Budak Bambam Itu
Bab 1
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 04 April 2017
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
523

Bacaan






Disclaimer: 60% cerita Budak Bambam Itu diolah semula daripada siri novel remaja tulisan saya My Angel, My Hero, My Secret dan My Memory yang pernah terbit satu ketika dulu.


________________________


“Satu, satu, saya sayang mama. Dua, dua, saya sayang mama. Tiga, tiga, saya sayang mama. Satu, dua, tiga, saya sayang mama.” Adilah menyanyi riang sambil mengayun buaian di beranda tingkat atas rumahnya.

Puan Kartina yang sedang khusyuk melukis berpaling. Tersenyum lebar dia mendengar nyanyian anaknya itu. “Papa nombor berapa?” usiknya.

Adilah tersengih. “Papa... nombor... lima! Nombor satu, dua, dan tiga, mama. Nombor empat nenek. Nombor lima papa!” Beria-ia Adilah menerangkan, lengkap dengan jarinya mengira.

Puan Kartina ketawa kecil. Diletak berus lukisan dan palet warna di atas meja kecil bersebelahan denganstanding easel yang memuatkan kertas lukisan. Dia mendekati Adilah. Buaian Adilah diayun perlahan. “Kamu mesti ingat pesan mama. Nombor satu Allah. Nombor dua Nabi Muhammad s.a.w. Nombor tiga mama dan papa. Kasihan papa. Pasti dia sedih kamu sayang mama lebih daripada kamu sayang dia. Kamu kena adil.”

Adilah ketawa kecil. Kepala yang tidak gatal digaru. Pesanan mama itu sudah acap kali diulang. Dia yang selalu lupa. Hendak buat bagaimana, memang dia lebih sayang mamanya.

Sejak kecil, Adilah memang lebih rapat dengan mamanya. Mungkin kerana sikap Puan Kartina yang lembut ataupun mungkin sikap Encik Arifin yang seperti menjauhkan diri daripadanya. Entahlah.

Sekiranya dikatakan kesibukan Encik Arifin bekerja sehingga lewat petang, yang membuatkannya kadangkala dingin di rumah, tidak juga. Puan Kartina juga bekerja tetapi mamanya sentiasa ceria di rumah. Mungkin juga jiwa seni Puan Kartina yang membuatkan dia lebih periang berbanding suaminya. Entahlah....

Namun, Adilah tidak pernah kisah. Asalkan mama di sisi, menemaninya setiap hari, sudah cukup. Adilah tidak perlukan sesiapa melainkan mamanya. Itulah yang dirasanya. Itulah yang difikirkannya.

Seperti biasa, sebelum tidur, Puan Kartina akan membaca buku cerita untuk Adilah. Selepas itu, mereka berbual seketika.

“Mama, guardian angel itu apa?” tanya Adilah dengan dahi berkerut mengenai watak yang digelar guardian angel dalam buku yang dibacakan ibunya.

Guardian angelini gelaran yang diberikan kepada pelindung. Dalam buku ni, Leyla menganggap Karl sebagaiguardian angel Leyla sebab Karl selalu membela Leyla daripada dibuli dan dimarahi. Jadi kita boleh katakanguardian angel adalah pelindung yang akan sentiasa menyayangi dan melindungi kita dalam apa jua keadaan sekalipun.”

“Jadi, mama adalahguardian angelsaya? Pelindung saya?” tanya Adilah sambil tersenyum manja.

Puan Kartina membalas senyuman itu. Kepala Adilah diusap penuh kasih sayang.

“Sebaik-baik pelindung kita adalah Allah. Mama hanya mampu berdoa supaya dapat melindungi kamu semasa kecil dengan izin Allah. Mama hanya pelindung sementara. Kelak, Allah pasti akan hantarkan kamu “guardian angelyang akan melindungi dan menemani kamu di sepanjang perjalanan hidup kamu,” ucap Puan Kartina.

Raut wajah Adilah berubah menjadi keruh. Dia mencebik lalu bersuara dengan yakin, “Saya tak perlukan yang lain selain daripada mama!”

Adilah lihat mamanya terus tersenyum sambil menggeleng. “Mama tak akan selamanya di sisi kamu tetapi, kasih sayang mama sentiasa bersama kamu. Kamu perlu ingat itu. Kelak, kalau kita tak bertemu lagi, ingatlah mama sentiasa sayang kamu. Dalam hati mama sentiasa ada kamu. Mama akan sentiasa doakan kamu.”

Adilah dipeluk erat. Rambutnya diusap lembut. Entah mengapa malam itu Adilah rasakan pelukan mamanya lebih erat daripada malam-malam sebelumnya. Hatinya tiba-tiba jadi sebak. Tiba-tiba jadi takut. Takut kalau tiba-tiba dia tidak berpeluang rasa pelukan itu lagi.

Adilah membalas pelukan mama. Kuat. Sepenuh hati. ‘Saya sayang mama,’ dalam hati, dia berbisik.

Tut... tut....

Bunyi jam loceng mengejutkan Adilah daripada mimpi. Mimpi bertemu mama. Wajah mamanya kian menjauh dan kemudian hilang dalam kegelapan pagi. Azan subuh sayup menyapa telinganya.

Perlahan dia bangkit dari tilam, mengesat air mata yang bersisa. ‘Mama, ke mana mama menghilang? Kenapa tinggalkan saya seorang diri?’ Nafas dihela bersama keluhan panjang. Persoalan ini sudah terlalu lama bermain dalam fikirannya. Malah, hari ini genap setahun. Namun, dia masih tidak menemui jawapannya. Tidak pada papa. Tidak juga pada nenek.

Adilah masih ingat hari itu. Hari di mana segala-galanya berubah. Dia pulang dari sekolah seperti biasa. Neneknya sudah ada di rumah. Mungkin baru datang dari kampung.

Adilah berlari memeluk neneknya. Papanya juga ada. Tentu papanya cuti separuh hari. Demikian anggapan Adilah. Entah mengapa, dia dapat merasakan ada yang tidak kena. Wajah papa dan neneknya muram.

Adilah terus bertanya kepada neneknya, “Kenapa nenek sedih?”

Nenek Adilah cuma tersenyum dan mengeratkan pelukannya. Dia mengusap kepala Adilah lalu mencium pipinya bertubi-tubi. Adilah semakin hairan.

‘Kalau ya pun rindu, takkan sampai begitu sekali!’ bisik hati kecil Adilah. Dia meleraikan pelukan neneknya lalu berjalan mendekati papanya.

“Mama tak balik dengan papa?”

Adilah pun tidak pasti di mana silap pertanyaannya. Tiba-tiba sahaja Encik Arifin menyinga. “Jangan tanya mengenai mama lagi. Mulai hari ini mama kamu dah mati!”

Hanya Tuhan yang tahu perasaan Adilah apabila mendengar kata-kata papanya itu. “Papa tipu! Papa tipu! Saya nak mama! Saya nak mama!”

Adilah mula menjerit sambil menghentak kaki. Dia memukul badan papanya bertalu-talu. ‘Tidak! Mama masih hidup! Aku tahu! Aku tahu! Mama tak mungkin tinggalkan aku! Mama sayangkan aku!’ Hatinya terus-menerus menjerit.

Encik Arifin hampir sahaja menampar Adilah. Mujur nenek Adilah segera memeluknya. Adilah dibawa ke bilik. Seharian dia menangis di dalam bilik.

“Adilah, janganlah menangis lagi. Mata kamu dah bengkak.” Pujukan yang sia-sia. Air mata Adilah terus mengalir.

“Di mana mama? Cakaplah, nenek.” Bersulam tangisan, Adilah terus mendesak neneknya. Badan nenek digoncang berulang kali. “Cakaplah. Saya nak mama! Saya nak mama!”

Neneknya hanya menghela nafas panjang. Berat keluhan yang dilepaskan. Dia hanya mampu menggeleng. Adilah semakin geram. Bukan keluhan yang dia mahu dengar. Bukan juga gelengan yang mahu dia lihat! Adilah mahu neneknya beritahu di mana mamanya! Adilah mahu menatap wajah mamanya.

‘Aku hanya nak mama! Hanya mama! Tidakkah nenek mengerti? Tidakkah papa faham?’

“Makanlah, sedikit pun jadilah.”

Adilah menepis sudu yang nenek suakan.

“Saya takkan makan selagi tak jumpa mama!” bentak Adilah. Dia memutuskan untuk mogok. Dia tahu papa dan neneknya tidak mungkin sampai hati membiarkan budak sekecilnya berlapar.

Adilah yakin, terlalu yakin yang nenek tentu memujuk papa supaya membawanya bertemu mama. Hati papanya yang keras pasti menjadi selembut sutera melihat tubuh longlai anaknya ini.

Namun, sangkaan Adilah silap. Semalaman Adilah tidur berlapar bersulam tangisan. Adilah sedih. Sangat sedih. ‘Sampai hati papa!’ Hatinya hampa. Terlalu hampa. Air matanya berlinangan sehinggalah dia tertidur bersama esakan yang bersisa.

Esoknya, Adilah tidak ke sekolah kerana tidak berdaya. Namun, dia melupakan mogoknya. Adilah makan juga. Tekadnya berubah. ‘Aku tak boleh mati! Aku perlu hidup supaya aku boleh mencari mama!’

Sejak hari itu Adilah bertekad, dia akan cari mamanya! Biarlah kalau papa dan nenek tidak mahu membantu, dia akan usaha sendiri.

Malangnya sehingga sekarang, sudah setahun berlalu, Adilah belum mampu mencari mamanya. ‘Ke mana mama pergi?’ Adilah melepaskan keluhan panjang. Perlahan dia bangkit dari katil menuju ke bilik air. Satu lagi hari perlu ditempuh tanpa kehadiran mama kesayangannya. Hari yang sepi, sesepi hatinya.

“Mama, tiada mama, tiada lagiguardian angel yang melindungi saya.”



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku