RAPHAEL
Bab XVI
Genre: Thriller/Aksi
Kategori: Novel
Paparan sejak 31 Mac 2017
Jeneral Karim telah menyalahgunakan sumber bahan mentah dari planet asing dalam pembangunan teknologi ketenteraannya. Dengan kesedaran ini, sekumpulan saintis dan mereka yang terlibat dalam menentang projek yang berisiko tinggi ini, mencipta sut khas yang dapat menghapuskan bahan mentah itu, sekaligus menggagalkan rancangan Jeneral Karim.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
236

Bacaan






Malam terasa dingin. Dingin dan panik. Itulah apa yang Hakimi rasakan. Malam yang dilaluinya ibarat sedang memburu dirinya. Seolah-olah akan muncul satu makhluk yang menyeramkan, lalu membunuhnya. Dengan peranti Raphael yang ada bersamanya, dia sedikit lega. Terkenangkan wajah Ashikin, hatinya sedikit tenang. Baginya, kekasih hati adalah ubat penenang jiwa dan dalam masa yang sama dadah yang merbahaya, yang mampu membuatnya derita. Sedang dia ingin pulang ke rumah dalam kedinginan malam, kelihatan dari jauh sebuah van menghampiri pusat membeli-belah. Hakimi pada mulanya tidak mengendahkan, namun bertukar curiga apabila diperhatikan van hitam yang hadir itu tidak menghidupkan lampu kenderaannya sepanjang ia bergerak menghampiri gedung beli-belah. Tambahan pula dengan nombor plat yang tertutup, disembunyikan. Mana mungkin mereka ingin berbelanja sedangkan sudah hampir pukul satu pagi. Van yang mereka pandu berhenti dengan pintu masuk sisi bahagian selatan. Tempat itu sunyi, tidak banyak kenderaan lain yang lalu lalang, hanya satu dua kelihatan melalui jalan yang berhampiran. Hakimi sangat arif apa yang terdapat disebalik pintu yang tertutup itu. Mindanya mencipta teori yang meresahkan. Kerana disebalik pintu itu terdapat tiga mesin ATM mewakili tiga bank yang berbeza. Hakimi yang menunggang motorsikalnya dihentikan ditempat yang tersorok dan jauh dari van yang mencurigakan. Lebih kurang tiga kilometer jauhnya. Setelah diamati dengan lama, van itu masih juga berada dihadapan pintu dengan enjin yang hidup namun lampu kenderaan yang dimatikan. Dengan suasana malam yang kelam, hampir sukar untuk mereka kelihatan.

Di balik pokok dan rumput yang separuh dari tingginya dia bersembunyi. Melihat dari jauh apa yang akan berlaku seterusnya. Dalam fikirannya sudah punya jawapan. Kemungkinan besar teorinya diterima setelah pelbagai hipotesis dicipta. Namun untuk bertindak menyelamatkan keadan. Dia masih ragu-ragu.

Tiba-tiba tiga orang yang bertopeng dan berpakaian hitam keluar dengan pantas dari van. Mereka melekatkan sesuatu pada pintu masuk sayap selatan pusat beli-belah. Yang telah tersedia tutup dan berkunci. Mereka kemudian menjarakkan diri dari tampalan objek di pintu.

‘Boom!!’ pintu keselamatan dan pintu gelas diletupkan hingga hancur berkecai. Pada masa yang sama juga siren keselamatan berbunyi dengan kuat dan bingit. Lantas mereka berlari meluru ke dalam bangunan dan menghampiri mesin ATM. Di pasang lagi bom yang sama. Kali ini untuk meletupkan dan mengasingkan mesin wang itu untuk dibawa lari.

Hakimi mengeluarkan telefon pintarnya, lalu menghubungi talian keselamatan.

“Hello, 999.” Operator dalam talian bersuara.

“Hello, saya nak buat aduan. Ada rompakan mesin ATM di pusat beli-belah Jalan Bandar Besar. Sila hantar bantuan polis secepat mungkin.” Kata Hakimi. Hanya terdapat satu sahaja pusat beli-belah yang besar dikawasan itu. Penduduk sekitar juga sudah sedia maklum. Terus talian ditamatkan. Beg yang disandang diambil dan peranti Raphael dikeluarkan. Di situ juga dia mengaktifkan sut Raphael. Kemudian terbang dengan pantas menghampiri kawasan rompakan yang sedang berlaku.

‘Boom!!!’ letupan kedengaran lagi. Kali ini mesin penggera kedua-dua objek yang diletupkan berbunyi. Salah satu mesin ATM berjaya dipisahkan dan mereka mengangkatnya bertiga untuk dibawa masuk ke dalam van hitam.

“Cepat, cepat... kita dah tak ada banyak masa lagi!!!” Kata pemandu van. Dengan pantas mesin wang yang dicuri di bawa masuk ke dalam perut van. Terdapat seorang lagi penjenayah yang menunggu di pintu sisi kanan van hitam. Untuk membantu menyambut mesin yang berat itu.

“Semua masuk cepat!!!” Kata pemandu van. Hanya beberapa minit sahaja diperlukan untuk mereka menjayakan operasi rompakan mesin wang ATM. Mereka melakukannya dengan profesional dan penuh dengan perancangan rapi. Setelah mesin wang berjaya diletakkan dalam van, pintu di tutup dan pemandu sudah siap sedia untuk melarikan diri, bersama ribuan atau mungkin jutaan ringgit di dalamnya.

Belum pun sempat van dipacu deras, pintu pemandu direntap dengan kuat hingga tertanggal. Mereka amat terkejut seperti hilang arah. Satu makhluk hitam yang menyeramkan telah menghampiri mereka. Pemandu van menjerit sekuat hati. Terus saja Raphael merentap pemandu keluar dari van. Dia jatuh sambil menahan kesakitan. Begitu juga dengan empat penjenayah yang lain. Mereka dalam ketakutan yang teramat kerana melihat Raphael yang berpenampilan menggerunkan. Penumpang sebelah pemandu pula direntap keluar melalui pintu yang tertanggal, terkopak. Tersembam jatuh menghempap pemandu van. Dengan pantas juga Raphael menanggalkan pintu sisi kanan van, dengan wajah yang bengis, matanya kemerah-merahan, bertubuh hitam sasa dan bersayap lebar. Dengan kekuatan luarbiasa yang Hakimi miliki, satu persatu penjenayah dihumban keluar dari van. Salah seorang perompak yang cuba mengacukan pistol ke arah Raphael akhirnya melepaskan tembakan sebanyak-banyaknya. Namun tidak sedikitpun mencederakan. Siren terus kedengaran, menarik perhatian orang ramai di sekitar kawasan rompakan yang sebelum ini tidak disedari. Salah seorang penjenayah menjerit ketakutan, ada pula yang mengaduh kesakitan, ada juga yang menahan kecederaan dan apa yang pasti mereka amat terkejut dan trauma.

Raphael melihat kawasan sekeliling. Mencari sesuatu yang boleh dibuat ikatan supaya kelima-lima penjenayah tidak dapat lari. Dia sudah kesuntukan masa. Kelibatnya harus tidak boleh dilihat oleh sesiapapun. Sementara menunggu kehadiran polis. Matanya yang bersinar merah terlihat wayar panjang yang terputus berhampiran letupan di mesin ATM. Raphael terbang pantas menghampiri dan merentap wayar yang agak panjang. Kemudian kembali ke arah kelima-lima penjenayah yang telah dihumban keluar dan berkumpul dalam ketakutan. Dengan pantas Raphael melilit mereka semua, yang tidak terdaya melawan kerana fizikal dan mental yang cedera dan lemah. Tubuh mereka cedera dengan kekuatan fizikal Raphael. Manakala psikologi mereka cedera parah akibat trauma melihat makhluk yang sangat menakutkan.

Dari kejauhan kedengaran siren kenderaan polis. Raphael menyedarinya. Makin lama makin kuat, tanda kenderaan polis semakin hampir. Raphael tidak punyai banyak masa. Selesai sahaja penjenayah ditambat -diikat dengan wayar elektrik yang panjang- terus saja makhluk yang menggerunkan itu melebarkan sayap kemudian menghempasnya lalu terbang tinggi di langit kelam. Di ketinggian langit itu Raphael bagaikan halimunan. Samar-samar kelihatan. Sayap lebar yang hampir sama dengan ketinggian Hakimi terus dihayun perlahan meredah langit dan salju dingin yang hitam.

Kelihatan tiga kenderaan pegawai polis terhenti betul-betul di tempat rompakan berlaku. Mereka pelik dan sangat hairan. Bagaimana semua penjenayah itu sudah terikat. Seolah-olah perompak itu telah bergelut dengan makhluk yang buas lagi ganas; lemah tubuh mereka dan luka cedera. Dua pegawai polis keluar dari kenderaannya, sambil memegang pistol. Melihat kelima-lima penjenayah itu dengan berhati-hati.

“Hantu, hantu!” Kata salah seorang penjenayah dengan nada dan tubuh yang lemah. Yang lainnya ada yang telah pengsan, ada juga yang berbuih mulut dan lainnya terdiam sambil menggigil ketakutan.

Pegawai polis meneliti apa yang diperkatakan oleh salah seorang penjenayah.

“Detektif... Detektif Mukhriz!!” Kata salah seorang pegawai polis memanggil ketua polis yang bertanggungjawab menangkap penjenayah, yang juga seorang detektif. Wajah anggota polis itu beralih ke arah penjenayah yang sedang terkumat-kamit mulutnya.

“Hantu... makhluk hitam. Dah pergi. Dah terbang.” Kata perompak itu lagi. Tubuhnya semakin lemah. Kemudian tertunduk tidak sedarkan diri lagi.

Detektif Mukhriz yang mendengar perkatan pelik itu terus saja melemparkan wajahnya melihat sekeliling. Begitu juga dengan anggota polis yang lain. Detektif Mukhriz memandang langit gelap. Matanya tajam melihat dan mencari ‘makhluk’ yang perompak itu katakan. Segenap ruang langit diperhatikan, tidak ada satu sudut pun yang terlepas dari pandangannya. Tiba-tiba matanya terpaku melihat objek yang mengecil jauh di atas langit. Dia dapat menangkapnya melalui penglihatan yang tajam. Dari kejauhan itu Detektif Mukhriz dapat melihat, suatu lembaga yang sedang melebarkan sayapnya terbang jauh di udara malam. Dengan perlahan mengibaskan sayap yang sangat lebar dan besar. Cukup besar untuk melitupi seluruh tubuh. Lembaga hitam yang menyerupai manusia sedang terbang.

Salah seorang pegawai polis melihat Detektif Mukhriz dengan hairan. Dia juga turut mendongak memandang satu sudut langit yang sama. Namun tiada apa yang dapat dilihat. Hanya langit yang gelap di temani cahaya bintang-bintang.

“Detektif? Detektif?” pegawai polis itu bersuara. Mengejutkan Detektif dari ‘lamunan’, kemudian memandang wajah rakan sejawatnya.

“Apa yang detektif nampak?”

“Tiada apa... tiada apa.” Balas Mukhriz, kemudian melihat perompak-perompak yang sedang terikat dan van yang terkopak pada dua bahagian, iaitu pintu pemandu dan penumpang belakang. Di dalam van itu tersimpan sebuah mesin ATM yang dicuri. Wajah anggota polis itu terus saja melihat wajah langit kelam. Masih tercari-cari apa yang dilihat oleh Detektif Mukhriz.

“Inspektor Salleh, suruh anggota yang lain tahan suspek di balai. Sila buat soal siasat. Berikan laporan pada saya esok petang.” Arah Detektif Mukhriz kepada pemangkunya.

“Baik Tuan!!” Tabik hormat sebagai tanda arahan jelas diterima.

***

Di dalam makmal, Dr. Danial fokus memandang slaid mikroskop. Tekun meneliti dan menambah baik sut Raphael. Di fikirannya sentiasa penuh dengan idea-idea inovasi yang luarbiasa pintar. Dengan penemuan demi penemuan baru yang terdapat pada komoditi YR17-1, tidak mustahil dia mampu mencipta sesuatu yang jauh lebih luarbiasa dan berkuasa yang mampu menghapuskan projek Jeneral Karim. Sedang dia tekun dengan kajiannya, telefon pintar berdering. Kelihatan nama ‘Dr. Sofea Huda’ muncul di skrin.

“Hello. Assalamualaikum” Kata Dr. Danial.

“Wa’alaikumsalam, cuba kau buka berita lapan malam sekarang.” Dr. Sofea terus memberikan arahan.

Dengan pantas Dr. Danial menghampiri papan kekunci dan menaip laju. Dengan pantas juga skrin televisyen memaparkan berita laporan tertangkapnya cubaan mencuri mesin wang ATM berhampiran bandar mereka, dipancarkan terus dari satelit penyiaran. Dr. Danial mengamatinya dengan teliti. Berita itu sudah hampir separuh liputan berlalu. Tiba pula soaljawab wartawan bersama saksi yang melihat kejadian rompakan.

“Apa yang sebenarnya terjadi? Boleh puan terangkan?” Tanya wartawan.

“Saya terkejut bila dengar letupan kuat dekat bangunan shopping ni. Saya kurang pasti apa yang berlaku, tapi melihat keadaan yang dapat saya lihat, mereka cuba curi mesin ATM. Tapi... lepas tu...” Bicara seorang wanita umur lingkungan 50-an terhenti. Sukar untuk dia terangkan apa yang telah dilihatnya selepas itu.

“Lepas tu apa yang terjadi puan?” Tanya wartawan lagi.

“Saya... saya kurang pasti dan tak jelas. Saya nampak ada lembaga hitam macam manusia terbang ke arah perompak. Tak lama lepas tu dia terbang pergi seperti tergesa-gesa. Suasana masa tu gelap dan agak jauh...” Jelas itu dengan ragu-ragu. Belum pun sempat wartawan bertanya, dia terus pergi dari di soal lanjut. Mungkin apa yang diperkatakannya itu tidak langsung masuk akal dan dipercayai. Dia tidak mahu ditertawakan dan diperlekehkan.

Dr. Danial yang melihat berita itu tersentak. Dia hanya sedar bahawa jika betul apa yang sedang bermain dalam fikirannya, maka keselamatan semua ahli kumpulan projek Raphael bertambah bahaya dan terancam.

“Huda. Siapa lagi manusia yang boleh terbang berhampiran bandar ini? Siapa lagi manusia yang ada sayap dan bertubuh hitam?” Soal Dr. Danial.

“Kalau engkau fikir apa yang aku fikir. Kita dalam bahaya. Bertambah bahaya.” Kata Dr. Sofea Huda.

“Engkau yakin makhluk tu adalah Hakimi? Hakimi yang cuba selamatkan keadaan malam semalam?” soal Dr. Danial inginkan kepastian yang tepat dari Dr. Sofea.

Gadis yang juga seorang saintis bio-kimia itu mengeluh. “Aku tak pasti.”

“Projek Raphael adalah rahsia. Tiada siapa yang boleh melihatnya, mengetahuinya, terutama sekali orang awam!!” kata Dr. Danial memberikan maklumat yang dianggap penting dan menjadi sebahagian prosedur operasi.

“Engkau perlu lakukan sesuatu.” Kata Dr. Sofea, terus perbualan ditamatkan.

Dr. Danial kesal dan bercampur panik. Jika benarlah apa yang diperkatakan seperti berita yang ditontonnya tadi, maka Hakimi ada di sana. Menyalahgunakan sut Raphael iaitu bertindak mengikut kehendak sendiri.

Tiba-tiba pintu makmal terbuka. Dr. Danial terkejut.

“Kau ok ke Doktor?” Tanya Hakimi.

Wajah Dr. Danial bertukar geram. Dengan laju dia berjalan menghampiri Hakimi. Lantas terus sahaja merenggut bahu Hakimi; hampir mencekiknya. Hakimi ketakutan. Tubuhnya terhentak ke dinding belakang.

“Hey! Hey!..”

“Apa yang kau buat malam semalam?” Gertak Dr. Danial. “Apa yang kau buat dengan sut Raphael?”

Dr. Danial menunggu jawapan dari Hakimi yang sedang terdiam. Akhirnya bersuara. Genggaman dilehernya dilepaskan.

“Ya, aku yang gunakan sut Raphael untuk selamatkan keadaan. Aku tak boleh biarkan perompak tu terlepas?” Jelas Hakimi.

“Sut Raphael bukan sut superhero, Raphael bukan dicipta untuk jadi hero dengan memberikan harapan kepada orang awam. Menghalang segala jenayah kejam dekat luar sana. Raphael adalah teknologi pemusnah, ia merbahaya. Tiada siapa yang boleh lihat Raphael. Rahsia projek ini akan terbongkar dan mendatangkan lebih banyak bahaya dan bencana!” Jelas Dr. Danial, menghentakkan Hakimi ke dinding semula.

Hakimi melawan. “Habis apa yang aku perlu lakukan? Engkau nak aku tengok sahaja perompak terlepas? Melarikan wang yang banyak yang langsung bukan milik mereka yang sah.”

“Serahkan semuanya kepada polis. Raphael tak berhak masuk campur dalam urusan luar. Aku faham kau yakin dengan kemampuan Raphael untuk menangani sebarang ancaman bahaya. Tapi kau kena sedar, tak perlu lagi kita tambah ancaman yang telah sedia ada dan lebih membahayakan orang-orang dalam organisasi ni. Keadaan kita sangat kritikal sekarang. Sut Raphael dicipta hanya untuk satu tujuan!!” Terang Danial. “Faham?!”

Nafas Hakimi turun naik pantas. Matanya saling bertentangan dengan penuh kemarahan. Tanpa sebarang kata, Hakimi menolak pintu makmal dengan kuat dan terus beredar.

Kemarahan Dr. Danial sedikit reda. Hakimi keluar demi untuk meredakan tekanan masing-masing. Dr. Danial hanya mampu melihat Hakimi keluar dan terus hilang dari pandangannya.

Hakimi menghampiri motorsikal yang diletakkan berhampiran makmal rahsia. Bersiap sedia untuk pulang ke rumah. Namun tindakannya itu ditahan oleh Dr. Danial.

“Hakim. Ada satu perkara yang kau perlu tahu.” Kata Dr. Danial. Hakimi seperti tidak mengendahkan. Kunci motornya di putar untuk menghidupkan enjin. “berkaitan dengan bapa kau.” Sambung Dr. Danial.

Tindakan Hakimi terhenti. Marahnya bertukar dengan perasaan yang ingin tahu. Sifat marahnya tidak dapat menandingi kerisauan yang bakal berlaku kepada bapanya.

“Kenapa dengan ayah aku?” tanya Hakimi.

“Dr. Rahman ada sampaikan pesanan. Aku tunjukkan kau.” Kata Dr. Danial mengajak Hakimi masuk semula ke makmal untuk menyampaikan maklumat kepada Hakimi.

Dr. Danial menaip sesuatu di papan kekunci. Setelah itu emel pesanan video terpampang. Kelihatan di situ hanya Dr. Rahman seorang. Beliau berniat menyampaikan ucapan.

“Salam sejahtera team Projek Raphael. Ada berita penting yang ingin saya sampaikan. Seperti mana yang kita tahu operasi bawah naungan Jeneral Karim adalah sangat bahaya untuk dibiarkan. Misi dan visi mereka sangat berisiko dan bakal memusnahkan kita semua. Dengan ini saya mengambil langkah drastik dan pantas, namun paling berkesan untuk menghentikan niat dan usaha mereka. Saya dan beberapa ahli tertinggi yang lain akan mengambil perjalanan yang jauh dan panjang untuk pergi ke planet YR17ZZ untuk menjalankan urusan diplomasi di sana. Dengan harapan segala urusan dan hubungan dengan planet itu dihentikan. Saya sedar ianya amat bahaya...” kelihatan Dr. Rahman melepaskan keluhan. Kemudian menyambung kembali. “saya amat mengharapkan sokongan dan doa dari kamu semua. Semoga saya selamat pergi... dan kembali. Perjalanan dan urusan mungkin mengambil masa kurang sebulan...” Ucapannya terhenti. Dia mengambil nafas untuk melanjutkan kata-katanya. Dia bersuara kembali.

“Dan ini adalah maklumat yang paling penting, yang perlu saya berikan penekanan. Antara yang terlibat dalam menjayakan misi ini adalah diri saya sendiri dan beberapa anggota diplomat, juga pengawal peribadi, termasuklah bapa kamu Hakimi, Tuan Othman. Dia adalah kawan saya yang paling saya senangi dan saya percayai. Saya amat menghormati bapa kamu. Dan saya amat mengharapkan khidmatnya untuk kali terakhir. Walaubagaimanapun saya memberikan jaminan bahawa semuanya adalah terkawal.” Ucap Dr. Rahman di alam digital itu.

“Tiada apa yang perlu dipersoalkan mengenai hal ini, kerana ianya adalah tanggungjawab dan tugasan yang perlu digalas untuk memastikan Nadi Bima Berhad terus bernafas dan memberikan perkhidmatan yang baik kepada masyarakat secara keseluruhannya. Sudah menjadi hakikat hidup, untuk berjaya dan menggapai sesuatu yang lebih tinggi, seseorang haruslah sanggup mengambil risiko terhadap segala impiannya. Kerana mereka yang tidak melakukan kesilapan adalah mereka yang tidak melakukan apa-apa dan itu adalah suatu kelemahan yang menyedihkan. Saya memberikan jaminan keselamatan kepada semua pegawai yang terlibat dalam misi penting ini.” Ucap Dr. Rahman lagi.

“Sebelum saya akhiri mesej ini, saya mengharapkan team kamu dapat bersama-sama saya pada malam esok, untuk membantu kami berlepas dengan selamat. Kerana saya menjangkakan akan wujud kesukaran untuk saya laksanakan misi ini. Saya memberikan arahan kepada kamu Hakimi, bersama dengan sut Raphael yang telah ditingkatkan tahap kecekapannya, untuk melindungi saya, bapa kamu dan pegawai yang lain supaya dapat berlepas dengan selamat, begitu juga dengan kamu berdua, Qaireen dan Mustaffa. Ini adalah satu arahan dan inilah tugasan yang perlu kamu lakukan esok.” Kata Dr. Rahman memberikan arahan kepada pekerja bawahannya.

“Saya juga meminta maaf kerana menyampaikan mesej ini dengan persediaan yang pendek. Kesibukan saya dengan temujanji dan meeting membuatkan saya kurang mempunyai masa untuk membuat pengumuman ini. Kesibukan ini amat saya kesali.” Ucap Dr. Rahman memohon maaf kepada semua yang terlibat.

“Semoga dapat berjumpa lagi setelah misi ini selesai nanti. Assalamu’alaikum...” Dr. Rahman mengakhiri ucapannya. Dengan serta-merta juga skrin itu terpadam.

Hakimi buntu dan lidahnya kelu. Luluh hatinya mendengarkan khabar yang berat baginya untuk diterima. Baru kini dia dapat tahu bapanya juga turut terlibat malah adalah antara orang penting dalam syarikat itu.


Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku