RAPHAEL
Bab XX
Genre: Thriller/Aksi
Kategori: Novel
Paparan sejak 31 Mac 2017
Jeneral Karim telah menyalahgunakan sumber bahan mentah dari planet asing dalam pembangunan teknologi ketenteraannya. Dengan kesedaran ini, sekumpulan saintis dan mereka yang terlibat dalam menentang projek yang berisiko tinggi ini, mencipta sut khas yang dapat menghapuskan bahan mentah itu, sekaligus menggagalkan rancangan Jeneral Karim.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
239

Bacaan






Fail kes siasatan diteliti dengan mendalam. Satu demi satu helaian laporan dibaca dan dihadam, kemudian mengaitkannya dengan pelbagai keadaan untuk mencari jawapan terhadap kes kecurian mesin ATM di salah sebuah pusat beli-belah di kota berhampiran. Kes itu dibawah tanggungjawabnya untuk diselesaikan.

Tiba-tiba dia teringatkan laporan faks yang dimintanya dari pusat panggilan kecemasan 999. Maklumat lengkap mengenai seorang pemanggil yang cuba membuat panggilan kecemasan semasa kes itu berlaku. Diambilnya kertas itu dalam laci mejanya, kemudian ditatap dengan teliti sebutir demi sebutir maklumat diri pemanggil.

“Muhd Hakimi bin Othman.” Bisik Detektif Mukhriz.

“Alamat rumah...” kata Mukhriz yang hanya dirinya sahaja yang dengar.

Setelah alamat itu dibaca. Lantas digapai jaket yang tersangkut dikerusi. Dia harus ke alamat rumah itu untuk menanyakan sesuatu dengan lebih lanjut lagi. Bertanya Hakimi apakah yang sebenarnya telah berlaku. Dan yang paling penting makhluk apakah yang terbang di malam hari yang disyaki telah mengikat penjenayah kesemuanya. Dia berharap Hakimi dapat menjawabnya.

Keadaan hari sudah pun petang, sekitar pukul tiga. Kereta yang dipandu Detektif Mukhriz dengan perlahan menuju ke perkarangan rumah Encik Othman. Kereta jenis Toyota Camry V30 buatan sekitar tahun 1990 – 1994 terhenti betul-betul di hadapan rumah itu. Dilihat ke setiap ceruk rumah itu dengan pandangan yang tajam, kemudian melihat ke sekitarnya pula. Dia mengambil kertas maklumat dalam jaketnya dan dilihat kembali alamat rumah seperti yang tercatat. Untuk mengenalpasti dia tidak tersilap alamat yang ditujunya.

Detektif Mukhriz keluar dari kenderaan dengan perlahan. Menuju ke pintu hadapan rumah Encik Othman dan mengetuknya sambil memberi salam.

Tidak lama kemudian kedengaran pintu rumah dibuka.

“Wa’alaikumsalam... ya, encik cari siapa?” tanya Rahimah.

“Ni rumah Encik Othman ke?” tanya Detektif Mukhriz pula.

“Ya, betul.” Jawab Rahimah.

“Saya Cif Inspektor Mukhriz. Polis penyiasat khas.” Kata Detektif Mukhriz memperkenalkan diri, sambil menunjukkan kad kuasa rasminya. “Hakimi anak puan?” Rahimah mengangguk. “Boleh saya jumpa dengan dia?”

Rahimah terkejut, “ada apa encik nak jumpa dia? Anak saya ada buat salah ke?” tanya Rahimah dengan cemas dan sayu, namun sikap tenangnya menyembunyikan semua perasaan itu.

Detektif Mukhriz tersenyum, “Oh, tak. Hakimi dah bantu saya dalam kes siasatan kecurian mesin ATM dekat bandar ni. Dia tak beritahu puan apa-apa?” jelas Mukhriz.

“Tak. Dia tak beritahu saya apa-apa pun pasal hal ni. Saya pun tak tahu pasal kes ni.” Jawab Rahimah.

“Dia ada di rumah?” soal Detektif Mukhriz lagi.

“Oh. Tak ada, dia pergi kerja. Dan saya tak pasti bila dia akan balik.” Jawab Rahimah lagi.

Jawapan itu membuatkan Detektif Mukhriz musykil. Mungkin ada sesuatu yang Rahimah sedang sembunyikan.

“Tak pasti?”

“Ya, sejak kebelakangan ni dia balik rumah tak menentu. Saya sendiri tak faham. Mungkin dia agak sibuk.” Kata Rahimah sambil bersedih.

“Oh, okey. Puan jangan risau. Dia dah buat yang terbaik untuk selamatkan keadaan. Saya nak berterima kasih dekat dia sebenarnya. Dan saya cuma nak tanya beberapa soalan untuk saya selesaikan kes ini.” kata Detektif Mukhriz.

Rahimah hanya mengangguk.

“Mungkin saya boleh datang lain kali bila Hakimi dah balik nanti.” Kata Mukhriz.

“Ya, boleh.” Kata Rahimah ringkas.

“Saya minta izin dulu.”

Rahimah tersenyum dan mengizinkan Detektif Mukhriz pulang.

Detektif Mukhriz menuju ke kenderaannya. Setelah enjin dihidupkan dia beredar dari rumah Encik Othman. Rahimah terus saja memandang kenderaan itu sehinggalah hilang jauh dari pandangannya.

Setelah agak jauh dia memandu, Mukhriz menghentikan kenderaannya di tepi bahu jalan yang agak luas. Jalan kampung yang sempit menyukarkannya untuk mencari tempat keretanya untuk berhenti. Dari kejauhan masih lagi Detektif Mukhriz mampu melihat perkarangan rumah Encik Othman. Dia ingin melakukan pengintipan sendiri. Menunggu dan terus menunggu sehinggalah Hakimi muncul dari penglihatannya, iaitu pulang ke rumah.

Jam demi jam telah berlalu. Kini sudah masuk ke waktu malam. Detektif Mukhriz masih lagi menunggu di dalam keretanya. Hanya dia keluar seketika jika sampai waktu solat. Dari kejauhan lebih kurang beberapa meter, kelihatan rumah Encik Othman masih senyap sunyi. Pada kegelapan malam itu, hanya lampu di dalam rumah menerangi. Wajah Detektif Mukhriz agak kebosanan. Namun dengan semangatnya yang tinggi untuk mendapatkan jawapan dari Hakimi, dia sanggup menunggu, membuat pengintipan dan seterusnya menyiasat hingga ke akar umbi. Dia bersungguh ingin mengetahui apakah makhluk yang menjadi ketakutan para jenayah itu. Tidak henti-henti jam di tangan kirinya ditatap jika perlu. Sudah berjam-jam lamanya dia hanya duduk dalam kereta.

Malam semakin gelap. Dalam diam menunggu, Detektif Mukhriz tertidur dalam kereta. Kelihatan nyenyak tak sedarkan diri. Kepenatan mungkin. Jam di keretanya menunjukkan hampir pukul dua belas tengah malam. Dan pada masa itu jugalah kebetulan Hakimi balik. Kereta Proton Saga Aeoroback buatan tahun 90-an bergerak menghampiri perkarangan rumah. Dari sudut pandangan dalam kenderaan Detektif Mukhriz, seorang lelaki muda keluar dari kereta berwarna hitam dan menuju ke hadapan pintu rumah. Agak lama menunggu, kemudian pintu rumah dibuka oleh Rahimah dan lantas pemuda itu masuk ke dalam. Malangnya semua itu tidak disedari oleh Mukhriz yang sedang lena.

Rahimah mengunci pintu. Hakimi terdiam berdiri di kawasan ruang tamu itu. Seperti ada sesuatu yang ingin disampaikan.

“Mak...” kata Hakimi. “Ayah dah selamat pergi.” Sambungnya lagi menahan perit di hati.

Sudah penat Rahimah melayan perasaan sedihnya. Dia sudah lali dan tidak lagi merasai perasaan itu. Dia hanya terdiam.

“Tapi mak jangan risau. Selagi Akim ada, Akim akan jaga mak.” Kata Hakimi lagi.

Rahimah hanya tersenyum. Dia mengerti akan budi dan nilai baik yang ada dalam peribadi anaknya itu.

“Akim. Walauapapun yang berlaku, mak tahu Akim mampu hadapinya. Mak faham keadaan Akim sekarang sangat sibuk dan genting. Ayah dah ceritakan segala-galanya kepada mak. Apa yang mak nak sekarang, jangan ragu-ragu dengan kemampuan Akim. Pegang misi tu dan buat sampai berjaya. Mak tak akan berputus asa untuk doakan kejayaan Akim.” Kata Rahimah memberi pesan.

Hakimi terdiam, tidak terkeluar kata-kata sekalipun ingin cakap sesuatu.

“Mak ada telefon Abang Long. Mak buat keputusan untuk tinggal dengan keluarga Abang Long dulu. Bukan mak tak sudi nak tinggal dengan Akim, tapi mak beri peluang untuk Akim fokus kepada misi ni. Bila dah berjaya nanti, mak akan balik rumah ni.” Kata Rahimah lagi.

“Mak... maafkan Akim.”

“Jangan risau, mak selalu maafkan Akim. Mak selalu sayangkan semua anak-anak mak.” Kata mak Hakimi lagi. “Esok pagi Abang Long datang. Ambil jemput mak.”

“Baik... mak sendiri pun tahu apa yang sedang Akim hadapi ni sangat bahaya, dan boleh mengancam nyawa Akim sendiri. Kalau Akim tak dapat jumpa mak lagi... andai kata Akim terkorban dalam misi ni...” suara Hakimi tersekat-sekat, amat berat untuk diluahkannya.

“Akim jangan risau, mak sentiasa yakin kebolehan Akim. Akim boleh lalui semua ni dengan berjaya.” Rahimah memintas percakapan anaknya, memberikan harapan dan semangat. Satu hari nanti apabila misi bahaya ini berakhir, mereka akan dapat berjumpa semula dan menghabiskan masa bersama sebagai satu keluarga yang bahagia.

“Satu lagi pesan mak. Apa yang kau lihat ini sungguh mengujakan. Sekalipun berisiko tinggi. Rahsia alam sangat menakjubkan jika dibuka misterinya satu persatu. Tapi jangan Akim terlampau taksub dan hilang pedoman. Selalulah kembali kepada Tuhan. Semua jawapan ada dalam Quran. Carilah dalam tu.” Nasihat Rahimah lagi.

Hakimi mengangguk, dia hanya mampu tabahkan hati melalui hari-hari yang memeritkan. Wajah Hakimi tidak menampakkan sebarang tanda lebam mahupun luka, kerana setiap kali Sang Askar bertempur, pasti akan terlihat kecederaan yang menghiris tubuh. Namun tidak pada Hakimi, sekalipun teruk dibelasah oleh ejen-ejen Jeneral Karim, sistem imunisasi tubuh dan kekuatan sel otot dengan cepat mampu memulihkannya.

Detektif Mukhriz terbangun dari lenanya. Dia sedikit terkejut. Di lihat jam yang terikat di tangan kiri. Menunjukkan hampir pukul empat pagi. Dengan cepat dia melihat perkarangan hadapan rumah Encik Othman yang kelam dan gelap menyelubungi langit. Matanya dikecil-kecilkan apabila terlihat kenderaan Proton Saga AerobackHitam berhenti berdekatan rumah. Di ambil teropong ringkas dalam kenderaanya dan dituju ke arah kereta itu. Mencari klu dan jawapan kalau-kalau wujud pada pemerhatiannya.

Dengan tiba-tiba juga dia teringatkan tugasan dipejabat yang belum diselesaikan. Laporan itu perlu disiapkan segera untuk dipersembahkan kepada pihak berkuasa atasan. Detektif Mukhriz melihat jam tangannya lagi. Lantas enjin kereta dihidupkan dan dia terpaksa beredar dari situ menuju ke pejabatnya, ada urusan yang perlu dia selesaikan segera.

***

Waktu pagi telah tiba. Sekitar pukul sembilan pagi, kenderaan Abang Long, iaitu abang sulong Hakimi datang ke rumah. Dia datang dari ibu kota bersama isteri dan seorang anaknya yang masih kecil. Sekitar umur tiga tahun. Satu lagi hari yang terpaksa dilalui dengan berat hati oleh Hakimi, Rahimah; mereka sekeluarga.

Abang Long dan isteri hanya menunggu di luar rumah. Menunggu maknya untuk dibawa tinggal bersama.

Setelah agak lama menunggu, pintu rumah terbuka. Kelihatan Hakimi mengangkat beg galas besar yang di dalamnya dimuatkan lipatan-lipatan pakaian. Berjalan menuju bonet kenderaan. Kemudiannya kelihatan Rahimah pula keluar dari rumah dengan pakaian yang agak cantik dan kemas.

“Abang tak nak masuk dulu?” tanya Hakimi.

“Tak, takpe, abang nak cepat. Jaga diri kau. Harap kau selalu selamat.” Kata Abang Long. Dia juga telah mengetahui keadaan adik bongsunya itu setelah diceritakan oleh mak.

“Okey.” Balas Hakimi ringkas.

Setelah semuanya siap. Mereka ingin segera pulang ke ibu kota. Sebelum masuk ke dalam kereta, sempat juga Rahimah memandang wajah anak bongsunya itu, yang juga anak ketiga.

“Akim jaga diri baik-baik. Jangan lupa beritahu mak kalau semuanya dah selesai.”

“Baik mak, Akim janji.” Kata Hakimi dengan nekad. Dia bertekad untuk berjaya dalam misi yang amat bahaya, yang dia sendiri tidak pasti entah berakhir dengan masih bernyawa ataupun telah mati.

Perlahan-lahan kereta Abang Long pergi beredar balik ke ibu kota. Hanya Hakimi seorang yang masih berdiri diperkarangan hadapan rumah, sambil melambai-lambai tangannya meraikan perpisahan yang mungkin sementara. Melihat ibunya dan abang sulong sedikit demi sedikit hilang dari pandangan.

***

Sekitar jam dua belas tengahari Detektif Mukhriz ada dipejabatnya. Membuat sesuatu di atas kertas yang dilapisi dengan fail yang terbuka, duduk dikerusinya dengan pandangan yang tekun melihat laporan di atas meja. Tiba-tiba telefon pejabatnya berdering. Ada panggilan masuk dari ketua unitnya. Ditekan satu butang dan panggilan dijawab tanpa mengangkat gagang telefon.

“Hello Mukhriz.” Kata Tuan Megat.

“Ya Tuan Megat.” Balas Mukhriz.

“Boleh ke pejabat saya sekarang?”

“Ya, baik Tuan.”

Panggilan ditamatkan. Dengan segera juga Detektif Mukhriz keluar dari pejabatnya yang tertera nama ‘Chief Inspector Mukhriz’ di hadapan pintu. Dia terus berjalan menuju bilik ketua unit operasi.

Pintu pejabat Tuan Megat diketuk tiga kali.

“Masuk.” Kata Tuan Megat yang lengkap beruniform polis sesuai dengan pangkatnya, dan berkaca mata. Tubuhnya besar dan sasa.

Lantas Mukhriz masuk dan terhenti langkahnya di hadapan meja Tuan Megat. Berdiri tegak dan terdiam.

“Sila duduk.” Pinta Tuan Megat. Mukhriz segera duduk saling berhadapan dengan ketuanya.

Kelihatan Tuan Megat sibuk membelek fail yang dihantarnya pagi tadi. Sehelai demi sehelai disemak dengan teliti. Kemudian memandang Mukhriz.

“Saya dah teliti laporan berkaitan kes kecurian mesin ATM ni.” Kata Tuan Megat. Mukhriz mengangguk tanda maklum. Tidak berkata apa-apa. “ada yang tak kena dengan laporan yang awak sediakan. Boleh awak bagitahu saya apa yang sebenarnya dah berlaku malam tu?” katanya lagi pinta penjelasan yang sahih.

“Mungkin Tuan sendiri sukar nak percaya kalau saya ceritakan perkara sebenar. Sebab saya sendiri pun tak pasti dengan apa yang saya nampak.” Kata Mukhriz.

“Apa yang awak nampak?” Tanya Tuan Megat.

Mukhriz tertawa, kerana dia beranggapan jawapan yang diberikannya nanti bakal menjadi sindiran. “Saya yakin Tuan tak akan percayakan saya.” Tuan Megat hanya terdiam menunggu jawapan Mukhriz. “Apa yang saya nampak masa tu ada lembaga hitam seperti manusia, terbang atas langit, tinggalkan tempat kejadian itu.” Jelas Mukhriz. Kemudian dia tertawa sendirian. Mula-mula perlahan, kemudian kuat. Lucu mungkin.

“Kamu pasti? Atau kamu permainkan saya?!” kata Tuan Megat sedikit berang. Tidak pernah Cif Inspektor Mukhriz bertindak seperti ini. yang dikenalinya ialah, Mukhriz seorang yang bertanggungjawab, pintar dan cekap menjalankan tugasannya sebagai pegawai penyiasat khas.

Mukhriz masih tertawa, kemudian cuba untuk berdiam diri dengan menghabiskan saki-baki tawanya itu. Dia sedar perbuatan itu sangat biadap.

“Tuan boleh tengok sendiri gambar suspek diikat dengan wayar! Siapa yang boleh lakukan semua itu dengan pantas?!! Dan siapa yang mempunyai kekuatan untuk putuskan wayar dan mengikat semua suspek sekaligus?! Sedangkan hampir semua suspek bersenjata dan memiliki kekuatan yang lebih dari orang awam biasa?!” jawab Mukhriz dengan mengeraskan suara. Sedikit marah dengan tuannya. Tawa diwajahnya terus hilang. Mata bertentang mata. Kedua-dua mereka terdiam sambil berfikir dengan ligat.

Tuan Megat tersandar, dan kaca mata ditanggalkan dari wajahnya sambil mengelap kedua-dua belah kanta cermin. Dia memikirkan sesuatu untuk diucapkan. Detektif Mukhriz cuba untuk tenangkan diri. Nafasnya masih turun naik dengan laju, kemudian pandangannya di alihkan ke luar tingkap pejabat.

“Saya dah lalui banyak pengalaman menguruskan kes-kes jenayah. Ada yang mudah untuk disiasat, dan ada yang tetap misteri dan susah untuk dapatkan bukti yang kukuh. Sampai sekarang kes itu tak dapat nak diselesaikan. Kes yang pelik, kejam, dibunuh tanpa meninggalkan sebarang bukti dan kesan. Akhirnya polis menemui jalan buntu.” Kata Tuan Megat menjelaskan kredibilitinya sebagai ketua unit siasatan.

“Adakalanya kita perlu sedar, ada sebahagian yang berlaku tu, di luar kemampuan kita untuk faham. Tapi itu tak menjadi alasan untuk kita lepas tangan tanpa selesaikannya. Prinsip ini tak sesuai untuk digunakan walau di mana sekalipun, oleh sesiapa sekalipun.” Sambung Tuan Megat lagi.

“Sebab tu dari awal saya lebih berminat pilih awak dalam jabatan ni, dan saya berbangga jadikan awak pembantu penyiasat saya. Sebab saya percaya, melalui rekod awak yang saya perhatikan. Semua kes dapat diselesaikan tidak kira walau ianya kelihatan mustahil sekalipun.” Kata Tuan Megat memberikan semangat.

Fail yang terbuka di tutup kemudian disorong ke arah Detektif Mukhriz.

“Saya bagi lagi sedikit masa untuk awak cari jawapan terhadap laporan yang pelik ni. Siasat dan dapatkan jawapan yang sebenar-benarnya. Biar saya sendiri yang berurusan dengan pegawai penilai untuk tangguhkan sedikit masa lagi.” Kata Tuan Megat dengan lembut. “Awak boleh beredar sekarang.”

“Baik Tuan.” Balas Mukhriz, bangun dari kerusinya dan dengan hormat keluar dari bilik pejabat Tuan Megat.

Detektif Mukhriz meluru berjalan ke arah lif bangunan dengan wajah bengang. Dengan segera juga dia ingin meneruskan siasatan yang tertangguh untuk diselesaikan. Setingkat demi setingkat lif turun sampailah ke tempat parkir kereta di bahagian bawah tanah. Setelah masuk ke keretanya dan enjin dihidupkan, terus saja kereta Camry dipandu laju keluar dari bangunan pejabat. Dia perlu berjumpa dengan Hakimi. Saksi yang dianggapnya berkemungkinan dapat mengetahui apakah yang sebenarnya telah terjadi. Dan berharap juga dia mendapat jawapan siapakah sebenarnya yang telah mengikat suspek dengan kuat dan siapakah pula yang terbang dengan sayapnya di malam hari seolah-olah menyelamatkan diri dari dilihat dan disedari oleh orang ramai.

***

Kereta Toyota Camry V30 dengan perlahan berhenti di hadapan perkarangan rumah Encik Othman. Kelihatan kereta Proton Saga Aeroback hitam masih lagi berada di situ. Mukhriz yakin, mungkin dia akan dapat berjumpa dengan Hakimi.

Pintu rumah diketuk dengan agak kerap. Selagi Hakimi tidak munculkan diri, selagi itulah Detektif Mukhriz mengetuknya dengan hormat dan cermat.

Akhirnya kedengaran pintu rumah dibuka.

“Assalamu’alaikum.”

“Wa’alaikumsalam.” Jawab Hakimi dengan wajah yang bingung.

“Awak Hakimi?” tanya Detektif Mukhriz.

“Ya.” Balas Hakimi ringkas dengan wajah blur.

“Saya Detektif Mukhriz.” Kata detektif itu sambil menunjukkan kad kuasa pegawai penyiasat. “Mungkin awak tak kenal saya, tapi awak dapat kaitkan saya dengan kes rompakan mesin ATM beberapa minggu lepas.” Jelas Mukhriz. “Ingat lagi?”

Hakimi terdiam, cuba untuk mengingati peristiwa pada malam itu. “Ya. Saya ingat.”

“Boleh saya tanya beberapa soalan?” pinta detektif itu.

Hakimi hanya terdiam, namun menunjukkan tanda setuju. “soalan?”

“Awak yang buat panggilan kecemasan pada malam tu?” tanya Detektif Mukhriz.

“Ya.”

“Jadi saya nak tahu apa yang awak buat selepas tu?”

Hakimi tersentak. Soalan itu amat bahaya untuk dijawabnya dengan jujur. Rahsia Raphael akan terbongkar sekiranya dia menjelaskan hal sebenar. Wajahnya terpinga-pinga mencari jawapan. Dia cuba untuk memalsukan maklumat.

“Saya hanya mampu perhatikan dari jauh, sambil berharap pihak berkuasa dapat datang dengan cepat untuk tangkap diorang semua.” Kata Hakimi memberikan jawapan.

“Awak pasti?” tanya Mukhriz lagi.

“Ya. Lagipun jika saya cuba nak selamatkan keadaan seorang diri, pasti nyawa saya dalam bahaya. Mungkin saya akan terbunuh.” Kata Hakimi lagi dengan teragak-agak.

Detektif Mukhriz cuba mengorek maklumat dari subjek siasatannya. “atau mungkin tidak jika awak bertukar menjadi makhluk yang bersayap, yang mempunyai kekuatan yang luarbiasa dari manusia normal. Kemudian awak ikat mereka dengan wayar besar yang awak putuskan sendiri dengan kekuatan yang luarbiasa, dan terbang pergi tinggalkan tempat kejadian tu.” Kata Mukhriz mencelah dengan memberikan tekaan, kalau-kalau apa yang diperkatakannya itu benar.

Hakimi terdiam, kemudian tersenyum sinis. Cuba untuk memandang hal itu dengan langsung tidak masuk akal. Dia tidak percaya yang Detektif Mukhriz boleh mengagak sesuatu yang gila-gila. Nampaknya detektif itu bukan calang-calang penyiasat. Namun rahsia Project Raphael harus tetap dirahsiakan walaubagaimana sekalipun. Lagi-lagi kepada pihak berkuasa seperti Mukhriz.

“Tuan detektif. Memang hasrat saya untuk dapat terbang bebas dan ada kekuatan yang luarbiasa. Saya rasa itu impian yang sangat-sangat saya inginkan. Impian saya, dan mungkin impian kita semua. Tapi saya perlu sedar, manusia tak akan mampu terbang dengan sendirinya di dunia nyata ni.” Kata Hakimi cuba berdalih.

“Tapi impian awak akan tercapai kalau awak dah pakai sut hitam yang bersayap tu. Macam mana yang saya nampak pada malam rompakan.” Pancing Mukhriz lagi.

“Tak. Saya tak tahu langsung pasal semua benda mengarut ni.” Hakimi menafikan sekeras-kerasnya.

“Okey.” Detektif Mukhriz mengalah. “Mungkin saya dah tersilap orang. Maafkan saya.”

Hakimi hanya terdiam sambil melihat detektif yang sedikit menjengkelkan itu.

“Oh ya.” Tiba-tiba Detektif Mukhriz mengeluarkan business card miliknya, kemudian diberikan kepada Hakimi. “awak boleh hubungi saya jika awak rasa perlu.”

Hakimi mengambil kad yang dihulurkan kepadanya. Ditatap maklumat yang terdapat di situ.

“Saya minta diri dulu.” kata Detektif Mukhriz. Terus berjalan ke arah kenderaannya sehinggalah enjin dihidupkan. Dia beredar dari tempat itu dengan segera.

Hakimi hanya berdiri di hadapan pintu rumah melihat kereta yang dipandu Detektif Mukhriz pergi meninggalkannya.

Setelah agak lama, terus Hakimi menuju ke arah keretanya pula. Kali ini ada urusan penting yang perlu dia laksanakan. Kumpulan ‘Project Raphael’ kesemuanya akan bertemu dan membincangkan strategi untuk menghapuskan komoditi merbahaya, yang kini berada di bawah pengawasan dan jagaan Jeneral Karim di pengkalan ujikajinya. Urusan yang amat berisiko tinggi. Urusan antara hidup dan mati.

Proton Saga hitam itu mengundur dengan agak deras. Hakimi memandunya dengan sedikit kasar kerana dia perlu segera sampai ke makmal Dr. Danial. Dari jalan kampung hinggalah masuk ke jalan bandar.

Di satu sudut yang sedikit tersembunyi, Detektif Mukhriz menghentikan kenderaannya di situ. Setelah disedari Hakimi melintasi jalan dihadapan, lantas dengan senyap dia mengekori Hakimi dari belakang dengan berhati-hati. Jangan sampai disedari.

Detektif Mukhriz mengekori Hakimi sepanjang perjalanan. Agak besar jarak di antara mereka, tetapi tetap tidak hilang dari pandangan Detektif Mukhriz subjek yang diekorinya. Dan selama itu juga Hakimi tidak menyedari, kenderaan yang dipandunya sedang diikuti. Sehinggalah sampai ke makmal rahsia Dr. Danial.

Ada lorong kecil yang tertulis ‘Lorong District 7’ di papan tanda berwarna hijau. Mukhriz menghentikan kenderaanya di bahu jalan apabila melihat kereta yag dipandu Hakimi memasuki lorong itu. Dia menunggu dengan agak lama. Dia sedar, lorong itu tidak akan membawa Hakimi lebih jauh kerana kawasan itu adalah jalan mati dan hanya terdapat tempat letak kereta yang telah usang, begitu juga dengan bangunan disekitarnya.

Lantas Hakimi mencari tempat untuk parking. Kelihatan beberapa kenderaan telah berada di situ. Dia faham bahawa ahli kumpulan ‘Project Raphael’ sedang menunggunya. Enjin kereta dimatikan. Dengan segera keluar menuju bangunan usang yang telah bertahun terbiar.

“Hello. Aku dekat depan pintu makmal sekarang.” Kata Hakimi yang menghubungi Dr. Danial melalui telefon pintar.

“Okey, masuk. Akses ke makmal aku dah aktifkan.” Jawab Dr. Danial.

Dengan pantas Hakimi menolak pintu besar di hangar itu. Kelihatan kesemuanya sedang berkumpul menunggu kehadiran Hakimi. Komander Mustaffa, Inspektor Qaireen, Dr. Sofea Huda, Professor Syafiq dan Dr. Ishaq terkebil-kebil mata memandangnya. Kemudian pintu ditutup rapat.

“Maaf aku terlambat.” Kata Hakimi.

***

Detektif Mukhriz memandu Camry V30 dengan berhati-hati memasuki lorong ‘District 7’. Dilihatnya ada sekumpulan kenderaan yang sedang parkir dikawasan yang agak sempit. Kebanyakan kenderaan itu diletakkan berhampiran dengan satu bangunan lama yang lusuh dan kotor. Kereta Hakimi turut berada di situ. Keluasan bangunan atau hangar itu boleh memuatkan sebuah helikopter. Tanpa sebarang tingkat. Dia memberhentikan kenderaannya dengan agak jauh. Dengan perlahan berjalan menghampiri pintu masuk bangunan lama. Pistol di pinggangnya ditarik keluar, mod tembakan di aktifkan sebagai langkah keselamatan; untuk melindungi diri dari sebarang bahaya dan ancaman yang mungkin datang.

Perlahan-lahan dia menghampiri pintu masuk yang tertutup rapat. Pistolnya digenggam erat dan kemas-kemas di tangan kanan sambil dihalakan ke atas. Dia teragak-agak untuk menolak pintu. Agak cemas perasaan Detektif Mukhriz.

Dia cuba menggagahkan diri, ditarik nafas dalam-dalam. Dia ingin membuat serbuan, kerana musykil dengan tindak-tanduk Hakimi. Urusan apakah yang dilakukannya di dalam bangunan usang seperti ini.

Detektif Mukhriz seolah-olah sedang mengira-ngira dalam hati untuk melakukan serbuan. Setelah betul-betul bersedia, pintu besar itu ditendang dengan sekuat hati sambil pistol diacukan ke hadapan. Tiba-tiba wajahnya bertukar menjadi terkejut. Terpinga-pinga kehairanan. Dia bergerak masuk perlahan-lahan hingga sampai di tengah-tengah hangar. Tiga ratus enam puluh darjah pandangannya berpusing melihat sekeliling bangunan lusuh. Apa yang dilihatnya hanyalah sawang-sawang yang membungkus perabot-perabot lama yang kelihatan reput, berhabuk dan patah, ada yang hancur. Daun-daun tua berwarna perang dan coklat gelap berserakan di atas lantai. Keadaan di dalam bangunan itu ibarat tempat pelupusan barang-barang kayu dan perabot yang telah bertahun-tahun terbiar. Ada burung-burung berterbangan keluar dari tingkap atas bangunan yang telah pecah. Yang lebih menghairankannya, tiada sesiapa pun di situ. Kelibat Hakimi langsung tidak wujud. Hanya dia bersendirian ditemani dengan barang-barang usang. Keadaan dalam bangunan yang luas tidak menyediakan tempat untuk Hakimi bersembunyi. Detektif Mukhriz bertambah hairan.

“Mana kau Hakimi?” Detektif Mukhriz berkata sendiri.


Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku