RAPHAEL
Bab X
Genre: Thriller/Aksi
Kategori: Novel
Paparan sejak 31 Mac 2017
Jeneral Karim telah menyalahgunakan sumber bahan mentah dari planet asing dalam pembangunan teknologi ketenteraannya. Dengan kesedaran ini, sekumpulan saintis dan mereka yang terlibat dalam menentang projek yang berisiko tinggi ini, mencipta sut khas yang dapat menghapuskan bahan mentah itu, sekaligus menggagalkan rancangan Jeneral Karim.
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
310

Bacaan






Encik Othman memandu kenderaannya menuju ke sebuah bangunan pejabat pengurusan bandar di kawasan berhampiran kampung. Bangunan setinggi tiga puluh tingkat gah berdiri sebagai tanda kuasa yang menguruskan seluruh negeri itu.

Dia menuju ke tingkat dua puluh tiga. Di mana akan berjumpa dengan kawan lamanya semasa dia menjalankan tugas sebagai pegawai diplomat. Bukan calang-calang orang yang Encik Othman ingin jumpa. Beliau adalah pengasas organisasi transportasi dan transaksi komoditi planet asing dan syarikat itu diberi nama Nadi Bima Berhad. Setakat ini projek berahsia tinggi ini selamat di simpan dan di uruskan dengan jayanya tanpa pengetahuan umum. Ini kerana belum masanya lagi untuk projek dan teknologi ini di dedahkan kepada rakyat, atau mungkin tidak perlu sama sekali.

Setelah sampai, Encik Othman lantas menuju bilik mesyuarat. Dia berpakaian sederhana dan kurang kemas, berseluar Dockers Khakis hitam dan jaket yang tidak dizip dan memakai t-shirt kosong berwarna putih. Berkasut Hammer warna coklat gelap. Setingkat demi setingkat lif naik menuju nombor yang ditekan.

Setelah sampai, Encik Othman berjalan dengan yakin menuju ke bilik mesyuarat di tingkat dua puluh tiga. Langkahnya terhenti apabila terlihat sosok tubuh yang dia kenal. Orang itu memakai vast berkilat tanpa lengan menutupi baju kemeja yang dipakai. Berseluar slackhitam slim fitdengan kasut kulit hitam berkilat. Bertubuh tegap namun sudah agak berusia, umur lingkungan pertengahan lima puluh tahun. Kelihatan rambut hitam kilat itu sedikit beruban. Sedang berdiri betul-betul di hadapan pintu bilik mesyuarat.

“Aaa, Tuan Othman.” Kata Tuan Nasaruddin. “Kami menanti kedatangan Tuan.” Sambungnya lagi. “Silakan...” Tuan Nasaruddin menjemput Othman masuk ke dalam bilik mesyuarat.

Lama juga Encik Othman berdiri di situ. Memandang wajah Tuan Nasaruddin tak berkelip mata. Berdendam mungkin, kerana terkenangkan apa yang telah mereka lakukan suatu ketika dulu. Tuan Nasaruddinlah yang memilih Encik Othman dan beberapa wakil diplomat untuk menjalankan urusan perbincangan dan perpindahan teknologi antara planet bumi dengan planet-planet lain. Termasuklah planet berkod YR17ZZ, yang tidak disangka sama sekali teknologi dan komoditi planet itu membawa bencana kepada hidupnya dan saintis-saintis yang terlibat akibat salahguna oleh Jeneral Karim. Bagi Encik Othman, urusan perniagaan seperti itu tidak perlu diwujudkan sama sekali, kerana lebih mendatangkan bahaya dari kesejahteraan hidup masyarakat keseluruhannya. Othman juga rasa sedikit bersalah kerana pada masa itu, dia juga bersemangat membantu misi urusan yang di pimpin oleh Dato` Ir. Dr. Rahman, pengasas kepada perniagaan termaju dan berisiko tinggi. Mana tidaknya, apa yang dilihatnya depan mata pada ketika itu sungguh menakjubkan, dan pasti membawa keuntungan dan kemajuan teknologi yang amat memberangsangkan. Teknologi yang amat maju yang mungkin dapat direalitikan mungkin selepas seabad dua.

Encik Othman memandang Tuan Nasaruddin, kemudian terus melangkah menghampiri bilik mesyuarat. Tatkala pintu di buka rupa-rupanya sudah menanti Dr. Hashim dan Datuk Dr. Ismail. Mereka berdua berdiri saling bertentangan dan bersandar pada tingkap besar menikmati pemandangan bandar di tingkat tinggi. Sebelah kiri, Dr. Hashim segak memakai vast cottontanpa lengan menutupi baju kemeja plain biru cerah yang dipakai, manakala Datuk Dr. Ismail pula lengkap bersut blazer, dengan tampan dan layaknya dia memegang jawatan yang tertinggi dalam organisasi rahsia itu. Masing-masing berumur lingkungan hujung 50-an. Encik Othman yang telah bersara berjalan perlahan menghampiri meja. Kehadirannya disedari oleh semua yang ada dalam bilik mesyuarat termasuklah Tuan Nasaruddin yang turut menemani Encik Othman masuk.

Mereka memandang wajah Encik Othman sambil mata terkebil-kebil dan otak yang ligat berfikir dan berbicara namun tidak kedengaran. Raut wajah menceritakan hampir segalanya yang terpendam. Perjumpaan kali ini pasti banyak isu yang ingin diperkatakan. Datuk Dr. Ismail dan Dr. Hashim kembali memalingkan wajahnya kembali ke arah luar jendela yang keseluruhannya kaca tebal tatkala kelihatan dan kedengaran helikopter terbang menuju atas bumbung bangunan. Tuan Nasaruddin melihat jam ditangannya. Kurang lima minit hampir ke pukul sebelas pagi. Waktu bermulanya perbincangan yang luarbiasa. Apa yang pasti mereka semua sedang menantikan ketua mereka, pengasas organisasi rahsia ini, iaitu Dato’ Ir. Dr. Rahman, yang berada dalam helikopter tadi.

Tidak lama selepas itu dari luar kedengaran ketukan kasut yang sedikit pantas. Berjalan menghampiri bilik mesyuarat. Ternyata sangkaan mereka benar, Ir. Dr. Rahman masuk ke bilik mesyuarat dengan sedikit tergesa-gesa sambil memegang beg kerja, bagaikan dia terkejar-kejar masa menguruskan banyak kerja dan perjumpaan. Jam di dinding tepat pukul sebelas pagi. Dr. Rahman terus duduk di kerusi di hujung meja untuk mengetuai perbincangan.

“Silakan duduk.” Kata Ir. Dr. Rahman. Masing-masing bergerak menuju kerusi berhampiran lalu duduk, kecuali Encik Othman. Pelawaan itu tidak di endahkan.

“Apa yang dah jadi pula sekarang?” tanya Encik Othman. Dia tidak menghiraukan lagi protokol mesyuarat. Baginya itu tidak penting lagi. Apa yang menjadi kerisauannya ialah kebenaran yang bakal diperkatakan.

Dr. Rahman yang kelihatan sedikit penat menarik nafas. Cuba menenangkan diri. “Ada cerita pasal anak kau.” Kata Dr. Rahman berterus terang.

Mendengar itu, Encik Othman gegas menghampiri Dr. Rahman dengan wajah geram. Namun dapat ditahan oleh Tuan Nasaruddin yang berdiri dari tempat duduknya di hadapan Othman. Tangan Tuan Nasaruddin di tolak. Menyuruh untuk duduk kembali. Kini dia berdiri dengan lebih dekat.

“Dia ingin jadi seperti kau, dia nak tolong selamatkan organisasi ni. Kau patut bangga, mempunyai anak yang berani menyahut cabaran.” Kata Dr. Rahman.

“Apa yang engkau dah buat dengan anak aku? Organisasi macam kau tak sepatutnya wujud.” Kata Othman bernada keras.

“Aku adakan perjumpaan ini untuk leraikan kekusutan. Tiada apa yang perlu dirisaukan.”

Ir. Dr. Rahman mengambil fail dalam begnya. Kemudian digelongsorkan di atas meja menuju Encik Othman yang sedang berdiri. Fail itu dilihatnya.

“Anak kau yang datang hampir. Dia boleh saja menolak untuk turut serta dalam organisasi ni. Dalam fail tu ada bukti.” Kata Dr. Rahman.

Encik Othman mengambil fail dan membukanya. Terdapat satu salinan akujanji yang telah ditandatangani oleh Hakimi. Satu kontrak persetujuan untuk turut serta dalam ‘Projek Raphael’.

“Tapi kau jangan risau. Kami akan sentiasa melindungi mereka yang terlibat. Kami ada teknologi yang membuatkan mereka selamat.” Sambung Dr. Rahman lagi. Yang lainnya patuh mendengar.

Mendengar jawapan itu, Othman berasa sedikit lega. Dia menyakini akan teknologi yang diperkatakan, kerana dia sendiri telah melihat dan mengalaminya semasa rundingan di planet asing dijalankan. Namun itu bukan suatu jaminan. Dia bertegas dengan falsafahnya, bahawa organisasi ini tidak seharusnya wujud kerana risiko dan bahaya yang sangat tinggi.

“Kau tahu apa yang terhempas dekat belakang rumah kau dalam beberapa minggu lepas?” tanya Dr. Rahman. “Malam tu Dr. Zahran nekad untuk menghapuskan bahan komoditi asing yang telah Jeneral Karim salahgunakan untuk projek ketenteraannya. Tapi dia gagal dan terbunuh. Dia melarikan diri dan mencari kau.” Jelasnya pula.

“Kenapa... tapi kenapa?” Encik Othman tertanya-tanya.

“Dia mengharapkan khidmat kau lagi. Kepakaran kau dalam menguruskan perpindahan komoditi di planet yang berisiko dan merbahaya amat ditagih.” Kata Dr. Rahman.

Mata Othman terkebil-kebil, pandangannya ditundukkan. Pantas mindanya mencari jawapan. Wajahnya berkerut resah. Kemudian dia berkata. “Zahran, anak muda tu sebenarnya nak jumpa aku untuk hentikan sebarang transaksi dan hubungan dengan planet merbahaya tu.”

“Tapi sebaliknya anak kau yang datang hampir dekat Zahran. ada mesej yang anak kau terima. Antaranya adalah seperti yang telah ditandatangani dalam akujanji tu.”

“Macam mana kau tahu semua ni?” Tanya Othman.

“Projek Raphael dibawah naungan kami. Untuk melucutkan Jeneral Karim bukan mudah. Ya, dia memang satu ancaman untuk kita, untuk organisasi besar dan rahsia ini. Segala aktiviti dalam Projek Raphael akan dimaklumkan kepada aku. Aku yang menjaga dan membiayainya. Sekalipun idea datang bukan dari aku sendiri, tapi dari arwah Zahran.” Jelas Dr. Rahman. Othman terdiam agak lama, sambil berdiri.

“Engkau memang tak guna Rahman. Kau buatkan semua nyawa dalam bahaya. Kau perlu hapuskan semua ni. Hentikan organisasi ni!! Atau kau nak diri kau sendiri terbunuh!!” gertak Othman.

“Apa saja Othman. Apa sahaja risikonya. Aku tetap berdiri dengan pendirian aku. Kita perlu berdaya saing dengan dunia sekarang ni. Aku tak sanggup lihat kita hidup merempat dan susah di negara sendiri. Pengorbanan harus dibuat. Dan inilah risikonya yang perlu aku ambil untuk majukan kehidupan masyarakat keseluruhannya. Aku benci dengan polemik politik dan rasuah. Tipu daya dan saling menjatuhkan antara satu sama lain. Yang lemah akan terus di tindas. Yang kuat dan menzalimi yang lemah pula terus bermaharajalela. Aku tak patut biarkan semua ni berterusan.” Kata Dr. Rahman dengan nada tinggi.

“Sekalipun aku terbunuh, terkorban. Aku tetap berbangga, aku dapat berbakti dan memperbaiki kehidupan orang yang jujur dan teraniaya.” Sambung Dr. Rahman lagi.

“Tapi bukan itu yang terjadi sekarang ni. Keburukan lebih banyak dan melarat. Aku tak sanggup keluarga aku di buru dan di bunuh!!” Bentak Othman. “Jangan anggap aku percaya dengan jaminan engkau.”

Semua yang berada dalam bilik mesyuarat itu terdiam. Cuba untuk menenangkan keadaan yang tegang. Dr. Rahman duduk tersandar melepaskan beban dan lelah.

“Setelah bertahun-tahun kita sama-sama menjayakan misi organisasi ni, dan kau dah lihat sendiri pelbagai keagungan dan kehebatan komoditi dan teknologi dari planet lain, yang kau sendiri tak dapat bayangkan. Kau dah jalankan delegasi dari satu planet ke satu planet. Masih lagi kau tak yakin Othman.” Kata Dr. Rahman yang usianya juga hampir 60-an. “Aku akan kembalikan kesejahteraan dalam organisasi ni. Aku akan perbaiki. Dan aku mengharapkan pertolongan kau, sahabat.”

“Kenapa kau begitu susah nak dakwa Jeneral Karim? Bukankah segala teknologi dan kepakaran yang kau ada boleh selesaikan semua ni dengan mudah?” Kata Encik Othman, mempersoalkan kredibiliti organisasi syarikat di bawah naungan Ir. Dr. Rahman.

“Sebab aku memilih untuk tidak mengorbankan mana-mana nyawa.” Kata Dr. Rahman.

Othman tersenyum sinis. Kemudian berkata. “Semua tu akan tercapai kalau kau hentikan terus seluruh operasi ni. Hentikan semuanya. Bubarkan!!”

“Prinsip aku, kita hanya perlu buang satu epal yang busuk dalam satu bakul. Kita tak perlu buang dan lemparkan kesemuanya. Sebab yang lain adalah baik untuk kita.” Kata Dr. Rahman kemudian menyambung lagi, “aku mohon... kami memohon untuk kali ini. Kami perlukan pertolongan kau. Jalankan diplomasi terakhir ke planet kod YR17ZZ untuk hentikan sebarang urusan perpindahan teknologi dan komoditi. Aku juga turut bersama kau.”

Othman terdiam sambil berfikir. Sukar untuk dia berikan keputusan pantas. Selepas bersara, dia tidak mahu terlibat lagi dalam urusan ini.

Dr. Ismail berdehem. Kemudian bersuara, “kami mohon. Supaya kau tak tolak permintaan kami.” Semua wajah memandangnya. Othman masih lagi berdiri membisu.

“Kami tahu situasi sekarang amat mendukacitakan. Namun kami berjanji untuk baikinya. Inilah yang sedang kami usahakan.” Kata Dr. Hashim yang tiba-tiba bersuara.

Tuan Nasaruddin bangun dari duduk, kemudian memegang bahu kanan Othman. “Ayuh Othman, sama-sama kita hentikan mimpi ngeri ni.” Katanya cuba memujuk tanpa sedikit pun mengalihkan pandangannya melihat wajah sahabat yang dia kasihi. Tangan di bahu Othman diturunkan.

Keadaan bilik mesyuarat terdiam lagi. Sunyi seketika. Mereka semua sedang menantikan jawapan dari Othman.

“Apa yang membezakan di antara kau dengan Jeneral Karim?” Tanya Othman kepada Dr. Rahman.

Mendengar soalan itu membuatkan Dr. Rahman sedikit tersentak. Namun dia akan jelaskan perbezaannya.

“Urusan ini ibarat melihat segunung emas depan mata. Mungkin bukan segunung, tapi lebih banyak lagi. Cuma bezanya aku melihat bergunung-gunung emas itu sebagai aset aku untuk dikongsikan bersama masyarakat supaya dapat membina hidup lebih harmoni dan sejahtera. Bukannya melihat sebagai harta peribadi yang boleh digunakan sewenang-wenangnya untuk menindas orang lain demi kepentingan sendiri. Itulah bezanya.” Jelas Ir. Dr. Rahman.

“Aku punyai impian. Bahawa satu hari nanti tiada lagi orang yang menderita kelaparan dan kemiskinan. Masing-masing dapat menikmati hidup dengan sejahtera selayaknya mereka berhak menikmati hidup mereka. Pada masa itu tiada penindasan dan permusuhan. Tiada tangisan yang menyedihkan. Tiada yang menderita mati kelaparan. Kerana sebab yang mulia inilah aku sanggup mencari sesuatu yang luarbiasa. Dari satu planet ke planet yang lain. Ada yang tandus kosong dan ada yang berpenghuni. Semata-mata untuk merealitikan apa yang aku impikan.” Sambung Dr. Rahman lagi.

“Kau gila Rahman. Memang kau dah gila.” Kata Othman.

“Atau engkau ingin melihat keadaan dunia terus musnah dan menderita macam sekarang ni? Kau nak lihat orang ramai terus merempat di tanahair sendiri? Aku tahu apa yang aku lakukan. Aku tak gila, sebab aku yakin. Aku mampu usahakan dan realitikan semua itu.” Balas Dr. Rahman.

Suasana sunyi seketika. Othman masih lagi berfikir panjang.

“Baiklah. Ini yang terakhir. Aku akan terima permohonan kau. Demi keselamatan anak aku dan keluarga aku.” Kata Othman memberi jawapan.

“Terima kasih.” Kata Dr. Rahman ringkas.

Encik Othman mengundurkan diri. Memalingkan tubuhnya dan terus meninggalkan bilik mesyuarat itu sambil dilihat oleh pegawai-pegawai tertinggi yang lain. Mereka semua hanya mampu melihat Othman keluar dan kemudiannya terus hilang dari pandangan.


Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku