RAPHAEL
Bab XXI
Genre: Thriller/Aksi
Kategori: Novel
Paparan sejak 31 Mac 2017
Jeneral Karim telah menyalahgunakan sumber bahan mentah dari planet asing dalam pembangunan teknologi ketenteraannya. Dengan kesedaran ini, sekumpulan saintis dan mereka yang terlibat dalam menentang projek yang berisiko tinggi ini, mencipta sut khas yang dapat menghapuskan bahan mentah itu, sekaligus menggagalkan rancangan Jeneral Karim.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
231

Bacaan






Setelah panggilan demi panggilan tidak dijawab. Hati Ashikin bertambah sayu. Bimbang dengan sikap Hakimi yang telah berubah. Tidak seperti dulu. tidak pernah sekalipun renggang dan terlepas dari menghubungi kekasih hatinya itu. Ternyata keadaan telah menguji kesetiaan cinta mereka. Tambah pula bukan hanya Hakimi sahaja yang mencintainya, Norman juga menampakkan betapa dia berharap dan menyimpan perasaan cinta yang mendalam terhadap dirinya. Ashikin risau, dia sendiri tidak dapat menjangka apakah hatinya masih mampu bertahan kalau Hakimi berterus-terusan bersikap mengabaikannya begini.

Malam Gala telah pun berlangsung kini. Syarikat konglomerat seperti ini memang setiap tahun diadakan bagi meraikan kejayaan pencapaian syarikat dan menghargai kakitangan yang komited dan tanpa mengenal putus asa memajukan syarikat ke tahap yang lebih tinggi lagi. Pesta malam ini sangat meriah dengan persembahan dari artis terkenal tempatan yang dijemput untuk menghiburkan staf-staf tertinggi. Kesemua yang hadir memakai pakaian yang mahal-mahal dan segak. Norman segak ber’tuxedo’ hitam. Hampir keseluruhan lelaki memakai pakaian yang sama selain blazer bersaiz fit. Manakala Ashikin amat indah dan cantik sekali dengan fesyen baju yang sesuai dengannya. Dengan santun sebagai gadis melayu yang penuh dengan sifat-sifat kewanitaan. Sungguh Norman agak lama terpegun melihat Ashikin. Tidak berkelip matanya. Apa yang dilihat bagaikan bidadari yang turun dari syurga. Kemewahan pesona yang tak pudar walau bagaimanapun tindak-tanduknya dan sentiasa berseri-seri dan ceria. Senyuman yang Ashikin ukirkan amat menusuk hatinya. Sungguh, Norman telah lama terpikat. Fesyen yang dikenakannya amat sesuai dengan penampilan Ashikin yang professional dan pintar dalam menguruskan hal-hal kehidupan, selain kecantikannya yang tidak dapat dinafikan, sekalipun hanya mengenakan warna hitam dan kelabu tetapi bersinar-sinar.

Di dalam dewan upacara penuh dengan meja bulat besar yang di atasnya terhidang menu-menu masakan yang mewah lagi menyelerakan. Setiap meja bulat penuh dengan staf-staf. Ada diantaranya sedang berbual-bual riang, penuh senda gurau dan tawa. Ada yang terhibur menyaksikan nyanyian oleh artis-artis jemputan. Ada juga yang sibuk dengan hal sendiri dan sebagainya.

Ashikin hadir agak lambat. Sikap Hakimi yang mengabaikan panggilan telefonnya membuatkan dia tidak bersemangat untuk menghadiri Malam Gala yang diuruskannya. Dia hadir hanya untuk memenuhi tuntutan jemputan. Jika tidak, pasti pada masa itu juga dia mencari Hakimi dan ingin berjumpa dengan buah hati.

Sejak dari tadi itu jugalah Norman tertunggu-tunggu Ashikin diruang lobi hotel, ditingkat paling atas. Tidak henti-henti para hadirin keluar masuk dalam hotel itu, kerana belum lagi acara gemilang bermula. Minit demi minit dinantinya dengan sabar, semakin berkurangan para hadirin diruang lobi kerana telah siap sedia masuk ke dalam dewan. Hanya Norman yang duduk menunggu kehadiran Ashikin yang lewat sampai. Hampir setengah jam dia menunggu.

Setelah lama acara bermula, barulah Ashikin tiba diperkarangan hotel mewah. Ashikin agak terburu-buru berjalan masuk ke dalam hotel berstatus lima bintang, tempat berlangsungnya pesta itu seperti yang dirancang. Menuju ke arah lif dan sampai di ruang lobi, menghampiri meja pendaftaran untuk mendapatkan pass masuk ke dalam acara besar itu.

“Nama cik?” tanya penjaga pendaftar yang bersedia untuk memberikan akses masuk.

“Ashikin. Sahara Ashikin.” Kata Ashikin menyebut nama sendiri.

Pegawai pendaftar fokus mencari nama yang disebut dalam laptopnya. Setelah menjumpai nama itu dalam senarai staf yang terlibat, dia memberikan kad khas kepada Ashikin dan mempelawa masuk ke dalam dewan yang besar. Majlis telah pun berlangsung. Kedengaran persembahan nyanyian yang amat memukau perasaan para hadirin. Nyanyian lagu gembira, tentang cinta dan cita-cita yang diraikan bersama oleh sepasang kekasih.

“Ashikin... Ash...” suara yang sedikit tinggi menyapanya dari jauh. Ashikin terkejut dan cuba mencari gerangan yang menyebut namanya.

“Hai...” kata Norman.

“Hai... bukan sepatutnya awak dah ada kat dalam?” soal Ashikin dengan hairan.

Norman tersenyum, “Erm, ya... tapi tadi saya keluar sekejap. Saya nak masuk balik dan kebetulan nampak awak.” Kata Norman. Hakikat sebenar tidaklah begitu.

Ashikin hanya mengangguk, kenyataan itu nampak logik baginya.

“Jom, masuk.” Kata Norman.

“Okey.” Balas Ashikin ringkas. Mereka berjalan beriringan. Pintu dewan itu pun dibuka.

“Awak okey?” tanya Norman setelah mereka berdua duduk saling bersebelahan.

“Ya, saya okey.” Jawab Ashikin cuba menyembunyikan perasaannya. Dengan persembahan yang mengasyikkan membuatkan Ashikin terhibur dan bergembira. Melihat pesona senyuman gadis muda itu membuatkan Norman semakin jatuh cinta dan menyayangi dalam diam. Norman tersenyum. Merasakan keindahan dalam hatinya apabila melihat Ashikin yang sedang berbahagia mendengarkan nyanyian dalam acara gemilang.

“Awak nak minum?” tanya Norman.

Ashikin sedikit terkejut, tiba-tiba Norman menyapanya.

“Ya.” Ashikin mengangguk.

“Biar saya tuangkan.” Kata Norman lagi. Menuangkan air ke dalam gelas Ashikin dan miliknya juga.

Ashikin hairan, namun dibiarkan saja rakan sekerjanya menuangkan air dalam gelas stemware. Staf yang lain yang duduk semeja dengan mereka berdua turut terpukau dengan nyanyian syahdu oleh penyanyi yang seterusnya di atas pentas. Persembahan yang sangat mengagumkan dengan vokal yang hebat.

Tiba-tiba nada telefon Ashikin berbunyi. Dilihat pada skrin telefon itu dan terpampanglah nama Hakimi. Norman menyedarinya. Panggilan yang sangat Ashikin tunggu-tunggu kini telahpun hadir. Namun dengan perasaan marahnya yang belum pudar, tambahan pula dia sedang dalam majlis yang besar, yang perlu dihormati, maka panggilan itu ditamatkan tanpa dijawab. Tidak lama kemudian, Hakimi menghubunginya kembali. Nada dering telefon berbunyi lagi. Dalam masa yang sama jugalah panggilan itu dimatikan. Cepat-cepat Ashikin menukar tetapan telefon kepada mod senyap.

Sekalipun rindu yang menebal. Amat sangat dia menjawab panggilan itu dan mengatakan kepada Hakimi betapa dia merindui. Namun dengan ego yang tercalar dalam diri Ashikin, dilukai dan membuatkannya bersedih dan dalam masa sama memarahi tindakan Hakimi yang sejak kebelakangan ini kerap mengabaikan. Dengan sedikit dendam di hati, lantas saja panggilan itu dimatikan.

Semakin gelisah perasaan Ashikin. Walaupun luarannya nampak tenang dan terhibur dengan persembahan Malam Gala itu. Nyanyian demi nyanyian berlalu, artis yang memberikan persembahan mereka turut silih berganti. Diselang-selikan dengan ucapan dan penganugerahan khidmat cemerlang.

Telefon pintar Ashikin berbunyi lagi nada deringnya. Panggilan dari orang yang sama. Kali ini egonya tewas. Panggilan itu akhirnya berjawab.

Excuse...” kata Ashikin kepada Norman dan staf lain yang duduk bersebelahan dengannya. meminta izin untuk keluar dari dewan besar.

Tak senang duduk Norman dengan tingkah laku Ashikin. Kalau boleh dia pun ingin ikut sama keluar dari majlis yang sedang berlangsung. Namun dia memilih untuk tetap duduk diam.

Pintu dewan ditolak, dengan cepat juga Ashikin berjalan menuju ruang balkoni hotel di tingkat yang paling atas. Kawasan itu bagaikan sebuah taman yang ringkas, tapi mewah. Disediakan ruang legar dan kolam renang yang bercahaya biru airnya. Juga terdapat ruang duduk santai untuk menikmati keadaan dan keindahan sekeliling dari atas bangunan hotel. Malam ini taburan bintang sangat bergemerlapan. Bersinar-sinar sambil berkelip. Turut ditemani cahaya dari wajah bulan. Ashikin kedinginan, kerana angin malam yang lembut menyapa tubuhnya.

“Hello... Ashikin. Hello.” Suara Hakimi kedengaran dalam talian.

Ashikin yang berdiri di sudut paling hujung balkoni hanya terdiam sayu, sambil matanya melihat langit malam.

“Hai... Akim.” Kata Ashikin dengan suara yang tersangkut-sangkut.

Kedengaran hembusan nafas Hakimi, dia mengeluh.

“Saya minta maaf. Saya agak sibuk. Dan saya memang nak bagitahu awak tentang perkara ni. I miss you so much.” Kata Hakimi.

I miss you too.” Kata Ashikin sayu. Rindunya terhadap Hakimi tidak tertanggung lagi.

“Saya akan selalu dengan awak. Sebab saya sangat cintakan awak. Awak kena faham tu Ashikin.”kata Hakimi.

“Ya, saya faham. Awak kat mana Akim... Saya sangat rindukan awak. Sampai bila saya perlu tunggu lagi. Sampai bila keadaan perlu macam ni.” Kata Ashikin. Tak sanggup lagi bebanan rindu menghukum diri.

Kedengaran Hakimi mengeluh lagi. Kelihatan pada pintu balkoni itu, Norman hadir dan berdiri di belakang Ashikin. Agak sedikit jauh.

“Ashikin... Ada sesuatu yang saya perlu beritahu awak tentang keadaan saya. Memang keadaan sekarang sangat genting untuk hubungan kita. Tapi saya langsung tak boleh kehilangan awak. Saya yakin bila saya dah tamatkan projek yang saya usahakan ni, kita akan dapat luangkan masa macam dulu. Dapat sama-sama rancang untuk kahwin. Saya janji.” Kata Hakimi.

“Apa yang awak tengah buat sekarang? Projek apa sampai awak sangat sibuk macam ni? I really really need you Akim.” Kata Ashikin kesal.

“Saya tak boleh cakap dalam telefon ni. Saya nak jumpa awak esok. Lepas waktu pejabat. Dekat bawah pejabat awak. Esok petang saya akan ceritakan segala-galanya dekat awak. Ini ada kaitan dengan hidup dan mati kita. Penting untuk awak tahu.” Jelas Hakimi.

“Apa yang awak cakap ni? Akim... berapa lama saya perlu tunggu lagi? Berapa lama lagi kita kena hidup macam ni? Saya selalu tunggu awak. Saya tetap akan setia sampailah kita kahwin nanti. Cuma saya tak sanggup nak tunggu lebih lama lagi. Sebab saya risau dengan keadaan keluarga saya, diri saya sendiri. Diorang selalu tanya saya tentang hal jodoh kita.” Kata Ashikin lagi.

Norman hanya mendengarkan dari jauh. Dia faham keadaan Ashikin sekarang ini yang sedang bergelut dengan konflik cinta.

“Saya minta maaf Ashikin. Tapi tak bermaksud awak perlu tunggu lebih lama. Saya janji saya akan usahakannya bila projek saya selesai nanti. Tunggu saya Ashikin.” Kata Hakimi yang tertekan.

Ashikin hanya terdiam mendengar kata-kata Hakimi. Hiba hatinya diuji dengan keadaan cinta yang memilukan. Dia tidak faham sepenuhnya apa yang sedang berlaku pada Hakimi. Keadaan cinta mereka berdua yang sangat terdesak dengan tuntutan sekeliling yang menginginkan mereka cepat-cepat mendirikan rumahtangga. Bukan baru perkenalan mereka, tetapi sudah hampir sembilan tahun saling mengenali. Dari zaman kampus sehinggalah sudah berkerjaya.

“Jangan biarkan saya terus tunggu awak, sampai saya rasa letih. Harap kita tak buang masa lebih lama lagi macam ni.” Kata Ashikin sangat berharap.

“Saya janji Ashikin. Saya nak jumpa awak esok.” Kata Hakimi.

Ashikin menarik nafas. Cuba meredakan tekanan dan kesedihan. “Okey.” Katanya ringkas.

Panggilan ditamatkan. Pandangan Ashikin tertunduk ke bawah. Angin dingin malam dengan santun meniup ke arah tubuhnya. Ashikin baru tersedar, Norman berada dibelakang, dari tadi seolah-olah menunggu dirinya dan bersedia mendengar luahan hati. Ashikin berasa malu dengan keadaannya sekarang ini. Lagi-lagi ada Norman yang memerhati. Seboleh-bolehnya biarlah kisah cintanya itu tidak diketahui sesiapa. Biarlah rakan kerja hanya tahu hal ehwal pekerjaannya sahaja.

“Norman? Apa yang awak buat kat sini?” tanya Ashikin dengan hairan sambil mengemaskan emosinya. Disembunyikan keresahan.

Norman berjalan menghampiri Ashikin yang berada di hujung balkoni yang berpagar di ruangan terbuka. Pertanyaan itu dibiarkannya tidak berjawapan.

“Maaf. Sebenarnya ada sesuatu yang perlu awak tahu... Dah lama saya tunggu saat ni untuk beritahu dekat awak.” Kata Norman. Kemudian terdiam, agak sukar untuk dia mengeluarkan kata-kata seterusnya.

“Apa yang awak cakap ni?” soal Ashikin lagi sambil matanya menatap wajah Norman.

“Saya jatuh cinta dengan awak sejak kali pertama lagi saya tengok awak... ya, tiada sesiapa dalam hati saya melainkan awak. Memang saya tengah tunggu jodoh saya Ashikin. Dan orang yang saya maksudkan itu adalah awak. Maaf, sebab saya berterus-terang... apa yang saya rasa ni tak salah kan? Begitu juga dengan permintaan saya.” kata Norman dengan penuh harapan.

Ashikin hanya terdiam. Memang selama ini dia tahu akan perasaan Norman kepadanya. Pernah juga dia hampir jatuh hati dengan ketampanan penampilan dan peribadi Norman yang selalu menghormatinya, dan melayan dengan baik. Sungguh sifat itu sangat menambat hati. Tambahan pula Norman bukan calang-calang orang. Tidak sedikit yang perasan, di pejabat kebanyakan staf melihat mereka sebagai pasangan yang ideal.

“Tapi Norman...” belum sempat dihabiskan kata-kata, Norman terus mencelah.

“Saya merayu dengan penuh harapan. Harap awak sudi jadi teman hidup saya selama-lamanya. Izinkan saya buat awak bahagia dalam hidup awak. Kita hidup bahagia bersama-sama.”

Ashikin terdiam seribu bahasa. Terus beredar keluar meninggalkan Norman sendirian.


Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku