RAPHAEL
Bab XV
Genre: Thriller/Aksi
Kategori: Novel
Paparan sejak 31 Mac 2017
Jeneral Karim telah menyalahgunakan sumber bahan mentah dari planet asing dalam pembangunan teknologi ketenteraannya. Dengan kesedaran ini, sekumpulan saintis dan mereka yang terlibat dalam menentang projek yang berisiko tinggi ini, mencipta sut khas yang dapat menghapuskan bahan mentah itu, sekaligus menggagalkan rancangan Jeneral Karim.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
181

Bacaan






Jeneral Karim memantau setiap kerja yang dilakukan oleh anak buahnya. Eksperimen demi eksperimen dijalankan untuk menjayakan misinya, iaitu memiliki kuasa dan kelebihan dari manusia biasa. Tujuannya adalah untuk mempertahankan diri dari segala bentuk ancaman dan mudah pula mengawal serta menguasai keadaan terhadap apa yang di ingini.

“Tuan, bilik ujikaji telah sedia.” Kata salah seorang petugas di situ dengan penuh taat kepada tuannya. Tidak dinafikan hampir kesemua staf di situ amat menggeruni ketua mereka, Jeneral Karim. Kerana kelebihan yang di miliki.

Jeneral Karim menuju tempat yang dimaksudkan. Dalam bilik itu ramai juga mengendali dan penyelia teknologi dan bahan komoditi asing sedang menjalankan tugas dengan penuh bertanggungjawab. Dalam bilik itu terdapat sebuah bilik lutsinar kecil yang mempunyai sebuah kerusi khas bagaikan kerusi hukuman elektrik. Namun bukan itu tujuannya. Bahan dari planet asing itu akan dimasukkan ke dalam tubuh Jeneral Karim untuk menjadikan sistem kekebalan tubuhnya bertambah.

Jeneral Karim berjalan menuju bilik kecil yang berbentuk itu lalu duduk dengan perlahan dikerusi yang besar dan disekitarnya penuh tiub-tiub, jarum suntikan dan alat analisis sistem biologi tubuh badan.

Setelah dia duduk dengan selesa, beberapa saintis datang menghampirinya. Ada antara mereka menyuntik kedua-dua belah lengan Jeneral Karim, ada pula yang menampalkan alat pelekat dikedua-dua bahagian atas dada yang tidak berpakaian. Tubuhnya kelihatan amat sasa beserta parut-parut kesan hirisan dan peluru. Seperti selalu, seluar celoreng askar warna hitam kelabu adalah antara pakaian kegemarannya.

Di kedua-dua belah dahinya juga tertampal alat penyalur analisa sistem kimia dan biologi tubuh badannya. Berdekatan kerusi itu terdapat alat pemerhati seperti kebanyakannya kelihatan di hospital-hospital. Di situ, nadi dan denyut jantung Jeneral Karim kelihatan, diwakili dengan garisan turun naik yang sekata.

Disekeliling bilik yang sedikit luas itu penuh dengan skrin monitor dan komputer yang dikawal oleh petugas-petugas yang terdiri daripada para saintis dan doktor. Mereka telah bersedia menjalankan operasi yang telah dirancang sebagaimana yang Jeneral Karim kehendaki.

“Tuan dah sedia?” Kata salah seorang saintis di situ. Jeneral Karim tidak bersuara, hanya memberikan isyarat mengangguk sedikit kepala.

“Kami akan mulakan operasi kurang seminit dari sekarang.” Sambung Saintis itu lagi, kemudian beredar pergi ke meja kawalannya sendiri. Dia adalah ketua yang diberi tanggungjawab memimpin operasi ini.

Sendirian Jeneral Karim duduk di kerusi berteknologi tinggi. Bilik kecil yang berkaca tebal, tetapi kedap udara itu membolehkan semua para petugas melihatnya. Ketua operasi memberikan isyarat kepada salah seorang saintis. Tangannya menunjukkan isyarat bagus. Lantas dia mengaktifkan sesuatu pada skrin monitornya.

‘OPERATION ACTIVATED’

Kelihatan dalam bilik kecil lutsinar itu satu suntikan yang digerakkan oleh mesin menyuntik Jeneral Karim. Tidak lama kemudian matanya terlelap. Ditidurkan untuk sementara. Suntikan itu supaya memudahkan Jeneral Karim melalui operasi rahsia satu persatu sehingga selesai.

Operasi seterusnya diteruskan. Ketua operasi itu memberi isyarat kepada salah seorang saintis yang lain pula. Dia menganggukkan kepala tanda operasi boleh dijalankan. Pembantu kanan operasi itu menganggukkan kepala pula, tanda faham akan arahan yang diberikan.

‘OPERATION ACTIVATED’, bar yang mempunyai tulisan itu bertukar warna hijau.

Kali ini kelihatan pula cecair memenuhi ruang tiub dan tersalur masuk ke dalam tubuh Jeneral Karim. Beliau yang telah ditidurkan memberikan respon terkejut. Tubuh badannya seolah-olah sukar untuk menerima cecair dari bahan komoditi merbahaya itu yang berwarna hitam kehijauan. Cecair itu akan disebatikan dengan darahnya. Membentuk jalinan simbiosis di antara darah dan cecair yang telah diubahsuai oleh para saintis. Teknologi yang menakjubkan.

Cecair itu mengalir perlahan dan mengambil masa yang agak lama. Setelah operasi itu selesai, ketua operasi mengarahkan untuk berehat selama lima belas minit. Jangka masa yang sesuai untuk cecair Komoditi menjadi sebati dalam salur darah dan saraf Jeneral Karim. Ianya ibarat sel darah putih yang bertugas sebagai penghalang dari menerima sebarang jangkitan dan virus. Namun cecair komoditi YR17-1 ini jauh lebih hebat lagi.

Kelihatan para saintis yang lain mengawal selia aktiviti pada skrin monitornya.

“Doktor, jangka waktu dah tamat, kita boleh teruskan dengan proses seterusnya.” Kata pembantu kanan operasi.

“Baik.” Jawab ketua operasi ringkas. Kemudian dia berkata kepada pegawai bertugas yang mengawal gas senjata bio-kimia.

“Doktor Hilman, aktifkan gas senjata bio-kimia.”

“Baik. Dalam kiraan sepuluh saat. Dari sekarang.” Kata Doktor Hilman setelah butang aktivasi ditekan pada papan kekunci.

Selepas genap masa yang telah ditetapkan, dengan tiba-tiba juga bilik silinder lutsinar yang kedap udara mengeluarkan gas berwarna hijau kehitam-hitaman dari sudut atas dan bawah. Dengan perlahan memenuhi ruangan di mana Jeneral Karim sedang duduk sambil ditidurkan. Sekali lagi tubuh Jeneral Karim bergerak, namun kali ini lebih kuat lagi. Ibarat menggelupur di atas kerusi berteknologi tinggi itu. Namun tidak menjadi kerisauan kerana sejak mula lagi Jeneral Karim sudah siap-siap diikat dengan erat pada setiap tangan, badan dan kakinya.

Semakin lama keadaan beliau semakin parah. Kelihatan kulit tubuhnya melecur dan melepuh. Jeneral Karim yang tadi ditidurkan tiba-tiba terjaga sambil menjerit kesakitan. Tubuhnya menggelupur dan kelihatan urat besar timbul sambil berdenyut-denyut. Percikan api tercetus berhampiran bilik silinder. Jeritan Jeneral Karim semakin kuat.

Tidak lama selepas itu gas senjata bio-kimia yang amat merbahaya dengan sendirinya hilang dari dalam bilik kecil. Jeneral Karim yang meraung kesakitan terhenti jeritannya sambil tercungap-cungap kekurangan nafas. Dia menahan kesakitan yang teramat dan kemudian matanya terlelap kembali. Para petugas dalam bilik operasi itu menjadi sedikit panik. Masing-masing melihat mesin elektrokardiograf milik Jeneral Karim. Nadi denyutan jantungnya meningkat dengan drastik dan kemudian hampir terhenti. Untuk jangka masa selama lima saat, hanya garisan lurus beserta bunyi amaran mesin kedengaran. Menandakan jantung Jeneral Karim tidak berfungsi, atau lebih tepat lagi dia telah mati.

Namun keajaiban berlaku. Dengan tiba-tiba mesin elektrokardiograf menunjukkan nadi yang berdenyut kembali. Jeneral Karim kelihatan masih lagi pengsan namun kulitnya yang melecur dan melepuh pulih kembali seperti asal, kembali normal. Kelihatan juga dada beliau turun naik sebagai tanda bernafas. Para petugas projek khas itu yang cemas kembali lega. Dengan perlahan Jeneral Karim membuka matanya. Terdiam sambil terkebil-kebil perlahan.

Pintu bilik silinder dibuka. Para petugas bergegas menghampiri jeneral mereka dan meleraikan semua ikatan dan lekatan di tubuh. Mereka menyokong Jeneral Karim kemudian dibaringkan di atas tilam pesakit yang mempunyai roda. Kelihatan beliau tidak sedarkan diri lagi. Pengsan mungkin.

***

Di tatap uniform diplomat yang diterimanya dari Dr. Rahman. Di angkat baju itu dan dilihat keseluruhan pada bahagian hadapan. Kedua-dua beg hitam diletakkan di atas katil tidurnya. Beg baju dan juga wang perkhidmatan sebanyak satu juta ringgit. Dengan perlahan Rahimah menolak pintu bilik. Kehadirannya disedari oleh suaminya, Othman.

Wajahnya sayu namun tenang. Dia cuba untuk reda menerima sebarang kemungkinan yang bakal berlaku selepas ini. baju uniform diplomat diletakkan kembali dalam beg dengan tidak kemas. Othman tetap terus memandang uniformnya itu.

“Perkara yang dah berlaku sebelum ni akan berulang lagi kan?” kata Rahimah kepada suaminya, dia meneka.

Othman memandang wajah isterinya dengan kesal dan mengeluh.

“Ada satu perkara yang kalau boleh tak nak abang beritahu kepada Mah. Berharap perkara tu tak akan berlaku dan berulang. Tapi abang silap.” Kata Othman berkias.

“Apa yang abang dah buat? Apa yang abang rahsiakan kepada saya selama ni?” soal Rahimah dengan tenang.

“Abang bertanggungjawab menjaga kesejahteraan keluarga kita, cukup makan, pakai, minum. Abang bertanggungjawab menjamin kebahagiaan dan keselamatan keluarga kita. Itu yang abang lakukan, yang wajib abang lakukan. Hidup sejahtera tanpa kekurangan dari segi apa sekalipun. Segala apa yang abang inginkan dapat abang perolehi bila bekerjasama dengan Dr. Rahman. Satu-satunya punca rezeki kita yang dapat menjamin hidup kita lepas ni tak akan kekurangan.” Jelas Othman.

“Untuk berjaya, kita harus berani mengambil risiko. Itu adalah hakikat yang tak dapat dielakkan.” Sambung Othman lagi.

“Ya, saya faham. Itulah apa yang abang beritahu lama dulu. Cuma saya agak naif untuk tahu apa yang sebenarnya telah berlaku pada masa tu.” Kata Rahimah. “jangan cakap abang akan pergi terbang jauh lagi. Abang akan ke ‘tempat’ tu lagi.”

Othman menarik nafas panjang.

“Tapi malangnya itulah yang akan berlaku lagi dua hari.” Kata Othman menyatakan hakikat. Mendengar keterangan itu membuatkan Rahimah tersentak.

“Kenapa abang pilih untuk terima tugasan tu padahal abang boleh pilih untuk tolak dan tinggalkan?” Soal Rahimah kepada suaminya.

“Sebab ia ada kaitan dengan keselamatan anak kita, Hakimi. Dan juga keselamatan keluarga kita keseluruhannya.” Jelas Othman lagi. Mendengar jawapan ini membuatkan Rahimah bertambah terkejut.

“Hakimi?” kata Rahimah terkejut.

“Hakimi turut bekerja bawah naungan Dr. Rahman. Ingat tak anggota yang terhempas belakang rumah kita beberapa minggu lepas? Mereka datang lagi, mengharapkan abang tunaikan janji abang kepada mereka.” Kata Othman dengan nada yang ditekan.

Wajah Rahimah bertambah pilu. Hatinya berasa pedih menerima hakikat ini.

“Tapi kenapa? Janji apa?..” kata Rahimah dengan sabar.

“Abang minta maaf Rahimah. Abang minta maaf. Mereka telah kenal Hakimi sejak lama lagi. Abang izinkan mereka jadikan Hakimi antara orang penting yang akan mendukung projek mereka.” Kata Othman. “Hakimi adalah bahan ujikaji yang membolehkan sistem tubuhnya mempunyai imunisasi yang tinggi dan dapat menyembuhkan hampir apa sahaja wabak dan virus yang merbahaya. Suntikan itu dah diberikan semenjak Hakimi berumur lima tahun lagi.”

“Tapi untuk apa semua ni?” soal Rahimah lagi.

“Untuk menghadapi peperangan bioteknologi yang akan tercetus tak lama lagi.” Jawab Othman.

Rahimah perit menahan hatinya yang terluka. Pedih menerima hakikat. Matanya terpejam dan tertunduk.

“Saya tak nak kehilangan abang, Hakimi dan anak-anak kita yang lain.” Kata Rahimah dengan hiba.

Lantas Othman menghampiri isteri yang amat dicintainya, kemudian memegang kedua-dua belah bahu Rahimah dengan kemas.

“Awak takkan kehilangan sesiapa pun. Selepas semua ni selesai, kita akan hidup bahagia seperti biasa. Abang janji. Setelah semua ni tamat, abang, Hakimi dan anak-anak kita yang lain akan ada depan mata Mah.” Kata Othman memberikan jaminan dan keyakinan kepada Rahimah. Mata bertentang mata. Mereka memandang antara satu sama lain dengan lama.

***

Pandangan Jeneral Karim kabur-kabur. Dia terbangun dari pengsannya akibat berjaya melalui operasi memasukkan sistem imunisasi dan kekebalan terhadap senjata biologi. Apabila matanya terbuka, samar-samar dia lihat doktor berjalan kehulu ke hilir merawatnya. Dia terpejam dan lena kembali.

Tiba-tiba matanya terbeliak. Terbuka seluas-luasnya. Dengan tiba-tiba juga dia merasakan tenaga yang kuat dalam tubuhnya. Lantas dia terduduk sambil kakinya terlunjur di atas katil rawat itu. Dihadapannya adalah Xavier, yang sejak dari tadi menemaninya. Jeneral Karim sedikit kebingungan.

“Ayah okey?” kata Xavier. Jeneral Karim tidak menjawab.

“Doktor!..” kata Xavier lagi mengarahkan doktor menganalisa tahap kesihatan ayahnya itu.

“Denyutan jantung normal, tekanan darah kembali normal, dan kepekatan darah seimbang.” Kata doktor memberikan keputusan.

“Berikan aku jaket.” Kata Jeneral Karim. Terus bangun dan berdiri di sebelah katil.

Doktor yang berhampiran mengambil jaket dan menyerahkannya kepada Jeneral Karim. Setelah jaket itu siap dipakai, lantas dia keluar dari bilik rawatan rapi. Kelihatannya beliau telah sihat sepenuhnya dan bertenaga kembali seperti biasa.

Dia berjalan pada tempat pejalan kaki yang sepenuhnya diperbuat dari jaringan besi yang kukuh, kemudian terhenti di situ sambil memegang penghadang bagi mengelakkan risiko terjatuh kebawah. Hangar yang luas dengan susunan perkakasan yang kompleks beserta staf-stafnya kelihatan. Memang tugasnya untuk sentiasa memantau segala perkara yang dilakukan oleh stafnya.

Xavier keluar dari bilik yang merawat bapanya. Berjalan menghampiri Jeneral Karim dan terhenti berdekatan bahu kanan ayahnya itu.

“Saya terdengar beberapa berita.” Kata Xavier. Jeneral Karim menoleh memandang wajah anaknya itu dengan yakin. “mereka ingin hentikan perhubungan kita dengan planet perang.” Kata Xavier lagi.

“Kalau begitu kita perlu halang mereka.” Jawab Jeneral Karim. Beliau meneruskan langkah menuju bilik pejabatnya. Xavier mengikut dari belakang.

“Kenapa perlu kita menentang mereka? Bukankah kita berada di pihak yang sama? Satu pasukan?” kata Xavier mempersoalkan tindakan bapanya. Xavier terhenti di hadapan pintu masuk pejabat.

“Tak lagi. Dr. Rahman tidak memahami cita-cita dan misi kita. Dia memandang rendah kemampuan kita. Dia adalah doktor dan saintis, bukan tentera. Tapi malangnya ayah masih memerlukan dia, untuk ayah tahu sepenuhnya selok-belok urusan teknologi ni. Sebelum ayah dapat ambil alih sepenuhnya.” Kata Jeneral Karim memberikan penjelasan. “Kita boleh pergunakan mereka. Setelah semuanya dapat ayah kuasai, mereka akan ayah hapuskan.”

Xavier menunduk hormat tanda faham maksud ayahnya. “mereka akan berlepas melalui terminal tertutup sokongan. Dalam masa terdekat ni.” Kata Xavier memberikan maklumat.

Mendengar penjelasan itu membuatkan Jeneral Karim menjadi berang. Dihentaknya di atas meja utama, dengan kedua-dua belah tapak tangannya. Pandangannya tertunduk dengan penuh geram.

“Biar saya saja yang hentikan niat mereka.” Kata Xavier, berhasrat untuk menggagalkan operasi Dr. Rahman.

“Tak. Bukan sekarang. Arahkan tiga juruterbang pesawat asing untuk musnahkan pengkalan berlepas sokongan mereka. Arahkan juga batalion seterusnya untuk buat serangan darat.” Kata Jeneral Karim mengalihkan pandangan dan memberikan arahan kepada anaknya.

Xavier tersentak dengan jawapan itu. Seolah-olah tidak diberi kepercayaan oleh ayahnya sendiri. Pasti saja mudah untuk dihapuskan jika dia sendiri yang melakukannya. Bukan anggota atau ahli lain.

“Hanya saya saja yang dapat bunuh semua ahli Project Raphael dengan mudah!! Subjek ujikaji kita masih lemah untuk disediakan bertempur. Mereka pasti akan ada di situ untuk melindungi Dr. Rahman!” kata Xavier, sedikit berang dengan ayahnya.

“Aku tak gerun dengan mereka, terutamanya Raphael. Aku tahu apa yang aku lakukan. Kau hanya perlu laksanakan arahan yang aku berikan ni sekarang!” bentak Karim kepada anaknya. Xavier terdiam tidak menjawab apa-apa.

“Baik.” Kata Xavier terpaksa akur. Dia berdiri tegak dan memberikan tabik hormat, kemudian terus beredar dari situ. Walaupun bertubuh sasa dan berdarah muda, namun dia sedar akan kemampuan ayahnya yang sentiasa mengatasi. Egonya masih tidak tercalar, kerana dia diberi penghormatan untuk memimpin serangan yang bakal dilancarkan.


Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku