RAPHAEL
Bab V
Genre: Thriller/Aksi
Kategori: Novel
Paparan sejak 31 Mac 2017
Jeneral Karim telah menyalahgunakan sumber bahan mentah dari planet asing dalam pembangunan teknologi ketenteraannya. Dengan kesedaran ini, sekumpulan saintis dan mereka yang terlibat dalam menentang projek yang berisiko tinggi ini, mencipta sut khas yang dapat menghapuskan bahan mentah itu, sekaligus menggagalkan rancangan Jeneral Karim.
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
140

Bacaan






Siang yang cerah sekalipun nampak tenang dan ceria, namun kelihatan suram. Pucat dan tidak berperasaan. Tenang tetapi hilang tujuan, tergantung di antara cita-cita dan kesugulan rasa. Tanah perkuburan di situ sedikit semak samun. Namun nampak tersusun batu nesan yang padat antara satu sama lain. Hanya Dr. Danial yang berdiri tegak disebelah liang lahad Dr. Danial, pengkebumiannya baru sahaja selesai. Kelihatan yang lain sedang beransur pulang. Arwah Zahran adalah sahabatnya yang paling akrab dan dipercayai. Mereka telah bekerja dan bersahabat lama. Banyak keserasian dan mereka saling selesa bersahabat antara satu sama lain. Apabila salah seorang teman telah pergi meninggal dunia. Pasti terasa jua kekosongan dalam hati. Perasaan kehilangan yang menyedihkan. Kubur Dr. Zahran terletak jauh dibelakang tanah perkuburan itu. Di sudut yang hampir hujung, jauh dari pintu pagar masuk.

Dari kejauhan Hakimi memandang Dr. Danial yang keseorangan. Dihampiri saintis yang dikenalnya semalam perlahan-lahan. Masuk ke dalam pagar perkuburan dengan santun. Dia sentiasa mendoakan agar kesejahteraan, rahmat dari Tuhan sentiasa melimpah ruah untuk muslimin dan muslimat yang telah menghadap Ilahi. Mereka tidak bersedih dan menderita lagi dengan dunia. Kini mereka bebas dan menikmati rindu untuk pulang bertemu Tuhan. Dengan bahagia dan gembira yang tidak pernah mereka rasai sebelum ini.

“Assalamu’alaikum.” Sapa Hakimi dari belakang.

“Wa’alaikumsalam.” Jawab Dr. Danial, sudah dia tahu Hakimi datang menghampiri.

Hakimi memandang kubur Dr. Zahran. Nama saintis yang telah berjasa dan terkorban itu terpahat pada batu tanda. Namun dalam kepalanya masih penuh dengan tanda tanya.

‘Muhammad Zahran Bin Muhd Amsyar

1981 - 2016

Semoga rohnya dicucuri rahmat’

“Takziah.” Kata Hakimi.

“Dia seorang saintis yang hebat. Selalu ada idea baru yang inovatif. Selalu menghabiskan masa dan perhatian pada kajian-kajian dan pembacaan. Dia tidak pernah berhenti tambah ilmu. Bagi dia ilmu adalah segala-galanya. Harta yang paling tak ternilai.” Jelas Dr. Danial mengenai sikap Sahabat baiknya itu.

Danial meninggalkan Hakimi keseorangan menghadap kubur Dr. Zahran yang sedang mendoakan kesejahteraan saintis itu semoga sentiasa dalam Rahmat, Keredaan dan Kasih SayangNya. Dia keluar dari pintu pagar depan menuju ke arah kenderaannya.

Setelah selesai, Hakimi datang menghampiri kereta Dr. Danial yang penuh dengan tanda tanya tentang diri Hakimi. Mereka langsung tidak mengenali antara satu sama lain. Dilihat wajah Hakimi seperti seorang yang lemah dan rapuh peribadi. Manakala dilihat wajah Dr. Danial pula seperti seorang yang banyak fikir namun sukar menguruskan perasaannya sendiri.

“Apa yang membuatkan engkau begitu teruja?” Tanya Dr. Danial.

Hakimi memandang kedua-dua biji mata Danial, seperti mencari-cari jawapan di dalamnya. Dia sedikit mengeluh. Seperti menyimpan sesuatu.

“Sekalipun aku langsung tak kenal kawan rapat kau, tapi aku percaya apa yang dia katakan kepada aku. Dia mengharapkan aku.” Balas Hakimi.

Mendengar jawapan itu Dr. Danial sedikit mengeluh. Dia sendiri faham bahawa Hakimi tidak langsung ada idea apa yang sedang terjadi saat ini. Ke kiri dan ke kanan wajahnya berpaling. Matanya liar mencari kalau-kalau ada seseorang yang mencurigakan cuba menghampiri.

“Masuk kereta cepat.” Kata Dr. Danial.

Enjin kereta dihidupkan dan dengan perlahan meninggalkan kawasan perkuburan. Tempat Dr. Zahran disemadikan. Sepanjang perjalanan Dr. Danial berwaspada. Cermin sisi dan pandang belakang kereta sentiasa tidak lekang dia lihat. Hakimi memandang kelakuan itu dengan hairan namun cuba untuk tidak mengendahkannya. Terpacul juga pertanyaan dalam fikirannya dan cuba beranikan diri untuk bertanya.

“Apa yang sebenarnya dah berlaku?”

Dr. Danial memandang wajah Hakimi dengan sedikit cemas. Soalan penuh dengan perasaan ingin tahu itu tidak dijawab.

“Kau nak bawa aku ke mana?” Tanya Hakimi lagi.

“Ke tempat yang lebih selamat.” Jawab Danial ringkas. Dia mengesyaki kenderaan dengan pemanduan yang merbahaya menghampirinya.

“Jaga-jaga. Bersandar.” Kata Dr. Danial

Dari belakang kelihatan sebuah kereta hitam laju menuju ke arah kenderaannya. Jalan pekan yang sedikit lengang memudahkan kereta itu mengentam bahagian belakang kenderaan Dr. Danial. Dengan penuh rasa terkejut dan ketakutan, dia melajukan kenderaannya. Mereka berdua hampir terhantuk pada dashboard dan cermin depan kereta. Dengan pantas Danial memotong kenderaan di hadapan sekalipun lori kecil di lorong bertentangan sangat dekat. Dia cuba untuk meloloskan diri. Ternyata bukan semudah itu. Semakin laju Danial memandu kereta, semakin mengganas pula kenderaan hitam yang mengekori belakangnya.

Jantung Hakimi berdegup kencang. Nafasnya turun naik laju. Tidak tentu arah dibuatnya. Dia hanya mengharapkan dirinya selamat dari sebarang kemalangan. Gaya pemanduan Danial saat ini sangat merbahaya.

“Lori dekat depan!” pekik Hakimi. Danial terus juga melalui lorong bertentangan. Memang sengaja dia menggunakan jalan itu untuk mengumpan orang upahan Jeneral Karim supaya kemalangan. Dia tiada pilihan lain. Apa yang ada di depan mata dijadikan alat untuk melepaskan diri. Setelah kenderaan Dr. Danial semakin hampir dengan lori, dengan pantas dia mengubah haluan ke lorong jalanraya miliknya. Kereta yang mengikuti di belakang turut berjaya mengelak. Kenderaan terus saja di pandu laju.

“Aarghh!” jerit Hakimi ketakutan. Menoleh ke belakang melihat kenderaan serba hitam sehingga pemandu juga sukar dilihat. Cermin kenderaan itu tersangat gelap.

“Siapa mereka?” tanya Hakimi.

“Ejen-ejen Jeneral Karim. Bagi mereka aku akan bawa bahaya kalau biarkan aku terus hidup. Duduk elok-elok.”

“Mana mungkin, kalau engkau memandu dengan bahaya macam ni!” Hakimi teramat takut. Nyawa mereka sangat dalam bahaya. Tak henti-henti Danial memotong kenderaan dihadapan dengan gaya yang bahaya. Seperti sedang berlumba pula.

Kini kenderaan yang dipandu sudah memasuki kawasan bandar. Sedikit sesak dan pelbagai halangan ada dihadapan mereka. Bibir Hakimi tak habis-habis kumat kamit, mengucap. Matanya terpejam. Tidak sanggup melihat apa yang berada di hadapan mata. Sudah banyak kali kenderaan yang disayangi disondol dari belakang. Apabila ada peluang terus sahaja kereta Danial ingin dimusnahkannya.

Dr. Danial memandang cermin tengah pandang belakang. Kelihatan kenderaan itu membuka tingkap penumpang di hadapan. Danial mengesyaki sesuatu yang lebih buruk bakal berlaku.

“Tak guna!”

“Kenapa?” tanya Hakimi dalam ketakutan, menggigil.

“Jaga kepala.. tunduk!!” Kata Dr. Danial.

Shotgun Wolf Arms’s RM-870c tersembul keluar dari tingkap kenderaan hitam itu. Begitu juga dengan ejen. Membelek dan dengan pantas satu das tembakan dilepaskan.

‘Bamm!!’

Tingkap belakang kereta Dr. Danial pecah. Tembus hingga cermin hadapan, tetapi hanya retak yang banyak. Masing-masing tertunduk kepala sebagai tindakan refleks. Hakimi menjerit lagi. Ini adalah pengalaman kali pertamanya. Terus saja Danial memandu keluar dari lebuh raya kecil dan sesak. Masuk ke kawasan perindustrian yang sedikit lengang tetapi bahaya. Dia tiada pilihan. Seboleh-bolehnya menggunakan apa yang ada depan mata untuk menghentikan trauma ini. Kenderaan hitam terus saja mengekori dengan buas. Semakin laju dan terus menghimpit bonet belakang sebelah kiri kereta Danial. Lalu terpusing dan terhumban ke bahu jalan. Dengan keadaan cemas, kenderaan itu terus dipacu selaju yang mungkin. Kali ini berlainan arah. Memecut laju memasuki lorong yang sukar diikuti. Ternyata kenderaan ejen itu lebih laju kerana mempunyai enjin yang berkuasa tinggi.

‘Bamm!!’ tembakan shotgun kedengaran lagi. Kali ini tidak tepat pada sasaran.

Hakimi tidak henti-henti berdoa supaya diselamatkan dari malapetaka ini. Segala tong-tong dan meja kayu dilanggar hingga jatuh bersepah di tengah jalan. Bertujuan melengahkan kereta hitam itu mengejarnya. Ke kiri ke kanan kenderaan ejen mengelak. Namun langsung tidak berputus asa mengejar, malah lebih mengganas lagi.

Tiba-tiba telefon pintar Dr. Danial bergetar. Ada seseorang yang menghubunginya. Dilihat skrin dan terus saja di jawab.

“Hello.”

“Hello Tuan Komander, saya tak ada banyak masa. Saya dalam kereta dan sedang dikejar ejen.” Jelas Dr. Danial.

“Kau kat mana sekarang?”

“Saya di kawasan industri Bandar Utama.”

“Okey, dalam lima belas minit aku sampai di kawasan bukit tinggi. Aku berada disana dalam 15 minit. Cari aku di sana.” Kata komander itu memahami situasi tegang yang sedang dihadapi oleh Danial.

“Baik Tuan.” Pangilan telefon ditamatkan dan terus dicampak ke arah Hakimi. “Tolong pegangkan.” Kata Dr. Danial terdesak.

Kenderaan mereka kini dengan laju memecut ke arah bukit tinggi tidak jauh dari tempat itu. Mereka menunggu bantuan dengan penuh harapan supaya segera insiden kejar-mengejar ini ditamatkan. Kenderaannya sedikit lunyai dan hancur di bahagian belakang. Pecah sana sini. Di hadapan mata Danial sudah kelihatan bangunan tinggal yang berada tinggi di puncak. Di situlah tempat yang perlu di tuju. Ternyata bukan mudah. Kenderaan buas di belakang terus memecut dan bergerak di sebelah kanan kenderaannya. Dr. Danial semakin cemas. Tidak dia nampak bagaimana rupa ejen di dalam kenderaan itu sehinggalah cermin yang gelap itu terbuka. Kenderaan mereka berdua berjalan seiring. Belum sempat cermin gelap itu habis terbuka sepenuhnya, Dr. Danial melihat shotgun telahpun tersedia dihalakan ke arah kepala. Dengan pantas brek ditekan dan melanggar belakang kenderaan ejen. Hampir terpusing. Dr. Danial terlepas dari ditembak. Tiada apa yang dapat Danial buat lagi melainkan terus memecut laju ke arah bukit tinggi. Kenderaan itu tertinggal agak jauh dibelakang. Dilihat sisi cermin tepi, mereka sedang mengundur memusingkan kenderaan ke arah mereka. Sekalipun kenderaan Danial hanyalah kereta biasa. Tetapi bagi Hakimi, bagaikan kereta lumba yang telah di tune untuk memecut dan pada masa sama drift.Itu tidak penting, kerana sejak dari tadi di dalam kereta, tak habis-habis mulutnya berdoa dan mengucap, berpeluh-peluh dan cemas. Dia menggigil ketakutan dan trauma. Hampir-hampir saja dia menangis. Apa tidaknya sepanjang dalam kenderaan Dr. Danial, asyik duduk ‘terpontang-panting’. Tambahan pula tidak henti-henti ngauman enjin meraung dengan kuatnya.

Belum pun sempat Hakimi menenangkan diri, sekali lagi berderau jantungya. Macam nak luluh. Sebuah helikopter tentera betul-betul terbang rendah di atas mereka. Sambil tergantung kereta perisai tentera model Deftech AV4 4x4. Ibarat sedang dalam situasi darurat peperangan. Apa yang sedang terjadi dia sendiri tidak tahu. Dalam keadaan yang tertekan begini, jarang sekali otak mampu untuk berfikir dan bertindak waras. Hakimi hanya berserah. Tetapi tidak Dr. Danial, kelibat helikopter itu memberikan rahmat harapan untuknya. Sebagai tanda bantuan telah tiba.

“Bertahan!” Dr. Danial memberikan keyakinan kepada Hakimi bahawa kekecohan ini bakal berakhir.

Dilihatnya cermin pandang belakang, kenderaan hitam legam semakin hampir mengikut rapat. Cermin depan yang retak menyukarkan pandangannya. Namun masih lagi terkawal.

“Hampir sampai, Komander, kau kat mana?” bisik Dr. Danial sendiri dengan nada perlahan. Tercari-cari kenderaan perisai tentera yang dilepaskan oleh helikopter yang telah pun terbang jauh. Jiwanya penuh berharap.

Jalan yang ditempuhi semakin meruncing dan tinggi. Bertukar menjadi sehala. Ditepi kanan hanya gaung yang dipagar oleh penghadang jalan. Selekoh di atas bukit itu sedikit tajam. Namun tidak mematahkan semangat ejen itu untuk terus memburu mereka. Seboleh-boleh kenderaan Dr. Danial dihimpit ke bahu jalan supaya kenderaan terus jatuh gaung. Semakin keras hentaman kenderaan ejen di sisi kiri kereta, semakin bersungguh Dr. Danial memandu kenderaannya masuk semula ke atas jalan yang sepatutnya. Kereta yang dinaiki Danial dan Hakimi terus dihentam dan dihimpit di sisi kiri tanpa henti. Jalan yang mendaki dan meruncing memaksa kereta ejen mundur ke belakang. Dengan lajunya kenderaan Danial memecut mengambil selekoh di hadapan.

Alangkah terkejutnya dia tatkala tiba-tiba terlihat susuk tubuh sasa sedang separuh berdiri di atas lutut kanan dan kaki kiri siap bersenjata Rifle M16 disertakan grenade load M203 menilik tepat ke arah enjin kenderaannya. Perasaan yang penuh dengan terkejut itu reda sebaik mengenalpasti itu adalah Komander Mustaffa, rakan kumpulan projeknya yang cuba untuk memberikan bantuan keselamatan. Kenderaan yang bergerak laju hilang arah dan sukar untuk dihentikan, hampir-hampir saja melanggar Komander Mustaffa.

Komander Mustaffa memberikan arahan dengan tangan kanan. Mendepa dan menunjukkan arah kiri Danial dengan jari telunjuk, diangkat dan diluruskan tangannya berulang kali, sebagai tanda menyuruh Dr. Danial meletakkan kenderaannya di bahu kiri jalan. Tubuh yang sasa dan bersenjata, memakai uniform seperti askar tanpa sebarang celoreng, hanya hitam kebiru-biruan. Dengan yakin sedikit pun tidak berganjak walaupun hampir dilanggar Dr. Danial. Komander Mustaffa terus sahaja menilik dengan senjata Rifle M16 miliknya, bersiap sedia melepaskan tembakan peluru grenade tepat ke arah enjin kereta ejen rahsia.

Dengan segala kekuatan yang ada, Dr. Danial memaut stereng mengubah haluan drastik ke arah kiri. Kenderaannya hilang kawalan. Akhirnya terhumban ke parit kecil berhampiran padang yang luas, berhampiran rumah besar di atas bukit. Namun di sisi kanan jalan adalah gaung yang amat curam.

Mangsa Komander Mustaffa telah tiba depan mata. Mereka juga terkejut dengan kehadiran susuk yang sasa yang sedang mengarahkan senjata Rifle M16 ke arah enjin kenderaan. Tanpa bertangguh, terus sahaja peluru grenade dilepaskan dengan yakin dan bengis. Meluncur laju dan tepat mengenai sasaran. Enjin kenderaan ejen meletup dan hilang kawalan. Dengan pantas juga Komander Mustaffa melompat setinggi yang mungkin ke arah kirinya tatkala kenderaan serba hitam itu hampir saja merempuhnya. Komander Mustaffa berguling ke bahu jalan yang hampir dengan gaung. Setelah itu dia menunduk kembali, menghalakan senjata ke arah pintu hadapan. kali ini peluru biasa dilepaskan. Bertubi-tubi tanpa belas kasihan. Lagaknya sebagai tentera yang bengis dan tanpa mengenal erti kasihan pada musuh. Berlubang-lubang pintu pemandu ejen itu.

Dr. Danial dan Hakimi keluar dari kenderaannya yang telah rosak teruk. Berjalan terencut-encut. Tubuh mereka penuh dengan kesakitan. Komander Mustaffa datang menghampiri kenderaan ejen dengan gagah. Sempat juga beliau memberikan arahan kepada Dr. Danial dan Hakimi.

“Cepat, masuk ke dalam kereta perisai tu!!” Pekik Komander Mustaffa sambil tangannya menunjukkan arah kenderaan perisai tentera yang tidak jauh diletakkan dihadapan. Lebih kurang lima puluh meter.

Tanpa berlengah mereka terus menghampiri pintu masuk belakang kereta perisai tentera AV4 4x4. Hakimi masuk dahulu, kemudian Dr. Danial.

Melalui cermin pintu pemandu yang telah pecah, Komander Mustaffa dapat melihat salah seorang ejen telah pun mati. Terlentuk dengan airbag yang telah kempis. Dia perlu berjaga-jaga dengan ejen ditempat duduk penumpang. Dia turut bersenjata dan tidak kelihatan dari jauh.

Dihampiri rapat ke bahagian belakang kanan kenderaan dan menunduk sembunyikan diri. Mengelak dari tembakan rambang ejen. Enjin kereta mereka terbakar. Cermin yang begitu gelap menyukarkan Komander Mustaffa mencari mangsanya di dalam kereta. Dengan berhati-hati mendekati pintu penumpang depan. Cermin tingkap pintu terbuka separuh. Komander Mustaffa mengintai ke dalam kenderaan hitam melalui cermin pandang sisi. Kelihatan ejen sedang duduk terdiam. Bersiap sedia untuk menyerang.

“Campak senjata keluar!!” pekik Mustaffa.

“Tunjukkan saya tangan anda!!” sambungnya lagi. Shotgun dikeluarkan melalui tingkap pintu kereta, kemudian jatuh ke rumput yang luas. Tangan kiri ejen itu dikeluarkan sebagai tanda menyerah. Patuh dengan arahan. “Keluar dari kenderaan, menghadap ke hadapan. angkat kedua-dua tangan. Jauhi kenderaan dan senjata anda. Sekarang!!”

Dengan perlahan ejen yang bertubuh tinggi mengikut arahan. Keluar dari kenderaannya yang terbakar. Berdiri menjauhi kenderaan itu ke arah kiri sambil mengangkat tangannya.

Komander mustaffa bergerak menghampiri ejen dari belakang. Sempat juga dia mengambil Wolf Arms’s RM-870c dan dicampak jauh ke belakang. Senjata di tangan terus diacu dengan penuh hati-hati. Ejen itu dapat merasakan Mustaffa sudah betul-betul berada dibelakangnya. Dengan pantas memusingkan tubuhnya dan merampas senjata Rifle M16 ditangan Mustaffa, namun tetap juga melekat ditangan. Dipukul wajah Komander Mustaffa dengan senjata miliknya beberapa kali sehingga jatuh ke rumput. Senjata itu sudah bertukar milik. Terus saja ejen mengacukan ke arahnya, dan dengan kesedaran yang pantas juga terus melepaskan sepakan tepat ke arah ejen bertubi-tubi sehingga senjata yang dipegang tercampak ke tepi. Dengan kemahiran bertempur Close Quarters Combat, tangan kanan ejen direnggut dan menyiku ejen itu dibahagian bawah pipi kanan, berhampiran leher. Kemudian Komander Mustaffa menumbuk perut ejen itu dengan sekuat hati berkali-kali sehingga terlompat-lompat. Sepakan amat kuat dilepaskan pada belakang lutut kiri ejen yang membuatkan ejen itu hampir jatuh. Belum sempat jatuh, dengan pantas dia memaut leher ejen dari belakang. Mengeluarkan pisau ala-ala Rambo yang tersisip di bahagian tepi betis kanan dan ditekankan ke leher ejen.

“Siapa hantar kau ke sini? Kau bekerja untuk siapa?” Tengking Komander Mustaffa yang bertubuh sasa. Mengunci lengan kiri ejen sambil mengugut untuk mengkelar leher.

Ejen tersebut hanya diam membisu. Bagaikan sudah berjanji untuk tidak memberitahu ataupun membocorkan maklumat, walauapapun yang terjadi. Rahsia tetap rahsia, biar pecah diperut, jangan pecah di mulut. Mereka menjalankan tugas dengan sifat profesional yang tinggi.


Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku