RAPHAEL
Bab IV
Genre: Thriller/Aksi
Kategori: Novel
Paparan sejak 31 Mac 2017
Jeneral Karim telah menyalahgunakan sumber bahan mentah dari planet asing dalam pembangunan teknologi ketenteraannya. Dengan kesedaran ini, sekumpulan saintis dan mereka yang terlibat dalam menentang projek yang berisiko tinggi ini, mencipta sut khas yang dapat menghapuskan bahan mentah itu, sekaligus menggagalkan rancangan Jeneral Karim.
Penilaian Purata:
(2 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
314

Bacaan






Wajah bumi berputar menghadap matahari, limpahan foton cahaya suria yang melimpah ke bumi menjadikan kawasan itu kini bertukar siang. Cerah dan berawan putih bak kapas bersih. Suasana hospital pada pagi itu seperti biasa, penuh dengan pelawat dan para pekerja menjalankan rutin harian mereka. Di tingkat tiga di sediakan bilik khas. Persendirian. Kelihatan Hakimi terbaring di situ. Tetapi bukan sebagai pesakit yang mengalami cedera parah. Dia kelihatan sihat sahaja namun masih baring tertidur. Seorang staf jururawat masuk ke dalam bilik wad Hakimi. Memeriksa tahap kestabilan dan kesihatannya dengan rapi. Di catat sesuatu pada fail yang dipegang. Kemudian memeriksa nadi dan anak mata. Selepas itu dicatat lagi untuk mengemaskini rekod kesihatan pesakit itu. Agak lama jururawat memeriksa Hakimi yang masih tertidur.

Kedengaran bunyi tapak kaki melangkah di luar bilik wad. Bunyi ketukan tapak kasut semakin kuat apabila menghampiri wad Hakimi dan kemudian langkah terhenti. Dr. Danial hadir menjenguk Hakimi. Dia hanya sekadar menjenguk di luar, dicelah-celah kaca empat segi yang terdapat pada pintu wad yang membentuk tingkap kecil. Kelihatan dirinya juga telah mendapat rawatan, tangan dan lengannya berbalut. Namun tidak memakai pakaian seperti pesakit hospital, dia berkemeja dan berlengan panjang yang dilipat hingga ke siku. Pakaiannya sama seperti awal pagi tadi, hanya baju saintisnya tidak dipakai. Dialah yang membawa Hakimi ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Bukan fizikal yang ingin dipulihkan, tetapi mental dan psikologi Hakimi. Hampir sesiapa sahaja yang melihat ‘makhluk’ seperti Raphael itu akan mengalami trauma, tekanan perasaan dan ketakutan. Setelah melihat keadaan Hakimi yang tidak berubah, Dr. Danial terus pergi meninggalkan bilik wad itu.

***

Pagi itu selepas subuh, Rahimah berada di dapur. Ingin menyiapkan sarapan pagi. Dikeluarkan segala bahan yang diperlukan untuk dimasak dan sebahagiannya telah di letak di atas meja. Sebagaimana rutin harian, dia pasti akan mengejutkan anak bongsunya dari tiga beradik. Akan tetapi kedua-dua abangnya merantau ke ibu kota, bekerja. Biasanya ada respon yang akan Rahimah terima. Dia mengejutkan Hakimi bangun tidur dari dapur. Bilik tidur Hakimi dan ruangan dapur tidaklah jauh. Malah bersebelahan.

“Akim, bangun... dah nak siang ni.” Pekik Rahimah. Namun tidak bersahut mahupun keluar dari bilik. Senyap saja.

“Akim... Akim, bangun. Sembahyang. Dah nak siang ni.” Kata Rahimah lagi mengejutkan anaknya dari tidur. Begitulah helahnya, walaupun jam menunjukkan baru sekitar enam pagi. Perkara biasa jika Hakimi tidak memberikan sebarang respon untuk pekikan pertamanya itu. Untuk mengejut Hakimi memerlukan pekikan berkali-kali. Dan selagi Hakimi tidak keluar bilik, selagi itulah Rahimah mengejutnya tanpa berputus asa.

Dia kehairanan. Sekalipun dia tahu kedegilan dan betapa liatnya Hakimi untuk bangun pagi, tetapi kali ini dia berasa seperti ada yang tidak kena. Biasanya tidak lama selepas itu Hakimi akan terjaga dari tidur dan keluar bilik untuk solat subuh. Tetapi kali ini tidak.

Rahimah terhenti dari menyiapkan sarapan. Dia bergerak menuju bilik Hakimi. Kemudian pintu bilik di buka perlahan. Dia seperti tidak percaya akan apa yang dilihatnya. Televisyen dan PS4 milik Hakimi masih lagi terpasang akan tetapi terbiar. Seperti biasa biliknya kembali bersepah dengan komik dan buku-buku, walaupun baru dua hari mengemas. Ditambah pula tampalan poster-poster watak hero dan filem penyiasat Hollywood kegemaran pada dinding bilik menambahkan lagi betapa peliknya Hakimi. Mata Rahimah mencari anaknya. Namun tidak dia jumpa. Seluruh pandangannya teliti melihat setiap penjuru bilik. Namun tidak juga kelihatan. Rahimah bertambah hairan. Dihampiri televisyen itu dan dimatikan keseluruhannya.

“Mana Hakimi ni? Keluar ke? Pergi mana?” Rahimah membuat andaian untuk mencari jawapan. Bercakap dengan diri sendiri.

“Tak mungkin.” Sambungnya lagi setelah yakin dengan jawapan yang diputuskan dalam benaknya sendiri. Tanggapan awalnya tidak benar.

“Abang... abang. Mari sini kejap! Abang.” Rahimah memanggil suaminya.

Encik Othman bergegas menghampiri isterinya. Dia sedang memakai baju yang tidak sempat menutup tubuhnya.

“Ya, kenapa?” Tanya Encik Othman.

Rahimah tidak bersuara, hanya menghulurkan tangannya. Jari telunjuk mengarah ke kamar Hakimi yang tiada berpenghuni.

“Mana dia dah pergi?” Tanya Encik Othman. Isterinya itu hanya mampu menunjukkan isyarat tidak tahu. Hati mereka gusar kerana Hakimi telah hilang dari rumah. Kerana biasanya tidak seperti ini. Setiap kali hendak keluar rumah pasti anaknya itu akan memaklumkan dan meminta izin.

Encik Othman terus menuju ke dapur dan membuka pintu belakang rumah. Dilihatnya kebun belakang rumah yang semak samun. Tiada apa-apa yang kelihatan. Kesan terbakar pada awal pagi itu telah pun hilang. Kesan hentaman Raphael dan pokok-pokok yang tumbang tidak kelihatan dari jauh kerana terselindung di balik kebun yang hampir separuh hutan itu. Di amati suasana kebun, dengan harapan dapat menemui Hakimi. Akalnya ligat mencari jawapan akan kehilangan Hakimi. Mana tahu Hakimi sedang berada di situ.

Setelah di amati dengan mendalam, ternyata sangkaan Encik Othman tidak benar. Hakimi tidak dijumpai, malah bayang-bayangnya jauh sekali ternampak. Rahimah juga bersungguh-sungguh mencari. Kepalanya bergerak ke kiri dan ke kanan mencari-cari anak bongsu kesayangan. Namun hasilnya tetap sama.

Encik Othman menutup pintu belakang. Kemudian berkata kepada isterinya.

“Awak dah telefon dia?”

“Telefon dia ada dalam bilik. Dia tak bawa pun telefon dia.” Jawab Rahimah susah hati.

Selepas mendengar jawapan itu, Othman mencari alternatif lain. Dia bergegas ke pintu hadapan rumah pula. Setelah berada di luar, pandangannya ligat mencari-cari kemungkinan klu atau kesan yang ditinggalkan Hakimi. Mungkin kasutnya tiada, pergi bersama motor. Namun apa yang dilihat semuanya masih berada di situ. Tidak terlihat tanda-tanda yang Hakimi keluar rumah melalui pintu depan. Encik Othman maju lagi ke halaman rumahnya. Melihat kawasan kejiranan yang agak jauh antara susunan barisan perumahan. Rahimah hanya menunggu pada rongga hadapan rumahnya. Berdiri berhampiran pintu yang terbuka. Setelah tiada juga kesan atau bukti yang terlihat. Encik Othman bergegas masuk. Tetapi langkahnya terhenti pada peti surat yang terletak berhampiran tiang hadapan rumahnya itu. Terdapat satu surat yang tidak bersampul. Hanya sekeping kertas yang bersaiz poskad. Di situ terdapat juga simbol institut yang menghantarnya. Encik Othman dengan perasaan ingin tahu dengan segera membaca tulisan yang mungkin menjadi klu atas kehilangan anaknya itu, Hakimi.

‘Salam sejahtera,

Tuan & Puan tidak perlu risau akan kehilangan anak jagaan Tuan. Dia selamat dan sihat sejahtera dan kini sedang berada di Hospital Pakar Putra berhampiran dengan rumah Tuan. Anak tuan seorang yang berjasa kerana cuba menyelamatkan anggota kami yang terhempas berhampiran kawasan belakang rumah Tuan. Kini anggota tersebut sedang dirawat. Tuan & Puan boleh datang melawat selepas jam dua petang ini. Sekian dan saya dahului dengan setinggi-tinggi penghargaan atas semangat dan keberanian. Terima Kasih.

Pegawai Khas,

Unit Bantuan Kecemasan Hospital Pakar Putra’

Kini perasaan kedua-duanya sedikit reda. Setelah mendapat berita anak mereka tidak mengalami apa-apa kecelakaan. Mereka telah tahu dan menemui jawapannya. Namun selagi belum berjumpa dengan anaknya, hati mereka masih lagi tidak tenang sepenuhnya. Kepada Tuhan jua dia berserah dan memohon kesejahteraan dan perlindungan.

“Alhamdulillah.” Kata Rahimah. Sedikit lega.

“Lepas pukul dua nanti kita bersiap-siap pergi ke hospital.” Kata Encik Othman.

Selepas gelisah sedikit reda, Rahimah menyambung kerjanya menyiapkan sarapan pagi. Manakala Encik Othman dengan perasaan ingin tahu bergegas pergi melihat kesan terhempas seperti yang dimaklumkan. Baru dia sedar selipar yang diletakkan di pintu keluar belakang rumah salah satunya telah hilang. Benarlah Hakimi telah keluar pada awal pagi melalui pintu belakang.

Di amati kawasan kebakaran dan pokok-pokok yang tumbang, selain tanah yang terbenam memanjang. Semakin dalam pada hujung hempasan. Dilihat dengan perasaan hairan. Wajahnya curiga dan tertanya-tanya.

“Benda apa yang terhempas ni?” Kata Encik Othman sendiri dengan seribu pertanyaan dalam hati. Dia mendongak wajah melihat langit yang terbentang luas dan tidak bertepi, yang begitu jugalah rahsia dan ilmuNya yang masih tidak dapat dirungkai dan difahami oleh manusia sepenuhnya.

***

Tidak berapa lama dalam baringan, Hakimi membuka matanya. Dia telah sedar. Matanya melirik ke kiri ke kanan, ke atas dan bawah dengan lemah. Mengenalpasti dimanakah beliau berada sekarang. Hanya satu tiub yang tertanam pada lengan kirinya. Diperiksa segala tubuh, sihat sejahtera, tiada apa yang cedera. Hakimi menarik nafas dan menghembus lega. Dia masih lagi dalam kebingungan. Ingatan insiden pada awal pagi masih segar di ingatan. Fikirannya terngiang-ngiang akan kejadian itu. Apabila wajah Raphael muncul dalam memori, dia terkejut dan nafasnya bertukar kencang. Dia ketakutan. Matanya dipejamkan. Nafas yang turun naik itu cuba untuk ditenangkan kembali. Sungguh, Hakimi amat takut untuk mengingati makhluk hitam itu lagi.

Salah seorang jururawat masuk semula ke dalam bilik wadnya. Jururawat yang sama. Sambil membawa sedikit sarapan yang berkhasiat. Diletakkan di meja khas pada hujung katil. Berhampiran dengan kaki Hakimi.

“Encik apa khabar?” kata jururawat itu bertanya khabar. Serba salah untuk Hakimi jawab. Kerana diri sendiri kurang pasti sama ada sihat ataupun tidak. Hanya terdiam.

“Sebelum tu boleh saya tahu siapa nama encik?” tanya jururawat muda yang cantik.

“Hakimi...” Jawab Hakimi ringkas.

Jururawat muda itu menarik fail rekod dan terus mencatat namanya.

“Umur?”

“27.”

“Okey, Encik sarapan dulu, nanti saya panggilkan doktor untuk pengesahan lanjut.” Kata jururawat lagi sambil melihat pesakit jagaannya yang tidak terurus wajahnya, sedikit berjambang dan berjanggut nipis. Seolah-olah tidak mengendahkan penampilan diri dalam jangka masa agak lama akibat kemurungan dan tekanan hidup.

“Saya sakit apa nurse?” Tanya Hakimi.

“Oh, Encik Hakimi tak perlu risau. Hanya pengsan dan tidak sedarkan diri. Mungkin petang nanti Encik boleh pulang ke rumah. Apapun ikut kata doktor dulu. Dia yang akan buat pengesahan.” Jelas jururawat muda itu.

“Siapa yang bawa saya ke sini?” tanya Hakimi lagi.

“Saya tak pasti.” Balas jururawat lagi.

“Encik Hakimi Sarapan dulu ya.” Kata jururawat sambil melemparkan senyuman manis, kemudian keluar dari wad pesakit.

Hakimi menghadap sarapan pagi dengan perut kosong. Dia berasa amat lapar. Semua bekas yang terhidang licin habis. Sekurang-kurangnya dia mendapat sedikit tenaga dan fokus.

Tidak lama kemudian Hakimi terdengar bunyi ketukan tapak kasut menghampiri bilik wadnya. Seorang lelaki berkemeja dengan lengan dan tangan yang berbalut masuk ke dalam bilik. Hakimi yang baru sahaja selesai menikmati sarapan pagi sedikit hairan. Tak mungkin itu adalah doktor yang merawatnya kerana dia juga dalam kecederaan. Dia menatap sambil akalnya tertanya-tanya.

Dr. Danial menghampiri fail rekod Hakimi. Untuk memeriksa rekod kesihatan fisiologi Hakimi, juga maklumat namanya.

“Hakimi?” kata Dr. Danial bertanya nama.

“Ya.” Jawab Hakimi ringkas.

“Apa khabar, semakin baik?” tanya Dr Danial.

“Ya, rasa okey.”

“Saya Doktor Danial.” Sambil tangannya di hulur untuk berjabat.

Hakimi seperti sedang mengingat sesuatu. Dia melihat mata doktor itu dengan tajam dan dalam tanpa berkelip. Terdiam seketika.

“Doktor Danial Hamzah?” Hakimi meneka.

Doktor Danial agak terkejut namun sudah dia jangka. Pasti arwah Dr. Zahran ada menyebut namanya.

“Ya.” Balas Dr. Danial ringkas.

Hakimi mengalihkan pandangannya. Pemikiran dan perasaannya terganggu oleh wajah Raphael yang menyeramkan. Wajahnya seperti sedang menanggung derita jiwa dan mental.

“Awak nampak dia?” kata Dr. Danial.

Hakimi memandang wajah doktor itu kembali. Dia cuba untuk tenangkan diri.

Doktor Danial mengambil kerusi yang berhampiran dan duduk di sisi Hakimi.

“Mata dia merah menyala, besar... hitam, bersayap lebar, sangat besar.” Kata Hakimi memberikan gambaran Raphael ketika bertentangan mata pada awal pagi itu. Dia gementar. Ketakutan.

“Hakimi dengar sini... itu kawan saya. Doktor Zahran.” Terang Dr. Danial.

Sekalipun Hakimi tahu perkara itu namun ketakutan tetap juga menguasai diri.

Dr. Danial mengeluarkan sesuatu dalam poketnya. Bekas silinder lutsinar yang di dalamnya terdapat pil. Diambil keluar pil itu kemudian diberikannya kepada Hakimi.

“Nah, makan pil ni. Ia akan kurangkan perasaan awak yang gementar tu.” Kata Dr. Danial.

Tanpa berlengah Hakimi merampas pil dari tangan Dr. Danial. Dimasukkan ke dalam mulut dan ditelan dengan bantuan air mineral.

“Hakimi, saya nak tahu apa yang kawan saya cakap dekat awak?” tanya Dr. Danial.

“Saya perlu tahu.” sambungnya lagi.

Hakimi terbayang lagi akan makhluk yang menyeramkan itu. Kali ini dia sedikit berjaya mengurangkan ketakutan. Wajah Dr. Danial di tatap dengan bersungguh.

“Dia kata... saya perlu cari doktor. Doktor Danial Hamzah.” Wajahnya berkerut mengingati kata-kata lembaga yang menakutkan itu.

“Dia suruh saya hapuskan projek Jeneral...” Hakimi terlupa nama.

“Karim...” sampuk Dr. Danial.

“Ya, Jeneral Karim.”

“Dia suruh saya hapuskan projek Jeneral Karim dengan sut. Hapuskan dengan cara terbang menghampiri... segitiga prisma kemudian menjerit untuk hapuskannya... tak, ini tak masuk akal... Ini tak logik... Ini gila.” Kata Hakimi. Menyedari itu adalah di luar rasional pemikirannya. Dia tertawa seperti orang gila.

“Itu tak penting Hakimi. Hanya beritahu saya apa yang kawan saya katakan.” Dr. Danial memberikan semangat untuk Hakimi meluahkan segala maklumat yang diterima.

“Jangan terpedaya dengan apa yang dilihat bila berhadapan dengan Jeneral Karim. Hapuskan sebelum pengambilalihan kuasa berlaku... Masa semakin suntuk.” Kata Hakimi menghabiskan bicara.

Dr. Danial mendengar dengan mendalam dan teliti. Mentafsir dan menganalisa setiap butir kata Hakimi terhadap ‘wasiat’ sahabatnya itu.

“Selepas itu saya terus berada di sini.” Kata Hakimi lagi. Wajahnya menampakkan dia sedang berfikir dan mencari jawapan terhadap segala yang dilaluinya pada saat itu. Dalam masa yang sama, kebingungan.

Dr. Danial seperti tidak percaya, kerana semudah itu dia ingin menyerahkan sut yang berstatus sulit dan rahsia kepada orang yang langsung tidak dikenali asal usul untuk mengambil alih tugas yang berat ini. Hati dan pemikirannya berat untuk menunaikan hajat Arwah Dr. Zahran. Dia tidak tahu latarbelakang Hakimi. Kerana untuk menggunakan sut itu memerlukan ilmu, skill menyerang dan taktikal yang tinggi dan professional. Untuk mengendalikan Raphael, latihan bertekanan tinggi harus dijalani dalam jangka masa yang lama. Bergantung kepada kecekapan seseorang.

Dr. Danial teragak-agak untuk berkata-kata.

“Itu sahaja?” Tanya Danial.

“Ya. Itu sahaja.”

Dr. Danial berdiri dari tempat duduknya dengan perlahan.

“Okey, terima kasih. Memang betul apa yang awak katakan. Ianya tak logik dan gila. Anggaplah perkara ini tidak wujud. Awak boleh keluar dari hospital ini petang nanti. Awak boleh lupakan dan jalani hidup awak seperti biasa.” Kata Dr. Danial. Enggan mendedahkan lebih lanjut apa yang sebenarnya berlaku. Bukan tidak mahu, tetapi dia tidak sanggup mengorbankan orang yang tidak berdosa dan tiada kaitan langsung dengan kemelut yang sedang dihadapi. Untuk menggunakan sut Raphael, hanya orang tertentu sahaja yang dibenarkan. Tambahan pula ianya adalah projek yang amat rahsia dan sulit.

“Dr. Danial.” Hakimi menghalang Dr. Danial dari keluar wad. “Dia ada beritahu saya, yang doktor akan terangkan apa yang sedang berlaku.”

“Tiada apa yang perlu saya beritahu. Melainkan apa yang saya katakan tadi.” Balas Dr. Danial meyakinkan Hakimi bahawa tiada apa yang berlaku. Dia berkeras untuk merahsiakannya.

“Umur seperti saya bukanlah seperti orang yang senang untuk di tipu... Dr. Danial, saya memilih untuk percaya. Terangkanlah kepada saya. Dengan keadaan saya sekarang ini, saya berhak untuk tahu lebih lanjut.” Kata Hakimi.

Dr. Danial yang sedang berdiri menghampiri pintu menarik nafas dalam. Kemudian menghembusnya dengan deras. Dia harus bersedia untuk menyedarkan Hakimi betapa bahayanya ‘dunia’ yang akan dilihat Hakimi nanti, setelah dia menerangkannya.

“Selepas itu apa yang awak akan lakukan?”

“Izinkan saya untuk kotakan seperti mana yang telah dikatakan oleh kawan doktor.”

Dr. Danial tersenyum dan tertawa. Kerana dia menyangka Hakimi tidak layak untuk berada dalam dunianya yang bahaya dan sentiasa terancam itu.

“Kau tak tahu apa yang telah terjadi. Lupakan sahaja. Jalanilah hidup seperti biasa. Itu adalah pilihan yang lebih tepat. Jangan meminta untuk hidup menderita.”

“Kalau begitu beritahu saya. Apa yang saya tak tahu, supaya saya faham dan tahu apa yang sedang saya hadapi sekarang ni.” Kata Hakimi, berkeras untuk tahu.

“Apa yang awak lihat depan mata awal pagi tadi sudah cukup menggambarkan betapa bahayanya nyawa bila awak berdegil untuk tahu. Itulah apa yang sedang saya lalui sekarang ni.” Seboleh-bolehnya Doktor Danial tidak mahu Hakimi terlibat langsung dengan peperangan ini.

“Saya sanggup!” Kata Hakimi yakin.

“Mahukah kau rasa seseorang yang engkau sayang tak akan bersama engkau lagi? Pergi tinggalkan engkau tanpa kau rela? Dan kau tak ada pilihan lain melainkan redha dan akur dengan takdir?” Kata Dr. Danial kesal.

“Saya tahu apa yang bakal berlaku. Nyawa saya akan terancam dan hidup saya akan sentiasa dalam bahaya. Bagi saya tiada beza semua tu. Saya hanya nak buat apa yang kawan doktor suruh saya buat!” Entah mengapa Hakimi begitu bersemangat untuk tahu rahsia yang besar dan terkunci rapi. Ia mencipta alasan supaya dapat bekerjasama dengan Dr. Danial. Sekalipun dia tahu betapa bahayanya.

“Baiklah, jumpa saya esok pagi. Di tanah perkuburan berhampiran masjid di pekan. Saya akan berada di sana. Saya akan beritahu apa yang berlaku. Ianya bukanlah seperti apa yang awak fikirkan. Jangan menyesal.” Doktor Danial menutup bicara dengan memberikan peringatan. Tak mahu lagi dia menolak kehendak Hakimi.

***

Masa berlalu dengan penuh tanda tanya dan perasaan ingin tahu yang membuak-buak. Hakimi tidak sabar untuk tahu apa sebenarnya terjadi. Dia sentiasa teringatkan lembaga hitam yang menakutkan. Mendengar suara yang menggerunkan. Pasti ada sesuatu yang berlaku, yang akan memberinya gambaran dan dunia yang baru. Sekalipun memang dia kecut perut melihat Raphael. Namun dia tetap berdegil untuk memilih hidup yang berisiko dan nyawa yang sangat terancam.

Jam telah menunjukkan hampir pukul tiga petang. Hakimi sudah siap-siap untuk keluar dari wad setelah semua urusan pada pagi itu selesai. Dia menunggu ibu bapanya datang menjenguk dan membawanya pulang. Dia terdiam dan termenung melihat luar jendela. Seakan-akan sedang memikirkan sesuatu dengan panjang. Matanya terkebil-kebil sambil duduk bersandar di atas katil pesakit.

Kedengaran bunyi tapak kaki yang datang ke arah wadnya. Pintu bilik dibuka dan Hakimi menyedarinya. Ibu dan ayah Hakimi telah datang melawatnya. Hakimi mengalihkan pandangan melihat dua wajah yang sangat tidak ternilai harganya dalam hidup. Kemudian tersenyum. Ibu Hakimi terus menuju anak bongsu yang dikasihi.

“Apa khabar Akim? Sihat?” Tanya ibu dengan perasaan hiba yang cuba ditahan.

“Baik alhamdulillah mak. Akim sihat. Mak tak perlu risau.” Balas Hakimi. Menenangkan perasaan hati ibunya. Si Ayah hanya melihat dari pintu masuk, kemudian menghampiri mereka berdua.

“Apa yang terjadi semalam?” Tanya Si Ayah.

“Tak ada apalah yah, Akim tolong selamatkan orang. Cedera sikit sampai Akim pengsan.” Jelas Hakimi.

“Sampai pengsan?” Tanya Othman curiga. Sekalipun risau melihat anaknya terlantar, namun cuba disembunyikan. Kerana dia tahu, menjadi lelaki harus kental dan gagah semangat dalam menempuh hidup.

“Ya.” Jawab Hakimi ringkas.

Rahimah memandang wajah suaminya. Berharap tidak membebankan Hakimi dengan pertanyaan lagi.

“Baiklah. Jom balik rumah. Akim rehat-rehat dekat rumah dulu.” Kata Ayah Hakimi, mengalah tidak mahu bertanya lanjut kerana ingin anaknya berehat dan sembuh sepenuhnya. Supaya pemikiran anaknya itu tidak terbeban dengan kejadian yang baru berlaku. Apabila Hakimi sudah sembuh sepenuhnya, barulah dia akan bertanya semula dengan lebih mendalam. Dia risau, mimpi ngeri masa silam bakal menghantuinya lagi melalui Hakimi.


Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku