RAPHAEL
Bab XXII
Genre: Thriller/Aksi
Kategori: Novel
Paparan sejak 31 Mac 2017
Jeneral Karim telah menyalahgunakan sumber bahan mentah dari planet asing dalam pembangunan teknologi ketenteraannya. Dengan kesedaran ini, sekumpulan saintis dan mereka yang terlibat dalam menentang projek yang berisiko tinggi ini, mencipta sut khas yang dapat menghapuskan bahan mentah itu, sekaligus menggagalkan rancangan Jeneral Karim.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
111

Bacaan






Di dalam makmal kesemua mereka telah berkumpul. Dr. Danial melakukan tugasnya dengan hati yang berat. Semua ahli ‘Project Raphael’ faham akan keadaan masing-masing apabila misi yang penting ini dilaksanakana nanti. Apa yang pasti nyawa mereka dalam bahaya. Mereka harus menamatkan semua penderitaan ini, akibat diburu oleh ejen-ejen Jeneral Karim.

“Kita tak punyai banyak pilihan. Sama ada kita akan terus diburu dan terbunuh. Atau kita harus hentikan semua ni.” Kata Dr. Danial di hadapan Hakimi, Dr. Sofea Huda, Qaireen, Komander Mustaffa, Prof. Syafiq dan Dr. Ishaq.

“Ya, kita tak ada pilihan lain. Kita harus menentang mereka. Walau nyawa bakal hilang sekalipun. Sebab bagi aku tak ada beza untuk berada dalam kedua-dua situasi ni.” Kata Komander Mustaffa.

Dr. Danial melepaskan keluhan. “Aku yakin, tidak akan ada sesiapa pun yang akan terbunuh.”

“Aku tak takut, dan aku tak gerun pun dengan keadaan ni. Aku sanggup mati mempertahankan diri, untuk hapuskan projek Jeneral Karim yang dah terpesong, dari terus diburu macam ni. Aku sahut cabaran, dan aku terimanya dengan hati terbuka.” Kata Inspektor Qaireen dengan penuh berani.

“Tak... selagi sut Raphael ada dengan aku, aku akan pastikan semuanya selamat. Aku yakin dengan teknologi sut Raphael. Dan aku percaya dengan kebolehan aku sendiri.” Pintas Hakimi pula, memandang Qairen, kemudian memandang kepada semua yang ada.

“Memang kita langsung tak boleh nak patah balik. Masa silam akan terus menjadi sejarah. Kita tak boleh nak ubah. Ini dah jadi satu ketentuan dariNya.” Kata Komander Mustaffa.

“Prof. Syafiq telah berikan kita pelan keseluruhan pengkalan ujikaji Jeneral Karim. Terdapat perubahan pelan dan komoditi asing tu dikawal rapi oleh para saintis dan askar upahan. Bahan tu terletak di basement. Tingkat paling bawah.” Kata Dr. Danial memberikan penerangan. Papan kekunci ditekan-tekan dan terpampanglah pelan blueprint bangunan ujikaji yang terletak bersembunyi di tengah-tengah hutan. Hangaritu dikelilingi tasik supaya tidak mudah orang asing menceroboh masuk. Mereka semua memerhatikan dengan tekun sambil ligat berfikir mencari jalan bagaimana strategi yang terbaik dapat diputuskan.

“Ehem..” Prof. Syafiq berdehem. “apa yang aku dapat cuma sedikit, sebab banyak lagi maklumat yang tersimpan dengan jumlah saiz data yang besar. Aku tak dapat nak siasat dan ambil semua maklumat dari pengkalan data mereka.” Kata Prof. Syafiq.

“Aku perlukan bantuan... a partner.” Sambung Prof. Syafiq lagi. Yang lain memandangnya sambil terdiam. Berfikir tentang permintaan pakar IT itu.

“Mungkin boleh dipertimbangkan.” Jawab Danial.

Dr. Sofea Huda, Prof. Syafiq dan Dr. Ishaq adalah antara mereka yang berada dalam posisi selamat kerana identiti masing-masing tidak lagi diketahui oleh Jeneral Karim. Jika tidak, pasti nasib yang sama akan menimpa mereka.

“Perlu kita semua sedar, pengkalan mereka dapat mengenalpasti objek disekitar dalam radius sejauh tiga kilometer. Mereka dapat kesan kita sekalipun kita cuba untuk seludup masuk. Melainkan kita ada alat khas yang membolehkan mereka tidak dapat mengesan kehadiran kita.” Jelas Dr. Ishaq.

Dr. Danial mengeluh, “Ada banyak kerja yang aku perlu buat. Aku tak cukup tangan nak siapkan semua tu. Tapi aku ada plan lain.”

“Itu cukup bagus.” Kata Dr. Ishaq, memandang tinggi kredibiliti Danial dalam membuat perancangan.

“Kita akan biarkan mereka sedar kehadiran kita. Supaya mereka lebih bersedia dan orang-orang yang tidak bersalah dalam pengkalan tu dapat mencari tempat bersembunyi dengan lebih cepat. Sekurang-kurangnya kita dapat selamatkan nyawa mereka yang tak terlibat.” Kata Danial.

Nice. Aku suka.” Kata Inspektor Qaireen dengan semangat yang tinggi.

“Kenapa kau begitu yakin? Mereka boleh melancarkan serangan dari jarak lingkungan tiga kilometer kepada kita. Nyawa Raphael dan lain-lain sangat-sangat dalam bahaya. Kenapa kita tak lancarkan serangan dari jarak jauh terlebih dahulu?” soal Dr. Sofea Huda.

“Ya, idea itu boleh diterima.” Pintas Dr. Ishaq. Turut bersetuju dengan idea Sofea.

“Aku tak pandang rendah dengan kemampuan teknologi yang dibangunkan Jeneral Karim, tapi aku juga yakin dengan kemampuan sut Raphael berfungsi dan segala maklumat pembangunan senjata yang aku perolehi dari Prof. Syafiq. Dalam bangunan tu, ada banyak nyawa yang perlu kita selamatkan.” Jelas Dr. Danial.

“Jadi bagitahu aku, macam mana aku boleh buat serangan?” soal Hakimi.

“Kita akan bergerak menuju pengkalan ujikaji Jeneral Karim dengan dua buah kenderaan pacuan empat roda. Khemah pemantau sementara akan dipasang pada sekitar lebih tiga kilometer dari arah Bangunan. Dengan tujuan mereka tak dapat mengesan aktiviti komunikasi kita.” Jelas Danial. “Prof. Syafiq, Dr. Ishaq dan aku sendiri akan berada di khemah sementara untuk berikan arahan melalui komunikasi jarak jauh. Sementara engkau, Inspektor Qaireen dan Komander Mustaffa akan melakukan serangan ke arah bangunan pengkalan ujikaji mereka. Engkau akan mengetuai serangan, dengan mendapat arahan dari kami bertiga.” Kata Danial lagi.

“Macam mana dengan aku?” Tanya Dr. Sofea, namanya tidak tersenarai.

“Sofea. Kau tak akan sertai misi ni, sebab ada tugasan lain yang perlu kau laksanakan.” Kata Danial. Wajah Dr. Sofea seperti tertanya-tanya. “Aku dapat arahan dari Bos.”

“Okey.” Kata Sofea sambil menunggu arahan.

“Misi penjelajahan mereka ke planet YR17ZZ sangat perlukan bantuan sokongan biologi. Planet yang di tuju sangat berbeza dan hampir segala keperluan asas bio-kimia manusia tidak wujud di situ. Mereka meminta pertolongan kau untuk wujudkan sistem sokongan biologi sepanjang mereka berada di sana.” Jelas Dr. Danial.

“Okey. Baik.” Kata Dr. Sofea. “Jadi, aku tak boleh lama-lama di sini. Banyak kerja yang aku perlu buat. Aku minta diri dulu.” mereka semua memahami, dengan perlahan Dr. Sofea Huda beredar pergi dari perbincangan strategi itu. Keluar dari pintu dan hilang dari pandangan.

Selang beberapa minit, tiba-tiba seluruh ruang makmal yang terang benderang berwarna putih, berkelip-kelip kemerah-merahan. Mereka semua memandang keliling ruang makmal. Hairan dengan apa yang terjadi.

“Kenapa. Apa yang dah berlaku?” soal Inspektor Qaireen.

“Kita ada tetamu yang tak di undang.” Jelas Dr. Danial. Lincah jari-jemarinya menekan papan kekunci. Selepas itu terpampanglah dalam skrin besar, Detektif Mukhriz yang sedang terpinga-pinga memandang ke kiri ke kanan, ke atas ke bawah. Dia berada dalam bangunan kosong yang lusuh.

“Siapa? Ejen-ejen Jeneral Karim?” tanya Komander Mustaffa dengan nada cemas dan risau. Hakimi tersentak. Penampilan lelaki dalam skrin itu sangat dia kenal.

“Aku tak tahu.” Jawab Dr. Danial.

“Aku kenal. Dia bukanlah ejen Jeneral Karim.” Kata Hakimi. Semua mata memandang kearahnya. “Dia ialah Detektif Mukhriz.”

“Detektif Mukhriz?” Qaireen hairan.

“Apa yang dia buat di sini? Macam mana kau kenal?” tanya Dr. Danial.

Hakimi bersuara dengan wajah yang serba salah, namun cuba bertegas. “aku tak sangka dia ikut aku dan jejak perjalanan aku ke sini. Petang tadi dia datang ke rumah aku untuk soal siasat pasal kes kecurian haritu.”

“Kau rasa dia dapat kenalpasti identiti kau?” kata Komander Mustaffa.

“Sebagai manusia biasa... ya. Tapi aku yakin, dia sedang selongkar identiti aku sampai dia jumpa jawapannya.” Kata Hakimi.

“Tak lama lagi, identiti Raphael mungkin akan terbongkar.” Kata Dr. Ishaq.

“Tapi aku yakin bukan dalam masa terdekat ni.” Pintas Hakimi.

“Bagi aku dia bukanlah satu ancaman. Dia hanya ingin selesaikan kes dibawah siasatannya. Dia langsung tidak tahu berkaitan segala aktiviti dalam syarikat ni. Tapi aku tak pandang rendah kebolehan dia.” Kata Dr. Ishaq membuat analisa.

“Ada beberapa cara untuk kita selamatkan maklumat dari terlepas keluar. Melalui detektif ni.” Sambung Dr. Ishaq.

“Macam mana?” kata Prof. Syafiq, teringin sangat nak tahu.

“Rahsia tak akan terbongkar jika kita jadikan dia adalah rahsia itu sendiri?” ucap Dr. Ishaq. Kesemua yang berada di situ terdiam seketika. Berfikir panjang.

“Tapi tak semudah tu. Kita tak kenal dia lagi, dan sangat kurang maklumat pasal dia.” Kata Dr. Danial.

“Dan kita bukanlah orang yang takut dengan bayang-bayang sendiri. Takut apabila rahsia organisasi kita terbongkar.” Kata Hakimi pula.

“Segala yang kita telah alami, bagi orang awam, ini adalah konspirasi. Mereka berada dalam situasi yang ragu-ragu untuk percaya. Kita tak perlu risaukan mereka. Cuma kita risau ada di antara mereka yang percaya, sekalipun orang lain mentertawakan.” Ucap Dr. Ishaq. Dia memang pakar dalam hal-hal psikologi dan konspirasi.

“Aku nasihatkan, supaya kau berikan maklumat yang ‘logik’ kepada Mukhriz, jika dia ingin berjumpa kau lagi. Beritahu dia konsep kepercayaan, sama seperti apa yang orang awam percaya. Kau perlu berhati-hati dalam tindak-tanduk kau.” Sambung Dr. Ishaq lagi memberikan nasihatnya.

“Tapi macam mana kalau dia tetap juga berdegil.” Soal Hakimi.

“Kita tak ada pilihan lain. Melainkan kita letakkan dia di tempat yang benar-benar dia ingin berada.” Jawab Dr. Ishaq berkias. Kesemua mereka terdiam lagi dengan agak lama.

“Aku perlukan sedikit masa lagi untuk buat persiapan sebelum serangan betul-betul dapat dibuat. Aku akan pastikan anggota yang membuat serangan mempunyai sistem keselamatan pintar untuk lindungi kau bertiga nanti.” Kata Dr. Danial.

“Berapa lama lagi masa yang kau perlukan?” soal Prof. Syafiq.

“Mungkin dalam empat atau lima minggu. Aku akan usahakan secepat mungkin.” Jawab Danial.

Hopefully you guys dapat berjaga-jaga dalam jangka masa tu. Harap semua dalam keadaan selamat.” Kata Prof. Syafiq.

“Tak menjadi kerisauan untuk aku. Kami semua pasti akan selamat.” Kata Inspektor Qaireen dengan sangat yakin.

Dahi Hakimi berkerut. Dia perasan sesuatu yang sangat ganjil yang sedang berlaku. Kini dalam perhatiannya. Wajahnya menunjukkan seolah-olah dia sedang berfikir dengan kuat dan dalam.

“Nanti dulu.” Hakimi bersuara, dia mengubah topik perbincangan. Dipandang jam yang melilit di tangannya. Jam saat berdetik seperti biasa. Sedang menunjukkan hampir pukul enam petang.

“Apa yang dah jadi dengan ruang masa? Kenapa seolah-olah Detektif Mukhriz dan Dr. Sofea berada dalam dua masa yang berlainan?” soal Hakimi. Matanya melihat Dr. Danial.

“Itu yang menjadi kebimbangan aku, tapi untuk setakat ni ianya masih lagi dalam keadaan terkawal. Ruang dimensi yang kita berada sekarang sangat berbeza dengan ruang dimensi bumi. Kalau kau tanya aku di mana sebenarnya kita berada, aku belum dapat lagi nak jawab. Cuma apa yang boleh aku katakan, kita berada dalam dua ruang dimensi yang berlainan. Keadaan graviti yang wujud juga berbeza, maka ia mempengaruhi perjalanan masa. Apa yang aku boleh katakan. Perjalanan masa dibumi lebih laju dari ruang dimensi yang kita berada sekarang.” Jelas Dr. Danial. Dahi Hakimi berkerut lagi.

“Maaf, sebenarnya aku ada hal peribadi yang agak penting. Aku minta diri dulu.” kata Hakimi. Satu persatu wajah anggota ‘Project Raphael’ dipandangnya. Lantas terus beredar dari makmal itu dengan tergesa-gesa.

Selepas pintu makmal di tolak, Hakimi terkejut. Keadaan pada masa ini sudah pun senja. Hampir masuk waktu malam. Hakimi terpinga-pinga. Terkebil-kebil matanya melihat suasana sekeliling. Tanpa berlengah dia berlari pantas menuju kenderaannya. Setelah masuk ke dalam perut kereta. Enjin dan sistem Proton Saga hitam itu dihidupkan.

“Quara...” kata Hakimi dengan nada sedikit tinggi.

Sedia membantu...” sistem kenderaan bersuara digital teraktif secara automatik. Sudi membantu Hakimi dalam memberikan sebarang bantuan maklumat.

“Keadaan sekarang dah masuk pukul tujuh malam. Betul ke seperti yang aku lihat?” tanya Hakimi inginkan pengesahan. Dia bingung dengan perbezaan perjalanan masa di antara ruang dimensi dalam makmal dan ruang dimensi masa di bumi.

ya, tepat.” Jawab Quara, suara digital pintar bersuara seperti seorang wanita yang sopan.

“Quara... hubungkan telefon saya kepada Ashikin.” Pinta Hakimi. Tanpa berlengah, kenderaan yang dinaikinya dipacu dengan laju keluar dari perkarangan bangunan lama menuju ke pejabat Ashikin.

Quara menjalankan tugasnya dalam sistem digital. Telefon pintar Hakimi dihubungkan dengan sistem rangkaian digital dan teknologi komunikasi yang terdapat dalam kenderaan. Kemudian secara automatik panggilan dibuat tanpa Hakimi menyentuh telefon pintarnya sedikit pun. Setelah agak lama menunggu, panggilan telah bersambung. Quara menjalankan tugasnya dengan sangat cekap.

Panggilan disambungkan...” kata Quara. Lantas bunyi nada panggilan kedengaran. Agak lama dan panjang. Sepertinya panggilan itu tidak mahu Asihkin jawab. Setelah tiga puluh saat berlalu, nada panggilan masuk ke dalam peti mel suara.

“Quara, putuskan talian. Dail semula...” pinta Hakimi lagi. Kenderaannya terus laju berlari di atas jalanraya.

Panggilan semula disambungkan...” Quara melaporkan tugasnya. Nada panggilan berbunyi lagi. Seperti biasa, tidak juga dijawab.

***

Jeneral Karim memejamkan matanya, nafas ditarik dalam-dalam sambil berdiri di dalam pejabat peribadi. Kemudian dihembus nafasnya perlahan. Dia membuka mata beransur-ansur.

“Aku dapat rasakan... Mereka akan datang lagi untuk menyerang. Kali ini lebih teratur dan kuat.” Kata Jeneral Karim.

“Mereka pasti akan serang kita habis-habisan. Selagi komoditi ada dalam jagaan kita. Seboleh-boleh mereka ingin hapuskan.” Kata Xavier, sejak dari tadi menemankan bapanya. Mereka membincangkan sesuatu.

“Mereka sangat naif. Mereka tak tahu apa yang sedang berlaku. Dan apa yang mereka bakal alami.” Kata Jeneral Karim kesal. “Aku buat semua ni untuk kepentingan dan keselamatan organisasi. Mereka tak sedar misi jangka panjang kita.”

“Kita perlu buat persediaan dari sekarang.” Kata Xavier.

Jeneral Karim menoleh tanpa mengalihkan bahunya. Dia mengiyakan cadangan dari anaknya itu.

“Parasit tidak perlu dibiarkan hidup. Mereka akan sentiasa mengganggu misi kita. Mereka hanya penyibuk dan tidak mahu melihat kejayaan kita.” Kata Jeneral Karim angkuh.

“Dengan teknologi senjata yang kita ada. Sangat mudah untuk hapuskan mereka.” Sambung Jeneral Karim lagi. Dia sangat yakin, teknologi pemusnah ketenteraannya jauh lebih berkuasa. Daya pemusnahnya melangkaui jangkaan pemikiran manusia dan lebih maju dari teknologi senjata yang sedia ada.

“Perlukah kita melancarkan serangan terlebih dulu? Sebelum mereka memusnahkan pengkalan kita ayah?” tanya Xavier.

“Tidak perlu. Biarkan mereka datang. Biarkan jasad mereka terkubur di sini.” Jawab Jeneral Karim dengan yakin.


Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku