RAPHAEL
Bab XVIII
Genre: Thriller/Aksi
Kategori: Novel
Paparan sejak 31 Mac 2017
Jeneral Karim telah menyalahgunakan sumber bahan mentah dari planet asing dalam pembangunan teknologi ketenteraannya. Dengan kesedaran ini, sekumpulan saintis dan mereka yang terlibat dalam menentang projek yang berisiko tinggi ini, mencipta sut khas yang dapat menghapuskan bahan mentah itu, sekaligus menggagalkan rancangan Jeneral Karim.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
234

Bacaan






Hari ini adalah hari yang paling sayu untuk keluarga Encik Othman. Lebih sayu adalah isterinya yang setia, iaitu Rahimah. Pasti sunyi kembali hari-hari yang dilalui selepas ini tanpa suami di sisi. Walaupun sudah biasa dia melalui keadaan seperti ini semasa Othman masih lagi berkhidmat. Akan tetapi perasaan ini lain, malah jauh lebih resah. Tiada apa yang Rahimah mampu lakukan. Demi tugas suaminya, dan demi kesejahteraan keluarga mereka, Rahimah tetap akur dengan ketentuan. Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya.

Sekalipun sudah berusia, masih lagi Encik Othman kelihatan segak mengenakan uniform lengkap anggota delegasi Malaysia. Dia berdiri di hadapan cermin biliknya, menatap wajah sendiri dengan yakin dan pasrah. Dia mewakili planet bumi untuk menghentikan urusan pertukaran komoditi dan perhubungan dengan planet yang kejam dan sentiasa berperang dan berbalah sesama mereka. Tugas ini pastinya sukar, namun dia yakin dengan percaturan Dr. Rahman, kerana Dr. Rahman bukanlah calang-calang ketua yang dengan kebijaksanaan pengurusannya, syarikat itu masih lagi mampu berdiri dan hidup dengan hebat. Menguruskan segala perhubungan dengan planet dan kehidupan lain di luar bumi dengan teratur dan aman, setakat ini.

Tuan Othman melangkah keluar dari rumahnya dengan gagah. Di perkarangan rumah sudah tersedia dua buah kereta pengiring untuk mengambilnya ke terminal berlepas sokongan. Dua orang pengawal yang bertugas untuk mengambilnya pergi sudah sedia berdiri di pintu penumpang yang terbuka. Sebagai tanda Tuan Othman akan menaiki kenderaan tersebut.

Langkah Othman terhenti, apabila dia berada di tengah-tengah di antara kenderaan untuknya bertolak dan isterinya yang tercinta, yang berdiri dengan lemah dan hiba di hadapan pintu rumah.Dia menoleh kembali melihat Rahimah, hatinya amat berat untuk meninggalkan cinta hatinya.

Dengan perasaan hiba penuh kesedihan yang membebani perasaan, Tuan Othman bergerak patah semula menuju isterinya. Selangkah demi selangkah. Amat berat untuknya juga berpisah dengan isteri tercinta dengan jangka waktu yang agak lama.

Setelah hampir, Tuan Othman memegang kedua-dua lengan Rahimah dengan erat. Mata isterinya yang berkaca itu ditatap dengan tabah dan sayu.

“Abang akan balik lagi...” kata Othman meyakinkan Rahimah, walaupun dia sendiri tahu peluang itu agak sukar. Mungkin dia selamat, mungkin juga akan terbunuh dan terkorban di planet yang kacau bilau itu.

Mendengar kata-kata itu membuatkan Rahimah terus menitiskan airmata kesedihan yang memilukan. Othman mencabut satu butang pangkat yang kecil bentuknya, kemudian diberikan kepada Rahimah sebagai tanda kenang-kenangan dan janji untuk kembali.

Tanpa berlengah dia terus meninggalkan isterinya dengan terpaksa. Masuk ke dalam kereta Proton Perdana keluaran 2016 berwarna hitam. Pintu kenderaan itu ditutup oleh pegawai pengiring dan masing-masing masuk ke dalam kenderaan. Dengan perlahan dua buah kenderaan bergerak dan meninggalkan perkarangan rumah Tuan Othman.

Hari petang hampir ke senja. Othman pergi meninggalkan Rahimah yang masih lagi tercegat di hadapan pintu dengan linangan air mata dan hiba yang tak tertanggung.

***

Senja telah merangkak masuk ke zon malam. Di tengah-tengah hutan tebal yang langsung tidak terdapat kawasan perkampungan menjadi lokasi strategik untuk terminal berlepas sokongan diwujudkan. Kenderaan Tuan Othman perlahan-lahan bergerak melalui jalan yang berlumpur dan sempit. Di kiri kanannya hanyalah bertemankan hutan yang sunyi lagi mengerikan.

Tidak lama selepas itu sampailah mereka dengan pintu pagar keselamatan yang berdawai dan mempunyai pondok pengawal keselamatan. Terdapat juga anggota beruniform askar mengawal pintu masuk itu. Setelah hampir, mereka sedia maklum akan kehadiran Tuan Othman. Dengan perlahan pintu pagar dibukakan.

Kenderaan itu bergerak lagi menghampiri hangar yang di dalamnya terdapat kapal angkasa berkelajuan sangat tinggi yang tidak mampu dicipta oleh manusia pada zaman ini.

Tuan Othman terkejut. Di hadapan pintu besar hangar kelihatan anaknya, Hakimi bersama beberapa orang lagi yang tidak dia kenal, ada yang beruniform polis dan ada juga beruniform komander. Mereka semuanya sedang menantikan kehadirannya. Kelihatan Hakimi berwajah pasrah. Menjalankan tugas di antara rela dan terpaksa. Berat rasanya dia menggalas tugasan penting ini.

Kenderaan terhenti dan Tuan Othman keluar darinya. Berdiri berhampiran pintu kereta yang baru di tutup. Dia melihat kesemua orang yang berada dihadapannya. Menunggu sesuatu. Cahaya di kawasan itu agak terang, cukup terang untuk seluruh struktur hangar itu kelihatan. Sekali pandang, bangunan itu mampu memuatkan dua buah pesawat Boeing 747. Tinggi hangaritu ibarat ketinggian sebuah stadium bola sepak yang besar.

Tiba-tiba pintu hangar itu terbuka. Seperti menyedari Tuan Othman baru sahaja sampai. Kelihatan di balik pintu yang terbuka perlahan itu adalah Dr. Rahman - Pengasas Nadi Bima Berhad, Dr. Ismail – Timbalan Ketua Pengurus NBB, Dr. Hashim – orang yang setia berusaha membantu mengurus segala hal berkaitan syarikat, dan juga Tuan Nasaruddin, yang bertanggungjawab mencari ahli terbaik untuk syarikat dalam apa jua jawatan. Masing-masing segak memakai uniform sekalipun sudah berusia hampir separuh abad. Dr. Rahman dengan blazernya yang kemas, begitu juga dengan Dr. Ismail. Manakala Dr. Hashim lebih selesa mengenakan vast cotton tanpa lengan beserta kemeja kelabu gelap, juga Tuan Nasaruddin yang memakai vast korporat yang berkilat. Mereka semua telah sedia lama menunggu kehadiran Tuan Othman.

Dr. Rahman tampil berjalan kehadapan sendirian menghampiri Tuan Othman.

“Silakan Othman. Kita dah kesuntukan masa sekarang.” Kata Dr. Rahman sambil mendepa tangan kanannya menunjukkan arah untuk Tuan Othman melangkah masuk ke dalam hangar itu.

Tanpa berlengah, Othman berjalan masuk. Setiap langkahnya, pandangan sentiasa tertumpu pada satu objek besar yang mengagumkan yang terdapat dalam bangunan itu. Samar-samar kelihatan tetapi dia sedar objek itulah yang akan dinaikinya nanti untuk menjelajah ke angkasa lepas yang jauhnya berjuta-juta batu tahun cahaya. Dr. Rahman mengikutinya dari belakang.

Apabila bergerak menghampiri anaknya, Hakimi, lantas wajah yang sedang pasrah itu dipandang. Dipegang bahu kiri lelaki muda itu dengan tangan kirinya tanpa sebarang kata. Namun dari mata Othman itu menceritakan segala-galanya yang ada dalam hati. Dia meletakkan harapan yang tinggi kepada Hakimi untuk menjaga kesejahteraan hidup keluarganya sepanjang ketiadaan diri. Hakimi juga diam tanpa sebarang kata. Hanya pandangan matanya memberitahu bahawa jiwanya berat menanggung hakikat yang sedang terjadi sekarang ini. kenyataan yang mengejutkan.

Selepas menatap mata anaknya itu agak lama, lantas Othman bergerak menuju objek besar yang juga kapal pengangkutan angkasa. Objek terbang itu tidak dapat dikenalpasti apakah jenama dan modelnya, juga dari syarikat manakah ianya dibina. Apa yang pasti, apabila melihat kapal angkasa besar yang berbentuk segiempat tepat leper itu, ianya bukanlah buatan manusia.

“Aku percaya dengan kebolehan kau.” Kata Dr. Rahman kepada Hakimi, yang juga memegang bahu budak muda itu selepas Othman. “Tutup pintu dan kunci rapat!” Katanya lagi kepada petugas penjaga pintu besar. Supaya operasi dapat dijalankan dengan lancar. Anggota teamRaphael dibiarkan berdiri di luar bangunan untuk menjaga keselamatan disekitarnya. Hanya Dr. Danial yang turut mengiringi pegawai tertinggi organisasi itu.

Lantas Dr. Rahman dan lima sahabat dan pekerjanya yang lain bergerak seiring menuju kapal angkasa. Sejak dari tadi sudah tersedia ibarat lif yang lebar tetapi tanpa pintu, tergantung di bawah kapal itu, sebagai medium untuk masuk ke dalam pesawat.

Langkah mereka terhenti dan masing-masing memandang pesawat asing itu dengan pandangan kagum. Pesawat asing itu berbentuk segiempat sama yang besarnya ibarat dua padang bolasepak dan berketinggian hampir bersamaan dengan bangunan tiga tingkat. Di atas dan bawah pesawat berbentuk bumbung yang amat datar, memuncak pada dua sudut segiempat yang bertentangan.

“Mana kau dapat benda ni?” tanya Othman kepada Rahman.

“Perdagangan angkasa. Mereka tak sekali-kali akan berikan secara percuma, mahupun derma.” Balas Rahman.

“Dah bersedia?” kata Dr. Rahman lagi kepada Othman. Namun tiada jawapan dari sahabatnya itu. Lantas Dr. Rahman memulakan langkah masuk ke dalam lif yang tergantung dibawah pesawat. Tidak lama kemudian diikuti oleh Othman dan lima orang pegawai pengiring lain yang ditugaskan khas untuk mengikuti misi penting. Setelah semua berdiri di atas lif yang lebar. Dengan perlahan pula lif itu naik ke atas membawa masuk penumpang ke dalamnya. Setelah lif telah sempurna naik, maka tiga pegawai tertinggi berganjak kebelakang untuk mengelak sinaran cahaya yang amat terang yang bakal bersinar setelah enjin pesawat asing itu dihidupkan nanti.

“Kau tahu Othman, Karim dulu adalah antara sahabat aku yang baik. Dia sangat bertenaga dan bersemangat dalam melakukan apa yang dia sukai. Dari zaman sekolah menengah hinggalah kampus. Aku sentiasa kagum dengan semangatnya. Dia berminat untuk menjadi anggota tentera, sebab sesuai dengan jiwanya yang lasak dan suka menyahut cabaran yang besar. Sifat ini sangat aku kagum. Jadi, aku tawarkan kepadanya projek untuk dikendalikan, dan projek ini sangat besar potensinya untuk mendapatkan keuntungan dan memberikan perkhidmatan yang baik untuk masyarakat negara ni. Suatu sumber tenaga luarbiasa yang mampu menghidupkan hampir apa sahaja yang terdapat dalam industri, tanpa habis. Lebih efisien dan cekap, kalis bencana. Tanpa kesan sampingan dan pencemaran. Tapi aku silap, teknologi yang aku bagi kepadanya membuatkan dia menjadi tamak dan buta hati. Kecanggihan teknologi yang aku berikan membuatkan dia pentingkan diri sendiri dan ingin mengaut segala keuntungan dan faedah teknologi untuk dirinya sendiri...” jelas Dr. Rahman kepada Othman yang mendengarkannya dengan setia, kemudian dia melepaskan keluhan.

“Aku bersimpati dengan nasib malang kau.” Kata Othman.

Dr. Rahman tersenyum, bersimpati dengan dirinya sendiri. Kini mereka semua telah berada dalam perut kapal angkasa. Tiada sebarang tingkap untuk mereka melihat keluar dari pesawat itu. Yang ada hanyalah campuran batu dan logam yang asing yang tidak pernah dilihat dan didapati dari planet bumi.

“Teknologi ketenteraan yang diusahakannya sangat bahaya untuk dibiarkan.” Kata Dr. Rahman. “Aku terpaksa ambil langkah drastik untuk hentikannya.”

Dr. Rahman menekan satu butang pada papan dengan yakin. Kemudian keliling mereka tiba-tiba bagaikan bertukar menjadi skrin yang mempamerkan apa yang berada di keliling pesawat itu. Hanya bahagian lantai dan bumbung pesawat masih kekal dengan keadaan asal. Terpusing-pusing kepala semua pegawai pengiring itu melihat perubahan yang terjadi pada dinding. Mereka mampu melihat Dr. Hashim, Dr. Ismail, Tuan Nasaruddin dan Dr. Danial yang sedang berdiri berhampiran pesawat itu di dalam bangunan. Mereka mampu melihat sekitar pemandangan dalam hangar itu tanpa dilindungi dengan sebarang bingkai atau palang. Mereka mengagumi keadaan itu.

Dr. Rahman menekan satu butang lagi. Tiba-tiba pesawat itu sedikit bergegar dan mengeluarkan bunyi dengung. Tidak kuat kedengaran di dalam pesawat, akan tetapi agak bergema bagi mereka yang berada di luar. Dr. Hashim dan yang lain-lainnya mengundur kebelakang beberapa langkah. Mendengar dengungan itu membuatkan mereka faham bahawa enjin pesawat telah dihidupkan. Dengan serta merta juga cahaya terang benderang memancar keluar dari setiap sudut bucu pesawat asing. Sangat terang sehingga mampu menerangi keseluruhan dalam hangar hingga limpahan cahaya itu melimpah ruah keluar. Hakimi, Komander Mustaffa dan Inspektor Qaireen menyedarinya. Mereka mengalihkan pandangan bagi mengelak pandangan mereka terkena sinaran cahaya yang amat terang.

Dr. Danial dan yang lain mengecilkan mata sambil mengangkat lengan mereka hingga atas dahi bagi melindungi pandangan yang amat silau. Hembusan angin kuat yang keluar dari pesawat membuatkan pakaian mereka sedikit berterbangan. Para petugas di dalam hangar menekan butang pada papan kawalan, lalu terbukalah bumbung bangunan seluas-luasnya bagi membolehkan pesawat angkasa itu keluar melaluinya. Dengan perlahan-lahan kapal terbang yang tidak dapat dikenalpasti terapung, semakin lama semakin tinggi hingga keluar dari hangar itu.

“Radar saya mengesan sesuatu, tiga pesawat dan sepuluh manusia.” Kata Dr. Rahman kepada Othman dengan teruja. Othman bertukar cemas. Pasti ejen-ejen Jeneral Karim hadir untuk membuat serangan yang mungkin akan menghancurkan pesawat yang dinaikinya.

Tiba-tiba kedengaran letupan yang amat kuat berlaku di pintu pagar keselamatan yang terletak lebih kurang tiga kilometer dari hangar. Lantas Hakimi menoleh dan mendapati ejen-ejen Jeneral Karim berlari dengan pantas sambil mengenakan uniform seperti anggota SWAT. Mata mereka hitam keseluruhannya. Di langit pula kelihatan tiga pesawat asing datang dengan amat pantas dan berlegar-legar tidak jauh dari kapal angkasa Dr. Rahman. Bersedia untuk menyerang.

Hakimi menggenggam alat peranti Raphael dan terus mengaktifkannya. Dengan pantas cecair bergetah menyelubungi seluruh tubuhnya lalu bertukar menjadi entiti yang bergelar Raphael. Mereka telah siap sedia untuk bertempur dengan batalion Jeneral Karim yang berlari laju lagi menggerunkan. Bagaikan tanpa belas kasihan ingin membunuhnya.

“Lindungi kami...” Kata Komander Mustaffa, memberikan arahan kepada Raphael. Hakimi mengangguk tanda faham.

Mereka bertiga dengan semangat waja dan berani berlari laju ke arah batalion itu pula. Larian Raphael lebih laju. Dia mengembangkan sayap seluas-luasnya apabila barisan hadapan ejen Karim melepaskan tembakan. Sekalipun tepat sasaran peluru itu ketubuhnya, tiada satu pun yang menembusi. Percikan-percikan api kecil kelihatan apabila peluru singgah ke tubuh Raphael. Komander Mustaffa dan Inspektor Qaireen telah sedia berlindung dibelakang sayap Raphael untuk mereka pula melepaskan tembakan.

“Ada sepuluh orang kesemuanya.” Kata Raphael memberikan maklumat. Mereka semua maklum.

Setelah batalion berhenti melepaskan tembakan, sayap Raphael diturunkan, dan serta-merta Mustaffa dan Qaireen melepaskan tembakan dengan peluru khas yang telah diubahsuai oleh Dr. Danial. Sebaik peluru itu menembusi tubuh ejen Karim, mereka tersembam dan menggelupur kesakitan.

Raphael tidak mempunyai senjata untuk melepaskan tembakan. Namun memiliki kekebalan dan kekuatan tubuh yang luarbiasa. Satu demi satu ejen Jeneral Karim di ajak bertempur. Seorang-demi seorang jugalah patah-patah tulang mereka Raphael kerjakannya. Tumbukan dan tendangan yang bertubi-tubi hinggap ketubuh ejen-ejen itu. Kekuatan yang dimiliki Raphael jauh lebih luarbiasa dari batalion itu.

Komander Mustaffa dan Inspektor Qaireen hanya melepaskan tembakan dari jauh. Adakalanya terpaksa mencari tempat perlindungan apabila peluru ejen-ejen itu dilepaskan ke arah mereka.

Yang lebih mengagumkan adalah pertempuran di antara kapal angkasa Dr. Rahman dengan tiga pesawat asing ejen Jeneral Karim. Bertubi-tubi tembakan laser yang tajam terkena tepat ke arah badan pesawat Dr. Rahman. Sistem pesawat itu sedikit terganggu dan hampir sebahagian fungsi rosak. Namun Dr. Rahman mampu untuk bertenang. Ditekan butang senjata untuk membalas serangan kembali.

Tiba-tiba pesawat segiempat sama yang besar itu mengeluarkan tiga kelipan cahaya berwarna merah serentak yang amat terang di hujung sudut dinding luar pesawat. Selepas kerlipan terang itu hilang, ketiga-tiga pesawat asing yang dipandu oleh ejen Jeneral Karim tiba-tiba meletup dan hancur musnah.

“Tak ada masalah untuk uruskan mereka.” Kata Dr. Rahman kepada Othman. Sekalipun dia tahu pesawat itu sedikit rosak.

Tanpa berlengah Dr. Rahman mengaktifkan mod untuk berlepas menjelajah ke ruang angkasa yang amat luas. Beliau membuat tetapan ‘litar’ lurus dan trajektori untuk berlepas dengan yakinnya. Agak sibuk dia menguruskan sesuatu di atas meja segiempat yang tersedia di situ.

“Kita akan berlepas lagi tiga puluh saat. Semua masuk ke dalam peti keselamatan.” Arah Dr. Rahman kepada Othman dan lima pegawai pengiring yang lain. Lantas mereka bergegas masuk dan berbaring di dalam peti keselamatan masing-masing. Ini kerana pesawat itu akan berlepas dengan kelajuan yang amat tinggi yang akan memudaratkan fisiologi mereka jika tidak berlindung di dalam peti keselamatan.

Kapal angkasa besar yang terapung di atas bumbung hangar bergerak senget sedikit, sayap kiri terangkat ke atas dan sayap kanan ke bawah; mengiring. Dengan sekelip mata pesawat itu meluncur laju ke langit malam dan terus hilang dari pandangan. Cahaya yang amat terang kini hilang dan mengembalikan keadaan kelam seperti biasa. Raphael sempat juga menoleh melihat kapal angkasa itu berlepas. Akibat kelekaan itu, Raphael diserang dengan kuat tanpa belas kasihan. Namun dapat juga dia membalasnya kembali. Bertarung dengan jiwa yang sedih, perit, hiba, terbeban dan dalam masa yang sama pasrah.

Raphael, Komander Mustaffa dan Inspektor Qaireen terus menerus ‘mengerjakan’ mereka hingga kesemua batalion itu rebah tersembam ke bumi.


Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku