M.E.M.O.R.I
BAB 1
Genre: Seram/Misteri
Kategori: Novel
Paparan sejak 01 April 2017
Dia- Yana. Namanya ketika bekerja di sebuah rumah sebagai pembantu rumah. Di situ dia bertemu Haris yang berbalut wajahnya, Luthfi the playa-boya (playboy) dan Hanani si bongsu yang ada bakat jadi spy berjaya. Keluarga itu melalui satu tragedi sepuluh tahun lepas mengorbankan satu nyawa. Kata Hanani, lepas kejadian itu, semua org di rumah itu sepertinya menyimpan rahsia. Tapi sekejap.. adakah ini termasuk dirinya juga? Uh-oh. Sebab dia memang punya rahsia yg dia xnak terbongkar. Shh!
Penilaian Purata:
(3 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
588

Bacaan






BAB 1

"PAPA.. papa. Tengok, abang dapat 100 markah," Seorang kanak-kanak lelaki berlari riang mendapatkan papanya. Tangan kecilnya menggenggam kemas sekeping kertas.

"Hmm.." Papanya menjawab acuh tak acuh. Kertas yang diunjukkan dipandang sekilas. Perhatiannya teralih ke arah tablet ditangan. "Go to your mum. Papa ada banyak kerja nak buat ni." Serius papanya memberi arahan.

Riak ceria di wajah kanak-kanak itu pudar serta-merta. Dia mengharapkan pujian tetapi sikap tak endah papanya melenyapkan hasrat hati. "Yes papa." Dengan langkah longlai dia berjalan pergi.

Kelibat seorang wanita yang anggun bergaya membuatkan wajah kelat itu kembali mengukir senyuman lebar. "Mama!!" Laungnya.

Wanita itu berkalih. Sekuntum senyuman terukir dibibir. "Honey, kalau nak apa-apa minta dekat Mak Jah. Mama dah lambat ni. Mama pergi dulu ye. Bye sayang." Mamanya berkata terus-menerus tanpa memberi peluang kepada si kecil untuk berkata-kata.

Terkebil-kebil kanak-kanak kecil itu memandang kelibat mamanya yang menghilang. Dia berkalih pula ke Papanya yang turut bangun mengekori isterinya keluar rumah. Kembali ke pejabat menguruskan tugasnya sementara si isteri mempunyai persidangan dengan ahli kelab persatuan kebajikannya.

Tombol pintu ditarik. Sempat mata berlaga dengan sepasang mata bundar yang memaku pandangan tanpa berkelip. Tak diendahkan. Terus sahaja pintu ditutup rapat.

Kanak-kanak kecil itu kemudian berlari menuju ke pintu gelongsor. Wajah didekatkan ke kaca melihat dua buah kereta meluncur keluar pagar. Laju menghilang di sebalik pagar yang mula tertutup dengan sendirinya. Seketika, dia kekal merenung sehingga pagar automatik itu tertutup rapat.

Mulut comelnya dicebik. Mata beralih menekur lantai. Otak ligat berputar. Pelbagai persoalan muncul. Soalan yang dia tidak punya jawapannya. Kanak-kanak kecil itu diam. Mendengar. Perlahan-lahan tangan diletakkan ke dada kiri.

Satu perasaan baharu muncul entah dari mana membuatkan dadanya terasa tak selesa. Dia diam. Mendengar lagi. Seolah rasa itu mempunyai suara yang berkata-kata kepada dia.

"Abang?" Satu suara lembut berbaur kehairanan menyapa.

Si kecil tersentak. Kepala yang tunduk diangkat. Mata yang membulat kembali normal apabila melihatkan wajah Mak Jah.

"Abang sakit ke?" Mak Jah merapat ke sisi kanak-kanak yang dipanggil Abang. Soalannya dibalas gelengan. Mak Jah merenung wajah polos di hadapannya sebelum pandangan beralih ke tangan yang menggenggam erat sekeping kertas. "Apa ni? Boleh bagi Mak Jah tengok?" pintanya lembut. Tidak terburu-buru mengambil kertas digenggam si kecil sehinggalah diberi keizinan terlebih dahulu.

Bukan apa.. tetapi lebih kepada menghormati pemiliknya. Walaupun hanya seorang kanak-kanak mentah.

Soalan Mak Jah membuatkan senyuman lebar menghiasi wajah kanak-kanak itu. Dengan penuh semangat kertas diunjukkan ke arah Mak Jah. "Abang dapat markah 100." Teruja dia memberitahu. Reaksi sepi Papa dan Mama sebentar tadi langsung hilang. Dia tahu yang dengan Mak Jah.. perasaan gembiranya bakal dikongsi. Bahkan mungkin dia akan mendapat habuan.

Wajah Mak Jah juga terukir senyum lebar. "Masya-Allah. Hebatnya Abang. Markah penuh!" Kepala si kecil diusap penuh rasa sayang. "Mata pelajaran matematik pula tu. Tengok..kan Mak Jah dah kata, abang mesti boleh buat punya."

Kanak-kanak lelaki itu tersengih-sengih seronok. Suka hatinya bila dipuji sebegitu. "Tapi..bila Abang buat kira-kira, kepala Abang pening. Pusing..pusing." Dahinya berkerut.

Meledak tawa Mak Jah mendengarkan kata-kata petah dari mulut comel itu. Siap dengan aksi seolah mabuk laut. "Ni Abang dah dapat markah penuh. Maknanya betullah Abang boleh buat. Bukan tak boleh. Cuma kena fahamkan sahaja. Betul tak?"

Kanak-kanak lelaki itu terdiam seketika. Berfikir. Kemudian kepala diangguk penuh semangat. "Betul..betul..betul."

Menggeleng Mak Jah melihat ulahnya. "Abang nak hadiah apa ni?" Mata kembali ke kertas ditangan. Belum sempat si kecil membuka mulut menyatakan keinginannya.. kedengaran suara tangisan dari tingkat atas. Serentak keduanya memandang ke arah tangga.

Mak Jah berkalih kepada si kecil. "Abang ambil kertas ni..pergi tunjukkan kepada Wak. Abang minta dengan Wak ya? Mak Jah nak pergi tengok adik." Kertas diletakkan ke tangan kecil. Terkocoh-kocoh Mak Jah bangun menaiki tangga ke tingkat atas apabila suara tangisan semakin kuat. Meninggalkan si Abang yang terkebil-kebil.

Tik.Tik.Tik. Sesuatu dalam hatinya berdetik.

Dengan langkah longlai dia mAengeheret kakinya mencari Wak. Terasa diri seperti bola yang ditendang ke sana ke mari. Seperti pengemis yang mengemis secebis kasih.

******************************

Beberapa tahun kemudian.

Kaki laju berlari sambil sesekali kepala menoleh ke belakang. Melihat sama ada dia masih dikejar atau pun tidak. Larian serta-merta menjadi perlahan apabila dia melihat jalan di belakangnya kosong. Nafas lega ditarik.

Pernafasan yang mengah akibat berlari cuba diatur kembali. Kepala berpusing tanda oksigen tak cukup. Dia kemudiannya tunduk memeriksa tangan yang berdarah gara-gara jatuh di atas jalan tar. Tak sedar akan kemunculan kereta yang masuk dari simpang jalan.

TING!!!!!!! Kereta itu menekan hon,kuat. Terkejut, dia tak dapat mengimbangkan diri lalu terjatuh ke tepi jalan. Kepalanya terhantuk pembahagi jalan. Pandangan matanya mula kabur.

"Ya Allah. Abang..pengsan budak ni." Sayup-sayup kedengaran suara seorang perempuan.

Pandangannya yang berbalam menampakkan imej seorang wanita dan seorang lelaki yang agak berumur berwajah cemas sebelum perlahan-lahan menjadi gelap. Dia pengsan!

*************************

Bunyi deru angin menampar pendengaran. Kakinya semakin laju berlari. Sehingga ke tepian gaung.

"Yana!!"

"Ya Allah." Dia bingkas bangun. "Aduh!" Kepala dipegang. Impak akibat bangun secara tiba-tiba membuatkan kepala terasa berdenyut.Terkebil-kebil dia pandang suasana sekeliling yang sangat asing.

"Alhamdulillah..dah sedar pun kamu." Suara dari kirinya menyapa.

Dia berpaling. Bahu sedikit ternaik tanda terkejut dengan sapaan secara tiba-tiba itu. Seorang wanita berumur melangkah masuk. Senyuman terukir di bibir wanita tua itu sedikit sebanyak mengurangkan rasa gelisah.

"Saya dekat mana ni makcik? Err..makcik ni siapa?" Teragak-agak dia bersuara.

"Panggil sahaja Mak Jah. Kamu pengsan di tepi jalan tadi..itu yang kami bawa kamu ke sini." Mak Jah memberitahu. Senyuman masih tidak lengkang di bibir.

"Oh.." Mata dia pandang bawah. Memori yang kabur beransur jelas.

"Nah, minum air ni. Badan kamu tu masih lemah lagi." Air yang dibawa Mak Jah hulur. Dia menyambut dengan ucapan terima kasih.

"Nama siapa?"

Jeda seketika. Air diteguk sebelum menjawab. "Yana, Mak Jah."

"Yana dari mana? Buat apa dekat bandar ni?" soal Mak Jah lagi. Hairan melihat gadis itu berjalan seorang diri dalam hujan lebat.

Yana gigit bibir bawah. Otak ligat berputar. Mulut dibuka untuk menjawab tetapi tak semena-mena terlintas satu perkara difikirannya. "Mak Jah..saya nak tanya. Saya dekat mana ni?"

Mak Jah merenung wajah gadis di hadapannya itu. Tak pasti sama ada soalan itu disengajakan atau soalan yang bertul-betul mahukan jawapan. Melihatkan riak cemas yang terlakar di wajah Yana, Mak Jah memutuskan yang gadis itu memang benar-benar ingin tahu keberadaannya.

"Rumah milik Tan Sri Ismail dan Puan Sri Salmah." Mak Jah menjawab sambil mata tak lepas merenung wajah Yana. Membaca riak yang terpamer seperti peta di wajah muda itu.

Dahi Yana berkerut. Mata dia mengecil. Siapakah? Bukan nya dia kenal pun manusia yang bernama Tan Sri Ismail dan Puan Sri Salmah. Mak Jah ni pun. Tetapi dapat dia simpulkan yang berkemungkinan Mak Jah merupakan pembantu rumah di rumah ini.

"Mak Jah.. saya nak tahu alamat rumah ni. Bukan pemiliknya." Yana gelak serba-salah.

"Alamat?" Kening Mak Jah terangkat.

"Ya. Alamat," ulang Yana.

"Kamu nak pergi mana-mana ke?" tanya Mak Jah lagi.

Yana mengeluh dalam hati. Kepala diangguk lambat-lambat. "Saya sebenarnya nak pergi ke suatu tempat tapi sebab apa yang berlaku tadi.. nampaknya membuatkan saya end up di sini. Kalau Mak Jah boleh bagitahu alamat tempat ni..boleh lah saya tahu dengan tepatnya, sebenarnya saya ada dekat mana. Dan berapa jarak antara saya dengan tempat yang saya nak pergi tu. Dan macam mana saya nak pergi ke tempat itu." Satu per satu dijelaskan. Yana tahu yang Mak Jah curiga dengan dirinya.

Logik akal.. kalau dia berada di tempat Mak Jah, dia pun akan curiga. Zaman sekarang ini..penjahat terlebih bijak dalam mencari peluang untuk ‘menumpang’ kesenangan manusia lain. Jadi..sila lah bersabar ya diri. Kalau kita di jalan yang betul buat apa nak gelabahkan? Nak melenting kalau orang tak percaya. Berani kerana benar..takut kerana salah.

Mak Jah mengangguk faham bila apa yang disampaikan Yana terasa masuk akalnya. "Alamat tempat ni.. sekejap ya. Mak Jah tak berapa nak ingat." Mak Jah bangun menghilang di balik pintu. Tak sampai beberapa saat, dia muncul kembali.

"Lot 2020 Jalan Bukit Tinggi."

Muka Yana kosong tak bereaksi. Otak dia bekerja mencari di mana tempat ini. Dahi kemudian berkerut. "Lot 2020 Jalan Bukit Tinggi?" Yana menyoal kembali.

Mak Jah mengiakan.

Oh! Mata gadis itu jatuh ke riba. Nafas ditarik panjang. Lot 2020 Jalan Bukit Tinggi huh?

"Kenapa? Jauh ke dengan tempat yang kamu nak pergi tu? Mak Jah boleh minta Wak hantarkan." Mak Jah menawarkan bantuan. Timbul simpati melihat wajah keruh Yana. Walaupun dia masih ragu-ragu dengan gadis itu, tetapi tetap sahaja dia ingin menghulurkan bantuan sebagai sesama manusia. Tambahan lagi bukankah mereka bersaudara kalau menurut sudut pandang Islam?

Yana angkat muka. Wajah dia blur seolah terlupa yang Mak Jah ada di situ. Kemudian dia mengukir senyum kelat. Kepala digelengkan.

Mak Jah tak tahu apa yang dimaksudkan dengan gelengan itu. Geleng tanda tempat yang nak dituju gadis itu tidak jauh kah? Atau geleng tanda tidak mahu menerima bantuan yang ditawarkan?

"Maafkan Mak Jah kalau soalan ni macam jaga tepi kain. Tapi boleh Mak Jah tahu kamu nak ke tempat tu untuk apa?" Soalan diajukan dengan nada berhati-hati. Entah kenapa Mak Jah rasa dia perlu ambil tahu. Dalam kepala sekarang berlegar segala berita negatif yang dilihatnya di kaca televisyen mengenai kes perdagangan manusia terutama gadis-gadis muda. Tubuh tuanya menggigil tanpa dapat ditahan.

"Saya..nak minta kerja dekat tempat tu." Yana menjawab.

"Kerja?" Mak Jah semakin susah hati. Imej-imej yang tak baik semakin galak mengasak masuk mindanya.

Yana mengangguk.

"Boleh Mak Jah tahu kerja apa? Kalau kamu tak keberatan." Buru-buru Mak Jah menambah. Takut dianggap penyibuk. Tetapi sejujurnya dia semakin risau. Melihatkan Yana yang menjawab tanpa teragak-agak..juga tanpa mencebikkan wajah seperti anak muda hari ini yang tak segan silu menunjukkan bahawa mereka tak senang dengan soalan demi soalan diajukan oleh orang tua, Mak Jah menyimpulkan yang gadis ini bukanlah rendah nilai akhlaknya. Sekurang-kurangnya dari apa yang dapat dilihat dengan mata kasar yang terbatas penilaiannya.. Mak Jah tahu yang Yana seorang anak muda yang hormat orang tua.

"Tak ada apalah Mak Jah. Saya nak minta kerja sebagai..errr..orang gaji. Sort of."

"Ohh.." Jawapan itu terus membuatkan segala andaian di dalam kepala Mak Jah, hilang. Jawapan yang tak disangka. "Orang gaji?"

"Hmm.." Yana mengiakan. Dia senyum segaris.

Mak Jah merenung Yana. Lama. Otaknya menimbang-nimbang tentang sesuatu sebelum akhirnya dia buka mulut menyampaikan fikirannya. "Kalau macam tu, kamu kerja sahaja dekat sini."

"Eh?"

"Rumah ni pun sebenarnya nak guna pembantu rumah. Tapi minggu depan baru nak naikkan iklan. Dah alang-alang kamu nak kerja sebagai pembantu rumah.. kamu kerja dekat sini sahajalah. Senang cerita." Mak Jah bercakap macam dia lah yang uruskan hal pengambilan pekerja. Tetapi memang pun. ‘Mandat’ itu dah diberikan oleh Puan Sri yang berniat untuk mengupah seorang pekerja untuk membantu menguruskan rumah. Kasihan kan Mak Jah yang dah tua katanya.

Yana terkebil-kebil. Tak dapat nak proses input yang bertalu-talu masuk. "Saya kerja dekat sini?" Mata dia bulat merenung wajah tua Mak Jah.

Mak Jah mengangguk.

Seketika Yana terdiam sebelum tersenyum lebar. Lebar senyumannya serasa terkoyak mulut. "Betul ke ni Mak Jah?"

"Apa pulak tak betul nya." Mak Jah turut tersenyum.

"Ya Allah. Terima kasih Mak Jah. Terima kasih banyak-banyak." Tangan Mak Jah digenggam Yana. Tak dapat menahan rasa gembira.

Mak Jah mengangguk sebelum berjalan keluar dari bilik. "Hah.. Macam mana dengan budak budak tu?" Di luar bilik, Pak Bahar yang menanti isterinya pantas menerpa.

"Yana tak apa-apa bang." Mak Jah berkata. Dia ke singki membilas cawan yang digunakan.

Kedengaran Pak Bahar melepaskan keluhan lega. "Alhamdulillah. Lega saya." Dada diurut perlahan.

"Tapi kan, kasihan si Yana tu bang. Datang nak mencari kerja..tapi diragut orang pula." Mak Jah bercerita.

"Astaghfirullah al azim. Habis tu sekarang dia nak buat apa?" Pak Bahar bersuara terkejut.

"Katanya dia nak minta kerja sebagai orang gaji di tempat yang dia nak tuju tu. Tapi alang-alang dia dah ada dekat sini dan Puan Sri pun memang nak upah pembantu rumah saya suruh sahajalah si Yana tu kerja dekat sini. Budak tu pun dah setuju. Tapi itulah.. kena bagitahu Puan Sri yang kita dah jumpa pekerja baru."

"Kalau macam tu senanglah cerita." Pak Bahar tersenyum senang.

"Tapikan bang.." Riak ceria Mak Jah pudar.

"Apanya?"

"Kita baru kenal Yana. Macam mana kalau yelah..dia berniat jahat?" Ragu-ragu Mak Jah menuturkan walaupun dalam hati kuat menyangkal apa yang dikatakannya.

"Ya Allah awak ni Jah. Cuba awak fikir balik, semalam kita jumpa budak tu dalam hujan. Dengan baju koyak rabak, lutut berdarah..takkan lah dia tu ada niat tak elok?" sangkal Pak Bahar.

"Saya cakap kalau. Orang zaman sekarang ni bukannya kita boleh percaya sangat. Kadang-kadang yang kita sangka baik nilah yang sebenarnya serigala,"

Segumpal keluhan dilepaskan Pak Bahar. "Ya..saya faham tu. Macam nilah, bab-bab hati,niat dia.. semuanya awak serahkan sahaja kepada Allah. DIA lebih mengetahui apa yang kita tak tahu. Kalau buruk niatnya, Insya-Allah, Allah akan tunjukkan. Sekarang ni, kita kena tolong dia sebagai saudara segama." Panjang lebar Pak Bahar berkata. Dia faham keraguan yang melingkari hati isterinya.

Mak Jah terangguk-angguk mengiakan.


*********

Yana terhendap-hendap di belakang rumah. Gelagatnya mencurigakan. Sesekali dia memandang ke arah pintu hadapan,memastikan tiada sesiapa yang muncul.
Ok.. line clear. Tiga..dua..satu. Hati dia mengira dan……..





Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
BAB 1 | BAB 2 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku