RAPHAEL
Bab XI
Genre: Thriller/Aksi
Kategori: Novel
Paparan sejak 31 Mac 2017
Jeneral Karim telah menyalahgunakan sumber bahan mentah dari planet asing dalam pembangunan teknologi ketenteraannya. Dengan kesedaran ini, sekumpulan saintis dan mereka yang terlibat dalam menentang projek yang berisiko tinggi ini, mencipta sut khas yang dapat menghapuskan bahan mentah itu, sekaligus menggagalkan rancangan Jeneral Karim.
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
261

Bacaan






Malam yang agak sibuk telah bermula. Hakimi tidak henti-henti untuk mahir menggunakan sayap Raphael. Gigih dan penuh minat. Sekalipun dia dan yang lain sedar, mereka sedang diburu dan akan dibunuh bila-bila masa sahaja oleh ejen-ejen Jeneral Karim. Mungkin dengan kesedaran inilah Hakimi meningkatkan usahanya untuk tidak memakan masa yang lama menghapuskan komoditi berkod YR17ZZ. Seperti biasa, Dr. Danial setia menemani dan memantau perkembangannya. Sut Raphael berfungsi dengan baik. Ini terbukti dengan agak mudahnya Hakimi cekap mengendalikan segala teknologi yang terdapat pada sut itu tanpa gagal.

“Aku akan cuba aktifkan alat komunikasi pada telinga Raphael, yang berada pada telinga kau sekarang ni. Automatik kau akan dapat berhubung dengan kumpulan kita tanpa putus.” Kata Dr. Danial.

“Okey.” Kata Hakimi ringkas, garau suaranya, sedia maklum yang alat komunikasi telah terpasang ditelinganya walaupun tidak kelihatan secara luaran, kerana telah sebati dengan sut Raphael. Alat komunikasi dan pemantau jarak jauh dihidupkan oleh Hakimi dengan menekan salah satu butang di lengannya. Bertujuan untuk keselamatan. Dengan mengaktifkan mod pantauan jarak jauh ibarat memberikan deria tambahan kepada Hakimi untuk mengenalpasti segala pergerakan dan bunyi dari jarak sejauh beratus-ratus kilometer. Kemudian dikurangkan kepada hanya sepuluh kilometer, dengan memberikan arahan suara kepada sut itu. Deria tambahan itu membuatkan Hakimi mampu mendengar dengan sensitif sebarang pergerakan kecil mahupun yang mencurigakan. Setelah di dapatinya tiada apa yang mengancam diri. Mod pantauan jarak jauh itu dipadamkan.

“Mod deria jauh padam.” Kata Hakimi memberi arahan pada sut Raphael yang telah membaluti segenap tubuhnya.

Dr. Danial memantau lagi pada monitor akan perkembangan fisiologi Hakimi. Hormon endokrin meningkat, perkembangan otak bertambah lima peratus. Apa yang Danial faham perkembangan otak seperti itu adalah luarbiasa. Orang paling genius di dunia hanya mengaktifkan otak beberapa peratus sahaja. Mungkin ini satu perkembangan yang positif. Dr. Danial berpendapat.

“Kau okey?” kata Danial mengemaskini tahap kesihatan tubuh badan Hakimi yang sedang berada dalam bilik ujikaji.

“Ya, aku okey. Luarbiasa.” Balas Hakimi.

Tiba-tiba Hakimi terdiam. Seolah-olah sedang mengamati sesuatu dari kejauhan sepuluh kilometer. Dr. Danial memerhatikannya dengna tanda tanya sejurus sahaja dia tersedar perlakuan pelik yang ditunjukkan oleh Hakimi.

“Kau okey Hakimi?” tanya Danial lagi. Terus memandang monitor pemantau untuk melihat perkembangan dan turun naik aktiviti otak dan bio-fizikal Hakimi. Tidak ada sebarang penurunan dan kecederaan direkodkan, akan tetapi peratus deria pemantau meningkat. Ini mungkin satu petanda yang tidak baik dan merbahaya.

“Doktor. Kita perlu beredar dari sini cepat.” Kata Raphael dengan suara garang dan garau.

Dr. Danial cemas tak tentu arah. Dia memahami akan maksud kata-kata itu. Lantas siaran cctv dipintas dan terpampang pada skrin besar tv led dalam makmal itu. Kelihatan ramai ejen Jeneral Karim sedang menghampiri dan mencari-cari makmal mereka. Untuk siap sedia menyerbu dan membunuh Dr. Danial dan Raphael.

“Mereka datang dari segenap arah. Atas dan bawah bangunan ni!!” kata Dr. Danial.

“Aku tahu! Keluarkan aku dari sini.” balas Raphael. Deria tambahan itu amat cekap mengesan kehadiran ejen-ejen Jeneral Karim. Situasi ini mungkin akan mengancam nyawa mereka.

“Mereka ramai. Terlalu ramai.” Kata Dr. Danial cemas.

“Dua puluh... dua puluh orang.” Raphael memberikan anggaran tepat berdasarkan deria tambahan pada sut Raphael itu.

Pintu bilik ujikaji itu terbuka dan dengan segera Hakimi keluar darinya. Terus menghampiri Dr. Danial. Mereka perlu bersedia menghadapi sebarang kemungkinan ancaman dan serangan dari konco-konco Jeneral Karim.

“Mereka bersenjata.” Kata Raphael lagi.

Keadaan luar sunyi tanpa sebarang bunyi. Ternyata ejen-ejen itu membuat serang hendap dan berjalan dengan senyap.

“Kau dah bersedia?” Kata Raphael kepada saintis muda itu. Kelihatannya Raphael sudah bersedia untuk bertempur dengan dua puluh ejen Jeneral Karim.

“Kita perlu larikan diri.” Kata Dr. Danial memberikan keputusan yang terbaik untuk situasi yang sekarang ini mereka hadapi dengan cemas dan terancam.

“Aku lindungi kau. Kita tak boleh lari selagi mereka masih mampu mengejar.” Kata Raphael pula.

“Aku akan aktifkan mod bantuan.” Kata Dr. Danial.

“Jangan risau. Kau perlu percayakan sut ciptaan kau yang luarbiasa hebat ni. Untuk sementara biar Raphael yang selesaikan mereka semua.” Kata Raphael dengan yakin.

Mereka berdua terkebil-kebil melihat pintu masuk makmal itu. Dr. Danial merasa cemas yang teramat, manakala Hakimi menunjukkan wajah yakin dan bersemangat tinggi. Dia akan gunakan secara maksimum kuasa dan kehebatan sut Raphael yang menyelubungi segenap tubuhnya.

Wajah Dr. Danial bertambah cemas. Pandangannya teralih ke arah batu YR17ZZ. Dengan pantas berlari untuk mendapatkannya. Di buka balang kaca tebal lutsinar dan bahan komoditi itu dimasukkan ke dalam poket seluar. Selepas itu mengambil pistol yang berada dalam beg simpanan khas tidak jauh dari situ. Dengan tiba-tiba juga tubuhnya tersembam ke lantai makmal kerana bunyi dentuman pintu masuk yang pecah dihancurkan oleh ejen-ejen Jeneral Karim.

‘Bammm!!’. Pintu yang mempunyai dua bilah itu pecah kedua-duanya. Dengan berpusu-pusu seorang demi seorang masuk mengepung Raphael yang telah bersedia untuk bertempur. Dr. Danial dengan segera menyorok di bawah meja berhampiran yang tertutup.

Kelihatan ejen-ejen itu berpakaian biru gelap. Kelihatan juga mata mereka hitam keseluruhannya. Kesemua bentuk tubuh dan ketinggian hampir sama. Sasa dan gagah. Ke kiri ke kanan Raphael menoleh, melihat seorang demi seorang yang cuba untuk membunuhnya.

Raphael menarik nafas panjang. Bahunya di rehatkan. Di tutup matanya dan kemudian dibuka perlahan. Matanya yang bersinar merah garang terpancar bersama wajah yang garang dan bengis. Sungguh yakin wajah yang ditunjukkan Raphael. Bersiap sedia untuk bertarung pada malam itu. Sekalipun puluhan ‘manusia’ sedang mengepungnya, langsung tidak menunjukkan yang dia sedang gementar.

Bukan seorang demi seorang menghampiri Raphael. Kelilingnya terus saja gerak menghampiri dan melepaskan tumbukan masing-masing ke arah Raphael. Ada yang memeluknya terus. Ternyata ejen-ejen itu agak kuat. Raphael sedikit terbeban dengan timbunan manusia dalam makmal itu. Dengan hormon adrenalin dan bantuan sut Raphael. Semangat bertempur menewaskan kelemahannya. Raphael yang berlutut mengumpul separuh tenaganya dan kemudian bingkas berdiri sambil sayap yang besar dan gagah itu di depa selebar-lebarnya. Maka terpelantinglah ejen-ejen yang hampir dengannya. habis semua perkakas dan meja makmal yang berhampiran. Berselerakan. Dengan semangat dan sifat agresif yang teraktif. Seorag demi seorang ejen Jeneral Karim Raphael kerjakan. Dihampiri salah seorang, dicengkam lehernya kemudian ditumbuk bertubi-tubi hingga patah. Rebah tanpa nyawa. Sedang yang lain mengerumuninya kembali. Sayap Raphael memainkan peranan. Sayap yang gagah itu dikibas-kibas bagaikan memberikan tamparan kepada ejen tersebut. Ada yang terpelanting. Teruk juga Raphael dibelasah. Mukanya bertubi-tubi menerima tumbukan dan tendangan. Namun bagaikan tiada kesan. Bagaikan tiada hentinya. Tidak habis-habis Raphael memberikan tumbukan dan melepaskan tendangan kepada kesemua dua puluh ejen itu. Setelah agak lama bertarung, dia menyedari bahawa ejen tersebut bukanlah manusia biasa. Seolah-olah memiliki kuasa dan kekuatan yang melebihi normal. Seorang demi seorang tulang ejen itu Raphael patahkan. Namun tanpa berputus asa juga mereka memberikan serangan.

Walaubagaimanapun, seakan-akan mereka bukanlah tandingan. Raphael jauh lagi kuat berbanding mereka. Sedang Raphael memberikan tumbukan bertubi-tubi hingga bersepah dan hancur alat-alat dalam makmal itu, ada antara ejen Jeneral Karim menyedari Dr. Danial yang sedang menyorok ketakutan. Direnggut baju saintis Dr. Danial dan tumbukan bertubi-tubi dilepaskan. Raphael yang perasan dengan keadaan itu dengan sekuat tenaganya mengembangkan sayap hingga tercampak ejen-ejen yang mengerumuninya.

“Hakimi, tolong!!!” pekik Dr. Danial meminta bantuan. Ditangannya sudah mengacukan pistol. Ditembak satu demi satu ejen itu yang cuba untuk menyerang dan membunuhnya. Wajah Raphael bertambah garang dan bengis. Tumbukan dan tendangan yang hinggap ditubuhnya sedikit pun tidak membuatkan dia lemah. Malah semakin bertenaga dan bersemangat untuk menghapuskan kesemua ejen itu.

Kali ini lebih kasar dan kuat Raphael menyerang. Jika tadinya satu-satu tubuh yang dikerjakan patah. Kali ini satu persatu pula tubuh yang diserangnya hampir hancur. Darah membasahi lantai.

‘Bamm bamm bamm!!!’ beberapa das tembakan dilepaskan Dr. Danial. Ejen yang menerima tembakan itu jatuh ke lantai, namun tidak lama kemudian bangun berdiri kembali. Melihat keadaan itu membuatkan wajah Danial hairan. Pelbagai teori bermain difikirannya kini. Suatu yang lebih dahsyat. Banyak hipotesis timbul dalam mindanya mempersoalkan apakah yang telah Jeneral Karim lakukan terhadap ‘manusia-manusia’ ini.

Sedang Danial melepaskan tembakan dihadapannya, tumbukan dari arah belakang hinggap di kepalanya. Dr. Danial jatuh tertiarap dan hampir pengsan. Tidak terdaya dia untuk bangun dengan pantas. Matanya separuh terbuka.

Kelihatan juga Raphael agak sibuk ‘melayan’ ramai musuh yang memukulnya bertubi-tubi. Tidak henti-henti juga ‘layanan’ yang diberikan. Melihat rakannya itu yang sudah rebah tertiarap membuatkan Raphael lantas menghampiri untuk melindungi. Pistol yang terlepas dari tangan Danial cuba di ambil oleh ejen itu dan terus saja menembak Dr. Danial. Namun sempat Raphael melindungi rakannya dengan sayap yang lebar dan kebal. Kalis tembakan. Dengan cepat juga tumbukan dilepaskan. Maka tercampaklah ejen menghentam dinding.

Keadaan seolah-olah sudah tidak dapat dikawal lagi. Sejak dari tadi tidak henti-henti ejen-ejen Jeneral Karim bersemangat membelasah mereka berdua. Raphael berdiri di atas Dr. Danial yang separuh pengsan. Dengan ejen yang ramai yang sedang mengerumuninya membuatkan Raphael tak cukup tangan untuk membalasnya. Geram dan marah memuncak. Dengan lebih agresif sekali lagi sayap itu di depa dengan amat kuat, selebar-lebarnya. Maka terpelanting lagi ejen-ejen itu berserakan menghentam dinding dan bumbung makmal itu.

Raphael tiada pilihan lain. Ditarik nafas dalam-dalam. Jeritan yang kuat dilepaskan dengan panjang.

“Aaarrrghhhhhhhh!!!” wajah Raphael mendongak ke atas dengan matanya yang bulat bersinar merah menyala. Gayanya bagaikan serigala jadian yang sedang berdiri menyalak ditengah-tengah malam hanya bertemankan cahaya bulan. Kedua-dua belah tangannya di genggam. Hampir pecah gegendang telinga mendengarnya. Jantung juga ibarat hampir meletup. Ejen-ejen Jeneral Karim terdiam. Jeritan itu adalah satu ancaman untuk mereka. Dr. Danial yang tertiarap menyumbatkan kedua-dua belah telinganya dengan jari telunjuk. Wajahnya menahan kesakitan.

Kesemua yang berada di dalam makmal itu tercungap-cungap. Pantas bernafas, turun naik dada mengisi oksigen yang kekurangan dalam paru-paru. Benar-benar jeritan itu suatu ancaman untuk mereka. Semua ejen Jeneral Karim berdiri dengan cemas. Serangan yang bertubi-tubi terhenti. Mata yang hitam itu seolah-olah berkomunikasi supaya jeritan itu dihentikan.

Dr. Danial bangun dengan lemah. Bersama dengan Raphael, mereka berdua berjalan perlahan dan berhenti betul-betul ditengah-tengah makmal. Berdiri rapat membelakangkan antara satu sama lain, melihat musuh di hadapan mata sambil tercungap-cungap. Kini bilik itu sudah tidak kelihatan seperti tempat yang mengagumkan. Hancur dan bersepah ibarat kawasan tempat pelupusan sampah. Kelihatan juga separuh ejen ada yang sudah terbaring dilantai, tidak bernyawa lagi, patah-patah sendi mereka. Kini lebih kurang sepuluh orang mengepung Raphael dan Dr. Danial. Kemungkinan mereka akan cuba menyerang lagi.

Apa yang dirasakan oleh mereka semua hampir sama. Diancam dan terancam. Hakimi yang ‘memakai’ sut Raphael hampir dapat mengenalpasti kelemahan musuhnya. Matanya yang merah menyala menatap mata ejen-ejen Karim satu persatu dengan garang. Tiba-tiba dia merasa curiga dan hairan melihat musuh depan mata. Seperti sedang berkomunikasi antara mereka merancang tindakan seterusnya. Dr. Danial yang berdiri dibelakang Raphael juga mengesyaki sesuatu.

“Apa yang mereka sedang lakukan?” tanya Dr. Danial kepada Raphael. Namun hanya terdiam sambil terus memerhatikan.

“Kita kena keluar dari sini. Aku akan bawa kau terbang sekali.” Kata Raphael.

Mendengar jawapan itu Dr. Danial faham dan dia harus bersedia dengan sebarang kemungkinan.

Tiba-tiba ejen-ejen itu berdiri tegak. Tidak lama kemudian seolah-olah raut wajah mereka sedang menahan kesakitan yang teramat sangat. Mata mereka terpejam.

“Mereka cuba untuk letupkan diri!!” kata Raphael. Tanpa berlengah terus memeluk Danial dari belakang dan terbang menghampiri tingkap kaca ke arah luar bangunan dengan laju. Tingkap kaca pecah berderai dirempuh Raphael, manakala Dr. Danial cuba melindungi kepalanya dari terkena serpihan. Terbang tinggi mencari bangunan yang lebih tinggi untuk menyelamatkan diri.

‘Booommmm!!!’ makmal Dr. Danial hancur musnah diletupkan oleh kesemua ejen-ejen itu dengan tubuh badan mereka sendiri. Sempat juga dia menoleh ke belakang. Melihat makmal kesayangan menjadi kenangan.

Terdapat bangunan lebih kurang dua ratus tingkat tidak jauh dari situ. Yang diatas bangunan itu terdapat tempat khas helikoper mendarat. Bulatan besar dengan tanda huruf ‘H’ yang besar juga. Mereka berdua ‘mendarat’ disitu. Tempat itu lebih selamat. Dengan keadaan malam yang gelap, kehadiran mereka di situ pasti tiada siapa akan menyedarinya.

“Tak guna! Apa yang Karim dah buat dengan orang-orang tu semua?!!” tanya Dr. Danial sendiri dengan marah. Hakimi hanya melihat tanpa memberikan sebarang jawapan. Sut Raphael dinyahaktifkan. Hakimi kembali kepada keadaan asalnya.

“Jeneral Karim dah melampau. Dia jadikan orang tu semua ujikaji untuk kepentingannya sendiri!!” sambungnya lagi sambil melihat ke bawah bangunan tinggi. Entah mengapa di ketinggian itu perasaan gayatnya hilang. Terlalu marah barangkali. Setelah itu dia melihat langit malam pula, yang terbentang luas bertemankan cahaya bintang-bintang. Setelah itu mengalihkan pandangannya ke arah Hakimi. Telefon pintar di poket seluarnya di ambil. Dia menghubungi Dr. Sofea Huda.

“Hello?” Sofea mengangkat panggilan Dr. Danial.

“Makmal aku baru saja musnah. Ejen-ejen Jeneral Karim musnahkannya.” Kata Danial terus terang.

“Macam mana keadaan korang?” Tanya Dr. Huda.

“Aku okey, Hakimi pun okey.” Jawab Danial.

“Datang makmal aku malam esok.” Kata Dr. Sofea Huda. Amat dia mengerti keadaan rakan sekumpulannya itu.

“Okey... bye.” Balas Danial ringkas.

bye.”Kata Dr. Sofea Huda pula. Mereka tidak boleh berkomunikasi di atas talian dengan lebih lama. Ini kerana segala panggilan akan mendedahkan keadaan dan lokasi antara mereka.

***

Skrin pemantau penuh dengan notis merah. Memaparkan profil kesemua dua puluh subjek ujikaji. Menandakan kesemua mereka telah mati meletupkan diri mereka sendiri.

“Tuan.” Kata salah seorang pembantu Jeneral Karim.

Jeneral Karim maklum dengan berita itu. Dia sedar kesemua objek ujikajinya telah mati. eksperimannya telah gagal.

“Tak mengapa. Kita teruskan dengan rancangan yang lain.” Kata Jeneral Karim. “Arahkan saintis kumpulan A jalankan pelan seterusnya. Persiapkan objek ujikaji dengan daya tahan dan kekebalan yang tinggi. Jalankan projek super-manusia.” Arahnya dengan yakin. Selepas ini pertarungan bakal menjadi lebih sengit lagi.

Di dalam bilik kawalan khas itu mempunyai sistem keselamatan yang tinggi. Hanya staf-staf tertentu sahaja yang boleh berada di dalamnya. Dari kejauhan Xavier berdiri memandang tindak tanduk bapanya dan staf pembantu penyelia projek. Dia teguh berdiri dibelakang bapanya, juga mempunyai misi dan visi yang dikongsi bersama.

***

Danial hanya menghela nafas yang lelah. Bergerak menuju hujung bulatan besar tempat helikopter mendarat di atas bangunan tinggi. Kemudian dia duduk sambil menaikkan kedua-dua lututnya, memeluknya dengan longgar, melepaskan segala kepenatan, mencari ketenangan. Segala perlakuan itu hanya dipandang oleh Hakimi. Agak lama juga Danial merenung langit malam.

“Aku minta maaf, terhadap semua hal yang terjadi tadi.” Kata Hakimi memohon maaf. Dr. Danial menoleh sedikit.

“Tak ada apa yang perlu kau minta maaf. Sama ada aku berada di situ ataupun tak, sasaran mereka tetap akan mereka musnahkan.” Kata Dr. Danial.

“Aku bukan diri aku, bila aku pakai sut Raphael ni. Bila aku bertukar jadi Raphael, segala ancaman dan bahaya langsung aku tak rasa takut, walaupun aku boleh terbunuh.” Kata Hakimi.

“Itulah tujuan sut Raphael dicipta. Kerana manusia cepat patah semangat bila berhadapan dengan cabaran dan ancaman. Mudah rasa lemah dan mudah juga kecewa. Manusia, ada masanya kuat, ada masanya lemah dan sangat naif. Aku dengan Zahran cipta Raphael dengan tidak mempunyai rasa untuk semua tu. Raphael akan terus berjuang tanpa gentar, tanpa putus asa. Sampailah jasad dah tak bernyawa lagi.” Jelas Dr. Danial. Hakimi melihat alat peranti Raphael yang digenggam di tangan kanannya.

“Inilah apa yang terjadi bila teknologi menguasai hidup manusia, tanpa mengikut panduan wahyu, segalanya pasti akan binasa.” Sambung Danial lagi. Hakimi mendengar dengan penuh hormat. Bukan calang-calang orang mampu menguruskan hal-hal luarbiasa seperti ini.

“Aku takkan berputus asa. Aku akan hapuskan komoditi dari planet asing tu. Sebab aku tahu, kalau aku mati sekalipun, sekurang-kurangnya aku dapat hentikan kekejaman orang seperti Jeneral Karim. Itu lebih memberi makna dan nilai dalam hidup aku.” Tekad Hakimi. Danial memahaminya, namun hairan dengan sikap setia Hakimi terhadap misi dan visi Projek Raphael. Kerana dia ibarat seorang yang secara sukarela menyertai projek, tambahan pula hanya sedikit dia tahu latarbelakang projek itu.

“Kenapa kau sanggup pertaruhkan nyawa untuk projek ni. Padahal kau boleh pilih untuk hidup yang lebih baik di luar sana? Sekurang-kurangnya lebih selamat? Kau boleh tinggalkan semua risiko bahaya ni.” soal Dr. Danial kepada rakan barunya. Hakimi terdiam, agak lama berdiri dari tadi. Seolah-olah kelu lidahnya memberikan jawapan.

Hakimi menjawab dengan memberikan maksud yang mendalam. Digagahkan diri untuk menjawab. “Sebab aku yakin dengan potensi teknologi ni. Sangat besar dan mampu membawa kebaikan kepada kehidupan manusia. Jika berada di tangan orang yang betul, tak mustahil segala penderitaan hidup manusia, kemiskinan, penindasan, penganiayaan dapat dihapuskan.”

“Teknologi masa depan ini memberi harapan yang baik kepada manusia seluruhnya.” Kata Hakimi lagi.

Dr. Danial terdiam mendengar jawapan Hakimi. Memikirkan bait-bait jawapan itu.

Tiba-tiba kedengaran dengungan bilah kipas helikopter yang ligat berputar dari jauh. Mereka berdua mengalihkan pandangan ke arah yang sama, mencari-cari di manakah bunyi itu datang. Di kejauhan langit malam kelihatan cahaya terang lampu helikopter yang sedang menghampiri mereka. Dengan keadaan itu mereka kembali merasa terancam. Mungkinkah itu adalah ejen Jeneral Karim yang sedang memburunya kembali dan mengetahui kedudukan mereka setelah melarikan diri. Makin lama helikopter semakin hampir ke arah mereka. Dengan segera juga Hakimi dan Danial berganjak menuju ke pintu masuk bangunan yang berkunci, tidak berapa jauh dari kawasan mendarat helikopter atas bangunan tinggi setinggi gunung itu. Dia hanya mampu menunggu di situ. Walaupun dia sedar pintu yang terkunci itu mampu saja dipecahkannya. namun, mereka memilih untuk tunggu, lihat dan bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan.

Ternyata helikopter menghampiri mereka, bunyi enjin dan bilah kipas helikopter itu semakin kuat dan bingit. Angin kencang akibat putaran kipas menolak mereka dengan kuat, namun mampu ditahan. Hakimi dengan segera mengaktifkan kembali sut Raphael. Jika keadaan yang bahaya berlaku, sekurang-kurangnya dia telah bersedia menyerang. Merah menyala matanya melihat helikopter yang sedang mendarat.

Malam yang agak kelam dan tiupan angin yang agak kuat menyukarkan Dr. Danial untuk melihat siapakah yang berada dalam perut helikoper itu. Tangannya diletakkan di hadapan muka agar mampu melihat dengan lebih jelas.

Kelihatan seorang lelaki berumur lingkungan lima puluhan turun dari helikopter jenis VIP, The Sirkorsky S-76 berwarna hitam. Memakai sut blazer dan vast cotton tanpa lengan, berkemeja biru cerah tanpa tali leher. Segak penampilannya walaupun agak berusia. Diiringi juga dua orang pengawal peribadi di kiri dan kanan pegawai itu dengan memakai blazer, berbaju kemeja dan bertali leher serba hitam. Dr. Danial mengenalinya, tetapi tidak Hakimi.

Pegawai berusia tetapi segak itu menghampiri mereka berdua. Kemudian berhenti melangkah.

“Saya bersimpati dengan nasib kamu dan makmal kamu. Ayuh saya bawa kamu berdua ke satu tempat. Izinkan saya tunjukkan jalan.” Kata lelaki itu.

“Tuan nak bawa kami ke mana?” tanya Danial.

“Tak perlu bertuan-tuan dengan saya. Panggil saja Dr. Hashim.” Balas Dr. Hashim. Setiausaha tertinggi organisasi projek rahsia yang berprofil tinggi itu. “Masuklah dulu dalam heli, saya akan terangkan selanjutnya.” Kata Dr. Hashim lagi sambil matanya curi-curi pandang ke arah Raphael.

“Okey.” Kata Dr. Danial tanda setuju. Kemudian berkata pula kepada Hakimi, “kita selamat. Nyahaktifkan sut Raphael.”

Dengan serta merta cecair getah merambat masuk ke dalam alat peranti yang telah membaluti tubuh Hakimi. Setelah selesai sepenuhnya, Dr. Hashim meluruskan tangan kirinya ke arah helikopter hitam bersimbol organisasi syarikat. Sebagai tanda hormat menyuruh Hakimi dan Dr. Danial menaiki kenderaan terbangnya. Mereka berpandangan antara satu sama lain. Kemudian berjalan masuk ke dalam perut kenderaan yang akan membawanya terbang ke tempat yang Danial sendiri tidak pasti. Pintu heli ditutup, lantas berangkat terbang menjauhi bangunan tinggi itu.

Helikopter S-76 sudah terbang tinggi di awan gelap. Meninggalkan semua kengerian dan ancaman bahaya. Hakimi dan Danial sedikit lega. Sekurang-kurangnya dapat dia meredakan tekanan mental dan perasaan akibat diburu. Mereka berdua memandang ke langit lepas dicelah-celah jendela pesawat. Mereka berlima duduk berhadapan antara satu sama lain. Dr. Hashim dan dua orang pengiring yang juga pengawal peribadinya duduk sebaris bertiga, menghadap Hakimi dan Danial.

“Saya dapat arahan dari Dr. Rahman untuk bawa kamu berdua ke tempat yang dijamin selamat.” Kata Dr. Hashim.

“Terima kasih. Tapi dalam keadaan macam ni. Saya lebih rela mati.” kata Dr. Danial pula dengan sinis.

“Saya nasihatkan jangan pandang rendah dengan keupayaan teknologi kami. Kau sendiri pun tahu bagaimana bukan?” kata Dr. Hashim pula. “Selagi kamu berdua di bawah naungan kami. Sedaya upaya keselamatan nyawa menjadi perhatian kami yang paling serius.” Sambungnya lagi memberi jaminan.

Danial terdiam sambil matanya memandang Dr. Hashim. Dari sejak tadi Hakimi kebingungan dan tertanya-tanya siapakah yang berada di depan matanya sekarang ini. apakah kaitan mereka dengan ancaman bahaya yang sedang mereka hadapi.

“Kau Hakimi bukan?” tanya Dr. Hashim.

“Ya.” Jawab Hakimi ringkas.

“Saya kenal bapa kamu. Bapa kamu adalah diplomat yang terbaik pernah kami temui.” Kata Dr. Hashim. Hakimi terdiam dan masih bingung.

“Oh ya, saya Dr. Hashim. Setiausaha kanan organisasi Nadi Bima Berhad.”Jelas Dr. Hashim.

“Oh.” Hakimi bersuara tanda faham.

“Apa maksud doktor, doktor kenal bapa saya?” tanya Hakimi.

“Bapa kamulah yang membantu kami menjalankan rundingan pertukaran sumber komoditi di planet YR17ZZ. Kami menghormatinya sebagai rakan yang akrab. Jangan risau, segala-galanya akan terkawal dan untuk kamu faham apa yang sedang berlaku, adalah penting untuk kamu menilainya dengan jiwa yang besar.” Kata Dr. Hashim.

Mendengar penjelasan ringkas itu membuatkan Hakimi terkejut. Rupa-rupanya bapa Hakimi turut terlibat berurusan dengan organisasi yang berisiko namun berjiwa besar ini. lidahnya kelu, namun mindanya ligat berfikir.

“Ke mana doktor nak bawa kami?” tanya Dr. Danial.

“Ke tempat yang lebih selamat, di mana kamu berdua bebas menjalankan Projek Raphael tanpa gangguan mahupun ancaman.” Jelas Dr. Hashim.

“Kalau doktor mempunyai teknologi yang lebih maju, mengapa tidak doktor sendiri yang halang niat dan usaha Jeneral Karim.?” Tanya Hakimi dengan bersungguh-sungguh.

Mendengar pertanyaan itu membuatkan Dr. Hashim terdiam dan mengeluh.

“Kerana kesibukan. Memang tidak dinafikan ancaman dari Karim sangat bahaya. Tapi seperti yang saya katakan tadi. Lihatlah ia dengan jiwa yang besar. Kami beroperasi dan mempunyai jaringan kerjasama hampir diseluruh dunia. Dan kes macam ni hampir setiap kali wujud. Maka, kami harus menanganinya semua. Sebab itulah saya bagi pihak Dr. Rahman memberikan kepercayaan kepada projek kamu dan kami perlu menyokong dan menaunginya.” Jelas Dr. Hashim.

“Dr. Rahman sendiri hampir setiap hari terpaksa memenuhi mesyuarat supaya halatuju syarikat tidak tersasar. Timbalan pengerusi, Dr. Ismail pula sentiasa mengawal setiap aktiviti hampir serata negara supaya tidak ada yang menyalahgunakan bahan komoditi yang telah diperolehi untuk kepentingan sendiri. Seperti kes ini. adalah tugas saya untuk turun padang menjalankan tanggungjawab seperti yang telah di arahkan.” sambung Dr. Hashim lagi. Cuba menjelaskan apa yang perlu mereka tahu. Walaupun banyak lagi rahsia-rahsia sulit yang tersimpan yang tidak seharusnya diperkatakan kepada sesiapa melainkan ahli-ahli tertinggi organisasi Nadi Bima Berhad.

Masing-masing terdiam sambil berfikir. Pesawat Sirkorsky S-76 terus terbang laju menuju destinasi yang telah ditetapkan. Terbang tinggi hampir tidak kelihatan akibat ditelan langit kelam. Hanya lampu pesawat yang menjadi penyuluh disekitarnya.


Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku