RAPHAEL
Bab XIV
Genre: Thriller/Aksi
Kategori: Novel
Paparan sejak 31 Mac 2017
Jeneral Karim telah menyalahgunakan sumber bahan mentah dari planet asing dalam pembangunan teknologi ketenteraannya. Dengan kesedaran ini, sekumpulan saintis dan mereka yang terlibat dalam menentang projek yang berisiko tinggi ini, mencipta sut khas yang dapat menghapuskan bahan mentah itu, sekaligus menggagalkan rancangan Jeneral Karim.
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
296

Bacaan






Halaman hadapan rumah Encik Othman sangat tenang. Layaknya seperti sebuah kampung yang jauh dari kesesakan kota yang penuh dengan pencemaran bunyi. Agak tenang suasana pagi itu. Kehidupan beginilah yang diidam-idamkan oleh Encik Othman dengan Rahimah. Mereka dapat merealitikannya selepas persaraan.

Kelihatan Rahimah sedang menyusun beberapa pasu bunga pada sebaris pasu bunga yang lain. Di siram dan dibuang daun atau bunga yang gugur. Bunga adalah kesukaannya. Dia tenang dan gembira dengan apa yang dia lakukan. Suaminya Encik Othman tidak kelihatan kerana berada dalam rumahnya.

Tiba-tiba dari kejauhan dua buah biji kereta serba hitam dipandu dengan perlahan menghampiri halaman rumah Rahimah. Sebuah kereta Proton Perdana keluaran 2016 dan sebuah lagi berjenama Audi A4 edisi 2017 berhenti di halaman rumahnya. Rahimah menyedarinya. Dia berdiri perlahan dan tertanya-tanya siapakah yang datang memandangkan cermin kenderaan kedua-duanya yang juga gelap. Sukar dia melihat siapakah yang berada di dalam perut kenderaan itu.

Pintu penumpang hadapan kereta Audi A4 terbuka di sebelah kiri. Seorang pengawal peribadi keluar dari kenderaan itu lalu membuka pintu penumpang belakang, juga pintu sebelah kiri. Rahimah masih lagi terdiam mengecam siapakah gerangan yang datang bertandang.

Dengan perlahan Dr. Rahman keluar dari kereta Audi A4. Memperbetulkan blazer yang dipakainya sambil melihat Rahimah dari kejauhan. Setelah diperhati dalam-dalam wajah lelaki itu amat dia kenal. Pada masa itu juga dendam dan kebencian menguasai dirinya. Kerana lelaki itulah yang membuatkan kehidupan keluarganya dalam risiko yang tinggi dan merbahaya. Namun dia hanya mampu menahan kemarahan dalam hati. Dia sedar, dia lemah untuk menentang.

“Assalamu’alaikum.” Kata Dr. Rahman.

“Wa’alaikumsalam.” Jawab Rahimah dengan nada dendam, wajahnya mempamerkan kemarahan.

“Apa khabar Rahimah? Dah lama kita tak berjumpa.” Kata Dr. Rahman.

“Baik, alhamdulillah. Bertambah baik semenjak kali terakhir aku jumpa dengan kau.” Kata Rahimah pula.

Dr. Rahman tersenyum yakin.

“Apa lagi yang kau nak?” sambung Rahimah lagi, bertanya tujuan lelaki yang berusia separuh abad itu.

“Aku ingin meminta pertolongan dari suami kau. Dan ini adalah kali terakhir. Izinkan aku akhiri segala derita kau berdua. Aku datang dengan niat yang baik. Selepas ini aku tidak akan ganggu lagi.” Jelas Dr. Rahman.

“Perlu ke aku percaya orang seperti kau?” kata Rahimah.

“Ya, kau perlu percaya. Sebab ini melibatkan kehidupan engkau sekeluarga.” Kata Dr. Rahman.

“Apa maksud kau?” Rahimah bertanya.

“Suami kau adalah antara ahli diplomat yang terbaik yang kami ada. Dan kami memerlukan khidmatnya lagi. Untuk kali terakhir.” Jelas Dr. Rahman.

Mendengar kata-kata itu membuatkan Rahimah mengerti dengan jelas, sejelas-jelasnya. Dia mengangguk dengan perasaan tidak rela.

“Boleh aku berjumpa dengan Othman?” pintas Dr. Rahman.

Rahimah tidak memberikan jawapan. Hanya membisu. Dr. Rahman memandangnya sambil memandang wajah Rahimah penuh harapan. Tiba-tiba Encik Othman keluar dan terhenti betul-betul di hadapan pintu rumahnya. Memandang ke arah Dr. Rahman dan isterinya Rahimah. Kehadiran Dr. Rahman disedarinya.

Dr. Rahman memandang tubuh yang berdiri di pintu hadapan rumah, begitu juga dengan Rahimah. Menyedari rakan baiknya itu muncul, lalu dia bergerak menghampirinya. Meninggalkan Rahimah yang masih lagi tercegat berdiri tidak berganjak. Kelihatan dua orang pengawal peribadi membawa beg hitam seorang satu. Untuk dipersembahkan kepada Encik Othman.

Dr. Rahman datang menghampiri lalu menghulurkan tangan ke arah Othman sebagai tanda ingin berjabat. Huluran tangannya itu disambut Othman. Kawasan anjung rumah kampung itu agak luas. Berbentuk segi empat berkeluasan hampir dua ratus kaki persegi. Lantas Othman mengajak tiga orang tetamunya menghampiri meja dan tempat duduk yang tersedia di anjung rumah.

“Seperti yang dijanjikan. Dan aku datang membawa sesuatu yang pasti tak akan mengecewakan kau.” Kata Dr. Rahman. Othman hanya menunggu hadiah itu untuk dipersembahkan kepadanya.

Salah seorang pengawal peribadi datang menghampiri meja lalu diletakkan beg hitam berbentuk segiempat tepat yang dibaringkan. Kedua-dua kunci beg itu dibuka di bahagian hadapan kiri dan kanan beg. Dibuka dengan perlahan dan terlihatlah uniform pegawai diplomat yang baru dan amat teliti buatannya.

It’s for you. Engkau akan pergi bersama dengan aku, ke planet tu. Selagi aku ada, engkau tak perlu risau.” Kata Dr. Rahman.

“Tapi pengkalan tempat berlepas dah di ambil alih oleh Karim.” Kata Othman.

“Itu bukanlah satu-satunya pengkalan yang kami ada. Kita akan berlepas melalui pengkalan sokongan. Aku akan bawa engkau ke sana bila sampai masanya nanti.” Jelas Dr. Rahman.

“Beg lagi satu...” kata Dr. Rahman lagi mengarahkan seorang lagi pengawal peribadinya membuka beg hitam.

Beg itu diletakkan bersebelahan beg uniform tadi. Seperti biasa dibuka dengan cara yang sama perlahan-lahan. Maka kelihatan sepuluh ikat wang kertas bernilai Seratus Ringgit Malaysia, lima ikat di atas dan lima ikat dibawah. Kelihatan lima ikat wang yang masing-masing mempunyai lima ratus helai yang tersusun dan bertimbun dua.

“Ini adalah hak kau, atas keberanian dan bersetuju dengan permintaan aku. Aku rasa ini berbaloi atas tugasan yang aku berikan.” Kata Dr. Rahman. “keseluruhan satu juta ringgit ini adalah untuk kau.” Sambung Rahman lagi.

Othman tersenyum sinis. Kemudian bersuara, “nyawa manusia tidak dapat di nilai dengan wang ringgit. Walau banyak mana sekalipun. Usia orang seperti aku dah jemu dengan pemberian dan permainan yang macam ni.”

Dr. Rahman pula tersenyum. Pemberian ikhlasnya diperlekehkan.

“Anggaplah ianya pemberian ikhlas dari aku. Sebagai tanda penghargaan dan setiakawan.” Kata Dr. Rahman. Beg yang penuh terisi wang satu juta ringgit itu ditutup rapat.

“Baiklah, aku minta diri dulu. Assalamu’alaikum.” Kata Dr. Rahman minta izin untuk pulang dengan penu adab dan sopan.

“Wa’alaikumsalam.” Balas Othman.

Mereka bertiga beredar keluar dari anjung hadapan rumah menuju ke kereta Audi A4 edisi 2017. Sempat juga Dr. Rahman menunduk tanda hormat ke arah Rahimah yang dari tadi hanya memandangnya tanpa sebarang kata-kata. Namun tugas harus diselesaikan. Risiko bahaya yang lebih besar dari manfaatnya haruslah dijauhkan, dihentikan terus. Dan untuk itu, rundingan damai haruslah dilaksanakan.

Akhirnya kedua-dua buah kenderaan hitam beredar pergi meninggalkan mereka berdua yang masih berdiri tidak berganjak ditempat masing-masing.

***

Telefon pintar Dr. Danial bergetar dengan nada lagu yang serupa seperti sebelum-sebelumnya. Dia yang sedang memerhati skrin komputer mengalihkan pandangan ke arah bunyi panggilan itu. Nama Dr. Sofea Huda terpampang di skrin. Lalu dijawabnya.

“Hello. Assalamu’alaikum.” Kata Dr. Sofea.

“Wa’alaikumsalam.” Jawab Danial.

“Apa yang kau minta aku dah siapkan. Aku kan berikan bahan tu kepada engkau esok.” Kata Sofea.

“Terima kasih. Nanti aku berikan koordinat makmal baru. Aku juga dah minta Professor Syafiq untuk kenalpasti keadaan terbaru hangar tempat Jeneral Karim beroperasi. Aku akan dapat tahu nanti dekat mana dia sembunyikan bahan komoditi tu.” Kata Dr. Danial.

“Okey. Aku faham. Kita jumpa esok.”

“Ya. Baik. Terima kasih.” Kata Danial.

“Sama-sama.” Balas Dr. Sofea. Lantas panggilan ditamatkan.

Dr. Danial menyambung tugasnya kembali. Ada banyak perkara lagi dia harus selesaikan sebelum benar-benar bersedia membuat serbuan ke hangar tempat bahan mentah yang merbahaya diletakkan. Kacau bilau dan bencana pasti akan berlaku selagi komoditi berisiko tinggi itu tidak dihapuskan.

Dr. Danial membuat sedikit kira-kira mengenai kekuatan resonan bunyi yang dilontarkan dan darjah kemusnahan bahan mentah yang bakal terjadi nanti. Di hujung makmal itu terdapat papan putih yang mempunyai empat bahagian yang besar. Dua bahagian yang masing-masing mempunyai dua papan putih yang boleh diturun naikkan yang terletak di atas dan bawah.

Lantas pen marker khas digapai dan formula matematik ditulisnya satu persatu dengan bersungguh-sungguh. Formula matematik itu berkaitan dengan mekanikal resonan yang terdapat pada sut Raphael. Setelah satu bahagian papan putih telah penuh dengan nombor-nombor dan huruf serta simbol-simbol yang membentuk rumus matematik yang kompleks, ditulis pula pada bahagian papan tanda yang lain. Papan putih yang sedia tertulis dinaikkan ke atas menggantikan bahagian papan yang masih kosong. Tiba-tiba tangannya terhenti dari menulis operasi fizik dan matematik. Kemudian berkerut dahinya seolah-olah dia menemui sesuatu jawapan yang membuatkan otaknya ligat berfikir. Dengan formula dan rumus fizik itu jugalah dia mencipta teori-teori dan hipotesis yang akan diujinya dan mendapatkan jawapan yang terbaik supaya tidak ada sebarang kecederaan dan kemalangan jiwa yang akan berlaku tatkala mengendalikan sut Raphael dan bahan mentah berisiko tinggi.

Setelah penuh papan putih yang kedua, dia berpindah pula ke papan putih ketiga yang terletak bersebelahan. Kali ini rumus fizik ditulis untuk mendapatkan kepastian kemungkinan keberkesanan serbuk komoditi yang bakal dia dapat dari Dr. Sofea esok, untuk setiap das tembakan dan sukatan yang ditetapkan untuk sebutir peluru.

Sendirian Dr. Danial dalam makmalnya, hanya bertemankan idea dan pemikiran fizik dalam minda sendiri. Baginya itu sudah cukup ‘ramai’ untuk dia saling berkomunikasi.

Tiba-tiba skrin komputer memberikan notis untuk diperhatikan. Danial menyedarinya dan lantas menghampiri. Notis itu adalah berkaitan pelan lantai hangar tempat Jeneral Karim beroperasi, juga tempat komoditi kod YR17-1 disembunyikan dan dikawal rapi.

“Bagus, Thanks Syafiq.” Kata Dr. Danial sendirian.

Setelah semua dokumen berjaya di muat turun, ditelitinya satu persatu pelan lantai yang luas dan disetiap sisi hangar terdapat banyak bilik-bilik operasi tertentu. Dia juga maklum bahawa bahan mentah itu diletakkan ditingkat bawah tanah, sambil dikawal rapi. Tidak seperti pertama kali Dr. Zahran menyerbu pusat operasi itu. Misi kali ini pasti lebih rumit. Perancangan lebih teliti harus dilakukan, dan mereka tiada pilihan lain melainkan untuk berjaya menghapuskan komoditi itu atau mereka sendiri yang akan terkorban.

***

Keesokan paginya seperti yang telah Dr. Sofea janjikan. Keseorangan dia datang ditempat yang sunyi dengan bangunan yang terbengkalai dan juga yang telah lama ditinggalkan. Sambil memandu perlahan, keningnya dikerutkan. Hairan. Dia seperti tidak percaya bahawa makmal baru Dr. Danial terletak ditempat seperti ini. Akan tetapi apabila dilihat navigator pada telefon pintar. Tiada sebarang kesilapan, malah tepat memberikan arahan dan tunjuk jalan.

Kenderaannya terhenti di hadapan bangunan lama yang lusuh dan kotor. Bangunan tunggal satu tingkat ibarat bengkel kapal terbang kecil dengan dua bilah pintu yang sedikit besar. Dr. Sofea melihat lagi lokasi yang telah dihantar oleh Danial pada telefon pintarnya. Tepat pada lokasinya. Makmal itu berada betul-betul dihadapannya. Bangunan yang lusuh itu.

Enjin kenderaan dimatikan dan terus sahaja dia menghubungi Dr. Danial.

“Hello.” Kata Dr. Sofea.

“Ya, hello.”

“Aku yakin aku dah sampai makmal kau.”

“Oh, okey. Jangan risau mungkin kau pun tak percaya apa yang kau lihat dalam dan luar makmal. Pintu tak berkunci, masuklah.” Kata Dr. Danial.

“Okey. Bye.” Dr. Sofea Huda menamatkan perbualan.

Bye.”

Lantas dia keluar dari kereta Proton Persona edisi 2016 miliknya. Sambil membawa beg yang disandang dibahu. Pintu besar itu dihampiri perlahan. Kemudian ditolaknya dengan berhati-hati. Cahaya putih keluar dari pintu yang sedikit terbuka, menerjah ke tubuh Dr. Sofea yang sedikit kagum dengan apa yang dilihatnya. Dia masuk ke dalam makmal dan terus menutup pintu.

Dr. Danial menyedari kehadiran Dr. Sofea Huda. Dia sendiri sedang khusyuk menatap skrin komputernya.

“Selamat datang.” Kata Dr. Danial. Sofea hanya tersenyum pintar. Sungguh manis pesonanya tambahan pula selalu mengenakan hijab. Kecantikan dan kebijaksanaan yang tidak dapat dipisahkan.

“Aku teruja dengan apa yang aku lihat, tapi tak menghiburkan aku.” Kata Sofea. Datang menghampiri Danial dan meletakkan beg di atas meja berdekatan. Dikeluarkan satu bongkah kayu yang di dalamnya terdapat beberapa botol kecil yang mengandungi bahan duplikasi yang terdapat dalam peluru yang dilepaskan oleh Jeneral Karim. Bahan itu berbentuk serbuk.

“Ya, kau betul. Aku faham. Aku cuma ada teori tentang pertindihan ruang dimensi. Tapi mereka ada teknologi yang dapat merealitikannya.” Jelas Danial.

“Pertindihan ruang dimensi?” kata Sofea menyedari akan di mana dia berada.

“Ya, hal-hal fizik. Atau lebih tepat... metafizik.” Balas Dr. Danial.

“Okey, aku ada teori dan teknologi yang aku dah hasilkan.” Kata Dr. Sofea. Sebaris botol kecil diberikan kepada Danial. Di dalamnya adalah serbuk bahan campuran yang terdapat di dalam dan di luar planet bumi.

“Apa yang berada di dalam kelongsong peluru Jeneral Karim ada juga dalam serbuk ni. Tidak tertinggal walau satu bahan pun. Kau boleh periksa sekali lagi kalau kau nak.” Kata Dr. Sofea lagi.

Dr. Danial tidak bersuara, dia mengambil campuran bahan mentah itu dengan perasaan teruja sambil fikirannya ligat berfikir.

Pandangan Dr. Sofea tertarik ke satu sudut, ia mengalihkan pandangannya ke arah papan putih yang besar, yang terbahagi empat itu. Lantas dia berjalan menghampiri tempat itu yang pada permukaannya tertulis banyak formula-formula fizik. Dr. Danial menyedarinya. Dengan penuh minat dan pemahaman, Dr. Sofea meneliti satu persatu maksud perkiraan yang cuba disampaikan.

“Semua ni kau yang buat?” Tanya Sofea apabila melihat banyak nombor-nombor, huruf dan simbol fizik kelihatan di permukaan papan putih keseluruhannya.

“Ya. Aku cuma nak pastikan sama ada semuanya dapat berjalan dengan lancar dan dapat menampung segala kekurangan.” Kata Dr. Danial.

“Okey.” Kata Sofea ringkas, kemudian melihat formula-formula fizik itu kembali.

“Boleh kau faham? Maksud aku, boleh kau bantu jika apa yang aku buat masih ada kekurangan?” Kata Dr. Danial mempersoalkan hasil kerjanya kepada Sofea.

Mata Dr. Sofea masih lagi tertumpu pada papan putih itu. Pandangannya bergerak selari dengan pergerakan rumus dan formula yang tertulis.

“Taklah susah sangat untuk faham. Aku dapat faham fizik, perkiraan mekanikal resonan yang kau cuba buat. Ianya seimbang. Tapi apa yang dapat aku lihat, ianya bahaya kalau sut Raphael mengeluarkan getaran bunyi lebih dari kemampuannya sendiri untuk bertahan.” Kata Dr. Sofea merumuskan pemahaman mekanikal resonan pada sut Raphael.

“Ya, betul.” Dr. Danial mengiyakan. Tangannya masih lagi memegang bahan campuran dalam bentuk serbuk hijau gelap.

Dr. Sofea berpindah pula pada papan putih di sebelah kanan. Rumus fizik lain pula dia cuba terjemahkan.

“Kesan serbuk peluru dalam komposisi biologi?” Dr. Sofea bertanya.

“Lebih tepat dalam tubuh badan. Ya.” Kata Danial.

“Okey. Bahan yang kau pegang sekarang ni aku sendiri pun tak suka untuk sebut. Tapi...” kata Dr. Sofea. Penjelasan yang ingin diberikannya terhenti. Tidak dihabiskan.

“Tapi kenapa?” Danial bertanya dan dapat mengagak sesuatu. “Bahan ini adalah senjata bio-kimia? Berfungsi membunuh manusia dalam senyap?” sambung Danial lagi sambil melihat serbuk hijau gelap yang berada di tangannya.

“Ya, malangnya tepat sekali. Sebab itu juga sistem imunisasi yang ada pada sut Raphael tak dapat nak selamatkan nyawa Zahran selepas dia ditembak.” Jelas Dr. Sofea.

Danial terdiam. Dia mengerti dan tekaannya selama ini tepat. Dia tergamam dan terdiam.

“Sut Raphael perlu lebih efektif menentang kesan senjata bio-kimia.” Kata Dr. Danial yang tiba-tiba bersuara.

“Aku akan bantu tapi untuk masa sekarang aku tak dapat nak pastikan bahan apa yang paling sesuai.” Kata Dr. Sofea Huda.

“Sofea, engkau kena bantu aku.” Kata Dr. Danial.

Of course.” Kata Sofea ringkas. “Aku kena pergi sekarang.” Sambungnya lagi. Dia perlu segera beredar.

“Okey.” Kata Danial.

Dr. Sofea Huda berjalan keluar dari makmal itu meninggalkan Danial yang keseorangan. Dia tahu apa yang perlu dia buat selepas ini.


Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku