RAPHAEL
Bab XXIII
Genre: Thriller/Aksi
Kategori: Novel
Paparan sejak 31 Mac 2017
Jeneral Karim telah menyalahgunakan sumber bahan mentah dari planet asing dalam pembangunan teknologi ketenteraannya. Dengan kesedaran ini, sekumpulan saintis dan mereka yang terlibat dalam menentang projek yang berisiko tinggi ini, mencipta sut khas yang dapat menghapuskan bahan mentah itu, sekaligus menggagalkan rancangan Jeneral Karim.
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
111

Bacaan






Sekuat daya Hakimi berlari menuju ke bangunan pejabat Ashikin. Setelah panggilan demi panggilan telefon tidak berjawab, dia nekad untuk berjumpa dengan kekasih hatinya seperti yang telah dijanjikan.

Hakimi melihat jam ditangannya. Menunjukkan hampir pukul tujuh empat puluh lima minit malam. Dia telah terlewat lebih satu jam. Betapa rasa bersalahnya dalam hati Hakimi. Dia juga amat berharap, Ashikin masih lagi berada di luar bangunan pejabat. Masih lagi setia menantinya walaupun telah terlalu lama menunggu.

Lariannya terhenti. Nafasnya tercungap-cungap. Hatinya berasa gembira tatkala di depan mata terlihat Ashikin yang masih setia menantinya. Namun kelihatan wajah yang mulus dan indah itu sedikit muram dan sayu. Menampakkan kesedihan yang sekarang ini memenuhi ruang hati. Pun begitu, pesona kecantikannya tidak juga sirna.

“Ash... Ashikin.” Kata Hakimi sambil tercungap-cungap. Mata bertentang mata. Saling berpandangan. Setelah lama masa bagaikan terhenti, Ashikin menguntumkan senyuman manis. Melihat senyuman itu bagaikan sumber kekuatan untuknya. Hilang sedikit rasa penat akibat berlari laju. Hakimi rasa sungguh bahagia dan bertenaga. Melihat wajah Ashikin di hadapan mata membuatkannya merasa betapa dia adalah insan yang paling beruntung. Kerana memiliki seorang gadis persis bidadari, penampilan dan sikapnya. Dalam kepenatan itu, Hakimi membalas senyuman.

Kehangatan cinta mereka tidak pernah pudar. Sama seperti kali pertama mereka merasakan perasaan cinta antara satu sama lain. Sekalipun sudah hampir sembilan tahun berlalu, dan pelbagai kenangan manis tercipta. Masih lagi membara. Hakimi sangat bertuah, kerana pada masa itu cintanya bersahut.

Selepas memberikan senyuman, wajah Ashikin bertukar sedikit sayu. Namun cuba untuk diselindungkan. Hakimi menarik nafas dalam-dalam. Cuba untuk bertenang dan menghilangkan kelelahannya.

Kawasan sekitar itu tidak ramai yang lalu lalang. Bangunan pejabat yang terletak ditengah-tengah ibu kota menyaksikan betapa tidak putus-putus kenderaan yang lalu di jalan utama. Masing-masing sibuk dengan urusan sendiri. Membiarkan mereka berdua merasakan perasaan cinta sekarang ini yang sedang menguntum kembang, kembali hangat. Disebalik kesibukan metropolitan, langsung tidak menjejaskan rasa cinta mereka. Lalu dibiarkan mereka berdua menikmati keindahan perasaan cinta bersama. Lampu cahaya kotaraya menyinarkan lagi perasaan.

“Saya minta maaf...” kata Hakimi memohon maaf. “Buat awak tunggu lama.”

It’s okay... Takpe. Sebab saya pun baru juga keluar. Ada kerja lebih sikit.” Balas Ashikin. Akan tetapi hakikatnya tidak begitu. Memang sejak pukul enam petang Ashikin sudah berlari keluar dari pejabatnya semata-mata ingin bertemu dengan kekasihnya yang amat dia rindu. Ashikin tidak mahu Hakimi rasa bersalah. Maka dia mereka-reka cerita seperti itu.

“Apa khabar, awak sihat?” kata Ashikin.

Hakimi merasa hairan, namun cuba disembunyikan melalui raut wajahnya. “Ya, saya sihat. Awak okey Ash?” tanya Hakimi pula.

Ashikin mengangguk. “Ya, saya okey.” Pandangannya yang tadi tertunduk diangkat kembali melihat wajah cintanya. Dia tersenyum kecil.

Hakimi memandang mata Ashikin dalam-dalam. Seolah-olah sedang membaca hal-hal tersirat dalam hati fikiran kekasihnya.

“Awak pasti?” kata Hakimi. Dia merasa curiga.

“Ya.” Kata Ashikin, kemudian tersenyum sayu. “Actually, I miss you so much.” Ashikin meluahkan perasaan hatinya. Hiba dan sebak. “Awak pergi mana selama ni. Saya rindu nak jumpa awak. Saya rindu nak ada masa macam dulu, selalu ada masa untuk kita luangkan sama-sama.”

Hakimi turut merasa sayu. Dia rasa sangat bersalah kerana membiarkan rindu Ashikin menyiksa diri. “Ashikin. Saya di sini, selalu ada dengan awak. Tak ada tempat yang akan saya pergi melainkan selalu dengan awak.” Kata Hakimi berkias. “Selama-lamanya, awaklah tempat yang saya akan tuju... saya juga sangat rindukan awak Ash. Saya sanggup tinggalkan kerja saya semata-mata nak jumpa awak.” Kata Hakimi lagi.

Mendengarkan kata-kata itu membuatkan perasaan Ashikin gembira dan bahagia. Wajahnya mempamerkan apa yang dia rasa. Berseri-seri kembali senyuman itu. Kata-kata itulah yang ingin dia dengar dari mulut Hakimi. Bahawa cinta untuknya tidak akan pudar. Malah bertambah mekar dan hangat.

“Tapi ada sesuatu yang penting yang saya nak bagitahu awak Ashikin. Pasal tugas saya. Sangat penting untuk awak faham. Saya tahu ini adalah rahsia yang sangat besar, yang tak sepatutnya saya beritahu. Tapi saya tetap akan beritahu awak sebab awak adalah antara orang yang sangat istimewa dalam hidup saya.” Kata Hakimi.

“Akim. Sampai bila kita perlu hidup macam ni? Sampai bila kita perlu tunggu lagi?” kata Ashikin, seolah-olah tidak mengendahkan apa yang ingin Hakimi perjelaskan tentang rahsia terbesar. Ashikin seperti sudah berputus asa untuk menunggu, untuk mereka disatukan atas nama cinta.

Sangat sukar untuk Hakimi membocorkan rahsia aktiviti ‘Project Raphael’. Kerana apa yang bakal dikatakan adalah susah untuk diterima oleh pemikiran manusia biasa. Kisah yang langsung tak masuk akal. Namun dia yakin. Kepercayaan Ashikin terhadapnya tidak akan pudar. Dia yakin itu, walaubagaimana keadaannya sekalipun.

“Ashikin, dengar sini. Ada projek besar yang saya perlu selesaikan terlebih dahulu. Dan tugas tu sangat bahaya. Tapi awak jangan risau, saya pasti akan selamat.” Jelas Hakimi. Mata Ashikin terkebil-kebil. Ligat otaknya mencari logik disebalik apa yang Hakimi perkatakan. Matanya tercari-cari kebenaran di dalam mata Hakimi. Ditatap wajah kekasihnya itu dengan simpati.

Hakimi memandang Ashikin sambil berharap dan menagih kepercayaan.

“Saya tahu mungkin tak logik untuk awak terima atau fikirkan. Tapi apa yang sedang saya alami ni betul-betul terjadi.” Kata Hakimi lagi.

“Akim, apa yang awak cakapkan ni?” kata Ashikin kesal. Dia menganggap sikap lama Hakimi datang kembali.

Lidah Hakimi seperti membeku. Tertahan mulutnya untuk berkata-kata. Sangat sukar untuk dia ceritakan.

“Saya perlu hapuskan dulu teknologi yang sangat bahaya. Yang dilakukan oleh orang dalam. Mereka mencipta teknologi senjata masa depan dengan sangat tak bertanggungjawab. Jadi saya perlu hentikan teknologi pemusnah mereka sebelum terlambat. Sebelum ada perkara buruk yang akan terjadi dekat negara kita.” Jelas Hakimi susah payah.

Company? Nadi Bima Berhad?” soal Ashikin yang sudah muak dengan sikap tidak matang Hakimi.

“Ya.”

“Akim, Nadi Bima Berhad tak wujud!” bentak Ashikin dengan perasaan hiba di hati. “Saya dah check dekat SSM, dan saya dah checkdekat senarai Bursa... Nadi Bima Berhad langsung tak wujud... Akim, berapa gaji awak kalau awak bekerja dekat syarikat tu? Adakah dia menjamin masa depan awak? Kalau awak berterusan macam ni, boleh ke kita bina hidup bersama? Pernah awak fikirkan semua ni?” kata Ashikin lagi kesal.

Hakimi tersentak. Tak sangka selama ini segala keyakinanya dinafikan mentah-mentah oleh Ashikin. Dunia nyata tidak langsung menerima sesuatu yang tak masuk akal seperti yang dilakukan oleh Syarikat Nadi Bima Berhad.

“Awak tak percaya dekat saya Ash?” Hakimi kecewa. “Semua ni sedang berlaku depan mata saya sekarang. Saya sedang alami semuanya ni. Memang mereka rahsiakan semua ni, sebab mereka mahu sembunyikan kuasa teknologi yang jauh lebih dahsyat.”

“Akim. Cukup! Hentikan paranoia dan halusinasi awak tu. Awak tak pernah berubah Akim.” Ashikin menafikan lagi, airmata hampir menitis. Suara yang lembut itu sedikit tinggi kedengaran.

“Ada sesuatu yang awak perlu tahu.” Kata Ashikin lagi. Hakimi terpinga-pinga. Kesal dengan kenyataan Ashikin tidak mempercayainya.

“Saya akan berkahwin dalam waktu terdekat ni. Segalanya telah ditentukan oleh keluarga saya.” Ashikin meluahkan kata-kata dengan perasaan pilu dan teramat sedih.

Bagaikan ribuan anak panah yang dengan lajunya menjunam dan terbenam ke dalam jantung hati Hakimi. Pedih dan perit sekali dia rasa. Mengapa kisah seperti ini perlu terjadi kepada dirinya. Lidahnya kelu tanpa kata. Tidak langsung dia punyai kekuatan untuk berkata-kata. Tiada kekuatan juga untuknya berdiri, lemah tubuhnya, namun digagahkan untuk tetap dengan keadaannya sekarang.

“Saya sanggup tunggu awak, semata-mata nak bagitahu hal ni. Sebab kemungkinan lepas ni saya tak akan jumpa awak lagi sampai bila-bila. Maafkan saya Akim. Keluarga saya dah tentukan. Saya tak boleh nak tolak lagi.” Kata Ashikin sebak. Namun hakikatnya tidaklah demikian. Perkahwinan itu dilakukan dengan segera kerana mereka telah bersepakat. Ashikin sudah berubah hati ke arah Norman. Ashikin mahu hentikan segala penderitaan kerana menunggu Hakimi terlalu lama. Norman berjaya mencuri hati Ashikin dalam keadaan Hakimi yang kurang memberikan perhatian kepadanya. Norman berjaya meyakinkan Ashikin dan membuat keputusan untuk disegerakan perkahwinan, agar Ashikin tidak terlepas kepada orang lain.

“Kita boleh berbincang lagi kan? Biar saya datang rumah mak ayah awak. Biar saya beritahu yang saya akan berkahwin dengan awak secepat mungkin.” Kata Hakimi dengan nada terdesak.

Ashikin menangis sambil menggelengkan kepalanya.

“Mulai saat ini, saya tak akan jumpa awak lagi. Anggaplah kita langsung tak pernah kenal sebelum ni.” kata Ashikin yang perit menanggung duka.

“Ashikin...” kata Hakimi, cuba menahan Ashikin pergi. Matanya pula yang berkaca. Dia sangat terkilan dengan hakikat yang diterimanya. Langsung tidak dia sangka. Betapa Ashikin sangat nekad untuk membuat keputusan yang telah menghempas hatinya, bak kaca yang jatuh lalu hancur berderai.

Tak mampu lagi dia menahan langkah kaki Ashikin yang pergi meninggalkannya yang sedang patah hati. Matanya berkaca dan bergenang, namun tidak menitis. Meraung hatinya. Langkah Ashikin itu bukan sekadar pergi untuk pulang. Malah terus pergi dalam hidupnya, tidak akan dia jumpa lagi kekasih hati. Tidak akan ada lagi cinta dan mesra seperti sembilan tahun dulu. Tidak akan ada lagi Ashikin di hadapan matanya. Tidak akan dia terima dan lihat lagi senyuman Ashikin seperti dulu, istimewa untuk dirinya. Apa yang pasti, hidupnya tidak akan sama lagi selepas Ashikin pergi. Segalanya telah hancur musnah. Cinta yang mereka ikat cukup sampai setakat ini. Hakimi kini tidak memiliki cintanya lagi. Ashikin terpaksa pula mengorbankan cinta demi tuntutan hidup dunia. Tak sanggup lagi dia menanggung tekanan untuk hidup bahagia, seperti pasangan belum berkahwin yang lain. Namun jauh dalam sudut hati mereka berdua, sentiasa mengharapkan untuk dapat hidup bersama, selamanya. Hayat di sini tidak mentakdirkan jalan abadi untuk mereka menikmati cinta.

Kini apa yang tinggal bersama Hakimi adalah kenangan yang menimbun. Yang kelak akan menemaninya, yang melukainya, yang menyakitinya. Bagaikan racun yang perlahan-lahan menyakiti dan membunuh keceriaan hari-hari yang mendatang. Hanya duka dan derita yang menemaninya kini. Kelak nanti jika dibiarkan, membuatkan jasadnya hidup ibarat tanpa nyawa. Hari-hari yang dilalui nanti hanya suram dan kelam.

Ashikin, apa akan jadi dengan aku nanti?” bisik hati Hakimi sendiri. Cinta mereka berdua kini berakhir sudah.

***

Tangis esak yang sangat hiba dan perit dilepaskan oleh Ashikin sendirian dalam bilik tidurnya. Berjujuran lajulah airmata, deras turun membasahi pipi. Teresak-esak kuat tangisnya sehingga begitu menyeksa emosi. Sendirian dia di situ. Di sudut bucu dinding berhampiran pintu dalam biliknya, dia terduduk sambil memeluk lutut erat-erat. Tangisan duka kerana cinta, bagaikan tidak akan berhenti. Meninggalkan bekas luka yang sangat dalam untuk hidupnya. Pasti akan berdarah kembali, jika Ashikin terkenangkan kekasih yang satu-satunya paling dia cintai. Wajah Ashikin menggambarkan segala derita dan duka. Sangat terseksa batinnya kerana cinta yang tidak kesampaian. Walaubagaimana sakit, derita dan terseksa. Dia tetap berusaha untuk melupakan segala kenangan indah yang tercipta di antara dia dan Hakimi. Bermula esok hari, segala persiapan akan dilakukan untuk dia bersedia berkahwin. Mencipta kenangan cinta baharu yang dia yakin lebih baik untuknya.

***

Jutaan taburan bintang di langit malam berkelip sayu. Hampa.

Hutan batu dengan megahnya berdiri di kota metropolitan. Di salah satu bangunan terdapat tugu yang dipasakkan di bahagian khas paling tinggi. Melambangkan status urusan perniagaan yang besar. Kelihatan satu tubuh seperti manusia yang sedang bersendirian sambil tersandar lemah, bersayap. Keseorangan di atas bangunan tinggi. Tiada siapa yang mampu mencapainya, atau menghampiri kerana keadaan yang sangat tinggi dan sukar untuk berada di situ tanpa sebarang jentera bantuan.

Di satu sudut kecil Raphael duduk bersandar sambil menongkat tangannya dengan lutut kanan. Kaki kiri dijulurkan ke depan. Pandangannya tertunduk, termenung. Dia menikmati malam dengan hatinya yang retak dan sugul.

Dia hanya mendiamkan diri, sungguh jauh lamunannya. Terkenang saat-saat indah dia bersama Ashikin. Matanya yang merah, memancar lemah. Sut yang dilengkapi teknologi senjata yang sangat maju tidak mampu mengubah perasaannya yang sedang bersedih dan terluka.


Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku