RAPHAEL
Bab XIII
Genre: Thriller/Aksi
Kategori: Novel
Paparan sejak 31 Mac 2017
Jeneral Karim telah menyalahgunakan sumber bahan mentah dari planet asing dalam pembangunan teknologi ketenteraannya. Dengan kesedaran ini, sekumpulan saintis dan mereka yang terlibat dalam menentang projek yang berisiko tinggi ini, mencipta sut khas yang dapat menghapuskan bahan mentah itu, sekaligus menggagalkan rancangan Jeneral Karim.
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
260

Bacaan






Jam di dinding pejabat menunjukkan pukul enam petang. Ashikin bercadang untuk pulang awal hari ini memandangkan semua kerja yang wajib disiapkan sudah pun selesai. Tambahan pula esok harinya adalah cuti hujung minggu. Ada perancangan untuk dia lakukan bagi memanfaatkan cuti sabtu ahad. Tanpa berlengah, setelah meja dan fail-fail dikemas juga setelah komputer dipadamkan, bergegas dia keluar pejabat untuk pulang ke rumah. Hal ini disedari dari tadi oleh Norman yang duduk tidak jauh dari ruang kerja Ashikin.

“Ashikin... Ash.” Panggil Norman.

Ashikin sedikit terkejut, kemudian menoleh. “Ya.”

“Balik awal harini?” tanya Norman. “So, ada apa-apa planke esok atau ahad?” sambungnya lagi.

“Erm, ada. Saya ada hal sendiri. Kenapa?” Ashikin memberikan jawapan, kemudian bertanya semula ingin mendapatkan jawapan dari Norman.

“Kalau awak free saya nak ajak awak keluar temankan saya shopping. Tapi tak apalah, mungkin boleh lain kali?” Kata Norman memancing Ashikin.

“Erm, ya. Mungkin, tapi saya tak pasti. Saya tak janji.” Jawab Ashikin.

“Okey, tak mengapa. Have a save journey.Selamat berhujung minggu.” Kata Norman.

Thanks. You too.” Kata Ashikin sambil memberikan senyuman manis, kemudian terus beredar pergi dari pejabat tempat kerjanya.

Ashikin menuju tempat parking kereta di dalam bangunan. Seperti selalu dan tempat yang biasa dia letakkan kereta Honda Jazz miliknya. Setelah masuk ke tempat pemandu, dia mengeluh lalu merebahkan tubuh menyandar pada kusyen kerusi kereta itu. Dia teringatkan sesuatu. Dia menanti dan menunggu sesuatu, iaitu respon dari Hakimi. Sudah hampir dua minggu tidak saling berhubungan. Apa agaknya khabar kekasih hati. Sihatkah atau masih sama seperti dulu.

Telefon pintar di ambil dan dibuka aplikasi teks Whatsapp. Kemudian dia menaip.

‘Assalamualaikum. Akim awak kat mana?’ kemudian teks itu dihantar.

I really miss you.’ Di hantar pula mesej teks itu secara berasingan.

Telefon pintar dicampak ke arah kerusi penumpang di sebelahnya. Terus menghidupkan enjin kenderaan. Sebelum dia beredar, sempat juga telefon pintarnya dipandang sekali lagi. Perasaannya kini terkilan dan kesal, kerana memikirkan keadaan kekasih hatinya itu.

Bagaimanakah ingin digambarkan seorang gadis bersama Ashikin ini. Kemewahan pesona yang sentiasa memikat dan seolah-olah tidak sirna walau apa pun jua tindak perilakunya. Jiwanya tulus, adakalanya tegas. Lembut dan manja layaknya sebagai gadis muda. Hanya adakalanya dia perlu bertegas dan sombong untuk menjaga batas-batas dirinya dari dihampiri mana-mana lelaki yang tidak bertanggungjawab. Cintanya mahal dan setianya tinggi. Dalam hati, hanya Hakimi bersemadi. Wanita pintar dan sangat menghargai dirinya. Murah dengan senyuman yang kadangkala ianya sentiasa memikat hati para lelaki yang melihat antara anugerah terindah. Namun sejak kebelakangan ini, hatinya gusar. Gelisah melihat keadaan Hakimi yang telah berubah. Namun, segala dugaan hidup cuba untuk dilaluinya dengan tabah.

Perjalanan pulang ke rumah memakan masa hampir setengah jam. Jika trafik sesak, maka sejam diperlukan untuknya sampai ke rumah. Kenderaan Ashikin perlahan menghampiri rumah sewanya, yang turut disewa bersama tiga rakannya yang lain. Sebuah rumah teres satu tingkat yang ringkas dan mempunyai kejiranan yang rapat.

Ashikin hanya meletakkan kereta diluar rumah, di bahu jalan kecil. Lantas enjin dimatikan dan bergegas masuk. Jam di tangannya menunjukkan hampir pukul tujuh petang. Dia bersiap-siap untuk membersihkan diri.

Tiba-tiba telefon pintarnya bergetar dengan nada lagu. Dilihat pada skrin tertera nama Hakimi yang sedang membuat panggilan kepadanya. Lantas diangkat panggilan itu di dalam bilik tidurnya.

“Hello. Assalamu’alaikum.” Kata Hakimi memulakan perbualan.

“Wa’alaikumsalam.” Ashikin menjawab salam sambil hatinya penuh dengan kerinduan.

“Awak kat mana?” tanya Hakimi.

“Saya baru balik office. Awak?”

“Oh, saya ada kat rumah.” Jawab Hakimi.

Kedengaran suara Hakimi melepaskan keluhan yang panjang.

“Awak sihat?” tanya Ashikin.

“Alhamdulillah sihat.” jawab Hakimi ringkas.

“Maaf, dah lama tak call and whatsapp awak. Saya sibuk sikit.”

Kali ini Ashikin pula yang sedikit mengeluh. Ditarik nafas panjang dan di hela perlahan.

“Saya dapat whatsappawak. Saya juga, saya pun rindukan awak. Dan awak perlu sentiasa tahu itu.” Kata Hakimi menyatakan hasrat hati.

“Awak dah dapat pangilan mana-mana company?” tanya Ashikin.

“Ya, tapi bukan seperti apa yang awak fikirkan.” Kata Hakimi.

“Apa maksud awak?”

“Saya tak boleh terangkan dekat sini. Boleh kita jumpa esok? Kalau awak tak busy. Saya akan terangkan kepada awak nanti. Sementara saya masih ada masa.”

“Akim, saya tak faham.” Kata Ashikin, kemudian melepaskan sedikit keluhan. “Okey, kita jumpa esok.” Sambung Ashikin lagi.

“Okey, dah nak masuk maghrib. Jom siap-siap untuk solat.” Kata Hakimi.

“Okey.” Jawab Ashikin pendek.

Bye, Assalamu’alaikum.”

“Wa’alaikumsalam.” Ashikin membalas kiriman salam Hakimi. Panggilan telefon ditamatkan.

***

Hari sabtu pagi sungguh ceria dan tenang. Seperti yang dijanjikan, mereka telah sedia untuk berjumpa antara satu sama lain. Kelihatan kawasan tasik yang luas, hampir membentuk sungai yang mengalir. Terdapat sebuah restoran sederhana yang indah dihujung tasik, separuh terapung. Disediakan khas supaya pengunjung dapat menjamu selera sambil menikmati kawasan tasik yang mendamaikan jiwa. Mereka berdua telah berjanji untuk ke situ, sekitar pukul sepuluh pagi. Dari kejauhan terlihat Hakimi yang sedang berdiri di tepi tasik sambil memandang keindahan alam ciptaan Ilahi. Khusyuk menikmati angin yang ringan di pagi hari. Menanti kehadiran Ashikin.

Dalam sendirian itu dia memanggil kembali segala kenangan dalam memori yang terakam dalam ruang masa suatu ketika dulu. Antara kenangan yang terindah yang pernah hadir dalam hidupnya. Kenangannya bersama Ashikin. Satu persatu ia hadir bagaikan sebuah cerita cinta paling indah.

Dia teringat pertama kali dia terpegun melihat wajah dan penampilan bak bidadari tatkala pertama kali menjejakkan kaki di universiti awam tempatan. Kecantikan dan pesonanya tidak pernah sirna, malah sentiasa hangat dan penuh memikat. Pada ketika itu, sesi suai kenal pelajar baru. Ashikin bersama rakan perempuannya yang lain sedang berlatih tarian untuk dipersembahkan pada sambutan malam graduan baru di atas pentas. Dia masih ingat lagi yang matanya tidak berkelip memandang Ashikin yang sedang menari dengan gembira dan tersenyum bersama sekumpulan rakan perempuan yang lain.

Seterusnya kenangan di mana dia cuba mengekori Ashikin di ruang jalan kaki dalam universiti. Setiap kali Ashikin pandang ke belakang, pasti Hakimi akan menyorok disebalik tiang besar. Ashikin menyedarinya pada ketika itu, lalu tersenyum melihat gelagat Hakimi.

Langit tidak selalu cerah. Adakalanya mereka bertengkar dan tidak sependapat. Namun bagaikan jodoh menyebelahi mereka. Sekalipun hampir berpisah tetap jua jodoh menyatukan mereka hingga kini.

Mereka terus berkenalan sehinggalah tamat pengajian. Meraikan majlis konvokesyen bersama sehingga tahap ijazah sarjanamuda. Setelah itu masing-masing direzekikan dengan pekerjaan di syarikat yang berbeza namun jawatan yang hampir sama.

Kecemerlangan demi kecemerlangan mereka cipta di alam kerjaya. Setelah agak stabil dari segi kewangan, mereka bercadang untuk melangsungkan perkahwinan. Di mana akhirnya mereka bersepakat untuk mempunyai lebih masa lagi sebelum benar-benar bersedia.

Sehinggalah sampai pada satu ketika Hakimi dibuang kerja akibat krisis kewangan syarikat yang semakin serius dan fenomena ekonomi yang tidak menentu. Akibatnya banyak kakitangan syarikat terpaksa diberhentikan dan Hakimi adalah salah seorang daripadanya. Bagi Hakimi, ini adalah kenangan yang sangat menyedihkan. Semenjak dari itu dia lebih banyak menghabiskan masa dengan kesedihan dan kemurungan.

Sekalipun begitu, kenangan bersama Ashikin membuatkan dirinya tenang dan gembira, mengatasi rasa sedih dan tekanan akibat tragedi yang telah berlaku dalam hidupnya. Kenangan yang indah itu akan tetap dia simpan. Sebagai sebab untuk dia melangkah menempuh hidup dengan mampu melihat akan warna pelangi yang membahagiakan.

Lamunannya ditamatkan. Dia berpijak semula di bumi nyata. Tempat dimana dia berdiri sekarang ini. dengan tabah hati menerima segala ketetapan dari Ilahi.

Pagi itu sekalipun cerah, Hakimi mengenakan sweater ringkas berlengan panjang tanpa penutup kepala. Berseluar khakis coklat cerah dan berkasut kasual berjenama Nike.Dia memakai baju dua lapis. Keadaannya juga agak kurang terurus. Jambang diwajahnya memanjang hingga bersambung dengan janggutnya yang nipis tapi luas. Bagaikan seseorang yang kusut mindanya kerana mengalami tekanan hidup yang panjang. Keseorangan dan melalui hari-hari tanpa mencipta kecemerlangan hidup.

Dengan perlahan Ashikin menghampiri Hakimi dari belakang. Sudah berminggu juga mereka saling tidak jumpa. Tidak seperti pertama kali mereka berkenalan. Namun batas-batas hubungan tetap jua mereka pelihara.

“Assalamu’alaikum.” Sapa Ashikin dengan memberi salam.

Hakimi sedikit terkejut. Tersedar dia dari lamunan. Kemudian menoleh kebelakang.

“Wa’alaikumsalam.” Jawab Hakimi. Matanya melihat seorang bidadari yang sedang berdiri dihadapannya dengan tenang. Tanpa senyuman namun pesonanya tetap mewah tanpa sirna. Bertudung dengan hiasan sederhana namun indah dipandang. Memakai pakaian moden yang hampir serupa dengan baju kurung.

Mata bertentang mata. Hakimi tetap jua terpana, terpesona seperti selalu dia memandang keindahan seorang gadis bernama Ashikin.

Ashikin pula berbeza. Hatinya sedikit gembira dapat bertemu kekasihnya, namun melihat keadaan penampilan Hakimi yang sedikit tidak terurus menimbulkan rasa sedikit kasihan. Nafas di hela, senyuman sederhana terukir di bibir. Agak lama keadaan seperti itu berlalu tanpa sebarang kata-kata. Masing-masing terdiam.

“Sepanjang kita kenal. Inilah pertama kali saya nampak awak berpenampilan macam ni. Awak okey Akim?” Kata Ashikin. Hakimi tersenyum, kemudian senyuman itu hilang.

“Ya, saya okey.” Jawab Hakimi ringkas, sekalipun dalam benaknya pelbagai kesugulan melanda. Ashikin mengerutkan dahinya, sedikit kasihan melihat Hakimi yang kurang terurus.

“Tak, awak tak okey. Saya tahu... Akim... Dah bertahun-tahun dah saya kenal awak. Kalau awak cuba sembunyikan sesuatu pun saya tahu. Saya dapat baca dari raut wajah awak tu.” Kata Ashikin.

“Tak, takde, saya okey je.” Balas Hakimi ringkas. Kemudian tertawa. Lucu mungkin terkenangkan perhubungan mereka yang adakalanya kelakar.

Ashikin turut tertawa kecil. Memang Hakimi seorang yang lucu, pandai mencuit hati Ashikin, adakalanya. Tidak sedikit dalam kenangan Ashikin jika diingat kembali, banyak juga tawanya tatkala bersama Hakimi. Pasti mengundang senyuman dan tawa jika teringatkan peristiwa yang melucukan yang di cipta oleh Hakimi.

“Tak pernah hilang sikap gila-gila awak ni. Hesh. Umur dah meningkat.” Kata Ashikin, cuba mengingatkan Hakimi akan hakikat kehidupan.

“Dah, jom makan dulu. Kita pergi makan kat situ.” Pintas Hakimi sambil menunjukkan sebuah restoran sederhana yang berada di tepi tasik tidak jauh dari situ. Ashikin membalas ringkas, “Okey...”

Setelah masuk ke dalam restoran, mereka mencari tempat duduk yang sesuai, berhampiran penjuru tingkap. Pemandangan mereka sangat hampir dengan tasik yang terbentang luas. Waiter menghampiri mereka dan meminta pesanan makan tengahari. Kemudian mereka menyambung perbualan kembali.

Nice view.” Kata Hakimi. Matanya melihat pemandangan di luar tingkap kaca sepenuhnya. Ashikin memandang ke arah yang sama.

So. Apa yang awak nak cakap kat saya semalam? Apa nama company tu? Dia buat business apa?” tanya Ashikin. Meminta Hakimi memberikan penjelasan.

Hakimi terdiam. Sedikit terkejut. Susah mulutnya untuk berkata-kata, menerangkan apa yang sedang berlaku terhadap dirinya. Tersekat-sekat suaranya ingin berkata-kata.

“Ermm...” mulutnya tutup. Matanya di alihkan ke sekitarnya, melihat ke kiri ke kanan, belakang. Mengawasi sekitarnya untuk memastikan tidak ada orang-orang yang mencurigakan. Atau lebih tepat lagi ejen-ejen Jeneral Karim. Ashikin juga sedikit terkejut melihat kelakuan Hakimi yang tiba-tiba cemas itu.

Mata Hakimi menatap anak mata Ashikin dalam-dalam. Ashikin terkejut, terkebil-kebil matanya, dia terdiam. Anak mata yang bersinar pesona kecantikan memandang mata Hakimi satu persatu, mata kanan, mata kiri. Dilihatnya berulang kali.

“Ke... kenapa?” Ashikin bertanya.

Mata Hakimi masih lagi tajam menatap wajah Ashikin. Masih juga terdiam dengan agak lama.

“Shhh...!!” Hakimi menyuruh Ashikin diam, dirinya masih lagi cemas. Bertambah cemas. Ashikin bertambah hairan.

“Saya di buru... kalau dia tahu dan sedar saya di sini, saya akan dibunuh. Mereka tak akan biarkan saya hidup!” Kata Hakimi dengan cara berbisik dan suara yang menekan. Apa yang cuba diperkatakan Hakimi langsung tak masuk akal oleh Ashikin. Namun dia ingin mendapatkan kepastian dan cuba memahami keadaan kekasihnnya itu.

Mata Ashikin melirik melihat belakang Hakimi. Kemudian dia bersuara. “Siapa? Kenapa dia nak buru awak? Apa yang awak dah buat?” soal Ashikin bertubi-tubi.

“Saya bekerja dalam satu syarikat yang menjalankan transaksi komoditi dari planet asing. Di luar galaksi kita dan di mana saja dalam keseluruhan ruang angkasa yang ada...” kata Hakimi memberikan penjelasan dengan bersungguh. Ashikin mendengarnya dengan teliti dan perhatian yang dalam.

“Tapi ada orang dalam yang belot dan salahgunakan kuasa yang ada dalam komoditi tu untuk kepentingan sendiri dan sememangnya bahaya. Dia menjalankan eksperimen terhadap manusia dan mana yang gagal akan terbunuh.” Sambung Hakimi lagi.

Mendengar penjelasan itu membuatkan Ashikin tertawa dengan sinis. Kemudian berkata, “okey, okey...”, Ashikin mengeluh, tidak mahu dia mendengar lagi kata-kata yang karut dan langsung tak masuk akal. Tak logik sama sekali. “Sounds like science fiction. Apa nama company tu?”

“Nadi Bima Berhad.” Kata Hakimi memberikan jawapan. Terus dia menyambung lagi.

“Dan saya terlibat dalam projek untuk halang usaha salahguna mereka. Dan sekarang saya dan rakan projek saya di buru. Di mana-mana saja. Saya perlu sentiasa bersedia.” Sambung Hakimi lagi.

“Okey...” Ashikin bersuara ringkas. Menarik nafas dan menghela dengan kesal. Dia memandang sekeliling kawasan restoran itu. Juga suasana di luar tingkap yang luas dan sepenuhnya kaca tebal yang dipasang di antara syiling atap hinggalah ke lantai.

“Tak ada pun. Tak ada apa yang mencurigakan bagi saya. Takde pun orang yang awak maksudkan tu. See... aman je.” Kata Ashikin menafikan sekerasnya trauma Hakimi.

Hakimi memandang wajah Ashikin dengan cemas dan mata yang hampir terbeliak. Tak lain kerana rasa takut dalam dirinya yang sentiasa di buru.

“Ini dia cik, menu... selamat menjamu selera.” Kata tukang mengambil pesanan yang tiba-tiba muncul di belakang Hakimi.

Hakimi terkejut dan hampir melompat dari kerusinya. Gadis muda yang menyediakan makanan itu turut terkejut melihat Hakimi seolah-olah melihat dirinya seorang penjenayah yang menyeramkan.

“Maaf. Terima kasih ya.” Kata Ashikin mententeramkan keadaan kembali. Gadis itu hanya tersenyum dan beredar dengan hormat. Dia tidak mengendahkan apa yang berlaku. Namun Hakimi masih lagi tercungap-cungap bernafas. Sangat berasa cemas. Namun dapat ditenangkan oleh Ashikin.

“Awak. Please...” kata Ashikin menyuruh Hakimi memperbaiki tingkahlaku di tempat awam. Keadaan itu amat memalukan baginya. Ashikin mengeluh lagi. Dia sudah bersedia untuk menikmati makan tengahari.

Hakimi duduk dengan tegak dan tenang. Pinggan makan dihampirkan ke arahnya beserta dengan minuman. Lantas seteguk masuk ke dalam kerongkongnya.

“Akim!!” Ashikin sedikit marah.

“Okey. Maaf.” Kata Hakimi memahami maksud kekasih hatinya. Lalu dia mengangkat tangan membaca doa makan. Ashikin mengaminkan.

Setelah menyuap sepotong daging ke dalam mulut dengan menggunakan garfu, Ashikin minum sedikit airnya. Kemudian mengeluh sambil menatap wajah Hakimi dengan lama.

“Akim. Saya tahu keadaan awak macam mana sekarang ni. Awak kena ubah, awak kena berubah. Awak kena banyak tengok dunia luar. Bukan terperap duduk rumah. Asyik main game playstation awak tu... Akim, Itu tak baik untuk awak. Saya tahu awak suka baca komik, novel sains fiksyen, konspirasi yang tak betul, yang tak tahu lagi kesahihannya. Saya tahu awak suka fizik, walaupun awak tak berpeluang belajar lebih dalam. Tapi awak perlu sedar antara realiti dengan dunia rekaan awak sendiri.” Kata Ashikin melepaskan keluhan.

“Akim. Sekalipun wujud business macam tu, mustahil untuk zaman sekarang ni. Negara kita pun tak ada teknologi yang secanggih tu untuk explore angkasa ni dengan jarak sejauh tu.” Kata Ashikin melontarkan pendapatnya yang logik dan boleh diterima pakai.

Hakimi hanya terdiam mendengarnya. Dia terkilan. Kalau ikutkan keadaan kemajuan teknologi sekarang ini, hujah Ashikin amat tepat dan boleh diterima pakai, tidak boleh dinafikan sama sekali.

“Awak tak percaya dekat saya Ash?” Soal Hakimi.

Ashikin sedikit marah, namun cuba untuk bersabar.

“Akim... okey. Kalau macam tu awak perlu tinggalkan semua tu. Cari kerja lain yang lebih selamat. Saya tak nak tunggu lama lagi... Akim... kita sama-sama dah bincang untuk kahwin, kan. Kalau sikap awak terus macam ni...” Ashikin mengeluh lagi. Tidak sanggup dia menghabiskan kata-katanya. Pandangannya tertunduk kesal sambil melihat makanan di pinggan yang terhidang..

Hakimi terdiam dan tersentak. Bercampur-baur perasaannya.

“Ashikin. Saya pun tak minta keadaan saya jadi macam ni. Saya selalu usaha yang terbaik untuk cari kerja. Untuk sara hidup saya, untuk bantu kelurga saya. Memang keadaan saya tak seperti dulu. Saya ada segala-galanya yang saya nak. Dan yang paling penting sekali saya nak bagitahu awak. Apa yang saya alami adalah betul. Bukan ciptaan dan rekaan saya sendiri. Ia terjadi dalam dunia realiti saya sekarang ni.” Kata Hakimi.

“Akim. Saya percayakan awak. Dah lama kita kenal. Saya tahu awak bertangungjawab. Terhadap diri awak, keluarga awak, masa depan awak. Sebab tu saya sayang awak.” Kata Ashikin meluahkan rasa.

“Tengoklah keadaan diri awak. Tak terurus. Tak macam dulu. Saya kasihan tengok awak.” Sambung Ashikin lagi.

“Awak tak perlu kasihankan saya pasal penampilan saya. Saya okey, Cuma saya harapkan awak percaya apa yang saya katakan ni. Apa yang sedang saya alami.” Kata Hakimi pula.

Ashikin mengeluh. “Okey. Akim. Walauapapun yang terjadi, saya nak awak tahu, saya selalu setia dengan awak. Saya selalu di sisi awak. Saya tunggu awak lamar saya, seperti yang kita rancang bersama. Saya tak nak tunggu lebih lama lagi. Sebab tunggu lebih lama tak elok kan. Nanti apa orang kata.”

Hakimi akur dengan hakikat itu. Bukan tidak mampu dan tidak bersedia untuk dia mendirikan rumahtangga bersama Ashikin. Inilah anugerah paling indah yang ditakdirkan untuknya. Dia juga bersungguh-sungguh untuk merealitikan hasrat bersama, menghalalkan cinta yang telah sebati dan sejati. Namun dengan keadaannya sekarang yang kekurangan wang, dia menjadi tertekan untuk perkara itu. Persediaan kewangannya tidak mengizinkan.

“Ya, saya faham.” Kata Hakimi sambil menghela nafas perlahan, seolah-olah melepaskan bebanan dalam jiwanya. Dia amat mengerti apa yang Ashikin inginkan dan wajib direalitikan dalam masa terdekat.

“Saya nak ke men’s room kejap.” Sambung Hakimi meminta izin dengan cara beradab. Ashikin terus memandangnya beredar pergi dari meja makan. Kemudian menghela nafas lagi.

Di tatap wajahnya dalam-dalam melalui cermin di hadapannya, setelah dia mencuci muka dengan air di sinki tandas restoran. Dia memikirkan sesuatu dengan panjang. Kemudian menghela nafas. Ditabahkan hati dan dikuatkan semangat. Dia mencari ketenangan diri yang semakin hilang akibat sentiasa diburu tak kira masa dan waktu. Maka dia harus sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan. Ashikin tidak mempercayai apa yang telah berlaku kepada dirinya. Ashikin menyangka itu hanyalah rekaan dan obsesi Hakimi semata-mata. Kerana apa yang dikatakan Hakimi langsung tak masuk akal dan kebetulan pula sesuai dengan sifatnya yang separuh matang itu. Yang meminati perkara pelik-pelik dan telah menjadi hobi yang sebati. Tambahan pula Ashikin sudah bersedia untuk mendirikan rumah tangga bersama Hakimi. Dia tidak mahu tunggu dengan lebih lama lagi. Kerana bukan Hakimi seorang yang memujanya. Dia rimas dengan keadaan diri yang selalu dihampiri lelaki kerana pesonanya yang memikat hati. Namun Ashikin seorang yang baik budi. Dia bersabar terhadap apa yang berlaku atas dirinya dan bijak pula mengawal diri dan situasi untuk mengelak dari keadaan yang dia sendiri tidak menggemarinya.

Apa yang menjadi harapan Ashikin ialah semoga insan yang amat dia cintai itu dapat menikahinya dan saling hidup sejahtera dan bahagia bersama berlandaskan syariat. Dia berharap perkara itu akan berlaku dengan segera.

Air paip yang mengalir ditutup. Hakimi mengeringkan tangannya yang basah dengan menggapai tisu yang tersedia berhampirannya. Ditatap kembali wajahnya, kemudian keluar dari tandas itu, berjalan menuju ke arah meja makannya bersama Ashikin.

Hakimi menyambung menjamu selera dengan laju. Tanpa sebarang kata dan tidak menghiraukan Ashikin yang berada di hadapannya. Ashikin melihat kekasihnya itu dengan sangat hairan, bertambah hairan.

“Akim. Awak okey ke?” tanya Ashikin. “Okey, saya minta maaf kalau saya salah. Saya tak ada niat pun buat awak rasa gelisah macam ni. Saya cuma nak Hakimi saya balik. Saya nak dia bahagia bersama saya semula. Sebab semenjak beberapa minggu ni awak dah berubah.” Sambung Ashikin lagi.

“Tak, awak tak salah. Cuma keadaan saya sekarang ni yang susah untuk sesiapa pun percaya. Saya minta maaf sebab saya banyak berubah. Mungkin sebab apa yang sedang saya lalui sekarang ni. Saya tak tahu apa yang akan terjadi kepada diri saya dalam masa terdekat ni.” Kata Hakimi.

“Akim. Saya percayakan awak.” Kata Ashikin dengan sepenuh hati. Mengorbankan tanggapan dan akal logikanya untuk menerima dongengan kata-kata Hakimi. Baginya biarlah apa pun yang terjadi. Dia tetap akan setia dengan cintanya sehingga ke akhir hayat.

“Tak Ashikin. Ia lebih dari tu. Bukan setakat percaya yang saya nak awak faham. Apa yang berlaku selepas ni juga awak perlu bersedia menghadapinya. Awak kena buka minda awak untuk menerima sesuatu yang di luar jangkaan awak.” Kata Hakimi.

Mendengar kata-kata itu membuatkan wajah Ashikin berubah. Daripada yakin dan percaya kini menjadi skeptik kembali. Namun kesetiaannya mengatasi perasaan dan ego. Dia memilih untuk percaya.

“Tugasan saya selepas ini akan lebih bahaya dan berisiko. Mungkin boleh mengancam nyawa saya sendiri. Tapi saya yakin dengan latihan yang dah saya lakukan, saya mampu mengatasi semua ni. Masa saya semakin suntuk dan sibuk selepas ni. Saya mengharapkan sokongan dan kepercayaan dari awak Ash. Untuk saya lebih kuat dan gagah menghadapi cabaran ni.” Kata Hakimi lagi. Dan sekali lagi mata Ashikin terkebil-kebil. Jiwanya berperang di antara yakin dan sangsi.

“Selepas semua ni selesai nanti..” belum pun Hakimi menghabiskan kata-katanya. Lantas Ashikin memintas.

“Akim, stop!!” suara Hakimi terhenti, dia terdiam.

“Walauapapun yang terjadi dekat awak. Saya yakin, satu hari nanti, it’s all are going to be fine for us! Dan akhirnya kita dapat hidup bersama.” kata Ashikin dengan matanya yang hampir berkaca. Dia tidak mahu lagi dengar segala cerita yang tak masuk akal yang tidak ada pilihan lain untuknya melainkan untuk percaya. Dia telah mengorbankan ego dan logik pemikiran demi insan yang disayangi dan dicintainya. Apa yang dinyatakan adalah keyakinan untuk semua yang telah dan akan berlaku. Bahawa selepas semua krisis dan kesulitan hidup yang sedap di alami mereka berdua kini, pasti akan ada cahaya di hujung jalan. Merealitikan harapan mereka berdua.

Hakimi terdiam sambil matanya melihat dengan dalam akan kedua-dua mata Ashikin yang tajam pesona cahaya kecantikan itu. Namun tidak dapat dirasai oleh Hakimi akibat tekanan hidup yang sedang di alaminya.

“Awak tahu tak betapa saya cintakan awak?” kata Ashikin.

Hakimi melepaskan nafasnya, menghela dengan keluhan. Dia bersandar dikerusinya.

“Ya, me too. Awak sendiri takkan tahu betapa dalamnya saya cintakan awak.” Balas Hakimi pula menyatakan perasaan cintanya kepada Ashikin. Satu-satunya insan yang amat dicintainya.

Mereka berdua saling berpandangan tanpa sebarang kata.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku