RAPHAEL
Bab XXVI
Genre: Thriller/Aksi
Kategori: Novel
Paparan sejak 31 Mac 2017
Jeneral Karim telah menyalahgunakan sumber bahan mentah dari planet asing dalam pembangunan teknologi ketenteraannya. Dengan kesedaran ini, sekumpulan saintis dan mereka yang terlibat dalam menentang projek yang berisiko tinggi ini, mencipta sut khas yang dapat menghapuskan bahan mentah itu, sekaligus menggagalkan rancangan Jeneral Karim.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
154

Bacaan






Waktu senja hampir melabuhkan tirainya. Jalur-jalur kemerah-merahan terpancar bebas di langit yang luas. Bagi umat Islam, masa inilah yang akan diabdikan untuk menyembah Yang Maha Esa. Dr. Danial bermunajat kepadaNya. Mohon pertolongan dan kekuatan. Mengharapkan bahawa kemenangan hanyalah berpihak kepada kesejahteraan, keharmonian, kestabilan, kemajuan yang baik dan kebahagiaan. Bukan sebaliknya, bukan ketamakan harta, bukan pada mereka yang rakus dan bernafsu buas, bukan kepada Sang Penindas.

Setelah malam terus menjalar, kesemua anggota ‘Project Raphael’ telah berkumpul dalam makmal yang mempunyai ruang dimensi masa yang berbeza dengan bumi, kecuali Dr. Sofea Huda. Dengan kecanggihan teknologi yang ada, dan penemuan demi penemuan sains yang mengagumkan, maka apa yang dihajati manusia menjadi kenyataan; membongkar keajaiban alam ciptaan Tuhan.

Dr. Danial, Prof. Syafiq dan Dr. Ishaq telah siap-siap memakai jaket khas berwarna biru gelap. Bagi menjalankan operasi penghapusan komoditi bahan asing dari planet perang, yang sangat bahaya jika diaplikasikan kepada projek ketenteraan Jeneral Karim. Manakala Hakimi berwajah pasrah dan berhati tabah. Lengkap memakai sut yang ketat mengikut bentuk tubuhnya. Ini bagi memudahkan dia menggunakan sut Raphael dengan lebih efisien. Komander Mustaffa dan Inspektor Qaireen lengkap memakai uniform masing-masing, namun dengan tambahan beg-beg kecil yang membaluti tubuh. Di situlah peluru berteknologi tinggi dari planet asing disimpan. Beserta senjata biokimia yang lain, yang bertujuan untuk menghapuskan musuh nanti.

Dr. Danial memandang kesemua anggota ahli dibawah kelolaannya.

“Sekaranglah masanya. Semua dah sedia?!!” kata Danial memberikan semangat.

Semua mengangguk dengan semangat yang waja.

“Segala milik Jeneral Karim akan aku hapuskan malam ni juga.” Kata Qaireen mendabik dada. Kemudian terus beredar sambil menggenggam senjata Rifle. Pistol Semi Automatik M1P 9MM Caliber telah tersedia tersemat di sisi kanan dan satu lagi dibahagian betisnya untuk dia gunakan ketika saat-saat cemas. Komander Mustaffa juga turut dibekalkan dengan senjata yang sama. Kini mereka semua beredar keluar dan menuju ke kenderaan pikap.

Dua buah kenderaan prototaip pacuan empat roda berjenama Proton telah tersedia di luar bangunan. Dengan warna hitam berkilat meyakinkan lagi langkah mereka untuk menjayakan misi bersama.

Setelah semuanya masuk ke Proton pikap berkapasiti dua kabin, enjin dihidupkan dan beransur-ansur perlahan dipandu keluar dari lorong District 7 ke jalanraya. Tatkala sudah berada di hujung lorong, Detektif Mukhriz tersedar. Memang sudah berhari-hari dia perhatikan subjek siasatannya itu. Kali ini, sekali lagi usahanya menampakkan hasil. Dia menerima klu seterusnya.

Setelah kedua-dua buah kenderaan Proton pikap agak jauh meninggalkan bangunan misteri, Detektif Mukhriz mengekorinya dari belakang dengan jarak yang agak jauh. Di tambah juga dengan kegelapan malam, perancangannya berjaya, iaitu untuk kehadiran dirinya tidak akan disedari sama sekali. Kereta Camry V30 dipandu dengan berhati-hati.

Dari jalan kota, beralih pula ke jalan lebuhraya, semakin lama melalui jalan kecil seperti keadaan jalanraya di kampung, sehinggalah menuju ke tempat yang sangat sunyi dan berhutan disekitarnya. Setiap selekoh dan lorong keluar masuk yang dilalui oleh anggota ‘Project Raphael’ telah diekori dengan sangat pakar oleh Detektif Mukhriz. Dia sangat arif akan hal-hal penyiasatan seperti ini. memang sudah menjadi tugasnya.

Bertambah hairan dirinya, dan tertanya-tanya, apakah yang ada di sebalik kesunyian hutan yang tebal ini. Pengkalan rahsia? Bangunan yang menempatkan projek rahsia tinggi? Atau sengaja dituju ke arah jalan seperti itu supaya Detektif Mukhriz tidak mengekori lagi. Atau mungkin kehadirannya sudah disedari sejak dari tadi.

Kawasan dan keadaan jalan yang semakin kecil dan tidak berturap membuatkan misinya bertambah bahaya. Kerana akan sangat mudah untuk kehadirannya disedari. Maka dibiarkan dulu dua buah Proton pikap prototaip itu memasuki lorong jalan yang sedikit berlumpur, tanpa sebarang bantuan lampu tiang jalanraya. Semakin lama semakin hilang dari pandangannya.

Dia terpaksa membiarkan subjek siasatannya terlepas dan hilang. Pasti akan dijejakinya sekejap lagi dengan mencari arah sendiri. Kenderaannya dihentikan agak jauh di tepi jalan kecil. Lampu hadapan dan semua sumber lampu keretanya dipadamkan untuk sementara waktu.

Kenderaan yang dipandu Prof. Syafiq sudah sampai ke destinasinya. Iaitu lebih kurang empat kilometer jauhnya dari pengkalan hangar ujikaji Jeneral Karim yang tersergam gagah. Ianya dapat dikenalpasti dengan terlihatnya pagar dawai tinggi yang telah usang. Setiap sulaman dawai itu telah dipanjat oleh tumbuhan menjalar, dan ia hidup dengan subur dan berkembang. Terlihat juga papan tanda putih yang terlekat di pagar, dengan perkataan dan simbol petir berwarna merah yang sedikit terselindung oleh daun-daun lebar.

Kedua-dua kenderaan Proton prototaip berhenti. Dengan pantas Dr. Danial, Prof. Syafiq dan Dr. Ishaq menuju ke belakang mengambil barang-barang telekomunikasi jarak jauh dan khemah pintar yang dicpta sendiri. Ruangan tempat letak barang yang besar memudahkan urusan mereka. Terdapat beberapa palang yang diperbuat daripada duraluminium di angkat keluar oleh Dr. Danial. Sejenis bahan aluminium dengan sedikit sebatian tembaga dan manganese yang membentuk besi baru dengan struktur yang lebih ringan namun sangat kukuh. Di pasakkan membentuk empat segi yang akan menjadi dinding khemah mereka. Manakala Prof. Syafiq pula membawa segala peralatan elektronik untuk mereka berhubungan dan berkomunikasi dalam jarak jauh.

Setelah keluar dari kenderaan, Komander Mustaffa dan Inspektor Qaireen bersiap-siap dengan persiapan senjata. Segala sokongan peluru dililit pada tubuh badannya; kelihatan bagaikan askar yang sedang bertempur di medan peperangan. Senjata pistol dan Rifle diperiksa kelancarannya dengan teliti.

Setelah segalanya siap, alat telekomunikasi dihidupkan. Kesemua mereka dapat mendengar arahan. Alat peranti komunikasi sudah tersedia pasang di telinga Komander Mustaffa dan Qaireen.

“Sebaik saja kau aktifkan sut Raphael, kau akan dapat berkomunikasi dengan kami. Peranti komunikasi siap terpasang pada bahagian telinga.” Jelas Dr. Danial kepada Hakimi. Pemuda itu maklum dan hanya menundukkan kepala tanda faham.

Dr. Ishaq mengambil dua gegelung tali yang berdiameter besar, hampir empat sentimeter. Diberikan kepada Hakimi, kedua-duanya.

“Pegang dengan kuat, Mustaffa dan Qaireen akan berpaut padanya, dengan kedua-dua belah tangan kau nanti.” Kata Dr. Ishaq. Gegelung tali besar itu adalah ikatan yang membentuk tangga supaya Qaireen dan Mustaffa dapat dibawa sekali oleh Hakimi nanti.

Hakimi mengambil alat peranti Raphael. Lantas di aktifkan. Kedengaran suaranya mengaduh kesakitan. Ini kerana tindak balas biokimia tubuh terhadap struktur organik Raphael yang melekat pada tubuhnya. Apabila sut itu membuat sambungan saraf bahagian sayap, Hakimi mengaduh lagi. Setelah sempurna pertukaran Hakimi menjadi Raphael. Dia melutut kesakitan. Nafasnya turun naik. Matanya telah bertukar kemerah-merahan. Sekarang dia bukanlah Hakimi seperti biasa. Dengan perubahannya menjadi Raphael, sistem kimia dalam badan membuatkannya menjadi lebih garang dan gagah. Ototnya mengembang. Kesemua mereka gerun melihatnya, namun dapat dikawal perasaan itu kerana Raphael bukanlah musuh mereka.

Raphael bangun dengan gagah, kemudian mengambil gegelung tali besar yang telah diikat menjadi tangga tali yang ringkas. Kedua-dua belah tangannya memegang dengan kuat. Kini dia dan dua lagi anggota bersedia untuk terbang ke pengkalan hangar. Pergi berperang dan bertempur sehabisnya.

Raphael mengembangkan sayap, menghempasnya dengan angkuh. Maka terapunglah dia terbang di awangan. Komander Mustaffa dan Inspektor Qaireen datang menghampiri dan memanjat tangga tali itu, yang terletak dikedua-dua belah tangan Raphael yang berotot sangat gagah.

Dengan beberapa eksperimen yang dijalankan oleh Dr. Danial, Raphael dapat terbang dengan kelajuan yang lebih pantas dari sebelumnya. Terbang tinggi di langit malam, bertemankan bintang-bintang yang berkerdipan, menyimpan seribu satu misteri dan keagungan. Salah satunya adalah seperti kebolehan yang ditunjukkan oleh Raphael. Mana mungkin manusia boleh terbang sendiri, mana mungkin manusia mampu mempunyai kekuatan yang sangat luarbiasa.

Salah seorang pemantau kawasan berlari-lari dengan cemas menuju bilik pejabat Jeneral Karim. Nafasnya sesak.

“Tuan, kami mengesan objek yang mencurigakan terbang dengan laju ke arah pengkalan ni.” Kata salah seorang petugas pemantau Jeneral Karim.

Jeneral terkejut, matanya membulat. Dengan segera dia pergi ke bilik operasi pemantauan bersama petugas itu. Ditatapnya skrin yang merekodkan objek sedang bergerak dengan kelajuan sebuah helikopter, namun sistem radar menafikannya.

“Beritahu saya objek itu.” Pinta Karim.

“Kami sedang mengenalpastinya Tuan. Objek itu bukanlah sebarang pesawat terbang. Mesej komunikasi yang kami hantar tidak berjawab.” Kata Si Petugas menyampaikan laporan.

Jeneral Karim bertambah cemas. Dia sedikit gusar jika apa yang sedang bermain difikirannya sekarang ini adalah benar. Maka dia betul-betul dalam keadaan perlu bersedia sepenuhnya.

“Anggarkan masa objek sampai ke pengkalan.” Arah Jeneral Karim.

“Baik Tuan...” petugas itu sibuk membaca nombor-nombor yang terpampang pada radar.

“Anggaran masa adalah kurang lima belas minit.”

Wajah Jeneral Karim bertukar berang. Bukan objek itu sahaja satu-satunya yang masuk secara mencurigakan ke kawasan pengkalannya. Dan setiap yang lalu dapat dikenalpasti dan ditangani dengan mudah. Namun kali ini Jeneral dapat merasakan, objek itu bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan.

Dengan segera Jeneral Karim keluar dari pejabat pemantau. Berjalan menuju pusat operasi tentera. Setelah masuk ke unit itu, dipandangnya semua petugas yang beruniform tentera dengan wajah geram.

“Bersiap sedia, lancarkan serangan mengikut arahan saya.” Kata Jeneral Karim memberikan arahan.

Xavier yang berada dalam unit itu juga berasa terkejut. Ada ancaman besar yang datang untuk memusnahkan pengkalan mereka, atau lebih tepat lagi bahan mentah dari planet asing yang mempunyai potensi besar untuk dibangunkan dan bukan calang-calang kuasa pemusnahannya.

***

Kereta Camry V30 dengan perlahan menghampiri sasaran yang diekori. Tanpa sebarang lampu kenderaan yang terpasang menyukarkan penglihatannya. Dari jauh dapat dia lihat dua buah kereta pacuan empat roda yang telah berhenti. Namun tak dapat untuk dia merapatkan jarak kerana terlihat khemah yang terpasang. Lalu kenderaannya dihentikan dari jarak yang agak jauh namun terlindung di balik daun-daun pokok yang rendang ditepi jalan berlumpur. Dia keluar dari kereta sambil membawa sebuah beg seperti kotak hitam yang leper.

Dia perlu mencari tempat bersembunyi dengan segera, dan dalam masa yang sama seboleh-bolehnya ingin lebih hampir dengan objek siasatan. Tujuannya supaya mudah dia mengesan sebarang bentuk komunikasi dan membongkar misteri yang membelenggu fikiran.

Setelah kawasan yang agak dekat namun terselindung diperolehi. Bergegas dia membuka beg kotak hitam yang juga adalah alat peranti pengesan telekomunikasi jarak jauh. Dia harus memintas sebarang bentuk telekomunikasi yang berlaku secara digital. Hanya itu sahaja idea yang dapat dilaksanakan untuk menyempurnakan siasatannya.

Semua aturan telah pun siap, nasibnya baik kerana dia dapat memintas perbualan diantara Dr. Danial dan Raphael. Dalam sendirian itu dia mendengarkannya dengan teliti sambil fikirannya ligat menganalisa.

“Kami hampir sampai ke pengkalan. Akan berhenti di atas bangunan mereka.” Kata Raphael dengan nada suara yang garau dan besar.

Mereka kini sudah terbang merentasi tasik buatan yang mengelilingi pengkalan Jeneral Karim.

“Komander, Qaireen siap sedia dengan trotyl. Lepaskan mengikut arahan saya nanti.” Kata Dr. Danial.

Detektif Mukhriz dapat mendengarkan segala komunikasi ahli anggota ‘Projek Raphael’. Jika anggota ‘Project Raphael’ dapat mendengar perhubungan sesama mereka, Detektif Mukhriz pula dapat mendengar secara keseluruhannya.

Kini Raphael, Mustaffa dan Qaireen sudah berada di atas bangunan hangar, terapung. Kedua-dua mereka mengeluarkan bahan letupan trotyl yang tersedia pasang pengiraan masa digital, bertujuan untuk meletupkannya mengikut masa yang ditetapkan.

“Danial, kami dah sedia.” Kata Qaireen.

“Dalam kiraan lapan saat. Lepaskannya sekarang!!” arah Dr. Danial.

Mendengarkan komunikasi itu, Detektif merasa cemas.

Bom trotyl dilepaskan oleh Mustaffa dan Qaireen. Seperti yang di arahkan. Nombor digital yang telah ditetapkan tertulis angka ‘00:08’. Bermaksud bom itu akan meletup dalam masa lapan saat. Dan angka itu semakin berkurangan.

Trotyl yang dilepaskan jatuh melekat di atas bumbung bangunan yang separa bulat. Hanya menunggu masa ianya meledak.

“Mereka dah sampai.” Kata pegawai pemantau. Radarnya telah mengesan objek misteri yang terbang, telah betul-betul berada di pusat skrin. Jeneral Karim berdebar jantungnya menunggu sebarang kemungkinan. Begitu juga dengan Xavier.

Nombor digital semakin berkurangan. Angka yang berwarna merah hampir bertukar kepada angka sifar. Masa itu selaras pada kedua-dua bom yang dilepaskan.

Boommm!!!’ dua bunyi bom trotyl serentak meledakkan letupannya. Bumbung bangunan pengkalan ujikaji rebah ke lantai yang agak lapang. Pegawai-pegawai berhampiran bertempiaran lari menyelamatkan diri. Perkakasan dan mesin-mesin besar hancur akibat ditimpa atap bangunan yang runtuh. Dari kejauhan lebih tiga kilometer letupan itu kedengaran. Detektif Mukhriz memejamkan mata sebagai refleks terhadap fenomena yang menakutkan.

Raphael, Komander Mustaffa dan Inspektor Qaireen yang dari tadi tinggi terapung di langit malam dengan segera turun masuk melalui atap yang telah pun lebur. Hangar yang luas itu boleh memuatkan sebuah kapal terbang boeing. Tanpa sebarang tingkat tapi sangat luas. Satu tingkat lagi adalah terletak di bawah tanah, juga mempunyai keluasan yang sama. Di bahagian bawah itulah tersimpan dengan rapi bahan mentah dari planet YR17ZZ yang bakal dihapuskannya nanti.

“Jeneraaalll!!!” pekik Raphael dengan suaranya yang besar dan menggerunkan. Nafasnya turun naik sehingga menggerakkan kedua-dua bahunya.

Mendengar suara itu membuatkan Jeneral Karim sedia maklum. Cukup dia kenal dan pernah bertemu sebelum ini. Musuh yang sama tetapi berbeza Si Pemakainya. Mereka bertemu dengan bersemuka buat kali kedua.

Lantas Jeneral Karim berjalan menuju kawasan runtuhan. Musnah akibat di bom secara tiba-tiba tanpa di duga. Raphael menunggu dengan penuh debaran. Pertama kali dia melihat Jeneral Karim berdepan. Walaupun begitu, dengan rekod kejam yang Jeneral Karim sudah lakukan kepada orang-orang yang tidak bersalah, kepada Dr. Zahran, malah bapanya sendiri, membuatkan seolah-olah dia sudah cukup lama mengenali. Kini dia harus menggalas misi antara hidup dan mati, iaitu menyelamatkan kehidupan dan kesejahteraan dirinya sendiri san orang yang terlibat. Jika bahan mentah dari planet asing itu tidak dimusnahkan, maka Jeneral Karim akan teruskan operasi mereka mencipta senjata dan sistem ketenteraan yang menggerunkan yang bakal membunuh nyawa-nyawa yang tidak berdosa.

“Raphaellll!!!” pekik Jeneral Karim pula. Dia tampil menghampiri perlahan-lahan. Pegawai yang ada di sekeliling itu terdiam ketakutan, mengharapkan perlindungan.

Detektif Mukhriz terus saja memasang telinga. Kini timbul persoalan di mindanya, siapakah Raphael?

Wajah Jeneral Karim kelihatan tenang. Namun tetap kelihatan dendam dan marahnya.

“Selamat berjumpa lagi...” kata Jeneral Karim bersuara keras, tersenyum.

“Oh! Aku silap. Kau bukanlah orang yang sama... sebab orang tu dah mati aku bunuh!!” pekik Karim, dia menjadi berang.

Raphael berjaga-jaga, begitu juga dengan Komander Mustaffa dan Qaireen. Ternyata mendengar kata-kata itu membuatkan hati mereka terluka. Mereka juga turut berang. Namun, harus bertindak dengan bijak. Nyawa mereka sangat bahaya di situ. Apa-apa saja bakal meragut nyawa jika terleka dan hilang kawalan.

“Komander, Inspektor, bersedia untuk aktifkan bom seterusnya. Tunggu arahan dari saya.” Kata Dr. Danial dari jarak jauh.

Seperti biasa, Detektif Mukhriz hanya diam mendengar. Fikirannya mencipta puluhan teori dan hipotesis. Mencari jawapan yang paling tepat terhadap subjek ujikajinya.

“Aku datang dengan tujuan yang sama. Selagi tujuan itu tak tercapai, selagi itu kami tidak akan berputus asa!!” kata Raphael meninggikan suara.

“Kenapa engkau bersusah payah lakukan semua ini? Mengapa engkau ganggu misi aku?” kata Jeneral.

“Sebab dah banyak jenayah dan kekejaman kau lakukan. Undang-undang biasa tak dapat nak tahan kau... Maka aku datang dengan cara yang keras.” Jawab Raphael.

Karim terdiam. Dipandang wajah Raphael dari kejauhan. Kemudian tersenyum. Tertawa. Tak dapat diketahui apakah yang telah menggeletek hatinya.

“Aku kenal kau... aku kenal bapa kau.” Kata Karim.

Mendengarkan penjelasan itu membuatkan Hakimi terkejut. Wajah bengisnya berkerut. Detektif Mukhriz terus memasang telinga. Di curi dengar semua komunikasi yang berlaku melalui alat komunikasi Dr. Danial.

“Hakimi, jangan terpedaya. Fokus pada misi utama kita!” kata Dr. Danial.

Maka dapatlah Detektif Mukhriz faham, Hakimi adalah Raphael. Dan makhluk yang terbang pada malam berlakunya kecurian mesin ATM itu adalah makhluk yang sama. Orang itu ialah Hakimi.

“Cukup Jeneral. Malam ini segala kekejaman kau akan berakhir!” pekik Raphael.

Jeneral Karim tersentak. Dia kembali berang kerana beranggapan anak muda itu sangat biadap.

“Sebelum itu berlaku...” Jeneral Karim mendepakan kedua-dua belah tangannya. Mendabik dada. “Langkah mayat aku dulu.”

Membuak-buak perasaan marah Raphael, juga Komander Mustaffa. Inspektor Qaireen lebih lagi dari itu.

Dengan tiba-tiba juga kedengaran derapan kaki yang sangat ramai. Mereka berjaga-jaga. Kedengaran juga beberapa putaran ligat kipas helikopter di atas bumbung hangar. Berpuluh-puluh askar Jeneral Karim masuk ke dalamnya, lengkap berpakaian seperti SWAT. Sangat professional, pintar dan hebat dalam pertempuran yang sangat bahaya. Kesemua askar ujikaji itu memegang senjata yang bukan calang-calang. Pasti teknologi senjata maju telah diaplikasikan di situ.

Jeneral Karim tersenyum lebar. Kemudian tertawa kecil. Askar-askar itu telah mengepungnya kini.

“Selamat malam.” Kata Jeneral Karim. Lantas beredar pergi ke tingkat bawah tanah.

“Semua sedia!” kata Raphael kepada Komander Mustaffa dan Qaireen.

Ribuan tembakan ditujukan ke arah Raphael. Berbisa dia rasa menahan kesakitan. Walaupun tidak ada sebutir peluru yang mampu menembusi tubuhnya, ketajaman peluru itu agak sakit dirasanya.

Komander Mustaffa dan Qaireen berselindung dibalik sayap lebar Raphael yang dibuka seluas-luasnya. Percikan api banyak kelihatan pada tubuh dan sayap Raphael. Dia hanya mampu bertahan.

“Bertahan.” Bisik Raphael. Senjata telah pun dipersiapkan. Dari perlindungan itu Qaireen mencampakkan bom tangan berteknologi tinggi, yang antara bahannya adalah berasal dari bahan mentah YR17-1. Askar-askar yang terkena balingan bom itu terpelanting akibat letupan yang kuat, tubuh mereka cerai-berai dan tidak bernyawa lagi.

Komander Mustaffa membaling bom asap. Bertujuan melengahkan askar musuh. Tembakan bertubi-tubi terhenti seketika.

Wajah Detektif Mukhriz berkerut-kerut mendengar bunyi das tembakan yang menggerunkan.

“Sekarang.” Kata Mustaffa kepada Qaireen. Inspektor itu mengangguk.

Mereka pula melepaskan tembakan sebanyak-banyaknya, dengan sayap Raphael menjadi kubu. Kelihatan dalam samar-samar itu, barisan hadapan askar rebah akibat terkena tembakan bertubi-tubi. Peluru ciptaan khas Dr. Danial nampaknya berkesan terhadap askar ujikaji. Kelihatan keseluruhan mata mereka berwarna kelabu. Manakala anak mata mereka pula berwarna kelabu lebih pekat.

Dengan peluru-peluru yang memecut laju, kelihatan cerai-berai tubuh askar musuh, lunyai dikerjakan. Setelah peluru Rifle habis, dimuatkannya lagi slot peluru baru yang tersisip pada lilitan tubuh mereka. Maka kedengaran dengan lebih dahsyat lagi, serang balas tembakan di antara kedua-dua belah pihak. Raphael hanya menahan kesakitan yang teramat. Masanya untuk menyerang belum tiba lagi. Dia harus melindungi Komander Mustaffa dan Inspektor Qaireen.

“Askar musuh tidak terlalu ramai. Raphael, kau boleh mulakan serangan.” Kata Komander Mustaffa.

“Betul. Kami boleh mencari perlindungan di tempat terdekat. Go Raphael.” Kata Inspektor Qaireen pula. Bersetuju dengan cadangan Mustaffa.

Kini tibalah masa Raphael beraksi. Komander Mustaffa dan Qaireen telah terlebih dahulu berguling ke sisi berhampiran mereka mencari perlindungan. Dengan bengis dan garangnya, Raphael berlari mendapatkan kesemua askar musuh itu. Dikerjakannya satu persatu hingga putus-putus dan patah-patah anggota tubuh musuh.

Tumbukan demi tumbukan dilepaskan. Ternyata Raphael sangat gagah untuk menentang askar ujikaji. Dia dapat menanganinya dengan lancar.

Askar musuh terus mengerumuni Raphael. Tembakan yang dilepaskan langsung tidak memberi kesan dan tembus ke dalam tubuh. Akan tetapi kesakitan dapat dia rasakan. Bagaikan bisa yang menyucuk tubuh, bagaikan digigit haiwan buas rasa sakitnya. Sekalipun kebal, dia tidak dapat bertahan dengan terlalu lama.

Senjata Raphael hanyalah tulang empat keratnya; kedua-dua tangan dan kaki, beserta juga sayapnya yang lebar dan kukuh. Pergerakan Raphael sangat pantas. Hanya dia seorang mampu menewaskan askar musuh yang berpuluh. Komander Mustaffa dan Inspektor Qaireen memberikan bantuan dari jarak jauh. Sekali-sekala mereka juga terpaksa bergelut sendiri tatkala askar menghampiri. Segala ilmu CQC dan tempur diaplikasikan untuk menewaskan musuh yang ganas dan luarbiasa kekebalannya. Hanya peluru khas yang Dr. Danial cipta dapat membunuh mereka. Dan ianya ternyata berjaya. Hasil bantuan dari Dr. Sofea juga.

Ketiga-tiga mereka yang memantau dari jauh, iaitu Dr. Danial, Prof. Syafiq dan Dr. Ishaq, merasa cemas dan takut. Kalau-kalau salah seorang penggempur mereka akan cedera parah dan terbunuh. Perasaan ini sangat menyeksa jiwa mereka. Perancangan seterusnya haruslah dilaksanakan.

“Komander, Inspektor Qaireen, kau berdua okey?” kata Dr. Ishaq sangat risau.

“Ya, aku okey.” Balas Komander Mustaffa.

“Apa plan seterusnya doktor?” tanya Qaireen. Dia sudah tidak dapat bertahan menerima serangan dari pihak musuh yang bertubi-tubi.

“Baik, komoditi yang dimaksudkan terletak betul-betul dibawah runtuhan bumbung. Aktifkan bom trotyl dekat tempat tu. Kau harus berpakat untuk letupkannya serentak. Bila keadaan betul-betul sesuai.” Kata Dr. Ishaq memberikan arahan.

Roger.” Kata Mustaffa.

Keadaan agak sukar kerana tempat untuk mereka meledakkan letupan dipenuhi oleh timbunan runtuhan batu-bata dan bumbung yang runtuh. Mereka tidak ada pilihan lain melainkan untuk meletupkan lantai bangunan sedikit ke depan.

Raphael bergelut sendirian dengan Askar ujikaji Jeneral Karim.

“Sekarang.” Kata Inspektor Qaireen memberikan arahan untuk mengaktifkan bom. Aras itu akan diletupkan supaya dapat mereka hampir dengan bahan mentah yang sangat bahaya itu.

Jangka masa telah ditetapkan, jam digital yang terdapat pada bom bergerak dengan mengira turun. Kedua-dua mereka berlari mencari tempat perlindungan yang lebih selamat.

Booommm!!!’

Letupan sangat kuat impaknya menghancurkan lantai hangar. Mayat-mayat askar musuh yang telah mati terpelanting jauh akibat daya letupan yang tinggi. Bergelimpangan semula di atas lantai.

Mustaffa dan Qaireen berlari menghampiri lubang besar akibat letupan, kemudian melihat kebawah. Perancangan mereka berjaya, komoditi yang berbentuk segitiga prisma besar terjaga rapi di tingkat bawah tanah.

“Raphael. Sekarang masanya...” pekik Komander Mustaffa.

Masih ramai lagi askar yang belum ditewaskan. Raphael menoleh kebelakang. Tanpa berlengah, terus terbang menuju lubang besar dan mendarat di atas bahan mentah dari planet asing. Komander Mustaffa dan Inspektor Qaireen memberikan bantuan perlindungan. Setiap askar yang bergegas ke arah lubang itu ditembaknya dengan rakus menggunakan Rifle masing-masing. Mereka dalam situasi tenat, kerana sudah kekurangan peluru.

Jeneral Karim yang berada di tingkat bawah tanah terkejut dengan tindakan Raphael. Lantas diambil pistol yang tersemat di sisinya, das demi das tembakan dilepaskan ke arah Raphael.

Peluru Jeneral Karim masih lagi berbisa. Beberapa peluru yang dilepaskan melekat ke tubuh Raphael, yang kemudiannya mengerang kesakitan. Dia merasakan azab yang tidak tertahan. Raphael terbaring di atas segitiga prisma besar (tinggi ibarat bangunan setingkat) dengan mengerang menahan kesakitan. Pandangannya kabur. Sekalipun peluru itu tidak tembus, kesannya tidak kurang bahaya. Tiba-tiba dia merasakan perubahan emosi berlaku. Mungkin pistol itu mengandungi bahan senjata biokimia yang dahsyat. Para pegawai, saintis-saintis yang lain ada yang bertempiaran lari menyelamatkan diri masing-masing. Ada yang mencari tempat perlindungan untuk sementara. Mereka semua sedang dalam keadaan sangat takut.

Qaireen tersedar rakannya terbaring menahan azab. Perasaannya bertambah berang. Tanpa berfikir panjang, terus terjun ke atas bahan mentah itu di sisi Raphael. Bagaikan sepantas kilat, empat das tembakan dilepaskan ke arah Jeneral yang sangat dia berdendam.

“Jangan, bahaya!!” pekik Mustaffa gusar. Tak sempat dia menghalang Qaireen dari terjun ke tingkat bawah tanah.

“Qaireen, bahaya!!” kata Raphael yang sedang menahan azab sakit. Dia merasaka sesuatu yang aneh berlaku dalam sistem biologi tubuhnya.

‘Bamm Bamm...!’

Jeneral Karim terkejut, matanya membulat besar. Empat das tembakan yang dilepaskan Qaireen, dua daripadanya tepat mengena pada tengah dahi, dua lagi tepat pada jantung.

Jeneral Karim memandang jantungnya. Disentuh dada dengan tangan kanan. Dia tidak menyangka, peluru itu mampu menembusi tubuh dengan memberikan kesan yang sangat menyakitkan. Di tepi mulut mengalir darah merah pekat.

Namun empat das tembakan itu tidak cukup. Bagaikan kamikaze, Qaireen turun dari komoditi sedikit demi sedikit dengan memijak bongkah-bongkah kecil disekitarnya. Dia berjalan menghampiri jeneral sambil mengacukan pistol. Dia ingin melepaskan tembakan lagi sehinggalah peluru habis dilepaskan semuanya.

Dalam minda, dia memanggil kembali memori tragedi yang telah menimpa bapanya. Mengingatkannya kembali membuatkan hatinya bertambah sakit dan perit. Peristiwa tragis itu akan mendapat hukuman yang setimpal.

“’Bamm Bamm Baammm...!!’

Langkah perlahan Qaireen terhenti. Beberapa das tembakan pula terbenam di jantungnya. Dia sangat terkejut. Siapa yang menembaknya dari arah belakang. Qaireen terus rebah.

“Qaireen!!” pekik Raphael. Setelah di dapati Xavier sedang mengacukan pistol dari arah yang jauh di belakang Qaireen. Berdiri di tempat pejalan kaki yang tertempel tinggi di bawah tanah.

Komander Mustaffa hanya mampu melihatnya dari aras atas hangar. Dia tidak akan membahayakan nyawa seperti Qaireen telah lakukan.

Dr. Danial kesal. Kemudian memberikan arahan yang di nanti-nantikan selama ini. “Hakimi, hapuskan komoditi tu sekarang!!”

Raphael bangkit dari rasa azab sakitnya dengan susah payah. Kemudian dia melutut. Kaki kirinya menahan diri. Maka jeritan dilepaskan sekuat hati.

‘Aaaarrgghhhh!!!...’

Dengan jeritan bak guruh itu, semua yang ada dalam bangunan pengkalan menutup telinga. Namun tidak bermakna, kerana keadaan tetap sama. Raphael tiada pilihan lain.

Jeneral Karim turut rebah sambil menutup kedua-dua telinganya. Dia tidak dapat menerima hakikat ini. “Tidaakkk!!!”

Dr. Danial, Prof. Syafiq dan Dr. Ishaq turut rebah sambil menutup telinga dengan alat khas. Alat itulah satu-satunya yang kalis bunyi akan jeritan Raphael. Jeritan yang mempunyai gelombang resonan yang luarbiasa, yang akan menghancur-leburkan bahan mentah yang sangat bahaya.

Detektif Mukhriz juga tidak dapat menahan bunyi jeritan yang sangat kuat. Telinganya ditutup dengan tangan. Namun, suara itu tetap mencucuk-cucuk tajam gegendangnya. Bagaikan hendak pecah dia rasa. Dia menahan kesakitan yang berat. Wajahnya mengerut menahan azab.

Maka bergetarlah struktur jisim komoditi yang besar; berbentuk segitiga prisma yang berdiri tegak. Di atasnya Raphael bertenggek sambil melepaskan jeritan. Jeneral Karim menghulurkan tangan kanannya sambil membuka semua jari-jemari. Ditujukan ke arah Raphael. Dia bagaikan ingin memberi mudarat kepada makhluk yang mengerunkan itu.

Jeritan Raphael terhenti. Dia melihat seseorang sedang berlari keluar dari bilik yang terdapat di sisi pengkalan. Berlari-lari anak dengan wajah sayu dan sedih ke arahnya. Mata Raphael membulat. Mulutnya sedikit terbuka. Cahaya kemerah-merahan dari matanya memancar terang. Apa yang dilihatnya ialah seorang gadis yang sangat dia kenal. Berlari perlahan-lahan menujunya sambil berpakaian pengantin yang berseri-seri dan bercahaya putih. Gadis itu ialah Ashikin. Wajah Ashikin yang sayu membuatkan hatinya hiba dan murung. Dadanya sesak menahan sebak. Tidak dia fikirkan lagi rasional Ashikin berada ditempat itu, kerana perasaan terkilan yang menguasai diri.

“Ashikin?” kata Raphael perlahan. Suaranya menggigil menahan tangis. Tangan kanan Jeneral Karim masih lagi mengembang jari-jarinya ke arah Raphael. Dia harus melemahkan musuhnya itu.

Kelihatan berjujuran airmata Ashikin yang memakai pakaian pengantin. Tempat pejalan kaki yang diperbuat dari jaringan besi Ashikin berlari. Kemudian terhenti sambil memegang palang besi. Jaraknya dengan Hakimi sedikit jauh. Keadaan itu memisahkan mereka. Ashikin tidak boleh lagi datang dekat kepada kekasihnya.

Akim... I love you...” kata Ashikin dengan suara bergema. “I love you... I’m always love you...

Kelibat gadis yang sangat dia cintai itu hanya dia seorang saja yang dapat melihatnya, hanya dia seorang saja dapat mendengarnya. Halusinasi Hakimi bertambah, dan kuasa psikik Jeneral Karim melemahkan semangatnya. Kalau boleh, Jeneral Karim ingin membuatkan musuhnya merasai penderitaan yang sangat dalam. Lalu menghentikan jeritan.

Airmata merah sudah bergenang di mata Hakimi. Laju dan deras mengalir membasahi pipi. Dia menangis sedu-sedan, teresak-esak. Kedengaran oleh semua yang berada di situ. Hakimi memejamkan matanya rapat-rapat sambil pandangannya tertunduk. Dia menggeleng-gelengkan kepala menafikan hakikat yang sangat perit. Kekasihnya kini sudah menjadi milik lelaki lain, bukan dirinya. Sengsara dia rasa. Menerima ketetapan takdirnya.

Tiba-tiba datang pula seorang lelaki yang dia tidak kenal, namun dia tahu itu adalah suami Ashikin yang sah –Norman-. Datang hadir dari belakang Ashikin dengan memakai Tuxedo mahal. Segak dan kemas kelihatan. Lelaki itu datang menyapa Ashikin, lalu menyeka airmata isterinya yang tercinta. Apa yang Hakimi lihat, tangisan Ashikin bertukar senyuman dan tawa kecil, akibat di hiburkan oleh suaminya. Lelaki itu melemparkan senyuman penuh kasih sayang. Di hadapan mata Hakimi itu juga, dia melihat Sang Suami dan Ashikin menari-nari gembira, sangat bahagia, sama seperti pada majlis resepsi mereka pada malam sebelumnya. Mereka meraikan cinta hangat bersama. Apa yang dirasakan Hakimi kini ibarat tertoreh-toreh jantungnya, tertikam-tikam jiwanya dengan kejam tanpa belas kasihan.

“Tidak... tidak.” kata Hakimi menafikan, sambil menangis sangat sedih.

“Tidak!!” Hakimi menangis kuat, dia menarik nafas dalam-dalam. Jeneral Karim berasa tidak sedap hati.

‘Aaarghhh!!!’ dengan sekuat hati, Raphael menjerit.

Jeneral Karim menutup telinganya kembali. Kali ini jeritan itu lebih kuat dari sebelum-sebelumnya. Ibarat guruh yang kuat, petir berdentum keras tanpa henti-hentinya. Sangat menggerunkan. Juga sangat sayu dan menyayat hati.

Sekalipun memakai alat khas kedap bunyi, Dr. Danial tetap juga merasa sakitnya. Detektif Mukhriz tidak dapat menahan kesakitan akibat mendengar bunyi yang sangat kuat dan menakutkan. Dia menjerit lalu pengsan di situ.

Bergetar lagi bahan mentah dari planet asing. Lebih kuat getarannya hingga terlihat strukturnya melepuh bertukar debu. Sedikit demi sedikit. Raphael terus menerus menjerit sekuat hati. Kembang lehernya. Kelihatan urat di lehernya timbul sambil berdenyut-denyut. Dalam jeritan itu, airmata merah bagaikan darah itu tetap juga masih mengalir deras. Mulut di buka seluas-luasnya melampiaskan segala perasaan duka dan derita.

Bahan komoditi tidak dapat bertahan lagi. Maka hancur leburlah keseluruhannya menjadi debu-debu yang berterbangan. Berserakan jatuh ke lantai ibarat pasir halus di tepi pantai. Kini bahan mentah itu tidak mampu berfungsi lagi, dan memberikan kuasanya. Raphael dengan perlahan-lahan turun menjejakkan kakinya ke lantai basement pengkalan. Nafasnya turun naik. Airmata merah menitik jatuh.

Dilihatnya Qaireen sudah tidak bernyawa. Jeneral Karim pula tercungap-cungap bagaikan nafasnya sedang ditarik malaikat maut dengan keras. Raphael datang menghampiri.

Tiba-tiba Jeneral Karim mengambil sesuatu dalam poket khas uniform askarnya. Satu peranti berbentuk rod berkilat. Lalu dicampakkan tinggi hingga sampai ke bumbung bawah tanah. Rod berkilau itu terapung. Raphael mengesyaki sesuatu. Jeneral Karim tersengih dengan tenat.

Senjata biokimia sinar radiasi!!” bisik Raphael sendirian. “Komander, keluar dari sini sekarang!!!” pekik Raphael hingga bergema.

Tanpa berlengah Mustaffa bangkit dan berlari menuju tingkap gelas tebal. Ditembak bertubi-tubi hingga tingkap itu pecah. Dirempuhnya dengan sekuat hati lalu terus terjun ke dalam tasik yang dalam.

Senjata biokimia sinar radiasi itu sangat terang. Cahaya itu hampir pasti akan membutakan mata sesiapa saja jika melihatnya. Raphael tidak sempat berlindung. Sayapnya yang lebar menutupi penglihatannya. Mata dipejam rapat-rapat. Setelah sinar radiasi cahaya menghilang, Raphael dapat rasakan seluruh tubuhnya panas bagaikan terbakar. Kelihatan sut Raphael melepuh kepanasan. Namun kembali semula ke struktur asal.

Jeneral Karim turut mengalami azab yang sama. Kulitnya melepuh bagaikan larva yang sangat panas tersembur keluar dari lohong gunung berapi. Kemudiannya kulit itu kembali kepada asal. Senjata biokimia sinar radiasi tidak membunuhnya, begitu juga Raphael. Jeneral Karim berang.

Raphael berjalan menuju dirinya yang sedang terbaring nazak. Keadaan Qaireen sangat menyayat. Kulitnya melepuh dan hangus ibarat baru dibakar api.

“Baru aku tahu, cecair apa yang disuntik dalam tubuh kau semasa umur kau lima tahun.” Kata Jeneral Karim dengan nafas tersekat. “Engkau menang kali ini. Tapi aku jamin, kau tak akan menang dengan peperangan yang bakal aku cipta tak lama lagi.” Kata Jeneral Karim lagi. Dia mengerang kesakitan. Nafasnya sesak. Lama-kelamaan terus kaku tidak bernafas lagi.

Raphael terus berdiri, pandangannya ditunduk melihat mayat Jeneral Karim. Dipandangnya lama-lama bagaikan tidak mahu pergi berganjak dari situ.

Komander Mustaffa terselamat. Dia berenang mencari daratan. Tasik itu sedikit luas. Cukup untuknya merasa lelah lalu terbaring sambil tercungap-cungap di atas tanah yang berumput.

Sumber bahan mentah sudah pun dihapuskan, begitu juga dengan jeneral. Maka tidak ada lagi ciptaan bahaya terbaru yang akan dihasilkan. Namun ini bukanlah penamat untuk segala-galanya. Selagi ciptaan mereka tidak dibongkar dan dihapuskan, selagi itu nyawa orang ramai dalam bahaya. Suatu teknologi senjata yang berpotensi melenyapkan segala benda hidup di bumi ini, dalam sekelip mata.


Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku