkejut dengan drastik.

Lelaki muda yang umur menghampiri 30-an itu berjalan menghampiri meja. Kemudian menyelongkar laci mencari lampu suluh. Setelah menjumpainya, dia bergegas keluar dari bilik tidur. Ibu dan ayahnya masih nyenyak tidur tidak sedarkan diri. Jam di dinding menunjukkan hampir pukul empat pagi.

Hakimi keluar rumah melalui pintu belakang. Kedinginan awal pagi membuatkannya bertambah menggigil. Menggigil kerana kesejukan dan ketakutan. Dari jauh kelihatan asap bebas ke udara. Semakin di dekati kawasan yang sedikit terbakar itu semakin gerun dan gementar hatinya. Perlahan-lahan langkah maju ke depan. Dia perlu berhati-hati dengan situasi sebegini. Tanpa sebarang perlindungan, nyawanya mudah sahaja terancam. Sengaja Hakimi tidak mengejutkan kedua ibu dan ayah. Sebagai anak lelaki, dia harus berani. Kedua-dua belah kaki yang berselipar jepun melangkah semakin menghampiri. Sekarang dia dapat melihat dengan lebih jelas. Namun kegelapan awal pagi menghadkan pandangannya. Kelihatan kebakaran kecil yang panjang yang terdapat pada dahan dan daun pokok yang telah patah. Begitu juga dengan rumput yang telah hangus. Diekori kebakaran itu dan terlihat juga kesan seretan objek yang panjang. Tanah yang berumput itu terkuak bagai lautan yang di belah. Semakin lama semakin dalam benaman tanah.

Hakimi menghentikan langkahnya apabila terlihat lembaga hitam yang terhempap oleh dahan pokok yang patah. Manakala pokok-pokok yang berhampiran dengan hempasan seretan itu telah tumbang. Samar-samar kelihatan kerana langit yang gelap dan objek hitam. Hanya bertemankan lampu suluh untuk menerangi pandangannya. Nafasnya semakin deras. Lembaga yang menyeramkan tertiarap dan terbenam di tanah, bersama sayapnya yang melebar lesu dan sedikit berasap.

Semakin hairan dan gementar hatinya. Namun cuba untuk digagahi. Dia teragak-agak menghampiri makhluk serba hitam itu. Semakin mendekat, keadaan tubuh lembaga itu semakin jelas.

“Makhluk apa ni?” kata Hakimi dengan nada perlahan. Lembaga hitam itu sedikit pun tidak bergerak. Kaku.

Apa yang tergambar dalam mindanya kini adalah suatu lembaga hitam yang bersayap lebar dan berpelepah. Tidak berambut tetapi berduri. Tidak terlalu besar dan kecil. Tidak terlalu panjang dan pendek. Agak kemas susunan duri di kepala mahkluk itu. Berotot hitam sasa. Peha dan betis yang lebih besar dari biasa. Berdada bidang. Dia perasan satu perkara. Dia melihat kawasan sekitar mulut makhluk yang menyeramkan itu sama seperti mulut manusia. Akalnya terus laju berfikir mencari jawapan. Lembaga jenis apakah ini? Syaitankah? Iblis? Atau jin? Hanya matanya yang Hakimi belum dapat lihat. Mata yang memancar merah garang pasti membuatkan dirinya pengsan kerana ketakutan yang teramat.

Terus disuluh makhluk itu dengan lampu suluhnya. Kemudian terhenti ke arah wajah yang terlihat separuh. Separuh lagi tersembam ke tanah. Suluhan cahaya lampu itu terhenti di bahagian mata lembaga hitam yang tersadai. Hakimi terpaku dan teruja. Dalam masa yang sama dirinya ketakutan.

Tiba-tiba mata lembaga hitam itu terbuka dengan lemah. Melihat keadaan itu tubuh Hakimi terus menggigil. Sebaik sahaja mata lembaga yang merah itu memandang dirinya, lantas dia mencampakkan lampu suluh dan lari tak cukup tanah. Belum pun sempat dia berlari menyelamatkan diri yang sedang kecut perut. Lembaga hitam itu menangkap kakinya, lalu jatuh tersembam ke tanah.

“Tolong!! Tolong!!... Aarghh!” jerit Hakimi meminta tolong. Mata yang merah itu terus memandang Hakimi dengan bengis dan garang. Ditendang-tendang tangan yang sasa dan hitam itu untuk melepaskan kakinya dari di paut dan di genggam lembaga yang menyeramkan.

Tanpa berlengah Dr. Zahran menekan sesuatu di bawah lengannya. Tiba-tiba gelombang udara keluar dari tangan dan menyelubungi mereka berdua. Gelombang itu bertujuan untuk memisahkan getaran bunyi di antara dalam dan luar kawasan litupan. Mereka berdua kelihatan samar-samar dalam gelombang lutsinar itu. Sekalipun Hakimi menjerit dengan sekuat hati meminta bantuan, tidak dapat di dengar oleh orang sekitarnya. Hanya mereka berdua yang dapat mendengar suara antara satu sama lain. Di luar gelombang itu kelihatan Hakimi menjerit-jerit, namun tidak keluar suara. Teknologi penebat bunyi itu dicipta oleh Dr. Zahran dan Dr. Danial sendiri supaya orang yang melihatnya tidak menjerit meminta bantuan sehingga kedengaran oleh orang sekitarnya. Sut Raphael adalah projek rahsia. Maka tiada seorang pun yang boleh menghebohkannya.

Begitu juga dengan projek Jeneral Karim. Tiada siapa pun yang mengetahuinya melainkan staf-staf, pegawai dan saintis yang bersekongkol dengannya. Sesiapa yang berpaling tadah dari menjayakan misinya pasti akan dibunuh.

“Ya Allah! Tolong... ada jin! Arghh!” jerit Hakimi lagi sekuat hati.

Genggaman tangan Raphael semakin kuat. Kemudian bersuara.

“Dengar sini! Tolong musnahkan projek Jeneral Karim. Tolong cari Dr. Danial.... Dr. Danial Hamzah. Hanya dia dapat menjelaskan segala-galanya. Jangan kau takut, aku juga manusia. Aku cuma pakai sut. Sut ini dapat memusnahkan projek Jeneral Karim. Pakai sut ni dan terbang menghampiri segitiga prisma. Jerit sekuat hati sehingga semuanya musnah dan hancur lebur! Jangan terpedaya dengan apa yang kau lihat bila berhadapan dengan Jeneral Karim. Tolong hapuskan cepat sebelum negara ini akan menjadi lebih parah! Sebelum pengambilalihan kuasa berlaku. Masa semakin suntuk.” Jelas Raphael, iaitu Dr. Zahran. Kelihatan mulutnya berlumuran darah. Tanda kecederaan yang semakin tenat dan tidak dapat diselamatkan lagi.

“Beritahu bapa kau... beritahu bapa kau...” Suara Raphael tersekat-sekat. Matanya hampir terpejam. Satu lagi ‘wasiat’ yang ingin disampaikan oleh Dr. Zahran yang tidak kesampaian.

Mendengar suara yang garau dan bergema seperti singa itu membuatkan jantung Hakimi seperti mahu meletup. Dia berasa teramat takut -menggeletar dan menggigil teruk-. Lantas terus pengsan tidak sedarkan diri. Mulut Raphael terus tersembur darah yang pekat. Dia menahan kesakitan yang teramat sangat. Mungkin dia dapat meninggalkan dunia ini dengan tenang selepas menyampaikan mesej kepada anak muda itu, walaupun tidak sempat menyampaikan pesanan yang terakhir. Harap bila orang muda itu tersedar dari pengsan, dia akan ingat mesej itu lagi, dan memenuhi ‘wasiat’nya. Dr. Zahran tiada pilihan lain. Dengan masa yang amat terhad. Dia harus menyampaikan segala mesej yang penting.

Hakimi sudah tidak sedarkan diri. Terbaring pengsan di atas tanah. Nafas Dr. Zahran perlahan-lahan terhenti. Dia menjerit kesakitan seperti sedang nazak. Mata telah terpejam. Namun sempat bibirnya bergerak mengucap kalimah, yang juga falsafah hidup paling agung.

‘Tiada Ilah yang berhak disembah melainkan Dia...’

Jasad Dr. Zahran sudah tidak bernyawa lagi. Tamat sudah riwayat hidup namun misinya belum lagi dapat diselesaikan. Sunyi kembali suasana awal pagi, hanya sekali-sekala kedengaran bunyi cengkerik, serangga-serangga dan kebakaran kecil.

Dr. Danial terlihat akan asap kebakaran yang bebas naik ke langit. Tanpa berlengah terus menuju punca asap itu. Di balik semak-samun dan pokok-pokok dia keluar. Tatkala melihat jasad sahabatnya sudah tidak bernyawa sambil memegang kaki seorang pemuda, hatinya tergamam. Kesal tidak sempat menyelamatkan Zahran. Lantas dihampiri tubuh Zahran. Ternyata tanggapannya benar. Tiba-tiba rebah tubuh Dr. Danial sambil melutut. Dia merasa tidak bermaya dan hiba. Pandangannya tertunduk ke tanah. Seorang sahabat yang baik dan rapat kini telah pergi meninggalkannya. Hatinya menangis kesal. Airmata mengalir deras di pipi lalu jatuh ke tanah.

Dilepaskan genggaman tangan Zahran yang memegang kaki kiri Hakimi. Kemudian ditelentangkan. Wajah Dr. Zahran pucat. Matanya sentiasa pejam dan tidak bernafas. Dr. Danial mengangkat tangan kanan Zahran. Terdapat alur-alur yang sebati dengan sut bio-organik itu berhampiran dengan bahagian bawah pergelangan tangannya, berbentuk trapezium dan segi empat tepat. Ianya adalah butang fungsi untuk pelbagai tujuan. Tidak kelihatan nyata kerana kesemuanya berwarna hitam. Di tekan salah satu butang fungsi yang hanya Dr. Danial dan Dr. Zahran yang tahu. Selepas butang itu di tekan, perubahan mendadak pada sut itu berlaku. Sayap yang melebar dengan sedikit laju mengecil dan hilang. Seluruh sut yang menyelubungi dan meliputi tubuh Dr. Zahran terbuka dan menuju ke arah kedua-dua pergelangan tangannya. Ibarat cecair yang mempunyai daya lekitan yang tinggi, bergerak dan mengalir deras masuk ke dalam gelungan besi di lengan Dr. Zahran. Kini sut bio-organik Raphael telah disimpan di dalam besi itu yang kemudiannya bercantum pada kedua-dua lengan Zahran membentuk kotak besi yang panjang. Iaitu alat peranti Raphael.

Kini Zahran tidak memakai sut lagi. Tubuhnya diliputi pakaian khas yang mengikut bentuk tubuh. Supaya mudah untuk sut Raphael di ‘pakai’. Kelihatan juga koyakan pada baju akibat ditembak oleh Jeneral Karim. Darah merah mengalir dan ada yang telah membeku. Senyap sunyi kembali suasana pagi yang gelap itu. Termenung Dr. Danial sendirian. Berfikir tentang nasibnya dan berfikir tentang misinya yang masih belum selesai. Iaitu untuk menghapuskan salahguna teknologi makhluk asing dalam ketenteraan Jeneral Karim. Yang pasti membawa malapetaka jika di biarkan.

Dr. Danial mengeluarkan alat komunikasi khas di poket seluarnya. Mengharapkan bantuan segera datang.

Check koordinat, aku perlukan bantuan kilat di sini.” Dr. Danial memberikan maklumat sambil suaranya tersekat-sekat.

Maklumat diterima. Bantuan kilat diaktifkan.” Balas suara dalam device itu. Memberikan perkhidmatan bantuan kecemasan sepantas kilat.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku