RAPHAEL
Bab XXIV
Genre: Thriller/Aksi
Kategori: Novel
Paparan sejak 31 Mac 2017
Jeneral Karim telah menyalahgunakan sumber bahan mentah dari planet asing dalam pembangunan teknologi ketenteraannya. Dengan kesedaran ini, sekumpulan saintis dan mereka yang terlibat dalam menentang projek yang berisiko tinggi ini, mencipta sut khas yang dapat menghapuskan bahan mentah itu, sekaligus menggagalkan rancangan Jeneral Karim.
Penilaian Purata:
(5 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
261

Bacaan






Sejak dari awal pagi Detektif Mukhriz tertunggu-tunggu di dalam kereta. Dia berhenti di tepi jalan kawasan luar jalan besar, berhampiran dengan lorong ‘District 7’. Segala kemungkinan yang mencurigakan akan diperhati dan di analisa dalam-dalam. Bukan mudah untuk dia selesaikan misteri yang membelenggu pemikiran rasionalnya. Namun dia harus berusaha mencari jawapan. Dia yakin setiap persoalan yang menghantui fikiran, ada jawapannya pada Hakimi. Jika tidak, dia harus mencarinya ditempat lain. Mencari objek seterusnya untuk di soal siasat. Mungkin pada seorang yang diwawancarakan oleh wartawan semasa liputan berita dibuat. Di ambil binokular dan dirapatkan ke matanya. Fokus pandangan itu tertuju di lorong yang sama. Kalau-kalau terlihat aktiviti yang melibatkan kawasan itu, yang ada kaitan dengan siasatannya. Namun semakin lama dia tunggu. Langsung tiada sebarang petunjuk untuk dia rungkai rahsia yang tersembunyi.

Bukan sikapnya untuk mudah berputus asa. Untuk menjadi penyiasat yang pintar dan cekap, banyak masa dan tenaga perlu dikorbankan. Daya tahan dan kesabaran yang tinggi sangat-sangat diperlukan jika ingin mengkaji atau menyiasat sesuatu perkara. Selagi jawapan tidak ditemui, selagi itu juga dia tidak akan berganjak dan tinggalkan pergi kes yang sedang diselesaikannya ini. Dia tidak berniat untuk datang hampir ke lorong itu, dia tidak mahu kelibatnya disedari oleh Hakimi, atau orang-orang yang berkaitan. Kelihatan mulutnya mengunyah chewing gum. Bagi menghilangkan kebosanan. Masa yang terus berlalu membuatkan perutnya sedikit lapar. Di capai pula roti bun kecil, menjadi santapannya dan beberapa cawan minuman yang didapatkannya di kedai berhampiran. Semuanya itu dilakukan di dalam kereta. Dia seboleh-bolehnya tidak mahu terlepas walau sedetik pun pemerhatiannya di lorong District 7.

Hari berganti hari. Tiada sebarang petunjuk lagi yang dapat dilihatnya, yang mencurigakan. Kini masuk hari yang ketiga dia menjalankan pemerhatian secara senyap-senyap. Hanya duduk di dalam keretanya sambil memerhati disekeliling jalan berhampiran bangunan usang yang menimbulkan tanda tanya.

Setelah tiga hari menunggu, usahanya tidak sia-sia. Tiba-tiba dua buah kenderaan eksklusif prototaip pacuan empat roda berwarna hitam masuk ke lorong District 7. Kenderaan pikap berjenama Proton dengan ruang belakang yang tertutup menimbulkan banyak persoalan dikepalanya. Binokular dicapai untuk dia perhatikan dengan lebih jelas. Mengapa dua buah kenderaan pacuan empat roda Proton masuk ke dalam lorong? Apakah yang ingin dilakukan dengan kenderaan itu? Kemanakah lokasi akan di tuju selepas ianya bertolak semula keluar dari District 7? Tugasnya kini bermula. Dia harus lebih peka. Cermin gelap pada semua sisi menyukarkan Detektif Mukhriz untuk mengenalpasti identiti pemandu.

Selagi semua pertanyaan tidak berjawab, selagi itu juga dia tetap tidak berganjak atau berputus asa. dia bertekad untuk membongkar rahsia itu satu persatu sehingga jelas terang apa yang sedang berlaku, dan siapakah sebenarnya lembaga hitam bersayap, yang menyerupai manusia yang terbang pada malam tempoh hari.

***

Beberapa bulan telah berlalu.Segala persiapan untuk majlis akad nikah sudah cukup sempurna. Keluarga kedua-dua belah pihak, iaitu Norman dan Ashikin sudah berada di bilik akad nikah di sebuah masjid besar yang terkemuka. Kelihatan mereka semua bahagia dan teruja dengan acara yang bakal berlangsung. Norman sudah siap-siap duduk di kusyen bulat yang disediakan khas untuknya melafazkan akad nikah nanti. Disekelilingnya adalah saksi dari kedua-dua belah pihak keluarga bakal suami isteri. Kelihatan juga bapa Ashikin sedang berbincang-bincang dengan imam yang bertanggungjawab menikahkan mereka berdua.

Setelah perbincangan selesai, bapa Ashikin bersetuju untuk menjadi wakil yang mengakadnikahkan anaknya. Sedikit tazkirah berkaitan perkahwinan diucapkan oleh imam itu yang berada di hadapan Norman. Setiap bait ucapan didengarnya dengan teliti dan difahami. Imam dan bapa Ashikin bertukar posisi tempat duduk mereka. Kerana kejap lagi lafaz akad nikah akan dilaksanakan. Dengan sangat sopan dan santunnya Ashikin duduk bersimpuh dibelakang. Pakaiannya sangat berseri-seri. Sangat cantik dan bahagia dia di hari bersejarah itu.

Bapa Ashikin menghulurkan tangannya ke arah Norman untuk saling berjabat. Setelah itu lafaz dari wali pengantin perempuan pun bermula. Sekalipun bapa Norman bukan berketurunan Melayu, namun adat dan kesucian agama Islam telah menjadi sebahagian hidupnya. Tidak hairanlah di majlis itu terdapat sebahagian ahli keluarga Norman yang memiliki rupa paras orang Eropah.

“Norman Jacob bin Abdullah Verharckee, Aku nikahkan engkau dengan anakku, Sahara Ashikin binti Arshad dengan maskahwinnya tiga ratus ringgit tunai...” ucap bapa Ashikin dengan jelas.

Tangan yang berjabat bergoncang satu kali.

Norman membalas ucapan itu dengan yakin sampai habis. Segala-galanya berjalan dengan lancar. Mereka kini sudah menjadi pasangan suami isteri yang sah. Senyuman kesyukuran kelihatan di raut wajah hampir semua yang hadir di majlis akad nikah. Apatah lagi pasangan yang baru diijabkabulkan itu. Senyuman Ashikin dan Norman menyatakan bahawa mereka saling cinta antara satu sama lain. Bagaikan sudah lama mereka menjalin hubungan perasaan cinta. Bagaikan tiada masa silam yang pilu wujud di antara mereka. Ashikin melihat wajah Norman sambil tersenyum hormat. Baginya Norman sempurna. Dapat menjadi pemimpin keluarga dan menguruskan kehidupan dengan baik bersama. Kerana mereka berpijak di bumi nyata. Menyedari bahawa kehidupan yang stabil itu penting bagi meneruskan kehidupan di dunia ini.

Bagaikan langsung tidak wujud kenangan cinta Hakimi terhadap dirinya yang pernah ada dulu. kenangan cinta bersama Hakimi dibuang jauh-jauh. Tidak ada makna lagi untuk djadikan kenangan dan bertekad tidak akan dia ingat lagi lelaki yang pernah dicintainya itu hampir sembilan tahun. Segala memori dibuang jauh-jauh; usaha itu dilakukan sejak beberapa minggu yang lepas. Melupakan Hakimi perlahan-lahan dan menerima hakikat jodohnya yang sebenar. Cinta sejatinya adalah bersama Norman, dan bukannya Hakimi.

Setelah majlis selesai di awal pagi, majlis persandingan pula akan berlangsung pada petang hari yang sama. Begitulah apa yang telah dirancang Norman dan dipersetujui oleh keluarga kedua-dua belah pihak. Semuanya ingin segera dia selesaikan.

Hari ini adalah hari bahagia mereka berdua. Sangat meriah dan gilang-gemilang majlis resepsi yang berjalan. Ashikin tersenyum sangat ceria. Cinta Norman semakin bertambah apabila melihat Ashikin yang berpenampilan sangat cantik penuh dengan kemewahan pesona cinta dan kelembutan. Banyak foto kenangan yang terakam sepanjang majlis walimatulurus berjalan. Untuk dijadikan kenangan dan memori cinta mereka berdua, seumur hidup.

Sempat juga Norman membisikkan kata cinta tatkala melihat wajah Ashikin dengan sangat dekat. Potret kenangan dengan gaya saling menari gembira ingin dirakamkan oleh jurufoto.

I love you so much Ashikin.” Kata Norman dengan bersungguh dan perasaan cinta yang sangat dalam.

Ashikin yang tadinya tersenyum bertukar teruja. Kata-kata itu benar-benar mencairkan hatinya. Mata yang bersinar pesona bahagia menatap tajam kedua-dua belah mata Norman dengan pandangan penuh rasa cinta. “I love you too Norman.” Ucap Ashikin, kemudian kembali tersenyum dengan senyuman yang paling indah. Senyuman itulah yang pernah menyinari hidup Hakimi, dan telah menjadi sumber kekuatan untuk lelaki itu meneruskan hidup dengan bahagia.

Segala kemanisan cinta akan mereka kecapi bersama, keagungan cinta yang tiada tandingnya terhadap mereka berdua.

***

Pagi ini sekalipun langit cerah menyinar dengan gemilang. Tetap juga Hakimi memandangnya kelam tanpa keceriaan. Matanya terkebil-kebil perlahan. Tubuhnya masih lagi terbaring di katil tidur, terlentang tak bermaya. Tidak ada daya sedikitpun untuknya bangun dan menikmati hari-hari dengan penuh semangat. Baginya sudah tidak ada makna waktu siang, tiada bezanya dengan malam yang kelam. Suram dan sugul matahari memancarkan sinarnya. Tubuh Hakimi bagaikan lumpuh untuk bangkit menempuh hidup. Kerana kekuatannya sudah hilang. Sumber semangat cinta sudah terpadam. Jiwanya kesunyian tanpa ada lagi kekasih yang menemani. Sungguh benar-benar dia rasakan, pedih dan deritanya patah hati. Cintanya hampa, dan apa yang menemaninya kini hanyalah kesedihan demi kesedihan. Tiada arah lagi ingin dia tuju. Yang tinggal hanya kebingungan. Ibarat terlantar ditengah-tengah gurun sahara, walau arah mana sekalipun dia tuju tetap juga tidak terlihat sebarang petanda dan harapan. Apa yang ada hanyalah pasir tandus dan kering kontang, oasis yang memperdayakan.

Tidak sedikit yang pernah merasai dan mengalami patah hati, kekecewaan terhadap hidup membuatkan mereka mati sebelum ajalnya. Hilang pertimbangan waras, malah ada yang nekad mengakhiri hayat, baginya sudah tidak ada makna lagi dalam hidup. Mungkin itu jugalah yang ada dan dirasai oleh Hakimi sekarang. Saat ini dia merindui ibunya, bapanya yang tidak pulang-pulang. Tapi pedoman agama masih kuat dalam diri. Tidak sedikit juga mereka yang mengalami kesedihan kemudian diluahkannya melalui penulisan, sehinggalah dibaca orang, dikagumi dan dimuliakan. Orang yang membacanya turut bersimpati. Mereka menghormati karya sebegini kerana Sang Penulis yang memilih untuk terus tabah hati menjalani hidup setelah harapan yang hancur. Sehinggalah puisi yang menyedihkan tercipta. Didendangkan oleh Sang Pengkarya menjadi tatapan dan persembahan terindah yang pernah manusia hayati dan nikmati. Ditepuk sorak oleh Sang Penonton tatkala selesai sahaja mendendangkan riwayat hidup mereka yang berduka. Sedangkan jauh dalam sudut hatinya, duka paling dalam itu kekal abadi dalam jiwa. Dalam kesunyian, dia menangis hiba sendiri.

Dalam hati Hakimi terus meratap sedih. Semenjak perpisahan. Rindunya terhadap Ashikin semakin menebal. Setiap kali kenangan hadir, jiwanya perit menanggung duka. Sungguh sengsara dia rasa. Ibarat Sang Kekasih yang merayu cinta hatinya untuk pulang ke pangkuan. Begitulah keadaan cinta Hakimi yang sedang tenat.

***

Malam itu mereka masih lagi meraikan hari bahagia. Diadakan sedikit liburan namun tetap sopan dan bersederhana. Diadakan untuk meraikan Ashikin yang telah menjadi sebahagian keluarga Norman. Di dalam dewan hotel dibuat sedikit persembahan nyanyian, kelihatan ramai keluarga sebelah Norman yang hadir seperti meraikan majlis yang besar-besar. Yang lelaki memakai blazer atau tuxedo. Manakala untuk perempuan bebas mengenakan fesyen masing-masing.

Tiba pula persembahan solo artis dengan instrumennya tanpa sebarang vokal. Muzik yang dialunkan cukup romantik dan indah sekali. Lalu menggerakkan hati Norman untuk meraikannya bersama isteri tercinta.

Ashikin yang dari tadi sibuk melayan tetamu ditegur oleh Hakimi dari belakang.

“Ehm...” Norman berdeham. Ashikin tersedar, dia menghentikan perbualannya yang sedang rancak. Kemudian menoleh kebelakang.

Can I have a dance with you.” Kata Norman, mengajak Ashikin menari bersamanya.

Serba salah wajah Ashikin. Sepanjang hayatnya tidak pernah langsung dia menari sebagaimana yang ditunjukkan dalam filem-filem hebat. Hendak ditolak permintaan suaminya itu, namun dia rasa canggung. Ashikin teragak-agak.

Come on, you should...” kata salah seorang saudara perempuan Norman. Mendengarkan kata-kata semangat itu, membuatkan Ashikin memberanikan diri menerima ajakan eksklusif Norman.

Tangan Ashikin yang mulus digenggam hormat, penuh dengan kasih sayang. Hampir dipeluk erat Ashikin dalam dakapannya. Ashikin sangat janggal.

“Saya tak pandai menari...” kata Ashikin dengan jujur.

So do I...” balas Norman. Kemudian tersenyum. Ashikin juga turut tersenyum bahagia.

Tarian yang sangat sederhana dipersembahkan mereka berdua. Hanya saling bergerak setempat, tangan digenggam erat oleh Norman sambil tangan kanannya memeluk sedikit pinggang Ashikin. Tangan kiri Ashikin pula memaut bahu kanan suaminya yang sah itu. Mereka berdua menikmati alunan muzik yang syahdu dan mengasyikkan, cinta hangat mereka berdua diraikan. Bertemu juga akhirnya cinta di antara mereka. Namun adakalanya, wajah Ashikin bertukar sayu juga. Masih terkenangkan cinta lama.

***

Pada malam yang sama itu juga sendirian Hakimi duduk dalam kereta. Di hadapannya terbentang tasik yang tidak kelihatan keindahannya. Sengaja dia bersendirian di taman itu. Hanya termenung lesu dan terdiam. Mencari damai hati mungkin.

“Quara... aktifkan skrin dan sambungan internet...” Kata Hakimi memberikan arahan.

Sistem pintar digital, Quara, menjalankan tugasnya. “Skrin dan sambungan internet di aktifkan.” Quara bersuara. Kini cermin hadapan kereta Hakimi telah bertukar fungsinya menjadi sebuah skrin monitor lutsinar yang besar.

Screen out semua media sosial saya.” Pinta Hakimi lagi.

Media sosial diaktifkan.

Maka terbukalah akaun media sosial Hakimi dari Facebook, Twitter dan Instagram miliknya. Ternyata Quara menjalankan tugas sangat cekap.

Sedia menerima arahan seterusnya.” Quara bersuara lagi setelah agak lama Hakimi mendiamkan diri.

“Seragamkan ketiga-tiga akaun saya, buka akaun bernama Ashikin... Sahara Ashikin.” Kata Hakimi dengan nada sabar. Nafasnya ditarik dalam-dalam. Dia harus bersedia dengan apa yang bakal dilihatnya. Sungguh hati Hakimi sangat tabah. Nama kekasihnya disebut kerana pada saat ini, dia sangat rindu.

Mod carian diseragamkan... sedang mencari... akaun Sahara Ashikin sedia dibuka.” Quara dengan kecekapan miliknya membuka akaun media sosial milik Sahara Ashikin. Maka terpampanglah satu persatu gambar Ashikin yang sedang berbahagia meraikan majlis pernikahannya. Satu persatu juga gambar itu diserakkan di atas skrin kaca hadapan kereta Hakimi. Gambar-gambar hari bahagia kekasih yang amat dicintainya dilihat satu persatu. Hanya dari dalam sahaja skrin itu dapat dilihat. Jika diluar kenderaan, cermin hadapan itu hanyalah seperti biasa.

Menggigil tubuhnya, menitis airmatanya, kemudian mengalir perlahan. Terdapat rakaman video turut dimuatnaik oleh suami Ashikin yang sedang dimainkan, iaitu sesi fotografi yang paling romantik dan penuh cinta. Foto-foto itu semuanya membuatkan hati Hakimi retak seribu, pilu dan pedih dia rasa. Tak habis-habis hanya senyuman dan gah cinta yang terpamer. Membiarkan Hakimi menangis hiba mengenangkan nasib cintanya yang tidak kesampaian.

Lantas dengan kesedihan yang tidak tertahankan. Diambil peranti Raphael dan diaktifkan. Hakimi keluar dari dalam perut kereta dengan keadaan hampir rebah tak mampu berdiri. Hatinya sangat berat menanggung kesedihan yang memilukan. Setelah sut Raphael sempurna membaluti tubuh. Hakimi mengembangkan sayap dan terus terbang jauh menuju atap bangunan paling tinggi yang berhampiran. Setelah terbang tinggi, dia hinggap di atas bumbung bangunan tanpa disedari oleh sesiapa. Dengan suaranya yang garau dan besar, dia menangis teresak-esak. Airmata berwarna merah mengalir keluar. Dia hampir tersembam namun lututnya menahan dari jatuh, kedua-dua tangannya menahan lantai. Pandangannya tertunduk sambil sedu-sedan. Airmata merah yang mengalir bukanlah darah, melainkan tindakbalas dari kemerah-merahan matanya yang menyala garang.

“Aku harus melupakan semuanya ini... Tapi Tuhan, aku sangat rindukan dia.” Kata Hakimi sangat sebak. Airmata merah terus laju menitis di kedua-dua belah matanya, melambangkan betapa dia menangisi penderitaan yang sangat berat dan dalam.

Hatinya terus menghujankan tangisan tanpa henti. Bukan kepalang irama duka bermain dalam jiwanya. Beralun sayu dan hiba.


Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku