RAPHAEL
Bab XXV
Genre: Thriller/Aksi
Kategori: Novel
Paparan sejak 31 Mac 2017
Jeneral Karim telah menyalahgunakan sumber bahan mentah dari planet asing dalam pembangunan teknologi ketenteraannya. Dengan kesedaran ini, sekumpulan saintis dan mereka yang terlibat dalam menentang projek yang berisiko tinggi ini, mencipta sut khas yang dapat menghapuskan bahan mentah itu, sekaligus menggagalkan rancangan Jeneral Karim.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
377

Bacaan






Das demi das tembakan dilepaskan Inspektor Qaireen tepat menuju sasaran. Dia menjalankan latihan di lapangan padang sasar. Hanya sendirian dia berdiri di situ. Yang lain ada yang sedang duduk dibelakang, menyiapkan pistol masing-masing dengan memasukkan peluru.

Di tilik lagi dengan fokus yang tinggi, akan replika tubuh manusia yang berada jauh beberapa ela dihadapan. Cukup jauh untuk orang biasa tersasar apabila melepaskan tembakan. Satu das tembakan dilepaskan tepat mengenai sasaran jantung. Kelihatan disekitar kawasan replika manusia itu, banyak peluru yang hinggap di jantung dengan ketepatan sasaran sembilan puluh peratus. Di tilik pula ke arah tengah-tengah dahi. Agak lama fokusnya. Untuk mendapatkan tembakan yang hebat, segala pancaindera difokuskan hanya pada satu titik. Setelah yakin, Qaireen melepaskan tembakan lagi.

‘Baamm!’ dengan akurasi seratus peratus, replika manusia itu menerima tembakan senjata Qaireen tepat mengenai bahagian tengah dahinya.

Setakat ini Inspektor Qaireen berpuas hati, wajahnya tetap tenang sambil merenung tajam objek sasaran. Matanya bagaikan pandangan Sang Helang yang tepat dan terang melihat mangsanya untuk di’terkam’.

Mata yang sedang fokus itu tiba-tiba termenung. Tangan kanan yang sedang mengacukan pistol diturunkan perlahan-lahan. Dia teringatkan saat-saat tragis tatkala bapanya ditembak dan terbunuh dengan kejam oleh Jeneral Karim. Kenangan yang menyakitkan itu hadir dalam lipatan memorinya. Masih lagi hangat dan luka berdarah di hatinya. Belum lagi sembuh. Mana mungkin kejadian yang sangat kejam itu dilupakan. Kejadian itu jugalah yang telah mengubah personalitinya menjadi tidak menentu, panas baran dan mudah memberontak. Antara yang turut bersimpati adalah Dr. Zahran sendiri, semasa masih hidup.

Wajahnya tiba-tiba terkejut, tersentak. Terkenangkan detik-detik bapanya ditembak oleh Jeneral Karim. Jeritan kesakitan bapanya yang sampai sekarang menghantui diri, igauan yang mengerikan dan memilukan.

Dia teringat lagi pada ketika itu, prosedur mahkamah yang melibatkan Ir. Dr. Farhan Ghazali. Seorang saintis yang cuba membongkarkan rahsia projek eksperimentasi Jeneral Karim terhadap teknologi persenjataan tentera. Segala bukti telahpun didedahkan dan disahkan. Hanya menunggu pihak mahkamah mengambil tindakan yang sewajarnya. Dan semasa Dr. Farhan diiring keluar oleh pegawai polis –termasuklah bapa Qaireen- menuju ke tempat parkir kereta di basement, tiba-tiba sebuah kenderaan hitam bercermin gelap meluru laju ke arah mereka. Dengan tiba-tiba juga tingkap kenderaan itu terbuka lalu ternampaklah wajah Jeneral Karim di dalamnya. Inspektor Qaireen yang turut sama berada ditempat itu dapat melihat Jeneral Karim –seorang suspek yang tidak dia kenal sebelumnya- mengacukan pistol ke arah Dr. Farhan Ghazali. Kenderaan hitam yang meluru laju terhenti dihadapan mereka dengan jarak beberapa meter. Bapa Qaireen yang juga sebagai polis pengiring sedar akan tindakan yang mencurigakan dan bahaya, lalu cuba untuk melindungi Dr. Farhan dari ditembak. Namun tindakan itu tetap juga sia-sia apabila peluru dengan teknologi yang maju menembusi tubuh mereka berdua. Pada saat itu, beberapa das tembakan kedengaran, yang turut meragut anggota polis yang lain. Bertempiaran lari Qaireen dan yang lain mencari tempat perlindungan; disebalik kereta yang telah diletakkan di kawasan parking. Dia hanya mampu melihat bapanya tercungap-cungap kesakitan, kemudian mengerang menahan azab. Seperti peluru itu mengandungi bahan senjata biokimia yang menyeksa tubuh mangsa.

Airmata Inspektor Qaireen menitis pada ketika itu. Malangnya dia hanya mampu melihat bapanya yang sudah terbaring dengan tenat. Menahan kesakitan yang teramat. Sehinggalah dengan perlahan-lahan nafas bapanya itu terhenti bersama mangsa tembakan yang lain.

Kenderaan yang dinaiki Jeneral Karim sudah lama berdecit meninggalkan kawasan kejadian tembakan. Demi projek rahsianya yang sangat maju dan berbahaya, yang bakal memberikannya imbuhan dan pulangan yang menimbun, sanggup dia lakukan apa saja sekalipun nyawa orang yang tidak bersalah teragut. Nasib yang sama akan menimpa kepada sesiapa sahaja yang cuba mencabarnya ataupun mendedahkan rahsia sulit projek.

Pada ketika itu juga, Inspektor Qaireen yang sedang tertiarap di kawasan parkir kenderaan bawah tanah, bukan setakat menangis sedu sedan dengan peritnya, malah turut menyimpan dendam yang menggunung, yang sehingga kini menjadi barah yang merosakkan emosi tenangnya.

Ir. Dr. Farhan, bapa Qairen dan beberapa anggota polis yang terkena tembakan telah pun menghembuskan nafas mereka yang penghabisan. Tubuh yang terbaring kaku itu sudah tidak bernyawa lagi. Kelihatan seorang polis lelaki mencapai alat perhubungan dan dengan cemasnya memohon bantuan perubatan, supaya datang segera menguruskan mayat yang telah dibunuh dengan kejam.

Semasa majlis pengkebumian ayahnya, Qaireen tidak henti-henti menahan sebak di jiwa. Merah padam mukanya, basah digenangi airmata pilu. Daripada mula hinggalah majlis berakhir. Sendirian dia berdiri di samping kubur bapanya. Sungguh dia langsung tidak menyangka, secepat ini bapa pergi meninggalkan dirinya.

Pada ketika itu jugalah Dr. Zahran hadir menghampiri Inspektor Qaireen. Memberikan penerangan dengan jelas terang akan siapakah dalang disebalik kes besar ini. Di luar pagar kawasan perkuburan, Dr. Zahran menceritakan segala-galanya. Wajah Qaireen menampakkan bahawa dia sangat terkejut dengan hakikat sebenar yang di dengarnya. Iaitu sebuah projek yang sangat maju yang dirahsiakan identitinya dari orang awam, kerana masyarakat umum belum bersedia menerimanya, supaya tidak menimbulkan kekecohan dalam kehidupan rakyat secara keseluruhannya, sekiranya maklumat ini jatuh ke tangan mereka yang tidak bertanggungjawab. Projek itu asalnya adalah bertujuan baik, namun telah disalahgunakan oleh Jeneral Karim dalam memimpin projek khas yang diterimanya. Dan kerana itu, nyawa yang tidak bersalah menjadi mangsa. Berkerut-kerut dahi Qaireen menghadam maklumat yang disampaikan Dr. Zahran. Pada mulanya sukar untuk dia percaya, namun setelah bukti fizikal yang dipertunjukkan di hadapan mata, hakikat yang sangat mengagumkan dan dahsyat itu diterimanya dengan hati terbuka.

Sejak dari itu jugalah Qaireen di pindahkan ke unit polis khas, dan dia berjanji untuk turut merahsiakan segala urusan bisnes Nadi Bima Berhad kepada orang ramai.

Inspektor Qaireen juga turut menandatangani portfolio persetujuan untuk menyertai ‘Project Raphael’, dan dia bertekad dengan sesungguhnya, untuk mengakhiri dan membalas segala tindakan kejam yang telah dilakukan oleh Jeneral Karim.

Sehingga saat ini, bara perasaan dendamnya tidak lagi padam. Sukar untuk dia memaafkan Jeneral Karim, atau mungkin tidak sama sekali.

Tersedar dari lamunan, matanya sudah berkaca; bergenang airmatanya. Hanya setitis yang tertumpah mengalir ke pipi lalu jatuh ke bumi. Mengigil tubuhnya kerana dendam dan geram.

Sejak dari itu jugalah Inspektor Qaireen dengan kerap menjalankan latihan menembak. Sehinggalah sampai satu ketika, setiap peluru yang dilepaskan, tidak pernah terlepas jauh dari sasarannya, malah sangat tepat.

Perasaan marahnya kini telah membuak-buak. Pistol yang telah kehabisan peluru dalam genggamannya di isi dengan keras. Di ambil slot peluru yang tersisip di sisi tubuh, lalu di hentak kuat ke dalam kelongsong peluru yang terletak dibawah tempat pemegang pistolnya. Dengan pantas juga tangan dihulur dan di arahkan ke arah sasaran. Tangan kanannya memegang pistol, dan tangan kiri memberikan sokongan dengan menggenggamnya. Kedua-dua belah tangannya dihulurkan ke depan. Menilik dengan pantas. Satu persatu peluru dilepaskan, kuat bunyi kedengaran. Bertaburan peluru jatuh ke lantai berhampiran kakinya.

Baam baam baamm...!!!’

Di ketik picu dengan perasaan dendam dan geram. Dengan pantas ibarat pistol di tangannya tidak akan kehabisan peluru; infiniti. Kini yang kedengaran hanyalah petikan picu pistol yang digerakkan oleh jari telunjuk kanannya. Tembakan itu dihentikan. Jika peluru masih lagi ada, nescaya tidak akan berhenti pistolnya melepaskan tembakan. Bertaburan lagi peluru jatuh menghujani lantai. Ibarat bunyi besi-besi kecil kedengaran menghentam tanah dan bergeseran antara satu sama lain.

Nafas yang turun naik dengan pantas cuba ditenangkan. Kedua-dua belah tangan diturunkan perlahan. Di usap airmata yang hampir menitis dengan tangan kirinya. Apa yang terlihat di replika tubuh manusia itu, yang sangat jauh beberapa meter, tepat mengenai dahi, kepala, dada dan bahagian jantung. Tidak tersasar walau sebutir peluru sekalipun.

Kematian ayahnya yang sangat dia sayang, dan rakan seperjuangan, Dr. Zahran, akan dituntut dan di adili dengan sewajarnya.

***

Komander Mustaffa mengemaskan pakaian uniform seragam tentera khas berwarna biru kehitam-hitaman. Di kancing butang uniform dengan sempurna. Segak dan berwibawa penampilannya layak sebagai seorang komander tentera. Dia juga telah berpengalaman pergi berperang di beberapa medan pertempuran, tidak sedikit komrad yang terkorban. Namun dengan kecekapannya, dan keizinan Ilahi, masih lagi dia berdiri mempertahankan kedaulatan, kehormatan, dan keamanan negara. Komander Mustaffa juga adalah antara anggota tentera yang pakar dan hebat dalam medan pertempuran, sehingga dia dikurniakan dengan beberapa pingat kebesaran dan penghormatan.

Pakaian yang dipakainya itu sekalipun serupa dengan tentera, tetapi agak berbeza; tanpa celoreng, hanya warna plain. Ini kerana uniform yang dikenakan sekarang ini adalah khas untuk dia bertempur di medan peperangan di dalam hangarJeneral Karim. Bersendirian dia di dalam bilik persalinan. Setelah pakaiannya lengkap dikenakan, Komander Mustaffa bergerak melihat cermin besar yang terdapat dibucu bilik. Cermin itu panjang sehingga refleksi yang kelihatan adalah dari hujung rambut sampai ke hujung kaki.

Ditatap tubuh dan penampilannya, dilihat wajahnya sendiri dengan tenang. Tangan kanan Mustaffa memegang bahu kirinya. Di situlah bekas tembakan yang tepat mengena di tubuh. Sakitnya luar biasa. Peluru yang menembusi bahu kirinya hampir membuatkan nyawanya melayang. Jika tidak dirawat dengan bahan perubatan intensif, pasti sekarang ini dia sudah tiada lagi hidup di atas muka bumi.

Dalam menungan itu dia terkenangkan salah satu ‘peperangan’ kecil yang melibatkan dirinya dan beberapa batalion askar yang lain. Yang pada peperangan itu jugalah satu-satunya pertempuran yang sangat tidak masuk akal dan mampu diterima dengan akal yang waras. Hanya mereka yang percaya dengan kecanggihan teknologi mampu menerimanya. Pada ketika itu, Komander Mustaffa juga seperti askar-askar yang lain, sekalipun latihan intensif dan tinggi telah dipelajarinya, namun pendedahan terhadap apa yang dilihatnya depan mata sangat dia tidak percaya, mahupun di terima oleh rasionalnya sendiri.

Dia terkenangkan pada saat itu, waktu malam. Tiba-tiba menerima panggilan kecemasan untuk melindungi kawasan ketenteraan yang menempatkan dan menyimpan segala bentuk bahan letupan dan senjata, dari skala kecil hinggalah yang paling besar. Beberapa batalion askar yang tidak dikenali asal usulnya telah menceroboh masuk ke dalam pengkalan ketenteraan dan berniat untuk mencuri dan merampas segala jenis teknologi bahan letupan yang ada. Sekalipun kawalan ketat wujud di pengkalan tentera milik negara, langsung tidak mencederakan malah membunuh askar misteri seramai dua puluh orang. Anggota askar negara yang berhampiran telah terbunuh dengan sadisnya dibedil oleh senjata milik askar misteri, yang sebenarnya adalah askar ujikaji Jeneral Karim. Sekalipun berpenampilan seperti manusia, dengan ujikaji rahsia yang dijalankan oleh Jeneral Karim, sifat dan kekebalannya sungguh luarbiasa.

Dengan pantas juga dikerah batalion khas termasuklah Komander Mustaffa untuk mempertahankan bangunan penyimpan peledak letupan dan senjata kimia yang lain, yang tersimpan sangat ketat pantauannya. Seramai dua puluh anggota askar termasuk dirinya bertahan dan membuat sekatan daripada askar ujikaji itu terus mara ke hadapan. kesemua batalion Komander Mustaffa telah siap sedia bersembunyi dibalik lindungan guni-guni pasir yang ditindih-tindihkan. Dawai kokot direntaskan memanjang sebagai pelindung dari kemaraan askar musuh, melengahkan pergerakan dan serangan. Pertempuran yang paling aneh bagi Komander Mustaffa kerana pada ketika itu apa yang dilihatnya sungguh menggerunkan.

Tiada seorang pun askar musuh bersembunyi dibalik lindungan bagi mengelakkan mereka terkena tembakan peluru yang berpuluh-puluh. Apa yang dilakukan oleh askar musuh adalah berdiri saling bersebelahan, melintang dengan panjang. Kesemua dua puluh askar musuh bagaikan langsung tidak gentar dirinya ditembak. Mereka hanya berdiri terdiam, dan tidak lama selepas itu bergerak, berjalan terus menuju kubu perlindungan Komander Mustaffa dan komrad yang lain.

“Berhenti!! Sila menyerah diri!... kami tidak akan apa-apakan anda sekiranya anda menghentikan niat dan serangan!!!” pekik Komander Mustaffa kepada askar musuh. Malam itu agak gelap. Hanya bertemankan lampu-lampu bangunan dan markas berhampiran. Tambahan pula pengkalan askar itu terletak agak jauh ke kawasan pedalaman.

Arahan itu seperti langsung tidak di endahkan. Tetap juga askar musuh bergerak beriringan membentuk garisan melintang yang panjang. Batalion yang lain masing-masing bersembunyi dibalik lindungan.

“Berhenti sekarang!!!” pekik Komander Mustaffa lagi.

Bagaikan berang, terus sahaja askar musuh melepaskan tembakan dengan senjata jenis Rifle, yang mampu melepaskan beberapa butir peluru dengan sekali tembakan. Maka menggelabahlah kesemua batalion berlindung dari terkena tembakan musuh. Pada ketika itu, saling berbalas tembakan pun bermula sangat garang dan menggerunkan. Satu persatu askar bawah arahan Mustaffa terkorban, dengan keadaan yang sangat tragis dan menghairankan. Peluru yang menembusi tubuh askar itu bukan sahaja membunuh dengan pantas, malah membuatkan mereka menjerit kesakitan yang teramat. Kulit mereka melepuh dan darah tersembur keluar membasahi tubuh. Ternyata peluru askar musuh itu turut mempunyai unsur biokimia yang dashyat kesannya kepada tubuh.

Lebih menghairankan Komander Mustaffa adalah, tatkala peluru dari senjata mereka bertubi-tubi menerjah askar musuh, bagaikan langsung tidak memberikan kesan. Peluru mereka bagaikan langsung tiada bisa dan mampu membunuh askar musuh itu.

Semakin lama, mereka semakin menghampiri. Dalam kegelapan malam itu dapat Mustaffa perhatikan pakaian musuh yang telah berburai, sedikit lunyai akibat dibedil peluru-peluru, namun tubuh mereka tetap tegap mengorak langkah menghampiri bangunan tempat simpanan senjata; menghampiri kubu mereka. Dapat juga Mustaffa lihat akan kesemua mata askar musuh; keseluruhannya kelabu tanpa ada bahagian putih!!

Semakin dekat mereka menghampiri, semakin ramai askar bawah pimpinannya terbunuh dibedil peluru berteknologi biokimia. Pada masa itu dia sedar, langsung tiada harapan untuknya survive dengan situasi yang sedang meruncing. Lambat laun dia juga akan terbunuh. Kekuatan dan kehebatan askar musuh sangat luarbiasa untuk ditewaskan. Tiada seorang pun yang tumbang apatah lagi terbunuh.

Saat itu adalah saat nekad Komander Mustaffa. Setelah dilihatnya tiada seorang pun askarnya masih hidup, dia nekad untuk berjuang seorang diri menentang musuh. Buntu akalnya untuk mencari kelemahan. Ditembak dari sudut tubuh mana sekalipun, askar musuh tetap maju kehadapan dan melepaskan puluhan tembakan. Hanya tembakan bertubi-tubi di bahagian kepala mampu melengahkan pergerakan mereka. Namun semuanya itu tidak lagi penting. Dia beranggapan nyawanya pasti juga akan tercabut dari jasad. Dirinya juga pasti akan tewas dalam pertempuran dahsyat dan misteri itu.

Tiba-tiba satu das tembakan tersasar mengena bahu kirinya. Komander Mustaffa meraung kesakitan. Disebalik lindungan dia terbaring menahan keperitan. Peluru yang telah tembus dirasakan bagai api yang sangat panas merebak kesegenap salur darahnya, hingga dia merasakan telah pecahlah kesemuanya. Darah keluar membuak-buak dibahu kirinya. Kulit disekitar bahagian itu melepuh seperti terbakar kepanasan. Di sekitar lengan kirinya itu timbul-timbul urat besarnya, berdenyut-denyut kemerah-merahan.

Keadaannya pada ketika itu sudah tenat. Sedikit demi sedikit azab yang dirasakan sedang menuju ke arah jantung. Dia sudah tidak bermaya dan hampir separuh pengsan. Musuh yang terus mara itu sudah seratus meter dihadapan. Apa yang difikirnya pada ketika itu adalah pasti dia terbunuh dengan ratusan peluru musuh menembusi tubuh. Dia rela dan dia reda, kerana Komander Mustaffa sudah langsung tidak berdaya lagi untuk melawan.

Sangkaannya meleset sama sekali. Dengan keadaannya yang separuh pengsan. Matanya yang separuh terbuka terlihat satu lembaga yang menyeramkan terbang menuju ke arah askar musuh, dengan garang. Dengan segala kekuatan yang berbaki, digagahkan tubuhnya untuk melihat ke hadapan, apakah yang akan dilakukan lembaga hitam bersayap itu. Atau mungkinkah itu malaikat pencabut nyawa yang akan mencabut nyawanya setelah askar musuh ‘dikerjakan’ terlebih dahulu.

Apa yang dia lihat pada ketika itu langsung tidak boleh diterima oleh akalnya yang waras. Lembaga sasa bertubuh hitam, bersayap lebar dan matanya menyala merah berseorangan bergelut dengan dua puluh askar musuh, dengan hanya menggunakan tubuh empat kerat sahaja. Bertubi-tubi tembakan ditujukan ke arah makhluk hitam itu namun setiap butir peluru yang singgah ditubuh ibarat hujan lebat yang dengan tajam mencucuk lumpur yang tebal; langsung tidak tembus.

Dilihatnya juga dengan mata yang lemah, lembaga hitam –yang selepas itu diketahuinya sebagai Raphael- dengan sinaran matanya yang kemerah-merahan, dengan berang memancung dan mencabut kepala askar musuh satu persatu. Lagaknya seperti seorang superhero yang sedang menyelamatkan dirinya yang sedang nazak. Satu persatu jugalah askar misteri itu jatuh tersembam ke tanah tanpa kepala; terpisah.

Komander Mustaffa sudah tidak berdaya lagi, belum pun sempat dia melihat kesemua askar musuh terkorban, dia sudah terlebih dahulu pengsan tidak sedarkan diri. Pandangannya yang kabur perlahan-lahan kelam.

Apa yang diingatnya selepas itu dia sudah berada di atas katil yang di sekitarnya penuh dengan alat-alat dan mesin saintifik. Dirinya sedang dirawat. Dilihatnya bahu kiri yang sedang berbalut rapi. Kemudian disentuhnya secara perlahan. Wajahnya berkerut menahan kesakitan. Diperbaringan itu dia sendiri tertanya-tanya, di manakah aku berada sekarang?

Tidak lama selepas itu, dua orang saintis muda masuk ke dalam bilik rawatan. Komander Mustaffa yang sedang tidur terjaga lemah. Kelihatan mereka berdua ligat berbincang, suara itu tidak jelas kedengaran. Seolah-olah ada perkara yang sangat serius sedang diperbincangkan. Kawasan itu seperti hospital, namun tidaklah demikian. Tempat itu adalah makmal eksperimen Dr. Sofea Huda. Dirahsiakan statusnya demi keselamatan.

Seorang saintis lelaki muda dengan tubuh yang sedikit gagah. Ketampanan dan kebijaksanaannya terserlah. Itulah apa yang dilihat Mustaffa. Lengkap berpakaian jaket putih layaknya sebagai seorang doktor. Manakala dilihatnya lagi seorang wanita muda yang sangat sopan dan cantik mengenakan tudung yang berfesyen sederhana. Sekalipun sangat cantik pesonanya, wajah gadis itu tetap juga menampakkan kepintarannya dalam bidang sains dan kedoktoran. Tegas dalam menjalankan tugasan. Mereka berdua saling berbincang, dan pada ketika itu, langsung Mustaffa tidak kenal, siapakah nama mereka berdua.

Perbincangan mereka berdua terhenti apabila Dr. Sofea Huda tersedar Komander Mustaffa membuka matanya perlahan-lahan. Dr. Zahran lantas menghampirinya. Dicapai lampu suluh kecil dalam poket jaket putih dan dihalakan cahaya lampu itu ke arah kedua-dua biji mata Mustaffa. Dr. Sofea pula kelihatan sibuk melihat monitor ECG dan beberapa monitor lain yang sedang merekodkan tahap kesihatan Mustaffa.

“Awak rasa okey komander?” kata Dr. Zahran bertanyakan keadaan Mustaffa.

“Aku dekat mana sekarang?” tanya Mustaffa pula. Matanya bergerak ke kiri ke kanan mengenalpasti tempat dia sedang berada. Persoalan itu dibiarkannya tidak berjawab.

“Tuan sekarang berada di unit rawatan. Tuan perlukan rehat sebelum betul-betul pulih.” Pintas Dr. Sofea.

Komander Mustaffa melihat lagi bahu kirinya yang berbalut, begitu juga dengan lengan. Ibarat sedang menerima rawatan tulang yang patah.

Suatu hari selepas sedikit pulih, dia duduk diam di atas kerusi roda, melihat keadaan sekeliling yang menyamankan di tingkat atas bangunan, di kawasan balkoni luas. Orang lain juga turut berada di situ. Termenung sendirian menikmati alam ciptaan Tuhan Yang Maha Indah. Pokok-pokok rendang menghijau, bunga-bungaan yang sedang mengembang dan tasik buatan yang terhias cantik. Nyaman lagi menenangkan fikiran. Di kesempatan itu dia merehatkan mindanya. Setelah terselamat dari pergelutan yang ganas.

Tidak lama selepas itu, kedua-dua doktor yang merawatnya datang menghampiri dari belakang. Tersedar dia dari lamunan. Kedua-dua mereka memperkenalkan diri. Lelaki bertubuh sedikit sasa menghulurkan salam.

“Saya Doktor Zahran.” kata doktor muda.

“Saya Doktor Sofea Huda.” Kata gadis muda dengan pesona yang menawan. Kemudiannya tersenyum.

“Kami ingin beritahu sesuatu kepada Tuan.” Kata Dr. Zahran.

Kenangan itu amat kuat di simpan dalam mindanya. Kedua-dua doktor itu bukan saja-saja memperkenalkan diri. Malah mengajaknya hadir kepengkalan makmal Dr. Zahran untuk dia mendapatkan penjelasan yang sebenar-benarnya. Siapakah askar yang menyerang pengkalan tentera milik negara, mengapa mereka begitu kebal dan tidak berperikemanusiaan, dan siapakah pula makhluk hitam sasa yang bersayap, yang terbang di langit malam kemudian menentang askar musuh itu seorang diri dengan jayanya.

Setelah semuanya itu terjawab, maka fahamlah Komander Mustaffa akan apa yang sedang berlaku yang dia sendiri tidak menyangka, betapa ada aktiviti rahsia yang disembunyikan dari pengetahuan awam, dan betapa aktiviti itu sangat hebat dan dahsyat. Satu pakatan rahsia seluruh dunia yang meneroka kehebatan sains dan teknologi dari planet luar untuk di eksploitasi kehebatan penemuan itu untuk menawan dunia melalui politik, ekonomi, pendidikan, teknologi dan kehidupan masyarakat secara keseluruhannya. Kuasa ini digunakan untuk mengawal kuasa dan keinginan manusia mengikut kehendak dan telunjuk mereka.

Setelah Dr. Zahran memberikan penerangan dengan jelas, lalu tandatangan diturunkan sebagai perjanjian untuk bekerjasama menghapuskan aktiviti kejam Jeneral Karim. Pada masa itu juga dia berkenalan dengan ahli kumpulan ‘Project Raphael’ yang lain, iaitu Dr. Danial, Professor Syafiq dan Doktor Ishaq.

Segala misi mereka kekal dirahsiakan.

Tersedar dari lamunan, Komander Mustaffa memperkemaskan wajahnya. Kemudian keluar dari bilik persalinan itu menuju makmal Dr. Danial. Ada misi yang perlu dia selesaikan.


Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku