RAPHAEL
Bab XVII
Genre: Thriller/Aksi
Kategori: Novel
Paparan sejak 31 Mac 2017
Jeneral Karim telah menyalahgunakan sumber bahan mentah dari planet asing dalam pembangunan teknologi ketenteraannya. Dengan kesedaran ini, sekumpulan saintis dan mereka yang terlibat dalam menentang projek yang berisiko tinggi ini, mencipta sut khas yang dapat menghapuskan bahan mentah itu, sekaligus menggagalkan rancangan Jeneral Karim.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
222

Bacaan






Kedengaran pintu pejabat diketuk.

“Masuk.” Detektif Mukhriz memberi kebenaran.

“Tuan.” Sapa Inspektor Hisham.

“Ya, Sila duduk.”

“Tuan Mukhriz, ini fail keputusan soal siasat yang dah kami lakukan.” Lapor Inspektor Hisham. Seperti dijanjikan, laporan dihantar pada waktu petang.

“Terima kasih, saya akan teliti laporan ni kejap lagi. Kalau ada apa-apa nanti saya beritahu. Lagi satu, saya perlukan rakaman cctv untuk kejadian malam semalam. Jumpa pihak pengurusan pusat beli belah di situ untuk dapatkan rakaman tu.”

“Baik Tuan. Saya akan dapatkan.” Balas Inspektor Hisham.

Detektif Mukhriz mengesyaki sesuatu apabila melihat wajah Inspektor Hisham berubah dan terdiam. “Kenapa? Ada apa yang tidak kena?”

“Kes ini agak pelik. Saya tak dapat nak buat andaian untuk kes ni.”

“Apa teori yang kau ada?”

“Aku tak tahu. Biasanya kalau ada pembunuhan dan rompakan. Paling tidak pasti melibatkan faktor individu itu sendiri, ataupun sindiket dadah atau kongsi gelap. Tapi yang ini lain. Seolah-olah ada faktor dalam teknologi ataupun kuasa besar lain yang kita tak tahu.” Kata Inspektor Hisham membuat andaian.

“Baik. Tak mengapa, nanti aku bincangkan dengan komisioner. Terima kasih.”

“Baik Tuan. Boleh rujuk saya kalau ada apa-apa pertanyaan.”

“Baik. Terima kasih sekali lagi.”

“Sama-sama, Tuan.” Balas Inspektor Hisham. Terus beredar keluar dari bilik pejabat Detektif Mukhriz dengan seribu tanda tanya.

Fail yang ada ditangannya akan diperiksa dan dibaca dengan teliti. Kertas-kertas laporan, rakaman soal siasat, sampel bahan bukti dan segala perincian yang lain yang ada dalam fail itu akan dibuka dan dibawa ke muka pengadilan. Dengan segala deria dan firasat yang dimiliki Detektif Mukhriz, dia tidak sabar untuk mengetahui apakah yang tersembunyi disebalik kes jenayah yang tertangkapnya dengan sendiri. Pelbagai andaian bermain dalam pemikirannya. Teori demi teori yang dicipta dalam cubaan untuk mendedahkan apa sebenarnya yang telah berlaku. Setiap kali bukti dihadam dan di analisa dalam kepalanya, setiap kali itu juga andaian dibuat terhadap sebarang kemungkinan yang kes jenayah itu. Rekod rakaman suara soal siasat di dengar. Suspek demi suspek.

“Encik Rafi, jangan berselindung dengan kami. Encik akan tahu apa yang akan kami lakukan nanti. Terangkan kepada kami tujuan kau merompak mesin ATM malam semalam.”

“Saya tak akan buat kalau keadaan tak mendesak seperti ini?”

“Secara berkumpulan? Jangan cuba bohong kami.”Hentak Inspektor Hashim. “Beritahu kami kenapa kau rompak mesin ATM tu!!!”Tengkingnya pula.

Encik Rafi terdiam. Seperti menyembunyikan motif utama tujuan rompakan berkumpulan dibuat. Enggan memberitahu kebenaran yang tersirat.

“Kami perlukan sokongan duit untuk dapatkan bantuan senjata.”Jawab Encik Rafi ringkas.

“Baik. Tapi kenapa kau dah terikat bila pihak polis sampai. Kau semua dalam ketakutan. Siapa yang buat? Siapa yang tambat kau?”

Rakaman yang didengarnya itu hanya senyap dan sunyi kedengaran.

Aku tak tahu.”

“Sekurang-kurangnya terangkan kepada aku bagaimana bentuk muka orang tu.”

“Dia bukan manusia.”Kedengaran suara Suspek sedikit gementar.

“Habis kalau bukan manusia, siapa makhluk tu? Apa benda makhluk tu? Hantu? Jin? Malaikat?”

“Matanya merah, ada sayap, aku tak dapat nak gambarkan. Kekuatannya luarbiasa.” Suaranya menggigil.

“Engkau pernah nampak dia sebelum ni?”

“Tak, tak pernah.”

“Kau tahu siapa dia?”

“Tak, aku tak tahu.”

“Lagi apa yang kau nampak pada makhluk tu?”

“...”

“Encik Rafi, jawab.”

“...”

“Hey, jawab.”

“...”

Rakaman itu didengarnya dengan teliti. Dahi Detektif Mukhriz berkerut seketika apabila mengetahui Encik Rafi terdiam tidak menjawab pertanyaan. Pelbagai andaian dibuat terhadap diamnya suspek itu. Trauma mungkin. Apakah perasaannya ketika itu, apakah ingatan atau bagaimanakah pemikirannya.

Siasatan Detektif Mukhriz tidak terhenti setakat disitu. Dicapai cappolis miliknya dan terus keluar dari pejabat. Dengan segera juga dia meninggalkan ibu pejabat dan terus memandu keretanya ke balai siasatan. Bertujuan untuk menyiasat dan melihat sendiri kesan kerosakan van penjenayah. Sesampai saja di tempat itu, Detektif Mukhriz menunjukkan kad kuasa kepada pegawai yang bertanggungjawab menjaga bahan bukti kes. Kad kuasa itu sangat penting untuk mendapat akses menyiasat van tersebut.

Dihampiri dengan teliti dan perlahan. Melihat setiap sudut van itu dengan berhati-hati dan tidak ada sesuatu pun yang terlepas pandang, hatta sekecil apa sekalipun bahan atau sampel yang mungkin ada dalam van. Otaknya ligat menganalisa dan membayangkan apa yang telah terjadi. Dia mencipta imaginasi dan teori sendiri terhadap kesan kerosakan van. Setelah itu dilihat pula kedua-dua pintu yang tertanggal akibat direntap makhluk menyeramkan. Kedua-dua pintu itu betul-betul diletakkan bersebelahan slot pintu yang lopong. Diletakkan di atas lantai. Sekali lagi, Detektif Mukhriz melihat pula pintu yang remuk. Cermin yang telah pecah akibat menerima tekanan yang kuat; tumbukan. Kali ini lebih teliti dan tajam. Dia semakin teruja ingin tahu, makhluk apakah yang mempunyai kekuatan sehingga mampu menanggalkan pintu van hanya dengan menggunakan kekuatan fizikal, iaitu tangan. Kelihatan juga pada bahagian bingkai cermin, bekas kopakan akibat direntap dengan kuat oleh tangan. Kesan itu terdapat pada kedua-dua bilah pintu yang diletakkan di atas lantai.

Detektif Mukhriz melutut. Memakai sarung tangan yang tersimpan dalam saku seluarnya. Kemudian menyentuh tempat kopakan pintu berhampiran tempat masuk cermin ke dalam bilah pintu. Dia merasakan timbulan yang kasar dengan jarinya. Maka terbayanglah dalam fikirannya suatu makhluk seperti yang digambarkan oleh Encik Rafi. Mata merah, bertubuh sasa hitam dan bersayap lebar sedang merentap pintu itu. Selepas pintu depan, pintu belakang pula disentuh dan diteliti sedalam-dalamnya.

“Ada sesuatu yang boleh Tuan beritahu, yang boleh dikongsikan?” sapa seseorang dari belakang. Menyedarkan Detektif Mukhriz yang sedang fokus menyiasat mencari jawapan. Dia menoleh ke arah suara itu, mendongak.

“Belum lagi. Masih dalam siasatan.” Balas Detektif Mukhriz. Berdiri kemudian bersalaman dengan lelaki yang turut beruniform polis. Berumur sekitar 40-an.

“Saya Inspektor Zaid.” Kata polis lelaki itu.

“Saya Cif Inspektor Mukhriz.” Jelas Mukhriz pula.

“Oh, jadi inilah kes Tuan.”

“Ya, dan saya bersemangat nak tahu apa sebenarnya yang dah jadi.”

“Dah ada jawapan?”

“Setakat ni cuma andaian dan teori. Saya tak dapat nak beritahu apa-apa.” Kata Detektif Mukhriz cuba menyembunyikan penemuan kes.

“Oh, okey.”

“Kita ada kes yang agak pelik.” Kata Inspektor Zaid.

“Ya, satu kes... dua kejadian yang sedang dalam perhatian. Yang satu mudah untuk dijelaskan. Tapi belum dapat jawapan untuk yang satu lagi.” Kata Detektif Mukhriz. “Ada sebarang teori?”

“Saya tak pasti.” Jawab Inspektor Zaid.

“Kenapa, sebab dengar mungkin pelik? Macam tak logik?” Kata Detektif Mukhriz, menyergah minda Inspektor Zaid.

“Tak... tapi ia kedengaran sangat bahaya.”

“Kau dah temui jawapan, tapi kau tak yakin dengan apa yang kau fikirkan.” Kata Detektif Mukhriz. Kemudian menyambung lagi. “Abad 21, zaman yang kita hidup sekarang ni, zaman yang boleh merealitikan segala imaginasi. Kau kena buka minda, sesuatu yang kau rasa mustahil mungkin sama sekali tidak. Kebenaran ada di luar sana.”

“Kalau betul, macam mana kau nak buktikan nanti?” Tanya Inspektor Zaid.

“Itu tak penting. Yang penting aku dapat tahu hakikat yang sebenarnya.” Kata Detektif Mukhriz, kemudian terus beredar dari balai yang menempatkan van kes rompakan. Dia berjalan menuju kenderaannya. Dipandu untuk pergi ke kawasan rompakan pula, iaitu di kawasan pusat beli-belah.

Inspektor Zaid hanya melihat sehingga kenderaan itu sebati bersama kenderaan lain di jalanraya.

Petang itu sekitar jam empat petang sampailah Detektif Mukhriz di tempat kejadian rompakan. Dari dalam kenderaannya dia melihat masih ada sebilangan pegawai forensik masih mengumpul dan mencari bahan bukti. Pita kuning dengan notis ‘GARISAN POLIS DILARANG MELINTAS’ merentas setiap penjuru lalu membentuk kawasan segi empat yang luas. Sebagai kawasan yang sebelumnya kejadian yang menggerunkan telah berlaku. Detektif Mukhriz menghentikan kenderaannya berhampiran kawasan larangan lintasan orang awam. Keluar dari kereta dan memperhalusi penglihatannya ke segenap ruang siasatan. Mindanya masih lagi tercari-cari klu atau jawapan yang masih lagi samar-samar. Dilihatnya bahan bukti yang masih berada di lantai dengan keadaan yang telah dilabelkan dengan kod-kod tertentu. Kemudian membayangkan kejadian yang telah berlaku malam tadi. Bagaimana ia berlaku sejak dari van tersebut datang menghampiri pintu masuk yang di dalamnya terdapat mesin wang ATM, sehinggalah kejadian yang misteri terjadi, di mana kesemua perompak itu telah terikat.

Dia melihat pula anggota forensik menjalankan tugas. Masing-masing fokus menjalankan siasatan. Detektif Mukhriz teringat satu perkara yang telah mengejutkan pemikiran normalnya. Dengan perlahan dia mendongakkan wajah dan memandang langit petang di mana pada malam kejadian terlihat satu lembaga yang telah terbang menjauh. Walaupun samar-samar, dia pasti itu bukanlah burung helang atau gagak. Kerana lembaga yang sedang terbang itu besarnya seperti manusia. Mindanya tercuit lalu mendatangkan ilham. Tanpa berlengah terus saja dia menuju ke kenderaannya dan cuba untuk menghampiri ke tempat lembaga itu terbang tinggi tatkala langit malam yang samar, yang telah dilihatnya sebelum ini.

Lembaga hitam itu terbang menuju ke suatu tempat berhampiran kawasan rekreasi di hujung tebing sungai yang besar. Tempat riadah itu amat indah dengan hiasan pokok-pokok, tempat pejalan kaki dan juga disediakan bangku dan kerusi untuk orang awam duduk bersantai sambil menikmati pemandangan sungai yang luas. Kawasan itu menghampiri laut. Di hujung sungai besar itu adalah lautan yang luas.

Setelah sampai, terus saja Detektif Mukhriz keluar dari perut kereta. Kemudian berjalan-jalan sambil matanya mengawasi ke setiap lapangan. Tujuannya adalah untuk mencari sesuatu yang mencurigakan ataupun bahan bukti yang dapat memberinya jawapan terhadap persoalan yang ligat bermain di fikiran. Kelihatan ramai juga orang awam yang berbasikal, berjogging, berjalan dan bersantai bersama keluarga mahupun orang tersayang. Namun langsung tidak di endahkan oleh Mukhriz. Penglihatannya fokus mencari klu mengapakah makhluk hitam itu terbang menghampiri kawasan rekreasi tebing sungai yang indah itu.

Detektif Mukhriz berjalan ke hulu ke hilir. Setelah hampir tidak ada satu pun yang di jumpainya, dia berpatah semula. Begitulah diulang-ulang langkah kakinya. Dari hulu hingga ke penjuru kawasan pejalan kaki di tebing sungai. Ulang-alik dia berjalan. Namun tidak juga dia temui jawapan. Dengan hakikat itu jugalah Detektif Mukhriz membuat keputusan untuk tidak berputus asa mencari bukti.

Setelah penat berjalan, dia merehatkan tubuh. Berjalan menghampiri satu kerusi panjang diperbuat dari kayu, lalu duduk di situ. Matanya merenung sungai yang luas di hadapan. Kemudian menoleh ke kiri, terlihat pula lautan luas yang sungguh mendamaikan. Angin petang menyapa sedikit kuat kadang-kadang ke badan, keletihan telah rasa berkurang. Matanya sayu melihat kecantikan alam. Kesal dengan hakikat hidup. Sungguhpun indah ciptaan Tuhan, ada saja kekejaman berlaku. Ada saja tangan-tangan durjana yang memusnahkan kesejahteraan demi kepentingan sendiri. Mengenangkan semuanya ini, dia menarik nafas dan melepaskan keluhan perlahan. Terus dia bersandar di kerusi panjang itu.

Sedang dia termenung melihat keindahan alam ciptaan Ilahi, beberapa remaja datang berbasikal, ada di antara mereka menyandarkan basikal itu pada sebatang pokok berhampirannya. Detektif Mukhriz dikejutkan dengan keriuhan sekawan remaja itu yang telah bersiap sedia dengan kasut roller blade masing-masing di tangan. Menjalani aktiviti riadah di waktu petang bersama rakan-rakan.

Matanya mengekori pergerakan sekawan remaja itu yang aktif dan penuh semangat. Kemudian Mukhriz tersenyum sendiri. Dialihkan pandangannya pula ke arah himpunan basikal yang menyandar pada pokok yang tinggi dan sedikit besar. Lalu hatinya terdetik, mungkin akan menjadi satu kesalahan jika kenderaan bermotor meletakkan kenderaan mereka dengan sesuka hati di kawasan rekreasi itu. Dengan tanggapan itu jugalah pemikirannya tersentak. Seolah-olah dikejutkan sesuatu yang menyedarkannya dari lena. Tanpa berlengah terus saja Detektif Mukhriz bangkit dari duduk dan melihat kawasan keliling pokok yang disandarkan basikal. Tiada sebarang bukti dapat dilihat. Terus saja dia bergerak menuju setiap pokok-pokok yang ada di tempat rekreasi pinggir sungai besar itu. Satu demi satu keadaan permukaan tanah diperhatikan dengan tajam. Apabila tiada sebarang bukti atau kesan yang kelihatan, dia berpindah pula ke pokok yang lain. Tatkala sampai di tengah-tengah kawasan rekreasi. Dilihat pula pokok yang agak sedikit terlindung. Detektif Mukhriz terkejut dengan penemuannya. Ada bekas tayar motosikal kelihatan. Mukhriz merendahkan posisi tubuh, menunduk kemudian duduk di atas tumit kirinya. Dipegang tanah itu dan di hidu. Di usap dan disentuh dengan deria jari jemari akan kesan bunga tayar motor. Melihat bentuk tanah itu yang masih segar. Dia berkeputusan bahawa kesan tayar itu masih baru. Mungkin semalam. Lantas dia bangun dan melihat sekeliling. Sekali lagi dia terkejut tatkala dari tempat itu jugalah dari jauh dia mampu melihat pusat beli belah. Sekalipun samar kerana jauh, dapat juga dilihat dengan jelas kedudukan yang betul-betul terlihat tempat kejadian rompakan itu berlaku.

Diambil telefon bimbit dalam poket seluar. Di dail satu nombor dengan pantas dan terus menghinggap ke telinga kirinya.

“Hello 999, saya Cif Inspektor Mukhriz bercakap. berkaitan kejadian rompakan yang berlaku malam semalam. Tolong bagi saya maklumat lengkap orang yang membuat panggilan kecemasan. Saya perlukan alamat rumah dan nombor telefon. Saya perlukan maklumat kesemuanya!!” Kata Mukhriz dengan pantas. Dia mendengar perbualan pihak pengurusan panggilan kecemasan 999 yang samar-samar.

“Ya, faks kan kepada saya sekarang!!” Arah Detektif Mukhriz dengan tegas. Dia perlukan maklumat itu segera supaya dengan pantas juga dapat dia hurai misteri yang sedang bermain dalam fikirannya.

Dengan segera juga Detektif Mukhriz beredar dari pusat rekreasi tebing sungai besar. Memecut kenderaannya dengan laju menuju ke pejabatnya.


Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku